Category: Umum

  • Penduduk terjejas banjir di Baling gesa kerajaan tubuh RCI

    Penduduk terjejas banjir di Baling gesa kerajaan tubuh RCI

    PENDUDUK kampung yang terjejas akibat banjir di Kupang, Baling menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat tragedi di Kampung Iboi pada 4 Julai lalu yang meragut tiga nyawa dan merosakkan lebih 1,000 rumah.

    Memetik laporan Malaysiakini, mereka juga menggesa supaya semua kertas kerja, surat kelulusan, laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), perjanjian, keputusan pembalakan untuk pemaju swasta dan negeri, dan laporan daripada agensi terlibat didedahkan kepada umum.

    Jurucakap mereka Hamirudin Hasan berkata, penduduk kampung dan mangsa banjir berhak mengetahui semua maklumat kerana mereka yang menderita akibat pembangunan itu.

    “Kita tidak menolak pembangunan hutan dan pembalakan, kerana kita faham ia juga antara sumber wang kerajaan yang akhirnya akan kembali kepada rakyat. Tetapi biarlah pembangunan yang dijalankan itu mampan dan menjaga ekosistem semula jadi dan masyarakat.

    “Kita menentang segala pembangunan yang hasilnya hanya untuk mereka yang tertentu, sedangkan rakyat dan masyarakat menderita.

    “Kami menggesa pakar-pakar yang mengeluarkan laporan mengenai punca kepada banjir untuk memberi jaminan masa hadapan, untuk menyiasat dengan teliti, sebelum mengeluarkan laporan yang boleh mengelirukan orang ramai,” kata Hamirudin semasa perhimpunan ‘Memerdekakan Gunung Inas’ hari ini.

    Himpunan yang berakhir jam 5 petang itu diadakan dengan tujuan untuk menyampaikan memorandum kepada kerajaan negeri dan persekutuan.

    Wakil dari Kampung Iboi, Kampung Bukit Iboi, Kampung Bendang Bechah, Kampung Hangus, Kampung Tanjung, Kampung Sadek, Kampung Kuala Kuang, Kampung Sineyek, Pekan Kupang, Kampung Masjid, Kampung Bok Bak, Kampung Pisang, Taman Mesra Kupang dan Kampung Jerai menghadiri majlis tersebut.

    Penduduk kampung turut menggesa kerajaan menghentikan sepenuhnya penanaman projek ladang durian Musang King dan menggantikannya dengan spesies pokok yang dibenarkan oleh Jabatan Perhutanan.

    Mereka juga mahu Jabatan Perhutanan bersama Jabatan Alam Sekitar lebih proaktif dan telus dalam memantau dan membenarkan pembangunan hutan simpan Gunung Inas.

    Tambah mereka, Gunung Inas merupakan kawasan tadahan air dan sumber minuman untuk penduduk kampung maka ia perlu sentiasa dilindungi tanpa sebarang kompromi.

    Hamirudin berkata mereka akan menyerahkan memorandum tersebut kepada Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor, Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim dan Adun Bayu Abd Nasir Idris, Kupang Najmi Ahmad dan Kuala Ketil Mansor Zakaria.

    “Kita mahu kerajaan mengembalikan status ladang durian Musang King kepada hutan simpan kekal Gunung Inas. Ini bagi memastikan keseimbangan semula jadi di kawasan penempatan kekal terjamin,” katanya.

    Hamirudin berkata mereka juga mahu kerajaan menghentikan semua pembangunan hutan di kawasan yang mempunyai kecerunan melebihi 25 darjah dan ketinggian melebihi 1,000 kaki. Ini kerana 70 peratus kawasan pergunungan itu merupakan kawasan bercerun.

    Dia berkata zon penampan sungai dan kawasan tadahan di situ hendaklah dilindungi sepenuhnya daripada sebarang gangguan tangan manusia atas nama pembangunan.

    Tambahnya, penduduk kampung juga ingin kerajaan menyegerakan pembaikan infrastruktur yang runtuh dan rosak teruk akibat runtuhan banjir seperti jambatan, jalan raya, longkang, sumber air bersih dan sistem kumbahan penduduk.

    “Naiktarafkan kolam tadahan air bagi menjamin kemudahan air bersih dan selamat untuk penduduk kampung.

