Category: Umum

  • Ramai wanita Malaysia bersalin bulan Oktober – Khairy

    Ramai wanita Malaysia bersalin bulan Oktober – Khairy

    KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan pertambahan jumlah pesakit di wad bersalin secara bermusim terutamanya menjelang bulan September sehingga November setiap tahun.

    Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, kemuncak peningkatan kelahiran bagi kaum wanita ialah setiap kali bulan Oktober.

    Sehubungan itu kata beliau, pihaknya akan terus menggiatkan usaha untuk mengatasi masalah kekurangan katil di wad bersalin selain memperkemaskan operasi di wad bersalin membabitkan semua hospital di negara ini.

    “Ini fakta bukan alasan, kalau kita lihat trend bilangan kelahiran setiap tahun ia akan meningkat bermula pada bulan September hingga November. Apa sebabnya anda fikirkanlah.

    “Ia memang bermusim… ini fakta. Dan kemuncak peningkatan kelahiran adalah pada Oktober dan trend peningkatan ini berlaku di seluruh Malaysia,” katanya sebagaimana lapor Astro Awani.

    Bagaimanapun, jelas Khairy, KKM telah mengambil beberapa pendekatan bagi mengatasi masalah tersebut termasuk mempercepatkan proses discaj bagi setiap kes selain menambah jumlah katil di wad berkenaan di semua hospital yang dikenal pasti memerlukanya di seluruh negara.

    KKM juga, kata Khairy, turut mendapati tempoh menunggu anggota keluarga oleh pesakit untuk datang mengambil mereka juga menyumbang kepada kesesakan yang berlaku.

    Justeru, katanya, pihak KKM juga akan menyediakan ruang menunggu selepas discaj bagi membolehkan pesakit menunggu anggota keluarga mereka untuk mengambil pesakit berkenaan.

    Khairy berkata, jumlah kesesakan itu juga turut disebabkan faktor pesakit yang mempunyai penyakit-penyakit lain seperti tekanan darah tinggi, kolestrol tinggi selain beberapa penyakit berjangkit lain yang menyebabkan mereka berada di dalam wad bersalin untuk tempoh yang lebih lama.

    Faktor tersebut katanya menyebabkan pesakit tidak dapat melalui proses bersalin biasa dan memerlukan tambahan tempoh tertentu.

  • Hanya kerana kejar gaji lebih banyak – Mangsa sindiket kerja

    Hanya kerana kejar gaji lebih banyak – Mangsa sindiket kerja

    SEORANG mangsa penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja mendedahkan dia terperangkap dengan sindiket itu selepas terlalu mengejar gaji lumayan ditawarkan kumpulan berkenaan.

    Mangsa yang mahu dikenali sebagai Othman 30-an mendakwa, dia pasti tidak akan dapat pulang ke Malaysia setelah anggota kumpulan sindiket mengacukan pistol ke arahnya.

    “Saya tidak dapat bayangkan apa akan terjadi pada saya jika picu pistol itu ditarik. Tentunya saya tidak dapat pulang ke tanah air.

    “Ia memang pengalaman yang tidak dapat saya lupakan. Hanya kerana mengejar gaji yang lebih banyak, saya jadi mangsa sindiket, dipaksa jadi scammer untuk kegiatan perjudian. Saya doakan yang lain selamat,” katanya kepada Harian Metro.

    Othman menurut laporan itu lagi mendedahkan, tindakannya lari dari sebuah kawasan yang tidak diketahui untuk ke Kedutaan Besar Malaysia di Kemboja menyelamatkannya dan dia bersyukur masih selamat biarpun hidup terseksa sebelum itu.

    Katanya, sepanjang beberapa bulan di sana, dia terpaksa makan makanan yang diragui kerana tiada pilihan dan hanya diberi AS$100 (kira-kira RM460) biarpun dijanjikan AS$1,500 (kira-kira RM6,888).

