Category: Umum

  • Op Lancar PDRM tumpu ‘hotspot’ kesesakan trafik – KPN

    Op Lancar PDRM tumpu ‘hotspot’ kesesakan trafik – KPN

    POLIS  Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan Op Lancar di kawasan-kawasan panas berlaku kesesakan trafik akibat pergerakan orang ramai pulang ke kampung dan kembali semula sempena sambutan Aidilfitri.

    Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata jentera PDRM di seluruh negara akan diatur gerak dalam tempoh operasi itu.

    Beliau berkata ia melibatkan anggota balai dan elemen kereta peronda, unit rondaan bermotosikal dan rondaan bit secara holistik bagi mengurangkan beban kesesakan trafik di lebuh raya, jalan-jalan negeri dan perbandaran.

    “Pengguna jalan raya diminta peka dengan informasi terkini mengenai aliran trafik di media sosial rasmi PDRM yang dapat membantu masyarakat merancang perjalanan masing-masing.

    “Orang ramai juga melaksanakan peranan sebagai pengguna jalan raya berhemah dan patuhi segala peraturan lalu lintas dengan tidak memotong barisan, menyalahguna lorong kecemasan atau meletakkan kenderaan sehingga menghalang laluan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Acryl Sani berkata PDRM juga mengalu-alukan kerjasama masyarakat untuk menyalurkan sebarang maklumat atau aduan berkaitan kesalahan trafik dengan berkongsi video serta gambar kepada pihak Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) agar tindakan lanjut dapat diambil.

    — BERNAMA

  • Ikut lunas perlembagaan siasat hakim-Majlis Peguam

    Ikut lunas perlembagaan siasat hakim-Majlis Peguam

    SIASATAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali disifatkan bertentangan perlembagaan, melanggar doktrin pengasingan kuasa dan menjejaskan kebebasan badan kehakiman.

    Presiden Majlis Peguam Malaysia, Karen Cheah Yee Lynn berkata, terdapat cara lain yang boleh dilakukan bagi menangani isu terbabit.

    Berita Harian melaporkan, beliau berkata, sebarang percubaan pihak tidak bertanggungjawab boleh dilihat sebagai menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap badan kehakiman.

    “Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan menyediakan cara khusus yang membolehkan sebarang aduan salah laku kehakiman ditangani dalam suatu cara tertentu yang akan memastikan keyakinan orang ramai terhadap badan kehakiman berterusan.

    “Tanpa keyakinan yang diperlukan diterapkan kepada badan kehakiman sebagai sebuah institusi, pentadbiran sistem kehakiman tidak akan mendapat penghormatan dan penerimaan yang penting terhadap keberkesanan operasinya dalam pentadbiran kehakiman kita,” katanya dalam kenyataan, hari ini .

    Semalam bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd. Zaid Ibrahim menerusi hantaran di Twitter berkata, konsep pengasingan kuasa antara badan eksekutif dan kehakiman tidak bermaksud kekebalan penuh terhadap semua peruntukan undang-undang.

    Katanya, ia merujuk kepada peraturan kendiri membabitkan sesetengah perkara tetapi tidak semuanya. Hakim adalah tidak kebal terhadap pendakwaan jenayah.

    Hantaran itu merujuk kepada isu siasatan SPRM terhadap Mohd. Nazlan. Malah beberapa pihak membidas siasatan terbabit yang disifatkan bukan sahaja melanggar prinsip pengasingan kuasa malah serangan sebuah agensi eksekutif ke atas badan kehakiman.

    SPRM sebelum ini dilaporkan sudah membuka kertas siasatan terhadap Mohd. Nazlan dan Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Azam Baki memaklumkan ia prosedur biasa selepas menerima laporan rasmi.

    Khamis lalu, Mohd. Nazlan membuat laporan polis menafikan tuduhan dibuat penulis blog, Raja Petra Kamarudin mengenai status sejumlah wang dalam akaun hakim itu.

    Kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia Istana Kehakiman Putrajaya berkata, artikel ditulis oleh Raja Petra bertajuk ‘Judge Mohd. Nazlan being investigated for unexplained RM1 million in his bank account’ yang disiarkan di sebuah portal adalah palsu dan tidak berasas.

    Selain itu Karen berkata, merujuk siasatan SPRM itu, orang ramai juga tidak jelas mengenai siapa yang membuat laporan terbabit atau bila laporan seperti itu dibuat.

    “Apa yang jelas kepada Majlis Peguam Malaysia ialah tidak sepatutnya terdapat pilih kasih oleh pihak berkuasa dalam menangani isu yang sama.

    “Berdasarkan kepada asas ini, kami mendesak siasatan yang sama dijalankan polis terhadap laporan yang dibuat Nazlan terhadap dakwaan yang dibangkitkan dalam kenyataan yang dikeluarkan Raja Petra Kamarudin dalam blognya, Malaysia Today pada 20 April 2022,” katanya.

    Tambah beliau, pihaknya sedar sepenuhnya bahawa badan kehakiman tidak berada dalam sebarang kedudukan untuk mengambil langkah bagi melindungi diri dengan membabitkan badan itu dalam perbicaraan oleh media atau mana-mana bentuk kontroversi awam.

    “Justeru terdapat satu keperluan bagi Majlis Peguam Malaysia untuk melindungi maruah dan integriti mahkamah dan badan kehakiman secara keseluruhannya memandangkan sifat badan itu yang sentiasa tidak dapat mempertahankan diri daripada kritikan atau tuduhan liar yang dibuat pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

    Karen berkata, sebarang siasatan SPRM akan mewujudkan ‘duluan tidak menyenangkan’, selain memberi kesan buruk pada masa depan dalam situasi sama terhadap badan kehakiman mahu pun hakim individu.

    “Memandangkan keadaan ini muncul, menjadi lebih kerap pada masa kini apabila seseorang berselindung di sebalik keselesaan alam siber.

    “Kami meminta pendekatan berhati-hati oleh pihak berkuasa kita dan tidak terpengaruh dengan desakan suara-suara sumbang dibuat oleh jaguh papan kekunci di alam siber,” katanya.

  • TikTok: Pegawai polis narkotik wanita dipindahkan ke Johor – Razarudin

    TikTok: Pegawai polis narkotik wanita dipindahkan ke Johor – Razarudin

    SEORANG pegawai polis wanita daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman yang membuat rakaman video secara langsung menerusi aplikasi TikTok ketika operasi di sebuah pusat hiburan kini dipindahkan ke jabatan lain.

    Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Razarudin Husain ketika dihubungi Bernama pagi ini mengesahkan perkara berkenaan dan memaklumkan pegawai polis wanita itu akan berpindah ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

    Pada Isnin lepas, Pengarah JSJN Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menyifatkan tindakan pegawai polis berkenaan menerusi akaun TikTok miliknya bersifat peribadi dan hanya bertujuan untuk mempromosikan akaun TikToknya.

    Terdahulu, tular satu video berdurasi satu minit 38 saat yang memaparkan pegawai wanita berpakaian jaket seragam operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat ASP menerangkan tentang sebahagian skop kerjanya menjalankan serbuan dan pemeriksaan.

    PDRM sebelum ini telah mengeluarkan tiga arahan mengenai tatacara penggunaan media sosial iaitu pada Mei 2014, Ogos 2020 dan Februari 2021 selain tindakan sedemikian tidak dibenarkan.

    Berikutan itu, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman diarah membuat siasatan secara menyeluruh berhubung kes berkenaan.

    — BERNAMA

  • KPLB tawar kursus TVET untuk pelajar tahfiz – Mahdzir

    KPLB tawar kursus TVET untuk pelajar tahfiz – Mahdzir

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) membuka peluang kepada 500 pelajar tahfiz untuk mengikuti kursus-kursus Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di institusi pendidikan TVET di bawah kementerian itu.

    Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pelajar tahfiz yang menyertai kursus TVET itu akan mengikuti pembelajaran selama enam bulan sebelum diberikan sijil mengikut kemahiran yang dipilih.

    “Jika mereka (pelajar tahfiz) ini ada SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), mereka boleh sertai kursus kemahiran seperti baiki motosikal atau penghawa dingin.

    “Apabila selesai kursus, mereka akan dapat sijil yang akan membantu mereka untuk mendapatkan kerja,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Iftar KPLB di Putrajaya hari ini.

    Sementara itu, beliau berkata, KPLB sedang giat menjalankan projek-projek pembangunan rakyat di kawasan luar bandar.

    “Kita akan memantau projek sedia ada supaya ia berjalan mengikut garis masa yang ditetapkan,” katanya. – BERNAMA

  • Buat persiapan rapi, tempoh perjalanan mungkin lebih panjang – PLUS

    Buat persiapan rapi, tempoh perjalanan mungkin lebih panjang – PLUS

    PLUS menasihatkan orang ramai supaya membuat persiapan rapi dengan jangkaan tempoh perjalanan di lebuh raya lebih panjang terutama pada Sabtu dan Ahad ini serta 7 dan 8 Mei depan.

    Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail berkata ia berikutan sebahagian besar pengguna lebuh raya dijangka merebut peluang menikmati faedah tol percuma dan menyusun jadual perjalanan balik kampung serta kembali semula ke ibu kota berdasarkan tarikh tol percuma tersebut.

    “Bagi menguruskan lonjakan trafik ekoran pengumuman tol percuma oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, PLUS juga menyatakan komitmennya untuk mengambil segala langkah yang munasabah untuk membantu orang ramai ketika berlakunya lonjakan trafik pada keempat-empat hari tersebut.

    “Pihak PLUS akan mengambil langkah yang sewajarnya dan kami telah mengatur pelbagai persediaan rapi melibatkan aspek perjalanan di lebuh raya, di plaza tol dan juga kawasan-kawasan rehat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Semalam, perdana menteri mengumumkan kerajaan bersetuju memberikan tol percuma dan diskaun tol kepada Keluarga Malaysia bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

    Pemberian tol percuma itu adalah pada Sabtu dan Ahad ini serta 7 dan 8 Mei depan untuk perjalanan pulang semula ke kediaman masing-masing, melibatkan lebuh raya milik Kumpulan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menghubungkan jaringan Lebuhraya Utara-Selatan dan Anih Berhad (ANIH) yang menghubungkan Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

    Pemberian tol percuma itu akan bermula pada 12 tengah malam pada 30 April hingga 11.59 malam pada 1 Mei kepada semua kelas kenderaan manakala untuk perjalanan pada 7 Mei, ia bermula 12 tengah malam hingga 11.59 malam pada 8 Mei.

     Selain itu, tawaran diskaun tol antara 30 dan 50 peratus juga akan diberikan kepada lebuh raya yang lain pada tarikh dan masa yang sama kepada semua kelas kenderaan.

    Dalam pada itu, PLUS menjelaskan bahawa pemberian tol percuma tersebut dilaksanakan di rangkaian lebuh rayanya yang menggunakan sistem tol tertutup dan akan dinikmati ketika pengguna melalui plaza tol keluar sepanjang tempoh yang ditetapkan.

    Bagi membolehkan PLUS merekodkan data trafik, pengguna yang memilih untuk menggunakan kad Touch ‘n Go masih perlu menyentuh kad mereka di lorong tol namun begitu, tiada bayaran tol akan dikenakan atau ditolak daripada kad tersebut.

    “Sementara itu, pengguna yang memilih untuk menggunakan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) juga perlu memastikan mereka masuk dan keluar dari lebuh raya menggunakan lorong RFID sahaja dan sepertimana kad Touch ‘n Go serta  SmartTAG, tiada bayaran tol dikenakan atau ditolak daripada eWallet mereka.

