Category: Umum

  • Wanita PN siap siaga hadapi PRU-15

    Wanita PN siap siaga hadapi PRU-15

    JENTERA Wanita Perikatan Nasional (PN) sentiasa bersiap siaga menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada bila-bila masa sahaja, kata Ketuanya Datuk Seri Rina Mohd Harun.

    Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Wanita Bangkit@Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di sini hari ini, Rina yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata kesediaan jentera sentiasa berada pada tahap memuaskan susulan khabar angin mengenai PRU15.

    “Wanita PN sudah pun bersedia. Jentera kami turun sebagai satu nama PN. Paling lewat pun PRU Julai tahun depan.

    “Maksudnya bukan hanya Srikandi Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), Dewan Muslimat PAS atau Wanita Gerakan, tetapi kita turun dengan membawa (nama) Wanita Perikatan Nasional,” katanya.

    Rina berkata Wanita PN sudah lama turun padang bagi mendekati rakyat, mendalami permasalahan mereka serta menghulurkan bantuan tanpa mengira pegangan politik.

    “PN pun baru dua tahun penubuhannya. Janji kita bantu rakyat. Dari segi jentera, kita sudah bergerak bersama dan insya-Allah kita bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa,” katanya.

    Baru-baru ini Timbalan Pengerusi PN Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilaporkan berkata PN sudah bersedia sekiranya PRU15 diadakan dalam masa terdekat dan yakin dengan kerjasama semua parti komponen dalam gabungan itu.- BERNAMA

  • PRU-15: Pemuda PN minta 30 peratus orang muda jadi calon

    PRU-15: Pemuda PN minta 30 peratus orang muda jadi calon

    PEMUDA Perikatan Nasional (PN) menuntut sekurang-kurangnya 30 peratus golongan muda untuk diangkat sebagai calon gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Memetik laporan Berita Harian, Timbalan Pengerusi Pemuda PN, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal berkata, perkara itu penting bagi memberi keyakinan kepada golongan muda, khususnya hampir enam juta pengundi baharu, bahawa PN memiliki penyelesaian untuk segala masalah mereka.

    Beliau berkata, Pemuda PN yakin tindakan gabungan itu mengangkat calon anak muda akan memberi gambaran kepada pengundi muda bahawa parti itu mampu membawa aspirasi mereka apabila menjadi kerajaan.

    “Saya ingin merayu pada semua pimpinan PN untuk meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon anak muda pada PRU-15, yang boleh membawa suara dan aspirasi anak muda dalam kerajaan.

    “Ketika ini, ada 5.8 juta pengundi baharu yang layak mengundi secara automatik, dengan 20 peratus daripadanya berusia 18 tahun hingga 20 tahun, manakala sekitar separuh rakyat Malaysia berusia bawah 30 tahun.

    “Ertinya, anak muda adalah ‘king maker’ pada PRU-15. Jika tidak mampu memahami aspirasi, masalah dan cabaran mereka, mana-mana parti pun akan berdepan kesukaran yang cukup besar,” katanya ketika berucap pada Konvensyen PN 2022, di Serdang, hari ini.

  • Tarif elektrik semua pengguna separuh tahun kedua 2022 kekal

    Tarif elektrik semua pengguna separuh tahun kedua 2022 kekal

    KERAJAAN mengekalkan tarif elektrik bagi semua pengguna untuk separuh tahun kedua 2022 pada kadar yang sama dengan separuh tahun pertama 2022.

    Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini berkata berikutan kenaikan mendadak harga bahan api dunia pada tahun ini, kerajaan pada 24 Jun 2022 telah memutuskan perkara tersebut walaupun kos penjanaan elektrik telah meningkat.

    Pada awal tahun 2021, harga arang batu adalah sekitar US$80 se tan metrik (RM4.4655=US$1), namun pada pertengahan tahun 2022, ia telah mencecah US$400 se tan metrik. 

