Category: Umum

  • Negeri Sembilan mungkin tak bubar DUN sebelum Mac – MB

    Negeri Sembilan mungkin tak bubar DUN sebelum Mac – MB

    KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan mungkin tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sebelum Mac tahun depan.

    Memetik laporan Berita Harian, Pengerusi PH negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, adalah lebih baik PRU-15 diadakan selepas Mac atau sehingga penggal ini berakhir kerana masih banyak perkara, terutama berkaitan kepentingan rakyat yang memerlukan tumpuan daripada kerajaan.

    Katanya, cadangan kerajaan PAS yang menerajui Kedah, Kelantan dan Terengganu tidak akan membubarkan DUN di negeri berkenaan lebih awal daripada Mac tahun depan, adalah suatu pandangan dan tindakan yang baik.

    “Walaupun setakat ini PH belum membuat keputusan mengenainya (PRU-15 negeri), saya akan mencadangkan supaya ia diadakan pada tahun depan.

    “Saya rasa itu (cadangan PAS) adalah pandangan yang baik. Dalam kita menantikan tarikh pilihan raya yang menjadi teka-teki ketika ini, adalah lebih baik ia diadakan tahun depan.

    “Saya akan mencadangkan supaya PRU-15 untuk negeri-negeri (di bawah PH) dapat dilakukan pada tahun depan iaitu selepas Mac, misalnya pada Mei atau sehingga habis penggal. Rasanya tiada masalah (diadakan pada waktu itu),” katanya hari ini.

    Beliau ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Ke-65 Peringkat Negeri Sembilan di Padang Majlis Bandaraya Seremban (MBS).

    Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan diminta mengulas mengenai kenyataan PAS melalui Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang memaklumkan bahawa PAS tidak akan membubarkan DUN di Kedah, Kelantan dan Terengganu lebih awal daripada Mac tahun depan.

    Takiyuddin dilaporkan berkata, keputusan itu dicapai hasil Mesyuarat Jawatankuasa Harian parti itu yang diadakan kelmarin.

    Mengulas lanjut, Aminuddin bagaimanapun berkata, perkara itu terpulang kepada Majlis Presiden PH untuk menentukan bila tarikh PRU-15 yang sesuai dan sebaik diadakan membabitkan tiga negeri di bawah gabungan itu iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.

    Beliau yang juga Naib Presiden PKR berkata, pelbagai faktor perlu difikirkan terlebih dulu sebelum mengadakan pilihan raya itu.

    Katanya, rakyat dilihat masih bergelut untuk keluar daripada masalah ekonomi berikutan kos sara hidup yang tinggi.

    “Kita dapat lihat rakyat tengah susah dan mereka memerlukan perhatian daripada kerajaan.

    “Sepatutnya kerajaan menumpukan perhatian untuk membantu dan memberikan sokongan kepada rakyat selain memulihkan semula ekonomi daripada mengutamakan PRU-15, yang pastinya membabitkan belanja mencecah bilion ringgit,” katanya.

    Terdahulu dalam satu program di Kuantan, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan bahawa Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi komitmen bahawa PRU-15 akan diadakan tidak lama lagi dan mungkin tahun ini.

    Mohamad dilaporkan berkata, walaupun Ismail Sabri tidak menetapkan tarikh, ada gambaran bahawa PRU-15 tidak akan diadakan pada tahun depan, malah mungkin bukan bulan 12 (Disember) kerana musim tengkujuh.

    Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada Taklimat Khas Presiden Sabtu lalu, di hadapan lebih 2,000 ahli parti itu, dilaporkan berkata Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan berbincang mengenai desakan supaya PRU-15 diadakan segera.

    Media sebelum ini melaporkan Bajet 2023 yang sepatutnya dibentangkan pada 28 Oktober ini akan dibentang tiga minggu lebih awal, sekali gus memberi petanda bahawa PRU-15 akan diadakan dalam tempoh terdekat.

  • TH saran pendeposit hadkan pindahan harian, elak penipuan dalam talian

    TH saran pendeposit hadkan pindahan harian, elak penipuan dalam talian

    PARA pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) disaran menghadkan jumlah pindahan harian menerusi perbankan Internet bank rakan strategik TH sebagai langkah keselamatan dari penipuan dalam talian.

