Category: Umum

  • 52,774 remaja 12 hingga 17 tahun lengkap divaksin setakat 30 Sept

    52,774 remaja 12 hingga 17 tahun lengkap divaksin setakat 30 Sept

    SERAMAI 52,774 atau 1.7 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun dalam negara telah lengkap menerima vaksin COVID-19 jenis Cominarty setakat 30 Sept lepas, kata Timbalan Menteri Kesihatan I Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

    Beliau yang juga Pengerusi Pasukan Bertindak Imunisasi COVID-19 Remaja (PICK-Remaja) berkata pada masa yang sama 1,498,274 atau 47.6 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin berkenaan.

    Katanya setakat ini lima negeri dengan pencapaian vaksinasi tertinggi dalam kumpulan remaja terdiri daripada Wilayah Persekutuan Labuan dengan 77.6 peratus, diikuti Kedah (67.1 peratus), Sarawak (62.7 peratus) Perlis (61.8 peratus) dan Melaka (59.4 peratus).

    Sementara itu Dr Noor Azmi berkata PICK-Remaja turut memberi perhatian kepada golongan remaja Orang Kurang Upaya (OKU) tanpa mengira status warganegara atau jenis ketidakupayaan, dan pelaksanaan pemberian vaksin kepada remaja OKU akan dilaksanakan dengan beberapa kaedah mengikut kategori mereka.

    Beliau berkata Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU) di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM) melaporkan bahawa 67,676 remaja OKU berusia 12 hingga 17 tahun berdaftar dengan JKM sehingga 31 Ogos lepas.

    “Seramai 51,361 (75.8 peratus) adalah remaja OKU dalam sistem pendidikan dan daripada jumlah ini 793 (1.5 peratus) merupakan Murid Berkeperluan Khas (MBK) yang berada di sekolah berasrama,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata remaja OKU juga berada di 705 buah institusi pemulihan harian seperti Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan Institusi jagaan OKU kerajaan dan swasta, serta 21 buah institusi OKU berkediaman,” katanya.

    Katanya pendaftaran remaja OKU yang berada di institusi perlindungan, pemulihan dan pendidikan sama ada berdaftar atau tidak berdaftar perlu dilakukan oleh pengetua, pengusaha atau penyelia institusi masing-masing melalui portal Vaksin Anakku.

    Dr Noor Azmi berkata bagi Remaja OKU bersekolah harian, mereka akan diberi vaksinasi secara berjadual di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) atau sekolah, dan remaja OKU bersekolah asrama pula akan menerima janji temu vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera.

    Bagi remaja OKU dengan masalah tingkah laku seperti Autism Spectrum Disorder, Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD), remaja OKU Mental atau dengan komorbid yang lain; pemberian vaksinasi boleh dilakukan di klinik kesihatan atau hospital kerajaan yang berdekatan dengan rumah.

    “Senarai nama remaja OKU ini akan dikumpul di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) untuk diserahkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD),” katanya.

    Bagi Remaja OKU terlantar pula, katanya proses pemberian vaksin kepada mereka di institusi dan yang terlantar di rumah akan dilakukan secara khidmat masyarakat (outreach) dan berjadual oleh pasukan pelaksana vaksinasi yang terdiri daripada kakitangan kesihatan, pengamal perubatan swasta, atau pasukan kesihatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

    “Remaja OKU terlantar di komuniti dikenal pasti melalui sama ada daripada senarai penerima Bantuan Pesakit Terlantar di bawah JKM atau senarai berdaftar dengan PDK atau pendaftaran remaja OKU terlantar di rumah.

    “Bagi remaja OKU terlantar yang tiada dalam senarai di atas, ibu bapa atau penjaga boleh hadir ke klinik kesihatan berdekatan, atau memaklumkan kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah atau Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk mendaftarkan remaja itu bagi mendapatkan vaksinasi,” katanya.

