Category: Umum

  • Ambil langkah konkrit atasi masalah  bankrap dalam kalangan rakyat – Muhyiddin

    Ambil langkah konkrit atasi masalah  bankrap dalam kalangan rakyat – Muhyiddin

    TAN SRI Muhyiddin Yassin menggesa kerajaan dapat mengambil langkah-langkah konkrit, segera dan pragmatik untuk mengatasi masalah insolvensi dalam kalangan rakyat. 

    Ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Insolvensi (Pindaan 2023) bekas Perdana Menteri itu berkata ia boleh dilakukan melalui pendekatan yang komprehensif dan memfokuskan pada perlindungan dan pemulihan kewangan rakyat, diharapkan masalah ini dapat diatasi dengan lebih efektif.

    ‘’Walaupun secara dasarnya pindaan terhadap Seksyen 33B(2A) Akta 360 menambah 2 kategori pelepasan bankrap baharu tanpa bantahan pemiutang, namun penekanan khusus juga harus diberi oleh Kerajaan terhadap usaha membantu individu muflis untuk bangkit dan membina semula ekonomi,’’ katanya.

    Muhyiddin menegaskan, langkah itu  penting supaya status kebankrapan tidak kekal sepanjang hayat, sebaliknya menjadi pembakar semangat kepada golongan ini untuk menyumbang kepada ekonomi negara. 

    ‘’Antaranya mengkaji semula proses pelepasan bankrap bagi warga Malaysia yang bekerja di luar negara, yang mungkin mengambil masa yang lama untuk mendapatkan perintah mahkamah sebelum memohon keizinan daripada Jabatan Imigresen,’’ katanya.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Page berkata, hakikatnya, kebankrapan adalah satu bentuk hukuman dan bukan satu skim pembayaran semula, maka sekiranya siBankrap telah menjalani hukuman pada suatu tempoh tertentu yang sesuai dengan berkelakuan baik, maka seharusnya pelepasannya dari status kebankrapan disegera dan dipermudahkan, tanpa melihat pada nilai atau jumlah hutang am yang difailkan.

    ‘’Saya juga menggesa agar diwujudkan kaedah pelepasan bersyarat yang lebih fleksibel untuk seseorang boleh dilepaskan dari status kebankrapan. Ini boleh dilakukan dengan syarat-syarat dan perjanjian tertentu agar lebih ramai individu dapat kembali membina kehidupan tanpa dibebani proses pelepasan status bankrap yang terlalu lama,’’ katanya.

    Muhyiddin turret membangkitkan persoalan  keberkesanan kawal selia penyedia kredit dan perkhidmatan kredit bukan bank yang semakin rancak di Malaysia seperti perkhidmatan Buy Now, Pay Later (BNPL) bagi melindungi pengguna, khususnya di kalangan belia agar mereka tidak terjerat dengan hutang, memandangkan Akta Kredit Pengguna masih belum dibentang pada ketika ini.

    ‘’ Ini kerana perkhidmatan BNPL yang kebanyakannya berkait dengan platform e-dagang ini mengenakan kadar caj yang tinggi jika terlewat bayar ansuran bulanan. Malah, kadar caj atau faedah BNPL ini juga boleh dikatakan lebih tinggi berbanding kadar caj untuk kad kredit,’’ katanya.

    Belau berkata, kika dilihat dari sudut makro, BNPL boleh memberi kesan kepada kadar hutang isi rumah berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tinggi iaitu 89 peratus berbanding 2021. 

    ‘’Melihat kepada kadar hutang isi rumah di Malaysia yang semakin meningkat dari RM1.27 trilion kepada RM1.34 trilion, BNPL boleh memburukkan lagi masalah keberhutangan isi rumah sekiranya tiada sebarang bentuk intervensi tuntas dari pihak kerajaan,’’ tegas beliau.

    Kerajaan juga kata beliau wajar meneliti cadangan CUEPACS tentang had tempoh bayaran pinjaman peribadi dan sewa beli kenderaan supaya ia dapat dipanjangkan dari 10 tahun kepada 20 tahun, bagi meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat.