    “Bagi pengguna kad Touch ‘n Go, mereka dinasihatkan supaya memeriksa status kad sebelum perjalanan dengan Touch ‘n Go Sdn Bhd di http://tngportal.touchngo.com.my/tngPortal/login bagi mengelakkan mereka terkandas di lorong tol yang mengakibatkan kesesakan jika menggunakan kad Touch ‘n Go yang tidak aktif dan telah dinyahaktif,” menurut kenyataan itu.

    Selain itu, Azman turut menasihatkan orang ramai supaya mengikuti jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang telah dikeluarkan sebelum ini dan merancang perjalanan dengan teliti untuk mengurangkan kesesakan serta meningkatkan keselesaan ketika memandu dengan berhenti rehat bagi menyegarkan diri serta makan dan minum yang secukupnya.

    Pelanggan lebuh raya juga disaran supaya memuat turun aplikasi PLUS untuk meninjau keadaan trafik terkini di lebuh raya menerusi paparan kamera litar tertutup (CCTV) yang disediakan selain digalakkan menggunakan Waze atau Google Maps untuk merancang perjalanan mereka sepanjang musim perayaan ini.

    — BERNAMA

  • Dakwaan Aidilfitri disambut 2 Mei tidak benar

    Dakwaan Aidilfitri disambut 2 Mei tidak benar

    DAKWAAN  seorang individu, seperti yang disiarkan dalam sebuah portal bahawa Hari Raya Aidilfitri tahun ini akan disambut pada Isnin, 2 Mei, adalah tidak tepat, kata

    Balai Cerapan Al-Khawarizmi.

    Dalam satu kenyataan, agensi di bawah Jabatan Agama Islam Melaka itu menegaskan, sebarang pemakluman awal adalah tidak benar sehingga hasil keputusan rukyah pada 29 Ramadan 1443 H diterima dan selesai dilakukan.

    ‘’Kaedah penetapan awal bulan Islam di Malaysia adalah secara imkanurukyah (rukyah dan hisab). Rukyah dilakukan pada petang 29 Ramadan 1443 H di lokasi-lokasi yang telah ditetapkan di seluruh Malaysia.

    ‘’Hasil keputusan rukyah akan dilaporkan pada Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja- Raja. Hasil keputusan rukyah akan dilaporkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja – Raja pada malam 29 Ramadan 1443 H. Keputusan kenampakan hilal akan diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

  • Moped, skuter elektrik dilarang guna atas jalan raya

    Moped, skuter elektrik dilarang guna atas jalan raya

    KENDERAAN mikromobiliti jenis Moped, Personal Mobility Devices (PMD) dan Personal Mobility Aids (PMA) adalah dilarang penggunaannya di atas jalan berkuat kuasa serta-merta, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

    Moped adalah kenderaan yang dipasang dengan dua atau tiga roda dan dipacu oleh sumber elektrik dengan kelajuannya tidak melebihi 50 kilometer sejam (km/j).

    PMD dan PMA pula adalah kenderaan yang dipacu oleh kuasa manusia atau elektrik dengan kelajuan tidak melebihi 25 km/j seperti skuter berkuasa elektrik dan kenderaan bagi kegunaan individu yang mempunyai masalah pergerakan.

    Wee berkata, larangan terhadap tiga kategori kenderaan mikromobiliti itu dilaksanakan mengikut Kaedah-Kaedah Lalu Lintas (Larangan Penggunaan Kenderaan Mobiliti Tertentu) 2021 yang berkuat kuasa 17 Dis 2021.

    “Penggunaan kenderaan mikromobiliti di atas jalan adalah membahayakan bukan sahaja kepada pengguna kenderaan tersebut tetapi pengguna lain.

    “Seperti nahas basikal lajak yang telah meragut lapan nyawa, penggunaan kenderaan ini dengan percampuran dengan aliran trafik kenderaan motor lain di atas jalan akan menimbulkan risiko berlaku tragedi yang sama,” katanya dalam sidang media penggunaan mikromobiliti di kementeriannya di sini hari ini.

