Category: Umum

  • ADUN Belantik kritikal akibat jangkitan kuman

    ADUN Belantik kritikal akibat jangkitan kuman

    ADUN Belantik Isa Shafie dilaporkan kritikal dan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.

    Timbalan Ketua Pas Sik Ahmad Tarmizi Sulaiman, berkata Isa, 69, yang juga ahli Jawatankuasa Pas  Kedah itu dimasukkan ke Hospital Sik kira-kira 7 malam tadi sebelum dibawa ke HSAH pada 4 pagi kerana mengalami jangkitan kuman pada jantung, paru-paru, dan buah pinggang.

    “Menurut anak beliau, Ustaz Mohd Isa kelihatan lemah dan rebah di dalam bilik air di rumahnya di Kampung Jelutong, Sik lebih kurang pukul 1.30 tengah hari semalam sebelum dibawa ke Hospital Sik dan kemudiannya dipindahkan ke Hospital Sultan Abdul Halim.

    “Keadaan kesihatannya lemah dan menurun sebelum doktor menidurkannya, saya memohon orang ramai mendoakan beliau agar sembuh dan dapat terus berkhidmat kepada rakyat Belantik,” katanya menurut Bernama.

    Tarmizi yang juga Ahli Parlimen Sik, berkata pada masa ini, orang ramai tidak dibenarkan melawat ADUN itu dan mengharapkan semua ahli keluarganya bersabar menghadapi ujian berkenaan.

    Beliau berkata, Isa menjadi ADUN Belantik selama tiga penggal dan sebelum ini menghidap penyakit diabetes dan tekanan darah tinggi serta jantung.

  • Hassan dakwa dasar penswastaan Mahathir punca orang Melayu miskin

    Hassan dakwa dasar penswastaan Mahathir punca orang Melayu miskin

    DASAR penswastaan Tun Dr Mahathir Mohamad punca utama ramai orang Melayu ketika ini berada dalam kelompok miskin.

    Ketika membuat dakwaan itu dalam satu kenyataan, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, berkata kemunduran orang Melayu dan Bumiputera dalam sektor ekonomi sehingga kini perlu dipikul bekas Perdana Menteri itu.

    “Dasar penswastaan Mahathir yang mengutamakan pembentukan kelas kapitalis kroni di kalangan segelintir orang Melayu adalah punca terbesar jutaan umat Melayu/Bumiputera menjadi rakyat miskin di bandar dan desa seluruh negara terutama di negeri majoriti Melayu dan Bumiputera,” katanya.

    Beliau merujuk negeri seperti Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Sabah dan Sarawak yang mencatatkan jumlah kemiskinan tegar yang tinggi.

    Hassan berkata, Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf kedudukan istimewa orang Melayu, dilaksanakan dengan pendekatan pembangunan ekonomi secara kapitalis bawah pentadbiran Mahathir.

    “Jika dasar ini dilaksanakan secara pendekatan kelas mirip pendekatan sosialis yang mengutamakan kelas orang Melayu bawahan, sudah lama orang Melayu dapat dibebaskan daripada kemiskinan dan kemunduran,” katanya.

    Beliau berkata, pentadbiran Dr.Mahathir selama 22 tahun mengutamakan dasar penswastaan yang begitu meluas dengan syarikat milik kerajaan seperti Tenaga Nasional Bhd dan Telekom Malaysia Bhd diswastakan.

    Hassan berkata, masalah kemiskinan tegar orang Melayu boleh “diubati” oleh Kerajaan Perpaduan dengan melihat semula Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan berkenaan kedudukan hak istimewa orang Melayu.

    “Dasar bersifat kartel dan monopoli seperti keistimewaan AP yang selama ini hanya menguntungkan segelintir elit Melayu perlu dinoktahkan.

    “Keutamaan sekarang perlu berpindah kepada menjaga kepentingan jutaan rakyat Melayu miskin dan mundur. Jika ini kita laksanakan, barulah kita boleh panggil kerajaan Anwar Ibrahim ini Kerajaan Madani,” katanya.

