SETIAUSAHA Negara Amerika Syarikat (AS) Antony J. Blinken hari ini memuji kepimpinan Malaysia dalam mengendalikan pandemik COVID-19 dan menghargai sumbangan negara kepada COVAX, sebuah inisiatif global untuk perkongsian vaksin.
Blinken berkata, kerana kepimpinan dan kejayaan luar biasa itu membolehkan Malaysia mempunyai kapasiti untuk menyumbang lebihan vaksin ke negara lain dan kepada COVAX.
“Ia bukti kepimpinan sebenar dan amat dihargai,” katanya pada sidang media bersama Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.
Beliau berkata, ketika mesyuarat dua hala dengan Saifuddin, kedua-dua pihak menyentuh mengenai apa yang boleh dilakukan bersama untuk mengatasi cabaran semasa COVID-19 dan membuat persiapan lebih baik untuk menangani pandemik pada masa depan.
“Kita perlu ambil peluang ini untuk kukuhkan sistem keselamatan kesihatan global. Jadi pada masa akan datang kita lebih berupaya untuk mencegah, mengesan dan mungkin menangani pandemik baharu dengan lebih berkesan,” katanya.
Blinken tiba di Kuala Lumpur pada Selasa malam untuk mengadakan lawatan kerja dua hari. Beliau sebelum ini singgah di Jakarta, Indonesia dan akan meneruskan kunjungannya ke Bangkok, Thailand.
Beliau berkata AS sedang berusaha untuk melaksanakan komitmennya untuk terus menyumbang kepada COVAX, supaya vaksin COVID-19 dapat diagihkan secara saksama.
“Menjelang 2022, AS menjangkakan untuk menyumbang 1.2 bilion vaksin di seluruh dunia, kami mempunyai komitmen untuk bantu apa yang boleh bagi menutup jurang vaksinasi,” katanya. – BERNAMA
NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Bera di Bera, pada 11 Disember lalu mengejutkan lamunan dan semarak nafsu beberapa pemimpin tertinggi parti itu.
Pengakuan jujur Perdana Menteri bahawa kembalinya UMNO memegang tampuk pemerintahan negara bukan kerana menang lebih 112 kerusi Parlimen dan membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), seakan hempedu yang sukar ditelan.
Fakta tersebut tidak boleh disembunyikan walaupun terdapat pemimpin atau akar umbi UMNO yang seakan menolak atau menafikan hakikat itu selepas diberi kuasa hasil ‘ihsan’ daripada parti lain.
Menurut Ismail Sabri, selaku Naib Presiden UMNO dapat menjawat jawatan nombor satu negara itu hasil kesepakatan bersama-sama parti lain antaranya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan beberapa wakil rakyat Bebas.
Ismail Sabri berkata, dengan kudrat yang dimiliki UMNO selepas PRU-14 lalu, tidak mungkin parti keramat itu akan kembali menerajui pentadbiran negara dan memperoleh jawatan Perdana Menteri.
“Sekarang, kita (UMNO) seolah-olah tak sedar perkara itu, seolah-olah tidak peduli parti lain kerana kita pegang tampuk kuasa. Jangan kita ulangi kesilapan lalu,” katanya.
Pendedahan berani Ismail Sabri itu, memberikan satu tamparan hebat terutama pemimpin-pemimpin UMNO yang masih ‘tidak sedar’ selain lebih mengutamakan kepentingan parti berbanding penyatuan parti-parti Melayu dan Islam.
Fakta tersebut tidak boleh disembunyikan walaupun terdapat pemimpin atau akar umbi UMNO yang seakan menolak atau menafikan hakikat itu selepas diberi kuasa hasil ‘ihsan’ parti lain.
Bagi Timbalan Pengerusi Bersatu Johor, Senator Ir. Md. Nasir Hashim, UMNO seharusnya sedar dan tidak perlu mendabik dada kononnya rakyat sudah ‘kembali’ menerima mereka sedangkan hakikatnya sebenar adalah sebaliknya.
