Category: Umum

  • KASA arah semua jabatan, agensi siap sedia hadapi banjir

    KASA arah semua jabatan, agensi siap sedia hadapi banjir

    KEMENTERIAN Alam Sekitar dan Air (KASA) mengarahkan semua jabatan dan agensi di bawahnya melakukan persiapan sebaik mungkin bagi menghadapi banjir yang diramal berlaku berikutan musim Monsun Timur Laut tidak lama lagi.

    Menterinya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata antara yang sedang dilakukan adalah pemasangan pam air, penyelenggaraan pintu air dan kerja-kerja mendalamkan kawasan takungan air di lokasi berisiko banjir oleh Jabatan Pengairan dan Saliran. 

    “Kami (KASA) pantau supaya semua aset dapat digunakan pada waktu banjir nanti. Terdapat ratusan kawasan ‘hotspot’ banjir dikenal pasti di seluruh negara. Ada kawasan kami pasang pam air bergerak, ada yang kami pasang pam air kekal dan selenggara pintu air sebelum menghadapi musim tengkujuh ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Projek Pemuliharaan Muara Sungai Dungun di Dewan Sivik Bijangga di sini hari ini.

    Sementara itu, menurut Tuan Ibrahim kementerian juga sedang membina kira-kira 50 empangan sabo secara berperingkat di kawasan berisiko kepala air di seluruh negara.

    Katanya empangan tersebut yang berfungsi sebagai penahan puing termasuk bongkah batuan dan kayu serta melambatkan aliran air, akan dapat mengurangkan impak tragedi kepala air.

    Terdahulu, beliau berkata Projek Pemuliharaan Muara Sungai Dungun yang dilancarkan hari ini akan bermula pada 26 Sept ini dan dijangka siap 25 Mac 2027.

    Menurutnya projek bernilai RM242.97 juta itu, merangkumi kerja-kerja pengorekan alur pelayaran, serta pembinaan struktur pemecah ombak, struktur dinding penahan lapis lindung pantai dan ‘groin’ iaitu struktur hidraulik yang dibina secara berserenjang bagi mengurangkan kesan pukulan ombak pada pantai, selain pembinaan lampu tanda arah suar.

    Katanya objektif utama projek ini adalah bagi mengatasi kejadian mendapan di muara sungai berkenaan yang tidak selamat untuk navigasi bot nelayan dan bot pelancongan ke Pulau Tenggol.

    “Keadaan menjadi bertambah buruk semasa musim Monsun Timur Laut apabila angin kencang dan gelombang kuat menyebabkan kerosakan bot dan risiko kehilangan nyawa, selain pemendapan itu turut mengurangkan keupayaan sungai mengalirkan air ke laut dan mengakibatkan banjir.

    “Saya berharap projek ini dapat membantu 500 buah bot berdaftar di muara Sungai Dungun menjalankan aktiviti perikanan dan pelancongan dengan selamat serta bebas daripada masalah kerosakan bot, seterusnya menjana ekonomi tempatan. Risiko banjir pantai juga akan dapat dikurangkan melibatkan hampir 5,000 penduduk tempatan,” katanya.- BERNAMA

  • KJ umum berita gembira buat jururawat kontrak dan jawatan tetap

    KJ umum berita gembira buat jururawat kontrak dan jawatan tetap

    SERAMAI 1,136 Jururawat Gred U29 Kontrak, keluaran Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan 2,804 jururawat swasta yang dilantik secara kontrak serta masih berkhidmat di KKM bagi menyokong perkhidmatan kesihatan khususnya dalam tempoh pandemik COVID-19, akan diserap ke jawatan tetap.

    Menterinya, Khairy Jamaluddin dalam laporan Berita Harian berkata, pelantikan tetap itu akan dibuat secara berfasa dalam tempoh suku keempat tahun ini dan suku pertama tahun depan.

    Menurutnya, pelantikan tetap juga membabitkan Jururawat Masyarakat Gred U19 sebagai Jururawat Gred U29.

    “Seramai 1,406 Jururawat Masyarakat Gred U19 yang telah lulus kursus Diploma Kejururawatan Peningkatan Secara Lantikan (PSL), namun masih belum ditawarkan pelantikan tetap secara PSL ke jawatan Jururawat Gred U29.