  • Kerajaan, rakyat perlu bersedia awal hadapi fenomena El Nino kuat Jun ini

    Kerajaan, rakyat perlu bersedia awal hadapi fenomena El Nino kuat Jun ini

    PERSEDIAAN awal bagi menghadapi fenomena El Nino kuat yang diramal berlaku Jun ini perlu dilaksanakan segera dengan melibatkan dua pemegang taruh utama negara iaitu kerajaan dan rakyat untuk meminimumkan impak fenomena itu.

    Pakar alam sekitar Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman berkata walaupun Malaysia pernah beberapa kali mengalami fenomena tersebut, persiapan awal meliputi semua aspek adalah perlu bagi mengelakkan kepanikan melampau.

    Beliau berkata berdasarkan rekod setakat 2015, El Nino pernah melanda negara sebanyak 12 kali iaitu sejak 1951 hingga 1952 dan kejadian yang paling teruk ialah pada 1997 hingga 1998 apabila catatan suhu tertinggi 40.1 darjah Celsius direkodkan di Stesen Meteorologi Chuping, Perlis pada 9 April 1998.

    “Justeru, persediaan kerajaan adalah memantau semua aras air sungai dan empangan, mengaktifkan pelan tindak balas kecemasan, meneroka sumber air alternatif, menggalakkan orang ramai dan industri menjimatkan penggunaan air, serta melakukan penghasilan awan dan menyediakan sokongan logistik.

    “Seterusnya mempertingkatkan segala bentuk bantuan perubatan dan kecemasan seperti ubat-ubatan untuk mangsa selain alat bantuan memadam kebakaran sekiranya berlaku kebakaran,” katanya ketika dihubungi BERNAMA.

    Untuk rakyat pula, Haliza berkata persediaan perlu dibuat dari sudut mental dan fizikal bagi menghadapi sebarang kemungkinan seperti krisis air yang menyebabkan langkah seperti catuan air di sesetengah kawasan mungkin terpaksa dibuat sekali gus memberi impak terhadap aktiviti manusia. 

    “Setiap dari kita harus mengelak daripada melakukan sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan kebakaran. Bahan-bahan mudah terbakar perlu disimpan dengan baik manakala aktiviti pembakaran terbuka seperti membakar sampah, sisa pertanian dan sisa pembinaan perlu dielakkan.

    “Ini bagi menghindarkan berlakunya pencemaran udara yang boleh menyebabkan jerebu. Sekiranya berlaku kebakaran terbuka, ia perlu dilaporkan segera kepada pihak berkuasa bagi tindakan lanjut,” katanya.

    Semalam, media melaporkan fenomena El Nino kuat dijangka bermula Jun apabila keadaan cuaca akan berubah disebabkan kehadiran monsun barat daya yang cuacanya dicirikan dengan keadaan kering dan panas.

    Berdasarkan laporan tinjauan cuaca bagi tempoh Mei hingga Oktober yang dipaparkan di portal Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), kebanyakan model iklim antarabangsa menunjukkan kitaran atmosfera di kawasan tropika konsisten dengan keadaan El Nino Southern Oscillation (ENSO) adalah neutral.

    Bagaimanapun, laporan itu memaklumkan keadaan neutral yang sedang berlaku itu dijangka akan memasuki fasa El Nino pada Mei hingga Julai ini dengan kebarangkalian 62 peratus.

    Sementara itu, Pakar Kesihatan Persekitaran Prof Dr Juliana Jalaludin berkata bagi mengelakkan berlakunya strok haba ketika fenomena ini, selain banyak minum air, rakyat dinasihatkan untuk memakai pakaian berwarna terang dan ringan serta mengelakkan aktiviti fizikal.

    “Selain itu, sentiasa menggunakan pelindung matahari seperti memakai pelindung matahari spektrum luas dengan SPF (Faktor Perlindungan Matahari) 15 atau lebih jika berada di luar rumah kerana selaran matahari menjejaskan keupayaan badan untuk menyejukkan diri,” katanya.