    ‘’Berdasarkan rekod Jabatan Insolvensi Malaysia, faktor terbesar kes kebankrapan adalah pinjaman peribadi dengan jumlah kes 20,754 iaitu mewakili 42.24% daripada keseluruhan faktor kebankrapan yang dilaporkan. Selain itu, pinjaman sewa beli kenderaan menyum​bang 7,072 kes iaitu 14.39%,’’ katanya.

  • Jenazah pendaki Everest, Awang Askandar tiba di Kem Tiga pagi tadi

    Jenazah pendaki Everest, Awang Askandar tiba di Kem Tiga pagi tadi

    JENAZAH pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023) Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56, selamat tiba di Kem Tiga kira-kira pukul 7 pagi waktu Nepal (sekitar 9 pagi waktu Malaysia) hari ini.

    Ketua Misi ME 2023, Azim Afif Ishak berkata, jenazah dibawa turun dari Kem Empat dengan bantuan enam malim gunung secara manual menggunakan pengusung.

    Beliau berkata, ketika ini pasukan penyelamat berehat sebentar selepas berhempas pulas selama sembilan jam bergilir-gilir mengusung jenazah sebelum meneruskan perjalanan ke Kem Dua.

    “Cuaca ketika ini berada dalam keadaan kurang baik, berangin dan mendung dan serta suhu sekitar 23 darjah celcius.

    “Perjalanan dari Kem Tiga ke Kem Dua dijangka mengambil masa selama dua jam dan ia bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini, lapor Kosmo!.

    Katanya, setiba di Kem Dua, jenazah akan terus diterbangkan dengan helikopter ke Everest Base Camp (EBC) dan seterusnya dibawa ke hospital di Kathmandu untuk proses selanjutnya.

    “Sekiranya keadaan cuaca mengizinkan jenazah dijangka diterbangkan ke Khatmandu pada pukul 1 tengahari waktu Nepal (sekitar 3 petang waktu Malaysia),” jelasnya.

  • Saudi bakal tangkap jemaah tanpa visa haji mulai 19 Jun depan

    Saudi bakal tangkap jemaah tanpa visa haji mulai 19 Jun depan

    JEMAAH warga Malaysia yang ketika ini sedang menunaikan umrah di Mekah dinasihatkan supaya keluar dari Tanah Suci itu selewat-lewatnya pada 18 Jun depan.

    Demikian nasihat ‘mesra’ yang disampaikan oleh pihak Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menerusi ciapan dalam laman sosial rasmi Twitternya mengenai perkara tersebut yang turut memberikan amaran bahawa pemegang visa umrah tidak dibenarkan menunaikan haji pada bulan depan.

    “Tarikh terakhir ketibaan jemaah dengan visa umrah ialah pada 4 Jun, manakala tarikh terakhir mereka perlu keluar ialah 18 Jun sebagai merujuk para jemaah yang datang ke Tanah Suci dengan menggunakan pakej umrah selama 15 hari 13 malam.”

    Susulan peringatan tersebut, tarikh terakhir penerbangan yang boleh membawa lagi bakal jemaah umrah dari luar negara ialah 3 Jun depan sebelum sempadan Arab Saudi ditutup.

    Situasi berkenaan akan menyaksikan hanya penerbangan yang mengangkut jemaah haji dibenarkan masuk ke negara tersebut selain menerusi pintu sempadan darat Arab Saudi.

    Selepas 18 Jun, pihak berkuasa Arab Saudi dijangka melakukan operasi besar-besaran bagi mengesan jemaah tidak memiliki visa haji di setiap bilik hotel yang terdapat di Mekah.

    Mereka yang didapati memegang visa umrah akan ditahan kerana dianggap menyelinap untuk tinggal lebih masa tanpa permit di kota suci itu bagi mengerjakan ibadah haji pula.

    Sekatan jalan raya juga akan dilakukan di semua laluan masuk ke Mekah dan kenderaan yang membawa jemaah tanpa visa haji akan diusir keluar atau diarahkan berpatah balik.

    Musim haji tahun ini dijadualkan mulai 18 Jun sehingga 18 Julai depan dan dalam tempoh itu, sesiapa yang tiada visa haji akan dianggap sebagai kes pendatang asing tanpa izin.