    “Sejak projek pembalakan dan penanaman durian Musang King, penduduk mempunyai bekalan air yang sangat kotor dan tidak sesuai untuk kegunaan harian mereka.

    “Wartakan kawasan tadahan air bagi memastikan tiada pembalakan yang akan dijalankan pada masa hadapan.

    “Kami juga menggesa kerajaan negeri meluluskan segera pemberian hak milik kekal kepada pemilik tanah pertanian di petak 8 yang tertangguh sejak sekian lama, seperti yang dijanjikan kerajaan negeri sejak 2012,” katanya.

    Tambahnya, tanah-tanah tersebut sudah lebih 60 tahun diusahakan oleh penduduk kampung, namun masih belum mendapat status hak milik kekal oleh kerajaan negeri.

    Dia berkata pemilik tanah di sini telah membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk mengukur secara terperinci tanah-tanah yang telah diusahakan dengan persetujuan Jabatan Perhutanan Kedah pada 2012, tetapi kerajaan negeri masih belum menyelesaikan perkara ini.

    “Kami mahu Jabatan Perhutanan respons mengenai perkara ini, namun ia terus mengambil pendekatan berdiam diri dan lepas tangan atas apa yang terjadi.

    “Oleh itu, kami ingin menuntut perkara ini diselesaikan segera,” katanya.

  • Bersalah atau dibebaskan: Keputusan kes rasuah Rosmah esok

    Bersalah atau dibebaskan: Keputusan kes rasuah Rosmah esok

    SELEPAS hampir empat tahun perbicaraan, Datin Seri Rosmah Mansor akan mengetahui esok sama ada beliau akan dibebaskan atau disabitkan atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

    Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan dijadual mengumumkan keputusannya pada 9 pagi di mahkamah terbuka.

    Bagaimanapun, isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu telah memfailkan permohonan di saat akhir supaya Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini menarik diri daripada mendengar atau membuat keputusan berhubung kes tersebut.

    Permohonan itu difailkan semalam atas alasan tular di media massa dan elektronik pada 26 Ogos lepas berkenaan berlakunya kebocoran keputusan kesnya yang disediakan oleh pihak lain.

    Difahamkan Mahkamah Tinggi esok akan mendengar permohonan itu terlebih dahulu.

    Rosmah, 70, menghadapi satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin. 

    Kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala peguam Datuk Akberdin Abdul Kader dan Datuk Jagjit Singh mewakili Rosmah.

    Pada 18 Feb 2021, Rosmah diperintah membela diri atas tiga pertuduhan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

    Pihak pembelaan menutup kes pada 23 Feb lalu selepas memanggil dua saksi iaitu tertuduh sendiri dan bekas Pengarah Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM) Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod.

    Najib, dijadual memberi keterangan selaku saksi pembelaan ketiga, bagaimanapun pada 10 Jan 2022, pihak pembelaan memaklumkan mahkamah bahawa mereka tidak akan memanggil bekas perdana menteri itu untuk memberi keterangan.

    Pada 11 Dis 2020, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 23 saksi dalam perbicaraan yang bermula 5 Feb tahun yang sama.

    Antara saksi yang dipanggil ialah Saidi, bekas Pegawai Khas Rosmah Datuk Rizal Mansor, bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan ketika itu, Tan Sri Madinah Mohamed.

    Rosmah sepatutnya dibicarakan bersama Rizal, 46, yang didakwa dengan empat tuduhan meminta dan menerima rasuah bagi pihak Rosmah atas projek berkenaan.

    Bagaimanapun pada 8 Jan 2020, sebelum perbicaraan bermula, mahkamah membebaskan Rizal daripada tuduhan setelah pihak pendakwaan menarik balik keempat-empat tuduhan terhadapnya dan Rizal kemudian menjadi saksi utama pendakwaan.

    Pada 15 Nov 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan rasuah.

    Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa meminta suapan untuk dirinya sendiri RM187.5 juta, yang dibuat melalui Rizal, iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada Saidi.

    Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

    Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini antara Mac dan April 2016.

    Bagi pertuduhan kedua, Rosmah didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi bagi tujuan sama di kediamannya di Jalan‬ ‪Langgak‬ ‪Duta,‬ ‪Taman‬ ‪Duta‬, pada 7 Sept 2017.

