Category: Umum

  • RUU Antigangguan Seksual sedia dibentang bacaan kali kedua

    RUU Antigangguan Seksual sedia dibentang bacaan kali kedua

    KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) membuat persiapan rapi dan bersedia membentangkan Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual pada mesyuarat Parlimen bagi penggal kelima yang dijangka bersidang bermula 28 Feb hingga 24 Mac depan.

    Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, rang undang-undang itu seiring dengan agenda kerajaan untuk mempertingkatkan kesejahteraan dan keselamatan dalam menangani ketidaksamaan gender.

    Beliau berkata, bagi tujuan penggubalan rang undang-undang tersebut, KPWKM telah menubuhkan Pasukan Projek Khas (SPT) membabitkan agensi kerajaan antaranya Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar Negeri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), ahli akademik dan badan bukan kerajaan yang memiliki kepakaran, pengetahuan serta pengalaman luas berkenaan gangguan seksual.

    “Segala pandangan, maklum balas dan cadangan yang diberikan oleh ahli SPT semasa proses perbincangan dan libat urus amatlah dihargai. Mereka merupakan penggerak utama dalam proses penggubalan rang undang-undang ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, penggubalan rang undang-undang antigangguan seksual itu telah bermula sejak 2019 sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat bagi bacaan kali pertama pada 15 Dis lepas. – BERNAMA

  • Tiada lagi PKP, kawalan lebih ketat di sempadan negara – Hishammuddin

    Tiada lagi PKP, kawalan lebih ketat di sempadan negara – Hishammuddin

    KERAJAAN tidak akan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun kawalan lebih ketat akan dilaksanakan di pintu masuk dan keluar negara, dalam usaha mengekang pandemik COVID-19.

    Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, mengambil kira perkembangan jangkitan varian Omicron, langkah kawalan tersebut perlu ditambah baik termasuk menyenaraikan lebih banyak negara berisiko tinggi.

    “Setakat ini sebanyak 245 kes Omicron telah disahkan di Malaysia. Sebahagian besar kes jangkitan di negara kita ini masih lagi berpunca daripada kepulangan pengembara dari luar negara.

    “Kita akan ambil langkah kawalan lebih ketat, tetapi PKP secara besar-besaran tidak akan dilaksanakan semula,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat kuartet menteri COVID-19 di sini hari ini.

    Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong dan Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Saddique.

    Hishammuddin berkata, tumpuan kerajaan kini ialah kembali kepada usaha transisi ke arah endemik yang tertangguh akibat beberapa isu sebelum ini.

    Katanya, kerajaan juga memantau rapat status semasa pelaksanaan ‘Vaccinated Travel Line’ (VTL) dengan melihat ruang dan peluang untuk melaksanakannya dengan beberapa negara lagi termasuk Indonesia dan Thailand.

    “Bagaimanapun ia bergantung kepada situasi COVID-19, bukan sahaja di negara-negara berkenaan tetapi juga di negara kita,” katanya.

    Sementara itu, berkenaan prosedur operasi standard (SOP) sambutan Thaipusam dan Tahun Baharu Cina, Hishammuddin berkata pihak berkepentingan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang membuat penelitian peringkat akhir SOP dua sambutan itu.

    Katanya, SOP bersesuaian untuk kedua-dua perayaan itu akan diumumkan dalam masa terdekat oleh kementerian berkaitan. – BERNAMA

  • Setiausaha Akhbar MB Pahang meninggal dunia

    Setiausaha Akhbar MB Pahang meninggal dunia

    SETIAUSAHA Akhbar Menteri Besar Pahang, Datuk Abdul Wahab Mohamad Ali meninggal dunia pada 5.42 petang tadi di Hospital Tengku Ampuan Afzan di Kuantan, dipercayai akibat kanser darah.

    Berita pemergian Abdul Wahab, 61, disahkan oleh wakil Pejabat Menteri Besar Pahang menerusi kenyataan ringkas di aplikasi WhatsApp kepada media hari ini.

    Jenazah akan dimandi serta disembahyangkan di Masjid Indera Mahkota 5 di sini, dan dijangka dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Bukit Ubi, malam ini.

