Category: Umum

  • KKM jangka pertambahan kes positif COVID-19 di Pusat Penempatan Sementara – KJ

    KKM jangka pertambahan kes positif COVID-19 di Pusat Penempatan Sementara – KJ

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menjangka peningkatan kes positif COVID-19 di pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh negara, susulan bencana banjir yang berlaku di Malaysia ketika ini.

    Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata ini berikutan keadaan PPS yang dianggap berisiko tinggi serta langkah dan pematuhan kesihatan awam yang tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya ketika berdepan musibah banjir. 

    “Dalam kita menyelamat mangsa banjir ini, keutamaan adalah untuk menyelamatkan mereka dan kadang kala memang tak dapat elakkan beberapa perkara yang sepatutnya dibuat dalam langkah kesihatan awam tidak dapat dipatuhi,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

    Khairy berkata sehingga 11 pagi tadi, 181 kes dikesan positif COVID-19 di PPS seluruh negara melibatkan 117 kes di Selangor, Pahang (52), Kelantan (enam), Kuala Lumpur (empat) dan masing-masing satu di Negeri Sembilan dan Melaka. 

    Hasil saringan di PPS itu juga mendapati kebanyakan kes adalah daripada kategori satu dan dua dengan kesemua mereka dipindahkan ke hospital, Pusat Kuarantin & Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) atau kemudahan yang ditentukan iaitu PPS khusus untuk mereka yang mempunyai kes COVID-19.

    Menurut Khairy, KKM juga mengenal pasti 206 mangsa banjir sebagai kontak rapat dan mereka juga telah dipindahkan ke PPS yang khusus serta hospital.

    Bagi menghadapi pertambahan kes COVID-19, Khairy berkata sistem kesihatan awam telah disiap sedia untuk menerima lebih ramai pesakit disebabkan musibah banjir yang melanda ini. 

    “Kita akan tambah bilangan pasukan KKM di lapangan. Kita akan teruskan dengan saringan-saringan di PPS supaya kita dapat kenal pasti mereka yang positif COVID-19 dan mereka diasingkan dan kontak rapat mereka juga telah dikenal pasti dan diasingkan,” katanya. 

    Selain itu, bekalan pelitup muka, cecair pensanitasi tangan dan pelbagai keperluan lain juga telah dihantar ke semua PPS sejak dua hari lepas. – BERNAMA

  • Azman Mokhtar dilantik Pengerusi baharu Tabung Haji

    Azman Mokhtar dilantik Pengerusi baharu Tabung Haji

    BEKAS Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Azman Mokhtar dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) berkuat kuasa hari ini.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, Azman mempunyai pengalaman luas dalam menguruskan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan korporat.

    Katanya, selain Khazanah Nasional beliau pernah dilantik Pengerusi Pusat Pendidikan Antarabangsa Kewangan Islam (INCEIF) dan Pengerusi Axiata Group Berhad.

    Selain itu, beliau juga terlibat dalam majlis kebangsaan seperti Majlis Pemulihan Negara, Majlis Kemakmuran Bumiputera dan Majlis Tindakan Kemakmuran Bersama.

    “Beliau juga merupakan felo pelawat terhormat Pusat Pengajian Pembangunan Universiti Cambridge dan Pengerusi Lembaga Pengarah UTM,” katanya dalam kenyataan.

    Idris berkata, pelantikan Azman tertakluk di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535), dengan beliau dan Lembaga TH akan bertanggungjawab untuk mentadbir perkara berkenaan dengan urusan jemaah haji.

    “Beliau juga bertanggungjawab ke atas tadbir urus korporat termasuk hala tuju pembangunan strategik TH.

    “Saya mengucapkan tahniah kepada beliau di atas pelantikan ini. Semoga Allah SWT sentiasa memandu setiap gerak kerja yang dilakukan,” katanya.

    Azman dilahirkan pada 23 Jan 1961 di Melaka, kemudian mendapat pendidikan tinggi peringkat Diploma Siswazah dalam Kajian Islam (UIA) dan Kursus Sarjana Falsafah dalam Kajian Pembangunan (Kolej Darwin, Universiti Cambridge United Kingdom) melalui biasiswa Chevening.

