Category: Umum

  • Warga SPRM sokong kepimpinan Azam Baki

    Warga SPRM sokong kepimpinan Azam Baki

    WARGA kerja Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menyatakan pendirian menyokong kepimpinan Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Azam Baki.

    Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Seri Norazlan Mohd Razali dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Datuk Junipah Wandi.

    “Kami mewakili seluruh warga SPRM menyatakan pendirian kami menyokong kepimpinan Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Azam Baki.

    “Warga SPRM tetap bersatu hati dalam mempertahankan institusi Ketua Pesuruhjaya dan SPRM demi kelangsungan pencegahan rasuah di negara tercinta,” katanya.

    Sebelum ini, tular di media sosial mengenai dakwaan Azam memiliki kepentingan dan pemilikan saham dalam beberapa syarikat dan pada Rabu lepas, Azam dalam sidang media menafikan tuduhan mempunyai kawalan ke atas banyak syarikat termasuk syarikat konglomerat, serta menyifatkannya sebagai tohmahan yang berniat jahat.

    Azam berkata, saham-saham itu dibeli melalui pasaran terbuka oleh adiknya yang menggunakan pembiayaannya dan saham-saham syarikat yang dibeli oleh adiknya itu juga tiada kaitan dengan siasatan oleh SPRM.

    Dalam sidang media berasingan hari yang sama, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Tan Sri Abu Zahar Ujang menyatakan LPPR, satu daripada lima badan pemantau bebas SPRM, mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau percanggahan kepentingan membabitkan Azam dalam urus niaga saham pada 2015.

    Semalam (8 Jan), enam anggota LPPR memaklumkan bahawa kenyataan media yang dikeluarkan oleh Abu Zahar pada Rabu berhubung kontroversi melibatkan Azam itu, tidak menggambarkan pandangan sebenar mereka.

    Dalam kenyataan yang ditandatangani bersama, mereka berkata, kenyataan Abu Zahar dalam sidang media itu, termasuk kenyataan beliau bahawa tiada perbuatan jenayah dilakukan atau berlaku konflik kepentingan dalam kes itu, adalah pandangan peribadi pengerusi LPPR itu semata-mata.

    Kenyataan itu ditandatangani oleh Tan Sri Ismail Omar; Datuk Seri Azman Ujang; Datuk Seri Akhbar Satar; Datuk Dr Hamzah Kassim; Datuk David Chua Kok Tee; dan Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

    Dalam pada itu, ketiga-tiga pengurusan tertinggi SPRM dalam kenyataan hari ini turut menggesa semua pihak menghentikan kemelut tersebut dan membiarkan proses undang-undang berjalan secara adil, telus dan saksama.

    “Kami berpendirian bahawa tohmahan dan serangan yang dibuat adalah bermotifkan politik dendam bagi menjatuhkan imej dan kredibiliti SPRM,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

  • Kementerian Pendidikan lanjut pengecualian sewa kantin

    Kementerian Pendidikan lanjut pengecualian sewa kantin

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) bersetuju melanjutkan pengecualian sewaan kantin bagi tempoh enam bulan bermula Januari hingga Jun 2022.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, lanjutan pengecualian sewaan juga diberikan untuk tempoh yang sama bagi sewaan premis, kedai buku, koperasi, kedai dobi, mesin minuman air (vending machine) di sekolah di bawah KPM.

    “Kita terima banyak permohonan pengusaha kantin sebelum ini yang meminta supaya diberi sekali lagi pengecualian sewaan kantin.

    “Justeru, kita membuat keputusan untuk memberi pengecualian sewaan selama enam bulan termasuk premis-premis yang berada dalam sekitar sekolah,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan pengoperasian sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, Kota Bharu hari ini.

    Terdahulu, Radzi mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Zainab 1 dan SK Zainab 2 sempena pengoperasian sekolah di Kelantan bagi Penggal 3, 2021/2022.

    Pada Julai tahun lepas, KPM memberi pengecualian sewaan kantin dan premis atau ruang bagi tempoh enam bulan hingga akhir 2021 akibat penutupan sekolah.

    Sementara itu, ditanya mengenai sama ada tempoh kaedah penggiliran akan diteruskan, Radzi berkata pendekatan yang diambil KPM adalah secara progresif dan cermat sebelum membuat sesuatu keputusan.

    “Kalau boleh kami di KPM tidak mahu ada kaedah penggiliran tetapi memandangkan situasi semasa penularan COVID-19 termasuk varian Omicron, kami berpandangan kaedah ini perlu diteliti terlebih dahulu dari semasa ke semasa,” katanya.

