Category: Umum

  • Anwar dakwa terima ugutan daripada ‘geng-geng kaya’

    Anwar dakwa terima ugutan daripada ‘geng-geng kaya’

    PERDANA Menteri Anwar Ibrahim memberitahu kepada warga Permatang Pauh tentang ugutan yang beliau terima daripada ‘geng-geng kaya-raya’ ketika kerajaan berusaha ‘membersihkan’ negara.

    Bertemu penduduk dalam majlis kenduri Aidiladha di Kampung Guar Perahu, Anwar berkata kelompok tertentu itu berpakat ketika negara terbeban dengan hutang RM1.5 trilion dan rakyat kesusahan.

    “Keadaan susah jadi kita patut bersihkan negara ini daripada kerja rasuah dan penyelewengan. Macam-macam ugutan saya terima. Geng-geng kaya-raya ini dah berpakat,” katanya kepada ratusan hadirin di luar sebuah masjid di Guar Perahu, lapor FMT.

    Anwar turut membidas kelompok yang cuba memainkan sentimen Melayu dan sebagainya ketika ‘pembersihan’ itu. “Geng penyakau bilion-bilion pakat sekarang ini, nak buat ‘hidup Melayu’ dan sebagainya – hang buat tak (penyelewengan)?”

    “Saya lawan tetap lawan,” katanya, sambil menepis dakwaan beliau mengayakan keluarganya atau berdendam. Satu kepentingan keluarga saya tak pertahankan. Tidak ada sama sekali,” katanya.

    Anwar mewakili rakyat Parlimen Permatang Pauh dari 1986 hingga 1999, dan kemudian 2008 hingga 2015.

    Beliau kini Ahli Parlimen Tambun. Rakyat Permatang Pauh sekarang diwakili oleh Ahli Parlimen dari Pas.

    “Saya nak perbaharui silaturahim dan jumpa kawan-kawan lama. Saya tak pernah lupa jasa dan pengorbanan rakan-rakan di Permatang Pauh,” katanya.

    Anwar memberitahu warga Permatang Pauh bahawa usaha kerajaan meningkatkan Islam, melawan rasuah, dan membaiki tatakelola tidak pernah dibantah oleh mana-mana parti dalam kerajaan perpaduan.

    “Yang saya dok dengar (dakwaan terhadap parti-parti dalam kerajaan) ini di luar – orang buat macam-macam tuduhan dan tohmahan,” katanya.

    Sementara itu BERNAMA melaporkan, dalam ucapan yang sama Anwar berkata, beliau bersedia memberi kerjasama termasuk disiasat mana-mana pihak berkuasa sekiranya beliau didapati terlibat dalam kes rasuah.

    Anwar berkata selama tujuh bulan diberikan amanah untuk mentadbir negara, tiada satu kepentingan pun diberikan kepada keluarganya.

    “Kalau kata saya terlibat kes rasuah, gunakan wang mengayakan Wan Azizah, Nurul Izzah dan anak-anak. Itu boleh bawa (lapor kepada pihak berkuasa),” katanya i.

    Pada masa yang sama, Anwar juga mengulangi kenyataan bahawa beliau tidak pernah berdendam dengan sesiapa serta mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat mana-mana individu yang terpalit dengan kes rasuah ketika ini.

    “Sesiapa sahaja disiasat SPRM, itu kerja SPRM. Saya tidak arahkan kerana saya tidak mahu memfitnah. Saya sendiri melalui liku-liku hidup yang susah. Jadi apabila ada kuasa, takkan saya nak buat kerja sebegitu (politik dendam)…kalau lakukannya maknanya kita serupa sahaja (pimpinan dulu),” kata Anwar.

    Perdana Menteri menegaskan tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana menteri serta timbalan menteri dalam Kerajaan Perpaduan mahupun bekas menteri sekiranya mereka terlibat dalam kes rasuah.

    Menurutnya, dalam perkara itu semua badan penguat kuasa seperti SPRM, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Bank Negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diarahkan menjalankan tanggungjawab dengan tegas dan berani dalam kes rasuah.

    Anwar berkata komitmennya untuk membanteras amalan rasuah diterima baik dan tidak pernah dibantah oleh setiap parti dalam Kerajaan Perpaduan, ini termasuk segala perancangan untuk setiap pembangunan di negara ini.