    “KKM akan memfleksikan jawatan Jururawat Masyarakat Gred U19 kepada jawatan Jururawat Masyarakat Gred U19/Jururawat Gred U29.

    “Pindaan ini dibuat bagi membolehkan Jururawat Masyarakat Gred U19 yang lulus kursus Diploma Kejururawatan PSL dapat ditawarkan pelantikan tetap dan kekal mengisi jawatan sedia ada sebagai Jururawat Gred U29.

    “Dalam hal ini, KKM bercadang menggunakan 2,775 jawatan Jururawat Masyarakat Gred U19 yang kosong untuk diisi oleh graduan Jururawat dari Institut Latihan KKM mahupun swasta,” katanya di Johor Bahru, hari ini.

    Khairy menurut laporan itu lagi menjelaskan, KKM juga menawarkan kenaikan pangkat ke Gred U42 kepada 110 Jururawat yang memiliki ijazah sarjana muda kejururawatan yang diiktiraf oleh Kerajaan melibatkan 50 Jururawat Gred U32 dan 60 Jururawat Gred U36. Tawaran ini akan dibuat pada 17 Oktober 2022.

    Katanya, sebanyak 49 jawatan Jururawat Gred U41/42/U44 lagi akan diisi menerusi pengambilan tetap oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang akan dilaksanakan pada suku pertama tahun 2023.

    “KKM mengunjurkan sebanyak 226 jawatan Jururawat Gred U41/42/U44 diwujudkan dalam tempoh 2023 hingga 2025 iaitu sebanyak 63 jawatan pada tahun 2023, 125 jawatan pada tahun 2024 dan 38 jawatan lagi pada tahun 2025.

    “Jumlah ini tidak termasuk unjuran pewujudan sebanyak 7,434 jawatan Jururawat Gred U29, Gred U32 dan Gred U36 dalam tempoh yang sama.

    “Berdasarkan unjuran pewujudan sebanyak 226 jawatan Jururawat Gred U41/42/U44 ini, KKM akan menguruskan pelantikan tetap dan menawarkan kenaikan pangkat kepada pegawai yang layak mengikut tahun berkenaan,” katanya.

    Kadar nisbah jururawat dengan pesakit di Malaysia pada tahun 2020 ialah 1:302, jumlah itu semakin baik pada tahun 2021 dengan kadar nisbah 1:297, namun masih belum memenuhi sasaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 1:200.

    Khairy berkata, selepas isu doktor kontrak, sebahagian isu jururawat kini telah diselesaikan dan pada masa akan datang isu Pembantu Perubatan juga dalam perancangan untuk penyelesaian.

    “Diharap dengan inisiatif penyerapan jawatan kontrak dan kekosongan yang diisi dapat pengurangan kadar nisbah jururawat dengan pesakit selaras saranan WHO iaitu 1:200,” katanya.

  • Susherrie pasang impian bergelar perancang bandar profesional

    Susherrie pasang impian bergelar perancang bandar profesional

    SUSHERRIE Suki, yang melakar sejarah menjadi Orang Asli pertama menerima Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama dari University College London (UCL), United Kingdom baru-baru ini, memasang cita-cita untuk bergelar perancang bandar berlesen di negeri kelahirannya, Perak.

    Gambar gadis daripada kaum Semai berusia 23 tahun itu bersama ahli keluarga dan rakannya di hadapan universiti, tular dalam media sosial kerana mengangkat nama komunitinya setelah menamatkan pengajian dalam bidang Perancangan Bandar dan Hartanah di Bartlett School of Planning, UCL.

    UCL ialah universiti terkemuka di dunia yang berada di tangga kelapan dunia (QS World University Ranking 2023).

    Kini, beliau melanjutkan pengajiannya di peringkat Ijazah Sarjana (Master) dalam bidang Reka Bentuk dan Perancangan Bandar di universiti sama selama setahun dalam menggapai impian bagi merealisasikan cita-citanya itu. 

    “Selepas menghabiskan pengajian hingga tingkatan lima di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ave Maria Convent, saya menyambung pengajian peringkat A-Level di Kolej MARA Seremban dan seterusnya mendapat tawaran di UCL bagi peringkat Sarjana Muda selama tiga tahun.

