Category: Umum

  • Kontraktor didakwa cabul tiga wanita

    Kontraktor didakwa cabul tiga wanita

    SEORANG kontraktor pembinaan hari ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencabul kehormatan tiga wanita di kawasan pusat komersial Tamarind Square di Cyberjaya, Disember tahun lalu dan bulan ini.

    Tertuduh Fariz Sollehim Mohamed, 20, membuat pengakuan itu selepas tiga pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Majistret Ayuni Izzati Sulaiman di Mahkamah Majistret Sepang.

    Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada 21 Dis lalu, 11.46 pagi di tempat letak kereta Tamarind Square terhadap seorang wanita berumur 32 tahun dan dua lagi kes cabul pada 5 April lalu di tempat sama terhadap dua wanita, masing-masing berumur 35 tahun dan 27 tahun.

    Lelaki berasal dari Selangor itu dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada dua hukuman itu, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, ibu bapa tertuduh kelihatan sedih ketika mengikuti prosiding tersebut.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farah Sofea Norazman manakala Fariz Sollehim diwakili pelatih dalam kamar Nur Ashiqeen Mohd Sultan dari Tetuan Shah & Hurrie.

    Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali, serta tidak mengganggu mangsa dan saksi kejadian.

    Mahkamah menetapkan 30 Jun ini sebagai tarikh perbicaraan – BERNAMA

  • Dua anggota Maritim Malaysia cedera bergelut dengan nelayan asing

    Dua anggota Maritim Malaysia cedera bergelut dengan nelayan asing

    DUA anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) cedera ketika bergelut dengan nelayan asing yang menceroboh perairan negara, dalam kejadian pada jarak 46 batu nautika dari muara Tok Bali, dekat Pasir Puteh.

    Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman, berkata dalam kejadian Isnin lalu, dua anggota APMM terbabit mengalami kecederaan bahagian tapak tangan kiri dan ibu jari kanan.

    “Salah seorang anggota cedera apabila tekong bot cuba menikam dengan pisau ketika anggota mahu mengambil alih kawalan ke atas bot yang ditahan.

    “Seorang anggota lagi pula cedera apabila diserang kru bot, namun mereka berjaya mempertahankan diri dan mengambil masa 45 minit untuk menahan bot berkenaan,” katanya dalam kenyataan, lapor Berita Harian.

    Syed Nor Adli berkata, seramai 20 orang kru termasuk tekong warga Vietnam berusia 20 hingga 48 tahun ditahan.

    Katanya, semua nelayan itu ditahan ketika rondaan OP Khas Naga Barat, Op Khas Kuda Laut dan Op Damai yang mengesan kehadiran bot yang mencurigakan pada jarak tiga batu nautika.

    “Anggota terpaksa menggunakan ‘force boarding’ bagi memastikan bot berjaya dihentikan dan ambil masa tujuh jam untuk membawa bot dan tahanan ke jeti APMM,” katanya.

    Syed Nor Adli berkata, semua nelayan terbabit didapati tidak mempunyai pengenalan diri dan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985.

    Katanya, mengikut peruntukan seksyen itu, nelayan terbabit boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM6 juta setiap orang dalam hal empunya atau nakhoda, manakala RM600,000 ke atas setiap kru, jika sabit kesalahan.

    Beliau berkata , pasukan Maritim Malaysia berjaya merampas sebuah bot, peralatan ikan, hasil lalu seberat 500 kilogram dan 500 liter diesel yang semuanya dianggarkan bernilai RM1.5 juta.

    “Bot dan peralatan menangkap ikan juga boleh dilucuthakkan kepada kerajaan Malaysia jika didapati bersalah,” katanya.

  • Tiada unsur rasuah dalam pembinaan jeti RM50,000 di Miri, Sarawak

    Tiada unsur rasuah dalam pembinaan jeti RM50,000 di Miri, Sarawak

    SURUHANJAYA  Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tiada unsur rasuah dalam projek pembinaan jeti kayu di Kampung Mutap, Miri, Sarawak yang tular di media sosial baru-baru ini.

    Sumber SPRM berkata kayu yang diguna dalam projek bernilai RM50,000 berkenaan adalah kayu belian asli dan disahkan oleh pakar.

