Category: Umum

  • PRU-15: Mustapa tak pertahan kerusi Parlimen Jeli

    PRU-15: Mustapa tak pertahan kerusi Parlimen Jeli

    PENYANDANG kerusi Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan tidak mempertahankan kerusi tradisinya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Menurutnya yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) , perkara itu sudah dimaklumkan kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    “Keputusan ini dibuat antaranya selepas mengambil kira nasihat doktor mengenai tahap kesihatan yang tidak mengizinkan saya untuk terus berkhidmat sebagai wakil rakyat yang berkesan.

    “Sehubungan ini, saya ingin menzahirkan ucapan setinggi terima kasih kepada semua rakyat di kawasan Parlimen Jeli yang sentiasa memberi sokongan dan kerjasama sepanjang saya merencanakan agenda pembangunan sosioekonomi di Parlimen Jeli sejak tahun 1995,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mustapa dalam ada itu mengucapkan setinggi terima kasih kepada sahabat yang menganggotai Jemaah Menteri atas segala bimbingan dan kerjasama yang diberikan sepanjang berada dalam barisan Jemaah Menteri.

    “Terima kasih kepada kepimpinan Kerajaan, penjawat awam Persekutuan dan negeri serta parti atas sokongan dan bantuan yang diberikan kepada saya sepanjang berkhidmat sebagai anggota pentadbiran kerajaan dan ahli Parlimen,” katanya.

    Mustapa yang lebih dikenali sebagai Tok Pa menyandang kerusi Parlimen itu sejak 1995.

    Beliau bagaimanapun tewas kepada calon PAS, Mohd Apandi Mohamad, dalam PRU10 pada 1999 sebelum kembali memenanginya pada PRU11 (2004).

  • LCS: SPRM sedia jumpa Raja Petra atas dakwaan babit Zahid

    LCS: SPRM sedia jumpa Raja Petra atas dakwaan babit Zahid

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedia menemui penulis blog, Raja Petra Kamarudin mengenai dakwaannya terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerima sogokan SGD20 juta (kira-kira RM67 juta) berkaitan projek bermasalah kapal tempur pesisir (LCS).

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memberitahu FMT, agensi itu akan membenarkan Raja Petra yang dikenali sebagai RPK mencadangkan lokasi pertemuan seperti yang dicadangkan penulis blog itu dalam video di laman sesawangnya semalam.

    “Kami sedia bertemunya. Dia boleh memilih lokasi untuk jumpa pegawai saya bagi membolehkan kami mendapatkan maklumat lanjut daripadanya berhubung dakwaan itu,” kata Azam.

    Raja Petra mendakwa bekas timbalan perdana menteri itu menerima wang itu menerusi lapan bayaran secara berperingkat antara 2012 dan 2013.

    Beliau mendakwa urus niaga itu dipermudahkan melalui pengurup wang di Singapura dan Malaysia.

    FMT sudah menghubungi Zahid untuk mengulas.

    Raja Petra turut mendakwa mempunyai dokumen dan bukti mengaitkan Zahid dengan skandal itu.

    Dalam video itu, penulis blog itu menyampaikan jemputan kepada SPRM ke UK, negara dipercayai menjadi pangkalannya, untuk bertemunya bagi menyerahkan dokumen terbabit.

    Projek LCS berada di bawah penelitian Parlimen kerana tidak menghantar enam kapal mengikut kontrak.

    Dalam laporannya, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendapati tiada sebuah pun kapal yang siap setakat ini, walaupun kerajaan sudah membayar RM6.08 bilion.

    Kontrak untuk memperoleh kapal itu diberikan kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) melalui rundingan terus pada 2011.

    Ogos lalu, bekas pengarah urusan BNS, Ahmad Ramli Mohd Nor didakwa melakukan pecah amanah membabitkan RM21.08 juta. Ramli juga pengerusi Jawatankuasa Pemandu LCS.

  • Harga minyak masak 5KG turun RM30.90 bermula Selasa

    Harga minyak masak 5KG turun RM30.90 bermula Selasa

    HARGA minyak masak kemasan botol lima kilogram (kg) turun 60 sen kepada RM30.90 berbanding RM31.50 berkuat kuasa dari 8 Nov hingga 7 Dis ini, menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

    KPDNHEP dalam kenyataan hari ini menyebut harga minyak masak kemasan botol tiga kg turun kepada RM19.60 daripada RM19.90, botol dua kg (RM13.30 daripada RM13.50) dan botol satu kg (RM6.90 daripada RM7.10).

