Category: Umum

  • Kurang daripada 50 peratus orang Melayu terima dos penggalak

    Kurang daripada 50 peratus orang Melayu terima dos penggalak

    KURANG daripada 50 peratus masyarakat Melayu telah menerima dos penggalak COVID-19 dan keadaan ini memerlukan komunikasi yang lebih baik khususnya menerusi media sosial, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

    Beliau berkata secara keseluruhan, pemberian dos penggalak harian mula meningkat semula kerana ia merupakan langkah terbaik dalam memberi perlindungan terutama dalam gelombang Omicron yang pantas merebak ketika ini.

    “(Sebanyak) 80 peratus masyarakat Cina ‘boosted’ (menerima suntikan dos penggalak). Namun perlu komunikasi yang lebih mantap di Facebook sebab Melayu kurang 50 peratus,” katanya menerusi ciapan dalam akaun Twitter hari ini.

    Setakat 10 Feb, berdasarkan peratusan data liputan dos penggalak mengikut bangsa di seluruh negara yang dikongsikan Khairy, masyarakat Melayu merekodkan sebanyak 47.9 peratus individu yang telah menerima dos penggalak, Cina (81.3 peratus), India (56.4 peratus), Orang Asli dan Peribumi (49.6 peratus) dan lain-lain (50.6 peratus).

    Beliau bagaimanapun memuji Sarawak yang menjadi negeri merekodkan peratusan tertinggi individu yang menerima dos penggalak iaitu sebanyak 76.8 peratus.

    Ini diikuti Melaka (71.9 peratus), Lembah Klang (66.9 peratus), Negeri Sembilan (62.4 peratus), Pulau Pinang (61.5 peratus), Wilayah Persekutuan Labuan (57.1 peratus), Johor (56.8 peratus), Perak (51.7 peratus), Pahang (48.3 peratus), Kedah (43.9 peratus), Terengganu (38.4 peratus), Perlis (30.9 peratus), Kelantan (25.3 peratus) dan Sabah (24.8 peratus).

    Dalam ciapan berasingan, Khairy yang turut berkongsi peta liputan dos penggalak COVID-19 bagi Lembah Klang dan Johor berkata tumpuan perlu diberikan di kawasan liputan rendah terutamanya untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Setakat semalam, keseluruhan 57 peratus penduduk di Johor telah menerima suntikan dos penggalak dengan Muar merekodkan sebanyak 71 peratus, diikuti Johor Bahru (67 peratus), Kulai (56 peratus), Batu Pahat (52 peratus), Kluang (46 peratus), Kota Tinggi (42 peratus), Tangkak (40 peratus), Segamat (37 peratus), Pontian (35 peratus) dan Mersing (32 peratus).

    Bagi tempoh sama di Lembah Klang, keseluruhan 67 peratus penduduk telah menerima dos penggalak dengan Petaling merekodkan jumlah penduduk yang menerima dos penggalak tertinggi iaitu sebanyak 79 peratus diikuti Kuala Lumpur (75 peratus), Putrajaya (70 peratus) dan Hulu Langat (61 peratus).

    Klang dan Gombak pula, masing-masing 59 peratus, Kuala Langat dan Sepang masing-masing 54 peratus, Kuala Selangor (48 peratus), Sabak Bernam (40 peratus) dan Hulu Selangor (20 peratus).

    Menurut ciapan lain, Khairy berkata majikan perlu menaik taraf sistem pengudaraan di pejabat masing-masing jika perlu mengadakan mesyuarat secara fizikal sebagai langkah berjaga-jaga.

    “Anda (majikan) layak mendapatkan potongan cukai untuk menaik taraf sistem pengudaraan di pejabat anda. Kemudahan ini dilanjutkan sehingga akhir 2022. Maklumat lanjut menerusi @LHDNMofficial,” katanya.

    — BERNAMA

  • Kes Covid terus melonjak hampiri 30,000 kes

    Kes Covid terus melonjak hampiri 30,000 kes

    KES baharu COVID-19 negara terus meningkat dengan sebanyak 20,939 kes direkodkan hari ini menjadikan kumulatif kes kepada 2,996,361, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

    Kali terakhir Malaysia merekodkan kes baharu COVID-19 melepasi paras 20,000 adalah pada 10 Sept tahun lepas dengan 21,176 kes.

    Menerusi laman sosial Twitter rasminya, Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah berkenaan, 99.44 peratus atau 20,821 kes dalam kategori satu dan dua manakala 118 kes lagi atau 0.56 peratus berada dalam kategori tiga, empat dan lima.

