Category: Umum

  • Bekas isteri setia jaga Amran Tompel hingga akhir hayat

    Bekas isteri setia jaga Amran Tompel hingga akhir hayat

    MESKIPUN sudah berpisah hampir tujuh tahun, bekas isteri pelakon dan pelawak, Amran Aman Ramli atau lebih dikenali sebagai Amran Tompel tetap membantu anak-anak menjaga dan menguruskan Allahyarham sehingga akhir hayatnya di kediaman di Taman Matahari Height, Senawang, di sini.

    Anas Salmee Syed Mohamad, 53, berkata perasaan sayang, hormat dan rasa tanggungjawab mendorong dirinya untuk menjaga Allahyarham. 

    Beliau mula menjaga bekas suaminya itu pada Mac 2020 selepas Amran Tompel diserang angin ahmar kali ketiga yang menyebabkan dirinya terlantar selain mempunyai penyakit jantung dan darah tinggi.

    “Hubungan saya dengannya selepas berpisah pada Mei 2015 tetap baik malah kami sering bertanya khabar. Berakhirlah urusan arwah di dunia ini dan kami bersyukur dapat mengurus dan menjaga arwah sehingga akhir hayatnya. 

    “Melihat keadaan kesihatannya semakin merosot pada hujung tahun lepas, saya mengambil keputusan menjaga arwah bersama anak-anak di sini,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah sewa anaknya di Seremban, hari ini. 

    Anas Salmee berkata jenazah Amran Tompel selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Forest Heights, Senawang kira-kira pukul 10 malam tadi. 

    Dalam pada itu, beliau berkata Allahyarham tidak banyak kerenah dan mudah dijaga sepanjang beliau sakit terlantar. 

    “Rutin harian saya setiap hari selepas solat subuh, saya akan tengok dia sekejap…bagi dia makan dan pastikan makan ubat mengikut masa namun sejak beberapa hari ini keadaan dia agak murung dan tidak memberikan respons seperti biasa serta tiada selera makan,” katanya. 

    Pelakon dan pelawak terkenal, Amran Tompel atau nama sebenarnya, Amran Tompel Ramlie meninggal dunia pada usia 72 tahun disebabkan sakit tua. 

    Allahyarham meninggalkan empat anak berusia antara 22 hingga 29 tahun dan Amran adalah anak kepada pelakon, pelawak dan pengarah Allahyarham AR Tompel dan aktif dalam industri hiburan tanah air sekitar 1990-an. 

    — BERNAMA

  • Nur Liyana berpakaian etnik Murut Nabai terima Ijazah Sarjana di UK

    Nur Liyana berpakaian etnik Murut Nabai terima Ijazah Sarjana di UK

    NUR Liyana Razali, gadis berusia 26 tahun dari Papar menarik perhatian ramai apabila mengenakan pakaian etnik Murut Nabai dari Sabah ketika menerima Ijazah Sarjana Kejuruteraan dari University of Manchester di United Kingdom baru-baru ini.

    Anak pertama daripada tiga beradik berketurunan Brunei-Murut itu menjadi bualan apabila gambarnya berpakaian tradisional itu berserta jubah dan ‘mortar-board’ ketika mengambil ijazah tersebut pada 20 Mac lepas, tular di media sosial terutama dalam kalangan warganet dari Sabah.

    Nur Liyana berkata beliau mengenakan pakaian tradisi itu sebagai satu cara untuk mempamerkan tradisi dan kebudayaan masyarakat Sabah ke negara luar, seterusnya mahu ia sentiasa dihargai dan diingati terutama oleh generasi muda.

    “Sudah tentu saya gembira dapat menerima segulung Ijazah Sarjana, namun kenangan itu lebih manis apabila saya dapat mempamerkan kebudayaan Sabah di Borneo suku Murut daripada keturunan sebelah ibu saya,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

    Nur Liyana yang kini bertugas sebagai Pelatih Pengurusan di syarikat Nestle Malaysia, Kuala Lumpur turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai terutama warga Sabah yang memberikan sokongan dan galakan kepadanya.

    Bapanya Razali Matali, 51, berkata Nur Liyana sepatutnya menerima ijazah pada 2020, namun disebabkan pandemik COVID-19 ia terpaksa ditangguhkan bagaimanapun beliau bersama isteri serta dua lagi anak bersyukur dapat menghadiri majlis tersebut yang dibuat tahun ini.