    TH dalam kenyataan hari ini berkata pendeposit juga perlu sentiasa memastikan maklumat peribadi dan akses kata laluan platform perbankan Internet tidak dikongsi dengan mana-mana pihak, selain membuat semakan penyata akaun secara berkala melalui aplikasi THiJARI.

    Menurut TH, langkah keselamatan adalah penting supaya pendeposit tidak terjerat dengan perangkap pihak tidak bertanggungjawab atau ‘scammer’.

    TH juga sedang mengambil langkah mengurangkan had pindahan harian menerusi perbankan Internet bank-bank rakan strategik bagi mengekang penipuan dalam talian dari menimpa pendeposit.

    “Platform dalam talian TH iaitu THiJARI amat selamat kerana pengeluaran atau pindahan keluar dari TH adalah tidak dibenarkan sama sekali. Malah, THiJARI dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri keselamatan antaranya nama pengguna, kata laluan, TAC serta gambar keselamatan untuk memastikan aplikasi tersebut disambung ke laman web rasmi THiJARI.

    “Peraturan pengeluaran atau pindahan wang juga tidak boleh dilaksanakan melalui panggilan telefon, manakala arahan pindahan telegrafik di kaunter hanya boleh dibuat dari akaun TH ke akaun bank milik sendiri sahaja,” menurut kenyataan itu.

    TH berkata menerusi aplikasi THiJARI, satu sesi log masuk sahaja dibenarkan bagi setiap akses dan maklumat sulit akaun pendeposit juga tidak akan disimpan dalam telefon bimbit, selain sentiasa dikemas kini dan penambahbaikan kawalan keselamatan teknologi dilaksanakan secara berterusan.

    Dalam pada itu, TH memandang serius penyalahgunaan media sosial dalam penyebaran berita palsu atau kandungan tidak jelas, sehingga menimbulkan suasana keresahan dan panik dalam kalangan orang ramai terhadap TH.

    “TH tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya berdasarkan undang-undang seperti diperuntukkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. 

    “TH komited untuk terus memberi peringatan dan nasihat berkaitan perkara ini kepada para pendeposit di platform-platform komunikasi rasmi TH. Untuk sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919,” menurut kenyataan itu.- BERNAMA

  • Mangsa seperti tahu tragedi bakal menimpa menerusi karangan ditulis

    Mangsa seperti tahu tragedi bakal menimpa menerusi karangan ditulis

    SEORANG mangsa kemalangan maut di Lebuhraya Pantai Timur Sabtu lalu, Danial Danish Mohd Ali nampaknya tahu apa yang akan berlaku tiga hari sebelum dia meninggal dunia dalam kemalangan ngeri.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Melawati itu nampaknya mempunyai firasat mengenai percutian keluarganya bertukar tragedi, seperti yang ditulis dalam karangannya ketika peperiksaan pada Rabu lalu.

    Tangkap layar status bapa saudara Danial.

    Dalam karangan Bahasa Melayu itu, Danial menceritakan keluarganya menghadapi masalah kereta di jalan raya.

    Karangan itu mengandungi butiran termasuk “keluarga saya telefon ‘towing’”, “kereta itu ‘total lost’”, “ada kereta merempuh kereta keluarga saya”.

    Paling ketara, dia menulis; “…dan kita orang duduk di tempat rehat dari pukul 6 petang sampai 3 pagi di tempat rehat. Ketika itu saya bosan menunggu towing ambil kita orang…”.

    Danial bersama datuk dan neneknya, Mohamed Samsudin, 75, serta Kamariah Hamzah, 72, meninggal dunia Sabtu lalu, selepas sebuah lori terbabas ke lorong kecemasan di Lebuhraya Pantai Timur dan melanggar sebuah trak penunda yang sedang menunda kereta dinaiki keluarga itu.

    Dalam kemalangan 3.10 pagi itu, kenderaan pelbagai guna (MPV) yang membawa tujuh individu lain, terhumban ke gaung sedalam 20m.

    Pemandu trak penunda, Mohd Azuan Zainal Abidin, 53, turut terbunuh dalam nahas itu.

    Difahamkan, pada malam kemalangan itu berlaku, guru Danish sedang menanda karangan pelajar, termasuk kertasnya.

    Selepas mendapat tahu tragedi itu keesokannya, guru terbabit menyemak semula karangan Danial dan terkejut dengan kandungannya.

    Ibu saudara Danial, Azlina Mohamad memberitahu FMT, dia tergamam melihat butiran dalam karangan anak saudaranya.

