Category: Umum

  • Ketua JSJ Selangor Nik Ezanee dilantik sebagai Juruiring PM – KPN

    Ketua JSJ Selangor Nik Ezanee dilantik sebagai Juruiring PM – KPN

    KETUA Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, SAC Nik Ezanee Mohd Faisal dilantik menjadi “Aide-de-Camp” (ADC) atau Juruiring kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Perkara berkenaan disahkan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani ketika dihubungi Bernama malam tadi.

    “Benar,” katanya ketika diminta mengesahkan mengenai pelantikan Nik Ezanee.

    Difahamkan pelantikan berkenaan berkuat kuasa semalam dan kekosongan jawatan Ketua JSJ akan digantikan dalam masa terdekat.

    Nik Ezanee, 43, dilantik menjadi Ketua JSJ Selangor pada 12 April lepas selepas memegang jawatan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya pada 17 Feb 2020.

    Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai ACP Perhubungan Antarabangsa Urus Setia Ketua Polis Negara (Pentadbiran) di Bukit Aman pada 2016. –  BERNAMA

  • Statut Rom,ICERD: TMJ sifatkan Tun M tidak jujur kepada Majlis Raja-Raja,rakyat

    Statut Rom,ICERD: TMJ sifatkan Tun M tidak jujur kepada Majlis Raja-Raja,rakyat

    TENGKU Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan Tun Dr.Mahathir Mohamad bukan sahaja tidak jujur kepada Majlis Raja-Raja tetapi juga tidak jujur sepenuhnya kepada rakyat Malaysia dalam isu Statut Rom dan ICERD.

    Melalui catatan dalam Facebook, Tunku Ismail berkata, perkara yang dibuat secara tergesa-gesa pada ketika itu akan mengugat kesejahteraan rakyat dan menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu.

    ‘’ Saya dididik dari kecil lagi untuk sentiasa menghormati semua agama dan juga rakyat berbilang kaum. Saya dan keluarga saya juga telah banyak memberi sumbangan kepada rakyat pelbagai kaum dan agama, serta akan terus membantu kebajikan semua kaum.

    ‘’Tetapi saya juga adalah seorang bangsa Melayu dan tidak lupa akan tugas saya untuk mempertahankan Agama Islam. Itulah sebab saya menentang Statut Rom dan ICERD,’’ kata Tunku Ismail.

    Tun Dr. Mahathir

    Tengku Mahkota Johor itu membuat kenyataan tersebut bagi mengulas tulisan Dr.Mahathir dalam buku terbarunya “Capturing Hope: The Struggle Continues for a New Malaysia” yang menyatakan  Tunku Ismail Ssepatutnya menfailkan saman terhadap Patrick Teoh, sekiranya baginda percaya penyampai radio popular itu menghinanya.

    Mengenang kembali peristiwa 2020 itu, bekas Perdana Menteri itu berpandangan ia tidak sepatutnya menjadi kes jenayah.

    Dalam buku itu, Mahathir menulis rakyat tidak boleh mengutuk Raja-Raja Melayu, namun undang-undang sama tidak mengangkat seorang Putera Mahkota ke kedudukan setinggi itu.

    Tunku Ismail menegaskan, dengan menyerang institusi diraja, Dr. Mahathir  tidak akan dapat menyelesaikan masalah-masalah negara yang telah dicipta sendiri oleh Ahli Parlimen Langkawi itu termasuk isu perpecahan dan asimilasi kaum.

    ‘’Satu lagi pengkhianatan kepada rakyat Malaysia adalah apabila janji-janji yang dibuat kepada rakyat tidak ditunaikan.

    ‘’Apa-apapun saya berdoa semoga Tun panjang umur, sentiasa menghormati semua kaum di Malaysia dan berpegang teguh kepada Perlembagaan Negara. ‘I will see you soon, Tun’,’’ kata Tunku Ismail.

  • Kabinet setuju tubuh Majlis Pemulihan Negeri

    Kabinet setuju tubuh Majlis Pemulihan Negeri

    KABINET bersetuju menubuhkan Majlis Pemulihan Negeri bagi mempercepat pemulihan ekonomi susulan pandemik COVID-19, kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Beliau berkata penubuhan itu melibatkan jawatankuasa peranan tindakan peringkat daerah untuk menilai jenis bantuan yang boleh disalurkan oleh kerajaan negeri tanpa memerlukan pembabitan Kerajaan Persekutuan.

    “Kita telah buat keputusan untuk mencadangkan penubuhan Majlis Pemulihan Negeri, ini dipersetujui oleh Kabinet dan arahan sudah dikeluarkan supaya negeri-negeri segera menubuhkan majlis ini.