    “Saya ditawarkan kerja berkaitan IT, namun saya dikatakan tidak mencapai piawaian yang sepatutnya. Kemudian saya disuruh melakukan kerja untuk menjadi scammer.

    “Saya diberikan senarai nombor untuk dihubungi, semua itu berkaitan judi dalam talian. Saya terpaksa lakukannya dan rakan-rakan lain juga melalui pengalaman yang sama,” katanya.

    Othman berkata, dia merasakan seolah-olah berada di dalam filem kerana tidak pernah membayangkan akan dipukul, dipijak oleh orang tidak dikenali dan diugut untuk ditanam hidup-hidup.

    Menurutnya, nasibnya baik kerana dibantu seorang lelaki yang membawanya ke kedutaan dan dari situ dia dibantu sehingga dapat pulang ke tanah air, baru-baru ini.

    “Saya berterima kasih di atas doa rakyat Malaysia dan Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO) yang membantu.

    “Saya doakan agar yang lain juga akan selamat dan dibawa pulang ke tanah air segera,” katanya.

    Sementara itu, kakak kepada seorang mangsa mendedahkan keluarganya pernah diminta wang tebusan lebih AS$10,000 (RM46,000) untuk membebaskan adik lelakinya yang berada di Laos hampir setahun lalu.

    “Adik berjaya menyelamatkan dirinya dan kini sudah berada di Kedutaan Malaysia di sana. Kami sekeluarga sangat bersyukur dan berharap dia dapat kembali segera ke negara.

    “Adik ke sana kerana terpedaya dengan tawaran kerja di sosial media, selepas ke sana kami pernah diminta wang tebusan untuk membawanya pulang, malah jumlahnya selalu meningkat,” katanya.

    Seorang lagi ibu mangsa yang enggan dikenali, berkata, dia terlalu risau dengan keadaan anak lelaki berusia 19 tahun yang masih berada di Myanmar dan dipaksa berkerja sebagai scammer.

    Katanya, dia dapat berhubung dengan anaknya sesekali dan terakhir pada bulan lalu apabila anaknya itu meminta dia melaporkan perkara itu kepada polis untuk menyelamatkannya.

    “Anak dakwa bangunan yang dia duduk dijaga ketat beberapa individu seperti tentera. Dia minta diselamatkan dan saya merayu kepada pihak kerajaan bantulah bawa pulang anak saya,” katanya.

  • Noraniza Idris lakar sejarah Malaysia Book Of Records!

    Noraniza Idris lakar sejarah Malaysia Book Of Records!

    PENYANYI yang popular dengan genre irama Malaysia dan etnik kreatif, Noraniza Idris mencipta sejarah baharu Malaysia Book Of Records (MBOR) menerusi bilangan penari paling ramai dalam persembahan Irama Malaysia.

    Portal hiburan Gempak melaporkan, berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, acara itu disertai oleh 565 orang terdiri daripada pelajar sekolah menengah sekitar Lembah Klang dan pelajar antarabangsa dari Universiti Putra Malaysia.

    Semua peserta menarikan tarian asas tradisional mengiringi persembahan Noraniza atau lebih mesra disapa Kak Ani menerusi lagu baharunya Ala Ewa-Ewa duet bersama Hazama serta dua buah lagu lain iaitu Intan Payung dan Dikir Puteri selama durasi tujuh minit.

    Kak Ani Terkesima

    Mengulas mengenai kejayaan melakar rekod terbabit, Kak Ani menghela nafas lega dan usahanya itu diharapkan dapat menjadi panduan buat generasi pelapis baharu dalam tarian tradisional.

    “Syukur Alhamdulillah saya sangat teruja dan terkesima, seronok sangat. Ia tak sama kita menang anugerah, kita dapat pengiktirafan MBOR seolah-olah kita melahirkan sesuatu yang baharu buat generasi pelapis.

    “Jadi, bila mereka hadir untuk mengikuti program ini kita berjaya dan satu kepuasan buat saya,” ujarnya yang ditemui usai acara itu semalam.