  • Rusuhan: Tokong minta maaf, tarik balik tuntutan tanah

    Rusuhan: Tokong minta maaf, tarik balik tuntutan tanah

    SUSULAN insiden rusuhan pada 28 September lalu, Tokong Chee How di Salak Selatan, Kuala Lumpur meminta maaf kepada pihak berkuasa dan orang ramai.

    Memetik laporan Malaysiakini, pihak tokong berkenaan berkata, mereka akan menarik semula tuntutan terhadap tanah tersebut dan akan bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan dan Kementerian Pendidikan.

    “Kami dengan rasa amat kesal dan memohon maaf berhubung kekeliruan dan kontroversi yang timbul dari insiden itu.

    “Kami akan menyerahkan kunci pagar yang berdekatan dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan Kementerian Pendidikan agar mereka dapat melakukan kerja-kerja pembinaan yang sewajarnya,” kata pengurusan tokong itu dalam satu kenyataan hari ini.

    Setakat ini, seramai 24 individu telah ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung insiden rusuhan di depan tokong berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar dalam kenyataan yang dikeluarkan pada hari kejadian berkata, kira-kira pukul 11.45 pagi hingga 4 petang, satu operasi telah dijalankan oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kuala Lumpur untuk membina pagar penghadang ‘hoarding’ bagi membina jalan untuk dijadikan laluan ke sekolah.

    Menurut beliau, dalam operasi tersebut pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras telah hadir bagi memastikan keselamatan dan kelancaran operasi yang dijalankan.

    “Semasa operasi sedang dijalankan terdapat lebih kurang 30 orang lelaki dan perempuan membawa kayu dan besi.

    “Kumpulan ini telah bertindak menghalang dan memecahkan mesin jentolak selain menyerang anggota polis yang bertugas di tempat kejadian.

    “Kes disiasat dibawah Seksyen 148 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Polis menafikan terdapat tindakan untuk merobohkan mana-mana tokong dalam kejadian tersebut.

    Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, beliau menghargai usaha presiden Tokong Chee How, Yap Chee Fong yang memohon maaf dan menjelaskan situasi itu kepadanya.

    Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, pertemuan diadakan antara kementeriannya, Pejabat Tanah dan Galian, pihak berkuasa tempatan, serta pihak-pihak yang terlibat untuk menjelaskan pembinaan sekolah menengah baharu di sebelah tokong tersebut.

    Hang Soon berkata, sekolah itu akan memberi manfaat kepada keperluan penduduk setempat kerana 7,000 unit rumah program perumahan rakyat (PPR) akan dibina berdekatan lokasi tersebut.

    Beliau menambah bahawa rancangan projek tersebut bermula pada tahun 2017 dan kementerian mendapati bahawa tanah rizab sekolah itu adalah lokasi paling strategik untuk membina sekolah menengah baru.

    “Kejadian yang tular dalam media sosial sejak beberapa hari lalu telah menimbulkan polemik dan provokasi, diputar belit dengan fakta sebenar.

    “Oleh itu, berdasarkan kenyataan dari Yap sebagai presiden tokong, saya menggesa supaya semua pihak untuk melihat kejadian ini secara menyeluruh dan rasional untuk kesejahteraan semua.

    “Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada tokong yang berjanji untuk menyerahkan kunci pagar dan tanah itu kepada Pejabat Tanah dan Galian dan Kementerian Pendidikan kerana meneruskan kerja-kerja,” jelasnya.

  • 111 peniaga jual minyak masak botol atas harga kawalan

    111 peniaga jual minyak masak botol atas harga kawalan

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    WALAUPUN kerajaan telah menetapkan harga kawalan bagi minyak masak botol, masih ada peniaga yang degil dan menjual melebihi harga ditetapkan.

    Ini terbukti apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya mengesan seramai 111 peniaga di seluruh negara yang masih menjual minyak masak botol melebihi harga kawalan.

    Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, ia dikesan melalui penguatkuasaan harga runcit maksimum minyak masak botol yang dilaksanakan bermula 1 Ogos hingga 1 Oktober lalu.

    Katanya, sepanjang tempoh tersebut sebanyak 19,266 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara melibatkan minyak masak dalam kuantiti 1kilogram (kg) hingga 5kg.

    “Daripada jumlah tersebut, kita berjaya mengesan 111 kes peniaga menjual minyak masak dalam botol melebihi harga kawalan dan kita terpaksa menyita barangan itu melibatkan nilai RM13,961.50 dan kompaun RM26,850.

    “Ia adalah selaras mengikut Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) 2021, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kerana kesalahan menjual melebihi harga maksimum,” katanya kepada media selepas melawat lokasi ternakan kelulut di Kampung Machang, Ajil hari ini.

    Rosol memberitahu, kes tertinggi yang dikesan adalah Johor (44) Perak (23), Pulau Pinang (9) Pahang (4) manakala Kelantan, Terengganu, Sarawak dan Melaka (6) diikuti Negeri Sembilan (3), Sabah (2) dan masing-masing satu kes di Kedah dan Selangor.

    Beliau memaklumkan, harga maksimum runcit ditetapkan bagi minyak masak sawit tulen dalam botol ialah RM29.70 melibatkan botol 5kg, RM18.70 (3kg), RM12.70 (2kg) dan RM6.70 (1kg).

    Katanya, bagi harga minyak masak bersubsidi dalam peket 1kg pula ialah RM2.50.

  • 1 pegawai, 9 anggota APM Terengganu positif Covid-19

    1 pegawai, 9 anggota APM Terengganu positif Covid-19

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    SEORANG pegawai dan sembilan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu yang bertugas di pejabat daerah Kuala Terengganu disahkan positif Covid-19 dan 31 lagi sedang dikuarantin.

    Menurut Pengarah APM Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah, sehingga ini tujuh anggotanya yang positif Covid-19 sedang dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus dan dua lagi menjalani kuarantin kendiri di rumah masing-masing.

    Justeru katanya, pegawai dan anggota lain yang menjadi kontak rapat pula diminta menjalani proses kuarantin di Institut Pendidikan Guru (IPG) Gong Badak.

    “Bagaimanapun keadaan sembilan anggota berkenaan dilaporkan stabil,” katanya ketika dihubungi media hari ini.

    Menurut Mohd Rosman, salah seorang pegawai yang bertugas di Ibu Pejabat APM negeri turut disahkan positif Covid-19.

    Sehubungan itu katanya, seramai 15 pegawai dan anggota lain yang menjadi kontak rapat pegawai terbabit turut menjalani kuarantin dan setakat ini pihaknya belum mempunyai maklumat mengenai punca jangkitan terhadap pegawai dan anggota yang didapati positif.

    “Apapun perkembangan ini, APM tetap meneruskan aktiviti harian termasuk persiapan menghadapi bencana banjir,” jelas beliau.

  • MAH Terengganu mohon kerajaan bantu pengusaha hotel

    MAH Terengganu mohon kerajaan bantu pengusaha hotel

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    AKTIVITI pelancongan merupakan antara sektor yang paling terkesan sejak berlakunya penularan wabak COVID-19 di negara ini.

    Malah, ekoran wabak itu juga kebanyakan pemain industri daripada sektor bekenaan berhadapan pelbagai masalah termasuk memberi kesan secara langsung dalam kehidupan tenaga kerjanya.

    Berdasarkan perkembangan itu, Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Terengganu memohon supaya kerajaan meneruskan beberapa inisiatif dan bantuan kepada golongan itu sehingga Jun 2022.

    Menurut Pengerusi MAH Terengganu, Suaibah Harun, ia penting untuk memastikan kelangsungan industri itu dalam mengharungi cabaran pasca pandemik COVID-19.

