Category: Umum

  • PRU-15: Pengundi ‘bersarakan’ Ku Li dan Mahathir

    PRU-15: Pengundi ‘bersarakan’ Ku Li dan Mahathir

    PENGERUSI Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) Tun Dr Mahathir Mohamad gagal mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi selepas tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN) Datuk Mohd Suhaimi Abdullah.

    Turut menerima nasib serupa ialah Tengku Razaleigh Hamzah yang tewas mengejut kepada calon PAS-Bersatu Datuk Mohd Azizi Abu Naim dalam usaha beliau mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang untuk kali ke-12

    Menurut keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) malam ini, Dr Mahathir, 97, yang merupakan bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh negara serta calon tertua pada PRU15, hanya memperoleh 4,566 undi berbanding 25,463 undi diterima Mohd Suhaimi yang mencatatkan majoriti 13,518 undi.

    Tiga lagi calon yang tewas dalam perebutan kerusi itu ialah calon Barisan Nasional (BN) Datuk Armishah Siraj yang memperoleh 11,945 undi, calon Pakatan Harapan (PH) dari Amanah Zabidi Yahya (5,417 undi) dan calon Bebas yang menggunakan lambang bunga Datuk Abd Kadir Sainudin yang hanya meraih 89 undi dan turut hilang deposit.

    Pada PRU14, Dr Mahathir memenangi kerusi Parlimen Langkawi di bawah tiket PKR dengan majoriti 8,893 undi untuk menewaskan calon BN Datuk Nawawi Ahmad dan Zubir Ahmad dari Pas.

    Sementara itu, Mohd Azizi menang dengan majoriti tipis sebanyak 163 undi apabila memperoleh 21,826 undi manakala Tengku Razaleigh yang mewakili BN mendapat 21,663 undi.

    Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Gua Musang Ab Pattah Hasbullah.

    Tengku Razaleigh, 85, yang lebih mesra dengan panggilan Ku Li, juga merupakan wakil rakyat paling lama berkhidmat di negara ini iaitu 12 penggal di peringkat Parlimen dan negeri.

    Pada PRU14, Tengku Razaleigh memenangi kerusi Parlimen Gua Musang dengan majoriti 3,913 undi selepas menewaskan pencabarnya daripada PAS dan PKR.

  • PRU-15: PN dahului setakat 12.30 malam

    PRU-15: PN dahului setakat 12.30 malam

    PERIKATAN Nasional (PN) mendahului Pilihan Raya Umum ke-15 dengan memenangi 35 kerusi Parlimen setakat 12.30 malam ini.

    Suruhanjaya Pilihan Raya telah mengumumkan keputusan di 112 kerusi Parlimen di seluruh negara.

    Pakatan Harapan pula memenangi 33 kerusi diikuti Gabungan Parti Sarawak (20), Barisan Nasional (16), Gabungan Rakyat Sabah (empat), Warisan (dua) manakala Parti Bangsa Malaysia dan seorang calon Bebas iaitu Riduan Rubin (Tenom) masing-masing satu kerusi. – BERNAMA

  • MB Kelantan zahir kesyukuran menang kesemua kerusi Parlimen

    MB Kelantan zahir kesyukuran menang kesemua kerusi Parlimen

    PERIKATAN Nasional (PN) Kelantan manzahirkan kesyukuran atas kemenangan besar gabungan itu di negeri itu dengan memenangi kesemua 14 kerusi Parlimen.

    Pengerusinya, Datuk Ahmad Yakob berkata, kemenangan itu amat bermakna buat mereka dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

    “Walaupun keputusan ini belum rasmi, keputusan terkini memihak kepada PN dan Insya-Allah kita sapu bersih kesemua 14 kerusi Parlimen di Kelantan.

    “Apa yang mengejutkan, kita berjaya merampas kerusi Parlimen Gua Musang yang disandang oleh Tengku Razaleigh Hamzah sejak sekian lama.

    “Hampir keseluruhan kerusi Parlimen kita mencatatkan kemenangan dengan majoriti yang besar,” katanya pada sidang media di sini, malam ini.

    Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan turut berterima kasih kepada semua penyokong PN termasuk pengundi luar.

    “Di kesempatan ini saya memohon dan menyeru penyokong supaya menyambut kemenangan dengan penuh syukur dan tidak membangkitkansuasana yang tidak harmoni,” katanya.