    Pada 10 April 2019, Rosmah sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek serupa pada 20 Dis 2016, di kediaman Seri Perdana di Putrajaya.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Semua kes itu telah dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini. – BERNAMA

  • Perkeso kuatkuasa siling gaji baharu untuk caruman 1 Sept

    Perkeso kuatkuasa siling gaji baharu untuk caruman 1 Sept

    KEMENTERIAN Sumber Manusia menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan menguatkuasakan siling gaji baharu untuk maksud caruman mulai 1 Sept ini.

    Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata dijangka 1.5 juta pekerja atau hampir 19 peratus daripada keseluruhan pencarum Perkeso di seluruh negara terlibat dalam peningkatan siling gaji itu yang merangkumi pekerja tempatan dan pekerja asing.

    Beliau berkata peningkatan siling itu susulan pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) yang melibatkan peningkatan had siling gaji bagi maksud caruman daripada RM4,000 kepada RM5,000 sebulan.

    Katanya langkah meningkatkan siling gaji itu akan menambah baik liputan keselamatan sosial Perkeso menerusi peningkatan kadar bayaran faedah sedia ada sehingga 25.3 peratus.

    “Faedah tersebut adalah seperti Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK), Faedah Orang Tanggungan (FOT), Pencen Penakat dan Pencen Ilat di bawah Akta 4 serta Elaun Mencari Pekerjaan (EMP), Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB) dan Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA) di bawah Akta 800.

    “Mulai September ini, amaun caruman yang akan terpakai bagi pekerja bergaji melebihi RM4,000 sebulan adalah seperti yang dinyatakan dalam Jadual Ketiga, Akta 4 dan Jadual Kedua, Akta 800. Bagi pekerja yang bergaji melebihi RM5,000 sebulan, amaun caruman adalah mengikut had siling gaji RM5,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohammed Azman berkata bayaran caruman hendaklah dibuat oleh majikan mengikut pindaan had siling gaji baharu bagi September ini dan seterusnya.

    “Majikan diminta mencatatkan jumlah potongan caruman dalam penyata atau slip gaji pekerja masing-masing bagi tujuan rekod dan aktiviti pemeriksaan oleh Perkeso,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau memaklumkan sejak penubuhan Perkeso pada 1971 hingga kini, peningkatan siling gaji telah dilaksanakan sebanyak lima kali.

    Menurutnya langkah yang dilaksanakan itu sejajar dengan usaha berterusan agensi itu dalam menyediakan perlindungan sosial lebih komprehensif kepada pencarum dan orang tanggungannya.- BERNAMA

  • Konsert artis Barat: Hanya wakil JAKIM bantah, agensi lain lulus

    Konsert artis Barat: Hanya wakil JAKIM bantah, agensi lain lulus

    HANYA wakil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang membantah penganjuran konsert artis Barat dalam sesi mesyuarat bersama pelbagai agensi baru-baru ini.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad semasa mendedahkan perkara itu berkata, pihaknya kesal kerana penganjuran konsert berkenaan diluluskan agensi kerajaan berkaitan.

    Katanya, beliau difahamkan hanya wakil JAKIM yang menentang keras manakala 15 agensi lain menyokong penganjuran konsert berkenaan.

    “Saya menafikan dakwaan segelintir pihak yang menyatakan JAKIM berdiam diri mengenai penganjuran konsert itu malah menjadi satu-satunya pihak yang paling lantang menolak kelulusan penganjurannya dalam Mesyuarat Pusat Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL),” katanya sebagaimana lapor Berita Harian.

    Beliau menyatakannya ketika hadir menyertai Hijrah Merdeka anjuran JAKIM di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin bersempena Ambang Merdeka 2022 semalam.

    Yang turut hadir, timbalannya Datuk Ahmad Marzuk Shaary dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah.

    Pada program itu Idris turut menyampaikan tausiyah atau nasihat keagamaan sebagai perasmian kemuncak program yang dihadiri kira-kira 3,000 jemaah.

    Isu penganjuran konsert luar ini mula menjadi kontroversi susulan persembahan penyanyi dari Amerika Syarikat, Billie Eilish pada 18 Ogos lalu di Stadium Bukit Jalil yang mendapat bantahan umat Islam di negara ini.