    Individu luar disabitkan bersalah oleh mahkamah Arab Saudi boleh dikenakan hukuman denda 50,000 riyal, penjara enam bulan dan diharamkan 10 tahun memasuki negara itu.

    Amaran tersebut juga selaras dengan peringatan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya pada 13 Mei lalu agar umat Islam negara ini tidak menyalahgunakan visa umrah dan tidak mengeksploitasi visa pelancong bagi berada di Mekah sepanjang musim haji, lapor Utusan Malaysia.

  • Takwim sekolah mula Januari pada 2026 – Fadhlina

    Takwim sekolah mula Januari pada 2026 – Fadhlina

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) memutuskan bahawa sesi persekolahan akan kembali diawalkan pada Januari bermula 2026.

    Menterinya Fadhlina Sidek berkata kerajaan sudah memulakan usaha mengawal kalendar akademik persekolahan bagi sesi 2024/2025 pada Februari 2025.

    Jelas beliau, KPM telah membuat ketetapan untuk membuat perubahan kepada kalendar akademik sesi 2021/2022 akibat penularan COVID-19.

    “Berdasarkan perubahan tersebut, maka sesi persekolahan bagi kalendar akademik sesi 2023/2024 diteruskan bermula pada Mac 2023.

    “KPM akan melihat kepada keperluan dan kesesuaian penyediaan kalendar akademik untuk tahun seterusnya bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan secara optimum khususnya tempoh pembelajaran sebanyak 32 hingga 36 minggu yang diperlukan bagi menyelesaikan keseluruhan kurikulum persekolahan setahun.

    “KPM juga telah melakukan penjajaran kepada jadual peperiksaan awam agar ia selari dengan perubahan kalendar akademik persekolahan.

    “Untuk itu, Yang Berhormat, sukacita saya maklumkan KPM telah memulakan usaha dengan merancang untuk mengawalkan kalendar akademik persekolahan sesi 2024/2025 bermula pada bulan Februari 2025.

    “Kalendar persekolahan dirancang dapat bermula pada bulan Januari ialah pada 2026,” katanya di Dewan Rakyat hari ini, lapor Astro AWANI.

    Fadhlina (PH-Nibong Tebal) menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) meminta menyatakan apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh kementerian bagi memastikan takwim persekolahan dipatuhi oleh semua pihak dan tahun berapa persekolahan dapat bermula awal Januari.

  • Tabung Haji sedia pakar rujuk bantu jemaah haji

    Tabung Haji sedia pakar rujuk bantu jemaah haji

    SEBELUM jemaah haji berangkat ke Tanah Suci, Tabung Haji (TH) telah mengadakan kursus haji bagi memberikan persediaan yang secukupnya kepada tetamu Allah SWT itu.

    Lazimnya kursus haji terbahagi kepada empat bahagian iaitu Kursus Asas Haji (KAH), Kursus Intensif Haji (KIH), Kursus Khas Haji (KKH) dan Kursus Perdana Haji (KPH).

    Walaubagaimanapun, tidak dapat dinafikan dari semasa ke semasa akan wujud kekeliruan dalam kalangan jemaah berhubung aspek hukum apabila mereka berada Makkah dan Madinah.

    Bagi mengelakkan jemaah haji bertambah keliru dengan merujuk kepada ‘pakar tidak bertauliah’, TH turut menyediakan pasukan yang pakar dalam sudut agama di Tanah Suci untuk menjawab setiap persoalan yang timbul.

    SINAR HARIAN melaporkan, Pengurus Ibadat dan Ziarah di sektor Madinah, Muhammad Fakhrur Ridzwan Othman, pihaknya mempunyai lapan pembimbing ibadat yang terdiri daripada empat orang untuk zon satu dan dua, manakala bakinya bertugas bagi menyantuni jemaah bagi urusan ziarah.

    “Kita juga menggalakkan dan meminta semua jemaah haji untuk mendaftar masuk ke dalam portal e-bimbingan sebab portal itu akan membantu jemaah haji untuk memahami persoalan-persoalan hukum berkaitan haji dan umrah sebelum mereka berangkat ke Makkah.

    “Bagi pertanyaan-pertanyaan atau kemusykilan yang dihadapi, mereka boleh merujuk kepada guru-guru agama yang kita sediakan di sini ataupun menggunakan talian ibadat bagi mengajukan pertanyaan,” katanya kepada media Malaysia di Madinah.

