Category: Umum

  • 31,600 jemaah haji Malaysia bergerak ke Arafah esok

    31,600 jemaah haji Malaysia bergerak ke Arafah esok

    SERAMAI 31,600 jemaah haji mula bergerak ke Arafah esok bagi menyempurnakan ibadah yang paling penting dalam Rukun Islam kelima itu.

    Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, jemaah haji akan bergerak dari Mekah ke Arafah bermula jam 7 pagi hingga selepas Zohor melibatkan laluan sejauh 21.9 kilometer.

    Katanya, sebanyak 21 bas disediakan untuk membawa 3,000 jemaah dengan keseluruhannya 63 trip perjalanan untuk satu maktab.

    “Petugas akan buat pemeriksaan di 12 penginapan jemaah, di setiap tingkat dan juga di Masjidilharam supaya tiada jemaah yang tertinggal,”katanya pada taklimat operasi Masyair di Ibu Pejabat Tabung Haji di Abraj Al Janadriyah.

    Wartawan SINAR HARIAN melaporkan dari Mekah, pada tahun ini kira-kira tiga juta jemaah haji dari seluruh dunia berada di Arafah, Mudzalifah dan Mina bagi menyempurnakan ibadah haji masing-masing.

    Syed Saleh berkata, pada hari wukuf iaitu Selasa 9 Zulhijjah, jemaah haji akan mengikuti khutbah Arafah dan memanfaatkan waktu wukuf dengan ibadah masing-masing seperti doa,berzikir dan membaca al-Quran.

    Kata beliau, sebelum Maghrib kira-kira jam 6.30 petang semua jemaah haji perlu berada di dalam bas yang ditetapkan untuk bergerak ke Mudzalifah melibatkan jarak lapan kilometer.

    “Apabila masuk Maghrib, jemaah akan dibawa dengan tujuh bas secara ulang-alik dari Arafah ke Mudzalifah dan perlu menunggu separuh malam pada 11.45 malam.

    “Duduk seketika di Mudzalifah pada separuh malam dikira memenuhi syarat bermabit seperti yang ditetapkan pakar rujuk,” katanya.

    Tambah Syed Saleh, dari Mudzalifah jemaah akan bergerak ke Mina dengan jarak perjalanan tujuh kilometer menggunakan sembilan bas selepas jam 11.45 malam.

    “Jemaah haji akan berada di Mina pada 10 Zulhijjah hingga 12 Zulhijjah atau sehingga 13 Zulhijjah, berpandukan kepada Nafar Awal (melontar jamrah pada dua dari tiga hari tasyrik) dan Nafar Thani (melontar bagi ketiga-tiga hari tasyrik).

    Kerajaan Arab Saudi menetapkan hari Wukuf yang menjadi kemuncak haji, adalah pada Selasa, ini, sementara Hari Raya Aidiladha akan disambut pada Rabu.

  • Kerajaan setuju tiada kenaikan tarif elektrik sehingga 31 Disember – Nik Nazmi

    Kerajaan setuju tiada kenaikan tarif elektrik sehingga 31 Disember – Nik Nazmi

    KERAJAAN  bersetuju untuk tidak menaikkan tarif elektrik kepada hampir semua pengguna domestik berikutan pelarasan tarif elektrik di Semenanjung melalui mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember ini.

    Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata pada masa sama ia juga membabitkan pengguna bukan domestik dalam kategori tarif voltan rendah.

    “Pengguna domestik dengan penggunaan elektrik bulanan 1,500 kWj dan ke bawah tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik.Ini adalah 99 peratus daripada pengguna domestik di Semenanjung.

    “Pengguna bukan domestik kategori tarif voltan rendah (tarif B dan D), tarif pertanian spesifik (tarif H, H1 dan H2) tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik di mana surcaj ICPT pada kadar 3.7 sen/kWj dikekalkan.

    “Dalam erti kata yang lain,Perniagaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) termasuk restoran, kedai runcit, bakeri, bengkel-bengkel kecil, petani, penternak, pekebun dan lain-lain perniagaan seumpamanya juga tidak akan mengalami sebarang kenaikan tarif elektrik,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan pelarasan tarif elektrik di Semenanjung bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2023, lapor Berita Harian.