    “Ketika saya menerima berita tentang penganugerahan Ijazah Kelas Pertama di UCL, saya melompat kerana terlampau gembira dan terus menelefon kakak untuk memberitahu tentang berita ini kerana bagi saya, perkara ini bukan mudah untuk dicapai,” katanya ketika dihubungi Bernama melalui panggilan video dari United Kingdom di sini hari ini.

    Anak ketiga daripada empat beradik itu memaklumkan bahawa beliau memilih jurusan Reka Bentuk dan Perancangan Bandar kerana kecintaannya terhadap seni bina bangunan dan bandar.

    Menyentuh mengenai cabaran dialami sewaktu pengajian, Susherrie berkata aspek komunikasi mendorongnya untuk lebih bersungguh-sungguh dan bekerja keras demi menggenggam kejayaan yang tidak mudah diperoleh khasnya di bumi asing yang penuh dengan pelajar dari seluruh dunia.

    “Saya mempunyai kesukaran menulis esei untuk subjek penulisan ilmiah ketika itu sehinggakan saya mendapat markah 40 hingga 50.

    “Namun saya menyertai kelas bahasa Inggeris selain menjadi ahli persatuan kelas, dan bekerja sambilan di kafe pelajar bagi meningkatkan pemahaman dari segi pertuturan di sini (UCL). Bayangkan, lawak mereka pun saya tidak faham sehinggakan perlu menghentikan perbualan dan meminta penjelasan,” katanya berseloroh.

    Sementara itu, kakaknya Susieleen Suki, 31, berkata adiknya seorang ulat buku sejak kecil kerana sentiasa memegang buku ke mana sahaja beliau berada selain seorang yang aktif.

    “Kami sekeluarga tidak terkejut apabila dia memberitahu bahawa dia dianugerahkan Ijazah Kelas Pertama kerana dia memang layak. Kami amat gembira dan bangga dengan pencapaiannya kerana sejak kecil dia sentiasa menunjukkan prestasi yang baik di sekolah dan ketika di Kolej MARA,” katanya yang sering membuat panggilan video hampir setiap minggu untuk memberi sokongan kepada adiknya.

    Berita gembira itu turut mendapat perhatian Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan bekas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengucapkan tahniah atas kejayaan Susherrie di laman Twitter masing-masing.- BERNAMA

  • Cuti tanpa rekod penjawat awam laksana kerja amal 5 hari setahun

    Cuti tanpa rekod penjawat awam laksana kerja amal 5 hari setahun

    PENJAWAT awam diberi cuti maksimum lima hari setahun untuk melaksanakan aktiviti khidmat masyarakat dengan pertubuhan diluluskan.

    Free Malaysia Today melaporkan, menerusi pekeliling dikeluarkan pada Selasa, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah berkata, kemudahan cuti tanpa rekod itu bagi menggalakkan penjawat awam melaksanakan “kegiatan atau kerja-kerja kemasyarakatan dalam negara”.

    Ketika ini, kategori cuti tanpa rekod untuk kakitangan kerajaan adalah termasuk tiga hari untuk kematian ahli keluarga termasuk ibu bapa mertua, 90 hari cuti bersalin, tujuh hari untuk bapa apabila isteri bersalin dan 14 hari untuk guru.

    Selain itu, mereka layak mendapat cuti tahunan antara 20 dan 30 hari, bergantung kepada kategori pekerjaan dan tahun perkhidmatan mereka.

    Shafiq berkata mereka yang layak mesti menyertai aktiviti khidmat masyarakat secara sukarela yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.

    “Pertubuhan yang diluluskan bermaksud pertubuhan yang berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966 atau pertubuhan yang mempunyai akta penubuhan sendiri/ undang-undang khusus yang lain atau yayasan yang ditubuhkan di bawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 atau Akta Syarikat 2016.

    “Kemudahan ini tidak termasuk hari rehat mingguan, hari kelepasan mingguan dan hari kelepasan am. Sekiranya aktiviti itu kurang daripada empat jam, pegawai hendaklah menggunakan Peraturan Kebenaran Untuk Meninggalkan Pejabat Dalam Waktu Bekerja di Bawah Perintah Am,” katanya.