    Hampir tak jadi buat

    Tambah pelantun lagu Dikir Puteri itu lagi, biarpun hampir berputus asa berdepan pelbagai cabaran menjelang hari terbabit, Kak Ani bersyukur sentiasa mendapat sokongan daripada pelbagai pihak pada saat akhir.

    “Hari ini menjadi hari bersejarah juga buat saya terutama bila dapat bawakan lagu Irama Malaysia dalam sebuah persembahan tradisional asas yang terdiri daripada peserta yang zero, tak tahu apa-apa dalam seni dan budaya.

    “Kita ajar dalam tempoh lapan hari. Kalau nak ikutkan, memang tak jadi tapi saat akhir dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia, Majlis Kebudayaan Universiti Malaysia (MAKUM) dan sekolah antarabangsa telah memberi kerjasama tinggi untuk menjayakan program ini.

    “Memang kalau ikutkan hampir nak gugur jantung, sedih, macam-macam cabaran dan dugaan, Alhamdulillah berkat doa dan kesabaran kita berjaya selesaikan pengiktirafan kali ini,” tambahnya.

    Acara persembahan ini diiktiraf dan disahkan oleh Yang Teramat Mulia, Datuk Mohammed Abdullah, Undang Luak Johol, Penaung Program CSR Pelancongan Seni dan Budaya “Malay World Cultural Paradise”.

    Acara ini dianjurkan bersama Malaysia International Tourism Development Associasion (MiTDA) dan Persatuan Tatihseni Malaysia bertujuan untuk mengembalikan kegemilangan sektor pelancongan Malaysia ke tahap yang lebih membanggakan di kalangan masyarakat Malaysia khasnya dan luar negara yang berperanan sebagai aktiviti tarikan pelancong untuk terus bercuti ke Malaysia menerusi aktiviti-aktiviti seni dan kebudayaan Malaysia.

    Objektif utama acara mencipta rekod ini adalah untuk mengangkat semula Irama Malaysia sebagai salah satu agenda kempen #SaveIramaMalaysia agar terus dekat di hati generasi pelapis melalui aktiviti perbengkelan dan pensijilan aktiviti kokurikulum yang melibatkan merit peserta pelajar.

    Usaha ini adalah salah satu inisiatif Kak Ani selaku Pengerusi Jawatankuasa Perlaksanaan Program Mencipta Rekod Terbaharu merangkap pengasas & penggubal modul Program CSR Pelancongan Seni dan Budaya “Malay World Cultural Paradise” menerusi Persatuan Tatihseni Malaysia.

    Dalam masa sama, Kak Ani berharap agar acara seperti ini dapat dilaksanakan secara berterusan dengan lebih serius dan irama Malaysia tidak terus hilang dalam jiwa anak-anak generasi pelapis sebagai keberlangsungan usaha menyemai semangat patriotisme sebagai halwa jatidiri rakyat Malaysia secara tidak langsung.

  • Nik Abduh perjelas dakwaan salah guna kuasa

    Nik Abduh perjelas dakwaan salah guna kuasa

    SELEPAS tular surat yang meminta kemudahan perkhidmatan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) untuk majlis perkahwinan anaknya, Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz menjelaskan ia sebenarnya turut melibatkan jamuan rakyat di Masjid Tok Guru.

    Free Malaysia Today melaporkan, Nik Abduh berkata, ia juga menjadi majlis kesyukuran keluarga besarnya, diketuai bapa saudaranya, Nik Razi Nik Mat yang bersepakat untuk menganjurkannya bersama sejak pemergian bapa mereka, bekas menteri besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat, tujuh tahun lalu.

    “Selepas kematian ayahanda saya tujuh tahun lepas, inilah julung kalinya keluarga besar kami menganjurkan jamuan rakyat dengan jemputan kepada seluruh masyarakat setempat, terutama rakan taulan dan anak murid kepada ayahanda yang sememangnya dibayangi dengan memori kerinduan kepadanya.