    Azman juga adalah felo Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA), United Kingdom, serta ahli profesional Penganalisis Kewangan Bertauliah (CFA).

    Antara 1994 dan 1998, beliau merupakan Pengarah dan Ketua Penyelidikan untuk Union Bank of Switzerland di Malaysia sebelum menjadi Ketua Penyelidikan di Salomon Smith Barney yang berpusat di Malaysia antara 1998 hingga 2002.

    Beliau kemudian menjadi Pengarah Urusan BinaFikir Sdn Bhd sehingga Mei 2004 sebelum menyertai Khazanah Nasional.

  • MRA gerakkan bantuan kepada mangsa banjir di seluruh negara

    MRA gerakkan bantuan kepada mangsa banjir di seluruh negara

    MALAYSIAN Relief Agency (MRA) sebagaimana pada tahun sebelumnya telah menggerakkan usaha di seluruh negara untuk menghantar bantuan di negeri-negeri yang terjejas teruk banjir.

    Presidennya, Dr Mohd Daud Sulaiman berkata, bantuan awal yang difokuskan oleh MRA adalah membekalkan pek makanan, pek makanan panas, bekalan air minuman, pek kebersihan dan keperluan bayi serta wanita untuk kegunaan mangsa yang tinggal di PPS.

    “Pada tahun lepas, MRA telah menghantar bantuan banjir dengan jumlah RM 620,000. Justeru pada tahun ini MRA menyasarkan sumbangan bantuan bencana banjir RM1 juta daripada orang awam dan syarikat korporat yang bermurah hati,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Menurut beliau, sebagai permulaan operasi bantuan bencana banjir ini, MRA telah menerima sumbangan awal dana fasa kecemasan banjir sebanyak RM120,000 daripada Celcom Axiata Berhad.

    “Sumbangan ini akan dikhususkan untuk membeli peralatan kebersihan seperti pam air, jet air, penjana kuasa dan peralatan keselamatan diri yang amat diperlukan sewaktu menghantar bantuan.

    “Selain peralatan, sumbangan tersebut telah dimanfaatkan juga dalam bentuk pek makanan asas berserta air minuman dan diagihkan kepada 200 buah keluarga yang terjejas banjir di Kampung Pasir Baru, Klang Lama malam tadi.

    “Sumbangan orang ramai boleh disalurkan ke Tabung Bantuan Kecemasan Mengharungi Monsun MRA menerusi akaun CIMB Bank – Malaysian Relief Agency (No. akaun: 86000 59478),” jelas Dr Mohd Daud.FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare

  • Pindah mangsa ke PPS secepat mungkin fokus Tentera Darat  – Hishammuddin

    Pindah mangsa ke PPS secepat mungkin fokus Tentera Darat – Hishammuddin

    ANGGOTA-anggota tentera digerakkan ke semua kawasan banjir sejak tiga hari lepas bagi membantu mangsa-mangsa.

    Hari ini  pasukan tentera tiba di Klang Utama untuk membantu mangsa banjir selepas beberapa hari terkandas akibat hujan lebat berterusan sejak Sabtu lalu yang menyaksikan ribuan penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

    Dalam catatan di Twitter, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago mengesahkan anggota tentera akan bekerjasama dengan kakitangannya untuk membantu penduduk terjejas.

    Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata, beliau sudah memberi taklimat kepada Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Mohd Zakaria Yadi mengenai situasi di Klang.

    “Terima kasih, Datuk Seri atas maklum balas pantas. Ya, saya telah bercakap dengan Datuk Mohd Zakaria malam tadi. Pagi ini tentera berada di Klang Utama untuk memulakan operasi dan bekerja dengan kakitangan saya. Kita perlu memberikan sokongan kepada Sri Muda sebaik sahaja kerja di sini selesai,” balas Santiago di Twitter.

    Sementara Hishammuddin dalam Facebooknya memaklumkan, fokus anggota Tentera Darat Malaysia ialah untuk pastikan kesemua mangsa yang terkandas dapat dipindahkan secepat mungkin ke PPS.