    Beliau berkata permohonan untuk cuti khidmat masyarakat perlu disokong dengan surat daripada pertubuhan berkenaan, dengan memberi butiran aktiviti terbabit, dan diluluskan oleh ketua jabatan.

    “Kemudahan cuti tanpa rekod ini diperuntukkan kepada pegawai perkhidmatan awam yang dilantik secara tetap, sementara dan kontrak,” katanya.

  • Rasuah antara punca rakyat tidak dapat perkhidmatan sepatutnya – Sultan Nazrin

    Rasuah antara punca rakyat tidak dapat perkhidmatan sepatutnya – Sultan Nazrin

    GEJALA rasuah menjadi antara punca rakyat tidak mendapat perkhidmatan, pengagihan kekayaan tidak seimbang dan ketirisan khazanah negara, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

    Baginda bertitah rasuah juga mengakibatkan pembangunan tidak lestari, pencemaran alam sekitar, membantutkan pertumbuhan ekonomi, menghilangkan minat pelabur asing, meningkatkan kos pentadbiran dan urus niaga serta mendorong berlakunya ketidakstabilan politik.

    “Banyak negara dianugerahi rahmat Ilahi dengan pelbagai sumber kekayaan, tetapi kerana rasuah ada yang terbenam dalam kemelut kemunduran dan tertimbus dalam lumpur kemiskinan. Kekayaan negara disalah guna – hasil mahsul lesap.

    “Akibatnya, kemunduran terus melanda, kemiskinan terus merebak. Apabila tidak ada kesungguhan untuk membanteras rasuah, perlakuan rasuah akan tumbuh melebar…lalu diterima sebagai norma dan meresap menjadi budaya, akhirnya memusnahkan sesebuah negara bangsa,” titah baginda.

    Baginda bertitah demikian pada majlis pelancaran buku ‘Korupsi dan Kemunafikan dalam Politik Melayu; Perlunya Disegerakan Transformasi Moral Etika’ hasil tulisan Profesor Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan di sini hari ini.

    Sultan Nazrin bertitah rasuah ialah penyakit dalam masyarakat yang bersifat barah, yang menjalar sedikit demi sedikit, merosakkan satu persatu organ organisasi sehingga akhirnya melumpuhkan organisasi dan membawa maut jika dibiarkan merebak tanpa disegerakan rawatan kemoterapi.  

    Titah baginda, daripada 180 negara yang dilaksanakan penilaian oleh Transparency International, Malaysia jatuh daripada kedudukan ke-57 dengan skor 52 pada 2020, ke kedudukan ke-62 mencatat skor 48 pada tahun lepas dan kini Malaysia dikelompokkan dalam kumpulan dua pertiga negara yang mencapai skor di bawah 50.

    “Oleh yang demikian, kita tidak boleh memandang ringan, bersifat leka, memilih melakukan penafian, memikirkan segala justifikasi – bersilat dengan segala helah mahu menidakkan kewujudan ‘gajah’ rasuah di hadapan mata,” titah baginda.   

    Sultan Nazrin menegaskan masyarakat wajib bersifat berani mengakui realiti bahawa amalan rasuah sedang berlaku pada skala yang membahayakan berdasarkan teguran berulang kali yang terkandung dalam laporan Ketua Audit Negara dan pelbagai penemuan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.

     “Bilangan aduan serta rungutan yang dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, subjek yang terkandung dalam surat layang, berita yang terpapar dalam media dan isu yang diuar-uarkan dalam media sosial, hendaklah dijadikan cermin serta dianggap petunjuk kepada situasi rasuah yang berlaku.  

    “Malah jalan raya berlopak, longkang tersumbat, bangunan runtuh, bumbung bocor, pencemaran alam, penerokaan haram, rumput dan taman yang tidak terurus, masing-masing mempunyai bahasa tersendiri, menyampaikan mesej akan standard tadbir urus yang sedang berlaku,” titah baginda.

    Sultan Nazrin bertitah hari ini lebih ramai manusia yang disesatkan dengan kuasa dan kekayaan tanpa sedar dan malu akan kebarangkalian tergelincir melakukan perbuatan berunsur syirik kerana sanggup mengabdikan diri menjadi hamba kepada wang, kuasa, pangkat dan jawatan sehingga mendewakan manusia lain.