Md. Nasir Hashim
Katanya, kerjasama antara parti yang membolehkan UMNO kembali ke pangkuan kuasa namun apabila sudah berada semula di tampuk kuasa, terdapat pemimpin mereka lupa dan seolah-olah tidak menghargai permuafakatan dan perikatan dibina sebelum ini.
“Sebagai contoh Bersatu berkorban memberikan jawatan penting seperti Perdana Menteri dan Menteri Besar di Johor serta Perak. Ini adalah satu pengorbanan yang besar,” katanya ketika dihubungi Warta Rakyat, hari ini.
Sepatutnya kata beliau, persefahaman yang terbina perlu sentiasa dipertahankan dan diperbaharui agar terus subur, walaupun mungkin ada tindakan yang kadang-kala dilihat bertentangan dengan semangat persefahaman.
Sementara itu, Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Johor Bahru, Razrul Anuar Rusli berkata, usaha menyatupadukan bumiputera perlu dilakukan menerusi platform parti berteraskan Melayu dan Islam.
Razrul Anuar Rusli
“Sebenarnya kedua-dua pihak saling memerlukan. Bukan sahaja UMNO tetapi Bersatu juga perlukan UMNO. Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri pun sebab UMNO sokong.
“Apa yang penting kestabilan dan kemajuan rakyat pada masa depan. Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bukti bahawa rakyat mahu kerajaan yang stabil, bukan lompat-lompat kerana ahli politik nak berkuasa,” katanya.
Jelasnya, itu sentimen yang dimainkan dan dirasai rakyat rentetan daripada kerajaan Melaka jatuh yang disebabkan pemimpin UMNO sendiri yang tarik sokongan terhadap kerajaan sebelum ini.
“Kalau kita bersama-sama UMNO dalam konteks Johor pada PRU-15, kerajaan orang Melayu akan kuat di negeri ini. Tetapi jika tiga penjuru, maka Pakatan Harapan (PH) dan DAP yang sering UMNO momokkan pada orang Melayu untuk ditakuti akan menyamai kekuatan kita,” katanya.
Menutup bicara, beliau melontarkan persoalan: “Adakah ahli politik semua benar-benar mahu Melayu bersatu atau sekadar retorik.”
YANG Dipertua Dewan Negeri Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid hari ini menegur tindakan Muhamad Arafat Varisai Mahamad (PKR-Hulu Kinta) yang membawa ayam segar ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak semalam.
Beliau berkata, pihak keselamatan diminta melaksanakan pemeriksaan yang lebih rapi terhadap barangan yang dibawa masuk ke dalam dewan negeri termasuk beg dan bungkusan.
“Saya ingin menegaskan perkara yang berlaku ketika sesi perbahasan persidangan semalam sewajarnya tidak lagi berulang.
“Saya harap tidak ada pula hendak membawa kambing atau lembu hari ini ya,” katanya berseloroh sebelum meneruskan persidangan yang memasuki hari keempat di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Semalam, Muhamad Arafat mengejutkan Dewan pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2022 kira-kira 12.23 tengah hari apabila bertindak mengeluarkan ayam segar dari bungkusan beg di tempat duduknya.
Beliau berkata, tindakan itu dilakukan kerana isu harga ayam yang membebankan rakyat ketika ini dilihat seolah-olah tiada tindakan serius daripada pihak berkuasa dan tidak melihat usaha dilakukan exco terlibat seperti mengadakan pertemuan bersama peruncit serta pengusaha bagi menangani masalah sebenar rakyat.
