Category: Umum

  • 8,500 jemaah haji guna pakej Rahmah bernilai RM50,000 ke bawah

    8,500 jemaah haji guna pakej Rahmah bernilai RM50,000 ke bawah

    PAKEJ Rahmah untuk menunaikan haji yang diperkenalkan pada tahun ini mendapat sambutan memberangsangkan apabila menjadi pilihan 35 peratus daripada kira-kira 8,500 jemaah haji.

    Pengarah Operasi Pengelola Jemaah Haji (PJH), Mohd Zawawi Bostam berkata, Pakej Rahmah RM50,000 ke bawah yang ditawarkan 22 syarikat PJH menarik minat jemaah kerana jurang yang tidak ketara daripada bayaran penuh muassasah sebanyak RM30,850.

    Beliau berkata, secara keseluruhan, jemaah haji yang hadir ke Tanah Suci dengan PJH meningkat kepada 27 peratus berbanding 20 peratus pada tahun-tahun sebelumnya.

    “Angka tahun ini meningkat mungkin selepas Covid-19 jemaah agak yakin untuk pilih pakej berkenaan dibantu tawaran dan promosi menarik yang diberikan syarikat terlibat,”katanya pada sidang media di Hotel Abraj Janadriyah di Mekah, lapor wartawan SINAR HARIAN.

    Mohd Zawawi berkata, pada tahun ini pakej syarikat PJH bermula dari RM43,257 sehingga RM250,000 dan dua peratus jemaah memilih pakej RM100,000 ke atas.

    “Terdapat 250 pakej yang ditawarkan dan keistimewaannya seperti jarak yang dekat dengan Masjidil Haram, bilik selesa, sajian bufet, nisbah petugas menjaga jemaah dan lain-lain lagi. Syarikat berkenaan juga menawarkan nilai tambah kepada jemaah iaitu ada pakej tambahan ketika operasi Masyair, jarak penginapan ke tempat melontar lebih dekat dan sajian makanan,” katanya.

    Wakil syarikat PJH (tengah) yang hadir mengemukakan dokumen di pejabat operasi PJH di Abraj Janadriyah.

    Oleh itu pihaknya bertanggungjawab untuk memantau operasi yang diuruskan oleh syarikat terlibat supaya mereka mematuhi standard yang ditetapkan TH.

    “Pada tahun ini kita membawa seramai 25 anggota untuk pantau syarikat terlibat yang terdiri daripada dua pasukan yang ditempatkan di Mekah dan Madinah. Pasukan ini akan pastikan apa yang ditawarkan syarikat berkenaan melalui iklan dan sebagainya sama seperti disediakan di 47 hotel di Mekah dan 21 hotel di Madinah,”katanya.

    Ujar beliau, jika syarikat berkenaan tidak mematuhi standard ditetapkan maka ada beberapa peringkat tindakan seperti amaran lisan, amaran bertulis, denda kewangan atau pun digantung lesen perkhidmatan.

    “Syarikat terlibat perlu mendapat markah melebihi 80 peratus bagi melayakkan mereka untuk mohon lesen pada tahun berikutnya. Mereka juga perlu mematuhi beberapa syarat ketat seperti kewangan syarikat kukuh sekurang-kurangnya modal berbayar RM500,000 dan kriteria lain yang telah dipersetujui bersama TH,”katanya.

    Malaysia menerima kuota haji berjumlah 31,600 jemaah daripada Kerajaan Arab Saudi bagi musim haji 1444 Hijrah ini termasuk mereka yang mengikuti pakej PJH.

  • ADUN Belantek meninggal dunia 

    ADUN Belantek meninggal dunia 

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantek Datuk Mohd Isa Shafie meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, malam ini.

    Berita kematian Mohd Isa dikongsikan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di laman Facebooknya malam ini.

    “Saya menerima berita bahawa YB (Yang Berhormat) Dato (Allahyarham Mohd Isa) telah meninggal dunia lebih kurang pukul 11.23 malam  di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani. Salam takziah buat seluruh ahli keluarga (Allahyarham),” katanya menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebooknya, lapor BERNAMA.