  • Bakar Quran : Ahli Parlimen PN gesa kerajaan panggil Duta Sweden

    Bakar Quran : Ahli Parlimen PN gesa kerajaan panggil Duta Sweden

    KETUA Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin  mengecam sekeras-kerasnya tindakan ekstremis, biadab dan keji Salwan Momika yang membakar kitab suci al-Quran di luar sebuah masjid di Stockholm, Sweden, semasa sambutan Hari Raya Aidiladha pada Rabu lalu.

    Katanya, pada sama beliau saya dan Ahli Parlimen Perikatan Nasional juga melahirkan rasa kecewa yang teramat sangat dengan sikap kerajaan Sweden yang membenarkan insiden tersebut berlaku walaupun sedar perbuatan Salwan Momika itu boleh mencetuskan perbalahan agama.

    ‘’Kejadian pada Rabu bukanlah kali pertama tetapi sudah berulang kali. Tindakan ekstremis serta biadab ini mesti ditolak dan dihentikan kerana ia jelas merangsangkan rasa kebencian, perkauman dan bertentangan dengan usaha-usaha antarabangsa,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

    ‘’Adalah malang apabila kerajaan Sweden sendiri tidak bertindak dengan sepatutnya dalam menyuburkan nilai-nilai toleransi, kesederhanaan dan penolakan terhadap ekstremisme apabila sekali lagi membenarkan insiden sedemikian berlaku di Sweden,’’ katanya.

    Sehubungan itu, kata beliau, sudah sampai masanya Malaysia menggunakan suara serta haknya dengan lantang dan segera memanggil Duta Sweden ke Malaysia bagi menyatakan bantahan keras terhadap kejadian itu.

    Dalam kejadian pada Rabu lalu itu, Momika, 37, berkata, dia tiba di Sweden lima tahun lalu dari Iraq dan memiliki kerakyatan negara itu.

    Momika turut menganggap dirinya sebagai individu yang berpegang kepada hidup tanpa tuhan atau golongan ateis.

    Katanya, tindakan yang dilakukannya itu sebagai menekankan kepentingan kebebasan bersuara.

    “Ini adalah demokrasi. Ia dalam bahaya jika mereka memberitahu kita kita tidak boleh melakukan ini,” dakwa Momika.

    Mengulas tindakan menghina kitab suci al-Quran itu, Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson berkata, protes yang dilakukan Momika itu adalah “mengikut undang-undang tetapi tidak sesuai” dan terserah pada budi bicara polis untuk membenarkannya atau tidak.

    Pihak berkuasa negara itu menegaskan, protes itu tidak menyebabkan “gangguan kepada ketertiban” tetapi Momika didakwa kerana dia memilih untuk membakar al-Quran berdekatan dengan masjid.

    Momika juga sedang disiasat kerana melanggar larangan sementara untuk membakar bahan api.

    Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, sebelum ini dilapor berkata, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya keputusan pihak berkuasa Sweden yang membenarkan tindakan provokatif itu.

    Beliau berkata, keputusan pihak berkuasa Sweden bukan satu langkah progresif dalam usaha untuk meningkatkan perasaan saling memahami dan menghormati untuk kebaikan manusia.

    “Perbuatan yang mencemari kesucian al-Quran ketika umat Islam di seluruh dunia sedang menyambut Aidiladha merupakan satu tindakan yang menyinggung perasaan Muslim di seluruh dunia dan mencabuli prinsip sejagat iaitu saling memahami dan menghormati kesemua agama dan kitab suci mereka,” katanya.

  • Khemah sempit di Mina akibat peningkatan jumlah jemaah haji

    Khemah sempit di Mina akibat peningkatan jumlah jemaah haji

    RUANG sempit yang dihadapi jemaah haji Malaysia dalam khemah penginapan di Mina yang disiarkan dalam media sosial bukanlah situasi baru berlaku.

    Keadaan berkenaan dihadapi oleh semua jemaah haji seluruh dunia termasuklah jemaah haji Malaysia terutama semasa kuota penuh dan apabila ada kuota tambahan.

    Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH), Syed Hamadah Syed Othman berkata, ruang dan saiz di dalam sebuah khemah Mina di luar kawalan TH kerana ia disediakan oleh pihak berkuasa Arab Saudi untuk semua negara.

    Katanya, sempadan kawasan Mina adalah ditetapkan oleh hukum dan tidak berubah dari dahulu walaupun jumlah jemaah haji semakin meningkat setiap tahun seiring dengan peningkatan jumlah rakyat di sesebuah negara.