    Baginda juga mengingatkan bahawa sumber kuasa yang diperoleh melalui sogokan belum terjamin dikembari dengan kesetiaan dan sifat sebenar manusia akan terserlah ketika mendapat jawatan, kuasa serta kekayaan dengan tidak lagi mengotakan janji selain menjelmanya sifat sombong dan bongkak. 

    Dalam pada itu, Sultan Nazrin bertitah dalam usaha melakukan yang makruf dan menentang yang mungkar, jangan sama sekali berputus asa berdoa memohon petunjuk dan kekuatan daripada Ilahi, justeru baginda menitahkan khutbah pada setiap solat Jumaat di negeri Perak dilengkapkan dua doa.

    “Pertama: Ya Dzal Jalali Wal Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

    “Kedua: Ya Malikul Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum,” titah baginda.

    Sultan Nazrin bertitah bahawa negara juga memerlukan lebih ramai murabbi (pendidik) untuk tampil ke hadapan secara berani menggemakan mesej memerangi rasuah kerana golongan ini mempunyai peranan yang amat penting untuk mendidik dan menyuburkan kesedaran kerohanian serta moral.

    Mengenai pelancaran buku hari ini, Sultan Nazrin bertitah bahawa pendekatan penulis, Dr Mohd Kamal merupakan pendekatan baharu di luar kotak budaya bangsa melalui pemilihan dua kata kunci iaitu korupsi serta kemunafikan dan mengaitkannya dengan politik Melayu sebagai tajuk buku dan kandungan buku ini amat perlu disebarkan mesejnya ke setiap tempat dalam bahasa yang mudah difahami.- BERNAMA

  • Jawatankuasa khas ditubuh tangani sindiket penipuan kerja libatkan rakyat Malaysia

    Jawatankuasa khas ditubuh tangani sindiket penipuan kerja libatkan rakyat Malaysia

    MESYUARAT jemaah menteri pada Rabu bersetuju menubuhkan jawatankuasa khas bagi menangani kes-kes sindiket penipuan pekerjaan melibatkan rakyat Malaysia.

    Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata jawatankuasa berkenaan akan dianggotai pelbagai agensi kerajaan dan dipengerusikan oleh beliau sendiri.

    “Saya juga telah mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Luar untuk mengadakan mesyuarat bersama agensi-agensi berkenaan pada 22 Sept (hari ini),” katanya.

    Saifuddin yang kini berada di New York bersempena Sesi ke-77 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang sedang memangku tugas Menteri Luar Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad serta seluruh jemaah menteri yang meneliti dan membincangkan isu berkenaan.

    Pada Isnin, beliau mempengerusikan mesyuarat secara maya bersama duta-duta dan kuasa usaha sementara Malaysia di Myanmar, Kemboja, Laos, Thailand dan Vietnam bagi mempersiapkan nota mesyuarat untuk diterangkan oleh Abdul Latiff dalam mesyuarat jemaah menteri. 

    “Kami juga bersetuju untuk mengadakan mesyuarat dengan pengurusan tertinggi Polis Diraja Malaysia secara berkala dan meningkatkan penerangan media bagi isu ini,” katanya.

    Tambahnya kerajaan melalui Kementerian Luar serta perwakilan-perwakilan Malaysia di luar negara terus komited dalam memperkasakan usaha untuk menyelamatkan mangsa-mangsa dan membawa mereka pulang ke tanah air dengan selamat.

    Sementara itu, Kementerian Luar dalam kenyataan berasingan pada Rabu malam berkata 15 lagi mangsa sindiket warganegara Malaysia berjaya diselamatkan dan dibawa pulang pada Selasa.

    Mereka tiba di klia2 melalui penerbangan AK 535 dari Phnom Penh pada pukul 11.50 malam.

    Sehingga Rabu, katanya, jumlah keseluruhan laporan yang diterima kementerian membabitkan empat negara iaitu Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand adalah sebanyak 301 kes.

    “Daripada jumlah itu, seramai 168 orang mangsa telah berjaya diselamatkan dan pulang ke tanah air,” katanya.