    “Karangan arwah (Danial) mengejutkan saya. Saya tidak tahu apa yang boleh saya katakan mengenainya,” kata pembantu tadbir berusia 44 tahun itu.

    Tangkap layar karangan sepanjang 159 patah perkataan itu dikongsi bapa saudara Danial di Facebook.

    Azreen Mohamad menulis pada Isnin lalu: “Dapat SS (tangkap layar) karangan anak buah yang meninggal, karangan yang ditulis seolah-olah menceritakan hal sebelum kemalangan sebenar berlaku, mungkin isi karangan kebetulan mirip kejadian sebenar, semoga syurgalah tempat kamu, wahai Muhammad Danial Danish.”

    Ibu Danial, abangnya dan tiga sepupunya masih dirawat di unit rawatan rapi Hospital Temerloh.

  • Skandal LCS: Abd Latiff buat laporan polis terhadap Rafizi

    Skandal LCS: Abd Latiff buat laporan polis terhadap Rafizi

    MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad membuat laporan polis terhadap Rafizi Ramli berhubung tindakan Timbalan Presiden PKR itu mengaitkannya dengan skandal kapal tempur pesisir (LCS).

    Ahli Parlimen Mersing itu percaya bahawa fitnah dan tohmahan berkenaan dicipta untuk merosakkan nama baiknya bagi tujuan politik.

    Menurutnya, ini bagi menimbulkan kebencian dan kemarahan orang awam terhadap beliau dan menyemarakkan keresahan rakyat.

    “Satu laporan polis telah dibuat berkenaan dengan fitnah dan tohmahan yang dibuat oleh saudara Rafizi Ramli, Timbalan Presiden PKR yang mengandungi pembohongan dengan tujuan untuk merosakkan nama baik saya.

    “Saya percaya bahawa fitnah dan tohmahan tersebut diciptakan untuk merosakkan nama baik saya untuk tujuan politik dengan menimbulkan kebencian dan kemarahan orang awam terhadap saya dan menyemarakkan keresahan rakyat.

    “Penyiaran dan komunikasi secara elektronik tersebut adalah sumbang, palsu, mengancam dan bersifat jelik untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut dan mengganggu,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini,

    Beliau turut berharap polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat dan mendakwa Rafizi serta pihak-pihak yang bersubahat melakukan kesalahan terbabit.

    Dalam hantaran sama, Abdul Latiff turut memuat naik gambar laporan polis dibuat pegawainya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, semalam.

    Sebelum ini, laporan audit forensik LCS, antara lain menyatakan syarikat pembekal peralatan LCS adalah isteri kepada Dr Abd Latiff yang pernah menjadi Timbalan Menteri Pertahanan pada 2008 hingga 2013.

    Namun Abd Latiff beberapa kali menafikan wanita dikaitkan dalam siasatan projek LCS adalah isterinya.

    Rafizi mendakwa syarikat palsu yang menjadi syarikat pembekal alat ganti kepada projek pembinaan LCS adalah milik keluarga Dr Abd Latiff berpandukan siasatan dalaman skandal itu dan semakan susulan dilakukannya.

    Menurutnya, siasatan dalaman LCS mengesahkan dua syarikat palsu menggunakan nama Alizes Marine sudah didaftarkan dengan nama Alizes Marine Limited berdaftar di Malta dan sebuah lagi, Alizes Marine Labuan didaftarkan di Labuan.

    Abd Latiff menyifatkan Rafizi cuba mengelirukan orang ramai apabila terus mengaitkannya dengan isu projek LCS.

    Katanya lagi, tindakan itu dapat dilihat melalui laporan audit yang masih di peringkat draf, sedangkan laporan audit didakwanya laporan ‘sebenar’ yang sudah ditandatangani firma audit tidak menyebut Zainab Mohd Salleh sebagai isteri keduanya.

  • Tun M positif COVID-19, kini dirawat di IJN

    Tun M positif COVID-19, kini dirawat di IJN

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan positif jangkitan COVID-19 pagi ini.

    Pejabat beliau dalam satu kenyataan ringkas di laman media sosial berkata, Ahli Parlimen Langkawi itu telah dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN).

    Ini bagi tujuan pemantauan selama beberapa hari.

    Selain itu, kenyataan Pejabat Dr Mahathir itu turut menyebut bahawa tindakan itu dibuat berdasarkan nasihat pasukan keselamatan beliau.