    Radzi turut menegaskan sekali lagi kepada ibu bapa yang tidak membenarkan anak-anaknya hadir ke sekolah supaya memaklumkan kepada pihak sekolah untuk tindakan lanjut.

    “KPM bersifat terbuka sekiranya terdapat murid-murid yang tidak dapat hadir ke sekolah tetapi perlu mempunyai alasan untuk tidak menghantar anak ke sekolah.

    “Ini adalah untuk memudahkan pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh murid terbabit,” katanya.

    Seramai 1.18 juta murid bagi kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu memulakan sesi persekolahan hari ini bagi penggal ketiga, 2021/2022. Bagaimanapun, 31 sekolah di Johor yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) dan masih dilanda banjir tidak akan dibuka. 

    Bagi sekolah di negeri kumpulan B iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya akan mula dibuka esok, 10 Jan. – BERNAMA

  • Lelaki maut dibaham harimau belang di Gua Musang

    Lelaki maut dibaham harimau belang di Gua Musang

    SEORANG lelaki Orang Asli maut dibaham harimau dalam kejadian di Kampung Sau dekat Pos Bihai, di sini, jam 9 pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata mangsa dikenali sebagai Anek Bin Along berusia 59 tahun.

    Beliau berkata polis menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 1.30 tengah hari daripada kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan dan maklumat itu kemudiannya disahkan oleh pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

    “Berdasarkan maklumat yang diterima kejadian berlaku ketika mangsa keluar membuang air kecil di belakang rumah manakala anak perempuannya sedang menumbuk padi di belakang rumahnya kira-kira pukul 9.10 pagi.

    “Ketika itu anak mangsa mendapati bapanya telah tiada dan setelah dipanggil beberapa kali dan mencari di belakang rumah didapati ada kesan darah pada daun-daun pokok berdekatan sebelum memanggil orang kampung untuk mencari bapanya di kawasan hutan dan telah ternampak seekor harimau berdekatan mayat mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Sik berkata penduduk dilaporkan telah membaling lembing ke arah harimau tersebut dan dipercayai terkena di bahagian muka menyebabkan haiwan itu melarikan diri.

    Beliau berkata sepasukan anggota daripada Balai Polis Gua Musang telah ke tempat kejadian pada jam 5.40 petang, bagi membawa keluar mayat mangsa dan dihantar ke Hospital Gua Musang untuk tindakan lanjut.

    Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kelantan Mohamad Hafid Rohani ketika dihubungi berkata harimau belang jantan berusia tiga tahun seberat 120 kilogram (kg) berjaya ditembak mati, selepas cuba menyerang anggotanya yang membuat pencarian di kawasan hutan tempat kejadian pada jam 12.15 tengah hari.

    Katanya tindakan itu terpaksa dijalankan berikutan harimau belang berkenaan telah meluru ke arah pasukan tangkapan jabatan itu.

    “Tindakan ini juga bersesuaian dengan Seksyen 52, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) kerana hidupan liar berkenaan berbahaya kepada nyawa manusia,” katanya.

    — BERNAMA

    P

  • Veteran tentera tak sangka Timbalan Menteri Pertahanan datang rumah

    Veteran tentera tak sangka Timbalan Menteri Pertahanan datang rumah

    SEORANG veteran tentera British tidak menyangka tetamu yang datang menyantuni beliau di rumahnya di Taman Bijaya di Klang hari ini adalah Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz susulan ketiadaan protokol ketika kunjungan itu.

    Abdul Aziz Mohd Amin, 83, berkata Ikmal Hisham yang datang seorang diri secara bersahaja ramah menyapa beliau dan isterinya Nor Azian Abd Wahab, 76, sebelum meluangkan masa kira-kira 15 minit bersama mereka.

    “Memang saya sudah dimaklumkan Timbalan Menteri Pertahanan akan datang ke rumah tapi saya tak sangka orang yang saya leka bersembang itu adalah beliau.

    “Beliau juga bercerita tentang keadaan banjir di Kelantan dan Hulu Langat, tempat yang beliau tinjau sebelum ini sambil tidak putus-putus bertanyakan khabar saya terutama kenapa saya berkerusi roda.

    “Bila menteri datang rumah kita, sudah tentu kita suka. Orang masih ingat pada kita dan dalam ramai-ramai, kita yang terpilih untuk mereka kunjungi,” katanya pada Bernama di rumahnya hari ini.

    Lawatan itu adalah sempena program Cakna Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang turut disertai pegawai kanan ATM termasuk Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad.