    “Kategori satu adalah sebanyak 5,181 kes atau 24.74 peratus; kategori dua,15,640 kes (74.7 peratus); kategori tiga, 95 kes (0.45 peratus); kategori empat,13 kes (0.06 peratus) dan kategori lima,10 kes (0.05 peratus),” katanya.

    Kategori satu dan dua merujuk kepada pesakit yang tidak mempunyai gejala dan bergejala ringan, kategori tiga melibatkan jangkitan paru-paru, kategori empat membabitkan jangkitan paru-paru dan memerlukan oksigen, manakala kategori lima adalah kritikal, organ rosak serta memerlukan bantuan ventilator.

    — BERNAMA

  • Guru KAFA cuti bersalin diberi elaun RM1,000

    Guru KAFA cuti bersalin diberi elaun RM1,000

    GURU Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) yang bersalin bakal menikmati elaun cuti bersalin bermula tahun ini.

    Berita baik itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad yang mengatakan kumpulan tersebut sebelum ini diberikan cuti bersalin, tetapi tidak layak dibayar elaun RM1,000 setiap bulan.

    Memetik laporan Berita Harian Idris berkata, pembayaran elaun itu adalah usaha kerajaan menjaga kebajikan guru KAFA wanita sepanjang kontrak mereka berkuat kuasa dengan agensi pelaksana KAFA negeri.

    “Elaun yang diterima mereka RM1,000 sebulan sebelum ini berjalan seperti biasa walaupun mereka sedang cuti bersalin,” katanya pada Majlis Perasmian Multaqa Murabbi Ummah Negeri Terengganu Tahun 2022 di Masjid Seberang Takir, Kuala Nerus hari ini.

    Sementara itu, Idris memberitahu, khidmat 1,000 guru takmir akan diperluaskan di agensi kerajaan yang lain berbanding hanya di masjid dan surau sebelum ini yang kuotanya berdasarkan nisbah jumlah institusi terbabit.

    Menurut beliau, pihaknya mahu meluaskan keperluan guru takmir mengajar di agensi lain seperti institusi penjara, institusi kebajikan warga emas Jabatan Kebajikan Masyarkat (JKM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

    “Tahun ini, terdapat 5,000 guru takmir di seluruh negara, termasuk 1,000 yang baru dilantik dan pengagihan akan dibuat berdasarkan permohonan serta kuota yang kita tetapkan.

    Insya-Allah, nama-nama (guru) kita pun sudah minta daripada pihak berkuasa agama negeri dan kita saringkan nanti,” katanya.

    Untuk rekod, kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan RM65 juta kepada imam, bilal, guru takmir dan guru KAFA Terengganu pada tahun ini.

  • Terengganu benarkan operasi bazar Ramadan

    Terengganu benarkan operasi bazar Ramadan

    BERITA baik bagi para peniaga kecil dan penjaja di Terengganu apabila kerajaan negeri bersetuju membenarkan bazar Ramadan beroperasi pada tahun ini.

    Bagaimanapun Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, operasi tersebut perlu mengikut peraturan dan SOP yang ketat bagi mengelak berlakunya jangkitan Covid-19, lapor Sinar Harian.

    Menurut Dr Alias, pihak berkuasa tempatan (PBT) sedang melakukan persiapan mengeluarkan permit kebenaran jualan kepada peniaga yang berminat.

    Katanya, setakat ini bazar Ramadan masih dibenarkan beroperasi dan PBT sudah mengenal pasti lokasi serta jumlah tapak jualan pada tahun ini.

    Namun, ujarnya kebenaran ini bergantung kepada situasi semasa Covid-19 dan arahan terkini dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berikutan berlakunya penularan varian Omicron.

    Sementara itu, Dr Alias menasihati orang ramai mengambil dos penggalak dan membenarkan anak mereka berusia lima hingga 11 tahun diberi suntikan vaksin bagi melindungi daripada mortaliti dan morbiditi akibat jangkitan Covid-19.

    Menurut beliau, usaha itu penting sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Mei nanti.

    “Hanya 12 peratus atau 21,901 orang dari 124,206 kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun yang layak menerima vaksin Covid-19 negeri ini sudah mendaftar melalui MySejahtera bagi mendapatkan suntikan vaksin, jumlah ini masih rendah,” katanya.

    Jelas Dr Alias, dengan kenaikan kes mendadak setiap hari berikutan kewujudan gelombang Omicron sekarang, kanak-kanak merupakan golongan rentan yang paling terdedah kepada jangkitan Covid-19 kerana belum mendapat vaksin.

    Sehubungan itu, beliau berharap ibu bapa dapat mengambil peluang menyertai Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) yang dianjurkan kerajaan demi kesejahteraan kesihatan anak masing-masing.