    Sebelum ini media melaporkan Mohd Isa, 69, yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Kedah menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di HSAH kerana mengalami jangkitan kuman pada jantung, paru-paru dan buah pinggang pada bulan lepas.

    Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 Mohd Isa dari PAS menang kerusi DUN Belantek dengan majoriti 2,574 undi selepas mendapat 9,600 undi menewaskan calon Barisan Nasional Datuk Mohd Tajudin Abdullah (7,026 undi) dan calon PKR Abdul Rashid Abdullah (2,376 undi).

    Kedah yang tidak mengadakan pilihan raya negeri (PRN) serentak dengan PRU ke-15 pada November lepas akan mengadakan PRN dalam masa terdekat bersama lima negeri lain.

  • 3 panglima perang UMNO Johor sertai PN:Maulizan ‘kunci mulut’

    3 panglima perang UMNO Johor sertai PN:Maulizan ‘kunci mulut’

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BEKAS Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang yang disebut-sebut seorang daripada tiga bekas panglima perang UMNO yang akan menyertai Perikatan Nasional (PN) ‘mengunci mulut’ apabila ditanya berkenaan perkara terbabit.

    “Saya tak nak komen apa-apa dulu dan biarlah masa yang menentukan,” katanya yang tidak menafi atau mengiyakan beliau antara tiga panglima perang UMNO yang akan menyertai PN.

    Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram ketika dihubungi berkata, apa yang mahu dilakukan ketika ini ialah mahu berehat dan menumpukan perhatian terhadap keluarga.

    Ditanya sama ada pernah dihubungi atau didekati pemimpin PN, beliau mengakui mempunyai hubungan yang baik dengan pemimpin-pemimpin PN.

    “Saya memang mempunyai hubungan baik dengan rakan-rakan pemimpin. Saya berkawan dengan sampai sekarang,” ujar beliau yang juga bekas Exco kerajaan negeri Johor semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN).

    Dalam pada itu, beliau yang digantung keahliannya selama enam tahun oleh UMNO berkata, pemimpin parti itu kini sudah ‘tersasar’ daripada perjuangan asal.

    Namun Maulizan mengakui tidak pernah menyalahkan parti atas penggantungan keahliannya.

    “Parti tak salah, cuma pemimpin-pemimpin yang mengemudi parti sudah lari jauh daripada matlamat perjuangan asal,” katanya yang sebelum ini memberitahu, tidak pernah dipanggil lembaga displin parti atau diberi peluang membela diri berhubung tindakan penggantungan itu.

    Warta Rakyat sebelum ini melaporkan, ketiga-tiga panglima perang UMNO dari Johor itu adalah pemimpin berpengaruh dan mempunyai jawatan penting dalam parti itu sebelum ini.

    Kelmarin, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ketika ini barisan kepimpinan gabungan parti sedang memuktamadkan urusan berkenaan kemasukan 10 bekas panglima perang UMNO itu.

  • Video tular: Polis Johor terima dua laporan terhadap Jocelyn Chia

    Video tular: Polis Johor terima dua laporan terhadap Jocelyn Chia

    POLIS Johor menerima dua laporan berhubung tindakan pelawak kelahiran Singapura, Jocelyn Chia, yang menghina dan memperlekehkan Malaysia pada rancangan komedinya yang videonya tular sejak minggu lalu.

    Perkara itu disahkan Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, yang turut memaklumkan pihaknya komited dalam siasatan kes ini.

    Bagaimanapun, beliau menasihatkan orang ramai tidak memainkan isu yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam.

    “Sehingga kini kita terima dua laporan polis berhubung isu pelawak itu yang menghina dan memperlekeh negara.

    “Permohonan Interpol telah dibuat pada semalam untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan suspek untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 504/505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

    Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani memaklumkan PDRM akan membuat permohonan kepada Interpol bagi mendapatkan identiti dan lokasi terkini Jocelyn untuk membantu siasatan berhubung klip videonya yang tular di media sosial.