    “Sebagai orang tua, saya  sangat gembira atas kejayaan Nur Liyana dan terima kasih kepada kerajaan negeri melalui Yayasan Sabah yang memberikan biasiswa kepada Nur Liyana,” katanya yang turut mengenakan pakaian tradisional baju Melayu cekak musang dan bersongkok ketika menghadiri majlis itu.

    — BERNAMA

  • Selangor benar rapat saf solat jemaah 1 April

    Selangor benar rapat saf solat jemaah 1 April

    SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan supaya solat berjemaah tanpa penjarakan sosial di masjid dan surau seluruh negeri Selangor berkuat kuasa 1 April ini.

    Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, ketetapan tersebut dibuat selepas baginda mengadakan satu rundingan bersama beberapa agensi kerajaan negeri dan ahli-ahli Dewan Diraja Selangor.

    “Baginda telah berkenaan membuat penelitian dan memperhalusi beberapa perkara penting terutamanya langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengelakkan kesan mendalam akibat COVID-19 selain memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara serta masjid dan surau terus berfungsi sebagai pusat ibadah umat Islam.

    “Baginda juga berkenan solat tarawih dibenar dilaksanakan 20 rakaat sepanjang bulan Ramadan tahun ini di semua masjid dan surau di Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mohd Shahzihan berkata, para jemaah dikehendaki mengikuti beberapa ketetapan yang ditetapkan seperti hanya individu lengkap vaksin sahaja dibenarkan hadir ke masjid atau surau.

    “Individu berumur 18 tahun dan ke bawah lengkap dua dos vaksin dibenarkan hadir ke masjid dan surau selain perlu membawa sejadah dan memakai pelitup muka.

    “Individu yang bergejala diminta menangguhkan sebarang aktiviti di masjid dan surau sehingga tahap kesihatan dapat dipastikan demi menjaga kesejahteraan jemaah lain,” katanya.

    Mohd Shahzihan berkata, baginda turut menzahirkan rasa bimbang dengan penularan wabak COVID-19 yang masih tinggi di Selangor dan menasihati rakyat di negeri itu untuk terus berhati-hati serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan arahan yang dikeluarkan oleh kementerian dari semasa ke semasa.

    “Di Selangor mencatatkan jumlah kematian sebanyak 10,413 setakat 19 Mac lalu dengan lebih 50 peratus daripadanya adalah orang Melayu.

    “Oleh yang demikian, baginda menasihati rakyat Selangor agar tetap berhati-hati dan terus mematuhi SOP serta mengikuti semua arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari semasa ke semasa,” katanya. – BERNAMA

  • Pekebun kecil Risda dapat manfaat jika ketum boleh dieksport

    Pekebun kecil Risda dapat manfaat jika ketum boleh dieksport

    RISDA  mungkin boleh mendapat manfaat sekiranya kerajaan persekutuan membenarkan eksport daun ketum ke luar negara.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar Mahdzir Khalid berkata sekiranya eksport ketum menjadi sah di sisi undang-undang, tidak menjadi kesalahan bagi pekebun kecil getah untuk menjana pendapatan tambahan dengan menanam tumbuhan itu.

    “Kalau sudah sah dan boleh ada pendapatan, kenapa tidak? Kalau jual satu kilogram daun ketum boleh dapat pendapatan berpuluh-puluh ringgit dan dari segi undang-undang ia pula sah, jadi saya fikir tak menjadi kesalahan,” katanya.

    Mahdzir berkata demikian selepas menghadiri program Risda Prihatin Pekebun Kecil Makmur 2022 Padang Terap di Kuala Nerang, Kedah, hari ini.

    Beliau diminta mengulas cadangan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor baru-baru ini yang meminta kerajaan persekutuan membenarkan negeri itu mengeksport daun ketum khususnya Thailand bagi tujuan perubatan.

    Mahdzir berkata kerajaan Persekutuan perlu membuat keputusan mengenai status ketum memandangkan sudah banyak kajian telah dilakukan mengenai manfaat daunnya untuk perubatan.