    Menurut Suaibah, industri pelancongan memerlukan lebih banyak bantuan daripada kerajaan dan MAH menaruh harapan besar supaya banyak perkara dapat dipermudahkan.

    Beliau berkata, bantuan yang diperlukan adalah selaras dengan usaha untuk menyokong pengusaha hotel bangkit semula setelah agak lama terjejas.

    Suaibah Harun MAH Terengganu
    SUAIBAH HARUN

    Ini kerana katanya, untuk memulakan kembali operasi sudah tentu agak sukar dan sebab itulah ia memerlukan sokongan kerajaan seperti program Subsidi Upah, diskaun bayaran bil elektrik air dan sistem pembetungan serta penambahbaikan sistem percukaian dalam industri pelancongan.

    “Kami sangat berharap agar kerajaan meneruskan Program Subsidi Upah bagi membantu majikan mengekalkan jumlah pekerja sama di premis masing-masing dan inisiatif ini perlu diteruskan hingga Jun 2022 atau apabila sempadan antarabangsa dibuka semula,” katanya kepada media di Kuala Terengganu, malam tadi.

    Suaibah memberitahu, terdapat sebanyak 36 hotel yang berdaftar dengan MAH Terengganu.

    Selain itu Suaibah berkata, MAH Terengganu juga berharap agar kerajaan negeri, bank dan agensi berkaitan seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd dan Indah Water Konsortium dapat memberi diskaun kepada premis hotel.

    “Kami memerlukan bantuan khas kerana perniagaan ketika ini bukan setakat terjejas teruk, tetapi juga terpaksa menanggung bayaran utiliti, cukai, sewa dan gaji pekerja.

    “Kami benar-benar berharap agar melalui diskaun itu dapat membantu kami membuka semula operasi,” ujar beliau.

  • Ahmad Maslan bebas, Majlis Presiden PH minta penjelasan Peguam Negara

    Ahmad Maslan bebas, Majlis Presiden PH minta penjelasan Peguam Negara

    MAJLIS Presiden Pakatan Harapan hari ini menzahirkan kerisauan terhadap trend kes mahkamah yang melepaskan individu berprofil tinggi, atau penyokong parti pemerintah, hanya dengan memulangkan wang yang diseleweng, atau dengan hanya membayar kompaun.

    Dalam satu kenyataan hari ini, majlis itu berkata, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun perlu memberi penjelasan, memandangkan keputusan untuk mendakwa atau menarik pendakwaan terhadap seseorang itu terletak di tangan Peguam Negara.

    Selain itu, ia berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga seakan-akan acuh tidak acuh dengan trend terbaharu itu.

    “Terbaharu adalah kes yang melibatkan Datuk Seri Ahmad Maslan, Ahli Parlimen Pontian merangkap Setiausaha Agung UMNO yang didakwa menerima sejumlah wang dari Datuk Seri Najib Razak yang dipercayai dana 1MDB.

    “Ahmad telah dilepas dan dibebaskan dari pertuduhan tersebut setelah beliau membayar kompaun walaupun perbicaraan telah bermula, walaupun media melaporkan pada mulanya beliau enggan membayar kompaun, dan mahu kes ini dibicarakan,” menurut kenyataan itu lagi.

    Pada 29 September lepas, Mahkamah Tinggi telah membebaskan Ahli Parlimen Pontian itu daripada pertuduhan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Najib kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), dan memberi penyataan palsu kepada SPRM

    Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan menarik balik kedua-dua pertuduhan terhadap Ahmad Maslan berikutan tertuduh bersetuju membayar kompaun berjumlah RM1.1 juta.

    SPRM dalam kenyataan susulan pula berkata, tindakan kompaun terhadap Ahmad merupakan satu tindakan punitif.