    Sebelum ini, tindakan Jocelyn yang memperlekehkan Malaysia dalam satu persembahan komedi bertajuk ‘Singapore vs Malaysia’ di New York, Amerika Syarikat baru-baru ini, mendapat kecaman hebat daripada pelbagai pihak termasuk Malaysia dan Singapura.

    Menerusi klip video yang dimuat naik pada akaun TikTok, Jocelyn turut secara sengaja menghina seorang penonton persembahannya yang mengaku sebagai rakyat Malaysia dengan perkataan kesat.

    Susulan itu, TikTok mengeluarkan video tular berkenaan yang turut mengandungi kenyataan menghina Malaysia dan tragedi MH370, kerana mengandungi ucapan berunsur kebencian.

  • Zahid dapat kebenaran khas Ketua Pengarah Penjara lawat Najib, kata Saifuddin 

    Zahid dapat kebenaran khas Ketua Pengarah Penjara lawat Najib, kata Saifuddin 

    LAWATAN Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ke Penjara Kajang bagi bertemu Datuk Seri Mohd Najib Razak baru-baru ini telah mendapat kebenaran khas daripada Ketua Pengarah Penjara Malaysia.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kebenaran khas itu diberikan mengikut Bahagian 10, Peraturan 86, Peraturan-Peraturan Penjara 2000.

    Katanya, permohonan berhubung lawatan tersebut kemudian dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Penjara, Datuk Nordin Muhamad kepadanya bagi tujuan proses seterusnya.

    “Ada bahagian 10 itu, ada satu peraturan. Peraturan itu adalah Peraturan 86. Ia memperuntukkan kuasa kepada kecuali dengan kebenaran khas yang dipakai selama ini, adalah oleh Ketua Pengarah Penjara. Bunyinya begini, perhubungan antara banduan dengan saudara-mara dan rakan-rakan mereka hendaklah dibenarkan mengikut bahagian ini.

    “Ia juga tertakluk kepada apa-apa sekatan yang perlu bagi mengekalkan tatatertib dan ketenteraman dalam penjara dan pencegahan jenayah serta tiada seorang lain pun boleh dibenarkan berhubung dengan seorang banduan, kecuali dengan kebenaran khas,” katanya pada  sidang media di Lobi Parlimen, Lapor ASTRO AWANI. 

    Sebelum ini, media melaporkan Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO mendedahkan beliau telah bertemu dengan bekas Perdana Menteri itu di Penjara Kajang.

    Kata Ahmad Zahid dalam lawatan selama satu jam 30 minit itu,  beliau turut berkesempatan bersarapan makanan kegemaran Najib.

    Mengenai kebenaran membawa makanan, Saifuddin berkata perkara itu mematuhi Bahagian 10, Peraturan 99.

    Selain itu, beliau turut menafikan dakwaan bahawa Ahmad Zahid membawa peralatan elektronik ketika pertemuan bersama Najib.

    “Saya bercakap sendiri dengan Ketua Pengarah Penjara, yang menyebut bahawa dia bawa (bawa peralatan elekttronik), itu tak betul. Siapa pun masuk dia kena ada pemeriksaan macam biasa tak kira pangkat,” ujarnya lagi.

    Ditanya mengenai tempoh masa lawatan yang hanya dihadkan selama 45 minit, Saifuddin berkata ia bergantung kepada pertimbangan pegawai penjara yang bertugas ketika itu.

    “Pegawai penjara adalah pihak yang mempunyai autoriti untuk membuat keputusan pada momen itu.

    “Seperti saya sebut tadi Peraturan 86 dan 99, dari hal izin melawat dan juga makanan, begitu jugalah tempoh masa iaitu pegawai yang menyelia pada ketika itu, yang akan membuat pertimbangan berapa lama (masa pertemuan).

    “Saya pun dulu pernah melawat Datuk Seri Anwar di Penjara Sungai Buloh, dan kadang-kadang saya dapat 15 minit, kadang-kadang saya dapat 30 minit. Jarang sangat saya dapat 45 minit, dan ia bergantung kepada budi bicara pegawai masa itu,” ujarnya.