Tindakannya memegang ayam beberapa minit itu menimbulkan suasana lucu di dalam Dewan malah ada antara Ahli Dewan Undangan Negeri yang mencelah dengan mengatakan “ayam itu letaklah…balik buat rendang” selain Hasnul Zulkarnain Abd Munaim (Bebas-Titi Serong) yang mempersoalkan sama ada rakyat bersedia menghadapi harga mentah ayam terutama apabila musim perayaan. – BERNAMA
KERAJAAN tidak perlu mengurangkan apatah lagi menghentikan eksport barangan keperluan harian ke Singapura ekoran peningkatan harga yang dilaporkan berlaku memandangkan bekalan di negara ini mencukupi.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Dr. Chong Fat Full berkata, faktor kenaikan harga yang berlaku bukan kerana kekurangan bekalan asas sebaliknya harga kos yang meningkat.
Malah, aktiviti eksport ke Singapura juga perlu terus dilakukan bagi mematuhi kontrak yang telah dipersetujui sebelum ini.
“Kita perlu faham bahawa kenaikan harga barangan yang berlaku ketika ini bukan disebabkan kurangnya bekalan di pasaran tetapi kerana kenaikan harga kos seperti baja dan racun.
“Buktinya kita boleh lihat kesemua barangan itu ada dijual di pasaran tempatan dan mudah diperolehi, cuma harganya sahaja dijual agak mahal berbanding biasa.
“Oleh itu tiada keperluan mengurangkan eksport ke Singapura, namun jika benar berlaku kekurangan barangan keperluan, sudah pasti kita akan utamakan keperluan tempatan dahulu,” katanya selepas melawat Projek Aquagro di Kota Masai, hari ini.
Mengulas lanjut, kata Fat Full, kerajaan juga tidak sewajarnya terlalu mencampuri urusan penjualan barangan sehingga menyebabkan golongan peniaga tidak mendapat sebarang keuntungan.
“Buat masa ini kerajaan tidak masuk campur kerana golongan peniaga perlu diberi ruang untuk mendapat keuntungan, jika tiada keuntungan dikhuatiri tidak ada mana-mana pihak yang akan berniaga.
“Jadi kerajaan hanya akan masuk campur apabila perlu sahaja bagi memastikan situasi menang-menang kepada semua pihak,” ujarnya.
‘’KALAU ada yang selepas ini menyamar sebagai Menteri Kewangan, menjanjikan cinta, tolonglah tolak mentah-mentah. Hati saya dah berpunya dan saya tak berminat nak cari no 2.’’
Itulah nasihat dan penegasan yang dibuat oleh Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang terkejut apabila membaca berita seorang wanita yang terperdaya dengan janji seorang individu menyamar sebagai Menteri Kewangan menyerah wang sebanyak RM4,200.
Sehubungan itu Tengku Zafrul meminta orang ramai berhati-hati dengan pelbagai penipuan yang sedang kini berleluasa.
‘’ Saya minta semua di sana berhati-hati dengan pelbagai scam di luar sana. Semak dengan pihak berkuasa kalau ada perkara yang mencurigakan. Jangan mudah percaya dengan janji manis orang yang tidak dikenali,’’ katanya melalui Facebook hari ini.
Beliau mengulas nasib yang menimpa seorang guru tadika berusia 59 tahun yang terperdaya dengan individu menyamar sebagai Menteri Kewangan.
Menurut laporan media, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang tinggal di Kemayan, Bera berkenalan dengan suspek pada awal bulan ini.
‘’Suspek menggunakan nama Facebook Tengku Zafrul dan memperkenalkan diri sebagai Menteri Kewangan selain turut menghantar mesej kepada mangsa melalui WhatsApp.
‘’Suspek berjani untuk memberikan wang sebanyak RM1 juta dan sebuah kenderaan jenis Rolls-Royce kepada mangsa jika bersetuju untuk berkahwin dengannya,’’ katanya.
Beliau berkata, suspek kemudian meminta mangsa berurusan dengan individu bernama Siti menerusi WhatsApp yang didakwa pengurus bank kepada Tengku Zafrul.
‘’Mangsa diminta membayar yuran pemrosesan untuk berkahwin dengan suspek dan bayaran dibuat melalui mesin deposit di sebuah bank di Temerloh pada 10 Disember. Selepas menyedari ditipu mangsa membuat laporan polis,’’ katanya.