    “Saya anggarkan sekitar 8,000 hingga 10,000 orang tetamu telah hadir dan lebih 30 kawah gulai telah dinikmati bersama selain juadah yang lain. Alhamdulillah..,” katanya di Facebook.

    Menurutnya, majlis itu turut dihadiri beberapa pemimpin PAS termasuk Mursyidul Am, Hashim Jasin, timbalannya yang merangkap Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob, Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Abdullah dan beberapa pimpinan utama parti terdiri daripada ahli Majlis Syura Ulamak PAS dan ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

    Beliau turut berterima kasih bukan sahaja kepada MPKB sebaliknya kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) serta polis yang menerima permohonan untuk turut sama membantu melancarkan majlis keraian dan jamuan rakyat dalam memastikan keselesaan pergerakan dan kelancaran lalu lintas yang agak sesak pada waktu puncak.

    “Pihak MPKB sebagaimana biasa turut menyediakan tambahan tong-tong sampah bagi memudahkan urusan pungutan dan pemindahan sisa pepejal bagi menjamin kebersihan (kesihatan) dan keceriaan kawasan sekolah dan masjid Tok Guru yang perlu dipulihkan dengan cepat,” katanya.

    Terdahulu, tular surat permohonan bertarikh 20 Sept daripada Nik Abduh kepada MPKB bagi memohon kemudahan majlis anaknya termasuk perkhidmatan pengurusan sisa pepejal, kerusi meja, hiasan bunga dan bantuan penguat kuasa bagi kawalan lalu lintas.

    Yang Dipertua MPKB, Rosnazli Amin kemudian mengesahkan menerima surat permohonan itu namun tidak membuat sebarang keputusan.

    Tindakan pemimpin PAS itu turut dipersoalkan Pengerusi DAP Lim Guan Eng yang menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Nik Abduh atas salah guna kuasa kerana meminta “kerjasama” daripada pihak berkuasa tempatan berkenaan untuk menyediakan kemudahan majlis perkahwinan anaknya.

  • Azmin wakili PM ke upacara pengebumian negara Shinzo Abe

    Azmin wakili PM ke upacara pengebumian negara Shinzo Abe

    MENTERI Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ke Upacara Pengebumian Negara bekas Perdana Menteri Jepun, mendiang Shinzo Abe, pada 27 Sept di Nippon Budokan, Tokyo.

    Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan upacara itu juga merangkumi sesi pertemuan bersama Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida, dengan kehadiran Ketua Setiausaha Kabinet Hirokazu Matsuno, dan Menteri Luar Yoshimasa Hayashi, diikuti pertemuan ringkas bagi menyampaikan ucapan takziah kepada balu mendiang Abe, Akie Abe, di Akasaka Palace, Tokyo.

    Abe, perdana menteri paling lama berkhidmat di Jepun, meninggal dunia selepas ditembak ketika menyampaikan ucapan dalam kempen pilihan raya di Nara pada 8 Julai.

    Semasa menjadi Perdana Menteri Jepun, Abe pernah melawat Malaysia sebanyak tiga kali dan memainkan peranan penting dalam meningkatkan hubungan dua hala termasuk mengukuhkan lagi Dasar Pandang ke Timur (DPT). 

    Lawatan terakhir beliau ke Malaysia selaku Utusan Khas Perdana Menteri Jepun bagi memperingati ulang tahun ke-40 DPT, menyaksikan Abe mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri dan majlis menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada Mac 2022.

    Pada 13 Julai, Perdana Menteri dan Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah menandatangani buku takziah di Kedutaan Jepun di Kuala Lumpur, menurut kenyataan itu.- BERNAMA

  • Sanggup berhenti kerja jaga ibu terlantar

    Sanggup berhenti kerja jaga ibu terlantar

    SEORANG anak tunggal sanggup berhenti kerja demi menjaga ibunya yang uzur setelah wanita itu kini hanya mampu terbaring susulan penyakit saraf yang dialaminya.