    “Ruang yang sempit telah dimaklumkan semasa kursus haji di tanah air dan semasa taklimat Masyair oleh pihak Pengurusan Maktab TH, ini termasuk sentiasa menekankan yang keadaan tidur di Mina tidak dapat dilakukan secara terlentang disebabkan ruangan yang sempit.

    “Oleh kerana kekangan ruang itu, TH sentiasa menasihati jemaah haji agar membawa satu beg roda yang dibekalkan bagi mengelakkan ruang yang terhad ini menjadi semakin sempit. Tetapi ada yang membawa lebih daripada satu beg,” katanya lapor wartawan Sinar Harian di Mekah.

    Isu kesukaran jemaah haji di Mina ditimbulkan sebuah portal berbahasa Inggeris yang melaporkan mengenai rungutan jemaah haji yang terpaksa bersesak dalam khemah.

    Portal yang memetik sumber berkata, jemaah seramai 44 orang telah ditempatkan dalam khemah yang hanya boleh membuatkan 34 jemaah haji.

    Mengulas lanjut, Syed Hamadah berkata, kemudahan tilam diperkenalkan sejak tahun lalu telah merumitkan penerimaan jemaah haji terhadap ruang yang sempit kerana beranggapan satu tilam dibekalkan untuk seorang jemaah.

    “Situasi satu tilam satu jemaah, hanya terpakai di Arafah. Manakala, keadaan di Mina, tilam adalah sebagai alas bukan sebagai tanda ruang satu tilam untuk seorang jemaah haji,” katanya.

    Syed Hamadah berkata, Pengurusan Maktab TH telah membantu jemaah haji di khemah menyusun kaedah yang terbaik untuk memuatkan semua jemaah dalam setiap khemah.

    “Namun begitu, ada sebahagian jemaah haji yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan suasana ini, dan pihak TH membenarkan mereka berulang alik dari Mekah ke Mina jika ada permintaan dan ini adalah atas kesanggupan serta daya usaha jemaah haji itu sendiri,” katanya.

    Pada masa sama, Syed Hamadah berkata, inisiatif awal TH dalam menangani situasi berkenaan adalah dengan memberi sebahagian ruang yang diperuntukkan untuk ruang pejabat dan penginapan petugas kepada jemaah haji bagi meningkatkan saiz ruang yang sedia ada.

    “TH juga telah meningkatkan nisbah nafar awal yang dahulunya hanya 10 peratus dipertingkatkan sehingga 50 peratus pada tahun ini bagi mengatasi kesesakan di Mina,”katanya.

    Syed Hamadah turut menafikan yang TH tidak mengambil tindakan ke atas semua rungutan dan aduan kerosakan yang berlaku di Mina.

    “Pihak Pengurusan Maktab TH telah berusaha mengatasi masalah penyaman udara yang tidak berfungsi dengan baik, dengan menghubungi pihak yang bertanggungjawab untuk dibaik pulih dengan segera. Pihak berkuasa Arab Saudi juga sedang menambah baik kemudahan dan infrastruktur untuk menjaga kebajikan jemaah haji termasuk penyaman udara di Mina yang sudah berfungsi begitu lama,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, untuk pelan jangka isu itu perlu dilihat daripada dua aspek.

    Kata beliau, yang pertamanya dari sudut kemudahan dan keduanya dari segi perkhidmatan.

    “Yang berkaitan infrastruktur dan kemudahan ia bergantung kepada pihak berkuasa kerajaan Arab Saudi kerana mereka mempunyai pelan dan program untuk memodenkan dan menambah kapasiti sehingga lima juta jemaah haji selaras Visi 2030. Dari segi perkhidmatan ia disampaikan pelbagai agensi terlibat bukan sahaja dengan pihak Masyariq tetapi melibatkan pihak lain seperti Kementerian Haji dan Umrah, pihak yang menguruskan pengangkutan, makanan, kesihatan dan sebagainya,” katanya.

    Kata Syed Saleh, TH akan memberi maklum balas mengenai kemudahan dan perkhidmatan yang diterima jemaah haji Malaysia kepada pihak yang terlibat untuk tindakan selanjutnya.

  • Badal haji: Mangsa penipuan dinasihat lapor polis

    Badal haji: Mangsa penipuan dinasihat lapor polis

    UMAT Islam yang telah menjadi mangsa penipuan badal haji dinasihatkan membuat laporan polis memandangkan kes berkenaan masih berlaku apabila tiba musim haji.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, sebelum ini juga sudah banyak peringatan diberikan kepada orang ramai agar berhati-hati dengan penipuan berkenaan namun masih ada yang menjadi mangsa.  