  • ‘’Dari mana datang data ini…siapa tipu siapa’’ – Radzi bidas Anwar

    ‘’Dari mana datang data ini…siapa tipu siapa’’ – Radzi bidas Anwar

    BEKAS Menteri Pendidikan, Datuk Seri Radzi Jidin hari ini membidas sindiran  Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam yang mendakwa 30,000 pelajar tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.

    Portal MalaysiaNow melaporkan pada sidang media di Parlimen, Radzi mempersoalkan dari mana Anwar memperoleh angka itu sedangkan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek sendiri beberapa hari lalu mengesahkan hanya 14,858 pelajar tidak menduduki SPM.

    Radzi yang juga Ahli Parlimen Putrajaya turut meluahkan rasa kesal dengan tindakan Anwar yang sanggup mempolitikkan isu pendidikan demi memburukkan imej kerajaan terdahulu.

    “Kalau lihat (pada kenyataan Fadhlina), 14,858 calon tidak menduduki SPM dan begitulah laporan media lain nyatakan. Bila Perdana Menteri menyebut 30,000, daripada mana datang data ini? Siapa tipu siapa? Sama ada menteri pendidikan menipu perdana menteri atau perdana menteri bercakap sendiri tanpa merujuk fakta,’’ katanya sambil menunjukkan beberapa laporan media.

    Terdahulu, Radzi menunjukkan video berdurasi 47 saat yang memaparkan Anwar menjawab soalan seorang pelajar pada Program Cakna Madani PM di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini.

    Selain menyebut 30,000 pelajar tidak menduduki SPM, Anwar turut mempersoalkan mengapa Menteri Pendidikan ketika itu tidak memantau situasi berkenaan sebelum menyatakan ia kemudiannya dibongkar oleh Fadhlina.

    Bagi menjawab perkara tersebut, Radzi meminta Anwar merujuk kepada tarikh peperiksaan SPM yang berlangsung bermula 20 Februari hingga 15 Mac lalu di mana tempoh masa itu  adalah selepas kerajaan Madani mengambil alih pentadbiran.

    “Kalau ya pun dia nak kenakan saya, semaklah fakta dulu. Peperiksaan ini berlaku selepas waktu saya.Jadi, bagaimana saya nak pantau? Dia patut tanya menteri pada waktu itu iaitu Fadhlina yang juga daripada PKR” kata Radzi.

    Mengulas lanjut, Radzi turut menunjukkan kenyataan daripada Lembaga Peperiksaan Malaysia yang disiarkan pada 16 Jun 2022 yang mana Kementerian Pendidikan pada waktu itu sudah nyatakan calon SPM yang tidak hadir menduduki peperiksaan ialah seramai 10,861.

    Pada masa sama, Radzi turut menafikan dakwaan Anwar kononnya Kementerian Pendidikan sebelum ini tidak mengambil peduli mengenai masalah pelajar apabila pihak guru sendiri akan menghubungi pelajar dan bertanyakan keadaan mereka.

    “Buat apa saya nak politikkan pendidikan? Pendirian saya jelas bahawa saya tidak akan politikkan pendidikan.

    “Sebab itu perkara ini tidak masuk dalam kempen, tetapi sewaktu di kementerian, kita usahakan yang terbaik untuk memastikan anak-anak kita di sekolah mendapatkan yang terbaik,” tegas Radzi

  • Giliran haji 148 tahun, jemaah terpilih perlu bersyukur,bersabar di Tanah Suci

    Giliran haji 148 tahun, jemaah terpilih perlu bersyukur,bersabar di Tanah Suci

    UMAT Islam yang mendaftar untuk menunaikan haji pada tahun ini perlu menunggu sehingga 148 tahun bagi membolehkan mereka menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

    Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, sehingga kini terdapat seramai 3.8 juta pendeposit yang telah mendaftarkan nama dan menunggu giliran untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu.

    “Oleh itu jemaah haji yang terpilih untuk ke Tanah Suci pada tahun ini perlu bersyukur kerana peluang diperoleh amat bernilai serta bersabar kerana ia penting dalam perjalanan haji.