    ‘’Alhamdulillah, ramai yang telah dapat dipindahkan sejak semalam (Sabtu) dan usaha ini masih giat dilaksanakan – dalam apa jua keadaan, keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,’’ katanya.

  • ”Lillahi Taala…saya tak guna aset kerajaan” – Jovian

    ”Lillahi Taala…saya tak guna aset kerajaan” – Jovian

    MENANTU  kepada Perdana Menteri , Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob iaitu Datuk Jovian Mandagie, menafikan dirinya menggunakan helikopter milik kerajaan untuk kegunaan peribadi bagi menyelamatkan diri daripada terkandas akibat banjir.

    Menerusi hantaran di Instagram rasminya, Jovian yang juga pereka fesyen terkenal menegaskan, dia tidak akan sesekali menggunakan harta benda yang bukan miliknya selain menganggap tuduhan terbabit satu fitnah.

    “Isu helikopter, tak perlu dipanjangkan. Bukan nak menunjuk, kalau nak menunjuk saya dah ‘posing’ dan buat video serta bergambar sakan. Siapa yang kenal saya, mereka tahu saya bukan seperti itu. Saya tak guna aset kerajaan, Lillahi Taala. Tak mungkin saya akan guna benda yang bukan hak saya.

    “Kalian nak maki hamun saya silakan, tapi itu adalah fitnah. Kenapa tak guna helikopter untuk bantu orang ramai? Jawapannya, itu adalah helikopter komersial, jadi tak boleh nak buka pintu dan turunkan bantuan atau naikkan mangsa,” tulisnya dalam perkongsian itu lapor Berita Harian.

    Menurut Jovian lagi, jika kehadirannya menimbulkan rasa kurang senang kepada segelintir pihak, dia berharap individu terbabit boleh berhenti mengikuti perkembangannya di media sosial.

    “Kalau awak tak suka saya, jangan ikuti saja (di media sosial). Lebih baik bantu negara daripada terus menghentam perkara yang tidak betul terhadap saya.

    “Terdapat banyak lagi perkara yang perlu dilaksanakan untuk membantu rakyat di luar sana. Betul orang memang tengah sengsara, kalau nak sertai turun padang agihkan makanan ‘roger’ saya,” katanya.

    Terdahulu Jovian mendakwa difitnah apabila dia dikatakan menaiki helikopter kerana status sebagai menantu kepada Perdana Menteri.

    Disebabkan itu, Jovian juga dikatakan mendapat akses mudah untuk menyelamatkan diri daripada terkandas akibat banjir yang berlaku di Lembah Klang ketika ini.

  • Polis, bomba sahkan tiada kejadian 16 hanyut di Telemong

    Polis, bomba sahkan tiada kejadian 16 hanyut di Telemong

    POLIS menafikan mesej tular menerusi media sosial hari ini mengatakan 16 orang hanyut dengan lima daripadanya masih hilang kononnya berlaku di Telemong, Bentong.

    Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, orang ramai diminta berhenti menyebarkan mesej tersebut bagi mengelak kegusaran terutamanya dalam situasi genting yang sedang berlaku kini.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Ismail Abdul Ghani juga mengesahkan tiada kejadian itu berlaku dan tidak menolak kemungkinan ia dilakukan pihak tidak bertanggungjawab dengan menggunakan gambar lama yang tidak berkaitan dengan banjir yang sedang berlaku.

    Hari ini, tular menerusi WhatsApp dan Facebook gambar seorang anggota bomba dalam keadaan berbalut di bahu sedang duduk dengan keterangan ‘dekat Telemong Pahang, 16 orang hanyut, 10 dapat diselamatkan, satu meninggal dan lima lagi masih dicari. Allahu’.

    Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu mengesahkan setakat ini tiada laporan diterima mengatakan terdapat kejadian maut akibat terkena renjatan elektrik di Batu 3, di sini akibat banjir.