    Antara pihak yang membantah termasuk Gerakan Belia 4B Kebangsaan menyelar PUSPAL kerana meluluskan konsert itu meskipun penyanyi itu dikenali sebagai penyokong rejim Israel dan gerakan songsang LGBT.

    Idris berkata, pihaknya sudah mencuba yang terbaik sejak dari awal lagi demi kepentingan umat Islam kerana ia tidak memenuhi piawaian garis panduan ditetapkan JAKIM.

    Menurutnya, beliau menolak dakwaan segelintir pihak terutama bukan Islam yang menyatakan kononnya agensi tersebut sebagai anti kepada seni hiburan dan nyanyian artis luar.

    “Tiada halangan sekiranya persembahan itu menepati garis panduan seperti penyanyi Maher Zain atau Opick yang pernah mengadakan siri jelajah konsert di seluruh negara.

    “Bakat suara adalah anugerah Allah SWT dan ajaran Islam tidak melarang persembahan asalkan tidak melanggar batas ditetapkan syarak,” katanya.

  • Laporan pasukan petugas khas kes Adib: Kabinet akan putuskan – Wan Junaidi

    Laporan pasukan petugas khas kes Adib: Kabinet akan putuskan – Wan Junaidi

    KABINET akan membuat keputusan berhubung laporan penuh pasukan petugas khas yang melaksanakan siasatan dan kajian terhadap kes kematian anggota bomba, allahyarham Adib Mohd Kassim.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pasukan petugas khas itu sudah menyerahkan laporan berkenaan dan kini terpulang kepada Kabinet untuk membuat sebarang keputusan mengenainya.

    “Ya…kita sudah melaporkannya kepada Kabinet,” lapor Berita Harian.

    Menurut akhbar itu, laporan berkenan sudah diserahkan dalam mesyuarat dihadiri Wan Junaidi, di ibu negara, semalam.

    Pasukan petugas khas itu yang ditubuh pada Oktober tahun lalu bagi memastikan kes kematian Adib, 24, yang juga anggota unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya mendapat keadilan, sekali gus membawa pelaku ke muka pengadilan.

    Adib, mengalami cedera parah ketika kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, pada 27 Nov 2018. Allahyarham meninggal dunia ketika menerima rawatan di Institut Jantung Negara, pada 17 Dis 2018.

    Inkues ditubuhkan berikutan perselisihan pendapat mengenai punca kematiannya sama ada disebabkan oleh kemalangan atau serangan yang disengajakan.

    Pada 27 Sept 2019, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Adib adalah disebabkan oleh perlakuan jenayah lebih daripada dua atau tiga orang yang tidak dikenali.

  • Kenapa tiada sokongan antarabangsa jika Najib tak salah

    Kenapa tiada sokongan antarabangsa jika Najib tak salah

    VETERAN DAP Lim Kit Siang hari ini meminta Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menamakan satu negara Komanwel yang percaya bahawa Datuk Seri Najib Razak tidak dibicara dengan adil dalam kes SRC International.

    “Bolehkah Zahid memberi satu contoh bahawa Najib dibicara secara tidak adil oleh negara-negara Komanwel,” kata Kit Siang sebagaimana lapor Malaysiakini.

    Ini selepas Zahid berucap dalam taklimat khas UMNO baru-baru ini sebagai solidariti terhadap Najib yang mula menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas disabitkan bersalah dalam kes penyelewengan SRC International.

    “Apa yang berlaku di Mahkamah Persekutuan dalam kes Datuk Seri Najib ia bakal menjadi rujukan kes-kes selepas ini dan akan juga oleh negara-negara Komanwel,” kata Zahid.

    Presiden UMNO ketika berucap juga mendakwa perbicaraan terhadap Najib boleh mewujudkan persepsi tidak adil kerana beberapa individu ‘tidak dibawa ke muka pengadilan” dan Najib tidak dibenarkan mengemukakan bukti tambahan pada rayuan terakhirnya.

    “Watak-watak penting seperti Jho Lo, Nik Faisal, Zeti Akhtar Aziz yang disebut dalam perbicaraan tidak pun ditampilkan,” kata presiden UMNO itu.