    “Tapi perkara itu biarkan Kementerian Kesihatan yang uruskan. Cumanya saya fikir sampai masanya nanti kita tengok bagaimana keputusan kerajaan,” katanya.

    Ketika ini terdapat kira-kira 552,000 pekebun kecil Risda di seluruh negara dengan keluasan tanaman getah 1.1 juta hektar.

    Mengenai program Risda Prihatin itu, Mahdzir berkata seramai 330 pelajar sekolah melibatkan anak pekebun kecil getah di daerah ini menerima bantuan persekolahan yang keseluruhannya membabitkan peruntukan RM66,000.

    “Risda membantu sedaya upaya mungkin dalam meringankan beban masyarakat pekebun kecil dalam membuat persiapan persekolahan anak-anak mereka,” katanya.

    Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Risda Ali Sabuddin Abd Samad.

    -Bernama

  • ‘’…Sebab mereka tak suka muka saya’’  – Hamzah

    ‘’…Sebab mereka tak suka muka saya’’  – Hamzah

    MENTERI Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa beberapa Ahli Parlimen kerajaan bertindak keluar Dewan Rakyat ketika undi belah bahagi Rabu lepas disebabkan mereka “tidak suka melihat wajah beliau”.

    Hamzah meluahkan rasa kecewa dan terkilan selepas beberapa Ahli Parlimen kerajaan bertindak demikian ketika undi belah dijalankan bagi pelanjutan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

    “Saya rasa agak terkilan dengan beberapa Ahli Parlimen terutamanya daripada pihak kerajaan sendiri yang saya difahamkan berada dalam dewan ketika undi belah bahagi, ketika nak undi, dia keluar.

    “Sudah tentu saya tidak gembira, sebahagian daripada mereka sudah berada di dewan tetapi keluar bila undi belah bagi, itu tidak adil, saya boleh namakan siapa.

    “Sebab mereka tak suka muka saya,” katanya ketika ditanya alasan yang diberikan wakil kerajaan yang bertindak keluar Dewan Rakyat selepas menghadiri perbarisan sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di Kuala Lumpur, lapor FMT.

    Hamzah turut membidas wakil rakyat yang tidak menyokong usul tersebut sebagai tidak bertanggungjawab dalam menjaga kepentingan negara.

    “Pemikiran orang seperti ini sebenarnya langsung tak fikirkan tanggungjawab dia demi kepentingan negara. Saya sudah jelaskan, isu SOSMA ini isu keselamatan negara. Bila ditolak oleh pembangkang, maknanya walaupun mereka mengaku sayangkan negara mereka tak sedar bahawa SOSMA dilakukan selepas kita tarik semula ISA.

    “Jadi saya rasa agak terkilan kerana ada juga pihak sebelah kerajaan (tidak undi). Pembangkang itu satu bab, mereka main politik semata-mata. Saya minta rakyat sedar bahawa janganlah fikirkan politik. Hikmahnya, Allah nak tunjuk kepada kita semua, ada kumpulan yang dakwa sayang pada negara rupanya tak sayang pada negara,” katanya.

    Beliau turut menegaskan bahawa perundangan di bawah SOSMA yang memperuntukkan 28 hari tahanan itu dibuat selepas pelbagai pertimbangan dilakukan.

    “Akhirnya kita kompromi dengan beri 28 hari sahaja. 28 hari ini begitu cukup kompromi untuk semua pihak dan apabila akta telah diluluskan dan disambung pada 2017 akhirnya tamat pada Julai tahun ini,” katanya.

    Rabu lepas usul yang dibawa kerajaan di Dewan Rakyat untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa SOSMA selama lima tahun lagi gagal diluluskan dengan Ahli Parlimen yang bersetuju seramai 85 orang, manakala tidak bersetuju 86 orang dan 49 lagi Ahli Parlimen tidak hadir.

  • Hamzah akan bentang semula usul SOSMA sebelum Julai

    Hamzah akan bentang semula usul SOSMA sebelum Julai

    KERAJAAN akan membentangkan sekali lagi usul pelanjutan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi tempoh lima tahun lagi selepas ia gagal mendapat sokongan majoriti wakil rakyat di Parlimen Rabu lalu.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pembentangan itu akan dibuat sebelum tempoh penguatkuasaan penahanan selama 28 hari bawah SOSMA tamat 31 Julai ini.

