Category: Umum

  • Bosan konflik dalaman, 63 ahli UMNO sertai PN

    Bosan konflik dalaman, 63 ahli UMNO sertai PN

    KEMENANGAN bergaya UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akhir tahun lepas rupa-rupanya tidak mampu bertahan lama, apabila rakyat mulai sedar keadaan sebenar.

    Krisis dalaman UMNO tidak mampu dipertahankan lagi sehingga menimbulkan perasaan cemuh dalam kalangan ahli dan penyokong.

    Bosan terhadap perkembangan yang berlaku itu menjadi punca 63 bekas ahli dan penyokong Umno di Masjid Tanah mengumumkan keluar dari parti itu dan menyertai PAS.

    Malam tadi mereka menyerah borang kepada kepada Yang Dipertua Pas Masjid Tanah, Imran Abdul Rahman sempena program ceramah kelompok Perikatan Nasional (PN) di Sungai Tuang.

    Borang permohonan menyertai Pas diserahkan wakil ahli-ahli UMNO, Saari Bakar, 75.

    Ketika ditemui Saari yang tinggal di Kampung Air Hitam Darat berkata, beliau menyertai Pas kerana bosan dengan pelbagai masalah yang melanda Umno sekarang.

    “Sekarang UMNO bergolak, pemimpin yang terbabit rasuah pun ramai. Itu yang menyebabkan saya mengambil keputusan keluar UMNO. Kita tak nak subahat.

    “Saya bersama kawan-kawan termasuk dari kampung-kampung lain semuanya 63 orang yang serah borang menyertai PAS,” katanya lapor Harakahdaily.

    Menurutnya juga beliau melihat kredibiliti calon PN yang bertanding dan bukan sekadar taksub kepada parti.

    Seorang lagi ahli UMNO Yusuf Tan, 65 berkata beliau tertarik menyertai Pas kerana perjuangan Islam yang dibawa parti itu.

    “Islam ni agama kita dan agama rasmi negara. Dan Pas sebuah parti yang memperjuangkan Islam,” kata beliau yang merupakan bekas ahli jawatankuasa UMNO Masjid Tanah.

    Menurutnya juga sudah lama hasratnya mahu menyertai Pas, namun terpengaruh dengan hasutan pemimpin UMNO yang menghodohkan imej Pas.

    Sementara itu, Imran berkata, tindakan ahli-ahli UMNO keluar parti dan menyertai Pas membuktikan perjuangan Pas semakin mendapat tempat di hati rakyat.

    Katanya perkembangan yang berlaku itu agak luar biasa kerana jarang berlaku sebelum ini kerana Umno mempunyai kemampuan material yang hebat.

    “Ini menunjukkan keberanian dan keikhlasan mereka untuk menyertai PAS. Saya percaya ini petanda kemenangan Pas dan PN semakin hampir,” ujarnya.

    Hadir sama pada program ceramah itu calon PN Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Naib Yang Dipertua, Azmi Sambul.

    Pada PRU kali ini Parlimen Masjid Tanah menyaksikan pertembungan empat penjuru apabila Mas Ermieyati ditentang calon Gerakan Tanah Air (GTA), Handrawirawan Abu Bakar, Abdul Hakim (BN) dan Mutalib Uthman (PH).

  • Penyata laporan PN BEST disediakan jika bentuk kerajaan – Muhyiddin

    Penyata laporan PN BEST disediakan jika bentuk kerajaan – Muhyiddin

    PERIKATAN Nasional (PN) akan menyediakan penyata laporan bagi mencatat pencapaian dalam tawaran manifestonya yang dilaksanakan, jika berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Sabtu ini.

    Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Tawaran PN PRU-15 Prihatin, Bersih dan Stabil bersifat realistik dan akan dilaksanakan menerusi pelbagai program pembangunan.

    “Setiap pencapaian yang tertulis pada tawaran itu akan dicatat dan dikemukakan dalam bentuk penyata laporan sebagai bukti setiap apa yang dijanji dilaksana sepanjang tempoh pemerintahan.

