Category: Umum

  • PRN : PH dijangka tanding 20 kerusi, BN bertarung di 15 kerusi di Kedah

    PRN : PH dijangka tanding 20 kerusi, BN bertarung di 15 kerusi di Kedah

    PAKATAN  Harapan (PH) dijangka bertanding 20 kerusi, manakala Barisan Nasional (BN) bertanding 15 kerusi, menjelang PRN Kedah, kata Pengarah Pilihan Raya PKR negeri, Phahrolrazi Zawawi.

    Katanya, bagaimanapun satu lagi baki kerusi belum diputuskan.

    Beliau berkata, PKR kemungkinan bertanding di 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), selain Amanah lapan kerusi dan DAP kekal dua kerusi.

    “Saya berharap PKR akan diberikan satu lagi kerusi tambahan kerana terdapat satu kerusi masih dalam rundingan antara PH dan BN. Pada PRU14 lalu, PKR bertanding 10 kerusi dan menang tujuh DUN. Ketika itu Bersatu pun banyak bertanding, jadi kerusi ditandingi Bersatu kebanyakannya ditawar kepada BN dalam PRN ini,” katanya lapor Sinar Harian.

    Menurut laporan itu yang memetik sumber, baki satu kerusi itu merujuk DUN Suka Menanti.

    Phahrolrazi berkata, secara keseluruhan kerusi ditandingi PH melebihi jumlah kerusi BN.

    “Agihan agak seimbang, kemungkinan PH letakkan calon di 20 kerusi dan BN 16 kerusi atau selepas rundingan dimuktamadkan, beranjak kepada PH sebanyak 21 kerusi dan BN (15),” katanya.

    Beliau yang sebelum ini bekas Adun Alor Mengkudu menyerahkan kepada parti sama ada PKR akan menamakannya sebagai calon.

    Phahrolrazi sebelum ini merupakan ketua Amanah Kedah, namun dipecat kerana didapati melanggar perlembagaan parti berhubung penamaan calon pada PRU15.

    “Saya tak berkecil hati (tidak menjadi calon), terserah pada parti. Saya tak bertanding pun tak ada masalah, sebab saya akan fokuskan perhatian kepada jentera parti ke setiap DUN Kedah (selaku pengarah pilihan raya) untuk menang lebih kerusi,” katanya.

    Sebelum ini, Pengerusi PH Kedah, Mahfuz Omar memaklumkan, kerusi DUN Alor Mengkudu dimenangi Phahrolrazi pada PRU14 akan ditandingi parti itu berikutan ia kuota Amanah.

  • Tabung Haji sekali lagi terima anugerah Labbaittom daripada Kerajaan Arab Saudi

    Tabung Haji sekali lagi terima anugerah Labbaittom daripada Kerajaan Arab Saudi

    Kerajaan Arab Saudi sekali lagi mengiktiraf Tabung Haji (TH) apabila menyampaikan Anugerah Labbaittom bagi kategori kepuasan tertinggi dalam perkhidmatan yang disediakan oleh Pejabat Urusan Haji.

    Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah menyampaikan anugerah itu kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam satu majlis kesyukuran yang dihadiri oleh pelbagai negara di sini pada Jumaat.

    Mohd Na’im dalam pada itu berkata, sistem dan kecekapan pengurusan jemaah haji Malaysia sentiasa diiktiraf sebagai model terbaik di dunia dan merupakan model pengurusan haji yang sering dicontohi oleh masyarakat antarabangsa, lapor wartawan Sinar Harian di Mekah.

    “Antara kriteria dan spesifikasi untuk anugerah ini adalah penerapan teknologi untuk menyelaraskan perkhidmatan yang diberikan kepada jemaah haji, persediaan ibadat dan kursus-kursus haji.

    “Turut dinilai peratusan kadar kepuasan jemaah haji dengan perkhidmatan yang ditawarkan, penilaian perkhidmatan yang disediakan sepanjang musim haji serta penilaian persediaan urusan pra-musim haji,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

    Kata Mohd Na’im, ia dapat dilihat melalui kesiapsiagaan TH dalam aspek pengurusan haji di Tanah Suci bagi memberi perkhidmatan terbaik seperti penyediaan prasarana di bangunan penginapan jemaah haji.

    “Turut disediakan prasarana di pejabat perkhidmatan Maktab, pejabat perkhidmatan pelanggan, perkhidmatan kesihatan, penggunaan aplikasi THhujjaj untuk makluman perkembangan terkini di Tanah Suci dan perkhidmatan petugas haji dan pembimbing ibadat haji,” katanya.