    “Soalannya kita mesti dapatkan semula persetujuan daripada Parlimen untuk kita sambung Julai ini sebelum tamat (penguatkuasaan penahanan 28 hari bawah SOSMA) pada Julai ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perbarisan sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur, lapor FMT.

    Ditanya sama ada rundingan dengan wakil pembangkang akan dilakukan sebelum pembentangan semula memandangkan Pakatan Harapan (PH) mendakwa usul tersebut sebelum ini tidak dibincang sebelum dibentang, Hamzah menjelaskan, isu itu tidak sepatutnya timbul memandangkan ia tiada kaitan dengan perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani sebelum ini.

    “Ceritanya senang, mereka menggunakan alasan seolah-olah tak bincang, itu politik. Saya pun boleh kata dalam MoU itu (usul pelanjutan Subseksyen 4(5) tidak ada, sebab ini bukan nak gubal undang-undang, undang-undang sudah ada, ini hanya usul untuk lanjut sahaja.

    “Dalam MoU itu untuk gubal undang-undang yang baharu, betullah yang itu kita kena duduk bincang, tapi yang ini undang-undang dah ada. Jadi semua orang kena faham ini untuk kepentingan negara. Tak boleh nak gunakan isu ini untuk kata nak tunjuk kekuatan pembangkang, tak boleh,” katanya.

    Hamzah berkata, beliau akan menggunakan segala peruntukan perundangan yang ada untuk memastikan usul itu akan terus berkuat kuasa selepas Julai ini.

    Rabu lalu, usul kerajaan di Dewan Rakyat untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa SOSMA selama lima tahun lagi gagal diluluskan dengan Ahli Parlimen yang bersetuju seramai 85 orang, manakala tidak bersetuju 86 orang dan 49 lagi tidak hadir.

  • 2 juta penerima Sinovac dijangka hilang status vaksinasi lengkap 1 April – KJ

    2 juta penerima Sinovac dijangka hilang status vaksinasi lengkap 1 April – KJ

    KIRA-kira dua juta penerima vaksin Sinovac diunjurkan berisiko untuk hilang status vaksinasi lengkap mereka pada 1 April ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

    Beliau berkata, ketika ini sebanyak 2.09 juta penerima Sinovac belum menerima dos penggalak.

    “Mengikut unjuran kita untuk seminggu lagi, Kementerian Kesihatan unjurkan bahawa mungkin akan ada dua juta penerima vaksin berisiko hilang status vaksinasi lengkap mereka pada 1 April,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

    Sebelum ini, tempoh untuk mendapatkan dos penggalak bagi penerima vaksin itu sebelum status vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera dinyatakan sebagai tidak lengkap berakhir 28 Feb lepas, sebelum ia dilanjutkan kepada 31 Mac ini.

    Khairy berkata bagi menggalakkan penerima vaksin jenis itu mendapatkan suntikan penggalak, perbincangan dengan Singapura juga turut dilakukan susulan persetujuan kedua-dua negara membenarkan pengembara lengkap vaksinasi merentas sempadan darat tanpa menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian COVID-19.

    “Saya bincang perkara ini dengan Menteri Kesihatan Singapura, mereka (Singapura) juga menganggap divaksinasi sepenuhnya untuk Sinovac (penerima) sebagai tiga dos (termasuk penggalak), jadi jika anda ingin menikmati perjalanan ke Singapura, tanpa kuarantin, anda tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.

    Pengecualian kuarantin dan ujian COVID-19 bagi perjalanan darat Malaysia-Singapura itu turut merangkumi ujian prapelepasan dan semasa ketibaan bermula 1 April ini.

    Sementara itu, Khairy berkata walaupun negara akan beralih ke fasa peralihan ke endemik bermula 1 April ini, namun mandat pemakaian pelitup muka adalah kekal.

    Dalam pada itu, Khairy berkata permohonan kuarantin di rumah dan pemakaian peranti pengesanan digital adalah antara prosedur untuk pengembara yang akan dimansuhkan bermula 1 April ini.

    Turut dimansuhkan ialah Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi, kaunter ujian pengesanan COVID-19 RT-PCR oleh Kementerian Kesihatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan My TravelPass.