    Dakwaan itu tersebar dalam kalangan mangsa banjir yang berada di beberapa pusat pemindahan sementara di sini. – Bernama
     

  • 472 kawasan Lembah Klang alami gangguan bekalan air

    472 kawasan Lembah Klang alami gangguan bekalan air

    SEBANYAK 472 kawasan di wilayah Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan banjir di beberapa kawasan di Lembah Klang.

    Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa dua loji rawatan air (LRA) terpaksa dihentikan operasi iaitu LRA Langat 2 kerana penutupan bekalan elektrik kecemasan di muka sauk Semantan dan LRA Cheras Batu 11 akibat banjir.

    LRA Sungai Langat pula hanya beroperasi pada pengeluaran bekalan air separa kerana peningkatan paras kekeruhan air yang tinggi menyebabkan ia hanya boleh mengeluarkan 40 peratus sahaja berbanding pengeluaran harian.

    “Air Selangor tidak dapat menggerakkan bantuan bekalan air melalui alternatif lori tangki air kepada pengguna dan premis-premis kritikal di kawasan yang terjejas berikutan penutupan beberapa jalan utama ekoran situasi banjir yang meningkat,” menurut kenyataan itu.

    Air Selangor juga belum dapat memastikan jangkaan masa untuk ketiga-tiga LRA itu kembali beroperasi sepenuhnya di kawasan terjejas.

    Ia akan memaklumkan perkembangan berkaitan insiden itu dari semasa ke semasa dan para pengguna boleh boleh mendapatkan senarai kawsan yang terlibat menerusi laman sesawang http://hentitugas.airselangor.com/ dan aplikasi Air Selangor. – BERNAMA

  • Bersatu sumbang RM1 juta, ahli dikerah bantu mangsa banjir

    Bersatu sumbang RM1 juta, ahli dikerah bantu mangsa banjir

    PERHIMPUNAN Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berlangsung hari ini tidak dapat dielakkan, kerana ia adalah kehendak perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan 1966.

    Bagaimanapun, Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sejurus selesai perhimpunan, kesemua jentera parti akan turun ke kawasan terjejas untuk membantu mangsa banjir.

    Ketika berucap merasmikan PAT Bersatu di ibu negara hari ini, bekas Perdana Menteri itu berkata, Bersatu akan menyalurkan dana permulaan RM1 juta untuk Tabung Bantuan Mangsa Banjir 2021.

    “Di awal ucapan saya ini saya ingin melahirkan rasa dukacita di atas bencana banjir yang sedang melanda negara kita pada masa ini. Hujan lebat yang bermula semalam dan berterusan sampai hari ini telah menyebabkan beberapa buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, dan Wilayah Persekutuan ditenggelami air.

    “Ramai juga terkandas, kenderaan mereka juga rosak kerana dimasuki air dan sebagainya… kesemuanya memerlukan kita mengeluarkan dan memberikan perhatian untuk mebantu mangsa mangsa banjir yang terlibat ini,” katanya lagi.

    Awal hari ini media melaporkan, lebih 14,000 mangsa banjir berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dengan Pahang mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 5,189 orang pagi ini.

    Selain itu, Jabatan Metereologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan hujan sangat lebat berterusan tahap bahaya diramal berlaku hari ini di beberapa kawasan di Kuala Lumpur, Perak, Pahang dan Selangor.

  • KPLB peruntuk RM1.92 juta bantu usahawan luar bandar pulihkan perniagaan terjejas

    KPLB peruntuk RM1.92 juta bantu usahawan luar bandar pulihkan perniagaan terjejas

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB), memperuntukkan sejumlah RM1.92 juta bagi membantu usahawan luar bandar memulihkan semula perniagaan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, peruntukan itu disalurkan menerusi program khas Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB).

    “Program Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar tersebut turut menjadi salah satu inisiatif di bawah Strategi Memperkukuh Program Sokongan Keusahawanan Luar Bandar, Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari.