    “Memetik kata-kata Buya Hamka, syukur dan sabar itu seperti sayap, sebelah kanan itu syukur, sebelah kiri itu sabar, jika patah salah satunya jatuhlah kita,” katanya pada Majlis Ramah Mesra dan Pelantikan Sahabat Maktab 79 dan 80, lapor wartawan SINAR HARIAN di Mekah.

    Pada majlis itu jemaah haji dilihat sebak dan menitis air mata ketika mengaminkan doa yang dibacakan oleh Syed Saleh.

    Beliau berkata, jemaah haji perlu berpegang teguh kepada prinsip syukur dan sabar apabila berada dalam keadaan apapun sekalipun.

    Katanya, apabila mendapat tawaran menunaikan haji mereka pasti akan rasa bersyukur, tetapi selepas itu perlu bersabar apabila beberapa keperluan perlu diselesaikan dalam waktu ditetapkan.

    “Nak kena hantar pasport ke Tabung Haji, perlu lalui pemeriksaan kesihatan yang ketat dan macam-macam lagi yang perlukan banyak kesabaran,” katanya.

    Kata Syed Saleh, apabila berada di Tanah Suci, jemaah haji perlu tingkatkan lagi kesabaran kerana banyak lagi yang perlu dilalui.

    Katanya, suhu di Malaysia 30 darjah Celsius dan sampai di Mekah mencecah 40 darjah Celsius.

    “Nak pergi Masjidilharam perlu hadap cuaca panas. Bila dah masuk masjid dan dapat tempat sesuai sambil melihat Kaabah sampai masa nak solat, kadang-kadang kena pindah ke tempat lain pula, semua itu juga perlukan kesabaran,” katanya.

    Katany, semasa menunaikan umrah seperti tawaf contohnya perlu berhadapan dengan jemaah negara lain yang ramai, maka jemaah haji perlu bersabar dari segi mental dan fizikal.

    “Di bilik penginapan pula ada cabarannya, bagi suami yang semuanya diurus isteri seperti makan, pakaian akan berasa terbeban dan begitu juga nak capai persefahaman dengan rakan sebilik yang lain,” katanya.

    Syed Saleh berkata, jemaah juga perlu bersedia untuk menghadapi operasi Masyair yang lebih memerlukan kesabaran kerana perlu berhadapan suhu cuaca yang lebih panas dan ruang penginapan yang terhad.

    Beliau turut menasihatkan jemaah supaya menterjemahkan rasa syukur mereka melalui ibadah yang dilakukan dan mengikuti ceramah dan program-program diatur oleh TH.

    Sementara itu, Pembantu Petugas Haji (Patuh) yang berkhidmat membantu melancarkan urusan jemaah di Makkah berasa gembira dengan kehadiran kuota penuh jemaah haji Malaysia.

    Hamadah Abdul Ghani, 44, yang bertugas di maktab penginapan jemaah berkata, jika pada tahun-tahun sebelum ini semasa Covid-19, hati mereka sedih kerana Tanah Suci sepi tanpa jemaah.

    “Apabila keadaan kembali pulih, hati kami rasa seronok kerana lihat Masjidil Haram dah penuh dan kawasan penginapan pun ada ramai jemaah,” katanya.

    Hamadah antara ratusan Patuh yang berkhidmat di TH dan dia adalah individu yang dilahirkan di Makkah, manakala ibu bapa berasal dari Kedah.

    Dia yang fasih berbahasa Melayu loghat Kedah berkata, sentiasa bersedia membantu jemaah supaya dapat menjalani ibadah dengan lancar di Tanah Suci ini.

    Seorang lagi Patuh, Anuar Ismail, 46, yang berkhidmat di unit Khidmat Pelanggan TH berkata, semua jemaah yang hadir dianggap sebagai saudaranya dan akan dibantu dengan sebaiknya.

    “Saya lahir di Makkah, ibu bapa asal Pantai Timur. Saya suka dengan kehadiran mereka kerana dapat rasa seperti berada di Malaysia,” katanya.