    “Tawaran PN PRU15 Prihatin, Bersih dan Stabil bersifat realistik dan akan dilaksanakan menerusi pelbagai program pembangunan yang sudah pasti dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi negara serta melindungi kebajikan rakyat.

    “Insya-Allah tidak ada seorang pun yang ketinggalan dalam menikmati hasil kemakmuran negara,” kata Muhyiddin dalam catatan Facebook hari ini.

    Untuk rekod Perikatan Nasional juga akan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas yang dianggotai pakar bagi memantau segala pelaksanaan inisiatif yang ditawarkan itu.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin turut menceritakan siri jelajahnya di Batu Pahat semalam yang turut memperkenalkan empat calon PN bertanding PRU-15 iaitu Datuk Mohd Rashid Hasnon (Batu Pahat), Dr. Abdul Karim Deraman ( Parit Sulong); Mohd Fazrul Kamat ( Simpang Renggam) dan Zanariyah Abdul Hamid calon Parlimen Sri Gading.

    Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, beliau dapat merasakan sudah ada gelombang kebangkitan rakyat untuk memilih pemimpin berkelayakan bagi menjunjung amanah dan membawa kesejahteraan kepada masyarakat berbilang kaum.

    Menurutnya, kesemua calon ditampilkan PN juga amat berpengalaman serta pakar dalam bidang masing-masing.

    “Saya menegaskan semua calon ini amat berpengalaman serta pakar dalam bidang masing-masing dan ini sekali gus memberi kelebihan kepada mereka untuk membawa suara rakyat ke Parlimen nanti,” katanya.

    Sementara itu, Muhyiddin turut mengulangi gesaannya agar pengundi keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab mengundi Sabtu ini bagi memilih parti politik yang bakal menerajui kerajaan Persekutuan.

    “Setiap ibu bapa bertanggungjawab membimbing anak-anak mereka memilih pemimpin yang amanah yang dapat menggalas tugas demi pembangunan ummah,” tambahnya.

  • Undi pos tentera sudah bermula 7 Nov – Affendi

    Undi pos tentera sudah bermula 7 Nov – Affendi

    PROSES membuang undi bagi anggota tentera (ATM) yang didaftarkan sebagai pengundi pos telah bermula 7 November lalu.

    Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Affendi Buang selain itu berkata, bagi pengundian awal Selasa ini pula, seramai 146,737 anggota dan pasangan akan mengundi di 153 pusat mengundi yang telah diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    Menurutnya, adalah menjadi harapan ATM agar proses pengundian berkenaan berjalan dengan lancar bagi membolehkan setiap anggota dapat menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi yang sah sepertimana rakyat Malaysia yang lain.

    “ATM juga sentiasa menyokong proses dan sistem demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran raja berperlembagaan dengan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara.

    “Atas kesetiaan kepada Agong juga, warga ATM sentiasa berpegang kepada norma-norma integriti di dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab demi kesejahteraan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

    Kenyataan itu menyusul selepas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Presiden PKR, Datuk SeriAnwar Ibrahim mendakwa ada anggota tentera khususnya dalam kawasan Parlimen Bera sudah mengundi untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

    Anwar turut mendakwa anggota tentera terbabit dibayar RM300 untuk berbuat demikian.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mempertikai dakwaan Anwar dan menyifatkan dawaan itu sebagai fitnah dan berniat jahat terhadap anggota pasukan keselamatan.

    Mengulas lanjut Affendi berkata, apa yang penting pihaknya akan terus memfokuskan keutamaan dalam memperkasakan kesiapsiagaan angkatan demi melindungi kepentingan dan kedaulatan negara.

    “Apatah lagi, ketika negara kini telah mula memasuki musim tengkujuh yang bermula sejak 7 Nov dan akan berlarutan sehingga Mac 2023. ATM kini telahpun bersiap siaga dan bersedia untuk mengatur gerakan aset sekiranya berlakunya banjir terutama di negeri-negeri yang berisiko terjejas dengan bencana tersebut.

    “Dalam pelaksanaan PRU-15 terutama pada 19 November nanti, ATM juga bersedia menghulurkan bantuan kepada SPR, pihak berkuasa tempatan dan pihak berkuasa awam dalam memastikan perjalanan proses pengundian di seluruh negara berjalan dengan lancar,” katanya.