    Pada Februari yang lalu, TH telah memenangi Anugerah Labbaittom untuk Perkhidmatan dan Program Bimbingan Haji Terbaik dalam dunia Islam dari Kerajaan Arab Saudi.

    Turut hadir semasa penyampaian anugerah itu ialah Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman dan Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman serta Pengurusan TH di Makkah.

  • Jemaah Malaysia selesai laksanakan haji 

    Jemaah Malaysia selesai laksanakan haji 

    SETELAH  menempuh cabaran dan dugaan ketika berada di Tanah Suci, kira-kira 31,600 jemaah haji Malaysia berjaya menyempurnakan ibadah masing-masing pada Sabtu.

    Waktu kemuncak haji iaitu Wukuf di Arafah pada Selasa lalu, kemudiannya bermabit di Mudzalifah dan Mina, melontar di Jamarat, tawaf, saie dan tahalul semuanya berlangsung dengan lancar tanpa insiden tidak diingini.

    Pada musim haji 1444 hijrah ini, sebanyak 50 peratus atau kira-kira 15,800 jemaah Malaysia melakukan Nafar Awal pada Jumaat manakala bakinya melakukan Nafar Thani pada Sabtu, lapor wartawan Sinar Harian di Mekah.

    Nafar Awal ialah (melontar Jamarat pada dua dari tiga hari tasyrik) dan Nafar Thani ialah (melontar bagi ketiga-tiga hari tasyrik).

    Pada tahun ini, peratusan melakukan Nafar Awal ditingkatkan kepada 50 peratus bagi mengurangkan kesesakan di khemah penginapan jemaah di Mina.

    Selepas ini jemaah akan mula meninggalkan Mekah untuk kembalti ke tanah air dengan penerbangan pertama akan berlepas 5 Julai manakala penerbangan terakhir ialah pada 31 Julai dari Madinah.

    Apabila pulang kelak, jemaah membawa pulang pengalaman cukup berharga dan paling penting ialah kemabruran haji yang paling diimpikan setiap jemaah yang menunaikan Rukun Islam kelima itu.

    Pengurus Ibadah dan Ziarah Tabung Haji (TH), Muhammad Fakhrur Ridzwan Othman berkata, definisi haji mabrur ialah ibadah yang tidak bercampur dengan perbuatan dosa.

    Beliau berkata, bagi mendapatkan ganjaran haji mabrur, setiap jemaah haji hendaklah mengambil perhatian mengenai apa yang perlu dilakukan selepas menyempurnakan ibadah itu.

    “Bagi mengekalkan kemabruran haji, setiap individu perlu menjauhi perbuatan buruk sama ada dari segi perbuatan yang boleh menyakiti orang lain, menghilangkan keharmonian masyarakat atau menjejaskan alam sekitar dan sebagainya.

    “Mereka juga wajib memelihara lidah masing-masing seperti daripada mengeluarkan ucapan yang buruk, mengadu domba, sumpah palsu, memfitnah, menipu dan mengumpat,” katanya.

    Beliau berkata, haji yang mabrur turut menekankan aspek menghindari perkara yang bersalahan dengan prinsip agama.

  • KXP : PM beri komen seolah-olah tahu segala-galanya – Sanusi

    KXP : PM beri komen seolah-olah tahu segala-galanya – Sanusi

    Oleh RIZQI ZABIDI 

    SETIAP perkara dibangkitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengelak daripada memberi kelulusan kepada pembinaan Kedah Aerotropolis yang turut merangkumi Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), hakikatnya sudah ditangani melalui pelbagai sesi libat urus dan perundingan Jawatankuasa Teknikal KXP Airportcity yang merupakan syarikat milik penuh kerajaan negeri. 

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menjelaskan, KXP Airportcity merupakan pemaju Kedah Aerotropolis dengan semua jabatan dan agensi berkaitan sejak sembilan tahun lalu. 

    Menurutnya, laporan berkaitan perkara yang dibangkitkan Perdana Menteri telah beberapa kali disediakan dan dibentangkan konsultan dilantik KXP Airportcity serta Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM). 

    Selain itu katanya, jawatankuasa teknikal tersebut diketuai oleh individu berkelayakan yang amat memahami selok-belok pembinaan projek lapangan terbang. 