    Allahyarham yang dilahirkan pada 26 Feb 1961, difahamkan merupakan setiausaha akhbar paling lama pernah berkhidmat iaitu sejak tahun 1995 dan bekerja di bawah tiga Menteri Besar Pahang iaitu Tun Mohd Khalil Yaakob, Datuk Seri Adnan Yaakob dan terkini Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

    Beliau memulakan kerjaya sebagai Pegawai Berita di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada 1 Sept 1984 di ibu pejabat di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur sebelum ditukarkan ke pejabat Biro Pahang sebagai pewarta negeri pada 1 Jan 1989.

    Abdul Wahab kemudiannya kembali ke ibu pejabat pada 1 Okt 1994 sebagai Penolong Editor Meja Berita.

    Beliau mula dilantik sebagai Setiausaha Akhbar Menteri Besar Pahang secara pinjaman pada 1 Julai 1995 hingga 31 Mei 2006 sebelum bersara pilihan daripada Bernama pada 1 Jun 2006.

    Selepas bersara, Abdul Wahab terus berkhidmat dengan Khalil sehingga tampuk kepimpinan negeri diambil alih oleh Adnan pada tahun 1999, sebelum bersama Wan Rosdy sejak 2018.

    Sementara itu, Wan Rosd menyifatkan Allahyarham Datuk Abdul Wahab Mohamad Ali, merupakan seorang insan yang komited dan amanah dalam menjalankan tugasnya sebagai setiausaha akhbar.

    Wan Rosdy berkata, Abdul Wahab merupakan figura penting yang membantu beliau dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai Menteri Besar.

    “Jasa dan bakti beliau akan dikenang buat selama-lamanya,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini, sambil mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman. – BERNAMA

  • KPLB terima lebih 300 pemohonan semakan kelayakan inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia

    KPLB terima lebih 300 pemohonan semakan kelayakan inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerima lebih 300 permohonan dan semakan kelayakan untuk pembaikan dan bina baharu rumah pasca banjir di bawah Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia di Pusat Sehenti Tabika KEMAS Bukit Changgang.

    Dalam kenyataan, KPLB memaklumkan Pusat Sehenti itu dibuka tiga hari bermula hari ini bagi menyediakan saluran bagi memudah cara mangsa banjir mendaftar kelayakan melalui borang yang disediakan sebelum diserahkan kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana, PKOB Daerah untuk diperaku Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM).

    Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun mengambil inisiatif untuk membantu melicin dan mempercepatkan proses pendaftaran dalam menyegerakan bantuan kepada mangsa banjir yang layak.

    ‘’KPLB memperuntukkan RM50 juta di bawah Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia dengan kadar bantuan RM15,000 untuk kerja-kerja pembaikan rumah, RM56,000 untuk membina baharu di Semenanjung dan RM68,000 untuk bina baharu di Sabah dan Sarawak,’’ kenyataan tersebut.

    KPLB juga kata kenyataan berkenaan telah memulakan kerja-kerja pembaikan Sabtu lalu membabitkan sembilan buah rumah mangsa banjir di Kuala Klawang, Chennah dan Jelebu, Negeri Sembilan manakala empat buah rumah lagi di Mentakab dan Temerloh, Pahang.

    Setakat ini KPLB telah menerima jumlah 1,879 unit rumah untuk baik pulih di kawasan banjir seluruh negara dan 165 untuk bina baharu rumah.

  • 15 anggota Perhilitan, NWRC jejak harimau di Pos Bihai

    15 anggota Perhilitan, NWRC jejak harimau di Pos Bihai

    ANGGOTA Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Ibu Pejabat dan Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) Sungkai, Perak tampil membantu Perhilitan Kelantan bagi menjejaki harimau di Pos Bihai, Gua Musang.

    Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, hampir 15 anggota daripada jabatan berkenaan turun ke penempatan yang diduduki oleh hampir 100 penduduk Orang Asli itu bagi melakukan operasi menjejaki dan memantau harimau sejak Ahad lepas.

    Beliau berkata, tindakan dilakukan susulan kejadian seorang masyarakat Orang Asli suku Temiar yang maut dibaham harimau pada Jumaat lepas di Kampung Sau, Pos Bihai.