    Beliau juga berkata rakyat tidak digalakkan meninggalkan sesiapapun di dalam kenderaan yang tidak bergerak kerana suhu dalaman boleh meningkat lebih daripada 11 darjah Celsius dalam masa 10 minit apabila berada di bawah matahari.

    Penasihat Pertubuhan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal Ariffin Omar pula berkata fenomena El Nino akan meningkatkan risiko penyakit berkaitan dengan bawaan vektor seperti denggi dan malaria, serta penyakit bawaan air dan makanan seperti tifoid dan penyakit saluran pernafasan.

    Katanya antara persiapan yang boleh dilakukan rakyat bagi menjaga kesihatan masing-masing adalah menyimpan air serta makanan yang sihat dan mencukupi selain memperbanyakkan berteduh di kawasan seperti pokok dan bumbung jika keluar dari rumah.

    Dr Zainal Ariffin turut menyarankan kerajaan untuk memastikan perkhidmatan bekalan air awam yang cukup dan cekap, bekalan makanan segar dan murah mudah didapati dan memberi amaran awal kepada rakyat semasa melalui fenomena tersebut.

  • Lesen memandu boleh diperbaharui untuk tempoh 10 tahun

    Lesen memandu boleh diperbaharui untuk tempoh 10 tahun

    KEMENTERIAN  Pengangkutan (MOT) memperkenalkan inisiatif pembaharuan Lesen Memandu Malaysia (LMM) untuk tempoh 10 tahun dengan kadar bayaran instimewa.

    Astro Awani melaporkan, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan pembaharuan lesen untuk tempoh 10 tahun itu antara dua inisiatif pembaharuan LMM dilaksana pihaknya.

    Beliau juga memaklumkan, orang ramai boleh mengambil peluang ini mulai 8 Mei ini di pejabat atau kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sahaja.

    “Mana-mana pemegang LMM yang memperbaharui LMM untuk tempoh 10 tahun sekali gus akan hanya dikenakan bayaran untuk tempoh sembilan tahun sahaja, maksudnya ada diskaun 10 peratus.

    “Bayaran lesen memandu adalah RM30 setahun. Jikalau membayar 10 tahun sekali gus bayaran yang akan dikenakan adalah RM270, penjimatan RM30.

    “Bagi orang ramai yang berminat, mereka hendaklah memastikan baki tempoh sah laku LMM semasa adalah tidak melebihi satu tahun.

    “Orang ramai juga akan dibenarkan memperbaharui LMM antara 1 sehingga 10 tahun mengikut pilihan masing-masing tertakluk kepada had maksima 10 tahun. Namun, hanya pembaharuan 10 tahun sekali gus sahaja akan menikmati keistimewaan fi percuma untuk tahun ke-10,” katanya pada sidang media khas pada Rabu.

    Beliau memaklumkan, inisiatif ini hanyalah untuk warganegara Malaysia sahaja dan tidak terpakai kepada warganegara asing atau mana-mana pemegang pas permit jangka masa panjang atau Kad MyKAS yang mana terikat dengan tempoh sah laku pasport individu terbabit.

    Menerusi sidang media itu jua Loke memaklumkan inisiatif kedua adalah kebenaran khas pembaharuan LMM tamat tempoh.

    Beliau berkata, ia mengambil kira Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sepanjang pandemik COVID-19 serta kekangan dihadapi oleh rakyat Malaysia di luar negara yang tidak dapat memperbaharui LMM masing-masing kerana tidak berpeluang untuk pulang ke tanah air.

    “MOT akan memberi kebenaran khas kepada mana-mana pemegang LMM yang telah tamat tempoh sah laku untuk memperbaharui LMM masing-masing tanpa perlu menjalani semula ujian.

    “Namun, kebenaran khas ini hanya terhad kepada LMM yang mana tempoh sah laku telah tamat mulai 1 Januari 2018 dan ke hadapan sahaja.

    “Tempoh kebenaran khas ini hanya berkuatkuasa sehingga 31 Disember 2023 sahaja. Peraturan sedia ada akan berkuatkuasa semula pada 1 Januari 2024,” katanya.