    Suruhanjaya itu berkata, berkata tindakan sama turut dilakukan terhadap mana-mana individu yang terlibat dan merupakan satu bentuk pemulangan aset di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

    Dalam pada itu, Majlis Presiden berkata, Peguam Negara perlu menjelaskan apakah ini akan menjadi operasi prosedur standard (SOP) baharu terutama bagi kes-kes mahkamah berprofil tinggi yang lain.

    Majlis itu berkata, ia seolah-olah SOP itu membolehkan seseorang boleh didakwa mencuri wang untuk dilepaskan dengan membayar balik sebahagian daripada “barang kes” tersebut.

  • Tinggal 4 peratus lagi sebelum rentas negeri dibenarkan – Khairy

    Tinggal 4 peratus lagi sebelum rentas negeri dibenarkan – Khairy

    Aktiviti rentas negeri dijangka akan dibenarkan semula tidak lama lagi, selepas kadar vaksinasi kepada populasi dewasa negara kini semakin menghampiri 90 peratus.

    Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam ciapan di Twitter rasminya hari ini menyatakan sehingga semalam, kadar populasi dewasa yang telah lengkap divaksinasi kini mencapai 86 peratus.

    “Dengan lebih banyak pergerakan, akan berlakunya lebih banyak perhimpunan. Kita perlu mengambil tanggung jawab terhadap tindakan kita. Jika anda menunjukkan simptom, dapatkan kit ujian dan uji diri. Jika positif, asingkan diri secepatnya,” katanya.

    Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pergerakan rentas negeri akan dibenarkan apabila 90 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah menerima vaksinasi lengkap, berdasarkan kepada data dan analisis Kementerian Kesihatan (KKM).

    Mengikut portal KKM COVIDNOW hari ini, sejumlah 20,317,843 individu atau 86.8 peratus populasi dewasa telah melengkapkan suntikan vaksin COVID mereka semalam, bermakna hanya tinggal kira-kira 3.2 peratus lagi untuk mencapai kadar 90 peratus vaksinasi populasi dewasa.

    — BERNAMA

  • Pandangan rakyat antara cara pemarkahan prestasi 100 hari menteri

    Pandangan rakyat antara cara pemarkahan prestasi 100 hari menteri

    PANDANGAN rakyat terhadap prestasi menteri-menteri yang dimuat naik menerusi media sosial akan turut diambil kira sebagai pemarkahan sempena pencapaian awal tempoh 100 hari pertama perkhidmatan mereka.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ada pelbagai kaedah yang boleh digunakan untuk mendapatkan maklum balas dan analisis sentimen ramai terhadap menteri seperti kajian sikap rakyat terhadap menteri sejak memegang jawatan dan menerusi kajian professional.

    “Saya cakap secara keseluruhannya saya buat pemarkahan seperti kad laporan sekolah, itu salah satu, kita ada jawatankuasa … tapi ada pemarkahan saya dapatkan daripada rakyat boleh beri markah… tapi tak tahu lagi berapa peratus (pandangan rakyat dalam jumlah keseluruhan pemarkahan), pandangan rakyat satu cara,” katanya pada sesi wawancara khas bersama editor kanan media di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

    Perdana Menteri mengakui beliau sendiri rajin membaca komen-komen dan hantaran rakyat menerusi media sosial dan kadang kala menjawab sendiri komen-komen berkenaan.

    “Kelmarin mereka (menteri-menteri) membentangkan cadangan KPI (Petunjuk Prestasi Utama) dan saya bagitau perlu ada ‘feel good factor’ (faktor yang menyenangkan) kepada rakyat … kita tunggu menteri umumkan sendiri,” katanya.

    Ismail Sabri berkata, beliau melakukan ini bukan bertujuan untuk menghukum sesiapa tetapi sekadar mahu melihat mereka menjalankan tugas sebaiknya.

    “Tujuan letak 100 hari bukan tujuan nak hukum menteri, ada yang bertanya adakah ada yang akan dibuang … saya berharap tidak ada yang akan dikenakan tindakan, saya nak mereka menjalan tugas dengan baik tidak lebih dari itu. Selepas 100 hari ia akan disambung dengan pelan setengah penggal dan jangka panjang, ia berterusan,” katanya.