    “Jangan kita mengambil mudah tentang perkara ini, apatah lagi dalam beberapa bulan lagi kita akan menyambut Ramadan dan Hari Raya, jadi pastikan anak-anak kita juga mempunyai pelindung daripada jangkitan Covid-19,” ujar beliau.

  • Omicron: Duduk sahaja di rumah, tak payah tunggu kerajaan arah

    Omicron: Duduk sahaja di rumah, tak payah tunggu kerajaan arah

    Oleh SITI ALYA NADIAH ISMAIL dan NUR AFIRADINA ARSHAD

    PANDEMIK COVID-19 yang melanda negara sejak dua tahun lepas sepatutnya sudah ‘mendidik’ rakyat Malaysia tentang kesedaran kendiri serta mengambil inisiatif sendiri mengurangkan pergerakan di kawasan sesak selepas kenaikan mendadak kes jangkitan virus itu baru-baru ini.

    Pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam Dr Hanafiah Bashirun berkata, orang ramai tidak perlu menunggu arahan sekatan pergerakan daripada kerajaan sebaliknya mengambil langkah proaktif berbuat demikian dalam mengekang penularan varian Omicron yang merebak dengan pantas.

    “Apabila kita nak menuju ke fasa endemik, kita tidak perlu tunggu kerajaan buat keputusan. Sebagai contoh, majikan yang bijak, bila dia nampak kes COVID-19 naik, mereka akan mengurangkan jumlah pekerja yang hadir ke pejabat dan membenarkan bekerja dari rumah.

    “Kenapa nak tunggu Menteri Kesihatan Khairy (Jamaluddin) buat pengumuman baru kita nak ambil tindakan. Sepatutnya apabila kita dah dapat maklumat (kenaikan kes) tindakan itu datang secara spontan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Sebelum ini, Khairy mengumumkan bahawa negara kini sudah sepenuhnya berdepan dengan gelombang varian Omicron serta kes harian COVID-19 yang dijangka terus meningkat.

    Mengulas lanjut, Dr Hanafiah berkata, orang ramai perlu proaktif dan bertanggungjawab serta mengurangkan aktiviti sosial di luar sekiranya tiada keperluan dalam usaha menjaga kesihatan keluarga dan masyarakat sekeliling.

    Beliau berkata, sektor pendidikan juga perlu mengambil tindakan proaktif sekiranya kes di sekolah menunjukkan trend peningkatan tanpa menunggu pengumuman daripada Kementerian Pendidikan.

    Sementara itu, Timbalan Pengarah Kawalan Penyakit (Survelan) Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Asiah Ayob berkata, masyarakat dan semua pihak boleh membantu mengekang penularan COVID-19 dengan mendapatkan vaksin lengkap dan dos penggalak.

    “Selain itu, rakyat Malaysia yang berumur 60 tahun ke atas adalah golongan yang berisiko tinggi dan harus mendapatkan dos penggalak dengan segera.

    “Terus kekal SOP (prosedur operasi standard) sedia ada dengan lebih rapi kerana ia terbukti berkesan untuk mencegah penularan jangkitan serta harus membudayakan tingkah laku baik ini iaitu mengamalkan 3W (‘Wear, Wash and Warn’) dan mengelakkan 3S (Sempit, Sesak dan Sembang Rapat),” katanya ketika diminta mengulas mengenai kenaikan kes hari ini.

    Berdasarkan laman sesawang COVID-19 KKM, kadar kebolehjangkitan (Rt) untuk seluruh negara pada Selasa, berada pada paras 1.39 dengan Sarawak merekodkan nilai tertinggi iaitu 1.68.

    Diikuti Perlis (1.65), Sabah (1.59), Labuan (1.51), Terengganu (1.40) Kedah (1.36), Putrajaya (1.35), Pulau Pinang (1.34), Pahang (1.28), Johor (1.26) dan Selangor (1.25).

    Bagi Perak dan Kelantan masing-masing merekodkan Rt (1.24), Melaka (1.20), Kuala Lumpur (1.18) dan terakhir Negeri Sembilan (1.14). – BERNAMA

  • Pelajar IPT dibenar masuk ke kampus secara berperingkat mulai 1 Mac

    Pelajar IPT dibenar masuk ke kampus secara berperingkat mulai 1 Mac

    KERAJAAN membenarkan kemasukan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ke kampus secara berperingkat mulai 1 Mac ini, dengan jumlah kemasukan pelajar 70 hingga 100 peratus mengikut kapasiti IPT masing-masing.

    Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19 Ke-12 semalam, yang memperhalusi cadangan daripada KPT berhubung kemasukan pelajar ke IPT, iaitu universiti awam, politeknik, kolej komuniti dan IPT swasta,

    “Antara prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan KPT dan Kementerian Kesihatan (KKM) adalah pelajar dan staf yang lengkap dan tidak lengkap vaksinasi dibenarkan masuk ke kampus, namun mereka yang tidak lengkap vaksinasi perlu membuat ujian RT-PCR dan berkeputusan negatif tiga hari sebelum masuk ke kampus.

    “Ujian pengesanan COVID-19 menggunakan kaedah RTK-Ag perlu dilakukan seminggu sekali bagi mereka yang tidak divaksinasi lengkap, mengikut Strategi Pengujian COVID-19 Kebangsaan yang dikeluarkan oleh KKM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Bagi pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu, Hishammuddin berkata hanya mereka yang lengkap vaksinasi dibenarkan masuk ke Malaysia serta wajib menjalani tempoh kuarantin selama tujuh hari atau lima hari sekiranya telah mendapat dos penggalak.

    Selain itu, katanya IPT perlu mempunyai kapasiti untuk menampung bilangan pelajar yang hadir secara fizikal dan sentiasa mematuhi SOP pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang ketat, manakala PdP secara hibrid dan/atau secara dalam talian juga dibenarkan kepada IPT.

    Beliau berkata semua aktiviti sukan dan riadah juga perlu mematuhi SOP dikeluarkan oleh KKM dan pelajar yang pulang ke kampus wajib terus mematuhi SOP umum seperti memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan sentiasa menjaga kebersihan diri.

    “Dalam setiap kelonggaran diberikan kerajaan, aspek keselamatan dan kesihatan rakyat termasuklah pelajar IPT tetap menjadi keutamaan. Sehubungan itu, kerajaan menyeru kepada semua pihak termasuk pentadbiran IPT, staf dan pelajar agar mematuhi SOP ditetapkan dengan penuh berdisiplin dan bertanggungjawab,” katanya.

    Sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi Bilik Gerakan COVID-19 KPT di talian 03-8870 6777/ 6949 / 6623 / 6628, layari laman web IPT atau terus hubungi Pegawai Penyelaras di IPT masing-masing.

    — BERNAMA

  • ‘’Sakit saya amat teruk…adakalanya saya tidak berharap untuk pulih’’ – Tun M

    ‘’Sakit saya amat teruk…adakalanya saya tidak berharap untuk pulih’’ – Tun M

    TUN Dr.Mahathir Mohamad berkata, sakit yang dialami oleh beliau amat teruk sehingga ada kalanya beliau tidak berharap untuk pulih.

    Bagaimanapun kata bekas Perdana Menteri itu, beliau bersyukur dengan rawatan yang diberikan oleh Institut Jantung Negara (IJN), beliau kini pulih.

    ‘’Sekarang ini saya boleh berjalan, saya boleh makan, saya boleh tidur…saya hampir (kehidupan) macam biasa, tetapi tidak bolehlah begitu kuat untuk buat kerja, tetapi saya berharap saya akan pulih,’’ katanya dalam video yang disiarkan melalui akaun Twitternya.

    Dr.Mahathir turut mengucapkan terimakasih kerana ramai yang mendoakan untuk beliau pulih. Dalam perkongsian itu, beliau turut berkongsi foto bersiar bersama isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali di Tasik Putrajaya hari ini.

    Ahli Parlimen Langkawi berusia 96 tahun itu dibenarkan keluar daripada IJN pada Sabtu lalu.

  • 17, 134 kes baharu, 99.5 peratus Kategori Satu, Dua

    17, 134 kes baharu, 99.5 peratus Kategori Satu, Dua

    SEBANYAK 17,134 kes baharu COVID-19 direkodkan hari ini, iaitu peningkatan 3,190 kes daripada 13,944 kes semalam.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi perkongsian di laman Facebook beliau memaklumkan, jumlah kes baharu itu menjadikan kumulatif kes kini 2,956,332 kes.

    Beliau berkata 99.5 peratus atau 17,048 daripada kes baharu hari ini adalah Kategori Satu dan Dua, manakala 0.5 peratus atau 86 kes berada dalam Kategori Tiga, Empat dan Lima.

    Menurutnya Kategori Satu mencatat sebanyak 4,722 kes atau 27.56 peratus; Kategori Dua (12,326 kes atau 71.94 peratus); Kategori Tiga (58 kes atau 0.34 peratus); Kategori Empat (24 kes atau 0.14 peratus) dan Kategori Lima (empat kes atau 0.02 peratus).

