Category: Umum

  • PRU-15: PAS belum muktamad jumlah kerusi ditandingi

    PRU-15: PAS belum muktamad jumlah kerusi ditandingi

    PAS masih belum memuktamadkan jumlah kerusi Parlimen yang akan ditandingi parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

    Beliau berkata segala keputusan berkenaan jumlah kerusi yang bakal ditandingi PAS akan dibincangkan terlebih dahulu di peringkat parti itu.

    “Itu bukan jumlah kerusi kami bertanding, itu kerusi yang kami pantau (80 kerusi). Jumlah kerusi kami akan bincang di peringkat parti. Perikatan Nasional (PN) belum putuskan (kawasan parti bertanding), bagaimanapun setiap parti akan buat pemantauan kerusi-kerusi yang kami rasa boleh menang,” katanya.

    Tuan Ibrahim berkata demikian kepada pemberita bagi mengulas sama ada sasaran PAS bertanding 80 kerusi Parlimen pada PRU15 sudah dibincangkan dengan PN ataupun tidak.

    Semalam, Pengarah Pilihanraya PAS Pusat Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan PAS menyasarkan untuk bertanding di 80 kerusi Parlimen pada PRU15.

    Menteri Besar Kedah itu berkata jumlah tersebut sekali ganda berbanding 40 kerusi ditandingi pada PRU14 dan pihaknya sedang menganalisa kawasan yang mencapai indeks pencapaian utama (KPI) untuk berada dalam senarai 80 kerusi Parlimen yang disasarkan.- BERNAMA

  • Kerani didakwa bunuh anak kandung

    Kerani didakwa bunuh anak kandung

    SEORANG kerani syarikat swasta dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas pertuduhan membunuh bayi lelakinya berusia enam bulan di sebuah rumah di Kampung Klang Gate, bulan lepas.

    Zainah Misdin, 34, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Amalina Basirah Md Top.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Wanita itu didakwa bersama-sama seorang individu yang masih bebas, membunuh bayi berkenaan di sebuah rumah di Jalan Seladang 2 Kampung Klang Gate di sini pada 7.40 malam, 23 Ogos lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah menetapkan 6 Dis ini untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ameera Sam Kamaruddin manakala tertuduh diwakili peguam Swinder Singh.

    Pada 30 Ogos lepas, media melaporkan seorang wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes kematian bayi lelaki berusia enam bulan.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata dalam kejadian itu pegawai perubatan hospital telah menerima pesakit seorang bayi lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat muntah dan sawan, namun disahkan meninggal dunia pada 4.30 petang, 29 Ogos lepas.- BERNAMA

  • Najib kekal sebagai Ahli Parlimen Pekan – Azhar Azizan

    Najib kekal sebagai Ahli Parlimen Pekan – Azhar Azizan

    STATUS Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Ahli Parlimen Pekan buat masa ini tidak berubah, kata Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

    Memetik laporan Astro Awani, Azhar berkata, berikutan petisyen pengampunan telah difailkan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh keputusan Mahkamah Persekutuan, kuat kuasa kehilangan kelayakan sebagai Ahli Parlimen hanya akan dimuktamadkan apabila petisyen pengampunan yang difailkan 2 September lalu dibereskan atau ditolak.

    “Ini bermakna status Yang Berhormat Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sebagai Ahli Parlimen Pekan pada masa ini tidak berubah dan akan hanya dimuktamadkan apabila petisyen pengampunan itu dibereskan,” kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

    Mengulas lanjut, Azhar Azizan berkata, mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, mana-mana Ahli Parlimen yang disabit atas kesalahan oleh mahkamah di Persekutuan dan dihukum penjara untuk tidak kurang daripada setahun atau didenda sebanyak kurang RM2,000, individu berkenaan akan hilang kelayakan sebagai seorang Ahli Parlimen.

    Jelas beliau, kuat kuasa Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan adalah tertakluk kepada 48(4) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 53(2) Perlembagaan Persekutuan

    Beliau dalam masa sama memaklumkan menerima serahan beberapa dokumen termasuk salinan permohonan pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan ke atas Najib, bertarikh 1 September.

    Turut diterima ialah salinan surat daripada Tetuan Shafee & Co bertarikh sama, yang melampirkan permohonan pengampunan tersebut yang diaku terima oleh Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri pada 2 September.

    Selain itu, Azhar Azizan juga menerima salinan Perintah Jenayah termeterai masing-masing bagi kes rayuan Najib di Mahkamah Persekutuan bertarikg 23 Ogos 2022.

