Category: Umum

  • KPLB perkenal Anugerah Institusi Pendidikan TVET @KPLB

    KPLB perkenal Anugerah Institusi Pendidikan TVET @KPLB

    BUAT julung kalinya tahun ini, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperkenalkan Anugerah Institusi Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)

    Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, anugerah itu sebagai pengiktirafan dan penghargaan atas usaha serta pencapaian cemerlang institusi, tenaga pengajar, pelajar dan alumni program TVET@KPLB.

    “Anugerah TVET@KPLB juga diwujudkan bagi memberi galakan untuk menaikkan motivasi dan mendorong pencapaian serta sumbangan yang lebih aktif oleh institusi, tenaga pengajar, pelajar dan alumni.

    “Saya amat berbangga dengan segala pencapaian yang telah dicatat oleh semua Institusi TVET di bawah KPLB di dalam pelbagai bidang,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Anugerah Institusi Pendidikan TVET@KPLB, hari ini.

    Turut hadir, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun, Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf dan Pengerusi GiatMARA, Datuk Din Adam.

    Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, sejumlah 280 Institusi pendidikan TVET KPLB mengambil bahagian dalam empat kategori anugerah yang dipertandingkan.

    Kategori tersebut adalah Anugerah Institusi Terbaik, Pengajar Terbaik, Pelajar Terbaik dan Ikon TVET@KPLB.

    Setiap pemenang menerima hadiah wang tunai, trofi dan Sijil penghargaan.

    Pada majlis itu, Institut Kemahiran MARA (IKM) Kota Kinabalu, Sabah dinobatkan sebagai Institusi TVET Terbaik Peringkat Sijil.

    Selain itu, Mara Japan Industrial Institute (MJII), pemenang kategori Institusi TVET Terbaik Peringkat Diploma dan UniKL MIIT dianugerahkan sebagai Institusi TVET Terbaik Peringkat Ijazah.

    Sementara itu, GiatMara hari ini menerima pengiktirafan sebagai Penyedia Latihan TVET Terbaik Keseluruhan Bagi Anugerah Kecemerlangan Sempena Anugerah Pendidikan & TVET Malaysia 2022, anjuran Education-TVET Asia.

    “Saya juga ingin mengucapkan selamat maju jaya dan semoga membawa balik kejayaan kepada dua pelajar GiatMara yang sedang mewakili negara ke pertandingan World Skills Competition (WSC) 2022 Special Edition di Helsinki, Finland dari 16 hingga 25 Oktober ini.

    “Seorang dari GiatMara Prima Tasek Gelugur, Pulau Pinang yang bertanding dalam kategori Terapi Kecantikan dan seorang lagi dari GiatMara Kuala Lumpur yang bertanding dalam kategori Teknologi Fesyen”, kata Mahdzir.

  • Tahap keselamatan negara terjamin – Ismail Sabri

    Tahap keselamatan negara terjamin – Ismail Sabri

    TAHAP keselamatan negara adalah terjamin, dan rakyat tidak perlu bimbang walaupun ada dakwaan wujudnya agensi perisikan luar yang aktif di negara ini.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memberi jaminan itu berkata beliau masih menunggu laporan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung dakwaan agensi perisikan luar yang ada kaitan dalam kes penculikan warga Palestin di Malaysia.

    “Isu ejen Mossad saya belum dapat laporan terperinci daripada MKN dan polis. Begitu juga warga Israel (yang masuk ke Malaysia menggunakan passport lain) saya tunggu laporan.

    “Saya akan jumpa Ketua Polis Negara (Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani) dan MKN serta semua agensi berkaitan untuk saya dapatkan laporan,” katanya kepada media selepas perasmian Pesta Mega Penjaja, Peniaga dan Usahawan Kecil di Dataran Merdeka di sini hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendedahan sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris yang melaporkan agensi perisikan Israel, Mossad merupakan dalang yang mengupah warga tempatan untuk menculik seorang warga Palestin, Omar Z. M. Albelbaisy Raeda.

    Semalam Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata pihaknya juga belum dapat mengesahkan penglibatan agensi luar dalam kes penculikan itu seperti yang didakwa akhbar berkenaan.

    Pada 5 Okt lepas, media melaporkan polis menyelamatkan mangsa berumur 31 tahun itu sehari selepas dia diculik oleh individu yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire.