    Nik Nazmi berkata, pengguna domestik dengan penggunaan elektrik tinggi melebihi 1,500 kWj atau bersamaan bil elektrik minimum RM708 sebulan akan dikenakan surcaj pada kadar 10 sen/kWj.

    Katanya, ia selaras hasrat kerajaan menerusi Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) supaya subsidi elektrik dilaksana secara bersasar bermula Julai ini.

    “Dianggarkan seramai 83,000 pengguna iaitu satu peratus pengguna domestik akan mengalami kenaikan bil elektrik bulanan minimum sebanyak RM187 (25 peratus).

    “Namun satu peratus ini bukan golongan T20 tapi mereka yang menggunakan elektrik dengan penggunaan tinggi.

    “Walaupun berlaku kenaikan bagi pengguna domestik kategori ini, kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak RM58 juta khas untuk kategori ini memandangkan surcaj ICPT tidak dilepaskan sepenuhnya.

    “Pengguna boleh melihat jumlah subsidi yang diberikan oleh kerajaan dalam bil elektrik bulanan masing-masing,” katanya.

  • Hafaz Quran pada usia 14 tahun, Naufal sempat jadi imam sebelum hilang – bapa

    Hafaz Quran pada usia 14 tahun, Naufal sempat jadi imam sebelum hilang – bapa

    MUHAMAD Naufal Adzimi Mohd Harris, 17, yang hilang di kawasan kebun getah di Kampung Tanjong Sejarah, Kampung Tawai di Gerik, sejak tiga hari lepas, merupakan antara pelajar terbaik di maahad tahfiz tempat beliau belajar dan berjaya menghafal 30 juzuk al-Quran pada usia 14 tahun.

    Bapanya Mohd Harris Muhamed, 46, berkata Muhammad Naufal Adzimi yang mesra dipanggil Naufal, pada Selasa malam iaitu hari kehilangannya, telah sempat menjadi imam di surau kawasan rumahnya.

    Beliau berkata sejak petang itu juga, Naufal berkelakuan agak pelik seperti ketawa sendirian dan mencabut kedua-dua cermin sisi motosikalnya, tanpa sebarang tujuan.

    “Bagaimanapun pada tengah malam itu, Naufal gelisah untuk keluar rumah dan kira-kira 20 minit selepas itu beliau telah pulang semula ke rumah, sebelum difahamkan daripada jiran kampung yang  melihat Naufal memecut motosikal dengan laju keluar dari rumah kira-kira 2 pagi,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di lokasi mencari dan menyelamat (SAR) calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu di sini hari ini.

    Turut serta dalam SAR itu, ibu Naufal, Rilawati Abdul Rani, 43.

    Mohd Harris berkata kali terakhir beliau melihat Naufal ialah selepas 12 tengah malam dan selepas kehilangannya itu beliau telah mengajak beberapa orang penduduk mencari Naufal, sebelum membuat laporan polis apabila anaknya itu tidak pulang ke rumah sehingga pagi.

    Bercerita lanjut, Mohd Harris berkata beberapa hari sebelum kehilangan Naufal, guru Maahad tempat beliau belajar ada menghubunginya dan mengesyorkan Naufal untuk diambil dari asrama setelah berkelakuan pelik.

    “Guru berkenaan kata Naufal ada menulis di kedua-dua bahagian kertas A4 tentang luahannya berkaitan SPM yang didudukinya, serta nama rakan-rakan dan ustaz-ustaz dikenalinya.

    “Bila tengok senior dia berjaya dalam SPM baru-baru ni, mungkin dia rasa sedikit tertekan. Jadi saya tengok kertas (dengan tulisan Naufal) itu. Cikgu syor saya bawa pulang dia ke rumah dan saya bersetuju,” katanya. 

    Mohd Harris berkata ketika berada di rumah, beliau ada bertanya kepada Naufal, kenapa beliau mencabut cermin sisi motosikal dan anak kedua dari lima beradik itu memberitahu bahawa beliau terpengaruh dengan sebuah drama yang ditayangkan di televisyen.

    Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata operasi pencarian diteruskan pada 9 pagi hari ini, dengan radius pencarian sekitar empat kilometer melibatkan lapan kumpulan berasingan.