    Tambahnya, ia bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara daripada sebarang kemungkinan yang tidak diingini sepanjang proses pengundian serta ketika keputusan pilihan raya diumumkan nanti.

  • Pemilih positif COVID-19 tak dibenar guna pengangkutan awam mengundi – KKM

    Pemilih positif COVID-19 tak dibenar guna pengangkutan awam mengundi – KKM

    PEMILIH yang layak mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan positif COVID-19 tidak dibenarkan menaiki pengangkutan awam termasuk e-hailing pada hari pengundian 19 November ini.

    Ia antara beberapa langkah am proses pengundian yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan proses berjalan dengan selamat dan mengurangkan risiko jangkitan kepada pengundi lain serta petugas di pusat pengundi.

    KKM menerusi hantaran di Facebook berkata, pengundi positif COVID-19 juga disaran untuk tidak singgah di mana-mana tempat sama ada sebelum atau selepas mengundi dengan segera pulang selepas selesai membuang undi.

    “Pemakaian pelitup muka diwajibkan bagi semua kes positif COVID-19 dan amat digalakkan bagi pengundi lain.

    “Pengundi positif COVID-19 perlu mematuhi penjarakan fizikal yang selamat manakala penjarakan fizikal bagi pengundi lain amat digalakkan,” katanya hari ini.

    Berdasarkan nasihat am kepada pengundi PRU yang dikongsikan itu juga, pengundi dinasihatkan memastikan tangan dibersihkan dengan pensanitasi tangan di tempat yang dikenal pasti mengundi dan turut disyorkan agar membawa pensanitasi tangan sendiri.

    “Petugas kesihatan akan ditempatkan di pusat mengundi bagi membantu melicinkan urusan pengundian bagi pengundi positif Covid-19,” katanya lapor Sinar Harian.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebelum ini dilapor KKM akan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) COVID Safe Election, dengan mengesyorkan individu positif COVID-19 dibenarkan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi pada PRU15 tidak lama lagi.

    Beliau berkata, kebenaran itu akan dimuktamadkan dan disyorkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat, dengan pematuhan SOP yang ketat

  • Replika pesawat PN jadi tarikan pengunjung ke Sik

    Replika pesawat PN jadi tarikan pengunjung ke Sik

    REPLIKA sebuah pesawat Boeing 737 yang bertemakan bendera Perikatan Nasional (PN) kini menjadi tarikan orang ramai untuk berkunjung ke sebuah kampung di Sik, Kedah.

    Lapor Free Malaysia Today, oleh kerana jumlah pengunjung yang ramai, penduduk terpaksa membantu mengawal lalu lintas dan menyediakan tempat letak kereta khas untuk pelawat yang datang ke Kampung Batu Besar, lokasi pesawat itu berada.

    Antara pengunjung yang hadir termasuklah, sekumpulan 35 penyokong Pas yang menunggang motosikal selama lima jam dari Gerik, Perak ke kampung itu.

    Ibrahim Ahmad, 46, dia dan kawan-kawannya memutuskan untuk berkonvoi menaiki motosikal ke Sik selepas melihat satu video di TikTok mengenai kapal terbang itu.

    Satu pondok kecil berhampiran turut menyediakan makanan percuma kepada pengunjung. Pelawat yang merakamkan gambar di replika pesawat itu turut menyumbang dalam tabung derma bagi membantu kempen pilihan raya Pas.

    Pelawat masuk ke dalam “kabin” pesawat itu yang dihiasi lukisan mural pada dinding.

    Replika pesawat itu sebenarnya dibina seorang penyokong Pas kira-kira empat tahun lalu dan dicat dengan warna parti itu. Ia sekali lagi menarik perhatian orang ramai selepas dicat dengan tema biru PN.

    Pelawat boleh masuk ke dalam kabin menggunakan tangga yang dilengkapi dengan kipas siling, lampu chandelier dan dialas dengan tikar mengkuang. Dindingnya pula dihiasi lukisan mural sungai dan hutan serta watak kartun.