    Program itu adalah antara inisiatif Kementerian Pertahanan melalui JHEV ATM bagi menjaga kebajikan veteran yang terkesan akibat banjir.

    Menurut JHEV, seramai 244 veteran ATM terjejas akibat bencana banjir di Selangor dan 46 orang daripada mereka adalah di daerah Klang.

    Ikmal Hisham juga berkata pada tahun lepas, sejumlah 531 mangsa banjir dibantu dengan peruntukan sebanyak RM265,000. – BERNAMA

  • Kekeliruan punca individu tanpa vaksin lepas pemeriksaan

    Kekeliruan punca individu tanpa vaksin lepas pemeriksaan

    MUNGKIN terdapat kekeliruan antara agensi kerajaan yang sepatutnya melakukan pemeriksaan terhadap individu tanpa vaksin yang bebas keluar masuk ke negara ini melalui lapangan terbang antarabangsa.

    Memetik laporan BH, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Jabatan Imigresen tidak seharusnya dipersalahkan dalam isu ini.

    Menurut beliau, setiap individu yang melalui pemeriksaan pasukan berkenaan akan membawa bersama pas pelepasan.

    “Sepatutnya sebelum mereka ambil ‘boarding pass’ (pas pelepasan), di situlah harus ada pemeriksaan sama ada pengembara ini sudah mendapatkan vaksin atau belum sebelum melalui pemeriksaan Jabatan Imigresen.

    “Ketika melalui pemeriksaan Jabatan Imigresen pula, apabila kita sudah melakukan pemeriksaan berkaitan dokumentasi perjalanan dan individu itu memiliki pas pelepasan, maka kita akan benarkan dia lalu,” katanya selepas menghadiri Program Mekar anjuran Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), di Taman Sri Nanding, Hulu Langat, hari ini.

    Hamzah menambah, kejadian seumpama itu iaitu pemeriksaan berkaitan individu yang sudah divaksin atau sebaliknya, adalah sesuatu perkara yang di luar jangkaan dan tidak pernah berlaku sebelum ini, namun akan diperbaiki secepat mungkin.

    “Kita faham ini berkaitan sedikit kekhilafan dan kita sedang menentukan siapa barisan hadapan (agensi kerajaan) yang seharusnya boleh menentukan sama ada individu atau pengembara boleh diberi pas pelepasan atau tidak.

    “Kita akan bincang semula dengan semua syarikat penerbangan supaya jika selepas ini mereka dapat memperbaiki lagi proses pemberian pas pelepasan kepada mana-mana individu atau penumpang, sebagai contoh sebelum pas pelepasan diberikan pekerja di kaunter penerbangan boleh memeriksa sama ada individu itu sudah divaksin atau belum,” jelasnya.

    Beliau turut menyelar pihak tertentu yang cuba menyalahkan agensi kerajaan apabila ada individu positif virus Omicron dan tidak mempunyai rekod vaksinasi COVID-19 bebas keluar masuk dari negara ini, kerana ia sesuatu yang tidak dijangkakan.

  • Tun Mahathir dimasukkan ke IJN sekali lagi

    Tun Mahathir dimasukkan ke IJN sekali lagi

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) hari ini bagi menjalani prosedur perubatan elektif.

    Perkara itu dimaklumkan oleh IJN dalam kenyataan media.

    “Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) terkini, tiada pelawat dibenarkan melawat Tun Mahathir,” jelas IJN.

    Terdahulu, pada 16 Disember, Dr Mahathir dimasukkan ke IJN untuk pemeriksaan kesihatan menyeluruh dan pemantauan lanjut dan dibenarkan keluar seminggu kemudian.

  • Tabika, premis KEMAS jadi Pusat Sehenti semakan kelayakan bantuan pembaikan rumah pasca banjir

    Tabika, premis KEMAS jadi Pusat Sehenti semakan kelayakan bantuan pembaikan rumah pasca banjir

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menjadikan premis dan Tabika KEMAS sebagai Pusat Sehenti semakan kelayakan bantuan pembaikan rumah pasca banjir.

    Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bancian jumlah rumah yang perlu dibaiki dan dibina semula sedang dilakukan dan kerja-kerja pembinaan akan dilaksanakan sebaik sahaja data bancian lengkap.

    “KPLB memutuskan untuk menjadikan premis dan Tabika KEMAS di lokasi banjir sebagai pusat sehenti mulai Selasa depan untuk memudahkan semakan dan pendaftaran kelayakan.