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad mencuri tumpuan sidang DUN Perak apabila memegang ayam segar ketika berbahas sebagai ‘gimik’ ketika menyentuh mengenai isu harga barangan terutama ayam.
Muhamad Arafat berkata, ayam yang dibawa masuk ke dalam persidangan itu sebagai ‘hadiah’ kepada Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria yang juga ADUN Semanggol.
Beliau mendakwa mendakwa, sepanjang dewan bersidang, tiada tindakan yang diambil oleh Razman dalam menangani isu berkenaan di peringkat negeri.
“Hadiah kepada (ADUN) Gunung Semanggol sebab resit ini, ayam ini dari Gunung Semanggol, saya beli dekat sana. Maknanya dalam resit ini sebelum 7 hari bulan, harga ayam di Semanggol sendiri sudah mencecah RM10 lebih… lepas 7 hari bulan saya difahamkan keluar satu skim harga maksima Keluarga Malaysia oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna RM9.30.
“Apa yang berlaku di Gunung Semanggol sendiri sangat menyusahkan rakyat, merunsingkan rakyat soal harga barang. Saya terpaksa bawa ayam ini kerana sejak minggu lepas sampai sekarang, satu tindakan tidak diambil oleh Exco.
“Kita tak nampak, apa Exco telah lakukan? Ada tak pernah buat pertemuan dialog bersama dengan peruncit-peruncit? Ada tak buat pertemuan dialog bersama pengusaha-pengusaha? Ada tak pertemuan dialong bersama pemborong-pemborong untuk melihat di mana masalah sebenarnya?” soal Muhamad Arafat lapor Astro Awani.
Menjawab satu soalan ketika sidang medianya, Muhamad Arafat berkata,
Exco Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna hanya bertanggungjawab mengawal harga barangan di pasaran sedangkan Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan pula mempunyai peranan lebih besar dalam isu ini.
Beliau berkata, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Razman seharusnya mengambil tindakan drastik seperti memperkenalkan subsidi di peringkat pembekal atau mendapatkan pandangan daripada semua peringkat rantaian bekalan makanan dalam menyelesaikan isu kenaikan harga barang.
Dalam masa sama, Muhamad Arafat juga meminta agar Razman tidak dilihat seolah-olah mahu mensabotaj Menteri Besar Perak, sebaliknya, membantu kerajaan negeri dalam menangani soal berkenaan demi kepentingan rakyat.
JAWATANKUASA Disiplin Maktab (JDM) menamatkan pengajian 10 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang terlibat dalam kes buli baru-baru ini.
Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf berkata, mesyuarat JDM telah mengkaji kes tersebut dengan teliti dan mengambil keputusan menamatkan pengajian pelajar terbabit berkuatkuasa hari ini.
“Pihak MARA mengambil serius kejadian buli yang berlaku minggu lalu itu dan hukuman yang diputuskan ini menunjukkan pihak kita tegas dan tidak berkompromi terhadap kesalahan buli dalam kalangan pelajar-pelajar di bawah mana-mana Institusi Pendidikan MARA, IPMA mahupun tajaan MARA,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Azhar berkata, ibu bapa pelajar terlibat telah dimaklumkan keputusan oleh jawatankuasa berkenaan yang dibuat berdasarkan Panduan Pengurusan Disiplin Pelajar MRSM.
“Keputusan ini kita harap ia bukan sahaja menjadi satu pengajaran kepada pelajar yang terlibat, tetapi juga kepada pelajar-pelajar lain agar tidak berlaku lagi perbuatan salah laku di mana-mana institusi pendidikan di bawah MARA.
‘’Kita di MARA tentunya hendak melahirkan modal insan yang bukan sahaja cemerlang dari segi ilmu pengetahuan tetapi juga mempunyai sahsiah diri dan tingkah laku peribadi yang baik dan diterima oleh masyarakat,’’ tegasnya.