    KPDNHEP memaklumkan harga baharu itu ditetapkan selepas kerajaan meneruskan kawalan harga minyak masak sawit botol yang dilaksanakan sejak 8 Ogos lepas. 

    “Kawalan harga ini dilaksanakan mengikut kaedah harga siling bergerak berdasarkan purata harga minyak sawit mentah dunia,” menurut kenyataan itu.

    KPDNHEP menyebut mana-mana pihak yang menjual melebihi harga maksimum boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

    “KPDNHEP menggalakkan pengguna menjadi mata dan telinga kepada kerajaan untuk menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang membabitkan harga runcit minyak masak sawit tulen di pasaran,” katanya. – BERNAMA

  • PRU-15: PH kemuka 10 tawaran

    PRU-15: PH kemuka 10 tawaran

    PAKATAN Harapan (PH) menggariskan 10 keutamaan untuk direalisasikan segera, antaranya melibatkan kos sara hidup, memerangi rasuah dan memperkasa wilayah Sabah dan Sarawak, sekiranya mendapat mandat membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keutamaan itu bermatlamat menjamin kesejahteraan rakyat secara menyeluruh menerusi pertumbuhan ekonomi, memulihkan keyakinan umum menerusi pentadbiran beramanah dan menyediakan negara untuk berdepan pelbagai cabaran masa depan.

    “Tempoh untuk melaksanakan 10 keutamaan adalah secara berperingkat dan bergantung kepada keupayaan kewangan negara, tawaran kali ini telah dibahaskan dengan teliti dan dikaji dari segi implikasi kewangan sepenuhnya dan mengambil kira tuntutan daripada rakyat dan bukan bersifat populis,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan 10 Tawaran Utama PRU-15 PH di sini hari ini.

    Turut hadir Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

    Tawaran berkenaan turut melibatkan pemerkasaan peluang ekonomi belia; menyelamatkan generasi tercicir dalam pendidikan; membina ketahanan bencana dan memantapkan perlindungan; menangani isu doktor kontrak dan menjamin kebajikan penjawat kesihatan; menghapuskan isu ketaksamaan gender dan memperkasa sosioekonomi wanita; meningkatkan daya saing rakyat dan memelihara khazanah alam.

    Dalam pada itu, Anwar yang juga Presiden PKR menyeru pengundi memberikan kemenangan selesa kepada PH untuk membentuk kerajaan iaitu tanpa memerlukan kerjasama parti di luar gabungan tersebut.

    Katanya, ini supaya tawaran PH itu dapat dijalankan dengan jayanya tanpa sebarang halangan.  

    Ditanya sama ada tawaran berkenaan mampu dilaksanakan dan tidak berakhir seperti manifesto PH pada PRU yang lepas, Anwar menjawab, “kali ini pengerusi dia Anwar”.

    “Saya menyeru agar pengundi atas pagar memberi kami mandat supaya kami bebas untuk melaksanakan keutamaan ini dan tidak berdepan sebarang halangan selepas pilihan raya,” katanya. – BERNAMA

  • Radzi mohon sokongan warga Putrajaya cipta era baharu politik negara

    Radzi mohon sokongan warga Putrajaya cipta era baharu politik negara

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin menjadikan kepimpinan prihatin, cekap dan bersih sebagai paksi untuk menggalas amanah dan tanggungjawab jika terpilih sebagai wakil rakyat kawasan itu.

    Radzi yang juga Naib Presiden Bersatu berjanji akan menggalas amanah dan tanggungjawab besar itu dengan sebaiknya ke arah Era Baharu Putrajaya yang lebih baik.

    “Saya yang diamanahkan menjadi calon di Putrajaya berjanji menggalas amanah dan tanggungjawab besar ini dengan sebaiknya ke arah Era Baharu Putrajaya yang lebih baik berpaksikan kepimpinan yang prihatin, cekap dan bersih.

    “Dengan rendah diri, saya mohon sokongan daripada saudara saudari seluruh warga Putrajaya untuk kita sama-sama mencipta era baharu politik negara, bermula di Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

    Malam tadi, Radzi antara calon PN yang diumumkan Pengerusi gabungan itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 bagi kerusi Parlimen Putrajaya.