    Beliau berkata pasukan itu, melibatkan kekuatan 115 anggota termasuk antaranya polis, unit K9 bomba, Agensi Pertahanan Awam dan orang awam. 

    Pada Khamis, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik menerima laporan berhubung kejadian seorang remaja lelaki hilang pada 1.33 pagi, dengan lokasi terakhir mangsa dilihat di sekitar Kampung Ulu Kenderong, Jalan Air Bertam pada jam 9.00 pagi.

    Pelajar sebuah sekolah tahfiz itu dikatakan mengalami gangguan emosi, bagaimanapun tidak pulang ke rumah sehingga petang, sebelum pencarian digerakkan keluarga dan rakan mangsa.

    Bagaimanapun usaha mereka hanya berhasil menemukan motosikal yang ditinggalkan mangsa dalam kawasan kebun getah sekitar pukul 6 petang.

  • 4,907 setuju lantikan tetap, tujuh tolak – Dr.Zaliha

    4,907 setuju lantikan tetap, tujuh tolak – Dr.Zaliha

    SERAMAI 4,907 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi daripada 4,914 pegawai lantikan kontrak yang ditawarkan lantikan tetap telah melengkapkan urusan setuju terima melalui Sistem Tawaran Pelantikan Tetap (mySTP) Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), manakala tujuh lagi telah menolak, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

    Sebanyak 4,914 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi lantikan kontrak telah ditawarkan pelantikan tetap oleh SPA selaras dengan kekosongan jawatan pada 2023, yang merangkumi 4,263 pegawai perubatan, 335 pegawai pergigian dan 316 pegawai farmasi.

    Dr Zaliha dalam kenyataan hari ini berkata kesemua pegawai yang ditawarkan pelantikan tetap itu dikehendaki membuat pemilihan penempatan bertugas menerusi aplikasi eHousemen, eDentist dan ePharmacist.

    Pegawai pergigian dan pegawai farmasi membuat pemilihan penempatan bertugas menerusi aplikasi eDentist dan ePharmacist mulai 6 hingga 8 Jun lepas, manakala pegawai perubatan pula membuat pemilihan penempatan secara berperingkat melalui aplikasi eHousemen dalam lima fasa pelaksanaan bermula 9 Jun lepas dan kini memasuki fasa kelima yang berakhir esok (24 Jun), katanya.

    Beliau berkata hingga pelaksanaan fasa empat, seramai 3,405 pegawai perubatan telah memilih penempatan.

    “Berdasarkan perjawatan yang disediakan bagi fasa satu hingga fasa empat, kesemua jawatan tetap di Semenanjung Malaysia telah dipilih sepenuhnya, manakala masih terdapat kekosongan jawatan di Sabah dan Sarawak yang tidak dipilih oleh pegawai. Oleh yang demikian, kesemua kekosongan jawatan ini akan ditawarkan kepada calon simpanan,” katanya, lapor BERNAMA.

    Dr Zaliha berkata dalam urusan pengambilan tetap pada kali ini, Kementerian Kesihatan (KKM) telah menerima lebih 1,000 rayuan daripada pegawai untuk dikekalkan di penempatan semasa.

     Antara alasan yang diberikan ialah pegawai menghadapi masalah kesihatan diri dan keluarga; tidak bersetuju untuk berkhidmat di Sabah, Sarawak dan Labuan; penempatan menyebabkan pegawai terpaksa tinggal berjauhan dengan pasangan dan pegawai akan atau memulakan pengajian kepakaran, katanya.

    Dr Zaliha berkata pelaksanaan pengambilan tetap itu menyebabkan pegawai lantikan kontrak yang tidak disandarkan atas jawatan sebelum ini perlu mengisi perjawatan tetap mengikut waran perjawatan berkuat kuasa, dan KKM menjangkakan akan berlaku kekurangan pegawai buat sementara di fasiliti kesihatan tertentu.

    “Justeru, KKM telah menyediakan langkah penyelesaian bagi menangani isu tersebut antaranya menempatkan secara berperingkat pegawai perubatan yang menamatkan latihan siswazah ke fasiliti berkenaan mulai Julai 2023,” katanya.

    Menurut Dr Zaliha, berdasarkan rekod KKM, seramai 3,226 pegawai perubatan akan menamatkan latihan siswazah atau khidmat wajib secara berperingkat mulai Jun hingga Disember 2023.