    Selain itu, 34 orang mangsa sedang ditahan di depoh tahanan imigresen, manakala baki 99 orang lagi masih dikesan oleh pihak berkuasa negara-negara berkenaan, kata Kementerian Luar.- BERNAMA

  • KPLB berjaya lahirkan lebih 64,000 usahawan desa

    KPLB berjaya lahirkan lebih 64,000 usahawan desa

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) berjaya melahirkan lebih 64,000  usahawan desa menerusi pelbagai agensi di bawahnya.

    Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bagi memastikan usahawan desa sentiasa berdaya maju dan kalis kemelesetan ekonomi, pelbagai bantuan seperti geran, pembiayaan, latihan dan pembangunan disediakan kementerian itu.

    “Bantuan disalurkan bagi memastikan usahawan  dapat meneruskan perniagaan mereka khususnya ketika negara berhadapan pandemik Covid19 dan krisis ekonomi yang melanda seluruh dunia.

    ‘’Tetapi mereka tidak boleh mengharapkan bantuan daripada kerajaan semata-mata. Mereka juga perlu memajukan perniagaan masing-masing dengan menggunakan pendekatan terkini seperti digitalisasi dalam perniagaan,’’ katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Bimbingan Kelab Usahawan 1 Juta (KU1J@KPLB) di Putrajaya hari ini.

    Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPLB, Datuk Che Murad Sayang Ramjan dan Pengasas Richworks International Sdn. Bhd., Datuk Dr. Azizan Osman.

    Mahdzir berkata, usahawan desa KPLB terbabit dalam pelbagai bidang perniagaan merangkumi empat sektor utama iaitu pembuatan, perkhidmatan, pertanian dan pelancongan desa.

    Beliau berkata, bagi memastikan usahawan desa memasarkan produk mereka secara terancang, KPLB memperkenalkan Program Bimbingan Kelab Usahawan 1 Juta KPLB (KU1J@KPLB) melibatkan kerjasama dengan Rickworks International Sdn. Bhd.

    Program berbentuk kejurulatihan dan mentor-mentee ini  menyasarkan usahawan desa mencapai sasaran jualan tahunan berjumlah RM1 juta yang pertama.  Aktiviti ini adalah salah satu daripada beberapa aktiviti sokongan keusahawanan yang telah dirancang di bawah Program Rural Business Challenge 2.0 (RBC 2.0).

    “Saya dimaklumkan pada peringkat awal, seramai 67 orang usahawan desa telah memohon bagi menyertai program ini. Daripada jumlah itu, seramai 52 orang usahawan desa melepasi saringan awal. Seterusnya tapisan akhir dibuat dan seramai 25 orang usahawan terpilih untuk mengikuti aktiviti bimbingan KU1J@KPLB ini,’’ katanya.

    Kesemua peserta akhir yang  terpilih akan dibimbing dan diberi tunjuk ajar secara fizikal dan maya selama 12 bulan bagi mencapai jualan tahunan sebanyak RM1 juta dalam tempoh 6 bulan hingga setahun.

    Melalui tempoh berkenaan mereka akan didedahkan mengenai pengurusan pemasaran, pematuhan, operasi, kepimpinan, pembangunan perniagaan dan aktiviti mentoring.

  • ‘’Tiada layanan istimewa, Najib perlu fisioterapi’’ – Khairy

    ‘’Tiada layanan istimewa, Najib perlu fisioterapi’’ – Khairy

    DATUK Seri Najib Tun Razak dipindahkan ke Hospital Rehabilitasi Cheras di Kuala Lumpur kerana memerlukan fisioterapi.

    Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, bekas Perdana Menteri itu, yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana rasuah, tidak diberikan layanan istimewa.

    Bagaimanapun beliau tidak memberikan butiran mengenai penyakit Najib.

    Khairy turut mendedahkan, beliau mengarahkan Hospital Kuala Lumpur (HKL) menjalankan siasatan terhadap ciapan Twitter yang didakwa dibuat oleh salah seorang doktor yang merawat Najib dan mendedahkan maklumat mengenainya.

    “Tiada layanan istimewa. Terdapat permintaan oleh timbalan pendakwa raya supaya prosiding ditangguhkan supaya Najib boleh menerima rawatan perubatan yang diperlukan. Berikutan itu, beliau dirujuk ke HKL di mana beliau dirawat untuk keadaan kesihatannya dan menjalani beberapa ujian.