    Penyokong Pas yang juga penyelia tapak, Mat Piah Hat, 51, berkata, replika itu dibina untuk kempen pilihan raya umum 2018. Penduduk kemudiannya mengecat replika itu bagi menandakan kerjasama parti itu dalam PN.

    “Kira-kira 10 orang mengecat pesawat ini. Kami mengambil masa lima hari dan lima malam untuk menyiapkannya. Ia adalah usaha komuniti ini,” katanya.

    Seorang ahli perniagaan membiayai kos membina replika pesawat itu dan beliau juga membenarkan ia ditempatkan di depan halaman rumahnya.

    Katanya, penyokong Pas sebelum ini pernah membina replika helikopter daripada buluh dan menghiasnya dengan simbol Pas.

    Mat berkata, pesawat itu melambangkan masa depan Pas, di mana parti itu suatu hari nanti akan melonjak lebih tinggi dan bakal memerintah kerajaan.

    Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Razif berkata, kampung itu kini menjadi “mercu tanda Sik” walaupun terletak 12km dari pusat bandar itu.

    “Apabila saya beritahu saya dari Sik, ramai yang garu kepala. Tetapi apabila saya cakap saya berasal dari kampung yang ada kapal terbang Pas, mereka semua tahu,” katanya.

  • Tengku Zafrul tegaskan kelulusan projek tebatan banjir ikut peraturan

    Tengku Zafrul tegaskan kelulusan projek tebatan banjir ikut peraturan

    MENTERI Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini menegaskan kelulusan projek tebatan banjir Sungai Langat Fasa 2 yang didakwa dibuat selepas Parlimen dibubarkan, dibuat mengikut peraturan sedia. 

    Sebelum ini, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA)  kini dalam proses untuk menganugerahkan projek bernilai RM2 bilion secara rundingan terus kepada sebuah syarikat kontraktor yang dikatakan mempunyai kaitan dengan pemimpin UMNO.

    Syarikat itu juga didakwa telah mendapat kelulusan daripada Tengku Zafrul via surat bertarikh 7 Oktober iaitu hari pembentangan Bajet 2023 di Parlimen, satu hari bekerja sebelum Parlimen dibubarkan.

    Dalam ciapan di twitter hari ini, Tengku Zafrul turut mencabar Rafizi untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika terdapat bukti pelanggaran, serta mengemukakan bukti dan tidak menunggu kemenangan di pilihan raya umum untuk mengambil tindakan.

    Sementara itu di Kuala Selangor Tengku Zafrul berkata satu pasukan petugas melibatkan agensi berkaitan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran, kerajaan negeri, kerajaan tempatan serta Kementerian Alam Sekitar Dan Air akan ditubuh bagi mencari penyelesaian isu banjir di Kuala Selangor. 

    Beliau yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Selangor berkata isu banjir di Kuala Selangor memerlukan satu pendekatan yang holistik agar ia dapat diatasi dengan berkesan.

    Beliau berkata pada Bajet 2023 yang dibentangkannya bulan lepas, Kerajaan Persekutuan menyatakan komitmennya bagi mengatasi isu banjir dengan memperuntukkan sebanyak RM15 bilion untuk projek tebatan banjir.

    “Projek ini sekarang pada fasa penilaian bagi tujuan pelantikan kontraktor, bagaimanapun isu banjir ini juga melibatkan isu penyelenggaran sistem perparitan dan melalui satu kajian oleh badan bebas mendapati sebanyak 30 peratus isu ini berpunca daripada sistem longkang dan parit yang tersumbat akibat sampah serta tidak diselenggara secara berjadual,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika ditemui selepas melawat pusat penempatan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Jeram, di sini hari ini.