    “Tanggungjawab untuk mempercepat proses pemulihan negeri bukan terletak di atas bahu Kerajaan Persekutuan sahaja. Arahan itu juga melibatkan peranan jawatankuasa tindakan di peringkat daerah yang dipimpin pegawai daerah, jadi dia boleh bawa ke (peringkat) negeri,” katanya dalam sidang media selepas sesi dialog awam bersama Majlis Pemulihan Negara edisi Sarawak hari ini.

    Muhyiddin juga berkata sekiranya kerajaan negeri memerlukan bantuan di peringkat Persekutuan, MPN akan meneliti dan memperhalusi perkara itu untuk tindakan susulan.

    Semasa sesi dialog awam itu, beliau meminta mereka yang menyuarakan cadangan kepada majlis itu menyediakan kertas atau memorandum lengkap untuk dimajukan kepada MPN.

    Antara isu yang dibangkitkan dalam sesi itu ialah bantuan untuk perusahaan kecil dan sederhana, sektor pendidikan serta pembaharuan permit bekerja bagi warga asing. – BERNAMA

  • MPN bentang laporan isu komuniti perniagaan 17 Disember

    MPN bentang laporan isu komuniti perniagaan 17 Disember

    MAJLIS Pemulihan Negara (MPN) yang bersidang buat kali keenam pada 17 Disember ini akan membentangkan laporan dan cadangan berkaitan isu dihadapi oleh komuniti perniagaan.

    Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, laporan dan cadangan tersebut bakal dibentangkan oleh dua jawatankuasa tindakan khas yang dibentuk oleh MPN.

    Menurut beliau, isu-isu yang dihadapi komuniti perniagaan termasuk aliran tunai, pembiayaan serta kekurangan tenaga kerja.

    “Isu-isu ini sangat penting untuk ditangani segera bagi memastikan momentum pemulihan negara terus berjalan dengan baik dan mampu melangkau pencapaian tahun-tahun sebelum pandemik,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

    Muhyiddin turut mengulas tentang lawatan kerja sehari ke Kuching hari ini selaku Pengerusi MPN dan dalam lawatan tersebut, beliau berpeluang bertemu dengan para pemain industri di negeri itu menerusi satu sesi libat urus dengan mereka.

    Dalam sesi tersebut, bekas Perdana Menteri itu berkongsi dengan para peserta tentang fokus dan hala tuju pemulihan negara terutama dalam meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat melalui pemberian bantuan dan pemulihan segera dalam semua sektor, terutama sektor-sektor kritikal.

    “Saya juga telah mengumumkan penubuhan Majlis Pemulihan Negeri yang akan memberi fokus lebih spesifik kepada isu-isu di negeri ini bagi memastikan langkah penyelesaian yang lebih cepat dan proaktif dapat dilaksanakan,” jelasnya.

    Beliau menambah, antara yang telah dibangkitkan oleh pemegang-pemegang taruh dalam kalangan komuniti perniagaan Sarawak adalah isu kekurangan tenaga kerja dan masalah mendapatkan pembiayaan segera oleh sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam pelbagai bidang.

    Muhyiddin berkata, para pemain industri turut membangkitkan isu polisi kabotaj, isu gangguan dalam rantaian bekalan yang menyebabkan peningkatan kos barangan di Sarawak serta isu-isu lain berkaitan keperluan untuk kelangsungan perniagaan.

    “Mengenai isu sosial pula, mereka melahirkan kerisauan tentang impak kepada sektor pendidikan akibat penutupan sekolah dan institusi pendidikan sehingga berlaku ketinggalan dan keciciran dalam pembelajaran,” jelasnya.

    Sebelum menamatkan lawatan, beliau sempat singgah dan beramah mesra bersama penduduk dan peniaga di Batu Kawah dan Little India di Kuching.

  • CUEPACS minta kerajaan henti pengeluaran KWSP

    CUEPACS minta kerajaan henti pengeluaran KWSP

    KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan untuk menghentikan kemudahan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi mengelakkan masalah kewangan dalam kalangan pesara kelak.

    Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, berdasarkan perkembangan semasa melibatkan ekonomi negara yang semakin pulih di samping rakyat juga tidak lagi dikenakan sekatan pergerakan sekali gus membolehkan mereka untuk kembali melakukan aktiviti serta perniagaan masing-masing menyebabkan kemudahan tersebut sudah tidak lagi relevan malah boleh memberikan impak yang negatif jika perkara itu masih lagi diteruskan.