    Bagi Amin Nasrin Abdullah, 30, dari Kampung Tasek Permai, Rantau Panjang Kelantan itu, dia mahu menghabiskan masa menjaga ibunya, Halimah Mohd Yusof, 69, yang boleh boleh diserang sawan secara tiba-tiba.

    Atas faktor itu, Amin yang sebelum ini sudah bekerja selama 10 tahun di sebuah kedai serbaneka di pekan Rantau Panjang terpaksa mengambil keputusan berhenti kerja demi menjaga ‘syurga’ nya itu.

    Menurutnya, hidupnya selama ini hanya ditemani kasih sayang ibu sahaja selepas kedua-dua orang tuanya berpisah sejak dia masih kecil, jadi dia tidak sesekali menyesal berhenti kerja demi menjaga satu-satunya ‘harta’ di dunia yang masih ada.

    “Sekarang saya hanya bergantung harap kepada wang simpanan yang dijangka bertahan untuk tempoh dua bulan sahaja memandangkan ibu juga memerlukan lampin pakai buang dengan kos RM450 sebulan.

    “Sejujurnya saya sendiri buntu tetapi perlu terus kuat di depan ibu kerana dia hanya mampu terbaring serta perlu dibantu untuk makan, minum dan mandi. Hati saya juga luluh melihat ibu meronta kesakitan apabila diserang beberapa kali dalam sehari.

    “Saya tidak sampai hati meninggalkan ibu seorang diri di rumah dan mengambil keputusan berhenti kerja walaupun sebelum ini pernah mengupah orang menjaga ibu dengan bayaran RM600 sebulan,” katanya dalam laporan Berita Harian.

    Sementara itu, nasib Amin turut mendapat perhatian wakil badan bukan kerajaan (NGO) Thirdforce dibawah Yayasan Raja Shamri (YRS), Tuan Zaimah Raja Omar, yang tampil membantu daripada segi kewangan dan barangan keperluan selain turut memberi sokongan moral buatnya.

    Amin yang sentiasa murah dengan senyuman, berkata dia mempunyai saudara mara tetapi akur bahawa mereka juga ada kehidupan sendiri, justeru dia perlu kuat untuk menjaga ibunya kerana sebelum ini juga hidup mereka hanyalah berdua sahaja.

    “Di usia begini juga, ramai yang bertanya kenapa saya masih belum berkahwin? Saya hanya mampu tersenyum dan menerangkan bahawa buat masa ini hanya ibu yang menjadi keutamaan saya.

    “Sewaktu ibu masih kuat, dia yang membesarkan saya seorang diri dengan menorah getah dan melakukan pekerjaan lain tanpa erti penat. Sekarang adalah masa untuk saya membalas segala jasanya, biarpun bukan dengan kemewahan tetapi saya cuba menjaga sebaik mungkin.

    “Besar harapan saya supaya ibu boleh kembali sembuh kerana melihat keadaanya begini ada kalanya membuat saya menjadi sangat sedih, tetapi deminya saya cuba untuk terus kuat,” katanya yang mengakui sentiasa berdoa supaya dirinya terus kuat menghadapi dugaan itu.

    Menurutnya, ibunya menerima bantuan zakat dari Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sebanyak RM450 sebulan bagi kategori ibu tunggal dan digunakan sepenuhnya untuk rawatan dan membeli lampin pakai buang.

  • Belum dapat ilham untuk bubar Parlimen – PM

    Belum dapat ilham untuk bubar Parlimen – PM

    KETIKA spekulasi mengenai tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 semakin kencang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob belum membuat keputusan bila beliau akan membubarkan Parlimen. 

    Perdana Menteri berkata sebarang keputusan mengenai tarikh pembubaran Parlimen bergantung kepada perbincangan dalam kalangan pemimpin tertinggi UMNO pada 30 Sept ini. 

    “Pada 30 hari bulan, petang ada (mesyuarat) Top 5 dan biro politik, malam ada MT (Mesyuarat Tertinggi). Jadi kita tunggulah,” katanya pada sidang media di akhir lawatan kerja empat hari ke Amerika Syarikat. 