    “Kita dapatkan tambahan anggota daripada Perhilitan Ibu Pejabat dan NWRC Sungkai untuk membantu dalam operasi menjejaki harimau di Pos Bihai selain tiga perangkap harimau dan tiga perangkap kamera telah dipasang.

    “Bagaimanapun, setakat ini kita tidak dapat memastikan berapa ekor harimau yang masih ada mahupun sebaliknya memandangkan tiada imej harimau yang ditangkap menerusi kamera yang telah dipasang” katanya ketika dihubungi Bernama di Kota Bharu hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohamad Hafid berkata, usaha menangkap harimau agak sukar selain kebiasaannya akan mengambil tempoh yang agak lama berbanding hidupan liar lain terutama membabitkan harimau yang agresif.

    “Tangkapan hidupan liar tidaklah semudah seperti yang disangkakan memandangkan hidupan liar ini bergerak dalam skala yang luas terutama harimau dan gajah.

    “Selain itu, pihak kami juga dalam pertimbangan untuk memohon bantuan perangkap harimau daripada negeri lain untuk ditambah di lokasi-lokasi sekitar bagi mempercepat operasi ini,” katanya.

    Beliau berkata, pihaknya turut menasihatkan penduduk masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan supaya tidak keluar rumah sekiranya tiada keperluan penting.

    “Dari segi keperluan makanan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan/Terengganu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Mohd Syahbuddin Hashim telah tampil menghulurkan bantuan bakul makanan dari semasa ke semasa,” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan kemeriahan sambutan perayaan menuai padi dan menangkap ikan sungai masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di Kampung Sau, Pos Bihai bertukar tragedi apabila seorang lelaki maut dibaham harimau.

    Dalam kejadian kira-kira 9.10 pagi, mangsa, Anek Along, 40-an, dikatakan sedang menumbuk padi huma di belakang rumahnya namun hilang sebelum mayatnya dijumpai penduduk dalam hutan. – BERNAMA

  • Saringan COVID-19 secara bergilir untuk murid dilaksanakan di rumah – Radzi

    Saringan COVID-19 secara bergilir untuk murid dilaksanakan di rumah – Radzi

    SARINGAN COVID-19 yang dilaksanakan setiap minggu secara bergilir kepada murid sekolah rendah boleh mula dilakukan di rumah mulai minggu ini.

    Keputusan tersebut dimaklumkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Md. Jidin selepas mendapat persetujuan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    Menurut Radzi, kit ujian kendiri itu akan disediakan pihak sekolah kepada murid yang terpilih secara rawak.

    Radzi berkata, tatacara pelaksanaan ujian tersebut akan dijelaskan dengan lebih lanjut dalam kenyataan media dikeluarkan Kementerian Pendidikan.

    “Berdasarkan Strategi Pengujian COVID-19 Kebangsaan yang dikeluarkan KKM, seramai 10 peratus murid dipilih secara rawak setiap minggu untuk menjalani ujian kendiri COVID-19 yang dilaksanakan di sekolah telah pun bermula sejak 1 Disember lalu.

    “Susulan itu, Kementerian Pendidikan telah berbincang dengan KKM untuk pendekatan pelaksanaan ujian ini, maka KKM bersetuju membenarkan saringan ini dilaksanakan di rumah dan keputusan dimaklumkan kepada pihak sekolah.

    “Pendekatan baharu ini akan mula dilaksanakan minggu ini dengan Kementerian Pendidikan akan mengeluarkan kenyataan media berhubung perkara tersebut,” katanya dalam rakaman video dimuat naik ke Facebook hari ini.

    Mengulas lanjut, Radzi turut menegaskan supaya ibu bapa dapat melaksanakan ujian saringan COVID-19 itu berdasarkan tatacara yang telah ditetapkan.

    Kata beliau, ia bagi memastikan sesi persekolahan dapat berlangsung dengan teratur dan selamat.

    “Jika ia tidak dilaksanakan mengikut tata cara yang ditetapkan, yang akan terkesan bukan sahaja anak saudara saudari tetapi kawan-kawan mereka serta guru-guru mereka di sekolah.

    “Oleh yang demikian, adalah amat penting apabila kita mulakan pelaksanaan pendekatan baharu ini, ibu bapa memainkan peranan untuk memastikan pengujian ini dapat dilaksanakan dengan teratur dan kita dapat mengikut segala prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan KKM.