    “Sehubungan itu, kerajaan akan menanggung subsidi elektrik sebanyak RM5.8 bilion bagi memanfaatkan kesemua ahli Keluarga Malaysia daripada impak kenaikan kos elektrik.

    “Kerajaan akan membayar jumlah RM5.8 bilion tersebut kepada syarikat utiliti negara Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi memastikan TNB tidak terkesan daripada kenaikan mendadak harga bahan api untuk penjanaan elektrik selaras dengan mekanisme Peraturan Berasaskan Insentif (IBR),” katanya yang turut memaklumkan kenaikan kos penjanaan elektrik juga meningkatkan keperluan modal kerja TNB.

    “Sehubungan itu, kerajaan juga akan memberi jaminan pembiayaan TNB sehingga RM6 bilion untuk memastikan operasi TNB menjana bekalan elektrik tidak akan terganggu bagi manfaat Keluarga Malaysia, di samping memangkin kemampanan industri tenaga negara,” katanya.- BERNAMA

  • Shafie bayangkan Warisan bertanding solo di Sabah, Semenanjung

    Shafie bayangkan Warisan bertanding solo di Sabah, Semenanjung

    PRESIDEN Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membayangkan parti itu akan bergerak solo termasuk di Semenanjung pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, beliau berkata, parti itu telah mengenalpasti kesemua 25 calon bagi kerusi Parlimen di Sabah, satu kerusi di Labuan serta beberapa kerusi di Semenanjung.

    Katanya, mereka tidak mahu lagi terlalu memikirkan soal kerjasama dengan mana-mana parti atau gabungan, sebaliknya kerjasama dengan rakyat menjadi keutamaan.

    “Kita sudah bersedia (untuk menghadapi PRU15), malah senarai calon untuk kesemua 26 kerusi parlimen di Sabah (termasuk satu di Labuan) sudah dikenalpasti.

    “Bukan saja calon parlimen (telah dikenal pasti), tetapi juga calon bagi kerusi DUN kerana kita perlu bersiap sedia hadapi sebarang kemungkinan.

    “Di Semenanjung juga tiada (kerjasama dengan parti atau gabungan lain), seperti saya katakan tadi, kita tidak perlu khemah besar atau sebagainya, kita hanya mahu bekerjasama dengan rakyat,” katanya hari ini.

    Bagaimanapun Shafie berkata, biarpun calon sudah dikenal pasti namun mereka bersedia untuk “mengubah” senarai calon jika berlaku kerjasama dengan PBS.

    “Saya sudah sebutkan, antaranya PBS dengan kita memang tidak boleh dipaksa, kalau orang tidak mahu, buat apa mahu paksa.

    “Ya senarai calon Warisan untuk kesemua kerusi parlimen di Sabah telah dikenalpasti, kalau PBS ada, saya tahu di mana mahu ‘adjust’, saya tahu di mana kekuatan PBS,” katanya.

    Sebelum ini, Shafie sering menyatakan hasrat Warisan untuk bekerjasama dengan PBS kerana menganggap perjuangan kedua-dua parti hampir sama.

  • Bajet diawalkan petanda PM ditekan adakan PRU-15 awal – Anwar

    Bajet diawalkan petanda PM ditekan adakan PRU-15 awal – Anwar

    KETUA Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan kerajaan menjadualkan semula pembentangan Belanjawan 2023 bukanlah sesuatu yang di luar kelaziman, namun dakwanya, ia petanda Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berdepan tekanan dari dalam parti.

    Memetik laporan Astro Awani, beliau berkata, proses penyediaan Belanjawan 2023 tidak tahun-tahun sebelum ini yang turut melibatkan Pakatan Harapan (PH) bagi membincangkan isu-isu pokok seperti percukaian.

    “Umumnya dalam praktik kita dalam satu dua tahun ini, ada perundingan dengan Pakatan Harapan (PH) berdasarkan memorandum persefahaman, umpamanya aspek percukaian, perbelanjaan, ketelusan, pertanggungjawaban dalam beberapa isu pokok yang mahu dibentangkan.