    Seramai 32 mangsa daripada enam keluarga ditempatkan di PPS itu setakat pagi tadi. – BERNAMA

  • Lebih 400 km paip uzur di Kelantan sedang dibaik pulih – Tuan Ibrahim

    Lebih 400 km paip uzur di Kelantan sedang dibaik pulih – Tuan Ibrahim

    KEMENTERIAN Alam Sekitar dan Air (KASA) sedang membaik pulih paip uzur sepanjang lebih 400 kilometer (km) di seluruh Kelantan dengan peruntukan berjumlah RM218 juta, kata Menterinya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

    Beliau berkata daripada jumlah itu sebanyak 106.2 km paip uzur jenis simen asbestos (AC) telah digantikan secara berperingkat.

    “Jumlah keseluruhan penggantian paip uzur AC di Kelantan dianggarkan sepanjang 4,491 km yang mana penggunaannya boleh menjangkau 35 hingga 40 tahun, jadi paip air di Kelantan telah mencecah lebih 40 tahun.

    Oleh itu, kita ketika ini sedang menggantikan paip uzur di beberapa kawasan bagi memastikan bekalan air bersih dapat disalurkan kepada rakyat Kelantan,” katanya pada sidang media harian Perikatan Nasional, di sini hari ini.

    Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata terdapat empat Loji Rawatan Air (LRA) yang dibina di Kelantan telah mula beroperasi dengan kapasiti sebanyak 44 juta liter sehari. 

    “Antara Pembinaan LRA  yang mula beroperasi adalah Kampung Teluk, Kota Bharu berkapasiti 30 juta liter sehari, LRA Mini Telok Mesira, Bachok berkapasiti dua juta liter sehari. 

    Apabila semua LRA baharu beroperasi dengan kapasiti penuh, kadar liputan bekalan air di Kelantan dijangka dapat ditingkatkan daripada 73.1 peratus kepada lebih 80 peratus,” katanya.

    Beliau berkata KASA turut akan membina empat lagi LRA baharu di Kelantan yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2025 dengan peruntukan sebanyak RM664.8 juta.

    Empat LRA baharu tersebut adalah Chicha Fasa 2, Tanjung Mas, Bukit Chupak dan Tok Bali. – BERNAMA

  • Azmin bimbang ekonomi negara terancam jika PH memerintah

    Azmin bimbang ekonomi negara terancam jika PH memerintah

    Oleh BADLISHAH MAT

    EKONOMI negara dibimbangi akan terancam sekiranya Pakatan Harapan (PH) dibenarkan kembali memerintah selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, faktor tersebut ditambah jangkaan situasi ekonomi yang lembap pada tahun hadapan.

    Katanya, ekonomi Malaysia akan parah sekiranya mereka tidak meletakkan dasar yang pragmatik, progresif dan meyakinkan pelabur.

    “Saya bimbang ekonomi Malaysia akan  kembali kepada keadaan parah, apa yang PN lakukan hari ini adalah untuk menyiapkan negara berhadapan dengan kemungkinan kesan ketidaktentuan ekonomi tahun depan.

    “Kita harap impaknya tidak terlalu besar kepada negara kerana asas ekonomi kita semakin kukuh, kesan ketidaktentuan ekonomi global pada 2023 akan mengurangkan impak ke atas ekonomi Malaysia,” katanya selepas Majlis Bersama Komuniti Cina di Lunas, Kulim hari ini.

    Mohamed Azmin yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, ekonomi negara dilihat semakin meningkat berdasarkan laporan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga tahun ini apabila mencapai pertumbuhan 14.2 peratus.

    Kata calon PN Parlimen Gombak itu, kadar tersebut lebih kukuh berbanding 8.9 peratus yang dicatat pada suku kedua.

    Jelasnya, pendekatan yang tidak sihat oleh PH ketika memerintah selama 22 bulan lalu dengan menekan peniaga menyebabkan ekonomi negara tidak stabil.

    “Oleh itu, PN mengambil pendekatan mesra pelabur serta melancarkan misi perniagaan dengan para pelabur dari luar negara,” katanya.

  • Ribut petir diramal mulai esok hingga hari pengundian PRU-15 – MetMalaysia

    Ribut petir diramal mulai esok hingga hari pengundian PRU-15 – MetMalaysia

    JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang berlaku di kebanyakan tempat di pedalaman dan barat Semenanjung, Sarawak serta barat Sabah bermula 13 hingga 19 November, iaitu hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Mengikut analisis model-model cuaca, MetMalaysia menjangkakan fenomena cuaca itu berlaku pada sebelah petang hingga malam sepanjang tempoh tersebut.