    “Kita ingin memastikan sesi persekolahan dapat terus berlangsung dengan selamat dan saya yakin dengan usaha serta kerjasama daripada ibu bapa, kita dapat bersama-sama memastikan anak-anak dapat hadir ke sekolah dalam keadaan teratur dan selamat,” jelas beliau.

  • ‘’Saya sedia disiasat, tiada apa hendak disembunyikan’ – Abu Zahar

    ‘’Saya sedia disiasat, tiada apa hendak disembunyikan’ – Abu Zahar

    TAN SRI Abu Zahar Ujang hari ini menyatakan kesediaan disiasat mana-mana pihak atau agensi, berhubung kenyataannya mengenai pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

    Astro Awani melaporkan, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) SPRM itu pada sidang media khas turut kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan enam ahli lembaga itu, baru-baru ini.

    “Sukacita saya menegaskan bahawa saya bersedia untuk mana-mana pihak atau organisasi menyiasat saya pada bila-bila masa. I have nothing to hide (saya tiada apa hendak disembunyikan). Dan saya tak khuatir, kerana apa yang kami (buat) ialah semua benar belaka. Sebagaimana yang telah saya tegaskan daripada mula-mula lagi bahawa, yang lebih penting ialah kedudukan Institusi SPRM mendapat sokongan daripada rakyat.

    “Yang tujuan utamanya memerangi gejala jenayah rasuah dan salah guna kuasa tanpa khuatir, without fear or favour,” katanya.

    Abu Zahar juga berkata, beliau menyerahkan kepada budi bicara mutlak kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan kedudukannya sebagai Pengerusi LPPR.

    Beliau turut mendakwa, kenyataan penuh 13 muka surat yang diedarkan pada 5 Januari lalu tidak dilaporkan secara menyeluruh oleh sesetengah media sehingga menyumbang salah tanggap dalam kalangan masyarakat.

    “Terdapat pelbagai isu selain isu berkaitan ‘alegasi salah laku’ terhadap Azam, yang telah diberi pandangan dan pendapat oleh LPPR, tetapi itupun tidak disentuh dan dilaporkan media. Apatah lagi, video berkaitan sidang media yang tertular, cuma memaparkan sebahagian kecil kenyataan saya.

    “Walau apapun, saya sebagai Pengerusi LPPR sememangnya sedar dan tahu bahawa LPPR tidak mempunyai kuasa untuk melakukan siasatan sendiri berkaitan apa-apa salah laku jenayah terhadap mana-mana pegawai SPRM, dan cuma mempunyai kuasa untuk memberi pandangan dan cadangan tentang cara siasatan wajar dilakukan dalam keadaan-keadaan tertentu, selari dengan peruntukan Seksyen 13(5)(a) Akta 694,” katanya.

    Tambah Abu Zahar, LPPR juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana salah laku khususnya berkaitan salah guna kuasa dan rasuah.

    Sebelum ini, enam ahli LPPR menyangkal penjelasan Abu Zahar berhubung dakwaan pemilikan saham Azam di beberapa syarikat.

    Malah, mereka menegaskan, kenyataan Abu Zahar pada 5 Januari lalu adalah pendapat peribadinya.

  • Peniaga nasi dagang tak menang tangan selepas video tular

    Peniaga nasi dagang tak menang tangan selepas video tular

    SEORANG peniaga nasi dagang ikan aya atau ikan tongkol tidak menyangka video dokumentari berdurasi 10 minit memaparkan kisah perniagaannya yang tular menerusi Facebook beberapa hari lepas menjadikan nasi dagangnya yang dijual menggunakan motosikal roda tiga ‘diserbu’ peminat juadah tradisional negeri Terengganu itu.

    Muhammad Khairul Nizam Mamat, 43, berkata hal itu disedarinya sejak Jumaat lepas apabila melihat orang ramai beratur panjang kira-kira 100 meter seawal 6 pagi di kawasan Persiaran Alam Perdana, Bandar Puncak Alam untuk mendapatkan juadah berkenaan walaupun perniagaannya mula beroperasi sekitar 7 pagi.