    Loke juga menjelaskan, pihak JPJ sudah bersedia untuk melaksanakan dua inisiatif yang diumumkan itu.

  • Naik gaji pekerja lebih progresif tambah simpanan hari tua – CEO KWSP

    Naik gaji pekerja lebih progresif tambah simpanan hari tua – CEO KWSP

    KETUA  Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, percaya meningkatkan gaji pekerja adalah lebih progresif untuk menambah simpanan hari tua, berbanding menaikkan kadar caruman semata-mata.

    Katanya, negara perlu berganjak kepada model gaji kehidupan wajar dalam tempoh terdekat untuk rakyat menjalani kehidupan yang berkualiti.

    “Gaji itu bukan sahaja naik sendiri. Mungkin kita perlu ada inovasi yang menolong mengurangkan beban majikan. Kemungkinan majikan melabur dalam menggunakan automasi, kerana automasi itu ada, pekerjaan itu akan berganjak kepada pekerjaan yang lebih bernilai tinggi,” katanya lapor Buletin TV3.

    Beliau berkata, automasi dapat mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dan menyalurkan lebihan tersebut kepada pekerja tempatan.

    Amir Hamzah memberitahu, kajian KWSP mendedahkan, kumpulan bujang yang menetap di bandar dan menggunakan pengangkutan awam memerlukan sekurang-kurangnya RM2,000 untuk mencapai gaji kehidupan wajar.

    ‘’Dengan kadar gaji yang lebih baik mengikut lokaliti, penstrukturan semula gaji ini boleh memupuk orang ramai untuk membentuk tabungan yang sihat serta mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi.. Namun, statistik menunjukkan hanya 30% pencarum mempunyai simpanan asas KWSP sebanyak RM240,000 untuk bersara,’’ katanya.

    Dalam pada itu, beliau berkata, KWSP menggalakkan majikan untuk mencarum lebih daripada kadar statutori 12% hingga 13% secara sukarela.

    Caruman yang lebih besar juga dapat menarik pekerja untuk berkhidmat dalam syarikat masing-masing. Kami menggalakkan majikan mencarum lebih daripada kadar statutori. Buat masa sekarang adalah secara sukarela, kami mendorong mereka dahulu. Namun, perkara asas yang kita kendak menangani ialah mempercepatkan perlaksanaan gaji kehidupan wajar,” katanya.

    KWSP juga menggalakkan orang ramai menambah caruman pada bila-bila masa mengikut kemampuan mereka.

    Tahun lalu, kerajaan bersetuju menaikkan had caruman sukarela KWSP kepada RM100,000 setahun berbanding RM60,000 sebelum ini.

  • Sesi keterangan gagal, peguam Ustaz Wadi Anuar tak dibenar masuk

    Sesi keterangan gagal, peguam Ustaz Wadi Anuar tak dibenar masuk

    USTAZ  Wadi Annuar mendakwa sesi beliau memberi keterangan di Pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) hari ini gagal selepas penceramah bebas itu tidak dibenarkan hadir bersama peguamnya.

    Beliau hadir  di Pejabat JAIPs bagi memberi keterangan berhubung penyertaannya pada program Solat Tarawih dan Sembang Santai Bersama Ustaz Wadi Annuar di Markaz Tarbiyah PAS Kawasan Kangar, Kompleks Pendidikan MATIN, Kampung Abi, Padang Machang, pada 28 Mac lalu yang dikatakan dilaksanakan tanpa tauliah daripada Jabatan Mufti Negeri Perlis.

    Berita Harian melaporkan, Ustaz Wadi yang ditemani dua peguamnya, Mohd Jamil Yaacob dan Mohamad Kamarulzaman Jusoh tiba sekitar jam 10 pagi sebelum dibenarkan memasuki pejabat JAIPs sekitar jam 10.30 namun sepanjang tempoh satu jam mereka berada di premis berkenaan, pelbagai kerenah birokrasi didakwa cuba ditimbulkan pegawai JAIPs menyebabkan mereka meninggalkan JAIPs.