    Ditanya adakah beliau menetapkan sasaran 100 hari untuk diri sendiri, sambil tersenyum beliau menjawab: “Saya … tentu ada target (sasaran) sendiri … tunggu pengumuman saya nanti semasa saya memberi ucapan kepada rakyat … kena tunggu 10 Dis nanti.”

    Perdana Menteri berkata, setakat ini terdapat keseimbangan penerimaan rakyat terhadap kerajaan terutamanya apabila usul Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dibentangkan beliau masa persidangan Dewan Rakyat pada 27 Sept lepas.

    “Ada yang respons positif tetapi taklah kata semua positif juga ada yang negatif contohnya daripada segi pegangan ekuiti (pemilikan saham bumiputera) itu negatif daripada bukan bumiputera,” katanya.

    Beliau berkata, secara keseluruhan RMK12 diterima dengan baik oleh rakyat, namun yang penting sekarang ialah dari segi pelaksanaannya yang diharap dapat dilakukan dengan baik.

    Ismail Sabri turut ditanya mengenai persepsi masyarakat bukan Melayu terutama kaum Cina terhadap pentadbiran beliau dan adakah usaha khusus untuk menguatkan sokongan daripada mereka akan dilaksanakan.

    “Setakat hari ini saya pun belum dapat buat kajian terperinci, baru sebulan lebih, masih terlalu awal. Kadang-kadang suka pada peringkat awal, lama-lama jadi tak suka.

    “Setengah itu tak suka peringkat awal … lama-lama jadi suka, sebab itu mungkin dalam lima atau enam bulan, tiga bulan selepas 100 hari mungkin saya akan sampaikan ucapan … banyak lagi kita akan berikan kepada rakyat mungkin akan ada beza selepas itu. Sebab itu untuk nilai kejayaan dalam 100 hari terlalu singkat,” katanya.

    Ketika mengumumkan barisan Kabinet dan anggota pentadbirannya yang dianggotai 31 Menteri dan 38 timbalan menteri pada 27 Ogos lepas, Ismail Sabri menetapkan setiap menteri perlu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama perkhidmatan. – BERNAMA

  • MoU beri impak baik kerjasama kerajaan, pembangkang – Ismail Sabri

    MoU beri impak baik kerjasama kerajaan, pembangkang – Ismail Sabri

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani antara kerajaan dan pembangkang menampakkan impak yang baik.

    Beliau berkata, keadaan sekarang kelihatan agak tenang bukan sahaja di luar tetapi juga di dalam Dewan Rakyat yang sedang bersidang setiap Isnin hingga Khamis.

    “Di luar lebih tenang tetapi serangan terhadap kerajaan seperti dahulu sudah berkurang. Walaupun pembangkang … saya dah beritahu mereka kekal sebagai pembangkang. Mereka kecam kerajaan itu kerja mereka, kita perlu semak dan imbang kepada kerajaan.

    “Walaupun saya beritahu macam tu tapi keadaan agak kurang dari segi serangan kepada kerajaan di Parlimen. Di luar sana sangat sepi, tenang, ucapan pun tak ada yang agresif seperti dahulu setiap kali berucap mesti ada standing order (Peraturan Urusan Mesyuarat),” katanya pada sesi wawancara khas bersama editor kanan media di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

    Beliau berkata, keadaan sekarang menampakkan sikap saling hormat menghormati yang semakin tinggi dalam kalangan Ahli Parlimen.

    Ditanya adakah keadaan itu disebabkan oleh jalinan kerjasama kerajaan dengan pembangkang atau disebabkan oleh kepimpinan beliau sebagai Perdana Menteri, Ismail Sabri menjawab secara seloroh: “Saya tak tahu, tak boleh nak beritahu. Ketua Pembangkang kata PM ni lebih sopan, itu pandangan peribadi,”.