    “Saya terkejut pada pagi itu (Jumaat), tiba-tiba orang ramai datang dan siap beratur tunggu saya yang baru nak pasang payung dan sebagainya. Masuk 7.30 pagi ke atas, orang semakin ramai beratur. Saya memang cemas sebab risau makanan tidak cukup memandangkan orang beratur panjang dan lama untuk dapatkan makanan.

    “Bila semak balik, rupanya video dokumentari sebuah produksi yang saya jalani penggambaran sebelum ini tular. Saya terkejut sebab video tersebut asalnya bukan untuk mempromosikan perniagaan saya sebaliknya untuk memaparkan macam mana seseorang yang ‘jatuh’ ketika COVID-19 melanda negara, bangun kembali mulakan kehidupan,” katanya yang ditemui Bernama di Shah Alam hari ini.

    Muhammad Khairul Nizam Mamat membungkus nasi dagang yang dipesan pelanggan. (Gambar: Bernama)

    Muhammad Khairul Nizam yang merupakan anak jati Kampung Tengkawang, Kuala Berang berkata, susulan tular, beliau kini perlu menambah sukatan beras basmati untuk menghasilkan nasi dagang tersebut hingga 10 kali ganda sehari berbanding kira-kira lima hingga lapan kilogram sehari ketika mula menceburi perniagaan itu pada November lepas.

    “Sekarang kami masak nasi dagang hingga 50 kilogram beras sehari untuk memenuhi permintaan yang tiba-tiba mendadak ini. Disebabkan itu, empat adik lelaki yang menetap di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang serta ibu saya dari kampung datang membantu untuk menghasilkan nasi yang agak banyak sebab saya hanya berniaga seorang diri,” katanya.

    Bapa kepada tiga anak itu berkata, dalam masa terdekat ini beliau belum menggajikan pekerja kerana masih dibantu adik ketiga, Muhammad Firdaus Mamat, 38, yang turut berniaga nasi dagang di kawasan Seri Kembangan dan adik bongsunya, Muhammad Khairul Aiman, 20.

    Menurut Muhammad Khairul Nizam, beliau akan memohon lesen penjaja tepi jalan daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam masa terdekat dan jika nasi dagangnya terus mendapat sambutan menggalakkan, beliau bercadang membuka dua lagi gerai di Selangor dengan satu daripadanya di Puchong yang akan diusahakan seorang adiknya.

    Ditanya mengapa jualan nasi dagang menjadi pilihannya, Muhammad Khairul Nizam berkata kesukaran untuk mendapatkan juadah yang asli seperti didapati di kampung halamannya antara sebab beliau berniaga selain turut menjual nasi lemak ikan tongkol.

    Katanya proses penyediaan dan memasak nasi yang agak kompleks antara sebab nasi dagang Terengganu sukar didapati malah bahan untuk menghasilkan kari ikan tongkol juga kebanyakannya terdapat di negeri itu.

    Gerai nasi dagang yang diusahakan Muhammad Khairul Nizam Mamat dengan dibantu keluarganya. (Gambar: Bernama)

    “Itu antara sebab saya pilih juadah ini (nasi dagang) untuk dijual di sini. Memang majoriti pembeli juga dari pantai timur Semenanjung khususnya Terengganu. Ramai yang kata (respons) bila makan teringat pada kampung. Alhamdulillah orang suka.

    “Tidak kurang juga kecaman sebab apabila tular, orang meletakkan harapan yang tinggi pada masakan kita tetapi kita boleh belajar daripada teguran dan cuba baiki mana yang kurang,” katanya yang pernah bekerja sebagai cef di sebuah hotel lima bintang di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

    Muhammad Khairul Nizam berkata, hanya ‘bermodalkan’ masakan juadah tradisional kampung halamannya dan sebuah motosikal roda tiga bukan penghalang untuk beliau berniaga.

    Jelasnya, ia dibuktikan oleh Muhammad Firdaus yang terlebih dahulu menggunakan resipi nasi dagang ibunya untuk berniaga di sekitar Seri Kembangan sejak enam tahun lepas dan sehingga kini masih mendapat permintaan pelanggan.