    “Oleh yang demikian, seramai 675 pegawai perubatan akan diagihkan segera mulai Julai 2023, diikuti dengan seramai 1,150 pegawai lagi yang akan diagihkan pada Ogos 2023.

    “Urusan seterusnya akan dilaksanakan sebaik sahaja pegawai menamatkan latihan atau khidmat wajib,” katanya.

  • Naim sifatkan perkhidmatan Tabung Haji sistematik, bertaraf antarabangsa

    Naim sifatkan perkhidmatan Tabung Haji sistematik, bertaraf antarabangsa

    PERKHIDMATAN Tabung Haji (TH) menyantuni jemaah haji Malaysia di Tanah Suci adalah sistematik dan bertaraf antarabangsa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

    Beliau berkata, pengalaman sendiri mengikuti perjalanan seperti jemaah lain bermula dari tanah air hingga tiba di Tanah Suci menunjukkan operasi TH disusun dengan rapi.

    “Saya bukan sekadar terima laporan tapi lalui sendiri perjalanan ke sini yang secara keseluruhannya menepati objektif untuk memberikan keselesaan dan keselamatan kepada jemaah untuk mendapatkan haji yang mabrur,” katanya pada sidang media selepas lawatan ke Ibu Pejabat TH di Abraj Al Janadriyah.

    Wartawan SINAR HARIAN di Mekah melaporkan,  Mohd Na’im berkata, banyak perkhidmatan dan penambahbaikan dilakukan oleh TH dan beliau tertarik dengan aspek kebajikan yang diutamakan terhadap jemaah haji.

    “Antara inisiatif saya puji ialah Safari Wukuf iaitu satu khidmat melibatkan tugas membawa jemaah yang terlantar dengan bas ke Arafah agar mereka dapat menyempurnakan ibadah haji.

    “Banyak lagi inisiatif yang dilakukan petugas haji semasa operasi Masyair di Arafah, Mudzalifah dan Mina yang disusun dengan baik agar semuanya berjalan dengan lancar,” katanya.

    Sementara itu, dalam satu program Pelancaran Kebersihan Masyair pada Khamis, Mohd Na’im memberikan penarafan lima bintang kepada TH dari sudut komitmen dan pembaharuan dalam menyantuni Duyufurrahman.

    Kata beliau, usaha yang dibantu petugas daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu membuktikan bahawa TH sentiasa mengutamakan kebajikan jemaah haji.

    “Syabas kepada TH yang sentiasa kreatif menganjurkan pelbagai program dan kira-kira 25 pendekatan dilakukan untuk memberikan khidmat terbaik kepada jemaah haji.

    “Dalam proses itu juga setiap maklum balas jemaah mengenai sebarang kekurangan dari segi penginapan, makanan, pengangkutan terus ditambah baik untuk musim haji depan,” katanya.

    Mengulas mengenai maklum balas pihak Arab Saudi berkenaan cadangan Simposium Haji Perdana untuk diadakan di Malaysia, Mohd Na’im berkata, pihaknya telah menerima respons yang positif.

    “Saya dapat berhubung dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fauzan Muhammed Al Rabiah dan beliau akan bantu Malaysia supaya dapat menjadi penganjur di peringkat Asia Tenggara.

    “Kita akan adakan perbincangan lanjut dan TH sudah bersedia untuk laksanakannya dan kita harap selepas ini hubungan Malaysia dan Arab Saudi akan bertambah erat,” katanya.

  • Jangan ingkar titah Sultan Kedah berkaitan KXP

    Jangan ingkar titah Sultan Kedah berkaitan KXP

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menzahirkan harapan agar tiada mana-mana pihak ingkar terhadap titah Sultan negeri itu, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah agar projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) diberi layanan dan perhatian adil serta sewajarnya untuk direalisasikan.

    Menurut Muhammad Sanusi, semua pihak tidak seharusnya hanya menjunjung titah sultan yang berpihak kepada mereka semata-mata.

    Katanya, ikrar kesetiaan kepada raja dan negara perlu sentiasa dipatuhi seperti yang termaktub dalam Rukun Negara.