    Kata Muhammad Fakhrur Ridzwan lagi, melalui e-Taib platform pertanyaan menerusi aplikasi WhatsApp dan Talian Ibadah Haji (Taib), jemaah boleh menghantar soalan dan akan dijawab oleh pembimbing ibadat.

    “Portal e-Bimbingan konsepnya ialah e-Learning, dalam tu ada kursus yang kita muatkan sebelum ini dan penerangan berkaitan persoalan ibadat haji dan umrah. E-Taib pula medium untuk jemaah mengajukan persoalan atau interaksi antara jemaah dengan pembimbing ibadat haji Tanah Suci yang tidak sempat ditemui secara fizikal,”katanya.

    Mengulas lanjut mengenai e-Taib, beliau berkata, sektor itu diuruskan oleh empat pembimbing ibadat dan beroperasi 24 jam secara bergilir-gilir.

    Menyentuh mengenai soalan lazim yang ditimbulkan jemaah, beliau berkata ia seringkali berkisar mengenai topik bayaran dam (bayaran denda) apabila keguguran rambut dan persoalan (hukum hakam) fiqh wanita yang selalu menjadi persoalan dalam kalangan jemaah wanita.

    Berikutan cuaca panas yang dialami Madinah ketika ini, pihaknya telah merancang ziarah luar pada waktu pagi agar jemaah tidak terdedah kepada suhu ekstrem semasa.

    Beliau berkata, ziarah luar yang akan bermula pada 23 Mei ini akan cuba dipercepatkan perjalanan, namun bergantung kepada keadaan trafik semasa.

    Untuk ziarah dalam ke Raudhah, ia akan diuruskan TH tanpa perlu menggunakan aplikasi Nusuk seperti mana jemaah yang bergerak secara individu.

    Sijil perakuan memasuki Raudhah yang dikeluarkan aplikasi Nusuk.

    Aplikasi Nusuk ialah platform digital bersepadu kerajaan Arab Saudi yang menawarkan perancangan yang mudah digunakan untuk perjalanan jemaah umrah dan pelawat ke Makkah serta Madinah.

    Nusuk dilancarkan Pihak Berkuasa Pelancongan Saudi untuk menyediakan rangkaian penuh perkhidmatan di seluruh ekosistem Visit Saudi termasuk memudahkan visa, permit, proses tempahan dan prosedur.

    Nusuk adalah antara inisiatif Program Pengalaman Jemaah Dalam Wawasan 2030 Arab Saudi.

  • Dewan Rakyat: “Kerajaan ambil langkah ‘tempang’ tarik balik rayuan kalimah Allah”

    Dewan Rakyat: “Kerajaan ambil langkah ‘tempang’ tarik balik rayuan kalimah Allah”

    AHLI Parlimen pembangkang menyifatkan kerajaan mengambil langkah ‘tempang’ kerana menarik balik rayuan yang difailkan di Mahkamah Rayuan berhubung isu penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan berkaitan agama Kristian.

    Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Ahmad Saad berkata, tiada pemakluman awam dibuat terhadap keputusan tersebut.

    Beliau mempersoalkan sama ada kerajaan sengaja menyembunyikan isu tersebut kerana takut bantahan umat Islam terhadapnya.

    “Saya melihat seolah-olah pihak menteri sendiri tidak benar-benar memahami implikasi daripada tindakan yang diambil tersebut.

    “Pertama, tidak ada keseriusan dalam keputusan yang diambil selepas sekadar menghantar nota Jemaah Menteri, dan bukan memorandum untuk dibahaskan oleh Kabinet secara lumat,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

    Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Pencetakan Teks Al-Quran (Pindaan) 2023, di Kuala Lumpur.

    Mengulas lanjut, Ahmad berkata keputusan menarik balik rayuan juga didakwa tidak melalui proses libat urus yang sempurna.

    Jelas beliau, tiada perundingan dilakukan dengan pemegang taruh utama, mahupun institusi diraja sedangkan pendirian sultan-sultan adalah jelas dalam isu berkenaan.