    “Apabila watak-watak utama tidak ditampilkan, bukti baharu tidak diterima dan penangguhan tidak dibenarkan ekoran pertukaran peguam baru, maka wujudlah pelbagai persepi yang menjurus kepada tanggapan wujudnya perbicaraan yang tidak adil,” dakwa Zahid lagi.

    Sementara itu, Ahli Parlimen Iskandar Puteri hari ini juga menyoal Zahid kenapa dia tidak menjadi saksi dalam kes itu, di sebalik kenyataan sebelum ini bahawa dia pernah berjumpa dengan keluarga Arab yang didakwa memberi sumbangan kepada Najib.

    Pada 22 April 2015, Zahid memberitahu Umno bahagian Sri Gading, Johor, bahawa beliau telah bertemu dengan anggota keluarga diraja Arab yang dikatakan memberikan derma RM2.6 bilion kepada Najib.

    Namun, Zahid tidak menyebutkan nama individu berkenaan.

    Zahid secara terbuka berkata “keluarga diraja Arab” membuat derma itu untuk membantu Umno dan BN meneruskan pemerintahan Malaysia dan dia telah memetik dokumen yang membuktikan “derma” itu sah.

    ‘Hujah derma’ itu bagaimanapun telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam mensabitkan Najib atas kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana daripada syarikat milik kerajaan, SRC International Sdn Bhd milik kerajaan.

  • Rina luahkan cinta kepada negara melalui puisi

    Rina luahkan cinta kepada negara melalui puisi

    LAIN orang lain caranya untuk meluahkan rasa patriotiknya terhadap tanah air tercinta.

    Bagi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun, beliau meluahkan rasa cinta kepada negara melalui puisi.

    Beliau yang turut serta pada sambutan hari kemerdekaan hari ini meluahkan rasa syukur atas nikmat kebebasan dirasai kini.

    Lebih menarik lagi, sambutan hari kemerdekaan diraikan dengan semangat muhibbah masyarakat berbilang kaum.

    Berikut adalah puisi nukilan Rina:

    Kita semua satu keluarga

    Di atas pentas…
    Meriahnya sambutan tahun ini
    Pelbagai acara, berbilang bangsa
    Kita semua satu keluarga.

    Namun sebaknya rasa hati…
    Rasa kesyukuran yang tidak terhingga
    65 Tahun negara telah Merdeka.

    Merdeka
    Merdeka
    Merdeka

    65 tahun yang lalu…
    Aku belum dilahirkan…
    Ibu pun ketika itu baru berusia 6 tahun
    Banyak yang diceritakan oleh ibu


    Walau diusia muda
    Zaman kanak-kanaknya penuh pelbagai cerita
    Pengalaman, pahit manis negara dijajah.
    Besarnya pengorbanan pejuang tanah air.


    Buat kami anak kelahiran pasca merdeka
    Tak mungkin dapat dibalas segala pengorbanan mereka
    Inilah tanah air ku
    Tanah tumpah darahku


    Demi negara tercinta ini
    Ku berjanji
    Akan kupertahankan kemerdekaan ini
    Akan kucurahkan khidmat dan bakti


    Demi negaraku
    Demi Malaysiaku.

  • Bayar RON95, diesel ikut harga pasaran tahun depan – laporan

    Bayar RON95, diesel ikut harga pasaran tahun depan – laporan

    PENGGUNA dijangka perlu membayar harga bahan api RON95 dan diesel mengikut harga pasaran apabila subsidi bersasar berkemungkinan besar akan dilaksanakan tahun depan, demikian menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).

    “Kami menjangkakan harga RON95 dan diesel yang lebih tinggi tahun depan dengan semakan semula subsidi bahan api.

    “Kami difahamkan ujian mekanisme subsidi bersasar dimulakan bulan lalu dan akan berjalan tiga hingga enam bulan. Justeru, anggapan kami subsidi bahan api akan disemak semula tahun depan sebagai sebahagian agenda dalam Bajet 2023 yang dijadualkan pada 7 Oktober ini,” kata Maybank IB dalam satu nota penyelidikan sebagaimana lapor Berita Harian.