    Menurut sumber itu, Ibu pejabat SPRM telah mengarahkan SPRM Sarawak untuk meneliti projek di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri itu, susulan dakwaan orang ramai ia memakan kos yang mahal untuk sebuah jeti kayu sepanjang 15 meter.

    “Hasil penelitian yang dibuat tidak menunjukkan terdapat sebarang rasuah atau penyelewengan dalam projek berkenaan,” katanya.

    Pada Ahad lepas 8 April lepas JKR Sarawak di laman Facebooknya telah memuat naik gambar jeti kayu berkenaan bersama kos pembinaannya yang mengundang kritikan orang ramai yang beranggapan kos itu terlalu mahal untuk sebuah jeti kayu dan memohon agar pihak SPRM membuat siasatan.

    Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan perkara itu namun enggan mengulas lanjut.

    — BERNAMA

  • Johor benarkan penceramah, pendakwah tepati kriteria

    Johor benarkan penceramah, pendakwah tepati kriteria

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    PENCERAMAH atau pendakwah yang menepati kriteria ditetapkan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) terutama berpegang fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) akan terus diberi tauliah untuk berdakwah di Johor.

    Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, kerajaan negeri tidak menghalang mana-mana penceramah atau pendakwah tersebut selagi mereka menepati kriteria itu.

    “Selagi tepati kriteria yang ditetapkan oleh MAINJ, tidak ada masalah mereka dibenarkan untuk diberi tauliah di Johor. Kita ada lembaga dan Jawatankuasa Tauliah Pengajar dan Memberi Syarahan Agama Negeri Johor yang meneliti hal ini.

    “Jawatankuasa ini perlu diberi keyakinan penuh dalam memberi ketentuan tauliah ini. Mereka tidak pernah bersifat berat sebelah.

    “Jika kriteria ini ditepati, kita akan benarkan tanpa mengira sesiapa pun mereka (untuk berceramah dan berdakwah di Johor),” katanya ketika ditemui pada program Belanja Raya Bersama Asnaf 2022 di sini, hari ini.

    Kerajaan Johor pada 2016 pernah mengeluarkan pekeliling dan arahan melarang 16 orang penceramah bebas daripada mengajar kelas agama di negeri itu.

    Setahun kemudian, Mufti Zimbabwe, Ismail Menk dan penceramah terkenal Ustaz Haslin Baharim atau dikenali Ustaz Haslin Bollywood diharamkan daripada menyampaikan ceramah di Johor ekoran pandangan mereka yang boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian kaum.

    Baru-baru ini, tular satu dokumen bertarikh 17 Mac 2022 di media sosial yang dikatakan dikeluarkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berkaitan kemaskini senarai nama penceramah yang ditarik semula tauliah untuk mengajar.

    Antaranya ialah bekas calon Pas bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik, Ahmad Dusuki Abd. Rani, penceramah Nazmi Abdul Karim dan Syamsul Amri Ismail atau lebih dikenali sebagai Syamsul Debat.

    Sementara itu, Mohd. Fared berkata, MAINJ juga sentiasa mengemaskini senarai pentauliahan penceramah dan pendakwah yang dibenarkan memberi ceramah dan mengajar agar menepati kriteria ditetapkan.

    Kata beliau, tidak ada langsung kriteria politik diletakkan oleh MAINJ dalam menentukan tauliah dan kebenaran kepada penceramah kerana mana-mana pendakwah dibenarkan mengajar tanpa mengira parti politik tertentu.

    “Saya percaya pendakwah dan penceramah yang dibenarkan pun tidak sealiran dengan mana-mana parti politik tertentu. Saya percaya Johor tidak pernah mengambil kira itu sebagai keutamaannya tetapi kelayakan perlu bertepatan dengan kehendak MAINJ,” katanya.

    Habis

  • Sultan Selangor beli lukisan unik, papar ‘realiti sinis’ di Dewan Rakyat

    Sultan Selangor beli lukisan unik, papar ‘realiti sinis’ di Dewan Rakyat

    SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada Selasa membeli sebuah karya seni lukisan sinis berkaitan senario di Dewan Rakyat yang menarik perhatian baginda.

    Selangor Royal Office dalam hantaran di laman Facebook memaklumkan, Sultan Sharafuddin berhasrat menggantung lukisan tersebut di bilik bacaan peribadi baginda.