    “Ketiga, pihak Majlis Agama Islam Negeri Selangor, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Majlis Agama Islam Negeri Kedah tidak dilibat urus dalam keputusan diambil, sedangkan mereka terbabit sebagai sahabat mahkamah di peringkat Mahkamah Rayuan,” tambah beliau.

    Dalam masa sama, beliau membangkitkan persoalan adakah terdapat desakan ‘di sebalik tabir’ dalam isu berkenaan, selain mendakwa kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah gagal mempertahankan aspirasi umat Islam.

    “Oleh sebab itu, penggunaan kalimah Allah harus diteliti dan dilihat dengan betul,” ujarnya.

    Bagaimanapun, tindakan Ahmad membangkitkan isu kalimah Allah ditegur oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd. Noor kerana tidak tertumpu mengenai RUU Pencetakan Teks Al-Quran (Pindaan) 2023 yang sedang dibahaskan.

    “Saya beri ingatan kepada Yang Berhormat lain mengenai Peraturan Mesyuarat 36(1) adalah jelas. Kita laksana tugas kita sebagai mana dalam peraturan dan kita berbincang mengenai pindaan dan bukan ruang untuk berbahas perkara lain.

    “Saya tidak teragak-agak menggunakan Peraturan Mesyuarat 44 untuk memastikan perjalanan dewan ini jelas,” katanya, lapor Astro Awani.

    Usul RUU Pencetakan Teks Al-Quran (Pindaan) 2023 dibentang untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.

  • Zahid perlu utamakan komponen BN, bukan DAP – MCA

    Zahid perlu utamakan komponen BN, bukan DAP – MCA

    MCA mengingatkan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar berpegang kepada prinsip dan berhati-hati dalam segala perkara berkaitan hubungan atau kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH).

    Menurut Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon, Ahmad Zahid haruslah menjaga kepentingan dan mengutamakan parti-parti komponen BN, bukannya PH terutamanya DAP.

    Tegas beliau, kerjasama antara BN dan PH perlulah ada timbal balas dan menguntungkan kedua-dua pihak, lapor Astro Awani.

    “Ditegaskan juga bahawa apa jua pendirian dan pandangan oleh MCA mestilah dikeluarkan oleh pemimpin MCA, khususnya Presiden MCA (Datuk Seri Wee Ka Siong), bukannya pihak lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Kelmarin, Ahmad Zahid dilapor berkata, pengundi UMNO boleh menggunakan konsep sama ketika menyokong dan mengundi calon MCA pada pilihan raya sebelum ini, untuk menyokong calon daripada DAP.

    Jelasnya, atas dasar kebersamaan, kaedah itu boleh digunakan untuk memilih calon dalam parti Kerajaan Perpaduan.

  • Kumpulan pertama haji Malaysia tiba di Madinah

    Kumpulan pertama haji Malaysia tiba di Madinah

    SERAMAI 284 jemaah haji kumpulan pertama yang menaiki pesawat Penerbangan Malaysia KT1 selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohamed Bin Abdulaziz, Madinah hari ini.

    SINAR HARIAN melaporkan, mereka kemudiannya dibawa dengan menaiki tujuh bas ke hotel penginapan, Hotel Saja Al Madinah yang jaraknya 19 kilometer dari lapangan terbang dengan perjalanan mengambil masa kira-kira 22 minit.

    Ketibaan jemaah disambut Duta Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah; Timbalan Ketua Rombongan Haji (kebajikan), Nurrinanuwar Shamsuddin; Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan), Dr Abdul Marsudi Manah; Konsul Haji, Mohammed Heikal Mohammed Yusoff dan Pengarah Operasi Madinah, Ashrof Shamsuddin.

    Hari ini, sebanyak empat penerbangan berlepas dari KLIA ke Madinah membawa kira-kira 1,100 jemaah haji.

    Semua jemaah haji Malaysia yang memasuki Madinah akan menginao di tiga buah hotel iaitu Saja Al Madinah, Anwar Al Madinah Movenpick dan Emaar Royal Hotel yang bertaraf lima bintang yang kedudukannya hanya 50 meter dari Masjid Nabawi.