    “Data daripada KWSP yang memaklumkan 50 peratus ahli KWSP mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 amat membimbangkan dan boleh memberi kesan yang lebih besar sekiranya kebenaran pengeluaran diberikan sekali lagi.

    “Jika pengeluaran secara besar-besaran ini terus dilakukan walaupun ekonomi negara telah kembali pulih, sudah tentu ia akan menjejaskan matlamat asal KWSP. Kesannya kelak ramai yang akan bersara dengan jumlah simpanan KWSP terlalu rendah dan mungkin akan menjadi pesara yang miskin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambahnya, berdasarkan data yang diperoleh daripada KWSP, 50 peratus pencarum yang mempunyai simpanan kurang RM10,000 itu hanya boleh berbelanja RM42 sebulan untuk tempoh 20 tahun persaraan.

    Sebelum ini, bagi mengurangkan beban kewangan rakyat ketika pandemik COVID-19 melanda, kerajaan telah membenarkan beberapa siri pengeluaran wang simpanan KWSP melalui kemudahan i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra dengan jumlah pengeluaran sebanyak RM101.1 bilion. – BERNAMA

  • Bayi sebulan perlu RM50,000 untuk bedah jantung

    Bayi sebulan perlu RM50,000 untuk bedah jantung

    SEORANG bayi berusia sebulan, Ayra Inara Alif Imran memerlukan dana sebanyak RM50,000 untuk menjalani pembedahan jantung segera bagi menyelamatkan nyawanya.

    Bayi yang dilahirkan secara pembedahan pada saat-saat akhir itu dikesan mempunyai masalah saluran darah di bahagian jantung yang sempit sehingga bekalan oksigen di dalam badannya tersekat.

    Lebih malang menurut Pengerusi pertubuhan kebajikan, One Hope Charity and Welfare Bhd., Datuk Chua Sui Hau, Ayra Inara turut dikesan menghidap masalah buah pinggang.

    Katanya, ketika ini bayi tersebut ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) di sebuah hospital dan perlu menggunakan bantuan pernafasan serta ubat untuk mengembangkan saluran darah jantungnya bagi membolehkan bekalan oksigen dibekalkan ke seluruh tubuh khususnya di bahagian bawah badan.

    Ujar Sui Hau, penggunaan ubat yang berterusan bagaimanapun memburukkan masalah buah pinggangnya pembedahan jantung perlu dijalankan terlebih dahulu bagi mengatasi masalah itu.

    “Sepatutnya pembedahan Ayra Inara dilakukan di IJN (Institut Jantung Negara) atau Hospital Serdang (Selangor) namun memakan masa selain hospital tersebut digunakan sebagai pusat rawatan Covid-19 ketika ini.

    “Maka, satu pembedahan jantung perlu dibuat di hospital swasta dengan kos yang dianggarkan mencecah RM50,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Jelas Sui Hau, bapa bayi tersebut, Alif Imran Abd. Aziz, 25, bekerja sebagai operator kilang manakala ibunya, Alkma Nordin, 25, merupakan pembantu klinik gigi swasta dengan masing-masing berpendapatan RM1,500 dan RM1,000.

    Katanya, pasangan suami isteri itu juga memiliki seorang lagi anak berusia tiga tahun yang kini dijaga oleh neneknya dan mereka tidak mampu mengumpul dana bagi membiayai kos pembedahan itu.

    “Kami bersetuju membantu pasangan itu mengutip dana daripada orang awam dan menguruskan pembedahan Ayra Inara.

    “Sumbangan boleh disalurkan menerusi laman sesawang www.onehopecharity.org atau melalui applikasi One Hope Charity menerusi akaun Public Bank Berhad di nombor 3201428817,” katanya.

  • Sokong RUU Pindaan Akta 342, jangan tempangkan KKM – Khairy

    Sokong RUU Pindaan Akta 342, jangan tempangkan KKM – Khairy

    SEMUA Ahli Parlimen termasuk daripada blok pembangkang diminta menyokong Rang Undang-undang (RUU) Pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana pindaan berkenaan bakal bertindak sebagai “senjata” tambahan dalam menghadapi pandemik COVID-19.

    Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata beliau telah memberi taklimat kepada kepada Ahli-ahli Parlimen pada Isnin lepas, mengenai garis panduan serta beberapa syarat yang perlu dipatuhi dalam pindaan itu sebelum jumlah kompaun dikeluarkan atas setiap kesalahan atau pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) pandemik COVID-19.

    Katanya garis panduan itu turut melindungi daripada berlakunya kompauan yang terlalu zalim kepada rakyat.