    Ismail Sabri, yang juga Naib Presiden UMNO, berkata beliau belum mendapat maklumat mengenai agenda mesyuarat MT UMNO. 

    “Saya pun tak tahu apa agenda MT dan sebagainya. Jadi malam tu lah kita akan bincang,” katanya. 

    Top 5 merujuk kepada Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden UMNO.

    Ditanya sama ada beliau sudah mendapat ilham bila akan membubarkan Parlimen semasa berada di bandar raya ini dan adakah ia semakin dekat, Ismail Sabri menjawab “belum lagi.” 

    “Saya berjalan di sekitar Central Park dan kagum dengan bagaimana kawasan hijau seluas 832 ekar di tengah-tengah bandar raya ini dikekalkan dan dipulihara” katanya. 

    Perdana Menteri berkata jika di Malaysia, pasti akan ada cadangan di atas meja beliau untuk membangunkan kawasan seumpama itu. 

    “Saya mendapat inspirasi bagaimana untuk memulihara kawasan hijau kita. Namun untuk pilihan raya, saya tidak mendapat apa-apa inspirasi,” katanya sambil tersenyum. – BERNAMA

  • Rakyat Malaysia ditahan di Mesir dibebaskan

    Rakyat Malaysia ditahan di Mesir dibebaskan

    SEORANG mahasiswa rakyat Malaysia di Universiti Al-Azhar yang sebelum ini ditahan pihak berkuasa Mesir sudah dibebaskan pada Sabtu.

    Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah dalam satu kenyataan malam ini berkata, mahasiswa itu berada dalam keadaan baik dan akan meneruskan pengajian di universiti tersebut.

    Katanya, Kementerian Luar bekerjasama rapat dengan Kementerian Luar Republik Arab Mesir melalui Kedutaan Malaysia di Kaherah serta Kedutaan Republik Arab Mesir di Kuala Lumpur bagi memastikan kebajikan mahasiswa itu terpelihara.

    “Kerajaan Malaysia juga merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan kepada Kerajaan Republik Arab Mesir atas kerjasama erat dalam perkara ini,” katanya.

    Saifuddin berkata kementerian sentiasa prihatin akan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di luar negara. Beliau juga menasihatkan rakyat Malaysia sentiasa peka dan mematuhi undang-undang negara tuan rumah di mana mereka berada

  • Rombongan PM ke New York 30 orang? Berapa kos? PMO mesti jawab – Salahuddin

    Rombongan PM ke New York 30 orang? Berapa kos? PMO mesti jawab – Salahuddin

    KERAJAAN digesa memberi penjelasan berhubung jumlah rombongan yang terlalu ramai mengikut Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke New York.

    Gesaan itu dibuat Timbalan Presiden Parti Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang menyifatkan jumlah pegawai dan pemimpin politik UMNO dibawa mengikut PM menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terlalu ramai.

    “Pejabat perdana menteri mesti jawab secara rasmi kos rombongan UMNO ini,” kata Salahuddin dalam ciapan di akaun Twitternya.

    Terdahulu, portal Malaysiakini mendedahkan beberapa nama pemimpin UMNO yang mengikuti PM ke New York.

    Dalam pada itu, pemimpin veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad memberi sindiran pedas berhubung isu rombongan beberapa pemimpin UMNO yang mengikut rombongan tersebut.

    Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu memuat naik hantaran menyindir kepada rombongan yang bersama Ismail Sabri ke Amerika Syarikat.

    “Takkan mesyuarat War Room UMNO Malaysia diadakan di New York sempena UNGA (Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-77).

    “Tak betullah berita di medsos (media sosial) kononnya Naib Presiden kita, Datuk Seri Khaled Nordin dan SUA (Setiausaha Agung UMNO), Datuk Seri Ahmad Maslan, pergi ke New York.

    “Tahniah kerana meletakkan kerja parti di atas syiok sendiri berada di New York,” katanya dalam hantaran di Facebook, lapor SatuBerita.