    Mahkamah Persekutuan sebelum ini mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib, yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

  • PRU15: Memang ada perbincangan babitkan pemimpin tertentu dalam PAS, UMNO

    PRU15: Memang ada perbincangan babitkan pemimpin tertentu dalam PAS, UMNO

    SETIAUSAHA Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan mengesahkan bahawa wujud perbincangan bersama membabitkan pemimpin tertentu di dalam Pas dan UMNO berhubung strategi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Memetik laporan Astro Awani, Takiyuddin yang mempertahankan kenyataan yang dibuat Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang semalam berkata, perbincangan itu berada di peringkat tertentu dan tidak perlu didedahkan.

    Bagaimanapun, beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, menzahirkan rasa optimis perbincangan yang berlaku itu mampu membawa kepada rundingan rasmi melibatkan kedua-dua parti kelak.

    “Saya rasa Timbalan Presiden UMNO mengakui (pada) suatu masa dulu, apabila ada pandangan daripada pimpinan Pas bahawa ada kerusi-kerusi tertentu boleh dibincang, kerusi yang mungkin dimenangi pihak ketiga, Pas dengan UMNO boleh berbincang untuk berunding, mungkin tidak berlaku pertembungan yang (akan) sebabkan pihak ketiga menang.

    “Itu (telah) diakui oleh Timbalan Presiden UMNO sendiri, jadi itulah perbincangannya. Politik ini tidak semestinya terus berada di meja perundingan secara rasmi sahaja, secara tidak rasmi pun boleh,” ujarnya.

    Takiyuddin berkata demikian ketika ditemui media selepas berakhir Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-68 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, pada Ahad.

    Dalam perkembangan sama, beliau sekali lagi menegaskan bahawa Pas sentiasa berpegang kepada konsep penyatuan ummah dalam membentuk sebarang kerjasama namun tidak akan melibatkan DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan sekutunya didalam Pakatan Harapan (PH).

    Pada Sabtu, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata tiada sebarang rundingan oleh mana-mana pemimpin UMNO dengan Pas ketika ini seperti didakwa Abdul Hadi.

    Beliau berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) setakat ini telah membuat keputusan untuk bertanding secara solo pada PRU15.

    Mohamad juga berkata beliau juga tidak mengetahui sekiranya Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahidi Hamidi mengutuskan mana-mana pemimpin parti itu untuk berunding dengan Pas.

  • Muktamar PAS lulus usuk penyatuan Melayu Islam, terus kerjasama dengan UMNO

    Muktamar PAS lulus usuk penyatuan Melayu Islam, terus kerjasama dengan UMNO

    MUKTAMAR Tahunan PAS Pusat ke-68 bertema Malaysia Sejahtera hari ini melabuh tirai dengan meluluskan 13 usul termasuk penyatuan parti politik dan pertubuhan Melayu-Islam pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Usul yang dikemukakan oleh Dewan Ulama PAS Pusat itu bertujuan mengembalikan kuasa parti-parti politik teras Melayu-Islam dalam pilihan raya berkenaan termasuk meneruskan kerjasama dengan UMNO melalui platform Muafakat Nasional (MN) untuk memastikan situasi satu lawan satu pada PRU15.

    Semasa sesi perbahasan usul itu di Kompleks PAS Kedah di sini, perwakilan Dewan Ulama PAS Pusat Roslan Md Isa berkata PAS perlu menyatukan parti-parti politik teras Melayu supaya tidak terjadi perpecahan undi.

    “Strategi satu lawan satu juga diperlukan bagi mengelak pertembungan parti politik teras Melayu Islam, kita juga menolak sebarang kerjasama politik dengan Pakatan Harapan dan juga khemah besar,” katanya.

    Ketika menyokong usul itu, perwakilan dari Taiping Mahjube Hanafi berkata kepimpinan PAS perlu mengeluarkan surat jemputan kepada pemimpin tertinggi UMNO untuk mengadakan rundingan agar sasaran satu lawan satu pada PRU15 dapat direalisasikan.

    “Saya percaya undi UMNO adalah penting untuk kita wujudkan politik Melayu Islam di negara ini. Walaupun Presiden UMNO ada menyebut jangan terhegeh-hegeh nak bersama PAS tetapi kita kena lihat juga hubungan PAS dengan UMNO dalam kalangan ahli akar umbi begitu mesra umpama kepala kereta api dengan gerabak,” katanya.

    Turut diluluskan usul berkaitan PAS perlu menerajui gerakan Islam bagi penyatuan ummah merentasi sempadan negara dan benua yang dibahaskan oleh perwakilan Dewan Pemuda PAS Pusat Mohd Hanif Jamaluddin.