    Mangsa diselamatkan selepas polis menahan 18 individu dalam operasi berasingan di Kuala Langat, Ampang dan Beranang di Selangor serta di Melaka bermula 29 Sept hingga 4 Okt.

    Jumaat lepas, 11 individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan menculik Omar bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.

    Ditanya mengenai pembahagian kerusi UMNO bagi Pilihan Raya Umum ke-15, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata ia masih dalam perbincangan dengan parti komponen Barisan Nasional (BN).

    “Perbincangan masih diteruskan untuk memilih calon-calon daripada UMNO. Pengerusi Perhubungan Negeri dah pun bentangkan pandangan mereka pada minggu lepas jadi kita akan buat penilaian,” katanya. – BERNAMA

  • Bekas ADUN Sekong meninggal dunia dalam pesawat

    Bekas ADUN Sekong meninggal dunia dalam pesawat

    BEKAS ADUN Sekong, Samsudin Yahya meninggal dunia ketika dalam penerbangan pulang dari ibu negara ke Sabah.

    Berita duka itu dikongsi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Ketua UMNO negeri, Datuk Bung Moktar Radin dalam catatan Facebook mereka.

    “Semoga Allah ampunkan segala dosa Allahyarham Samsudin Yahya yang baru saja pergi menghadap ilahi. Semoga Allah terima segala amalan dan mengangkat darjat Allahyarham disisi-Nya,” tulis Hajiji, lapor FMT.

    “Takziah kepada Junaidah Aji dan seluruh keluarga, diharap tabah menerima kehendak Allah,” tulis Bung.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd mengesahkan Samsudin meninggal dunia di dalam pesawat, ketika dalam penerbangan pulang dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu.

    Bekas Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi itu pernah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Sekong selama tiga penggal sebelum kalah pada PRU14.

  • Bos Mydin harap Caprice tak terasa hati, luah hasrat mahu kerjasama

    Bos Mydin harap Caprice tak terasa hati, luah hasrat mahu kerjasama

    PENGARAH Urusan Mydin, Datuk Dr. Ameer Ali Mydin berharap Caprice tidak terasa hati dengan pengendali laman sosial pasar raya berkenaan berhubung ciapan yang dikatakan berunsur penghinaan.

    Ameer Ali berkata, status ditulis pengendali Twitter rasmi Mydin itu sama sekali tidak mengaitkan nama penyanyi berkenaan dan hanya menulis berdasarkan isu semasa.

    “Apa yang kita buat itu tiada kena mengena sesiapa, kita tak hashtag dia… tidak pakai nama dia pun tapi mungkin dia terasa.

    “Dalam Twitter ini kadang kala bergurau senda, biasalah budak-budak (pekerja) saya main (tulis) apa yang trending. Jadi apa ditulis tidak perlu diambil hati,” katanya memetik laporan mStar.

    Tangkap layar hantaran mencetuskan keinginan Caprice saman Mydin

    Mengulas lanjut, Ameer Ali berkata, pihak Caprice masih lagi belum menghantar apa-apa dokumen mengenai isu berkenaan.

    “Dia pun belum menghantar apa-apa. Kami bukan bergaduh, niat kita dua-dua baik nak bantu orang. Jangan ada ego atau marah pada sesiapa,” katanya lagi.

    Sementara itu, Ameer Ali meluahkan hasrat mahu berkerjasama dengan penyanyi rap berkenaan memandangkan masing-masing mempunyai tujuan yang sama iaitu ingin membantu mereka yang kurang berkemampuan.

    “Kami berterima kasih dengan Caprice sebab dia banyak beli barang dekat Mydin dan dia buat kerja kebajikan, jadi saya juga akan menawarkan 1 kilogram paket gula untuk Caprice bantu setiap golongan yang memerlukan.

    “Kalau boleh kita nak bekerjasama untuk kerja amal… pada saya ini satu kerja yang baik, daripada kita tweet sana-sini baik kita bekerjasama. Niat dia pun baik, nak tolong B40 sama dengan niat, kita baik bergabung,” tambahnya.

    Sebelum ini, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli menyuarakan hasrat untuk menyaman pihak Mydin selepas memuat naik satu kenyataan yang dikatakan berunsur sindiran.