    “Tak kanlah kita nak bagi kompaun RM10,000 kalau tidak pakai pelitup muka. Ada syarikat pendapatan berbilion ringgit setahun, jadi kalau akta sedia ada hanya membenarkan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) memberi kompaun RM1,000 kepada kilang yang telah banyak kali menjadi kluster, setelah kita buat penilaian kalau itu silap mereka patutlah ambil tindakan.

    ‘’Jadi saya minta jangan tempangkan KKM, kalau sekiranya kita tidak dapat pindaan ini. Dari segi perhalusan atau penelitian kita ada garis panduan, ada peraturan dan saya sudah maklumkan kepada pembangkang dan juga semua Ahli Parlimen saya akan bawa garis panduan itu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas,” katanya.

    Khairy berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Cadangan Membina dan Menyiapkan Hospital Baharu Sri Aman Fasa 2 yang turut dihadiri oleh Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, di Sri Aman, hari ini.

    Pembangunan projek hospital itu terbahagi kepada dua fasa iaitu fasa pertama terdiri daripada skop Kerja Tanah yang melibatkan Kerja Rawatan Tanah dengan kos projek berjumlah RM8 juta.

    Fasa kedua yang melibatkan skop Kerja Bangunan Hospital baharu, kuarters dan bangunan sokongan dengan kos kontrak semasa sebanyak RM181.4 juta.

    Mengulas lanjut, Khairy turut menolak dakwaan pembangkang pindaan akta tersebut bersifat punitif.

    “Kita dah ada garis panduan supaya tidak ada penyalahgunaan kuasa dan saya merayu untuk bawa pindaan ini kali ini sebab esok hari terakhir (sidang dewan rakyat)  kalau tidak kena tunggu sampai bulan tiga (Mac) tahun depan, kita tidak tahu apa yang akan berlaku dalam dua bulan akan datang dengan Omicron dan sebagainya.

    ‘’Saya tidak mahu jadi punitif…punitif ini last resort (pilihan terakhir) tetapi kita perlu ada semua senjata hadapi pandemik ini. Vaksinasi kita ada, langkah-langkah awal ada, SOP ada, kawalan tetapi tak kan soal isu denda tidak ada?,” soal beliau. – BERNAMA

  • Caj RM1 pengeluaran wang antara bank  dilaksanakan semula Februari

    Caj RM1 pengeluaran wang antara bank dilaksanakan semula Februari

     CAJ sebanyak RM1 untuk pengeluaran wang antara bank di mesin akan dilaksanakan semula pada Februari.

    Semakan menunjukkan bahawa Maybank, CIMB, Citibank, HSBC dan beberapa bank lain telah mengumumkan di saluran media sosial masing-masing bahawa yuran berkenaan akan dilaksanakan semula, lapor portal Free Malaysia Today.

    Kerajaan memperkenalkan pengecualian caj pada sistem MEPS pada 6 April 2020. OCBC dan UOB bagaimanapun mengecualikan yuran sebulan lebih awal.

    Langkah itu bagi membolehkan orang ramai mengeluarkan wang tunai daripada ATM yang berkongsi sistem MEPS semasa perintah kawalan pergerakan tanpa perlu membayar caj RM1.

    Satu kenyataan di laman web Maybank berbunyi:

    “Sila maklum bahawa mulai 1 Februari 2022, caj transaksi RM1 untuk pengeluaran Wang Tunai Antara Bank di ATM akan dilaksanakan semula oleh semua bank. Pelanggan Maybank masih boleh mengeluarkan wang tunai tanpa caj di mesin ATM Maybank.”

    Caj RM1 adalah di bawah Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), yang pemegang saham terbesarnya ialah Bank Negara Malaysia. Baki sahamnya pula dipegang oleh konsortium 11 bank.

  • Program Outreach Keusahawanan dan Pendidikan KPLB di Padang Terap Sabtu ini

    Program Outreach Keusahawanan dan Pendidikan KPLB di Padang Terap Sabtu ini

    Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan menganjurkan Program Outreach Keusahawanan dan Pendidikan KPLB@Padang Terap pada Sabtu ini di Pusat Komuniti Padang Kerasak, Nika, Kedah.

    Program yang akan disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid yang juga Ahli Parlimen Padang Terap itu merupakan platform untuk mempromosikan kemudahan serta insentif merangkumi pendidikan dan keusahawanan dan sebagainya yang disediakan oleh KPLN dan agensi di bawahnya seperti KEMAS, MARA, RISDA, FELCRA Berhad dan KEDA.