    Mewakili dewan itu, Mohd Hanif berkata cadangan tersebut dikemukakan susulan krisis dan cabaran dunia politik semasa yang semakin hebat sejak kebelakangan ini dan pelantikan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang selaku Utusan Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah seharusnya dimanfaatkan.

     Kedua-dua usul diluluskan bersama lima usul lain yang dibahaskan pada muktamar itu manakala enam lagi diterima tanpa dibahaskan.

    Antaranya (usul yang diterima tanpa dibahas) mewujudkan akta mengawal tindakan provokasi biadap terhadap agama dan membentuk Jawatankuasa Khas PAS Pusat untuk memantau tugas Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri daripada parti itu.

    Muktamar ditangguhkan ke suatu tarikh pada tahun depan yang akan ditetapkan kelak dan Kelantan dipilih sebagai tuan rumah bagi muktamar seterusnya.- BERNAMA 

  • PAS perlu tembusi benteng pisahkan parti dengan bukan Islam

    PAS perlu tembusi benteng pisahkan parti dengan bukan Islam

    PAS perlu berperanan menembusi benteng yang memisahkan parti itu dengan yang bukan Islam secara berhikmah.

    Presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata PAS perlu mendekati serta bekerjasama bukan hanya dengan parti Melayu-Islam tetapi juga melangkaui parti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam melalui Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP).

    “PAS hari ini ada DHPP. DHPP mesti berperanan dalam kalangan orang bukan Islam. Cari parti, cari NGO termasuk yang bukan Islam tetapi jangan cari yang berkelahi dengan kita,” katanya dalam ucapan penangguhan pada Muktamar Tahunan PAS ke-68 di sini hari ini.

    Beliau juga berkata PAS perlu mendekati pengundi bukan Islam terutama yang tidak berparti untuk memilih calon Islam.

    “Kalau DAP boleh lantik calon India di kawasan Cina, kenapa kita tak boleh tarik orang Cina sokong kita bila PRU, ini kelemahan yang perlu kita atasi,” katanya.

    Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hasan pula ketika ditemui media usai selesai muktamar itu  mengesahkan rundingan mengenai Muafakat Nasional dengan UMNO dibincangkan secara rasmi dan tidak rasmi di peringkat tertentu.

    “Apabila kita kata bincang dengan UMNO, tak semestinya dengan pemimpin-pemimpin tertentu, mungkin akan sampai ke arah itu tetapi macam biasalah, kita buat perundingan di peringkat tertentu yang tak perlu kita dedahkan,” katanya tanpa mendedahkan individu yang terbabit dalam perbincangan itu. 

    Semalam, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata tiada sebarang rundingan oleh mana-mana pemimpin UMNO dengan PAS ketika ini seperti didakwa Abdul Hadi.- BERNAMA 

  • Garis panduan kelulusan konsert disemak semula

    Garis panduan kelulusan konsert disemak semula

    KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melihat dan membuat penilaian semula garis panduan kelulusan konsert hiburan yang bakal diadakan di Kuala Lumpur.

    Memetik laporan Harian Metro, Menterinya Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, semakan baharu perlu dibuat terhadap ketetapan yang diguna pakai oleh DBKL selama ini dalam memberikan kelulusan bagi setiap permohonan permit untuk mengadakan konsert.

    Katanya, ia bagi memastikan setiap konsert hiburan tidak melampaui batasan yang sepatutnya sehingga memberi pengaruh tidak sihat terutama membabitkan golongan belia di negara ini.

    “Ada yang membuat aduan mengenai beberapa konsert yang dibawa itu tidak menepati kehendak pembangunan insan semasa. Kita boleh berhibur tetapi dalam masa yang sama kita mahu ada kesan yang positif.

    “Jadi wilayah ini sebenarnya kami hanya menyediakan premis, jawatankuasa penapis yang berbuat demikian (beri kelulusan),” katanya hari ini.

    Semakan itu menurut Shahidan turut membabitkan kelulusan permit konsert yang sudah dikeluarkan oleh DBKL namun masih belum berlangsung.

    Katanya, KWP tidak akan berkompromi sekalipun membabitkan artis terkenal seandainya konsert yang ingin dianjurkan itu mendatangkan kesan negatif terhadap masyarakat terutama belia.

    Bagaimanapun, katanya, sebarang keputusan untuk penambahbaikan terhadap garis panduan itu belum diputuskan ketika ini dan hanya akan ditentukan sebaik menelitinya secara terperinci.

    Mengulas mengenai program HBN 2022, beliau berkata, belia di negara ini tidak lagi boleh mengambil pendekatan tunggu dan lihat ketika dunia sedang bergerak pantas ke hadapan dalam pelbagai bidang.