    “Mula-mula ingat nak beli tea je, sekali terbeli cap dengan rice,” tulis pengendali Twitter berkenaan.

    Sementara itu, Caprice menerusi hantaran terbaharu di Instastory memberitahu dia akan meneruskan saman terhadap Mydin.

    “Saya tidak pernah sangka seseorang yang kami hormati akan merendahkan diri untuk membiarkan pasukan media sosialnya menyindir saya.

    “Macam mana nak nafikan sedangkan ruang komen memang tag/ tau menunjukkan kepada saya,” katanya.

  • 2.1 juta warga asing bekerja di Malaysia sehingga Jun lalu

    2.1 juta warga asing bekerja di Malaysia sehingga Jun lalu

    JABATAN Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan 2.1 juta warga asing yang bekerja dalam pelbagai bidang, berada di Malaysia setakat Jun tahun ini.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata sejumlah 1.9 juta direkodkan DOSM pada tahun lalu, manakala 2.1 juta pula direkodkan pada 2020.

    “Kita tidak nafikan negara masih memerlukan pekerja warga asing dalam beberapa sektor antaranya pembinaan, perladangan, pembuatan dan domestik. Kita masih memerlukan kira-kira 15 peratus daripada jumlah tenaga kerja dan sekarang ini menghampiri angka tersebut.

    “Bagaimanapun, kita perlu pastikan rakyat tempatan lebih ramai berminat dalam kerja-kerja perladangan atau pembinaan umpamanya, dengan menyediakan pelbagai kemudahan yang lebih baik bagi menarik minat mereka seterusnya dapat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja warga asing,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Statistik 2022 sempena sambutan Hari Statistik Negara (HSN) 2022 dan Sedekad Institut Latihan Statistik Malaysia (ILSM), yang turut dihadiri Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin di sini hari ini.

    Dalam perkembangan lain, Mustapa berkata DOSM mengeluarkan lebih 500 jenis statistik perangkaan setahun, dalam membantu  negara mengurus tadbir di semua petingkat terutamanya dalam bidang ekonomi dan sosio ekonomi.

    Beliau berkata statistik perangkaan itu digunakan pelbagai pihak seperti jabatan dan agensi kerajaan,  Bank Negara Malaysia, para pelabur serta pelbagai pertubuhan bukan kerajaan dalam membuat perancangan masing-masing.

    “Jadi, saya berharap lebih 3,000 kakitangan DOSM lebih bermotivasi dan berintegriti dalam menjalankan tugas mereka, bagi memastikan statistik yang dikeluarkan adalah tepat dan mengikut masa yang telah ditetapkan,” katanya.

    Dalam pada itu, Mustapa berkata Sambutan HSN yang disambut kali keenam penganjurannya bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat supaya dapat merasai betapa pentingnya statistik sebagai ukuran penentuan hidup yang lebih baik dan sempurna.

    Pelbagai program diadakan sepanjang karnival yang bermula hari ini sehingga Sabtu antaranya pelbagai pameran dan jualan diadakan serta Forum Perdana Ehwal Islam Diraja yang mana Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat untuk bersama-sama dengan masysrakat setempat pada malam ini. – BERNAMA

    Mustapa Mohamed, warga asing, DOSM, statistik, ILSM, Karnival Statistik

  • Pertambahan 600,000 pengundi baharu, Sabah dapatkan penjelasan SPR

    Pertambahan 600,000 pengundi baharu, Sabah dapatkan penjelasan SPR

    SABAH akan mendapatkan maklumat dan taklimat daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung peningkatan mendadak jumlah pengundi muda baharu susulan pendaftaran automatik Undi18.

    Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan, peningkatan mendadak yang dibangkitkan itu perlu dipandang serius selain mendapat penjelasan daripada SPR.

    “Sekarang ini kita masih melihat ataupun mengetahui daripada beberapa personaliti yang menyatakan rasa keraguan mereka atas lonjakan pengundi-pengundi secara automatik ini.

    “Jadi perlu ada penerangan lanjut daripada SPR kerana sekarang sistemnya ialah untuk daftar secara automatik. Apabila dia 18tahun, dia akan didaftarkan secara automatik,” katanya, lapor Astro Awani.