    Bagi usahawan luar bandar yang ingin meluaskan jangkauan perniagaan, KPLB dan Agensi turut menawarkan platform akses pasaran produk / perkhidmatan usahawan luar bandar kepada pemborong, pengedar dan pembeli selain meningkatkan daya saing dan kebolehpasaran produk luar bandar serta meneroka peluang baharu.

    Servis motosikal percuma (sehingga 200 motosikal) turut diadakan oleh GIATMARA selain perkhidmatan gunting rambut dan solekan, dandanan dan hiasan kuku oleh GIATMARA dan KEMAS.

    Bagi lepasan pelajar sekolah dan belia yang ingin menyambung pengajian, sesi penerangan dan pendaftaran oleh institusi di bawah agensi seperti UniKL, KPTM, IKM, GiatMARA, Kolej FELCRA, Kolej KEDA dan UCAM turut dibuka.

    Program dibuka kepada orang ramai bermula jam 10 pagi hingga 5 petang.

  • Tun Mahathir gesa adakan perbincangan peranan Raja Berperlembagaan

    Tun Mahathir gesa adakan perbincangan peranan Raja Berperlembagaan

    BEKAS  Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa perbincangan awam dibuat melibatkan hal ehwal dan peranan sistem Raja Berperlembagaan.

    Gesaan itu dibuat dalam buku autobiografi terkininya Capturing Hope sewaktu membincangkan soal hubungan kaum dalam “Malaysia Baru”, lapor Malaysiakini.

    Mengakuinya sebagai subjek yang sukar, Dr. Mahathir berkata, beliau seorang yang percayakan kepada sistem itu, tetapi perbincangan mesti dibuat.

     “Malaysia sebuah negara Raja Berperlembagaan dan ini termaktub dalam Perlembagaan. Perlembagaan juga menyebut bahawa pemerintahan beraja mempunyai beberapa peranan, seperti juga kepimpinan politik dan rakyat.

    “Semua peranan dan tanggungjawab ini disebut jelas dalam Perlembagaan dan tiba masanya untuk kita perbincangan di peringkat kebangsaan berkaitan hal ehwal Raja Berperlembagaan dan peranan Perlembagaan yang sesuai, yang tertakluk ke atas raja-raja,’’ katanya.

    Dr.Mahathir berkata, raja-raja tidak patut terlibat dalam politik dan perniagaan.

    Beliau mendakwa terdapat pihak menggunakan nama istana untuk mendapat kelebihan yang tidak adil dalam bidang itu.

    Bagaimanapun, pendirian Dr. Mahathir dalam isu penglibatan raja-raja dalam politik tidak dinyatakan secara hitam putih dalam buku itu.

    Contohnya, Dr. Mahathir juga percaya orang Melayu tidak maju kerana sifat “berserah hampir feudal kepada kerabat diraja dan orang bergelar”.

    Katanya orang Melayu juga cenderung mendapatkan perlindungan daripada raja-raja jika ada sesuatu yang tidak kena.

    Sementara itu mengulas pelantikan Perdana Menteri baru selepas beliau meletakkan jawatan pada Februari 2020, beliau  percaya Agong bertindak secara betul dengan menentukan sokongan majoriti secara akuan berkanun.

    Bagaimanapun beliau mempersoalkan keputusan memilih Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai penggantinya.

    Dr. Mahathir mendakwa beliau mempunyai sokongan yang paling banyak ketika itu.

    Dalam buku itu, Dr. Mahathir juga lantang terhadap Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

    Sebelum menyarankan perbincangan awam berkaitan institusi raja-raja, Dr. Mahathir juga mengimbas kembali kes penyampai radio Patrick Teoh yang ditangkap dan dituduh di mahkamah atas dakwaan menghina TMJ dan kerabat diraja dalam media sosial.

    “Tiada undang-undang yang melindungi seorang putera mahkota itu daripada kritikan awam.  Betul, kamu tidak boleh cakap benda buruk kepada raja-raja, tetapi tiada undang-undang yang meletakkan putera mahkota dalam kedudukan kedudukan tinggi yang sama.

    “Tambahan pula, putera mahkota (Johor) terlibat dalam politik dan perbahasan politik, dia sekurang-kurangnya mesti bersedia untuk dikritik,” katanya.

    Veteran politik 90-an itu berkata TMJ sepatutnya memfailkan saman fitnah terhadap Teoh jika merasa dihina.

    “Bagaimanapun, urusan dengan Putera Mahkota menunjukkkan bahawa rakyat tidak boleh komen berkaitan raja-raja termasuk jika sesuatu kesalahan dilakukan. Perkara ini tidak boleh diterima,” katanya yang juga Ahli Parlimen Langkawi.