    “Saya harap titah tuanku ini tiada orang atau pihak yang ingkar. Janganlah kita menjunjung titah apabila hanya ‘sebulu’ dengan kita. Apabila tak ‘sebulu’, kita ingkar. Kita dah berikrar kesetiaan kepada raja dan negara. Kena setialah, ini Rukun Negara ‘bos’!” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di Alor Setar, hari ini.

    Ketika bertitah sempena Hari Keputeraan Baginda ke-81 baru-baru ini, Sultan Sallehuddin sekali lagi ‘bersuara’ mengenai KXP dengan menyatakan, amat rugi sekiranya projek itu tidak dilaksanakan hanya disebabkan oleh perbezaan pandangan dan pemahaman politik antara pemimpin negeri dengan Persekutuan hingga membelakangkan keperluan negeri serta negara yang lebih mustahak.

    Justeru baginda menyeru supaya projek itu diberi layan dan perhatian adil serta sewajarnya agar ia dapat direalisasikan demi kepentingan rakyat.

    Ditanya pandangannya mengenai titah baginda yang berpendapat bahawa projek itu dapat disegerakan sekiranya kerajaan negeri serta Persekutuan dapat bekerjasama dengan pucuk pimpinan mengenepikan perasaan peribadi, Muhammad Sanusi berkata, pihaknya sentiasa membawa kepentingan negeri.

    “Kalau pihak yang ‘menahan’ projek itu ada kepentingan peribadi, maka mereka kena ketepikanlah. Kalau mereka kata tak ada kepentingan peribadi, maka kena ‘lepaskanlah’ projek ini agar dapat dilaksanakan.

    “Dulu masa Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN), kerajaan Persekutuan kata semua projek lapangan terbang perlu tunggu Kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) disiapkan. Namun tiba-tiba, diumumkan pula projek naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) dalam Belanjawan.

    “Kenapa boleh pula diumumkan dua projek itu sebelum NASP dijalankan? Bagi saya, mesti ada benda tak betul kerana mengapa dua projek itu boleh dikecualikan dari NASP tetapi KXP tidak?” katanya.

  • Titah Sułtan Kedah bukan mahu cari gaduh – kata Sanusi

    Titah Sułtan Kedah bukan mahu cari gaduh – kata Sanusi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, tiada mana-mana pihak sepatutnya merasa bimbang dengan titah Sultan, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada hari keputeraan baginda baru-baru ini, mengenai sejarah melibatkan negeri itu dan Pulau Pinang.

    Katanya, titah baginda berkaitan perkara itu sememangnya benar, lurus dan betul serta tidak bertujuan untuk mencari gaduh dengan sesiapa.

    “Saya rasa tak ada pihak patut rasa bimbang dan risau dengan titah itu sebab titah tersebut benar, lurus dan betul. Bukan bertujuan untuk mencari gaduh dengan sesiapa sebaliknya hanya untuk ungkapkan apabila ada pemesongan atau bahasa lainnya dipanggil penjulingan sejarah, keadaan itu mesti diperbetulkan oleh anak bangsa yang lahir dari kecerdikan, kepintaran, kecerdasan serta memiliki ilmu selain berusaha membuat kajian.

    “Pembetulan mesti dibuat. Jika tidak, kita hanya hidup dalam rangka ‘diset’ pihak lain yang ada kepentingan sejak ratusan tahun lalu untuk kita hidup dalam keadaan tertentu.

    “Saya fikir itu tak betul dan kalau dulu berlaku pemesongan, adakah kita sanggup hidup dalam pemesongan itu selama-lamanya? Saya tak sanggup tetapi kalau ada orang sanggup atau selesa dengan pemesongan tersebut, itu kerana mereka ada kepentingan tertentu berkaitan pemesongan berkenaan,” katanya.

    Sultan Sallehuddin ketika bertitah sempena Hari Keputeraan Baginda ke-81 baru-baru ini menegaskan, amatlah tidak wajar sekiranya suara rakyat Kedah cuba didiamkan berhubung sejarah dan kedaulatan Kedah.

    Titah baginda, pembentukan Malaysia tidak seharusnya menjadi titik bagi membenarkan sejarah sesebuah negeri yang wujud sejak sekian lama terpadam dan hakikat bahawa tanah Pulau Pinang hanya dipajak dari Kedah, perlu diperjelaskan secara terang bersandarkan fakta tanpa prejudis.