    “Sekarang susulan itu, dia dirujuk ke Hospital Rehabilitasi Cheras kerana rawatan susulan yang memerlukan fisioterapi.

    “Dan sebahagian daripada itu sudah tentu untuk mengajarnya bagaimana untuk melakukannya sendiri, kerana dia akan dibenarkan keluar sebaik sahaja pakar berpuas hati bahawa dia tidak lagi perlu masuk wad,” katanya lapor Malaysiakini.

    Khairy berkata Najib akan dihantar pulang ke Penjara Kajang sebaik saja pakar berpuas hati dengan keadaannya.

    “Saya tidak boleh menjawab bila, kerana itu akan mengganggu proses. Terpulang kepada pakar,” tambahnya.

    Khairy berkata akses Najib kepada kemudahan perubatan adalah selaras dengan prosedur operasi standard kementerian, di mana layanan sama turut diberikan kepada banduan lain yang memerlukannya.

    Hari ini, Jabatan Penjara dalam satu kenyataan mengesahkan khabar angin bahawa Najib telah dihantar ke HRC untuk rawatan, dan berkata ia dilakukan selaras dengan Akta Penjara dan Peraturan Minimum Standard Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Rawatan Penjara (Peraturan Mandela).

    Mengulas lanjut, Khairy berkata beliau tidak dapat mendedahkan butiran mengenai keadaan kesihatan Najib kerana protokol privasi pesakit KKM.

    “Kita melaksanakan ini supaya tidak ada pertikaian daripada mana-mana pihak, daripada pihak keluarga Najib, malah Najib sendiri, bahawa tidak ada rawatan yang diberikan kepada beliau.

    “Jadi kita telah menyediakan semua rawatan yang diperlukan dan semua pemeriksaan yang diminta,” katanya.

    Menurut Khairy, pakar perubatan akan mengadakan persidangan dengan Najib dan keluarga dalam masa terdekat bagi menjelaskan keadaan dan pelan rawatannya, selepas itu dia akan dihantar semula ke Penjara Kajang.

    Sementara itu, mengenai kes ciapan Twitter, Khairy berkata HKL telah melancarkan siasatan berhubung perkara itu untuk menentukan sama ada ia benar-benar dihantar oleh salah seorang pegawai perubatannya.

    Kata Khairy, jika terbukti benar, pegawai berkenaan boleh dikenakan tindakan tatatertib mengikut garis panduan KKM.

    “Semua di KKM memang kita perlu mematuhi tata etika kerahsiaan pesakit di bawah Akta Perubatan. Sebarang maklumat terperinci tentang kesihatan mana-mana pesakit termasuklah banduan yang berada bawah rawatan KKM mestilah disimpan kerahsiaannya.

    ” Dalam hal tersebut, dalam kes yang dirujuk, saya telah pun minta Pengarah HKL untuk siasat kes, dan jika didapati ada pelanggaran tata etika, maka tindakan disiplin boleh diambil terhadap pegawai yang berkenaan,’’ katanya.

  • Bekas Ketua Menteri Melaka meninggal dunia

    Bekas Ketua Menteri Melaka meninggal dunia

    BEKAS Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Adib Mohamad Adam menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pagi tadi kerana sakit tua.

    Allahyarham meninggal dunia pada usia 81 tahun.

    Isteri Allahyarham, Datin Seri Zainiah Hussein, 77, berkata suaminya telah dibawa dan dimasukkan ke HKL malam tadi selepas mengadu sesak nafas.

    “Pada pukul 8.20 pagi tadi, doktor hubungi maklumkan suami saya telah meninggal dunia… Allahyarham meninggal dunia kerana sakit tua.

    “Allahyarham tidak pernah mengadu sakit sebelum ini, cuma dalam sebulan lepas beliau mengalami strok, keadaannya juga agak lemah dan ingatannya adakala ingat adakala tidak,” katanya ketika ditemui Bernama di Masjid Darul Ehsan, Taman Tun Abdul Razak, Ampang, dekat sini hari ini.

    Jenazah dimandi dan dikafankan di masjid berkenaan sebelum disembahyangkan pada 4.25 petang oleh lebih 100 jemaah yang diimamkan oleh Imam 1 Masjid Darul Ehsan Mohamad Khairi Hussein.