    ‘Sebagai permulaan KPLB akan berada di Tabika KEMAS Bukit Changgang, Banting Selangor selama tiga hari bermula Selasa ini untuk mengemas kini dan menyemak data pemohon yang layak untuk bantuan pembaikan rumah pasca banjir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mahdzir Khalid

    Kata beliau, semua permohonan Ketua Isi rumah (KIR) untuk pembaikan rumah perlu dibuat melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana, PKOB Daerah dan Pejabat Daerah sebelum disah dan didaftarkan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, ICU, Jabatan Perdana Menteri.

    ”KPLB juga menggerakkan semua Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi membantu mengumpul data penduduk yang terkesan dengan bencana banjir untuk diserahkan kepada PKOB daerah. Tempoh pembaikan semula bergantung kepada tahap kerosakan dan akan dilaksanakan oleh Agensi Pelaksana, manakala bagi pembinaan semula rumah tempoh masa yang diambil adalah antara tiga hingga empat bulan bergantung kepada kesediaan tapak,” katanya.

    Mahdzir memberitahu, di bawah Program Bantuan Rumah KPLB, peruntukan sebanyak RM15,000 disediakan untuk baik pulih rumah dan RM56,000 untuk bina baharu rumah di Semenanjung Malaysia manakala RM68,000 bagi wilayah Sabah dan Sarawak.

    “Untuk program pembaikan rumah mangsa banjir, saya dimaklumkan KPLB telah memulakan penilaian kerosakan, dijangka kerja-kerja pembaikan akan bermula esok membabitkan sembilan buah rumah mangsa banjir di Kuala Klawang dan Chennah, Jelebu, Negeri Sembilan”,” katanya.

    KPLB juga kata Mahdzir, pada masa sama menjemput kementerian dan agensi lain yang terlibat dengan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia bagi memudahkan proses menyalurkan bantuan pasca banjir di Pusat Sehenti premis dan Tabika Kemas yang disediakan KPLB.

    Lokasi dan tarikh akan dimaklumkan melalui laman web rasmi KPLB, media sosial rasmi dan Bilik Gerakan Bencana KPLB di talian 03-88915827.

  • PAPUH dedahkan ada mutawif umrah transit di Dubai elak kuarantin

    PAPUH dedahkan ada mutawif umrah transit di Dubai elak kuarantin

    TERDAPAT beberapa individu termasuk mutawif umrah “culas” dengan menjadikan Dubai sebagai negara transit bagi mengelak daripada dikenakan perintah kuarantin wajib sebaik tiba di Malaysia, dedah Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH).

    Presidennya Razali Mohd Sham mendedahkan,  perkara itu selain berpendapat sistem penguatkuasaan kuarantin kepada pengembara ke luar negara masih lagi lemah dan memerlukan penambahbaikan.

    Katanya, kerajaan bertindak mewajibkan mereka yang pulang mengerjakan umrah dari Arab Saudi menjalani kuarantin wajib di stesen kuarantin atau hotel ditetapkan, sebaliknya mereka yang datang dari beberapa negara lain tidak wajib kuarantin dan boleh melakukannya di rumah menyebabkan risiko penularan wabak Covid-19 khususnya varian Omicron.

    “Kelemahan sistem kita kalau pergi buat umrah, jemaah balik ikut Dubai dan dari Dubai masuk Malaysia mereka tak perlu kuarantin, terdapat mutawif umrah pergi Arab Saudi tapi sebelum balik Malaysia mereka ke Dubai dulu dan balik Malaysia tak perlu kuarantin. Ini yang berlaku sekarang.

    “Perkara itu berlaku membabitkan para mutawif. Ini kita dapat kesan dan tindakan perlu diambil,” katanya kepada portal berita Free Malaysia Today.

    Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya mana-mana individu yang pulang ke Malaysia perlu kembali menjalani kuarantin wajib di pusat kuarantin bagi memastikan varian Omicron tidak terus menular dan akhirnya menyusahkan banyak pihak bila keadaan semakin memburuk.

    “Sekarang ini siapa balik dari Arab Saudi terus kena kuarantin di pusat kuarantin, sepatut mereka yang datang dari semua negara sampai sahaja Malaysia wajib kuarantin bagi memastikan keadaan lebih selamat,” katanya.

    Razali turut memaklumkan pihaknya bersetuju jika kerajaan memperketatkan pelaksanaan SOP termasuk mewajibkan pengambilan dos penggalak kepada jemaah umrah asalkan aktiviti itu kembali berjalan.

    “Kita juga bersetuju jika syarat wajib kuarantin di pusat kuarantin dikekalkan kalau itu terbaik untuk rakyat. Saya rasa jemaah umrah tiada masalah untuk kos kuarantin,” katanya.