    “Bermula September lalu, KPLB telah melaksanakan Program Sokongan SPKLB Re-Start yang bertujuan untuk membantu usahawan luar bandar yang terjejas akibat Covid19 bagi memulakan semula perniagaan mereka dengan penyediaan geran bantuan dalam bentuk pembelian, pembaikan aset, mesin, peralatan, modal pusingan dan pengubahsuaian premis dengan nilai RM3,000 hingga RM5,000,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Outreach Keusahawanan dan Pendidikan KPLB di Kompleks Komuniti Padang Kerasak di Naka, Padang Terap hari ini.

    Turut hadir, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun.

    Menurut Mahdzir, setakat ini sejumlah 400 usahawan luar bandar di seluruh negara telah menerima manfaat daripada geran program SPKLB.

    Beliau memberitahu program tersebut diperkenalkan pada tahun 2019 dengan menyediakan geran penuh kepada usahawan bagi menampung kos operasi dan keperluan modal pusingan bagi meneruskan kelangsungan perniagaan.

    ”Selain menyediakan latihan, kursus dan kejurulatihan yang bersesuaian kepada usahawan yang komited mengembangkan perniagaan mereka.

    “Program SPKLB disasarkan kepada usahawan luar bandar yang komited meningkatkan taraf hidup dan ekonomi selain menggalakkan usahawan untuk membangunkan produk dan perkhidmatan yang bernilai tinggi bagi meluaskan pasaran produk mereka,” katanya.

    Pada majlis itu, Mahdzir turut menyempurnakan Simbolik Penyerahan Geran Bantuan SPKLB kepada 400 usahawan di seluruh negara, menyampaikan bantuan gajet pembelajaran kepada 50 pelajar dan cermin mata kepada 100 pelajar dari keluarga B40.

    Turut disampaikan, bantuan wang saku persekolahan kepada 300 pelajar sekitar daerah Padang Terap dan Bantuan Bakti Desa KPLB kepada 204 orang pelajar berjumlah RM204 ribu.

  • 11 kes import disahkan varian Omicron, kumulatif kini 13 kes

    11 kes import disahkan varian Omicron, kumulatif kini 13 kes

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengesahkan 11 lagi kes varian Omicron di Malaysia yang kesemuanya kes import dari lima negara, menjadikan jumlah kumulatif varian itu di negara ini kepada 13 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan berkata tiga kes adalah dari United Kingdom, Amerika (tiga), Nigeria (dua), Arab Saudi (dua) dan Australia (satu).

    “Ini sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes import yang disahkan varian Omicron adalah 13 kes,” katanya. 

    Menurut Dr Noor Hisham, daripada 11 kes yang disahkan varian Omicron itu sembilan kes melibatkan warganegara Malaysia manakala dua kes adalah warganegara Nigeria. 

    Beliau berkata lapan kes mempunyai gejala namun hanya pada tahap kategori dua manakala tiga lagi kes tidak bergejala. 

    Lima kes telah menjalani kuarantin di rumah manakala enam kes menjalani kuarantin di stesen kuarantin, katanya. 

    Dr Noor Hisham berkata kesemua kes ini sedang dalam siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca jangkitan dan kontak rapat. 

    Beliau berkata 11 kes yang disahkan varian Omicron hari ini merupakan sebahagian daripada 18 kes yang disyaki Omicron seperti diumumkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada Khamis lepas. 

    “Tujuh lagi sampel bagaimanapun tidak dapat disahkan varian Omicron memandangkan ujian jujukan genom penuh tidak berjaya dijalankan. Ini disebabkan tahap ‘viral load’ yang rendah dalam sampel-sampel yang diterima,” katanya. 

    Menurut Dr Noor Hisham, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah mengesan 13 lagi kes import yang menunjukkan kemungkinan varian Omicron pada Jumaat 17 Disember. 

    Beliau berkata dengan peningkatan kes import varian Omicron di Malaysia, KKM mempertingkatkan lagi aktiviti kawalan dan pencegahan COVID-19 di semua pintu masuk antarabangsa dan di dalam komuniti. 

    KKM menggalakkan supaya setiap individu mengambil dos penggalak vaksin COVID-19 agar tahap perlindungan yang optimum dapat dicapai bagi mengekang penularan pandemik berkenaan, katanya. 

    — BERNAMA