    Berikut tangkap layar kenyataan itu.

  • Hari Kebangsaan 2022: Keluarga Malaysia serlah semangat teguh bersama

    Hari Kebangsaan 2022: Keluarga Malaysia serlah semangat teguh bersama

    KEHARMONIAN Keluarga Malaysia dan keterujaan jelas terpancar di wajah ribuan individu pelbagai lapisan umur, bangsa dan latar belakang yang membanjiri Dataran Merdeka, bersama-sama meraikan sambutan Hari Kebangsaan 2022.

    Manifestasi tema ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’, sambutan hari bersejarah tahun ini cukup bermakna dalam menzahirkan kesyukuran dan rasa bangga masyarakat majmuk negara ini yang beramai-ramai berhimpun di lokasi utama perarakan dan perbarisan seawal 4.30 pagi untuk menyaksikan acara itu.

    Lautan manusia termasuk pelancong asing mengambil peluang menghayati tema sambutan dengan menampilkan semangat patriotisme, kebersamaan dan kesepaduan memeriahkan acara sambutan peringkat kebangsaan penuh warna-warni dan besar-besaran.

    Pasukan barisan hadapan melintasi pentas tetamu kehormat pada acara perbarisan dan perarakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka, hari ini.

    Setelah dua tahun disambut dalam persekitaran norma baharu ekoran pandemik COVID-19, acara perbarisan dan perarakan oleh hampir 20,000 peserta pelbagai kontinjen tahun ini diadakan gilang-gemilang yang mempamerkan komponen kenegaraan, barisan hadapan, urus tadbir negara, ketenteraman awam, keselamatan negara, komponen Keluarga Malaysia dan pertunjukan udara. 

    Acara sambutan yang melibatkan sejumlah 369 aset darat dan 68 aset udara serta 76 ekor haiwan dalam perkhidmatan, turut disiarkan secara langsung di kaca televisyen dan laman media sosial, orang ramai disajikan dengan dendangan lagu-lagu patriotik, diiringi Orkestra RTM pimpinan Datuk Mokhzani Ismail, yang julung kali terlibat dalam acara bersejarah itu. 

    Ketibaan rasmi dif-dif kenamaan dan pemimpin negara bermula 7.30 pagi disusuli dengan kemuncak keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, yang menaiki Kereta Kuda Diraja, satu penampilan unik berbeza daripada kelaziman tahun-tahun sebelum ini. 

    Pesawat Pengangkut A400m dan C130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan lintas hormat pada sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka, hari ini.

    Kereta Kuda Diraja kali terakhir digunakan pada 17 tahun lepas semasa Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berangkat menghadiri sambutan Hari Kebangsaan 2005.

    Sejurus keberangkatan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah di pentas diraja, lima pesawat helikopter melakukan terbang lintas diiringi dengan nyanyian lagu kebangsaan Negaraku.

    Seri Paduka kemudian menerima Tabik Hormat Diraja dan berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota diketuai Mejar Nurul Fauzan Md Sabri.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, empat menteri kanan dan menteri-menteri Kabinet termasuk Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, diplomat dan perwakilan asing serta dif-dif kenamaan menghadiri sambutan hari bersejarah itu.

    Sebahagian daripada persembahan ketika Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka, hari ini.

    Mendahului acara sambutan Hari Kebangsaan 2022 itu ialah nyanyian lagu Negaraku seiring dengan acara menaikkan Jalur Gemilang. Serentak itu kedengaran 14 das tembakan kehormatan, simbolik kepada 14 negeri di Malaysia, dilaksanakan oleh 41 Bateri Istiadat Rejimen Artileri Diraja diketuai Lt Kol Mohamad Asri Che Wil.

    Menyemarakkan suasana sambutan, hadirin disajikan dengan lagu tema ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’, nyanyian Alif Satar & The Locos bersama kumpulan koir Keluarga Malaysia dengan iringan muzik Orkestra RTM.

    Tidak sempurna acara tanpa bacaan ikrar Rukun Negara, atlet pecut muda negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi, yang merupakan pemegang rekod acara 100 meter negara mengetuai 65 pembaca ikrar yang terdiri daripada pelbagai kaum, sekali gus menonjolkan elemen keterangkuman. 

    Usai lafaz ikrar, laungan keramat ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali bergema di Dataran Merdeka. 