    “Ini (rundingan) belum bermula, bermakna mereka terburu-buru melaksanakan (pembentangan belanjawan). Maka adalah diandaikan ini dilakukan supaya memberikan sekali lagi ruang untuk Perdana Menteri menentukan tarikh pilihan raya,” katanya dalam video yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya hari ini.

    Bagaimanapun, Anwar berkata rakyat memerlukan mandat yang lebih kuat dan bukannya Perdana Menteri yang terpaksa bertindak mengikut tuntutan partinya.

    Katanya Kerajaan yang stabil dengan mandat yang jelas supaya pemerintahan baru boleh menumpukan perhatian pertama mempastikan tata kelola kerajaan yang baik dan meghapuskan rasuah.

    Tambah Anwar, antara isu yang belum ditangani ialah peningkatan kos sara hidup, pembaharuan pendidikan, kemudahan kesihatan, menghadapi pendigitalan dan Kepintaran Buatan dan perubahan iklim, dengan banjir berlaku beberapa kali setahun.

    “Malangnya satu pentadbiran yang lemah seperti yang ada sekarang di bawah telunjuk bererapa tokoh yang takut hadapi pendakwaan di mahkamah, tidak mungkin membantu menyelesaikan masalah rakyat terutama kos sara hidup yang meningkat.

    “Jadi kita harap rakyat akan diberi pencerahan bersama untuk bangkit bertindak menuntut perubahan dan pembaharuan yang menyeluruh,” katanya.

    Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengesahkan Bajet 2023 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Okt ini, iaitu tiga minggu lebih awal dari tarikh yang dimaklumkan sebelum ini.

    Wan Junaidi bagaimanapun menafikan sebarang kaitan antara pertukaran tarikh itu dengan pilihan raya umum akan datang, yang dispekulasi akan diadakan tahun ini kerana UMNO telah meningkatkan tekanan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk mengadakan pilihan raya mengejut.

  • Dr Mahathir nafi dakwaan ada pengaruh ke atas hakim kes Najib

    Dr Mahathir nafi dakwaan ada pengaruh ke atas hakim kes Najib

    BEKAS perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menepis dakwaan beliau mempunyai pengaruh ke atas hakim-hakim yang terbabit dalam perbicaraan Datuk Seri Najib Razak dalam kes SRC International.

    Bercakap pada sidang media, Mahathir dalam laporan Free Malaysia Today dipetik sebagai berkata, beliau tidak pernah mencampuri urusan pelantikan hakim semasa Pakatan Harapan memerintah.

    Beliau menjawab spekulasi bahawa barisan hakim Mahkamah Persekutuan, diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, berat sebelah kerana beliau dilantik semasa pentadbiran Mahathir.

    “Saya lantik ketua hakim kerana saya perdana menteri. Saya tiada pilihan. Saya cuma meluluskan nama yang dikemukakan.

    “Tak mungkin saya ada pengaruh ke atas mahkamah. Ada tiga (lapis) mahkamah iaitu Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan, dan Mahkamah Persekutuan. Ada sembilan orang hakim dan semua sama pendapat,” katanya.

    Mahathir berkata perbicaraan Najib Razak dalam kes SRC International mengambil masa empat tahun, berbanding sembilan bulan perbicaraan Anwar Ibrahim dalam kes liwat pertama.

    “Najib diberi peluang untuk bela diri tapi apa dia buat? Dia hanya kata ‘kita mahu mohon orang ini tarik diri, orang itu tarik diri, ini tak adil’. Apa yang tak adil?” kata Mahathir, mengingatkan Najib gagal menyangkal keterangan terhadapnya.

    Najib pada Selasa menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan pensabitan bagi tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kuasa, dan tiga tuduhan pengubahan wang, berhubung dana RM42 juta yang dikaitkan dengan SRC International.

    Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

    Peguam Najib berkata bekas perdana menteri itu tidak dapat perbicaraan yang adil, antaranya kerana tidak dapat mengemukakan keterangan baharu.

    Sementara itu, Mahathir menepis khabar angin mendakwa beliau bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

    “Bohong. Saya tak temui Ismail,” katanya.

    Mahathir berkata mereka pernah bertemu sebelum naib presiden Umno itu menjadi perdana menteri, untuk memberikan nasihat.

    “Selepas dia jadi perdana menteri tak ada pertemuan.”

  • PN kerajaan demokratik ganti kerajaan ‘mi segera’ PH

    PN kerajaan demokratik ganti kerajaan ‘mi segera’ PH

    KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) yang menggantikan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum (PRU-14) ditubuhkan secara demokratik dan bukan menerusi ‘pintu belakang’ seperti didakwa.

    Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebaliknya menyifatkan PH menjadi kerajaan “mi segera tidak masak” setelah pentadbirannya dipenuhi kecelaruan dan kegopohan.

    Menurut beliau yang juga Timbalan Pengerusi PN, atas faktor itu, gabungan PN dibentuk dengan menjatuhkan PH disertai rakan-rakan daripada BERSATU bersama parti lain iaitu PAS, parti dari Sabah, Sarawak dan UMNO, membuat perubahan kerajaan secara demokratik.

    “Ketika PH mengambil alih kerajaan, mereka bercelaru. Sudahlah kerajaan mi segera, tidak masak, berlaku pula krisis berebut nak jadi Perdana Menteri, menyebabkan alpa masalah yang patut diutamakan.

    “Ini bukan pintu belakang, tetapi demokratik melalui (kaedah) mengumpul jumlah Ahli Parlimen yang mencukupi. Ini demokrasi,” katanya di hadapan kira-kira 1,300 perwakilan yang hadir di Konvensyen Perikatan Nasional 2022 di Maeps, Serdang hari ini.

    Mengulas lanjut Abdul Hadi berkata, PN berjaya mengambil alih pentadbiran kerajaan daripada PH dalam keadaan teratur tanpa pertumpahan darah, demonstrasi atau pergaduhan antara rakyat dengan pihak berkuasa.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin katanya sanggup melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri demi memastikan perpaduan dan kelangsungan pentadbiran PN sehingga kini.

    Hadi turut memuji kejayaan PN menyelesaikan masalah ketirisan, salah guna kuasa dan salah laku serta isu bantuan yang tidak sampai ke sasaran dalam tempoh masa singkat, meskipun ia ditubuhkan tanpa memiliki manifesto atau janji.

    “Dalam keadaan gangguan yang banyak daripada luar dan dalam, bahtera PN dapat diteruskan sampai hari ini,” katanya.

    Abdul Hadi berkata, semua parti komponen PN perlu berpadu menjelang PRU-15 untuk memastikan gabungan itu dapat membentuk kerajaan yang kukuh, dan menolak peristiwa lama serta ‘mereka yang terbabit dengan peristiwa lama’.

    “Sekurang-kurangnya kita dapat membuktikan integriti kita melalui menteri dalam Kabinet serta kerajaan negeri yang kita perintah dalam masa singkat. Mudah-mudahan rakyat dapat melihat,” katanya.

  • Cadang wujud agensi sehenti kumpul data penerima bantuan

    Cadang wujud agensi sehenti kumpul data penerima bantuan

    PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan sebuah agensi sehenti diwujudkan untuk mengumpul data mengenai individu dan isi rumah yang benar-benar memerlukan bantuan.

    Beliau berkata agensi itu yang juga bertujuan menyelaras segala bentuk bantuan, boleh mengambil model Centrelink yang dilaksanakan di Australia dalam mengurus penyaluran bantuan kepada penerima yang layak. 

    Beliau berkata sistem semakan kelayakan dan penyaluran bantuan yang cekap, cepat dan seragam adalah supaya tiada pertindihan penerima bantuan, sekali gus memastikan tidak berlaku keciciran.