    Wee berkata, penggunaan kenderaan mikromobiliti yang dilarang di atas jalan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1978 iaitu kompaun sebanyak RM300, dan agensi yang akan menguatkuasakan perintah larangan itu adalah Jabatan Pengangkutan Jalan dan polis.

    “Kita bimbang apabila Aidilfitri nanti ramai pengguna kenderaan mikromobiliti akan ke bandar untuk berkumpul kerana tahu tiada kenderaan di jalan. Ia sesuatu yang bahaya kepada pengguna jalan raya,” katanya.

    Beliau berkata, penggunaan tiga kategori kenderaan mikromobiliti itu bagaimanapun dibenarkan di dalam bangunan dan kawasan yang tiada percampuran aliran trafik.

    “Saya tiada halangan kalau mereka ingin gunakan kenderaan ini di rumah atau tanah persendirian asalkan ia bukan di jalan raya.

    “Penggunaan kenderaan mikromobiliti di atas jalan akan dipertimbangkan jika pihak berkuasa tempatan (PBT) menyediakan kemudahan infrastruktur jalan yang menyokong penggunaan kenderaan itu,” katanya.

    Sementara itu, Wee berkata penggunaan basikal, beca dan basikal elektrik adalah dibenarkan namun perlu mematuhi peraturan ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

    “Bagi penggunaan basikal dengan bantuan elektrik, hanya yang memenuhi spesifikasi Malaysia Standard, MS2514 : Electric Bicycles Specification sahaja dibenarkan digunakan di atas jalan raya,” katanya. – BERNAMA

  • Gempa bumi Kundasang: Gunung Kinabalu rasa gegaran

    Gempa bumi Kundasang: Gunung Kinabalu rasa gegaran

    GEGARAN akibat gempa bumi lemah dengan magnitud 3.7 pada skala Richter pada 9.28 pagi tadi bukan sahaja dirasai di sekitar Kundasang, tetapi turut dirasai di Gunung Kinabalu.

    Malim gunung, Joeythine Musin, 29, berkata, beliau bersama beberapa pendaki sedang mula turun dari Gunung Kinabalu pagi ini apabila tiba-tiba mereka merasai gegaran sekitar beberapa saat.

    Beliau berkata, gegaran itu tidak menyebabkan kejadian tidak diingini seperti runtuhan batu-batu di gunung itu.

    “Ya ada pendaki sama saya di sini. Atas gunung (Gunung Kinabalu) pun ada rasa (gegaran juga) tapi tiada batu jatuh, rasa macam biasa saja dia orang (pendaki) bilang tadi,” katanya ringkas ketika dihubungi Bernama melalui aplikasi WhatsApp hari ini.

    Sementara itu, Ketua Stesen substesen Panalaban, Taman Kinabalu, Julaimin Kamin berkata, keadaan terkawal di check point Sayat-Sayat dan Kompleks Panalaban di Gunung Kinabalu dan tiada situasi kecemasan berlaku akibat gempa bumi itu.

    “Seramai 104 orang dijadual mendaki Gunung Kinabalu hari ini, manakala semalam seramai 110 orang mendaki gunung itu,” katanya.

    Seorang peniaga barangan bundle di Kundasang, Nordiana Zuhaidi, 34, berkata, beliau merasai gegaran itu yang berlaku dalam masa amat singkat apabila berada di kedainya di sini pagi tadi.

    “Dalam beberapa saat sahaja (gegaran) terperanjat juga tetapi saya tidak panik, selepas itu periksa kedai dan kawasan sekitar semua baik. Telefon juga bomba dan mereka kata semua baik, syukur tiada apa-apa,” katanya.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Sabah berkata, sehingga kini tiada panggilan kecemasan diterima daripada penduduk mengenai kejadian tersebut.