MARA tegas Azhar lagi, komited dalam menangani kes-kes buli dengan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) melalui penguatkuasaan peraturan sekolah.
‘’Selain melaksanakan pemantauan secara berterusan segala aktiviti pelajar termasuk proses pembelajaran di dalam kelas bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang,’’ katanya.
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Parti Bersatu Melaka yang baharu berkuat kuasa hari ini.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Dr.Mohd Yadzil menggantikan Datuk Wira Mohd Rafiq Naizamohideen yang meletakkan jawatan itu dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka pada 26 November lalu.
Beliau juga mengumumkan pelantikan Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin sebagai Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Melaka yang baharu.
‘’Pelantikan Dr Mohd Yadzil dan Mas Ermieyati bagi menerajui Badan Pimpinan Negeri Bersatu Melaka serta penyusunan semula Badan Pimpinan Negeri Bersatu Melaka diyakini dapat memperkuatkan struktur parti Bersatu dan memperkukuhkan lagi perkhidmatan parti kepada rakyat negeri Melaka khususnya,’’ kata beliau dalam kenyataan.
Dr Mohd Yadzil yang memenangi kerusi DUN Bemban dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November lalu, adalah merupakan Ketua Bahagian Bersatu Jasin dan Timbalan Pengerusi PN Negeri Melaka.
Berkelulusan Ijazah Perubatan dari Universiti Udayana Indonesia, beliau pernah berkhidmat di Hospital Melaka dari tahun 2005 hingga 2009 sebelum menjadi Pegawai Perubatan di Poliklinik Hidayah, Jasin.
Mas Ermieyati yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merupakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Naib Ketua Srikandi Bersatu serta Ketua Bahagian Bersatu Masjid Tanah.
RISDA membuka cawangannya yang ke-204 di Bahagian Limbang dan Lawas bagi memberi perkhidmatan tanam semula getah kepada masyarakat pekebun kecil di luar bandar.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, cawangan terbaharu itu akan mula beroperasi pada Januari depan.
“Saya yakin, pembukaan RISDA Daerah di Bahagian Limbang dan Stesen RISDA di Lawas ini adalah sesuatu yang amat dinanti-nantikan.
“Menerusi cawangan RISDA di sini, diharapkan kegiatan ekonomi penduduk juga dapat dipertingkatkan terutamanya melalui kemudahan aktiviti keusahawan dan pemantauan peningkatan produktiviti,’’ katanya
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pekebun Kecil Makmur, RISDA Negeri Sarawak di Rumah Panjang James Jimbau, Kampung Semabat di Limbang hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri II KPLB, Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Pengarah RISDA, Abdullah Zainal.
Mahdzir berkata, pihaknya memahami permasalahan yang dihadapi penduduk, terutama di kawasan luar bandar seperti Limbang dan Lawas untuk mendapatkan perkhidmatan RISDA.
‘’Sebelum ini, penduduk di Limbang mengalami kesukaran dengan terpaksa menempuh jarak perjalanan melebihi satu jam untuk berurusan dengan pejabat RISDA di Miri atau ke Stesen Kecil RISDA di Lawas.
“Besar harapan saya agar RISDA dapat menjadi sebahagian daripada komuniti di Limbang dan Lawas untuk membantu penduduk di sini meningkatkan kemajuan sektor pertanian khususnya sektor perladangan getah,’’ katanya.
Beliau juga memberi jaminan kerajaan melalui RISDA akan terus membantu dalam pembangunan sektor pekebun kecil dengan menyampaikan bantuan pembangunan kawasan bertanam getah, peningkatan produktiviti, pembangunan semula hasil baharu serta Bantuan Musim Tengkujuh tahun 2022.