    “Aspek keagamaan juga jangan dilupakan. Letaklah agama sebagai sandaran dan panduan utama dalam kehidupan seperti prinsip pertama Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan,” katanya.

  • Larang individu ada kes mahkamah tanding PRU, Wan Junaidi tolak cadangan PAS

    Larang individu ada kes mahkamah tanding PRU, Wan Junaidi tolak cadangan PAS

    UNDANG-undang baharu bagi mengetatkan syarat kelayakan calon bertanding pada pilihan raya tidak diperlukan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

    Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP), Datuk Ahmad Yahya, pada Muktamar Tahunan PAS ke-68 di Kedah, pada Jumaat, antara lain mahu kerajaan melarang individu sedang dalam perbicaraan mahkamah daripada menjadi calon.

    Wan Junaidi ketika mengulas lanjut, berkata pada peringkat pencalonan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah mempunyai peraturan ditetapkan.

    Katanya, susulan itu SPR berhak menolak pencalonan seseorang jika individu terbabit didapati tidak menepati kriteria ditetapkan.

    “Dalam hal ini, saya berpandukan kepada undang-undang pilihan raya sedia ada. SPR mempunyai undang-undang yang menentukan seseorang itu layak atau tidak menjadi calon,” lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, jika SPR menolak pencalonan, individu terbabit boleh membawa suruhanjaya itu ke mahkamah.

    “Ini terserah kepada budi bicara SPR untuk menentukan, tetapi jika sesiapa yang ditolak pencalonannya dan tak puas hati, dia boleh mengemukakan rayuan di mahkamah,” katanya.

  • Ikmal Amry mohon maaf pihak terlibat kemalangan dengannya

    Ikmal Amry mohon maaf pihak terlibat kemalangan dengannya

    SELEPAS terbabit kemalangan semalam, pelakon Ikmal Amry hari ini tampil memohon maaf susulan kejadian di Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) yang menyebabkan keretanya berpusing dan terbalik.

    Insiden yang juga melibatkan dua buah kenderaan lain berlaku ketika Ikmal atau Mohd Zulikmal Amry Ghazali, 28, dalam perjalanan pulang ke Melaka untuk menziarahi keluarganya.

    Menurutnya, pada hari kejadian, dia memandu dalam keadaan kurang rehat setelah selesai menjalani penggambaran sehingga pukul 7 pagi.

    “Hari sebelum kejadian saya menjalani penggambaran sehingga pukul 7 pagi dan sudah berjanji untuk pulang menziarahi
    keluarga.

    “Saya hanya sempat berehat selama tiga jam. Dalam keadaan kurang rehat, saya gagahkan diri memandu. Saya akui ia satu
    kesalahan apabila memandu dalam keadaan kurang sihat,” katanya.

    Iqmal membuat penjelasan itu menerusi hantaran di Instagram Story miliknya pada Ahad.

    Menurut Iqmal, beliau meminta orang ramai tidak mengeruhkan keadaan berhubung kejadian itu.

    “Jika betul saya bersalah, pihak berwajib sahajalah yang berhak untuk selesaikan.” katanya.

    Laporan mStar sementara itu menyatakan, salah satu mangsa, pemilik MyVi biru bernama Norliana Abdul Hamid turut mendedahkan keluarganya antara yang terlibat dalam kejadian tersebut.

    Liana mendakwa Ikmal memandu laju dan enggan bertanggungjawab atas kejadian berkenaan.

  • Najib dimasukkan ke hospital kerajaan

    Najib dimasukkan ke hospital kerajaan

    DATUK Seri Najib Tun Razak, yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang, telah dimasukkan ke hospital baru-baru ini.

    Pegawai beliau mengesahkan perkara itu kepada Astro AWANI, dan memaklumkan keadaan bekas Perdana Menteri itu sebagai stabil.

    Menurutnya, bekas perdana menteri itu juga sedang melalui kesemua siasatan perubatan diperlukan.

    “Ya Datuk Seri dalam keadaan stabil, dan sedang melalui kesemua siasatan perubatan yang sewajarnya,” kata Pegawai itu kepada Astro AWANI.

    Sementara itu, memetik laporan The Star, seorang lagi pegawai Najib, iaitu Muhamad Mukhlis Maghribi dilaporkan berkata, Najib telah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur.

    Muhamad Mukhlis berkata, beliau ingin menzahirkan penghargaan kepada pihak hospital, serta pegawai Penjara Kajang atas kerjasama yang diberikan, namun tidak memberi butiran lanjut mengenai punca Najib dimasukkan ke hospital.