    Pada sambutan kali ini, hadirin dipersembahkan dengan persembahan khas colour guard ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ oleh 600 pelajar sekolah menengah di bawah penyelarasan Unit Pembangunan Bakat Murid, Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.  

    Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka, hari ini.

    Mendahului segmen kenegaraan ialah perarakan kontinjen pembawa bendera besar bersaiz 24.3 meter x 12.2 meter oleh 60 pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan kadet pelatih dari Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia. 

    Ia diikuti dengan perarakan 330 pembawa Jalur Gemilang dan pembawa bendera negeri-negeri. 

    Bagi menggambarkan kesepakatan sinergi penyampaian perkhidmatan awam Malaysia, 27 kementerian dan jabatan daripada sektor perkhidmatan am, ekonomi, industri, keselamatan, infrastruktur, kemudahan awam dan sosial menyertai kontinjen barisan kementerian. 

    Turut menarik perhatian, perarakan kontinjen Persatuan Jurumasak Malaysia diketuai Presiden Khairuddin Kamarudin. Tunku Azizah merupakan penaung persatuan ini yang ditubuhkan pada 1977 dengan objektif menyatukan profesional masakan serta mewujudkan hubungan antara pemain industri serta jalinan kerjasama profesional.

    Sebahagian daripada acara menaikkan Jalur Gemilang ketika Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka, hari ini.

    Perarakan kemudiannya dimeriahkan dengan Konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia yang diketuai Sabri Said, melibatkan lima unit kenderaan pacuan empat roda daripada Jabatan Penerangan Malaysia dan 65 motosikal berkuasa tinggi BMW K16.

    Bidang sukan yang menjadi elemen penyatuan rakyat Malaysia tidak ketinggalan membuat penampilan. Atlet Malaysia termasuk mereka yang mewakili  negara pada temasya Sukan Komanwel Brimingham 2022 menaiki dua bas ‘hop-on hop-off’ menerima tepukan gemuruh para hadirin.

    Menyerikan lagi sambutan tahun ini ialah perarakan 30 kenderaan klasik yang membawa tokoh dan karyawan seni antaranya pengarah filem Datuk Yusof Haslam serta personaliti filem pecah panggung ‘Mat Kilau’, Datuk Jalaluddin Hassan dan Shaharuddin Thamby.

    Sejumlah 650 peserta daripada 33 syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan swasta serta kereta berhias yang membawa pelbagai maskot karekter animasi tempatan seperti Didi & Friends, Omar dan Hana, BoBoiBoy dan Papa Zola menceriakan perarakan dengan aksi masing-masing.

    Pasukan barisan hadapan melintasi pentas tetamu kehormat pada acara perbarisan dan perarakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka, hari ini.

    Dalam segmen ketenteraman awam, kontinjen barisan hadapan menarik perhatian ramai apabila turut  membariskan petugas kesihatan daripada Kementerian Kesihatan serta petugas keselamatan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang merupakan tonggak utama negara tatkala pandemik COVID-19 melanda negara.

    Bagi segmen keselamatan negara, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memulakan acara perbarisan dengan persembahan demonstrasi menyelamatkan tebusan oleh pasukan elit, Grup Gerak Khas berserta aset-aset milik ATM.

    Aset pesawat udara kontinjen keselamatan negara dipertontonkan di ruang udara, antaranya melibatkan dua jenis pesawat pengangkut terbesar A400M dan C-130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). 

    Buat julung kalinya ruang udara Kuala Lumpur digegarkan dengan persembahan formasi mega terbang lintas udara yang dibarisi 21 pesawat helikopter pelbagai agensi ATM, Polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Agensi Penguatkuasaan Maritim. 

    Lagu tema ‘Keluarga Malaysia’ ciptaan Jerry dan lirik oleh Annuar, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022, mengakhiri persembahan sambutan yang memukau para hadirin.- BERNAMA

  • Kepimpinan berintegriti, amanah perlu jadi nilai utama

    Kepimpinan berintegriti, amanah perlu jadi nilai utama

    Oleh AZRIL MOHD AMIN

    INSTITUT  Masa Depan Malaysia (MASA) mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan ke-65 kepada seluruh warga Malaysia.

    Tanggal 31 Ogos 1957 merupakan tarikh keramat yang mencatatkan detik bersejarah apabila pemasyhuran kemerdekaan diisytiharkan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia yang pertama.