    Sementara itu Muhammad Sanusi menjelaskan, beliau bukannya ‘gila’ untuk mendesak agar Perlembagaan dipinda berkaitan Kedah dan Pulau Pinang, dalam keadaan partinya tidak memiliki dua per tiga sokongan di Dewan Rakyat.

    Beliau berkata tuduhan itu adalah sesuatu yang tidak logik selain turut didakwa sentiasa cuba mencari gaduh.

    “Takkanlah nak membetulkan sejarah pun bermaksud cari gaduh? Semua itu (tuduhan) adalah usaha untuk mengekalkan pemesongan kerana mereka ada kepentingan darinya. Ada pakar sejarah kata sewa Pulau Pinang sudah terbatal. Tetapi itu beliau seorang saja yang cakap dan beliau pun lahir dari sistem yang telah dipesongkan itu. Saya tak tahulah PhD (Doktor Falsafah) beliau kaji bab apa?” katanya.

  • Semakin banyak Ahmad Maslan buat kenyataan, ekonomi merudum begitu pantas -Khairy

    Semakin banyak Ahmad Maslan buat kenyataan, ekonomi merudum begitu pantas -Khairy

    KHAIRY  Jamaluddin Abu Bakar mendakwa semakin banyak Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan mengeluarkan kenyataan berkaitan ekonomi maka ia akan merudum dengan begitu pantas.

    Katanya, tindakan Ahmad berbicara soal ekonomi, seolah-olah ada pengumuman besar untuk memastikan nilai ringgit lebih kukuh.

    “Kenyataan dibuat itu menjadikan individu di pasaran kewangan, pelaburan mahu mengetahui berita yang bakal disampaikan itu.

    “Bagi saya cara pengumuman itu bagus kerana ia merupakan gerakan taktikal, namun ia tidak akan mengubah soal gambaran landskap pelaburan di negara kita,” katanya menerusi rancangan podcast Keluar Sekejap, lapor Berita Harian.

    Sebaliknya, Khairy menjelaskan dua cara untuk menarik pelaburan dan mengukuhkan nilai ringgit di Malaysia adalah dengan menjual sedikit pegangan kepada Sovereign Wealth Fund (SWF) dan menjadikan negara sebagai pejabat keluarga (family office).

    Katanya, pelabur yang datang melabur melihat kepada kerajaan, usaha syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam menyediakan peluang untuk dilaburkan dalam sesuatu usaha niaga.

    “Apabila pegangan dijual sedikit kepada SWF, ia akan memberi kesan lebih besar daripada pengumuman yang kecil untuk jangka masa panjang.

    Pada masa sama, Khairy berkata, untuk meningkatkan pelaburan ke dalam negara, kerajaan bukan sahaja perlu menarik perhatian syarikat dan profesional, sebaliknya pejabat keluarga juga.

    “Sejak beberapa tahun lalu, strategi Singapura adalah menarik pejabat keluarga yang mana ia merupakan satu entiti ditubuhkan oleh keluarga kaya untuk menguruskan kewangan mereka.

    “Cuma kita perlu ada persekitaran polisi yang lebih fleksibel untuk pejabat keluarga ditubuhkan di sini,” ujarnya.

  • Kedah nilai kewajaran lulus lesen pusat urut, refleksologi

    Kedah nilai kewajaran lulus lesen pusat urut, refleksologi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KERAJAAN negeri Kedah hari ini memutuskan untuk menilai semula kewajaran bagi meluluskan lesen pusat urut dan refleksologi di negeri tersebut, yang dikhuatiri menjadi lokasi kegiatan tidak bermoral melibatkan pelbagai peringkat usia.

    Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, beliau menerima taklimat daripada exco berkaitan serta pihak-pihak berkuasa menerusi beberapa siri mesyuarat mengenai perkara itu.

    “Apabila ada laporan mengenai kegiatan ‘lain’ di pusat-pusat refleksologi itu, maka satu serbuan dibuat oleh agensi penguatkuasa seperti polis, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan imigresen. Operasi itu turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Najmi Ahmad.

    “Tetapi mungkin disebabkan maklumat serbuan itu bocor, jadi tak ditemui apa-apa aktiviti selain refleksologi. Namun jika pemantauan oleh PBT, polis, imigresen dan kerajaan negeri selepas ini mendapati masih berlaku kegiatan selain dilesenkan, maka lesen premis terbabit tidak akan diperbaharui.