  • [RASMI] Hadi bergaya pertahan Parlimen Marang dengan majoriti 41,729 undi

    [RASMI] Hadi bergaya pertahan Parlimen Marang dengan majoriti 41,729 undi

    PRESIDEN Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang menang bergaya di kerusi Parlimen Marang yang disandangnya apabila meraih majoriti 41,729 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

    Kemenangan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu jauh lebih besar berbanding keputusan PRU-14 yang mana Hadi memenanginya dengan majoriti 21,954 undi.

    Pada PRU ini, Hadi berjaya mendapat 73,115 undi meninggalkan pesaingnya dari Barisan Nasional (BN), Jasmira Othman (31,386 undi); Azhar Abdul Shukur dari PakataN Harapan (4,140 undi) dan calon PEJUANG, Mohd Shaid Rosli (1,778) undi.

    Pada PRU14, Abdul Hadi menewaskan calon BN, Mohamad Nor Endut dan Zarawi Sulong (PKR).

    PRU kali ini menyaksikan jumlah undi di Marang merekodkan sebanyak 109,068 undi dengan peratusan keluar mengundi sebanyak 82.78 peratus.

    Ketika itu, Abdul Hadi memperoleh 53,749 undi manakala Mohamad Nor (31,795 undi) dan Zarawi (5,318 undi).

  • [RASMI] Mas Ermieyati pertahan kerusi Masjid Tanah

    [RASMI] Mas Ermieyati pertahan kerusi Masjid Tanah

    KEPUTUSAN rasmi Parlimen Masjid Tanah menyaksikan penyandang kerusi itu dari Perikatan Nasional (PN), Datuk Mas Ermieyati Samsudin menang dengan majoriti 4,411 undi.

    Pada PRU-15 ini, beliau berjaya mendapat 25,604 undi mengetepikan saingan sengit calon Barisan Nasional (BN), Abdul Hakim Abdul Wahid yang mendapat 21,193 undi.

    Calon Muda, Mutalib Uthman hanya meraih 7,445 undi manakala calon Gerakan Tanah Air, Handrawirawan Abu Bakar meraih 507 undi.

    Parlimen Masjid Tanah yang mempunyai 69,174 pengundi berdaftar menyaksikan sebanyak 54,749 jumlah undi atau 79.15 peratus keluar mengundi.

    Mas Ermieyati merupakan penyandang kerusi Masjid Tanah sejak 2013.

  • PH diri khemah depan pusat undi, ejen BN lapor polis

    PH diri khemah depan pusat undi, ejen BN lapor polis

    SEORANG ejen kepada calon Barisan Nasional (BN) membuat laporan polis mendakwa Pakatan Harapan (PH) melanggar undang-undang berkempen selepas mendirikan beberapa khemah di luar pusat pengundian di Parlimen Bayan Baru.

    Soh Yeh Hong, selaku ejen calon BN Parlimen Bayan Baru, Saw Yee Fung, berkata, PH melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dengan mendirikan khemah itu pada hari pengundian.

    Ejen calon BN bagi Bayan Baru, Soh Yeh Hong, menunjukkan laporan polis dibuatnya.

    Dalam kenyataan, Soh berkata, beliau menggesa pihak berkuasa menyiasat PH kerana melanggar peraturan di “banyak” pusat pengundian di Parlimen itu.

    Soh turut mengemukakan rakaman video sebagai bukti menurut Free Free Malaysia Today.

    Mengikut undang-undang, semua parti perlu menghentikan kempen, tidak mendirikan khemah atau memakai sebarang baju atau apa-apa yang mempunyai lambang parti, kira-kira 50m dari pusat pengundian.

    Mereka yang didapati bersalah berdepan hukuman penjara maksimum setahun dan denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekiranya didapati bersalah.

  • [TIDAK RASMI] Calon PN dahului Parlimen Port Dickson

    [TIDAK RASMI] Calon PN dahului Parlimen Port Dickson

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Port Dickson, Rafiei Mustapha mendahului kerusi itu setakat pukul 8.56 malam.

    Beliau yang mendapat 4,359 undi mengatasi calon BN, Datuk P. Kamalanathan (2,636); PH diwakili Datuk Seri Aminuddin Harun (2,636) manakala PEJUANG diwakili Ahmad Idham Ahmad Nadzri (116) dan Bebas Abdul Rani Kulup Abdullah tiada undi.