    Hajiji dalam laporan itu bagaimanapun menjelaskan, beliau tidak boleh mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.

    Selain Ketua Menteri, beberapa pemimpin politik seperti Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Maximus Ongkili; Datuk Seri Jeffrey Kitingan (Presiden Star) dan Datuk Seri Yong Teck Lee (Presiden SAPP) meminta SPR menyiasat perkara ini.

    Mereka mendakwa terdapat lebih 600,000 pengundi baharu berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 pada 2020.

  • PRU-15: Lebih 1.3 juta belia usia 18 hingga 20 tahun mengundi kali pertama

    PRU-15: Lebih 1.3 juta belia usia 18 hingga 20 tahun mengundi kali pertama

    SERAMAI 1,393,549 pemilih berusia 18 hingga 20 tahun di seluruh negara layak mengundi buat kali pertama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), 19 November ini.

    Mengikut statistik umur Daftar Pemilih yang dikemas kini sehingga 9 Oktober, seramai 86,914 pengundi berusia 90 tahun ke atas.

    Bagi lingkungan umur 21 hingga 29 tahun, seramai 4,614,429 orang pengundi layak.

    Selain itu, bagi pengundi berusia 30 hingga 59 tahun pula, terdapat seramai 11,354,094 orang serta pemilih warga emas pula adalah seramai 3,724,652 orang.

    Bagi pecahan negeri pula, Selangor merekodkan bilangan pemilih tertinggi iaitu 3,677,848 orang diikuti Johor, 2,616,575 orang.

    Pemilih di Perak adalah 2,036,872, Sarawak (1,943,074), Sabah (1,689,074), Kedah (1,575,805), Kelantan (1,404,073), Pulau Pinang (1,226,626), Kuala Lumpur (1,151,407) dan Pahang (1,136,944).

    Pengundi di Terengganu pula adalah 992,856, Negeri Sembilan (850,865), Melaka (657,324), Perlis (195,927), Labuan (44,484) dan Putrajaya (42,881).

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan seramai 21,173,638 orang pengundi pada PRU-15 kali ini, lapor Sinar Harian.

    Hari pengundian PRU-15 akan ditetapkan pada 19 November depan manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 5 dan 15 November 2022.

  • Dihalang kerajaan Selangor, penganjuran karnival tetap diteruskan demi usahawan – PM

    Dihalang kerajaan Selangor, penganjuran karnival tetap diteruskan demi usahawan – PM

    WALAUPUN berhadapan kesukaran kerana tidak mendapat persetujuan kerajaan negeri, penganjuran Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia Selangor tetap dilangsungkan kerana ia adalah untuk kepentingan golongan usahawan di Selangor.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau difahamkan penganjuran karnival sehari itu berdepan kesukaran kerana kerajaan Selangor tidak bersetuju membenarkan penggunaan tapak karnival itu di Dataran Eco Grandeur, Puncak Alam di sini.

    Namun, katanya kepada pemberita selepas merasmikan karnival itu hari ini, karnival itu dapat dilangsungkan kerana tapak berkenaan adalah milik swasta.

    “Alhamdulillah, tapak yang digunakan ini tapak swasta dan kita dapat kebenaran dari tuan tanah. Jadi saya harap mana-mana kerajaan negeri sekalipun, kalau untuk kepentingan penjaja serta usahawan kecil, elok kita bagi ruang kepada semua,” katanya.

    Terdahulu dalam ucapannya, Ismail Sabri berkata penganjuran karnival tersebut adalah untuk memberi ruang khususnya kepada usahawan dan peniaga kecil berniaga dan bukan untuk tujuan berkempen. 

    “Karnival keusahawan ini memberi ruang kepada usahawan untuk pamer produk dan berniaga. Program yang baik sepatutnya disokong semua pihak termasuklah kerajaan negeri,” katanya.

    Ismail Sabri berkata penganjuran karnival itu juga merupakan manifestasi tanggungjawab kerajaan dalam menyediakan ekosistem keusahawanan yang holistik serta kondusif.

    Perdana Menteri percaya bahawa pelaksanaannya akan dapat memperkasakan golongan usahawan dan koperasi yang ada untuk terus berkembang maju serta berdaya saing dalam bidang perniagaan.