    Menurut Pakar meteorologi, Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah semalam, tempoh tiga hari mulai Sabtu hingga Isnin amat penting bagi meramalkan keadaan cuaca semasa hari pengundian PRU15.

    “Luruan angin timuran masih ada, tetapi yang menarik ialah terdapat tekanan rendah di bahagian selatan negara iaitu berhampiran Johor. Ini menunjukkan negara kita mempunyai semua elemen yang merangsangkan hujan,” katanya dalam program Malaysia Memilih, hari ini lapor Astro Awani.

    Sebelum itu, MetMalaysia meramalkan Monsun Timur Laut mula melanda negara pada pertengahan November dan berterusan sehingga Mac depan.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai hak menangguhkan PRU15 jika banjir besar berlaku dan perbincangan lanjut akan dibuat sekiranya keadaan mendesak.

    Bagaimanapun katanya, persediaan telah dilakukan lebih awal melibatkan semua agensi sebelum pembubaran Parlimen.

  • ‘Ajak anak pilih pemimpin terbukti berjasa’, pesan Muhyiddin kepada ibu bapa

    ‘Ajak anak pilih pemimpin terbukti berjasa’, pesan Muhyiddin kepada ibu bapa

    IBU bapa bertanggungjawab membimbing dan menerangkan kepada anak mereka khasnya yang baru pertama kali mengundi parti mana yang perlu dipilih pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) 19 November ini.

    Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ibu bapa perlu menyatakan kepada anak mereka untuk memilih pemimpin yang sudah terbukti berjasa dan dapat menjalankan amanah dengan baik sebagai pemimpin.

    Beliau berkata, ibu bapa juga perlu mengingatkan akan kepentingan memilih pemimpin yang bersama rakyat ketika susah dan senang dan pemimpin yang prihatin ketika rakyat bergelut dengan kesulitan.

    “Kepada anak muda, keluarlah beramai-ramai dan laksanakan tanggungjawab memilih pemimpin negara yang layak.

    “Kita khuatir jika mereka tidak keluar mengundi, pemimpin yang bersih dan berwibawa terlepas peluang untuk diangkat menerajui negara,” katanya menerusi catatan terbaharu di Facebook, hari ini.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) turut menceritakan pertemuannya bersama penduduk Kundang Ulu, Parit Raja Gersik, semalam.

    Beliau berkata, jentera PN diminta mengenal pasti pengundi di kawasan mereka mengikut kategori putih, hitam dan atas pagar.

    Menurutnya, mereka diminta menyantuni pengundi berkenaan secara berhemah, bertoleransi serta memberikan penerangan yang jelas bagi membantu mereka membuat pilihan tepat akan parti yang harus dipilih.

    “Ketika saya bertemu dengan jentera parti di Bilik Gerakan PDM Gersik, saya meminta mereka mengenal pasti pengundi mengikut kategori putih, hitam dan atas pagar.

    “Santuni mereka secara berhemah, bertoleransi serta berikan penerangan yang jelas bagi membantu mereka membuat pilihan tepat,” katanya.

    Muhyiddin pada masa sama memberitahu, beliau turut berkesempatan untuk bersama masyarakat India dan penduduk Tionghoa di sekitar bandar Pagoh dan meminta mereka keluar mengundi pada 19 November.

    Katanya, masyarakat Tionghoa dan orang India diharapkan dapat memberi sokongan kepada beliau kerana PRU-15 paling penting yang menjadi penentu siapa dan parti mana yang bakal menerajui negara.

    “Kita perlu menolak pemimpin yang sudah terbukti tidak prihatin rakyat dan menjejaskan imej negara pada mata dunia.

    “Inilah masa untuk kita berganding bahu, mengerah kudrat dan tenaga bagi memastikan hanya pemimpin yang layak dan berwibawa dipilih memimpin negara tercinta. Ayuh semua keluar mengundi, keputusan di tangan anda!,” katanya.