    “Dengan cara ini sumber kewangan kerajaan dapat dioptimumkan di samping memastikan tiada sesiapa yang tertinggal,” katanya dalam ucaptama pada Konvensyen Perikatan Nasional (PN) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.

    Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata kerajaan membelanjakan lebih RM70 bilion setahun dalam bentuk subsidi dengan jumlah itu meningkat saban tahun, selain tidak mapan untuk jangka panjang.

    Justeru, beliau berkata penyaluran subsidi lebih bersasar perlu diwujud untuk memastikan subsidi kerajaan dinikmati golongan yang benar-benar memerlukan, tiada ketirisan dan tiada seorang pun ketinggalan.

    Menerusi penyaluran subsidi lebih bersasar, sistem bantuan rakyat yang seragam dan pengurusan kewangan kerajaan lebih optimum, Muhyiddin berkata beberapa bentuk bantuan baharu juga boleh diwujudkan seperti bantuan sewa rumah kepada kumpulan miskin bandar bagi memastikan setiap individu dan keluarga mempunyai tempat berteduh, selain mengatasi masalah gelandangan. 

    Pelbagai bentuk bantuan yang penting dalam menjamin kesejahteraan hidup rakyat seperti penjagaan kesihatan, pendidikan dan latihan kemahiran khususnya untuk golongan muda yang sedang mencari pekerjaan juga mesti diberikan keutamaan, katanya. 

    Dalam pada itu, Muhyiddin menyarankan agar negara segera beralih kepada industri berteknologi tinggi dengan nilai tambah lebih tinggi serta tawaran gaji lebih lumayan. 

    “Walaupun usaha ini telah dimulakan, hasilnya masih belum dapat dilihat secara ketara, justeru suatu daya usaha lebih berfokus, pantas dan tangkas mesti digembleng melibatkan pelbagai kementerian, agensi dan industri untuk memastikan peralihan kepada Revolusi Industri 4.0 di negara ini berlaku dengan lebih deras,” katanya.

    Beliau berkata kerajaan juga perlu meningkatkan daya saing Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) terutamanya dalam meningkatkan nilai tambah termasuk melalui penguasaan automasi dan pendigitalan, sekali gus dapat mewujudkan lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi kepada rakyat.- BERNAMA

  • GTA yakin mampu menang PRU-15 – Tun M

    GTA yakin mampu menang PRU-15 – Tun M

    GERAKAN Tanah Air (GTA) yakin mampu memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang dengan sokongan daripada orang Melayu yang disifatkan semakin baik, sejak penubuhan gabungan tersebut pada awal Ogos lalu.

    Memetik laporan Astro Awani, Pengerusi Penajanya Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, orang Melayu yang prihatin dan sayang kepada negara akan menyokong perjuangan GTA.

    GTA dibarisi empat parti tonggak iaitu Parti Pejuang Tanah Air, Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA).

    Ketika pertemuan dengan kumpulan orang Melayu, Dr Mahathir berkata, mereka meluahkan kekecewaan terhadap situasi ketika ini termasuk penyalahgunaan kuasa oleh pemimpin-pemimpin yang diberi tanggungjawab membina negara.

    “Perpecahan orang Melayu melemahkan orang Melayu. 70 peratus (orang Melayu) tidak bermakna kalau kita berpecah tetapi kalau kita (mahu) cantumkan 70 peratus ini, saya fikir sudah tidak mungkin, kerana ramai orang Melayu yang telah menyeleweng.

    “Demikianlah penyelewengan mereka sehingga yang benar dikatakan tidak, yang tidak benar dikatakan benar, dan ini sudah bertukar dalam kalangan orang Melayu.