    Mohd Jamil yang mewakili Ustaz Wadi berkata, anak guamnya sudah pun memenuhi arahan untuk tampil ke Pejabat JAIPs hari ini seperti yang dijanjikan namun pelbagai hak termasuk mendapatkan peguam untuk ketika sesi temubual dinafikan JAIPs.

    “Kami diberitahu ia adalah sesi temubual antara JAIPs dan anak guam saya, Ustaz Wadi dan mereka tidak membenarkan mana-mana pihak selain Ustaz Wadi untuk hadir bersama dalam sesi itu. Namun, semasa kami berada di situ, mereka (JAIPs) menyatakan pula sesi itu adalah sebagai sesi siasatan jadi kami tidak pasti sesi ini sebenarnya yang mana satu sama ada sesi siasatan, temubual, perjumpaan mesra atau sembang santai kerana kami tidak pasti.

    “Apabila kami bertanyakan bahawa sesi yang dijalankan itu termaktub dalam Enakmen apa, pegawai JAIPs itu juga gagal memberitahu enakmen apa malahan kami pula ditanya mengapa kami hendak tahu mengenai itu (Enakmen) …ini tidak munasabah,” katanya hari ini.

    Pada mulanya, mereka dibenarkan masuk namun Ustaz Wadi hanya boleh bawa seorang peguam sahaja untuk menemaninya.

    “Ini juga adalah sesuatu perkara yang tidak munasabah kerana anak guam saya mahukan dua peguam yang dilantik mengiringinya jadi kami tidak nampak sebab mengapa kehadiran kami sebagai peguam perlu dihalang oleh JAIPs,’’ katanya.

    Terdahulu, sekitar 80 hingga 90 orang penyokong Ustaz Wadi hadir di Pejabat JAIPs dan Kompleks Pendidikan MATIN sebagai solidariti dan sokongan terhadap pendakwah muda itu.

    Sementara itu, Pengarah JAIPs, Ustaz Najmuddin Abdul Karim berkata tiada keperluan untuk peguam Ustaz Wadi Annuar berada bersama dalam sesi memberi keterangan penceramah berkenaan.

    Sesi temubual berkenaan yang sepatutnya berlangsung bermula jam 10.30 pagi hari ini bagaimanapun gagal dijalankan kerana Ustaz Wadi Annuar dan peguamnya didakwa ‘menghilang diri’ selepas tiba di pejabat JAIPs sebelum itu.

    “Kita (JAIPs) tidak dapat ambil keterangannya kerana dia ‘menghilang diri’ dan dipercayai sudah pulang ke Kompleks Pendidikan MATIN di Kangar. Memang kita hendak ambil keterangan Wadi tetapi kita hanya mahukan Wadi sahaja yang berada di premis kita dan tiada keperluan untuk peguamnya hadir sekali kerana ini bukannya perbicaraan mahkamah,” katanya ketika dihubungi akhbar itu

    Katanya, kehadiran peguam pendakwah berkenaan ke dalam premis JAIPs juga diberikan atas budi bicara pegawai penyiasat JAIPs.

    “…Kita di sini bukan nak soal siasat sangat dia tetapi lebih kepada hendak merekodkan keterangan dia berhubung kejadian tempoh hari dan mengapa perlu ada peguam bersama,” katanya.

  • Pertemuan sejarah PH-DAP setuju tiada pertembungan sesama sendiri di Pulau Pinang

    Pertemuan sejarah PH-DAP setuju tiada pertembungan sesama sendiri di Pulau Pinang

    DALAM pertemuan yang dianggap bersejarah, pemimpin Pakatan Harapan dan UMNO Pulau Pinang mencapai kata sepakat untuk memastikan tidak berlaku pertembungan sesama sendiri, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

    Berita Harian melaporkan, persetujuan itu dicapai kedua-dua pihak dalam perbincangan semalam, yang memberi tumpuan kepada rundingan kerusi majoriti Melayu yang bakal ditandingi di Pulau Pinang.

    Ketua Menteri merangkap Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata kedua-dua belah pihak mencapai kata sepakat supaya tidak menentang di antara satu sama lain dalam PRN kelak.