    “Alhamdulillah, saya difahamkan program ini berjaya menghimpunkan sebahagian warga Selangor terdiri daripada usahawan, koperasi, penjaja, peniaga kecil dan trak makanan yang menawarkan pelbagai produk dan barangan pada harga berpatutan.

    “Saya ucapkan tahniah kerana dimaklumkan bahawa sasaran kehadiran hari ini hanya 4,000 orang tapi jelas kehadiran menghampiri 10,000 orang. Bukan mudah untuk mengumpulkan seramai ini terutama hari ini hari bekerja,” katanya.

    Turut hadir Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Tan Sri Noh Omar.  – BERNAMA

  • Agong ingatkan jangan fitnah, provokasi semasa kempen PRU-15

    Agong ingatkan jangan fitnah, provokasi semasa kempen PRU-15

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru calon dan penyokong parti-parti politik yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) mengamalkan pendekatan berhemah sepanjang tempoh berkempen.

    Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan, Seri Paduka Baginda turut menasihatkan semua calon bertanding secara sihat dengan mengelakkan kempen menyerang dan akur dengan garis panduan, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Seri Paduka Baginda mengingatkan bahawa dalam kehangatan dan keghairahan berkempen, nilai-nilai murni dan adab perlu dijaga oleh calon dan penyokong mereka dalam kehangatan berkempen.

    “Jauhkanlah sifat fitnah, provokasi, caci-mencaci dan cela-mencela dengan memburuk dan memperlekehkan sesiapa sahaja semasa berkempen.

    “Seri Paduka Baginda menzahirkan bahawa sifat-sifat tersebut adalah tidak bertepatan dengan nilai-nilai murni.

    “Sifat-sifat tersebut juga bukan sahaja tersasar daripada landasan kemanusiaan yang sebenar, malah boleh mencetuskan kekacauan serta keadaan huru-hara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    SPR sebelum itu memaklumkan, PRU-15 akan diadakan pada 19 November nanti selepas 14 hari berkempen bermula selepas penamaan calon pada 5 November.

    Mengulas lanjut, Ahmad Fadil berkata, pada hemat Seri Paduka Baginda, kerjasama dari semua pihak amat penting di samping menghormati dan menjunjung tinggi institusi kehakiman negara serta sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dengan menjadikan kerjasama politik antara parti lebih harmoni.

    Al-Sultan Abdullah turut mengajak seluruh rakyat bersama mendoakan semoga perjalanan PRU-15 kelak lancar dan selamat dan semoga rakyat dan negara sentiasa diberkati, dirahmati serta dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah.

    Pada kenyataan sama, Ahmad Fadil juga memaklumkan, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima menghadap Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Hazani bin Ghazali, di Istana Negara pada Rabu.

    “Dalam sesi menghadap itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima sembah taklimat berkenaan persiapan pihak Polis Diraja Malaysia dan agensi yang berkait bagi tempoh perjalanan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan banjir, yang melibatkan seramai 99,133 pegawai dan anggota,” katanya lagi.

  • Calon PM BN: Tiada siapa mampu langgar keputusan PAU, MKT

    Calon PM BN: Tiada siapa mampu langgar keputusan PAU, MKT

    UMNO tetap dengan keputusannya menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri jika Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, ketetapan berkenaan bukan dibuat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tetapi telah diputuskan pada Perhimpunan Agong UMNO (PAU) yang lalu.

    “Kuasa tertinggi dalam parti ialah PAU yang telah meluluskannya. Begitu juga Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

    “Jadi adakah kemungkinan beberapa pihak yang nak langgar keputusan PAU dan MKT. Saya rasa tak mampu, tak boleh,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian selepas hadir menjadi panelis Wacana Sinar Harian Siri 370 bertajuk ‘Demi rakyat atau kuasa’ yang disiarkan Sinar Harian, kelmarin.

    Katanya lagi, isu poster boy BN sewaktu PRK Johor yang mahu mengekalkan Datuk Hasni Mohammad sebagai Menteri Besar tidak boleh dijadikan sandaran dalam PRU15.

    “Isu Datuk Hasni tidak jadi Menteri Besar Johor tidak seharusnya dijadikan polemik bahawa perkara sama akan berlaku terhadap Datuk Seri Ismail Sabri,” katanya.