    Ia dibuat pada majlis pengumuman calon PN di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

    PN akan bertanding di 169 kerusi Parlimen manakala 116 lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

  • Perjuangan akan sentiasa diuji – Tuan Ibrahim

    Perjuangan akan sentiasa diuji – Tuan Ibrahim

    TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan ahli parti itu bahawa perjuangan mereka akan sentiasa diuji dan menuntut mereka bersikap rasional dan berjiwa besar.

    Berikut kenyataan penuh Tuan Ibrahim yang disiarkan dalam akaun Facebook rasmi beliau hari ini:

    Masa ini kita semua sedang diuji dalam perjuangan. Waktu ribut tengah kuat, ikat tali keledar, duduk di tempat masing-masing, dengar dan ikut arahan.

    Jangan ada yang buka tali keledar kerana merasa selamat dan kuat. Jangan ada yang cuba membantah arahan dan merasa lebih tahu. Jangan tinggal tempat duduk masing-masing kerana merasa kuat untuk melawan gelombang ribut ini.

    Telah banyak kapal yang karam,
    telah ramai yang terhumban,
    telah ramai yang menderita penyesalan,
    telah ramai yang dilaknat Tuhan.

    Berada dalam bahtera besar perjuangan akan sering diuji. Menuntut kesabaran tinggi. Kekuatan rohani, ketabahan jasmani dan aqli. Rasional dalam tindakan, jiwa besar sebagai anggota haraki.

    Tiada kebahagiaan selain merasa aman dan tenteram bilamana ribut berlalu, badai menghilang sedang kita terus berada dalam medan perjuangan untuk bertemu Tuhan sekalian alam.

    Nasihat buat diri dan anggota jamaah.

  • Calon ditampilkan PN bersih isu integriti, disenangi, boleh berkhidmat – Muhyiddin

    Calon ditampilkan PN bersih isu integriti, disenangi, boleh berkhidmat – Muhyiddin

    INDIVIDU ditampilkan Perikatan Nasional (PN) bagi mewakili gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah calon bersih daripada isu integriti, disenangi dan boleh berkhidmat kepada masyarakat.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kriteria pemilihan calon PN telah dibuat dengan teliti merangkumi pelbagai latar belakang termasuk golongan profesional.

    Menurutnya, beliau bersyukur dengan sokongan padu daripada pemimpin serta anggota dan jentera parti baik Bersatu, Pas, GERAKAN mahupun parti Bersekutu kerana menyambut pengumuman calon PN dengan berlapang dada dalam suasana harmoni.

    “Alhamdulillah Majlis Pengumuman Calon Parti Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 malam tadi berjalan dengan lancar.

    “Seperti yang pernah saya sebutkan sebelum ini, kriteria pemilihan calon PN telah dibuat dengan teliti merangkumi pelbagai latar belakang termasuk golongan profesional.

    “Namun, yang lebih penting adalah calon-calon kita bersih daripada isu integriti, disenangi dan boleh berkhidmat kepada masyarakat,” katanya di Facebook hari ini.

    Muhyiddin yang mempertahankan Parlimen Pagoh pada masa sama menyeru semua calon PN, agar bangkit dan memikul amanah menguruskan nasib rakyat sebagai satu jihad.

    Beliau menegaskan, mereka diingatkan agar jangan tidur atau leka, sebaliknya hendaklah menyampaikan risalah perjuangan PN ke seluruh pelosok negara,

    Katanya, ini bagi mencapai wawasan parti untuk mewujudkan Kerajaan Perikatan Nasional yang berintegriti, prihatin, bersih dan stabil (#PNBEST).

    “Kita tidak rela melihat negara ini jatuh ke tangan puak-puak tidak amanah, yang akan melakukan kemungkaran dan kerosakan kepada negara tercinta ini.

    “Kepada seluruh jentera parti, marilah bersama-sama berganding bahu dengan satu tekad untuk memastikan kemenangan kita dalam PRU-15 pada 19 November ini,” tambahnya.

  • Tiga EXCO Kedah ‘naik pangkat’ bertanding kerusi Parlimen

    Tiga EXCO Kedah ‘naik pangkat’ bertanding kerusi Parlimen

    SEBANYAK tiga Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Kedah diumum sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen di negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Nama mereka diumumkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Majlis Pengumuman Bakal Calon PN PRU-15, malam tadi.

    Mereka terdiri daripada EXCO Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail; EXCO Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India, Datuk Azman Nasrudin.