    Pemegang Ijazah Sarjana Muda Kesusasteraan Bahasa Arab dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu, sudah berkhidmat sebagai Patuh selama 23 tahun.

  • Jemaah haji perlu bersedia hadapi cuaca panas, ruang khemah terhad – Syed Saleh

    Jemaah haji perlu bersedia hadapi cuaca panas, ruang khemah terhad – Syed Saleh

    KESEDIAAN operasi Masyair dari segi khemah penginapan, bekalan elektrik, bilik air dan lain-lain kemudahan berada pada tahap 60 peratus.

    Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, semua kemudahan itu akan siap sepenuhnya sebelum jemaah haji memasuki Arafah pada 8 Zulhijjah.

    “Ketika ini pekerja sedang bertungkus-lumus menyiapkan segala kemudahan dan petugas haji juga memantau proses tersebut,” katanya selepas meninjau persiapan operasi di Arafah, Mina dan Mudzalifah lapor wartawan SINAR HARIAN di Mekah.

    Operasi Masyair adalah kemuncak kepada keseluruhan operasi haji yang melibatkan pergerakan jemaah haji Malaysia ke Arafah, Muzdalifah dan Mina bagi tempoh lima hari bermula 8 hingga 13 Zulhijjah bagi menyempurnakan ibadah rukun dan wajib haji.

    Kata Syed Saleh, seperti tahun-tahun sebelumnya, Tabung Haji (TH) menyediakan kemudahan seperti penyaman udara dan klinik kesihatan untuk kebajikan jemaah haji melaksanakan Rukun Islam kelima itu.

    Beliau turut mengingatkan 31,600 jemaah haji negara untuk bersedia dengan cuaca panas dan ruang khemah yang terhad.

    Sementara itu, malam tadi  diadakan majlis bacaan Yasin, solat hajat memohon kelancaran operasi Masyair dan munajat 60 tahun TH bersama petugas haji di Abraj Janadriyah

    Pekerja-pekerja bertungkus lumus siapkan kemudahan untuk jemaah haji di Arafah

    Syed Saleh dalam ucapannya berkata, menjangkau usia 60 tahun TH, banyak pembaharun besar yang telah dilakukan dalam menjaga kepentingan umat Islam.

    “Pada suatu permulaan yang amat sederhana pada 1963 hanya seramai 1,281 orang pendeposit awal yang menyimpan dengan jumlah sebanyak RM46,610.

    “60 tahun kemudian iaitu sekarang TH telah mempunyai pendeposit seramai 8.9 juta orang iaitu simpanan sebanyak RM89 bilion,” katanya.

    Kata beliau, ia adalah bukti bahawa umat Islam merasakan TH adalah tonggak kekuatan yang harus dipertahankan dan mereka terus memberikan sokongan kepada TH.

    “Dari segi urusan haji TH uruskan 1.5 juta orang Islam tunai haji. Daripada zaman kapal laut sampailah zaman kapal terbang. Daripada zaman khemah tanpa kemudahan kepada zaman khemah ada penyaman udara.

    “Daripada bawa beg atas bumbung bas kepada era beg diuruskan petugas TH sampai di tepi katil jemaah dan macam-macam lagi kemudahan seperti pusat rawatan canggih,” katanya.

    Kata Syed Saleh, dengan pembaharuan dan pengurusan cekap itu maka membolehkan TH terus diperakui sebagai operator terbaik di dunia apabila menerima Anugerah Labaittom daripada kerajaan Arab Saudi.

    “Kita juga dapat pengiktirafan daripada jemaah yang berpuas hati dengan perkhidmatan TH apabila pada tahun lepas kita mencatatkan 94 peratus kepuasan pelanggan,” katanya.

  • RORO dari Kuala Kedah ke Langkawi mula beroperasi

    RORO dari Kuala Kedah ke Langkawi mula beroperasi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    ORANG ramai kini mempunyai pilihan untuk menaiki feri roll-on roll-off (RORO) yang membawa kenderaan dan penumpang dari Kuala Kedah ke Langkawi berbanding daripada hanya menggunakan perkhidmatan tersebut dari Kuala Perlis sebelum ini.