    Pengertian konsep kemerdekaan telah menjadi pasak perpaduan dalam proses pembinaan negara bangsa sejak sekian lama, seiring dengan aspirasi dan hasrat segenap lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang, untuk menikmati kemakmuran secara adil dan saksama.

    Sebagai negara yang mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, Malaysia kekal menjadi sebuah negara yang aman dan harmoni berpaksikan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip Rukun Negara.

    Justeru, dalam menghayati erti kemerdekaan, Agenda Prihatin Rakyat perlu sentiasa menjadi keutamaan pihak kerajaan. Aspek kesejahteraan rakyat terutamanya golongan yang terpinggir harus diberi penekanan khusus ke arah mencapai matlamat menangani jurang kekayaan dan pendapatan, iaitu objektif kedua dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) yang menjadi aspirasi negara ketika ini.

    Patriotisme tidak mungkin tumbuh daripada retorik dan slogan semata-mata. Dalam menghadapi kepelbagaian cabaran semasa dan masa depan, kepimpinan berintegriti dan beramanah perlu diangkat sebagai nilai utama yang perlu dizahirkan dan menjadi teras budaya masyarakat Malaysia yang bersatu, makmur dan bermaruah.

    Hanya dengan menjunjung prinsip integriti dan beramanah, usaha membela kebajikan rakyat dan memajukan negara pasca pandemik dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan saksama.

    Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini akan lebih bermakna sekiranya setiap warganegara kembali menghayati semangat pejuang kemerdekaan, bersatu hati dan membugar semula rasa cinta akan tanah air demi mencapai wawasan bersama untuk negara.

    Merdeka! Merdeka! Merdeka!

    • AZRIL MOHD AMIN adalah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia
  • Nukilan ‘Warkah Merdeka 2022 Negaraku Malaysia’ Muhyiddin

    Nukilan ‘Warkah Merdeka 2022 Negaraku Malaysia’ Muhyiddin

    Negaraku Malaysia,

    Sudah lebih dua tahun anak bangsamu menempuh cabaran

    Cabaran pandemik bersama

    Ribuan yang hilang nyawa, jutaan yang sakit menderita

    Pilu meniti hari-hari yang sengsara

    Negaraku Malaysia,

    Sesungguhnya ramai yang merasai kehilangan

    Bukan sahaja hilang ahli keluarga, rakan dan taulan

    Tetapi juga pekerjaan dan punca pendapatan

    Pelbagai ikhtiar diusahakan kerajaan supaya beban rakyat diringankan

    Pelbagai bantuan dihulurkan daripada wang tunai kepada bakul makanan

    Daripada subsidi upah kepada monotorium pinjaman

    Keprihatinan kita lazimkan melindungi nyawa rakyat dan ekonomi kita utamakan

    Negaraku Malaysia,

    Sememangnya derita pandemik berbeza-beza kita alami

    Ada yang diuji bertubi-tubi

    Namun kecekalan bangsa untuk bangkit

    Berdiri membuat kita berjaya melangkah dengan berani

    Beralih kepada fasa pra endemik hari ini

    Negaraku Malaysia,

    Marilah kita melihat ke hadapan

    Membina bersama satu wawasan

    Membentuk satu gagasan

    Menyemarak proses pemulihan

    Demi mencapai satu impian

    Negaraku Malaysia,

    Marilah kita terus bersama bergandingan

    Yang jatuh kita bangkitkan

    Yang maju kita julangkan

    Yang usang kita modenkan

    Yang punah kita pulihkan

    Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim,

    Aku menadah tangan merendah diri

    Memohon kepadaMu

    Pulihkan semangat anak bangsa Malaysia

    Bangkitkan semangat kasih dan cinta kepada nusa dan bangsa

    Eratkan talian persaudaraan antara kami semua

    Rahmatilah segala usaha kami

    Berkatilah segala pengorbanan kami

    Agar Negaraku Malaysia kembali pulih

    Dan mampu berdiri megah, bebas, merdeka dan jauh lebih baik dari sebelum ini

    Amin Ya Raballaalamin kepadaMu kami semua berserah

    Ikhlas Daripada saya Muhyiddin Yassin

    Selamat Menyambut Hari Kebangsaan

    Merdeka, Merdeka, Merdeka

  • Jeritan selamatkan wanita warga asing yang dikurung 3 hari dalam sebuah rumah

    Jeritan selamatkan wanita warga asing yang dikurung 3 hari dalam sebuah rumah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JERITAN seorang wanita warga asing yang meminta tolong semasa dikurung dalam sebuah rumah selama tiga hari, berjaya menyelamatkannya apabila seorang jiran menyedarinya lalu menghubungi polis.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, kejadian di Taman Pasir Putih, Pasir Gudang itu berlaku terhadap mangsa yang dikatakan dijanjikan pekerjaan sebagai pembantu rumah.