    “Kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama kerana kita tidak mahu melihat pertandingan di antara kita dan tujuan kedua-dua belah pihak adalah untuk mencapai kemenangan besar untuk PH dan BN dalam PRN akan datang.

    “Mesyuarat semalam kita fokus kepada kerusi majoriti Melayu sahaja…dikatakan ada 15 kerusi tetapi apa yang diminta pada peringkat rundingan dalaman ini kita masih belum sedia untuk umum,” katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di Georgetown hari ini.

    Kon Yeow berkata, susulan rundingan itu juga, empat kerusi yang dikosongkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu turut dianggap disandang oleh PH.

    “Bagi PH, kita memang menegaskan prinsip yang ditetapkan oleh pimpinan pusat iaitu prinsip penyandang kekal bertanding kerusi sedia ada. Namun, kedua-dua pihak turut bersetuju melihat kriteria lain, selain daripada prinsip itu apabila berada dalam keadaan yang perlu berbuat demikian,” katanya.

    Menurutnya, rundingan itu akan menjadi proses berterusan yang boleh dilanjutkan sehingga beberapa pusingan lagi, sehingga pengagihan semua kerusi dipersetujui kedua-dua belah pihak.

    Kon Yeow menyifatkan sesi rundingan selama kira-kira sejam membabitkan enam wakil PH dan enam wakil UMNO tu adalah satu pertemuan bersejarah dan berlangsung dalam keadaan aman, selesa dan semangat yang baik.

    “Jadi kita menyifatkan ini satu kejayaan tapi belum memuktamadkan kerusi dan kita bersetuju dengan prinsip serta sudah mendengar dan melihat sejauh mana permintaan masing-masing.

    “Kita juga menegaskan bahawa kita tiada banyak masa jadi perbincangan secara dalaman boleh dilakukan secara kerap sebelum balik ke meja rundingan dalam masa terdekat,” katanya.

    , UMNO diwakili Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir; Timbalan Pengerusi, Datuk Dr Shaik Hussein Mydin; Setiausaha, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah; Bendahari, Datuk Jeffri Salim, Setiausaha Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Datuk Omar Faudzar dan Pengerusi Jabatan Pilihanraya UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

    Manakala PH pula diwakili Kon Yeow selaku Pengerusi PH negeri, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman mewakili Timbalan Pengerusi 1, Nurul Izzah Anwar; Timbalan Pengerusi 2, Datuk Dr Roslan Ahmad, Setiausaha, Lim Hui Ying; Bendahari, Goh Choon Aik dan Pengarah Komunikasi dan Penerangan, Dr Zaidi Zakaria.

    Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), PH memenangi 37 kerusi, termasuk kerusi-kerusi DUN daripada Bersatuy yang ketika itu masih menjadi sebahagian daripada PH.

    BN pula hanya menang dua kerusi DUN iaitu Sungai Dua dan Permatang Berangan manakala Pas mempunyai satu kerusi iaitu Penaga.

  • Perginya permata al-Quran tanah air

    Perginya permata al-Quran tanah air

    BEKAS juara qari kebangsaan dan antarabangsa sebanyak empat kali, Allahyarham Datuk Abdul Haq atau Abdul Ghani Abdullah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Hampar Kanan, Pendang pada pagi semalam.

    Anaknya, Ustaz Azraie Abdul Hak dalam catatan menerusi Facebook miliknya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan ucapan takziah dan membantu memudahkan urusan pengebumian arwah bapanya.

    Abdul Haq adalah permata al-Quran di negara ini selain merupakan juara tilawah al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa pada tahun 1967, 1972, 1980 dan 1982.

    “Alhamdulillah. Selesai urusan pengebumian ayahanda Almarhum Abdul Hak. Damailah dikau di sana. Saya wakil kepada adik-beradik yang lain mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang telah memberi ucapan takziah, datang menziarahi, datang solat jenazah dan datang ke tempat pengebumian memberi penghormatan terakhir kepada arwah. Moga Allah memberi rahmat kepada kalian semua,” kata Azraie, memetik laporan Sinar Harian.