    “Sekali lagi diingatkan supaya selidik terlebih dahulu sebelum mengambil perkhidmatan badal haji ditawarkan individu atau syarikat yang tidak dilesenkan Lembaga Tabung Haji (TH). Jika bukan ditawarkan syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang dilesenkan TH, mereka perlu siasat betul-betul supaya tidak tertipu. Kita tidak mahu badal haji menjadi ‘bedal haji’,” katanya lapor wartawan SINAR HARIAN di Mekah.

    Mohd Na’im berkata, rakyat Malaysia secara umum terkenal dengan ‘lembut hati’ dan mudah mempercayai orang lain, terutama apabila membabitkan urusan ibadah antara punca kes berkenaan masih berlaku.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu badal haji yang tular dalam media sosial, pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Rawatan TH di Mekah malam tadi.

    Ia susulan pendedahan video berdurasi 51 saat di Facebook pada Rabu yang memaparkan mengenai tindakan sekumpulan lelaki yang menggunakan khidmat ‘pelakon’ untuk menunjukkan bukti bahawa badal haji telah dilaksanakan.

    Helaian kertas kononnya sebagai bukti ibadah itu dilakukan turut kelihatan bersepah di sekitar kawasan Jabal Rahmah, Makkah dibuang oleh kumpulan terbabit dengan tertera nama dari pelbagai negara termasuklah Malaysia.

    Badal haji atau ganti haji bermaksud seseorang yang telah melakukan haji untuk dirinya boleh melaksanakan haji untuk orang lain sama ada yang telah meninggal dunia atau sakit yang tiada harapan sembuh untuk melakukan ibadah haji.

    Sementara itu, Mohd Na’im berkata, seramai tujuh daripada 31,600 jemaah haji Malaysia tidak dapat menyempurnakan ibadah wukuf pada Selasa lepas kerana masalah kesihatan mental dan koma.

    Katanya, empat pesakit yang menghadapi masalah kesihatan mental berada di Pusat Rawatan TH dan tiga yang koma berada hospital Arab Saudi.

    Beliau berkata dua jemaah haji yang koma disebabkan serangan strok dan seorang lagi akibat radang paru-paru akan terus menerima rawatan di fasiliti kesihatan Arab Saudi sehingga doktor membenarkan mereka pulang ke tanah air.

    Mengenai pergerakan semasa jemaah haji, beliau berkata ketika ini mereka sedang berada di Mina, kira-kira 6 kilometer dari Makkah untuk melakukan ibadah melontar di tiga jamrah, iaitu fasa terakhir haji.

  • Tidak perlu lagi pakai pelitup muka di hospital, pengangkutan awam mulai 5 Julai

    Tidak perlu lagi pakai pelitup muka di hospital, pengangkutan awam mulai 5 Julai

    PEMAKAIAN pelitup muka tidak lagi wajib di hospital dan pengangkutan awam mulai 5 Julai ini,.

    Bagaimanapun ketika mengumumkan perkara itu Menteri Kesihatan Dr.Zaliha Mustafa berkata,  ia kekal wajib bagi pesakit positif Covid-19 dan petugas kesihatan susulan prosedur kawalan jangkitan ketika berurusan dengan pesakit.

    Dalam satu kenyataan hari ini beliau berkata, individu berisiko tinggi seperti warga emas, individu berimuniti rendah, bergejala respiratori dan ibu mengandung amat digalakkan memakai pelitup muka di tempat sesak, pengudaraan kurang baik serta semasa menaiki pengangkutan awam.

    Zaliha berkata, tempoh kuarantin pesakit Covid-19 turut dipendekkan daripada tujuh hari ke lima hari sejak gejala pertama muncul, mulai 5 Julai ini.

    Beliau menjelaskan, pengisytiharan status kawasan tempatan jangkitan di Malaysia yang akan tamat esok dilanjutkan enam bulan sehingga 31 Disember ini, walaupun situasi semasa Covid-19 tidak lagi membimbangkan.

    Kata beliau, lanjutan itu perlu kerana terdapat risiko kemunculan varian dan subvarian baharu Covid-19 di Malaysia.