    “Sebuah hasil karya seni lukisan telah menarik perhatian Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

    “Satu hari nanti, baginda berhasrat untuk melelong lukisan ini dan hasil lelongannya akan disumbangkan untuk tujuan kebajikan,” demikian menurut hantaran tersebut.

    Berdasarkan beberapa keping gambar yang dimuat naik, karya seni yang dilihat mempunyai maksud tersirat itu seolah-olah menggambarkan realiti secara sinis gelagat Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

    Sultan Sharafuddin turut kelihatan merenung lakaran karya tersebut, yang antaranya memaparkan individu yang dipercayai memegang jawatan sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat sedang mengendalikan sidang.

    Paling menarik perhatian ialah lakaran seni pelbagai spesis monyet seperti Orang Utan, beruk, kera, babun serta beberapa ekor katak yang berada di kedudukan kiri dan kanan Dewan Rakyat.

    Watak haiwan di dalam seni lukisan seperti karya terkenal Banksy itu dizahirkan dengan beberapa reaksi seperti ketawa, mengantuk serta ‘kelesuan’.

    Namun, tiada pendedahan dari mana baginda membeli lukisan terbabit atau siapakah pelukis yang bertanggungjawab melukis lukisan yang penuh keunikan tersebut.

  • Asid sulfurik tumpah, 61 pelajar SMA Nurul Islam dikejarkan ke hospital

    Asid sulfurik tumpah, 61 pelajar SMA Nurul Islam dikejarkan ke hospital

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Tumpahan asid sulfurik di Sekolah Menengah Agama (SMA) Nurul Islam, Ayer Hitam dekat Kubang Pasu, Kedah hari ini, menyebabkan seramai 61 pelajar di situ terpaksa dibawa ke hospital setelah mengalami simptom tertentu.

    Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Suprintendn Rodzi Abu Hassan berkata, kebanyakan pelajar tersebut mengadu sakit tekak, pening dan loya dipercayai akibat terhidu udara yang tercemar dengan tumpahan asid sulfurik tersebut.

    “Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi ketika kontraktor dilantik, sedang menjalankan tugas untuk memindahkan asid sulfurik yang telah tamat tempoh dari sekolah tersebut ke tempat lebih selamat.

    “Begitu pun salah satu daripada tong itu dikatakan pecah menyebabkan asid sulfurik tersebut mencemarkan udara di situ, sebelum dihidu oleh pelajar di kelas berhampiran,” katanya.

    Tambahnya, kesemua pelajar terdiri daripada sembilan lelaki dan 52 perempuan kemudiannya dibawa ke Hospital Jitra, Klinik Kesihatan Ayer Hitam dan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Jitra bagi menjalani pemeriksaan lanjut.

    “Asid yang telah tamat tempoh itu sepatutnya dipindahkan dan akan digantikan dengan yang baharu bagi tujuan pembelajaran.

    “Kita bernasib baik kerana tidak berlaku letupan di situ. Semua pihak terdiri daripada polis, bomba dan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertindak cepat bagi mengelak kejadian lebih buruk berlaku,” katanya.

    Dalam pada itu Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, tumpahan tersebut hanya melibatkan sebuah tong yang berisi asid sulfurik di sekolah tersebut.

    “Kalangan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jitra telah melakukan proses pengudaraan serta mencuci sisa asid sulfurik berkenaan,” katanya.

  • Maritim Malaysia Pulau Pinang bantu kru kapal warga India alami tekanan darah tinggi

    Maritim Malaysia Pulau Pinang bantu kru kapal warga India alami tekanan darah tinggi

    MARITIM Malaysia Pulau Pinang mengkoordinasikan operasi pemindahan perubatan (Medevac) melibatkan seorang kru kapal Pacific Dove yang disyaki mengalami tekanan darah tinggi dalam pelayaran dari Singapura ke Pelabuhan Kalinada India, pagi tadi.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang menerima panggilan kecemasan daripada ejen kapal tersebut kira-kira pukul 5.30 pagi.

    Menurut beliau, berdasarkan koordinat kapal pada masa itu berada dalam kawasan maritim Kedah/Perlis.

    “Maka, Maritim Negeri Pulau Pinang memohon bantuan aset dari Zon Maritim Kuala Kedah untuk diatur gerak ke lokasi kira-kira 6.9 batu nautika utara Mukah Head bagi membantu memindahkan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, bot Perkasa 1226 dari Zon Maritim Kuala Kedah telah diatur gerak dan tiba di lokasi kapal kira-kira pukul 8 pagi.