    Khaled dan Ahmad sebelum ini dikatakan mengikut Ismail Sabri ke Amerika Syarikat, bagaimanapun dalam hantaran dimuat naik Shahrir menunjukkan kedua-dua mereka menghadiri mesyuarat ‘war room’ di PWTC semalam.

    Malaysiakini menamakan lapan pemimpin UMNO yang mengikut Ismail Sabri, antaranya Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Exco Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Koperasi dan Usahawan Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusof; Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan, bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said; Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Jefridin Atan; Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Hasan Arifin; Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor dan Timbalan Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Othman Aziz.

    Keberadaan para pemimpin UMNO itu di bandar raya New York diketahui umum apabila mereka sendiri menguar-uarkannya melalui hantaran di media sosial. Antara pemimpin yang memuat naik gambar masing-masing di Facebook ialah Wan Rosdy, Ab Rauf, dan Jefridin.

    Penyertaan pemimpin UMNO dalam rombongan Ismail Sabri itu mengundang spekulasi kerana ia berlaku ketika pemimpin utama parti berkenaan mendesak Ismail Sabri supaya segera mengadakan pilihan raya umum (PRU).

    Ismail Sabri berada di New York bagi menyampaikan ucaptama di PBB yang berlangsung semalam.

  • Gerai Prihatin anjuran Bersatu bantu ringan beban rakyat

    Gerai Prihatin anjuran Bersatu bantu ringan beban rakyat

    GERAI Prihatin anjuran parti Bersatu  membantu meringankan beban rakyat Malaysia yang kian dihimpit masalah ekonomi sejak kebelakangan ini.

    Tinjauan SatuBerita di Gerai Prihatin mendapati, rata-rata pengunjung yang ‘menyerbu’ gerai-gerai tersebut berpuas hati dengan inisiatif parti itu dalam memastikan rakyat terus dibela dan menangani kos sara hidup yang mencabar ketika ini.

    Seorang pengunjung Gerai Prihatin, Muhd. Hishamudin, 43 berkata, gerai prihatin wajar diteruskan dan boleh diperbanyakkan lagi di kawasan pedalaman.

    “Kalau harga saya boleh kata jimat-sejimatnya, kalau belanja 10 ringgit boleh beli banyak barang disini, tapi kalau di kedai-kedai luar ia mungkin akan makan poket. Jadi insiatif ini yang sebenarnya sangat diperlukan rakyat,” katanya kepada SatuBerita.

    Manakala seorang lagi pengunjung, Luqman Zulkifli, 34, berkata, insiatif membantu rakyat tidak kira dalam apa cara sekali pun harus diteruskan kerana masih ramai yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

    “Ramai juga yang menganggur dan sebagainya, jadi untuk situasi sekarang, bantuan seperti makanan sangat dihargai rakyat kerana yang penting perut perlu dijaga, bukan duit semata-mata,” katanya.

    Sementara itu, seorang suri rumah, Khuzaimah Awang, 43, berterima kasih kepada pihak Bersatu yang prihatin terhadap masalah yang dihadapi rakyat dengan menyediakan pelbagai insiatif meringankan beban rakyat.

    “Saya mahu program ini diteruskan untuk bantu rakyat yang sedang kesusahan ditambah pula dengan kos sara hidup makin tinggi.

    “Terima kasih kepada pihak Bersatu kerana sangat prihatin terhadap isu rakyat melalui pelbagai inisiatif, sumbangan demi kebaikan bersama untuk meringankan beban rakyat,” katanya.

    Manakala bagi Siti Masyitah, 32, beliau sekeluarga amat gembira dan bersyukur dengan jualan prihatin yang murah lebih-lebih lagi dengan harga barangan keperluan di pasaran luar naik.

    “Ia sangat –sangat mebantu rakyat yang memang sedang susah. Dengan hanya register hari ini, saya dapat beras, telur dan extra sayur lagi, Alhamdulillah,” katanya yang hadir mengunjungi Gerai Prihatin bersama suaminya dan anak kecilnya. – SB