    “Selain itu, perhimpunan ramai yang dijangka berlaku semasa sambutan Hari Raya Aidiladha dan juga PRN mungkin berisiko menyumbang kepada peningkatan kes serta membebankan sistem perkhidmatan kesihatan, jika langkah kawalan dan pencegahan tidak dilaksanakan sepenuhnya.

    “Kementerian Kesihatan akan terus memantau situasi Covid-19 dan juga varian dilaporkan untuk mengambil tindakan segera dan wajar apabila diperlukan,” katanya.

  • Wanita maut semasa hantar anak ke sekolah

    Wanita maut semasa hantar anak ke sekolah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG wanita maut sementara enam cedera selepas terlibat dalam kemalangan dua kereta dan sebuah lori di Kilometer 77 Jalan Johor Bahru-Air Hitam, Kluang, pukul 7.30 pagi tadi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh, nahas melibatkan sebuah kereta Produa Axia dinaiki sebuah keluarga lima beranak dipandu seorang wanita, sebuah kereta Perodua Axia dipandu seorang lelaki bersama seorang penumpang dan sebuah lori pasir.

    Katanya, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku ketika pemandu lelaki bersama rakannya serta lori pasir dalam perjalanan dari arah Ayer Hitam ke Simpang Renggam manakala pemandu wanita dikenali sebagai Nor Hayati, 45, datang dari arah bertentangan.

    “Sebaik sampai di lokasi, pemandu lelaki yang dikenali sebagai Adam Chua, 20, secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertembung dengan kereta dipandu Nor Hayati.

    “Akibat pertembungan itu, kereta Produa Axia dipandu oleh Adam Chua berpusing dan masuk semula ke laluan asal sebelum dilanggar oleh sebuah lori pasir yang dipandu oleh Mohamad Aidil, 20-an,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, kejadian itu juga menyebabkan Nor Hayati maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan di bahagian dada dan kaki manakala empat anaknya berusia enam hingga 16 tahun cedera dan masing-masing dirawat di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom serta Klinik Kesihatan Simpang Renggam dekat Kluang.

    Katanya, kemalangan itu berlaku ketika wanita berkenaan dalam perjalanan menghantar anaknya ke sekolah berhampiran kawasan kemalangan.

    Menurut Bahrin, pemandu lelaki bersama rakannya itu turut mengalami kecederaan di dada, perut dan kaki dirujuk ke Hospital Pakar KPJ Kluang untuk mendapatkan rawatan.

    Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, katanya.

  • Jemaah haji Malaysia bergerak ke Arafah

    Jemaah haji Malaysia bergerak ke Arafah

    PERGERAKAN  jemaah haji Malaysia secara berperingkat ke Arafah berjalan lancar dengan bas pertama bertolak jam 7 pagi (pukul 12 tengahari waktu Malaysia), hari ini.

    Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, dijangka sebelum Maghrib waktu Arab Saudi semua jemaah haji muassasah akan tiba di Arafah bagi persediaan Wukuf.

    Menurut beliau, secara keseluruhan 21 bas secara ulang-alik membawa jemaah haji dari sembilan maktab penginapan dengan purata sebanyak tiga trip.

    “Petugas kita akan pastikan tiada jemaah yang tertinggal kerana akan ada pemeriksaan dari bilik ke bilik dan juga di kawasan sekitar Masjidil Haram,” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi pergerakan jemaah di Ibu Pejabat Tabung Haji (TH) di Abraj Al Janadriyah, lapor wartawan SINAR HARIAN di Mekah.

    Katanya, kemudahan di Arafah, Mudzalifah dan Mina lengkap sepenuhnya dengan bilik gerakan operasi  diaktifkan untuk menyambut kehadiran jemaah haji.

    “Pasukan petugas telah bergerak awal untuk membuat persiapan terakhir dari semua sudut supaya operasi Masyair kali ini berjalan seperti yang dijadualkan,” katanya.

    Pada tahun ini seramai 31,600 jemaah haji Malaysia bersama-sama kira-kira tiga juta jemaah haji seluruh dunia akan berada di Arafah, Mudzalifah dan Mina yang menjadi kemuncak ibadah haji.

    Kerajaan Arab Saudi menetapkan hari Wukuf adalah pada esok  manakala Aidiladha disambut pada Rabu.

    Sementara itu, 60 pesakit telah dikenal pasti untuk dibawa dengan bas khas dari Pusat Perubatan Syisyah Makkah ke Arafah melalui program Safari Wukuf.