Pada majlis yang sama, Mahdzir turut menyempurnakan majlis Pra Pelancaran Pembukaan Pejabat RISDA Bahagian Limbang dan menyampaikan Bantuan Musim Tengkujuh selain bantuan Bakul Prihatin kepada pekebun kecil RISDA dan sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat kepada peserta FELCRA yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
PENJUALAN Tanah Geran 18335, Lot 41, Seksyen 51, Bandar Kuala Lumpur (Tanah Lot 41) kepada Bank Negara Malaysia (BNM) oleh kerajaan melalui Syarikat SPV Hartanah Mampan Sdn Bhd adalah untuk tujuan pendanaan pelan rasionalisasi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Wong Kah Woh berkata pembayaran harga perolehan RM2.07 bilion dibuat BNM pada 19 Dis 2017 (RM1.035 bilion) dan 27 Dis 2017 (RM1.035 bilion), dengan hasil jualan itu telah digunakan untuk tujuan pembayaran di bawah pelan rasionalisasi 1MDB pada 31 Dis tahun sama.
PAC yang menjalankan mesyuarat prosiding berhubung isu tanah itu pada 20 Sept lepas, antara lain merumuskan BNM tidak pernah merancang membeli Tanah Lot 41 sebelum tawaran dikemukakan oleh Kementerian Kewangan (MOF).
“Perancangan perolehan Tanah Lot 41 tidak wujud dalam perancangan strategik tahunan BNM bagi tempoh 2015 hingga 2017 walaupun BNM menyatakan tujuan pembelian adalah untuk membangunkan hab pendidikan perkhidmatan kewangan untuk jangka panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wong berkata tiga saksi dipanggil pada mesyuarat prosiding berkenaan iaitu Timbalan Ketua Audit Negara (Prestasi) Patimah Ramuji, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Asri Hamidon dan Gabenor Bank Negara Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.
Hasil prosiding itu juga PAC mendapati BNM tidak melaksanakan usaha wajar secukupnya dalam pembelian Tanah Lot 41, selain Lembaga Pengarah BNM membuat keputusan untuk membeli tanah lot itu dalam masa sembilan hari selepas perbincangan dengan MOF pada 15 Ogos 2017, dan tiga hari selepas tawaran dikemukakan oleh MOF pada 21 Ogos tahun sama.
“Transaksi perolehan diselesaikan dalam tempoh yang singkat iaitu empat bulan. Kesemua itu membangkitkan keraguan sama ada BNM menghadapi tekanan daripada pihak kerajaan dalam membuat keputusan,” kata Wong.
PAC turut merumuskan harga perolehan Tanah Lot 41 berjumlah RM2.07 bilion berdasarkan penilaian yang dilaksanakan Tetuan Suleiman & Co adalah tinggi.
“Penilaian JPPH (Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Malaysia) yang berdasarkan status hak milik yang sedia ada iaitu Kategori Kegunaan Tanah “Tiada”, Syarat Nyata “Tiada” dan zoning institusi dengan nisbah plot 1:2 adalah sebanyak RM1,421,650,000,” katanya.
Wong memaklumkan pembayaran harga perolehan RM2.07 bilion adalah tidak wajar dilakukan tanpa penukaran status Kategori Kegunaan Tanah daripada “Tiada” kepada “Bangunan” dan pecah sempadan dengan bahagian tanah yang dimiliki oleh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) disempurnakan terlebih dahulu.
Justeru, PAC mengesyorkan supaya BNM mampu membuat keputusan berkait pelaburan serta pembangunannya dengan bebas tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak di samping menghormati transaksi jualan hartanah yang menguntungkan kerajaan.
BNM juga perlu dengan segera menyelesaikan isu penukaran Kategori Kegunaan Tanah dan pecah sempadan Tanah Lot 41, selain rancangan rapi untuk mengoptimumkan penggunaan tanah lot itu perlu dimuktamadkan, katanya.
Menurut Wong, isu berhubung tanah berkenaan adalah sebahagian daripada penemuan Jabatan Audit Negara (JAN) dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2019 Penyata Kewangan dan Pengauditan Pematuhan Agensi Persekutuan yang dibentangkan di Parlimen pada 10 Dis 2020. – BERNAMA