    “Mangsa, Santosh Kumar, 47, yang merupakan warga India kemudian dipindahkan daripada kapal ke bot untuk dibawa ke Jeti Swettenham Pier sebelum dikejarkan ke Hospital Gleneagles Pulau Pinang untuk rawatan lanjut,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau meminta mana-mana pihak yang mempunyai sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut segera menghubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999.

  • Pesara TUDM meninggal dunia ketika solat Isyak

    Pesara TUDM meninggal dunia ketika solat Isyak

    SEORANG pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Yusri Taib, 51, meninggal dunia ketika menunaikan solat Isyak berjemaah di Masjid An-Nur, Saujana Utama, dekat sini, malam tadi.

    Beliau yang berasal dari Melaka sebelum itu rebah dalam rakaat pertama solat Isyak sebelum disahkan meninggal dunia oleh kumpulan paramedik dari Hospital Sungai Buloh.

    Abang Allahyarham, Mat Isa Taib, 56, berkata adiknya bersara daripada TUDM kira-kira sembilan tahun lalu dan menjalankan perniagaan menjahit kusyen dan bantal yang diusahakan bersama isterinya.

    Katanya, Allahyarham meninggalkan seorang balu dan empat anak berusia antara 16 hingga 23 tahun.

    “Anak sulungnya baru sahaja bekerja selepas menamatkan pengajian,” katanya lapor Berita Harian, hari ini.

    Timbalan Nazir Masjid An-Nur, Azman Omar, pula berkata jenazah Allahyarham dimandikan di Masjid An-Nur pagi ini dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Cerakah kira-kira jam 11 pagi.

    Pemergian jemaah yang sungguh dicemburui iaitu ketika solat Isyak pada Ramadan itu turut mendapat perhatian pendakwah, Pahrol Mohamad Juoi yang turut berjemaah di masjid berkenaan ketika kejadian.

    Dalam tulisannya di Facebook, beliau berkata, ketika imam membaca surah pertama solat Isyak malam tadi, tiba-tiba kedengaran seorang di belakangnya rebah dengan bunyi suara yang agak kuat ‘Allah’.

    Usai solat, beberapa orang menerpa untuk memberi pertolongan cemas selain jemaah lain memberi ruang bagi proses pengudaraan yang baik serta mendoakan kebaikan untuk beliau.

    “Beliau tidak sedarkan diri. Usai solat Tarawih diikuti solat witir, dimaklumkan yang jemaah berkenaan telah meninggal dunia.

    “Saya terpegun. Sayu. Sedih. Begitu cepat dan tiba-tiba Izrail menjemputnya pulang. Dan alangkah indah kematiannya…di rumah Allah pada malam Ramadan yang berkah, sedang solat serta sempat mengucapkan nama Allah…Cemburu,” tulisnya.

  • Sindiket curi kenderaan lama tumpas, 9 lelaki ditahan polis

    Sindiket curi kenderaan lama tumpas, 9 lelaki ditahan polis

    POLIS Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket mencuri kenderaan yang menyasarkan kereta model lama, motosikal dan lori yang aktif menjalankan kegiatan itu di negeri tersebut serta di Kedah dan Perak.

    Sindiket itu ditumpaskan menerusi Op Lejang Mutiara yang dijalankan pada 2 hingga 8 April lalu yang mana seramai sembilan lelaki tempatan yang kebanyakannya bekerja sebagai mekanik berusia 31 hingga 40 tahun turut ditahan.

    Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh berkata, kesemua suspek berjaya diberkas di Seberang Perai Tengah (SPT); Bedong dan Kuala Ketil, Kedah.

    Dalam operasi itu tambah beliau, polis turut merampas tiga buah lori, tiga buah kereta, lima buah motosikal dan sebuah enjin kereta yang dianggarkan bernilai RM150,000.

    Ujarnya, turut dirampas di salah sebuah rumah sewa yang didiami suspek di Bedong, Kedah adalah dua pistol tiruan, tujuh unit telefon bimbit, enam rangkai kunci pelbagai jenis kenderaan dan sepasang gari.