    “Gegaran memang dirasai akibat gempa bumi tadi, jadi penduduk dinasihatkan supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya. – BERNAMA

  • Perak benar solat sunat Aidilfitri dalam kawasan perumahan

    Perak benar solat sunat Aidilfitri dalam kawasan perumahan

    SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah memberi perkenan untuk membenarkan Solat Sunat Aidilfitri diadakan di tempat terbuka dan kawasan lapang dalam kawasan perumahan di negeri itu tanpa penjarakan fizikal pada 1 Syawal.

    Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata, baginda bertitah dengan syarat pihak penganjur memaklumkan sekurang-kurangnya tiga hari sebelum Aidilfitri kepada Pegawai Tadbir Agama Daerah dan Balai Polis atau Pondok Polis terdekat.

    “Solat Sunat Aidilfitri boleh dilaksanakan tanpa jarak fizikal antara jemaah di masjid dan surau. Aktiviti takbir Aidilfitri juga boleh diadakan dari rumah ke rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, hidangan jamuan Aidilfitri di masjid dan surau secara terbuka atau bufet serta aktiviti ziarah kubur juga dibenarkan.

    Menurutnya, hidangan jamuan secara terbuka atau bufet turut boleh diadakan di masjid dan surau bermula Solat Maghrib, Khamis ini.

    Katanya, Sultan Nazrin menzahirkan titah berkenaan berlandaskan sembah nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.

    “Semua aktiviti Aidilfitri hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh MKN dan JKN seperti pemakaian pelitup muka dan mendaftar kehadiran di MySejahtera,” katanya.

    Beliau berkata, Sultan Nazrin dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya kepada seluruh rakyat baginda di samping mendoakan kesejahteraan mereka. – BERNAMA

  • Babi hilang: Kerajaan NS ambil tindakan undang-undang

    Babi hilang: Kerajaan NS ambil tindakan undang-undang

    KERAJAAN Negeri Sembilan akan mengambil tindakan undang-undang susulan isu 2,000 ekor babi di 19 ladang tidak berlesen di Kampung Baru Tanah Merah Site A, Port Dickson, dipercayai dibawa keluar dari kawasan itu tanpa pengetahuan pihak berkuasa berkaitan.

    Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya meminta Exco dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS) menyiasat perkara itu, selain membuat laporan polis berhubung kejadian.

    Katanya, kerajaan negeri khuatir haiwan yang dibawa keluar itu akan mencetuskan jangkitan penyakit Demam Babi Afrika (ASF) ke negeri lain.

    “Disebabkan itu kita serahkan pada pihak polis menyiasat bagaimana haiwan itu dipindahkan. Sepatutnya babi itu tidak dipindahkan sehingga JPVNS selesai memeriksa dan mengesahkan kesemuanya selamat daripada jangkitan ASF,” katanya kepada pemberita.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sumbangan Hari Raya Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Menteri Besar Incorporated (MBI) Negeri Sembilan kepada golongan fakir dan miskin bagi daerah Seremban di sini, hari ini.

    Sementara itu, Aminuddin berkata, pihak JPVNS juga seharusnya lebih peka kerana mereka ditugaskan untuk memastikan tiada perpindahan haiwan itu keluar dari ladang terbabit.

    Semalam media melaporkan kesemua 2,000 ekor babi yang ditempatkan berhampiran dengan ladang yang dikesan dijangkiti penyakit ASF di kampung berkenaan, dipercayai dibawa keluar oleh pemilik ladang tanpa pengetahuan pihak berkuasa.

    Sebanyak 273 ekor babi yang dijangkiti wabak itu telah dilupuskan pada 13 April lepas.

    Sementara itu dalam majlis malam ini Aminuddin berkata seramai 4,629 fakir dan miskin di negeri ini masing-masing menerima RM700 dan RM500 daripada MAINS, manakala MBI negeri turut menyumbang RM300 sempena perayaan Aidilfitri ini. – BERNAMA