    Pengarah Operasi (Perubatan) Makkah, Dr Amin Sah Ahmad berkata, sebanyak enam bas disediakan dan dibantu 111 petugas yang terdiri daripada doktor pakar dan jururawat.

    Katanya, pada 9 Zulhijjah jam 3 pagi pesakit terlibat akan dipersiapkan diri oleh petugas untuk mandi, memakai ihram dan menunaikan solat Subuh.

    Kata beliau, pada jam 10 pagi bas akan bergerak ke Arafah dan kira-kira jam 12.24 tengah hari pesakit akan dapat mengikuti Khutbah Arafah, solat Zohor dan Asar secara jamak tamam.

    “Semua proses akan berakhir pada jam 4 petang dengan semua pesakit akan dibawa semula ke wad masing-masing,” katanya.

    Dalam pada itu, Ketua Pakar Perubatan, Dr Nabilah Salman Parasi@Sulaiman berkata, terdapat beberapa kategori pesakit yang terlibat dalam program Safari Wukuf.

    “Kategori kritikal ialah pesakit yang memerlukan obrservasi teliti yang perlukan oksigen untuk bantuan pernafasan.

    “Kategori kedua ialah semi kritikal iaitu pesakit yang baru saja alami serangan jantung, asma, jangkitan kuman dan masalah paru-paru,”katanya.

    Dr Nabilah berkata, kategori berikutnya ialah pesakit jantung yang telah menerima rawatan serangan jantung tetapi dan berada dalam keadaan stabil.

    Kata beliau, pesakit psikiatri yang stabil emosi akan diletakkan dalam satu bas dan kategori tidak kritikal ialah mereka yang alami kecederaan akibat patah dan kes jangkitan kuman.

    Program Safari Wukuf telah dilaksanakan sejak tahun 2014 bagi membolehkan jemaah haji yang sakit menyempurnakan Wukuf masing-masing.

  • Rugi RM30,000 selepas disapa 3 bomoh China

    Rugi RM30,000 selepas disapa 3 bomoh China

    SEORANG wanita warga emas di Miri berputih mata apabila wang simpanan RM30,000 lesap selepas mendakwa ditipu tiga bomoh China.

    Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd. Azman Admad Sapri berkata, kejadian berlaku pada 19 Jun lalu, pada 7 pagi apabila mangsa yang berusia 80 tahun itu disapa tiga wanita dipercayai warga China.

    “Mangsa disapa tiga wanita berkenaan di perhentian bas Jalan Raja, Miri, selepas dia turun dari bas untuk ke kawasan bersenam.

    “Ketiga wanita itu dikatakan memakai pelitup muka dan tiba-tiba mengatakannya kepadanya yang dia akan ditimpa nasib malang dalam masa tiga hari.

    “Seorang daripada suspek mengatakan pernah berjumpa dengan mendiang suami mangsa dan mengatakan kononnya pernah menyuruh mereka mencari mangsa untuk membuang nasib malang kerana kononnya anak lelaki mangsa akan meninggal dunia dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mohd. Azman menambah suspek kemudiannya menawarkan mangsa untuk berubat dengan mereka bagi membuang nasib malang itu.

    Selain itu, beliau berkata, seorang daripada suspek itu juga mengatakan perlu menghubungi kawasan mereka yang kononnya berumur 100 tahun untuk meminta nasihat dan cara berubat.

    “Suspek menghubungi kawasan mereka dan bercakap dalam bahasa Cina sebelum mengarahkan mangsa untuk mengambil wang sebanyak RM4,000 dan mengeluarkan wang dari akaun banknya sebanyak RM26,000,” katanya.

    Menurutnya, mangsa kemudiannya diarahkan masuk ke dalam sebuah kereta berwarna hitam dan kemudian menyuruh mangsa mencuci tangan serta kaki di luar kereta menggunakan air botol yang dibawa oleh mereka kononnya sudah dijampi bagi membuang nasib malang berkenaan.

    Katanya, selepas mangsa mencuci tangan dan kaki, suspek menyerahkan semula barang mangsa yang dibungkus dengan surat khabar serta menyuruh mangsa beredar dari lokasi dan hanya boleh membuka bungkusan berkenaan selepas empat hari.

    “Pada 23 Jun lalu, mangsa minta anak lelaki dan menantunya pulang ke rumah bagi membuka bungkusan surat khabar berkenaan.