    Azraie yang yang juga juara Musabaqah Tahfiz, Tilawah dan Qiraat Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-9 di Kuwait pada Ahad berkongsi berita sedih apabila mengesahkan arwah bapanya menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.45 malam.

    Sebelum ini, Allahyarham telah pun dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah atas masalah kesihatan.

    Jenazah telah dibawa pulang ke kediaman keluarga di Kampung Batu Hampar, Pendang, dekat Alor Setar sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Hampar Kanan pada pukul 11 pagi semalam.

  • Bawa keluar 2 warga AS dari Sudan, Blinken rakam penghargaan kepada Malaysia

    Bawa keluar 2 warga AS dari Sudan, Blinken rakam penghargaan kepada Malaysia

    AMERIKA Syarikat (AS) merakamkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia atas bantuan membawa keluar dua orang warganya semasa proses evakuasi rakyat Malaysia dari Sudan.

    Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, perkara itu telah disampaikan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken menerusi satu panggilan telefon, hari ini.

    “Usaha yang dilakukan oleh pihak wakil Malaysia yang diketuai oleh Wisma Putra jelas membuktikan bahawa bantuan yang diberikan tanpa mengira warganegara sangat-sangat dihargai sehingga sanggup berhadapan dengan risiko yang tinggi,” kata Zambry dalam kenyataan.

    Katanya, dalam perbualan telefon itu, beliau dan Bliken juga telah bertukar-tukar pandangan mengenai kerjasama dua hala seperti peluang kerjasama perdagangan dan pelaburan, pertukaran lawatan, ekonomi digital, dan perubahan iklim, serta membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

    “Kedua-dua pihak sepakat untuk terus melaksanakan usaha-usaha memperkukuhkan Perkongsian Komprehensif Malaysia-Amerika Syarikat.

    “Semoga hubungan antara Malaysia-Amerika Syarikat dapat terus kekal dan mencapai tahap yang lebih tinggi dalam konteks dua negara dalam pelbagai bidang,” katanya.

    Pada Khamis, Zambry berkata, 30 rakyat Malaysia yang diselamatkan dari Khartoum, dijadualkan pulang hari ini.

    Kumpulan itu termasuk 22 rakyat negara asing iaitu 14 warga Singapura, enam warga Kemboja, dan dua warga Amerika.

  • Kerajaan digesa tangani isu majikan manipulasi pekerja-Pas Selangor

    Kerajaan digesa tangani isu majikan manipulasi pekerja-Pas Selangor

    PAS Selangor menggesa kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Sumber Manusia mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang memanipulasi pekerja terutama bagi sektor ekonomi gig.

    Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata, pekerja dalam sektor itu seperti penghantar p-hailing terpaksa bekerja dari 10 hingga 12 jam sehari bagi mendapat upah setimpal.

    “Selain itu, sistem percukaian yang dilihat membebankan golongan pekerja perlu dikaji semula dan tidak berat sebelah dengan keuntungan sektor swasta.

    “Golongan pekerja wajar diberi penghormatan oleh pihak kerajaan dan majikan atas pengorbanan dan komitmen cemerlang mereka selama ini yang sanggup berjauhan dengan keluarga untuk berhijrah ke Lembah Klang semata-mata ingin mencari rezeki halal,” katanya.

    Beliau berkatra demikain dalam sempena Hari Pekerja hari ini.

    Katanya, lebih 16 juta golongan pekerja sepenuh masa dan kontrak yang menyumbang kepada pembangunan serta kemakmuran ekonomi negara secara langsung.

    “Hari Pekerja disambut pada 1 Mei setiap tahun bertujuan mengiktiraf sumbangan, keringat dan hak golongan pekerja,” jelas beliau, lapor Sinar Harian.

    Sehubungan itu, katanya, Pas Selangor komited mewujudkan keadilan sosial, kesamarataan dan ‘work life balance’ yang lebih akomodatif dengan golongan pekerja terutamanya di negeri ini.