    “Sebab itu (GTA) asingkan orang jenis ini, yang tidak malu, daripada pihak yang mengekalkan budaya, adat istiadat dan nilai-nilai orang Melayu seperti dahulu,” kata Dr Mahathir.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Nasional 2022 Parti Berjasa di Dewan Tun Abdul Razak di sini hari ini.

    Himpunan itu yang turut dihadiri Presidennya Zamani Ibrahim, mengumpulkan pimpinan-pimpinan Berjasa dari seluruh negara dengan anggaran kehadiran seramai 2,000 orang.

    Dalam ucapannya, Dr Mahathir berkata, berbanding bangsa-bangsa lain, Melayu dilihat lebih mengutamakan tanah air dan menganggap ia sebagai warisan.

    Begitu pun, jelas Ahli Parlimen Langkawi itu lagi, jika orang Melayu berpecah, ia akan melemahkan bangsa itu, sekali gus memberi ruang kepada ‘pencuri’ untuk terus mentadbir Malaysia.

    “Sebab itu kita yang sedar ini sanggup mengetepikan perjuangan masing-masing dan mengutamakan perjuangan untuk mendirikan tanah Melayu yang berwibawa, cekap, bersih dan beramanah.

    “Ini boleh dilakukan kerana sambutan terhadap GTA amat meluas dan setiap hari ramai bertanya serta menyertai gerakan ini,” ujar Dr Mahathir lagi.

    Tambahnya, niat GTA untuk mentadbir negara bukan semata-mata mahu menjadi Perdana Menteri, sebaliknya percalonan untuk jawatan itu hanya akan dilakukan jika kemenangan berpihak kepada mereka kelak.

    Pada 4 Ogos lalu, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan GTA berteraskan agenda Melayu dan Islam.

    Selain Dr Mahahir, jawatankuasa penaja GTA turut dibarisi Timbalan-Timbalan Pengerusi iaitu Zamani, Datuk Ibrahim Ali selaku Presiden Putra; Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Presiden Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak.

  • Walau nama hampir sama, PN dan BN bagai langit dan bumi – Muhyiddin

    Walau nama hampir sama, PN dan BN bagai langit dan bumi – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, beza Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) amat jauh ibarat langit dan bumi.

    Pengerusi PN itu berkata, walaupun namanya hampir sama, parti yang diterajuinya itu lebih mementingkan kesejahteraan rakyat dan negara.

    Beliau menjelaskan, sewaktu menjadi Perdana Menteri, beliau mengarahkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz agar mencari duit untuk diberikan kepada rakyat yang susah.

    Namun dakwa beliau, BN hanya mementingkan untuk kaut apa yang ada selagi sempat untuk kepentingan suku-sakat mereka.

    “Jadi, walaupun Perikatan Nasional dan Barisan Nasional namanya hampir sama, tetapi bezanya jauh ibarat langit dan bumi.

    “Saya harap para pengundi jangan salah memilih dalam PRU 15 nanti. Pilih Perikatan Nasional, bukan Barisan Nasional,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Perikatan Nasional di Serdang hari ini.

    Pada masa sama, Muhyiddin turut mengingatkan amalan ‘ambil apa yang sempat’ atau ‘rembat apa yang dapat’ atau ‘sakau-menyakau’ tidak boleh menjadi budaya dalam Perikatan Nasional (PN).

    Tegas Ahli Parlimen Pagoh itu, ia adalah budaya yang salah dari segi hukum agama, undang-undang, moral dan etika masyarakat.

    Beliau berkata, amalan itu jika dibiarkan membarah boleh menjadi punca kejatuhan bukan sahaja parti politik, tetapi masyarakat, negara dan tamadun.

    “Untuk melangkah ke hadapan dengan lebih yakin dan gagah, Malaysia perlu mempunyai suatu ekosistem budaya, politik dan pengurusan kerajaan yang bebas rasuah dan berintegriti.

    “Pengalaman lalu mengajar kita bahawa budaya politik yang dilingkari amalan rasuah merupakan suatu kemungkaran yang rosak lagi merosakkan,” katanya.