    “Kita akan tutup pusat-pusat itu dan melihat peruntukan di undang-undang mana yang boleh digunakan untuk menghentikan lesen mereka. Perkara itu telah dimasukkan dalam keputusan mesyuarat exco hari ini,” katanyaselepas mempengerusikan mesyuarat itu di Wisma Darul Aman, Alor Setar.

    Beliau berkata, walaupun DUN akan dibubar dalam masa terdekat tetapi pihak berkuasa termasuk polis, imigresen serta PBT akan terus bekerja seperti biasa dan mereka akan laksanakan perkara itu.

    ”Keputusan sudah dibuat dalam mesyuarat exco, jadi pemantauan akan terus dilakukan pihak berkenaan dan kalau ada melanggar syarat, maka lesen tidak akan diperbaharui,” katanya.

    Mesyuarat hari ini dijangka menjadi yang terakhir bagi kerajaan negeri Kedah untuk penggal ini, dengan beliau sebelum ini sudah mengesahkan akan menghadap Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada 25 Jun depan, bagi mencadangkan agar pembubaran DUN dibuat pada 28 Jun nanti.

    Dalam pada itu Najmi berkata, pihaknya menerima maklumat bahawa kegiatan tidak sihat membabitkan pusat-pusat urut dan refleksologi berkenaan, turut melibatkan pelajar sekolah serta golongan belia.

    Katanya, perkara itu merupakan antara faktor mengapa mesyuarat exco hari ini membuat keputusan untuk menimbangkan kewajaran meluluskan permohonan lesen baharu premis rumah urut dan seumpamanya.

    “Antara penilaian dibuat termasuklah berkaitan keuntungan kepada negeri dari sudut ekonomi, kesihatan dan moral. Buat masa ini, kita tak rasa ia menguntungkan negeri kerana kebanyakan pekerja di tempat-tempat seperti itu, merupakan warga asing dan pendapatan mereka mengalir ke luar negara.

    “Negeri ini pun tak bergantung kepada perkara itu, tak untung banyak mana pun. Kita nak supaya keberkatan itu ada dan biarlah lesen itu tak diluluskan pun, tak mengapa,” katanya.

  • Nafi Muhyiddin, Hamzah tak sebulu mengenai masa depan parti

    Nafi Muhyiddin, Hamzah tak sebulu mengenai masa depan parti

    AHLI Parlimen Ketereh, Khlir Mohd. Nor menafikan dakwaan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berselisih mengenai hala tuju parti.

    Mohd. Nor yang namanya disebut-sebut pengganti Hamzah sebagai ketua pembangkang berkata, dakwaan itu sengaja dibuat oleh seteru.

    “Itu semua khabar angin nak hancurkan PN. Parti lawanlah yang buat khabar angin ini.

    “Mereka ada penulis-penulis blog mereka juga. Saya tahu ada sangkut paut dengan saya, kononnya (nak lantik) saya ketua pembangkang,” katanya memetik laporan FMT.

    Semalam, sumber Bersatu memberitahu FMT bahawa Muhyiddin dan Hamzah tidak sependapat mengenai hala tuju parti, dan berselisih tentang bagaimana Bersatu dan PN sepatutnya beroperasi, naratif apabila menentang parti pemerintah, dan kerusi mana yang akan ditandingi pada PRN akan datang.

    Dakwaan itu menyusul laporan media baru-baru ini bahawa Bersatu sedang mempertimbangkan Khlir atau Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai pengganti Hamzah.

    Sumber juga mendakwa perselisihan antara Muhyiddin dan Hamzah berpunca daripada peranan Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Azmin Ali dalam parti.

    Azmin, yang sedang dipersiapkan untuk menjadi ‘poster boy’ untuk Bersatu, dikatakan terlibat dalam beberapa perbincangan peringkat tinggi yang tidak melibatkan Hamzah.

    Khlir menafikan Muhyiddin dan Hamzah berselisih mengenai peranan Azmin.

    “Tak, tak, itu salah. Azmin bagus. Azmin jaga parti bagus,” katanya dan menambah Bersatu tidak pernah bincang tentang menukar ketua pembangkang.