    Port Dickson mempunyai 104,450 pengundi berdaftar.

    Kerusi itu sebelum ini disandang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini bertanding di Tambun.

    Rafiei merupakan Timbalan Pengerusi PN Negeri Sembilan dan Pesuruhjaya Pas negeri itu.

  • [TIDAK RASMI] Calon PN mendahului di Parlimen Batu

    [TIDAK RASMI] Calon PN mendahului di Parlimen Batu

    KEPUTUSAN tidak rasmi bagi Parlimen Batu menyaksikan calon Perikatan Nasional (PN), Azhar Yahya mendahului calon lain dengan jumlah 340 undi.

    Sinar Harian difahamkan, jumlah tersebut direkodkan setakat jam 7.30 malam susulan hanya satu peti undi telah dibawa ke Pusat Penjumlahan Undi Rasmi, Sekolah Menengah Sentul Utama, Jalan Ipoh setakat ini.

    Sementara pengiraan bagi 196 saluran lagi sedang dimuktamadkan di pusat pengundian sebelum dibawa ke pusat penjumlahan undi rasmi.

    Berdasarkan maklumat yang diterima juga, difahamkan lebih 72 peratus pengundi keluar mengundi bagi Parlimen Batu.

    Kerusi Parlimen Batu terdiri daripada 113,863 pengundi menyaksikan pertembungan sepuluh penjuru membabitkan calon penyandang, calon yang kembali bertanding dan muka baharu pada PRU15.

    Pada PRU14, Parlimen Batu dimenangi oleh calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), P Prabakaran dengan majoriti 24,438 undi.

  • [TIDAK RASMI] Abdul Hadi mendahului di Marang

    [TIDAK RASMI] Abdul Hadi mendahului di Marang

    PRESIDEN Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang mendahului di Parlimen Marang dengan majoriti 3,392 undi setakat pukul 8.20 malam.

    Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu memperoleh 6,689 undi, manakala calon Barisan Nasional (BN), Jasmira Othman memperoleh 3,297 undi.

    Dua lagi calon iaitu Pakatan Harapan (PH), Azhar Ab Shukur dan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Dr Zarawi Sulong masing-masing memperoleh 275 undi dan 64 undi.

    Setakat ini lapor Berita Harian, sebanyak 23 daripada 233 peti diterima di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Majlis Daerah Marang di sini.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Parlimen Marang menyaksikan pertandingan empat penjuru antara penyandangnya, Abdul Hadi yang ditentang calon BN, Jasmira; PH, Azhar dan Pejuang, Zarawi.

    Pada PRU14, Abdul Hadi menewaskan calon BN, Mohamad Nor Endut dan Zarawi Sulong (PKR) dengan majoriti 21,954 undi.

    Ketika itu, Abdul Hadi memperoleh 53,749 undi manakala Mohamad Nor (31,795 undi) dan Zarawi (5,318 undi)

  • PRU-15: MySPR Semak ‘laku keras’, capai hits lepasi 2.5j persaat

    PRU-15: MySPR Semak ‘laku keras’, capai hits lepasi 2.5j persaat

    APLIKASI dan portal MySPR Semak mendapat hits yang terlampau tinggi sehingga melepasi 2.5 juta persaat, dedah Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).

    Ini sekali gus menyebabkan berlakunya kesesakan dan gangguan pada capaian aplikasi dan portal berkenaan.

    Menurut SPR, telah memaksimakan penggunaan server yang ada bagi mengatasi masalah ini.

    “MySPR Semak mendapat hits yang terlampau tinggi sehing-ga melepasi 2.5 juta persaat. Ini sekaligus menyebabkan berlakunya kesesakan dan gangguan pada capaian aplikasi dan portal MySPR Semak.

    “Pihak SPR telah memaksimakan penggunaan server yang ada bagi mengatasi masalah ini,” kata SPR menerusi makluman di Facebook.

    Mengulas lanjut, SPR berkata, sebagai alternatif para pengundi boleh mendapatkan maklumat pengundian sama ada dengan menelefon talian hotline SPR.

    Ia boleh dibuat dengan menghubungi talian 03-8892 7218 atau menyemak dibarung SPR di semua pusat mengundi.