    Sebelum ini kerajaan mengumumkan perjalanan umrah ditangguhkan sementara waktu bermula 8 Jan selama sebulan.

    Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, jemaah yang baru pulang tidak lagi diberi kebenaran kuarantin di rumah, sebaliknya semua jemaah perlu melengkapkan tempoh kuarantin di stesen kuarantin atau hotel yang ditetapkan.

    Terbaharu Khairy berkata, Jemaah Menteri yang bermesyuarat semalam (Rabu) memutuskan penangguhan sebulan itu adalah bagi membolehkan penilaian risiko penularan Covid-19 varian Omicron dilakukan.

  • KPM ganti 263,662 buku teks rosak akibat banjir

    KPM ganti 263,662 buku teks rosak akibat banjir

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan menggantikan sebanyak 263,662 buku teks rosak akibat bencana banjir di beberapa negeri baru-baru ini.

    Proses penggantian buku teks itu akan melibatkan seramai 14,422 murid di seluruh negara.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin memberitahu, kementeriannya mempunyai stok mencukupi untuk menggantikan buku teks yang rosak itu.

    Menurut beliau, langkah itu sekali gus akan membolehkan murid berkenaan mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang dijadualkan bermula minggu depan.

    “Kita sedar bahawa dalam tempoh banjir besar yang kita lalui, ramai murid yang terjejas. KPM menerima banyak pertanyaan mengenai buku teks murid yang rosak akibat banjir.

    “Jadi kepada murid yang kehilangan buku teks atau buku mereka rosak akibat banjir, jangan risau.

    “Mereka juga tidak perlu membayar ganti rugi atas kerosakan buku teks berkenaan mahupun menggantikan buku itu,” katanya dalam rakaman video yang disiarkan melalui laman Facebook milik beliau, hari ini.

    Radzi menambah, guru akan merekodkan jumlah buku teks yang rosak akibat banjir dan memastikan usaha menggantikannya dapat dilaksanakan dengan segera.

    Beliau berkata, tindakan itu adalah bagi membolehkan sesi persekolahan yang bermula minggu depan, dapat berjalan dengan teratur dan lancar.

    “Semoga anak-anak yang terjejas dengan banjir dapat mengharungi tempoh sukar ini dan kembali ke sekolah apabila sekolah dibuka semula kelak,” katanya.

  • Tawar khidmat seks melalui media sosial, 6 penuntut IPT warga Afrika ditahan

    Tawar khidmat seks melalui media sosial, 6 penuntut IPT warga Afrika ditahan

    MENAWARKAN khidmat seks menerusi media sosial pada kadar mencecah RM500 hingga RM600 untuk satu malam, itu taktik dikesan digunakan enam wanita warga Afrika dalam kegiatan pelacuran di kondominium mewah di beberapa lokasi di Kuala Lumpur.

    Dalam serbuan yang dijalankan lewat malam tadi di sebuah kondominium mewah, kesemua mereka yang berusia lingkungan 20-an didapati merupakan penuntut di sebuah universiti swasta di sekitar Taman Shamelin Perkasa, di sini dan Subang, Selangor.

    Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata kegiatan pelacuran itu dipercayai beroperasi sejak tahun lepas menggunakan aplikasi WeChat dan Facebook untuk mencari pelanggan.

    Beliau berkata pelanggan perlu meyakinkan bahawa mereka tidak akan membocorkan rahsia kegiatan itu dan setelah diyakini mereka akan dianggap sebagai pelanggan eksklusif sekali gus menjadi pelanggan tetap. 

    “Kegiatan ini dijalankan di lokasi berbeza bergantung kepada permintaan pelanggan setempat dan dianggarkan mereka memperoleh RM7,000 sebulan,” katanya kepada pemberita selepas serbuan itu.

    Khairul Dzaimee berkata hasil siasatan mendapati lima wanita berkenaan memasuki negara ini menggunakan pas lawatan pelajar manakala seorang lagi menggunakan pas lawatan sosial. 

    Beliau berkata serbuan itu turut menahan tiga lelaki warga Afrika dan seorang lelaki tempatan berusia 30-an dengan kesemuanya dipercayai pelanggan. 

    Katanya kesemua wanita berkenaan akan direman di Depot Imigresen Putrajaya selama 14 hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. 

    Sementara itu, seorang wanita yang ditahan turut dilihat berpura-pura pengsan dan sakit bagi meraih simpati pihak berkuasa.

    — BERNAMA