    — BERNAMA

  • Menara Telekom untuk dijual

    Menara Telekom untuk dijual

    TELEKOM Malaysia Bhd (TM) mengiklankan tawaran jualan aset miliknya iaitu Menara TM yang terletak di pusat koridor KL Sentral-Bangsar.

    Dalam satu iklan yang disiarkan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini, Menara TM yang menjadi struktur bangunan ikonik di ibu negara dengan 55 tingkat itu ditawarkan pada harga yang tidak didedahkan, lapor Berita Harian.

    Tarikh tutup peringkat pertama bagi jualan Menara TM adalah pada jam 12 tengah hari pada 18 Mac ini.

    Bangunan yang siap dibina oleh Telekom Research & Development Sdn Bhd pada 2001 berstatus pegangan bebas itu ketika ini dihuni sepenuhnya.

    Menurut iklan berkenaan, Menara TM yang dibina sebagai bangunan pejabat lengkap dengan helipad menawarkan menara pejabat berkeluasan 989,000 kaki persegi, pusat konvensyen seluas 92,431 kaki persegi, dewan pelbagai guna, kompleks sukan, klinik, pusat fisioterapi, pusat jagaan kanak-kanak dan masjid.

    Menara berkenaan dibina dengan kos sekitar AS$160 juta (RM669.3 juta) juga memiliki lebih 1,700 lot parkir turut terletak berhampiran infrastruktur sokongan seperti laluan pejalan kaki serta Stesen LRT Kerinchi dan Universiti.

    Bangunan yang ketika ini menjadi ibu pejabat TM itu terletak berhampiran dengan KL Sentral, Mid Valley City, KL Eco City dan Bangsar South.

    Menara TM memiliki status MSC iaitu simbol kepada perkhidmatan berkelas dunia yang dianugerahkan oleh kerajaan.

    WTW Real Estate Sdn Bhd adalah ejen pemasaran eksklusif bagi menara ke-10 tertinggi di Malaysia itu.

  • 91,748 murid dijangka terima PICKids di Kelantan

    91,748 murid dijangka terima PICKids di Kelantan

    SERAMAI 91,748 atau 80 peratus murid sekolah rendah dan prasekolah di Kelantan dijangka mengambil suntikan vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) bermula Ahad depan.

    Memetik laporan Sinar Harian, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin (gambar, bawah) berkata, jumlah tersebut adalah daripada 114,685 keseluruhan yang berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan.

    Menurut beliau, PICKids untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun akan dilaksanakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di sekolah-sekolah secara outreach dengan kebenaran ibu atau bapa murid terbabit.

    Beliau berkata, JKNK menyasarkan 80 peratus atau 91,748 murid sekolah rendah berusia antara tujuh sehingga 11 tahun akan mengambil suntikan Pfizer menerusi PICKids.

    Menurut beliau, pihaknya masih menunggu borang kebenaran daripada ibu bapa yang diedarkan melalui sekolah dan diserahkan kepada JKNK pada minggu ini.

    “Selepas borang- borang dikembalikan, barulah kita akan tahu jumlah sebenar kanak-kanak yang bersedia untuk menerima suntikan tersebut,” ujarnya.

    Menurut Dr Zaini, bagi kanak-kanak sekolah tadika atau taska yang berusia lima hingga enam tahun serta kanak- kanak berpenyakit kronik atau mengalami masalah perubatan perlu mendapatkan suntikan vaksin Pfizer PICKids di PPV Klinik-klinik Kesihatan sekitar Kelantan.

    Bagi murid tercicir persekolahan pula kata beliau, boleh mendapatkan suntikan di PPV Klinik-klinik Kesihatan menerusi 132,000 keseluruhan dos yang diterima JKNK.

    Ujar beliau, pengambilan vaksin kanak-kanak berusia lima sehingga 11 tahun adalah secara sukarela dengan kebenaran ibu bapa dan mereka perlu hadir menemani anak-anak semasa menerima suntikan.

    Menurut beliau, JKNK berharap para ibu bapa dapat membuat keputusan yang bijak dalam isu pengambilan suntikan demi mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak.

    “Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kepada golongan berusia 12 hingga 17 tahun di Kelantan yang lalu mencapai peratusan tinggi iaitu 82.7 atau 174,211 penerima dua dos lengkap vaksin Pfizer.

    “Setakat ini, di Kelantan sebanyak 34 kluster pendidikan masih aktif berlaku bermula pada pembukaan sesi persekolahan Januari lalu. Jumlah majoriti itu adalah daripada keseluruhan 43 kluster yang berlaku di negeri ini ketika ini,” katanya.