    Semasa ditanya sama ada input pembangkang diambil kira dalam penyediaan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), beliau berkata sememangnya terdapat libat urus pembangkang serta jabatan kerajaan.

    “Sebelum ni kalau buat taklimat kepada kerajaan sahaja tetapi tak buat dengan pembangkang, tetapi kali ini saya kata kita sekalikan (kerajaan dan pembangkang) semasa Unit Perancang Ekonomi (EPU) memberi taklimat.

    “Tak ada gangguan, soalan tidak panas tetapi profesional kerana yang mereka mahu adalah jawapan sebenar,” katanya.

    Perancangan RMK12, kata beliau, disediakan secara lebih inklusif, mengambil kira input dan cadangan bukan sahaja daripada kerajaan dan pembangkang tetapi juga pihak berkepentingan termasuk sektor awam dan swasta merangkumi pakar industri dan ahli korporat, ahli akademik, Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, pemimpin masyarakat, pertubuhan masyarakat sivil dan organisasi antarabangsa.

    Walaupun MoU Transformasi dan Kestabilan Politik dengan pembangkang ditandatangani pada saat akhir pelaksanaan dokumen ini, namun terdapat beberapa pandangan yang telah diambil kira dalam memastikan integriti, akauntabiliti dan ketelusan dititikberatkan dalam dokumen RMK12. – BERNAMA

  • Latihan kemahiran dikendalikan satu kementerian sahaja

    Latihan kemahiran dikendalikan satu kementerian sahaja

    KERAJAAN menetapkan semua latihan peningkatan kemahiran dan kepelbagaian kemahiran diletakkan di bawah satu kementerian iaitu Kementerian Sumber Manusia yang dikendalikan oleh Human Resource Development Corporation (HRD Corp).

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia bagi membolehkan penyelarasan dibuat kerana sebelum ini ada beberapa kementerian melaksanakan latihan kemahiran seperti itu yang menyebabkan berlakunya pertindihan.

    “Kita telah setuju (latihan) akan diletakkan bawah satu kementerian untuk diselaraskan sebab ada enam kementerian menjalankan kursus. Kadang-kadang yang untung syarikat yang berikan kursus. Sekarang ini kalau kita tengok kursus semua kementerian buat tapi akhirnya kursus yang sama,” katanya semasa wawancara khas bersama editor kanan media di Kuala Lumpur, baru baru ini.

    Beliau berkata, latihan yang dijalankan perlulah fokus berdasarkan keadaan sesuatu kawasan itu, seperti di Pengerang, Johor kepada minyak dan gas manakala Pulau Langkawi kepada sektor pelancongan.

    “Jangan kursus benda-benda lain yang tidak sesuai. Kita sekarang ini nak menyelaraskan kalau boleh, tidak terlampau banyak. Duit yang digunakan untuk kursus (banyak), outcome tak ada.

    “Satu orang ada 10 sijil kat rumah kat dinding tapi dia macam tu sahaja. Jadi sebab itu, sekarang ini kalau kita lihat untuk B40, kita fokus kepada memberikan latihan sebagainya,” katanya.

    Selain itu, Ismail Sabri berkata, soal penyelarasan juga akan dibuat dalam pemantauan bantuan kepada rakyat.

    “Yang ini melibatkan banyak (pihak) … majlis agama, JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat), MINDEF (Kementerian Pertahanan) pun ada, banyak yang terlibat.

    “Akhirnya kita akan selaras. Sekarang tengah tengok perkara ni. Begitu juga dengan perumahan ada bawah PPR (Program Perumahan Rakyat), ada juga bawah MINDEF untuk repair rumah bawah Jiwa Murni.

    “KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan), (kerajaan) negeri pun ada bagi. Itu semua kita akan selaraskan supaya tiada pertindihan,” katanya. – BERNAMA