    Fisol melihat beberapa motosikal yang dicuri, selepas sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

    “Kesemua suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau disyaki aktif menjalankan kegiatan curi kenderaan sejak awal tahun ini.

    “Modus operandi mereka adalah mencuri kenderaan lama dengan cara menggunakan peralatan ‘master key’ dan kenderaan curi itu akan diberikan kepada ahli kumpulan yang bekerja sebagai mekanik untuk dileraikan serta dicanaikan nombor casis,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

    Menurut Fisol, pihaknya percaya sindiket itu mencuri kenderaan lama untuk dijadikan alat ganti kenderaan dan ujian air kencing ke atas suspek juga mendapati empat daripada mereka positif methamphetamine.

    Jelas beliau, dengan penahanan suspek itu polis percaya berjaya menyelesaikan 18 kes curi kenderaan lama iaitu 13 kes yang dilaporkan di sekitar Pulau Pinang manakala lima kes di Perak dan Kedah.

    “Kes ini disiasat mengikut Seksyen 379A (1) Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri kenderaan motor dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tujuh tahun dan dikenakan denda,” katanya.

  • Kos tunai haji melalui swasta mungkin cecah RM50,000

    Kos tunai haji melalui swasta mungkin cecah RM50,000

    KOS menunaikan ibadah haji tahun ini menerusi syarikat pengendali umrah dan haji swasta dijangka mencecah antara RM40,000 hingga RM50,000 seorang, kata Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham.

    Beliau berkata, ini berikutan kos pengurusan haji yang semakin meningkat meliputi penginapan, makanan dan pengangkutan yang perlu ditanggung jemaah.

    “Dahulu kos untuk seorang jemaah haji menginap di Arafah dan Mina adalah sebanyak 1,034 Riyal (kira-kira RM1,166.44), sekarang sudah 5,433 Riyal (bersamaan kira-kira RM6,128.72),” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Beliau berkata demikian sebagai mengulas jangkaan berlakunya peningkatan mendadak kos menunaikan ibadah haji para jemaah tahun ini, apabila Lembaga Tabung Haji (TH) menjangkakan kos meningkat kepada lebih RM25,000 susulan kenaikan berkaitan cukai dan caj perkhidmatan baharu yang dikenakan kerajaan Arab Saudi.

    Razali berkata, selain itu, peningkatan kos haji juga disebabkan oleh kenaikan cukai nilai tambah (VAT) yang dikenakan kerajaan Arab Saudi.

    “Sudah pasti bagi mereka yang ingin menggunakan perkhidmatan swasta ini perlu mengambil kira (pelbagai sudut termasuk) kedudukan hotel yang berdekatan dengan masjid dan sebagainya (yang) akan mempengaruhi kos,” katanya.

    Sementara itu, Pengarah Urusan Manazel Al Mashaer Travel Services Sdn Bhd, Mohd Lokman Hamzah berkata, kenaikan harga itu antara lain disebabkan oleh kos penginapan yang melambung tinggi susulan kekurangan hotel yang dibenarkan beroperasi.

    “Hotel itu ada, tapi permit atau pun lesen untuk beroperasi itu belum diluluskan lagi atas faktor COVID-19 dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi. Kalau dahulu untuk sebilik katakanlah semasa Ramadan, kita boleh dapat (harga) dalam RM18,000 hingga RM19,000, tetapi sekarang dah jadi RM25,000 sebilik disebabkan kekurangan hotel,” katanya.

    Mengakui kenaikan kos menunaikan rukun Islam kelima itu akan memberi kesan kepada syarikat-syarikat pengendali umrah dan haji, Mohd Lokman bagaimanapun berkata, kenaikan harga itu tidak dapat dielakkan.

    “Kemungkinan (pemintaan haji daripada jemaah) akan berkurangan disebabkan kenaikan kos. Kalau jemaah sudah terpilih, sudah tentu dia akan pilih TH yang (menawarkan kos haji sebanyak) RM25,000. Nak tak nak, mesti dia kena pergi (menunaikan haji) juga.

    “Berbanding dengan swasta macam kami ini, pakej (menunaikan haji) paling rendah pun dah RM53,000 atau RM55,000 (dan) rata-rata dari semua agensi paling rendah RM55,000 dan untuk pakej yang paling tinggi boleh mencecah RM270,000 dulu RM230,000,” katanya. – BERNAMA