    Turut diumum adalah EXCO Perumahan, Alam Sekitar, Perpaduan, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam, Dr Robert Ling Kui Ee.

    Ku Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak bakal bertanding di Parlimen Kubang Pasu.

    Azman yang juga ADUN Lunas, akan bertanding di Parlimen Padang Serai, manakala Dr Robert adalah ADUN Sidam yang akan bertanding di Parlimen Sungai Petani.

  • Tak sampai 24 jam dicalonkan Zahid, Ustaz Kazim tarik diri bertanding

    Tak sampai 24 jam dicalonkan Zahid, Ustaz Kazim tarik diri bertanding

    PENDAKWAH bebas Datuk Mohd Kazim Elias atau Ustaz Kazim difahamkan sudah membuat keputusan untuk menarik diri daripada bertanding di Parlimen Larut.

    Menurut laporan, Mohd Kazim membuat keputusan menarik diri itu tidak sampai 24 jam selepas Barisan Nasional (BN) menamakan beliau sebagai calon di kerusi Parlimen tersebut dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) malam tadi.

    Untuk rekod, pencalonan Mohd Kazim itu kali pertama diterimanya selepas UMNO sebelum ini berkali-kali cuba menawarkan kerusi kepadanya untuk bertanding.

    Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengumumkan tempat Mohd Kazim akan digantikan Ketua Koordinator BN, Mohd Shafiq Fhadly Mahmud di Parlimen Larut.

    Penarikan diri Mohd Kazim dilihat akan menjadi satu tamparan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sudah pun menerima tekanan daripada akar umbi ekoran pemilihan calon tidak menepati kehendak pengundi di kawasan.

  • Kembalikan mandat, PN adalah penyelamat negara

    RAKYAT perlu mendukung Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kerana gabungan tersebut merupakan penyelamat negara seperti pernah dipamerkan suatu ketika dahulu.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan rakyat bagaimana gabungan itu membawa negara keluar dari kemelut luar biasa pandemik COVID-19 sehingga keadaan beransur pulih.

    Malah, beliau menegaskan, ekonomi negara yang pernah berdepan kemungkinan untuk lumpuh berjaya diselamatkan atas ketegasan para pimpinan dalam membuat keputusan.

    Katanya, semua ini bertitik tolak daripada sikap prihatin yang menjadi dasar perjuangan PN dalam memastikan rakyat tidak berterusan berdepan dengan kepayahan dan kesusahan.

    “Ekonomi negara kita hari ini terselamat, tidak runtuh, apa sebabnya, tidak lain tidak bukan ketegasan kerajaan Perikatan Nasional dahulu untuk menyelamatkan ekonomi negara kita.

    “Macam mana pula orang kata kini pengkhianat. Kami adalah penyelamat kepada negara ini tetapi tugas kami masih belum selesai, kita nak minta rakyat untuk berikan mandat, tidak lama lima tahun sahaja.

    “Saya percaya kita lebih tahu daripada mereka tentang apa masalah negara, kita boleh mencari jalan menyelesaikan masalah rakyat lebih awal daripada mereka yang mungkin tidak tahu apa yang berlaku pada ketika itu,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pengumuman Calon Perikatan Nasional PRU-15, malam tadi.

    Muhyiddin berkata, negara kini berada dalam krisis dan pilihan raya kali ini sangat penting dalam memilih kerajaan yang betul-betul mampu memimpin negara.

    Katanya, PN telah membuktikan bahawa ia berkemampuan berdasarkan rekod prestasi terdahulu terutama ketika memimpin negara pada saat sukar COVID-19 sehingga rakyat boleh mengukirkan senyuman.

    Pada masa sama, beliau mengingatkan rakyat supaya jangan sesekali menyerahkan negara ini kepada pemerintahan yang tamakkan kuasa, tidak beramanah dan melakukan banyak kemungkaran serta kerosakan.

    “Untuk ingatkan rakyat bahawa negara kita berada dalam krisis, sama ada kita sedar atau tidak sedar, sebenarnya kita berada dalam situasi yang tidak lagi baik.

    “Maknanya pilihan raya yang akan kita hadapi ini pilihan raya untuk menentukan masa depan negara kita.

    “Soalannya siapakah antara parti-parti yang bertanding ini mampu untuk memikul amanah itu, jawapannya tidak lagi tidak bukan berdasarkan pengalaman kita pada masa lepas, tidak lain Perikatan Nasional,” katanya lagi.