    Nota disediakan oleh tiga penganalisis bank pelaburan itu iaitu Dr Zamros Dzulkafli, Suhaimi Ilias dan Fatin Nabila Mohd Zaini.

    Maybank IB berkata, pihaknya mengubah unjuran kadar inflasi 2022 kepada 3.3 peratus berbanding 3.4 peratus sebelum ini, manakala kadar inflasi tahun depan diunjurkan pada 4.0 peratus berbanding 4.1 peratus sebelumnya.

    Bank pelaburan itu menjelaskan, unjuran berkenaan turut mempertimbangkan kesan rasionalisasi subsidi harga yang telah diumumkan dan dijangka akan dilaksanakan oleh kerajaan.

    “Sebagai contoh, kerajaan mengumumkan pemansuhan subsidi harga minyak masak (tulen, tidak dicampur) dalam botol dua kilogram (kg), tiga kg dan lima kg berkuat kuasa 1 Julai lalu, tetapi mengekalkan subsidi minyak masak dalam polibeg satu kg berharga RM2.50 sepeket.

    “Unjuran kadar inflasi kami untuk 2023 termasuk andaian beberapa pelarasan dalam harga bahan api dan tarif elektrik berikutan kajian semula subsidi pada 2023,” katanya.

    Maybank IB berkata, unjuran inflasi turut mengambil kira pelaksanaan 10 peratus Cukai Jualan ke atas barangan import bernilai rendah yang dijual secara dalam talian berkuat kuasa Januari 2023.

    Unjuran juga, katanya berikutan pelaksanaan penuh kenaikan gaji minimum ke atas semua majikan tahun depan berbanding pengecualian ke atas perniagaan kecil yang mempunyai kurang daripada lima pekerja tahun ini.

    Dengan trajektori menaik dalam kadar inflasi tahunan, ditambah dengan pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh pada suku kedua 2022 dan tahun ini, Maybank IB menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk meningkatkan lagi kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 50 mata asas (bps) kepada 2.75 peratus menjelang akhir tahun ini.

    Jangkaan itu, katanya membabitkan kenaikan sebanyak 25 bps setiap satu iaitu semasa dua lagi Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) bagi tahun ini iaitu pada 7 hingga 8 September 2022 dan 2 hingga 3 November 2022.

    “Kami juga menjangkakan kenaikan 25 bps lagi awal tahun depan untuk menjadikan OPR kembali ke tahap sebelum COVID-19 sebanyak 3.00 peratus menjelang akhir suku pertama 2023,” katanya.

  • Jho Low dipercayai berada di Shanghai Disneyland

    Jho Low dipercayai berada di Shanghai Disneyland

    AHLI perniagaan Jho Low yang kini dalam buruan berhubung kes penyelewengan dana 1MDB, didakwa dilihat pada gambar yang dikatakan dirakam di Disneyland, Shanghai pada malam Krismas 2019.

    Memetik laporan Malaysiakini, Wartawan Tom Wright dan Bradley Hope yang telah melancarkan kempen untuk membongkar lebih lanjut mengenai Jho Low membuat dakwaan ini selepas bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dipenjarakan.

    Menurut klip video wartawan berkenaan di YouTube hari ini yang mengemas kini kempen itu, mereka mendakwa telah menerima banyak maklumat yang menunjukkan bahawa Jho Low berada di China dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

    “Bagi saya, gambar ini merakamkan banyak perkara tentang Jho Low… Ia hampir mengecewakan. (Kita) memburu individu ini yang dianggap sebagai dalang pengubahan wang haram, penipuan atau apa sahaja.

    “Anda mungkin fikir dia akan bersembunyi seperti James Bond di suatu tempat tetapi sebenarnya dia hanya berkeliaran di sekitar pusat beli-belah, duduk di Shanghai Disneyland dan dia sentiasa mempunyai banyak telefon. Dia memainkannya seperti piano,” kata Hope.

    Walaupun lelaki dalam gambar itu kelihatan sangat mirip dengan Jho Low, Malaysiakini tidak boleh mengesahkan dakwaan Wright dan Hope.

    Kedua-dua wartawan itu mendakwa bahawa Jho Low mungkin ditahan di China kerana berisiko membocorkan maklumat memalukan tentang penglibatan China dalam projek pada era Najib di Malaysia.