    — BERNAMA

  • Dewan Rakyat lulus usul kecualikan kerabat diraja daripada daftar pemilih automatik

    Dewan Rakyat lulus usul kecualikan kerabat diraja daripada daftar pemilih automatik

    • Rang Undang-undang Anti Lompat Parti dibentang 11 April

    RANG Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2022 bagi mengecualikan pendaftaran pemilih automatik kepada kerabat diraja diluluskan di Dewan Rakyat dengan lebih 2/3 Ahli Parlimen bersetuju.

    Pindaan Perlembagaan itu bagi mengecualikan nama raja dan pasangan, Yang DIpertua Negeri dan pasangan, bakal raja, waris ganti dan waris lain raja dan pasangan serta individu lain daripada disenaraikan dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dipersetujui semua 181 wakil rakyat kerajaan dan pembangkang yang hadir ketika pengundian.

    “Oleh sebab mengikut peraturan persekutuan, RUU pindaan ini memerlukan sokongan undi tidak kurang 2/3 Ahli Parlimen, maka saya memerintah satu belah bahagian dilakukan, 2/3 undi iaitu bermaksud tidak kurang 148 undi daripada 222 Ahli Dewan Rakyat.

    “Keputusan belah bahagian seperti berikut, bersetuju 181, tidak hadir 39, tiada yang tidak bersetuju, RUU diluluskan,” kata Speaker Tan Sri Azhar Azizan Harun.

    Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata RUU itu bertujuan meminda Perlembagaan dengan menambah Perkara 119A bagi mengecualikan golongan diraja daripada didaftarkan secara automatik dalam daftar pemilih, seperti diperuntukkan dalam Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.

    Katanya, cadangan pindaan itu sudah dipersetujui secara bersama antara semua kerajaan negeri, dipersetujui di peringkat Jemaah Menteri pada 4 Mac lalu dan telah dibentang dan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 8 hingga 12 Mac.

    Beliau berkata, perkara itu juga selaras dengan keistimewaan dan kewibawaan raja-raja Melayu dan kedudukan Yang Dipertua Negeri seperti termaktub dalam peruntukan Perlembagaan atau Undang-Undang Tubuh Negeri.

    SEMENTARA itu, Rang Undang-undang Anti Lompat Parti akan dibentang pada Sidang Khas Parlimen yang dijadualkan pada 11 April ini.

    Wan Junaidi berkata beliau telah mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menetapkan tarikh itu.

    “Saya ada berkesempatan berbincang dengan Perdana Menteri dan kita telah bersetuju persidangan pada 11 April ini diadakan untuk kita membahaskan Rang Undang-undang Anti Lompat Parti.

    Kuasa di bawah Peraturan 11(3) ini memang kuasa dan hak Perdana Menteri dan berbincang dengan Speaker (Dewan Rakyat) tapi tarikh itu ditetapkan dalam masa 14 hari,” katanya.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang bangun mencelah dan bertanyakan bila Sidang Khas Parlimen itu akan diadakan bagi membolehkan kedua-dua pihak membuat persiapan.

  • Gaji minimum naik, peniaga jangan pula naik harga barang

    Gaji minimum naik, peniaga jangan pula naik harga barang

    MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menggesa para peniaga untuk tidak sesuka hati menaikkan harga barangan menjelang fasa peralihan ke endemik mulai 1 April dan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu bermula 1 Mei.

    Beliau berkata, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melakukan aktiviti pemantauan dan melaksanakan penguatkuasaan undang-undang secara berterusan terhadap mana-mana peniaga yang berbuat demikian.

    “Komuniti peniaga janganlah suka-suka naikkan harga susulan kenaikan gaji minimum dan pembukaan sempadan kerana aktiviti ekonomi akan lebih rancak,” katanya.

    Namun pada masa yang sama, Nanta memberi amaran tegas kepada peniaga sekiranya dikesan melakukan perkara tersebut, tindakan undang-undang dan peraturan yang sedia ada termasuk kompaun akan dilaksanakan,

    “Kami akan membuat advokasi kepada pengguna supaya lebih mengetahui keadaan semasa dan turut melakukan langkah-langkah pencegahan dengan melarang dan memastikan peniaga tidak membuat tindakan tidak beretika seperti menaikkan harga dan sebagainya,” katanya pada sidang media di Klang hari ini.