    “Adik saya adalah idola dan menguatkan semangat saya untuk berniaga bermula dari bawah. Memang ada yang memperlekeh bila saya putuskan untuk berhenti kerja dan menjual nasi dagang. Alhamdulillah, yang penting keluarga terutama adik-adik sokong apa yang saya buat walaupun kami jauh dari kampung halaman,” katanya yang merupakan anak sulung daripada sembilan beradik. – BERNAMA

  • Pelan Pemulihan Negara 2.0 dirangka – Muhyiddin

    Pelan Pemulihan Negara 2.0 dirangka – Muhyiddin

    PELAN Pemulihan Negara 2.0 akan dirangka secara komprehensif dan inklusif untuk memastikan pemulihan seterusnya dan secara menyeluruh, kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Beliau berkata satu pasukan kerja akan dibentuk bagi meneliti secara mendalam, tentang sektor mana yang boleh cepat dipulihkan dan sektor mana yang mengambil masa panjang.

    “Pelan 2.0 itu penting kerana jika dibiarkan sektor dibiarkan pulih secara semula jadi, ia akan mengambil masa bertahun-tahun.

    “Bila ada pelan 2.0, akan jelas MPN boleh buat untuk membantu sektor besar dan kecil dapat dipulihkan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN di Putrajaya hari ini.

    Muhyiddin berkata pasukan kerja pelan pemulihan 2.0 juga akan mengemukakan cadangan serta memperhalusi langkah menangani kes COVID-19, jika dikesan meningkat kerana kerajaan telah berjanji tidak akan kembali kepada cara lama iaitu ‘lockdown’ untuk menangani kes COVID-19. – BERNAMA

  • Penerima bantuan JKM dijangka cecah 550,000 orang

    Penerima bantuan JKM dijangka cecah 550,000 orang

    PENERIMA bantuan kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada tahun ini dijangka mencecah 550,000 orang daripada 517,414 penerima bantuan tahun lepas dengan mengguna pakai Paras Garis Kemiskinan (PGK) Makanan 2019 sebagai kelayakan permohonan.

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, jangkaan pertambahan penerima itu adalah selari dengan keputusan kerajaan untuk menaikkan kelayakan permohonan bantuan kebajikan dengan menggunakan PGK Makanan 2019 iaitu RM1,169 berbanding RM980 sebelum ini.

    Rina berkata, kira-kira 71 peratus atau RM1.772 bilion daripada RM2.5 bilion perbelanjaan mengurus untuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) tahun ini akan disalurkan kepada bantuan kebajikan di bawah JKM bagi membantu mereka yang memerlukan untuk kelangsungan hidup.

    “Kementerian menjangka menerima banyak permohonan daripada mereka yang terkesan. Untuk itu, saya telah minta supaya pemprosesan perlu dipercepat dengan menggunakan teknologi yang memudahkan mereka (penerima),” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KPWKM di Putrajaya hari ini.

    Sementara itu, Rina berkata hasil tinjauannya terhadap mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) mencadangkan agar penyampaian bantuan makanan yang sudah siap dibungkus menggunakan teknologi “retort”.

    Tinjauannya mendapati PPS cukup dengan makanan dan barangan keperluan asas, namun terdapat pembaziran dari segi makanan kerana makanan siap masak yang dibungkus mudah rosak atau basi.

    “Sudah tiba masanya untuk kita memperluaskan lagi penggunaan makanan dengan bungkusan teknologi retort atau penstrilan, ia menjadikan makanan tahan lebih lama, segar dan mudah disediakan,” katanya.

    Dalam pada itu, Rina berkata, untuk tahun 2022, kementerian akan terus memfokuskan kepada usaha memperkukuhkan mutu perkhidmatan, memastikan keberkesanan program yang dirancang dan memperkasa golongan wanita secara lebih komprehensif.

    Beliau berkata, enam agensi kementerian iaitu JKM, Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Institut Sosial Malaysia (ISM) dan Lembaga Kaunselor Malaysia (LKM) akan digembleng bersama untuk memastikan fokus untuk tahun ini dapat dicapai.

    “Untuk tahun ini, kita tak nak bergerak dalam silo. Sebagai contoh, apabila berlaku banjir dulu kita hanya nampak JKM, tapi sekarang saya nak gerakkan semua (agensi) membantu mangsa banjir,” katanya. – BERNAMA