    “Mangsa yang berusia 37 tahun itu dikurung seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan dalam rumah berkenaan.

    “Seorang wanita yang merupakan jiran suspek menyedari kejadian tersebut pada pukul 11.45 pagi selepas terdengar mangsa menjerit meminta tolong sebelum memaklumkan perkara itu kepada anggota polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, bertindak atas maklumat pada pukul 1.30 petang sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam telah membuat pemeriksaan di rumah berkenaan.

    “Pihak polis menyelamatkan mangsa yang dikurung dalam rumah dalam keadaan pintu dikunci dengan mangga dari luar,” katanya.

    Susulan itu pada pukul 3.30 petang semalam hingga 9.42 malam tadi, pihaknya menahan seorang wanita dan seorang lelaki tempatan berusia 36 dan 38 tahun di dua lokasi berasingan di Pasir Gudang.

    Menerusi serbuan itu katanya, enam telefon bimbit pelbagai jenama dirampas dan semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebrang rekod jenayah lampau.

    Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa ditawarkan bekerja sebagai pembantu rumah tetapi telah dikurung sementara mendapatkan pekerjaan berkenaan.

    “Jiran suspek berkenaan yang berusia 34 tahun pada masa sama turut membuat laporan polis pada pukul 3.45 petang semalam,” katanya.

    Mohd. Sohaimi berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan juga denda.

    Beliau menambah, kedua-dua suspek direman selama lima hari bermula Selasa hingga 3 September ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).

  • Baru empat tahun, Afiyah disahkan hidap penyakit sukar ditemui

    Baru empat tahun, Afiyah disahkan hidap penyakit sukar ditemui

    BERAT mata memandang berat lagi bahu memikul. Ibu bapa mana yang tidak sedih apabila anak yang dikandungnya selama 9 bulan disahkan menghidap penyakit yang sukar ditemui dalam kalangan kanak-kanak.

    Portal satuberita melaporkan, Afiyah Mikayla Mohd Azri, 4, disahkan menghidap penyakit Juvenile Myelomonocytic Leukemia (JMML) pada 16 Ogos 2022.

    Leukemia myelomonocytic Juvenile (JMML) adalah sejenis jenis kanser darah yang agresif, menjejaskan bayi dan kanak-kanak; menyumbang kurang daripada 1% leukemia kanak-kanak.

    Umur purata kanak-kanak pada diagnosis adalah 2 tahun, dan adalah jarang berlaku untuk melihat kes-kes pada kanak-kanak berumur lebih dari enam tahun.

    Tanda-tanda dan gejala JMML berkaitan dengan pengumpulan sel-sel yang tidak normal di dalam sumsum tulang dan organ seperti kulit pucat, jangkitan pemyakit, pendarahan tidak normal, perut bengkak (splenomegaly), demam, kurang selera makan, batuk dan pembangunan terbantut.

    Memetik laporan Rotikaya, Afiyah merupakan anak kepada Marini (37), dan Mohd Azri (37) ini hanya boleh menerima rawatan untuk JMML dengan Transplantasi Sumsum Tulang (BMT) sahaja.

    Proses chemotherapy hanya akan dijalankan selepas penderma sumsum tulang yang sepadan ditemui, prosedur BMT dilakukan bertujuan untuk mengganti sumsum tulang yang rosak dengan sumsum tulang yang baru.

    Bagaimanapun Afiyah bakal menerima rawatan awal dengan memasukkan sel darah merah yang baru ke dalam badannya bagi menyokong sistem badannya.

    Tiada daya upaya bagi Marini dan Azri apabila melihat anak kesayangan mereka menderita sebegini selain memohon doa kepadaNya dan doa pembaca untuk sama-sama berdoa kesembuhan anak perempuan mereka.

    Bagi pembaca yang mahu menghulurkan bantuan boleh salurkan di akaun CIMB Pertubuhan Amal Kebajikan Rotikaya: 8604675654.