    Jenazah kemudiannya akan dibawa ke Melaka untuk dikebumikan di Makam Pahlawan Melaka selepas Maghrib. 

    Allahyarham yang dilahirkan pada 2 Julai 1941, meninggalkan isteri Datin Seri Zainiah Hussein serta dua anak lelaki dan dua anak perempuan.

    Mohd Adib menyandang jawatan Ketua Menteri Melaka kelima dari 11 Julai 1978 hingga 26 April 1982, selain pernah memegang jawatan Menteri Penerangan dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Koperasi dan Usahawan.

    Sementara itu, ahli keluarga terdekat Allahyarham, Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi berkata semasa hayatnya, tokoh politik dan ahli korporat berpengalaman itu banyak menyumbang jasa terutamanya kepada orang kampung di Kampung Kesang Tua Jasin, Melaka. 

    “Beliau membantu ramai orang, beliau melakukan tugasnya dengan baik dan sangat dinamik dalam kerjanya… Allahyarham meninggalkan dunia politik sekitar 1988 sebelum beralih ke dunia perniagaan,” katanya.- BERNAMA

  • Penonton terkinja di luar kawalan, Kelantan tidak akan haramkan konsert

    Penonton terkinja di luar kawalan, Kelantan tidak akan haramkan konsert

    TINDAKAN sebahagian penonton Konsert Riuh yang terkinja-kinja dengan tidak dapat mengawal perasaan kerana mengikut rentak lagu adalah di luar kawalan kerajaan negeri Kelantan.

    Memetik laporan Astro Awani, Timbalan Menteri Besarnya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, apa yang berlaku semasa konsert berkenan mengecewakan kerajaan negeri, apatah lagi ia berlaku di Kelantan.

    Namun beliau menjelaskan, kerajaan Kelantan tidak berhasrat mengharamkan konsert di negeri yang juga dikenali sebagai Serambi Mekah, sebaliknya, garis panduan yang lebih ketat akan dikenakan.

    Menurut beliau, antara peraturan yang sedia dikenakan ialah, pengasingan penonton lelaki dan perempuan selain persembahan sopan serta tiada pergaulan bebas.

    “Kalau benda ini diikuti memang sudah memenuhi kehendak kerajaan, cuma reaksi penonton itu suatu benda yang kena diberi perhatian. Dan saya rasa benda ini pihak penganjurlah yang perlu beri perhatian.

    “Maknanya dalam sepanjang perjalanan program itu sepatutnya penganjur melalui jurucakap acara ataupun sesiapa sahaja boleh memberi peringatan kepada penonton supaya menjaga kelakuan,” katanya kepada Astro Awani di pejabatnya hari ini.

    Mohd Amar yang juga Naib Presiden Pas diminta mengulas beberapa video yang menyaksikan penonton Konsert Riuh pada malam Sabtu dan Ahad lepas menari mengikut rentak muzik.

    Video penonton yang berada di luar kawalan itu ditontonkan kepada beliau sebelum diminta mengulas mengenai perkara itu.

    Antara artis yang membuat konsert di Program Riuh Sokmo edisi keempat Kembara Riuh Keluarga Malaysia ke Kelantan ialah kumpulan Wings, Azumi Penthemik, Faizal Tahir dan lain lain lagi.

    Konsert diadakan di stadium mini Majlis Daerah Ketereh berlangsung bermula 16 hingga 18 September lepas.

    Pada masa depan, Mohd Amar berkata, pihak berkuasa tempatan juga perlu memastikan setiap konsep persembahan atau lagu-lagu dipilih dengan dengan lebih cermat.

    “Kalau lagu salah, lagu rock sebagai contoh, memang dia penyanyi dan penonton dia akan jadi macam terkinja-kinja. Tapi kalau lagu itu lagu yang biasa mungkin tak jadi terkinja kinja,” ujarnya.

    Mohd Amar berkata, tindakan penonton terkinja-kinja tempoh hari dianggap sebagai satu kesilapan dan meminta supaya ia perbetulkan pada masa akan datang.

    Sehubungan itu, kerajaan Kelantan, tegas Mohd Amar, akan melihat kembali syarat-syarat kebenaran mengadakan konsert dan persembahan di negeri ini termasuk pemilihan lagu bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berlaku lagi di masa depan.