    Menurut Eksekutif Pemasaran dan Jualan Langkawi Kedah RORO Management Sdn Bhd, Ismail Zain, perkhidmatan My RORO Tiga itu telah mula beroperasi pada 22 April lalu bagi tujuan membawa masuk kenderaan dan penumpang bagi Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA’23).

    Katanya, feri tersebut mampu memuatkan kapasiti penumpang seramai 220 orang serta lebih 60 kenderaan awam termasuk kenderaan perdagangan.

    “Buat masa ini RORO yang beroperasi hanya satu sahaja dan ia mengambil masa tiga jam untuk perjalanan pergi dan juga balik.

    “Perkhidmatan RORO dari Kuala Kedah terletak di belakang Jabatan Laut bergerak pada pukul 1.30 petang manakala RORO dari Langkawi di Tanjung Lembung pula adalah pada pukul 9 pagi,” katanya.

    Tambahnya, buat masa ini perkhidmatan RORO berkenaan mendapat sambutan yang baik selain perkhidmatan feri di Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah.

    “Orang ramai boleh datang membeli tiket di pejabat kami di depan Jabatan Laut atau menghubungi talian 04-7622515. Dalam tempoh enam bulan lagi, kami mungkin akan menambah enam lagi RORO dan jadual perjalanan bagi menampung keperluan.

    “Kadar tambang RORO ini juga bergantung kepada jenis kenderaan dan kapasiti enjin (cc) manakala harga tiket bagi penumpang sama seperti perkhidmatan feri biasa iaitu RM26.50 sehala,” katanya.

  • Muhyiddin gesa Anwar jelaskan butiran perjanjian sempadan maritim dengan Indonesia

    Muhyiddin gesa Anwar jelaskan butiran perjanjian sempadan maritim dengan Indonesia

    PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa menjelaskan butiran perjanjian berkaitan sempadan maritim yang didakwa ditandatangani ketika lawatan Presiden Indonesia Jokowi ke Malaysia baru-baru ini.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika membuat gesaan itu mendedahkan ada menerima laporan bahawa pakar-pakar telah memberikan nasihat supaya Perdana Menteri tidak menandatangani perjanjian itu.

    “Saya tak menuduh Perdana Menteri, saya nak minta dia beri penjelasan atau beri kenyataan dan keterangan kepada rakyat secara terbuka tak payah diselindungkan, apa yang telah dia meterai dalam perjanjian itu.

    “Kerana ada laporan yang bagi tahu, pakar-pakar maritim nasihat Perdana Menteri jangan sain. Kalau dinasihat jangan sain ada perkara-perkara tertentu,” katanya berucap pada Ceramah Perdana Gelombang Kebangkitan Rakyat Negeri Sembilan di Senawang malam tadi.

    Lebih 10,000 pengunjung hadir ke ceramah yang turut dihadiri Presiden Pas yang juga Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Pengerusi PN Negeri Sembilan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Azmin Ali.

    Muhyiddin berkata, ketika menjadi Perdana Menteri beliau mengakui isu tersebut sukar dimuktamadkan walaupun telah banyak rundingan diadakan.

    “Sampai hari ini tidak selesai..fasal ada banyak perkara sensitif dan dia berkaitan dengan sempadan Johor dan Sabah,” katanynya.

    Beliau menambah, dalam isu-isu berkaitan kedaulatan, sempadan antarabangsa dengan negara lain tidak boleh dibuat dengan mudah.

    “Hal berkaitan dengan kedaulatan tak boleh kompromi. Jangan mudah-mudah nak bagi walau seinci pun,” tegasnya.

    Sementara itu dalam ucapan sama Muhyiddin mengajak rakyat Negeri Sembilan dan lima negeri lain yang akan mengadakan pilihan raya negeri (PRN) supaya mengundi PN sebagai satu referendum bantahan kepada kerajaan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional PH-BN kerana gagal mengurus negara dengan berkesan.

    “Biar kita ajar dia (kerajaan) betul-betul.. ini isyarat… rakyat sudah marah,” ujarnya lagi.