    Sepanjang enam hari berada di Madinah, pelbagai program telah dirancang antaranya aktiviti ziarah dalam iaitu melawat ke Makam Nabi Muhammad SAW, memasuki Raudhah dan program pemantapan ibadah haji bagi menjawab segala persoalan jemaah serta meningkatkan lagi pemahaman berkaitan Rukun Islam kelima itu.

    Turut dirancang program ziarah luar iaitu jemaah akan dibawa melawat ke Masjid Quba, Masjid Qiblatain, Jabal Uhud dan makam syuhada serta ke ladang kurma.

    Mengulas mengenai proses ketibaan yang lancar, Wan Zaidi berkata, jemaah tidak perlu menunggu lama di lapangan terbang berikutan manfaat program pra perlepasan jemaah haji atau ‘Makkah Route’.

    “Ia memudahkan jemaah haji Malaysia yang tiba di Madinah dan Jeddah dengan urusan pasport dilakukan sebelum berangkat ke sini,” katanya.

    Menurutnya, Malaysia adalah antara negara terawal menerima kemudahan program berkenaan kerana mempunyai rekod pengurusan haji yang cemerlang.

  • Badal haji RM1,000 hingga RM3,500 terlampau murah, jangan tertipu

    Badal haji RM1,000 hingga RM3,500 terlampau murah, jangan tertipu

    LEMBAGA Tabung Haji (TH) menyarankan orang ramai, terutamanya umat Islam di negara ini, agar lebih berhati-hati dengan tawaran badal atau upah haji oleh agensi pelancongan, mahupun individu tertentu.

    Pengarah Eksekutifnya, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman menegaskan TH dan anak-anak syarikatnya tidak terlibat dalam sebarang bentuk promosi, penawaran atau penyediaan perkhidmatan badal haji.

    “Setiap individu dari luar Makkah perlu mendapatkan visa haji untuk melaksanakan ibadat haji yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi, manakala penduduk tempatan perlu mendapatkan permit kebenaran daripada pihak berkuasa Arab Saudi. 

    “TH akan terus mengingatkan orang ramai untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan,” katanya  kenyataan hari ini.

    Syed Saleh menambah tawaran badal haji pada harga sekitar RM1,000 sehingga RM3,500 ke atas disifatkan terlampau murah.

    Ini kerana, katanya harga asal permit haji paling rendah adalah sekitar SR4,000 (RM4,800), dan lain-lain perbelanjaan yang perlu ditanggung oleh penduduk tempatan Arab Saudi untuk menunaikan ibadat haji

  • Pendaki negara dilapor hilang selepas tawan Everest

    Pendaki negara dilapor hilang selepas tawan Everest

    PENDAKI negara Muhammad Hawari Hashim, yang menyertai misi pendakian Gunung Everest, Himalaya dilaporkan hilang sejak Jumaat.

    Muhammad Hawari yang juga orang kelainan upaya (OKU) pendengaran dipercayai hilang selepas berjaya menawan puncak tertinggi dunia itu pada 18 Mei.

    Sumber memaklumkan kepada Astro AWANI bahawa mangsa merupakan kumpulan sama yang menyertai Malaysia Everest 2023 (ME 2023) bersama Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Lot Kol Awang Askandar Ampuang Yaacub yang dilaporkan meninggal dunia semalam. Muhammad Hawari dipercayai hilang ketika dalam perjalanan turun dari Kem Empat. 

    Sementara itu, berita kehilangan Muhammad Hawari turut dilaporkan oleh portal The Himalayan Times (THT) hari ini.

    Portal tersebut yang memetik Pengarah Pengembaraan Perintis, Nivesh Karki  berkata, Muhammad Hawari gagal dihubungi selepas meninggalkan Kem Empat. 

    Nivesh menambah maklumat berhubung kehilangan mangsa telah diedarkan kepada semua pengendali bagi mengesan sekiranya dia berteduh di kem lain.Difahamkan, operasi mencari dan mengesan Muhammad Hawari sedang giat dijalankan.

    Dalam pada itu, Muhammad Hawari dalam kemas kini di laman Instagramnya memaklumkan antara pendaki yang terlibat dalam ME 2023 ialah Allahyarham Awang Askandar, Azim Afif (Ketua Misi ME 2023), serta Vincent Tiong Ling Yang.