    “Apabila dibuka, ia hanya mengandungi garam kasar,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Alunan selawat bergema di Stadium Darul Aman

    Alunan selawat bergema di Stadium Darul Aman

    Oleh BADLISHAH MAT

    STADIUM Darul Aman yang memiliki kapasiti kira-kira 25,000 orang hampir dipenuhi lautan manusia apabila rakyat Kedah dan negeri sekitarnya membanjiri lokasi itu bagi menyertai program Himpunan Kedah Berselawat anjuran kerajaan negeri Kedah.

    Majlis yang bermula sejak pukul 7.30 malam itu dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah diikuti solat hajat dan doa munajat sebelum diteruskan dengan kuliah Maghrib Perdana serta solat Isyak.

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor antara pimpinan utama yang hadir ke program itu bersama barisan Exco Kerajaan Negeri serta wakil-wakil rakyat negeri Kedah.

    Turut hadir, tokoh ulama Kedah, Abdullah Lebai Samah yang juga pengasas Madrasah Takwiyatul Islamiah atau dikenali Pondok Bukit Lada; Pengerusi Yayasan Islam Negeri Kedah, Syeikh Mohamad Rodi Abdul Rahman dan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim.

    Sebanyak empat pusingan selawat dan qasidah dialunkan sepanjang himpunan tersebut sebelum Tausiah disampaikan oleh Syeikh Muhd. Zainal Asri Mohd. Romli dan diikuti ucapan Muhammad Sanusi.

    Muhammad Sanusi berkata, program berkenaan merupakan himpunan terbesar yang diadakan dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.

    “Himpunan yang besar pernah diadakan di Stadium Darul Aman adalah Himpunan Hijau pada tahun 2012.

    “Alhamdulilah Allah beri izin dan Allah paut hati-hati kita untuk berhimpun bersama dengan para alim ulama, asatizah dan para pemimpin yang dalam tempoh bebrapa tahun ini sedaya upaya membawa kebaikan seperti mana dituntut Allah,” katanya pada program itu malam tadi.

  • Pelajar Tahfiz yang dilaporkan hilang sejak Rabu ditemui selamat

    Pelajar Tahfiz yang dilaporkan hilang sejak Rabu ditemui selamat

    PELAJAR tahfiz yang dilaporkan hilang lebih 70 jam di kawasan kebun getah di Kampung Tanjung Sejarah, Kampung Tawai, di sini Rabu lalu ditemui selamat.

    Mangsa, Muhammad Naufal Adzimi Mohd Harris, 17, ditemui anggota penyelamat sekitar jam 10.49 pagi pada Sabtu.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, remaja itu ditemui dalam keadaan lemah dan tidak bermaya pada jarak dua kilometer (KM) dari lokasi motosikal mangsa dijumpai.

    “Operasi hari ketiga telah dipecahkan kepada lapan kumpulan dengan gerak kerja dimulakan dengan melaungkan azan.

    “Mangsa berjaya dijumpai oleh Unit Anjing Pengesan (K9) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas dua jam operasi dimulakan. Situasi mangsa yang bergerak menyebabkan dia tidak ditemui sebelum ini,” katanya di Gerik, lapor Sinar Harian.

    Menurutnya, usaha membawa keluar mangsa sedang dilakukan untuk dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Gerik.

    “Liputan komunikasi agak terhad di lokasi kejadian. Disebabkan keadaan fizikal mangsa yang besar, kita cuba membawa mangsa keluar dengan menggunakan kenderaan. Seramai 94 anggota pelbagai operasi antaranya bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), PDRM, PGA, Sapura dan orang awam menyertai operasi kali ini,” katanya.

    Media melaporkan remaja terbabit antara pelajar terbaik di maahad tahfiz tempat dia belajar dan berjaya menghafal 30 juzuk al-Quran pada usia 14 tahun malah, sempat menjadi imam di surau kawasan rumahnya.

    Pada Khamis, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik menerima laporan sekitar jam 1.33 pagi berhubung kejadian seorang remaja lelaki hilang.

    Mangsa kali terakhir dilihat di sekitar Kampung Ulu Kenderong, Jalan Air Bertam pada jam 9 pagi dikatakan mengalami gangguan emosi.

    Pencarian digerakkan keluarga dan rakan mangsa berhasil menemukan motosikal yang ditinggalkan mangsa di kawasan kebun getah sekitar jam 6 petang sebelum melaporkan kepada pihak polis.