    China telah berulang kali menafikan dakwaan bahawa mereka melindungi Jho Low.

    Wright dan Hope, yang membongkar kisah Jho Low berhubung urusan 1MDB sejak 2015, berkata ahli perniagaan itu kini tinggal di China bersama isteri dan dua anaknya.

    “Dia seperti menjalani kehidupan domestik yang pelik di China sementara dia pada masa yang sama cuba merundingkan penyelesaian antarabangsa ini,” kata Hope.

    Jho Low didakwa menawarkan untuk membayar kerajaan Malaysia RM1.5 bilion sebagai sebahagian daripada penyelesaian untuk menggugurkan pertuduhan terhadapnya. Putrajaya berkata mereka telah menolak tawaran itu.

    Jho Low juga menghadapi beberapa tuduhan jenayah di AS.

    Sementara itu, Wright berkata klip video akan datang akan membincangkan rombongan Jho Low sekarang, yang termasuk watak “legenda” yang terlibat dalam urusan 1MDB.

    “Siapakah orang yang memudahkannya? Bagaimana dia boleh memindahkan wang? Siapakah pihak yang dia gunakan untuk mengakses sistem perbankan antarabangsa. Dia tidak boleh membuka akaun dan menggunakan dolar AS, euro atau biasa pada masa ini.

    “Apakah peranan yang dimainkannya dalam strategi geopolitik China? Adakah dia mendapat sebarang peranan di sana atau adakah dia hanya dianggap individu yang memalukan sekarang?” kata Wright, sebagai sebahagian daripada pratonton untuk klip video akan datang.

  • Pencapaian keluar dari fasa pandemik perlu dirai, disyukuri – Muhyiddin

    Pencapaian keluar dari fasa pandemik perlu dirai, disyukuri – Muhyiddin

    BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pencapaian negara masuk ke fasa pemulihan daripada fasa pandemik Covid-19 merupakan satu bentuk ‘kemerdekaan’ yang perlu diraikan.

    Pengerusi Majlis Pemulihan Negara itu berkata, nikmat kebebasan yang sudah mula dirasai hari ini pula perlu sentiasa disyukuri oleh rakyat.

    Menurutnya, rakyat akhirnya semakin hampir untuk “memerdekakan” diri daripada dibelenggu pandemik berkenaan setelah diuji dengan cabaran yang amat getir sepanjang lebih dua tahun.

    “Dalam kita melangkah dengan berani memasuki fasa pra endemik ini, marilah kita kenang sejenak perjalanan awal menempuh pandemik sehingga ke hari ini.

    “Titipkan doa buat mereka yang tewas, dan mereka yang meratapi kehilangan,” katanya menerusi Warkah Merdeka 2022 Negaraku Malaysia yang disiarkan di akaun Facebook beliau.

    Dalam pada itu, Muhyiddin juga meminta rakyat agar bersatu hati dan menggembleng usaha memulihkan negara supaya kemakmuran dapat dikecapi bersama dan martabat bangsa terus dijulang tinggi.

    Untuk itu katanya, rakyat perlu berjanji kepada diri untuk tidak mempersiakan segala pengorbanan dan usaha sepanjang lebih dua tahun pandemik Covid-19.

    “Lindungilah ibu pertiwi ini. Pastikan Malaysia kekal aman, makmur dan merdeka, kini dan selamanya.

    “Saya berdoa semoga Allah terus memberi kekuatan kepada kita untuk sama-sama mengharungi apa sahaja cabaran mendatang dan merahmati serta melindungi Malaysia yang tercinta ini,” katanya.

    Sementara itu, Muhyiddin berkata, 31 Ogos merupakan tarikh keramat yang diraikan setiap tahun dan membawa seribu satu pengertian buat rakyat Malaysia.

    “Alhamdulillah, hari ini kita diberi kesempatan menyambut Hari Kebangsaan sempena ulang tahun kemerdekaan yang ke-65.

    “Pengorbanan generasi pembina bangsa yang menuntut kemerdekaan harus dihayati dan diinsafi setiap masa dan tidak hanya sekadar menjadi bahan rujukan dokumentari dan teks buku sejarah untuk diulang kaji,” tambahnya.