    Terdahulu Nanta menyaksikan sesi penyerahan sumbangan peralatan perubatan melibatkan dua unit N15 Patient Monitor bernilai RM100,000 oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia kepada Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

    Nanta turut mengulas mengenai laporan media semalam, berkenaan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang mengesan 63 syarikat menjalankan kegiatan penyelewengan subsidi minyak masak membabitkan cukai tidak berbayar sebanyak RM200 juta.

    “Sebenarnya KPDNHEP sedar berlaku hal sebegini dan kami sentiasa memantau, mengesan serta menyiasat kes yang serupa ini dan apa yang dinyatakan LHDN adalah penemuan mereka mengenai keseluruhan kes berkenaan. Saya tak mahu nyatakan sekarang kerana akan biarkan pihak LHDN buat siasatan terlebih dahulu.

    “Saya difahamkan penguat kuasa (KPDNHEP) sudah berhubung dengan pihak LHDN dalam hal ini dan bersama mereka nanti, kami akan meneliti dan perincikan apa sebenarnya dan mengambil langkah wajar,” katanya. – BERNAMA

  • PM tidak hilang kepercayaan – Anthony Loke

    PM tidak hilang kepercayaan – Anthony Loke

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak hilang kepercayaan kerana kegagalan Dewan Rakyat meluluskan usul melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) pada Rabu.

    Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata isu SOSMA tidak dirunding antara kerajaan Persekutuan dengan Pakatan Harapan (PH) ketika memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik pada September tahun lalu.

    “Tetapi adakah bermaksud usul SOSMA itu ditolak maka YB Bera (Ismail Sabri) hilang kepercayaan?Jawabnya tidak. Obligasi kita ialah meluluskan Belanjawan 2022 yang kita telah panggil belah bahagian sepanjang perbahasan tahun lepas.

    “Kalau sekarang siapa-siapa pertikaikan atau ada persoalan bahawa Bera sudah hilang kepercayaan, bawalah satu usul kepercayaan, kita akan berkecuali dan pasti usul kepercayaan itu diluluskan. Jadi soal usul kepercayaan itu tidak timbul sama sekali,” katanya di Dewan Rakyat hari ini, lapor Astro Awani.

    Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2022.

    Mengulas lanjut, Loke berkata kegagalan meluluskan usul SOSMA disifatkan satu kemenangan kepada Parlimen kerana tidak semua usul yang dibawa oleh badan eksekutif boleh diluluskan.

    Jelas beliau lagi, usul tersebut ditolak juga berpunca daripada ketidakhadiran Ahli Parlimen dari blok kerajaan sendiri.

    “Semalam sebenarnya saya pun tak jangka kerajaan akan gagal dalam usul tersebut sebab kerajaan tidak hilang majoriti. Pihak kerajaan ada 114 atau 115 Ahli Parlimen, (tetapi) yang hadir di pihak kerajaan hanya 84 orang (dan), kita (blok pembangkang) 86. Ada 30 yang tak hadir…

    “Jadi yang gagalkan usul itu, (jangan) persalahkan kita, yang gagalkan usul tersebut adalah dalam 30 Ahli Parlimen dari blok kerajaan yang tak hadir. Ia termasuk Pekan (Datuk Seri Najib Razak), Bagan Datuk (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi), Pontian (Datuk Ahmad Maslan) dan sebagainya.

    “,,, yang hadir saya tengok Padang Rengas yang pertahankan kerajaan (dan juga) Jempol,” ujarnya lagi.

     Dalam masa yang sama Loke (PH-Seremban) turut membidas Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) yang mendakwa MoU antara PH dan kerajaan telah terbatal susulan daripada kegagalan meluluskan usul SOSMA.

    Dewan Rakyat semalam gagal meluluskan usul untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA untuk tempoh lima tahun lagi.

    Usul itu ditolak selepas keputusan undian belah bahagian menunjukkan hanya 84 Ahli Parlimen menyokong, manakala 86 Ahli Parlimen tidak menyokong, selain 50 Ahli Parlimen tidak hadir.

    Kegagalan usul itu menyebabkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak dapat melanjutkan kuat kuasa Subseksyen 4(5) bermula 31 Julai depan.