    “Jawatankuasa teknikal itu diketuai Tan Sri Ir. Dr Jamilus Husin iaitu tokoh yang mengetuai pembinaan KLIA satu masa dulu. Beliau sangat memahami selok belok, keperluan dan kaedah membina serta mengendalikan projek itu. Beliau diberi jolokan ‘The Airport Man’ dalam dunia pembangunan lapangan terbang dan Jamilus juga adalah salah seorang Ahli Lembaga Pengarah KXP Airportcity,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Muhammad Sanusi mengulas kenyataan Perdana Menteri semalam yang menafikan dakwaan  kerajaan Persekutuan menindas mana-mana negeri dalam soal penyaluran peruntukan mahu pun pembangunan termasuk dalam isu pembinaan KXP di Kedah. 

    Menurut Anwar cadangan pembinaan lapangan terbang memerlukan kajian teliti sebelum boleh dilaksanakan dan ia turut perlu ditanyakan kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kerana menyentuh soal keselamatan negara. 

    Menjawab satu lagi dakwaan Perdana Menteri  kononnya tokoh korporat tertentu yang diuar-uarkan sebelum ini kononnya tidak berhasrat membiayai projek tersebut, Muhammad Sanusi berkata, individu berkenaan juga sebetulnya tidak terlibat sebagai pemaju selepas gagal menjawab surat dikemukakan oleh Jawatankuasa Kewangan dan Tender Kedah Aerotropolis. 

    Kata Sanusi,  individu tersebut hanyalah salah satu daripada berpuluh-puluh syarikat yang telah mengemukakan proposal dalam proses permohonan pengemukaan cadangan (RFP) sebelum ini. 

    “Walaupun beliau yang memohon untuk terbabit melalui kaedah RFP dan hadir dalam proses-proses saringan, namun beliau gagal menjawab dalam tempoh yang ditetapkan, selepas YAB PM ‘membari bayangan’ mengenai perkara itu dalam pembentangan Belanjawan Negara 2023. Beliau sudah menjadi sebahagian daripada sejarah. Kini, sudah ada pihak lain yang akan membiayai projek ini,” katanya. 

    Tambahnya, masalah sebenar yang timbul berkaitan pembinaan Kedah Aerotropolis ketika ini adalah, Perdana Menteri enggan mendengar penjelasan perkembangan projek itu daripada kerajaan negeri dan KXP Airportcity yang telah mengusahakan projek pembangunan ini sejak sembilan tahun lalu. 

    “Sebaliknya beliau memberi komen seolah-olah mengetahui semuanya. Atau pun Perdana Menteri hanya mendengar daripada pihak tertentu yang memang diketahui umum menentang projek itu?,’’ katanya.

  • Kesatuan Imigresen sifatkan kenyataan King Sing hanya mahu alih isu

    Kesatuan Imigresen sifatkan kenyataan King Sing hanya mahu alih isu

    KESATUAN Perkhidmatan imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) menyifatkan kenyataan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing yang  mendakwa berlaku budaya rasuah di pintu masuk negara bertujuan mengalih tumpuan, bagi mengaburi tindakannya mengganggu tugas penjawat awam.

    Presidennya Khairul Niza Khairuddin berkata, bukan sahaja dakwaan dibuat “tidak berasas”, malah sebagai Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, King Sing tidak sepatutnya mengganggu tugas penjawat awam.

    Presidennya, Khairil Niza Khairuddin, yakin pegawai imigresen bertugas mengetahui lebih jelas berhubung “situasi sebenar” yang berlaku.

    Katanya, jika benar dakwaan bahawa pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terbabit dengan rasuah, ia perlu dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    “Ianya bukan dengan membuat kenyataan media yang boleh dianggap tidak berasas kerana tiada bukti serta hanya bertujuan sebagai ‘diversion’ atau mengalihkan tumpuan dari isu utama. Sebagai seorang orang kenamaan, beliau seharusnya lebih menghormati undang-undang negara dan tidak mengganggu penjawat awam menjalankan tugas mereka.

    “Dalam hal ini, pegawai JIM yang bertugas ketika itu sudah semestinya mengetahui dengan lebih jelas mengenai apa yang berlaku dan mengambil tindakan berdasarkan peraturan semasa yang sedang berkuatkuasa,” katanya lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, KPISM bertegas tiada mana-mana pihak seharusnya terbabit dan mengganggu tugas penguatkuasaan dan pelaksanaan undang-undang oleh imigresen dan mana-mana pihak berkuasa di negara ini.

    “KPISM tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis jika perkara sama seperti ini berlaku. Kita juga bersetuju dengan tindakan pihak imigresen yang mengambil tindakan serta merta memulakan siasatan berkenaan isu berkenaan,” katanya.

    Semalam, Tiong berkata “peristiwa yang memalukan negara” telah terbongkar, susulan laporan mengenai kekecohan di KLIA membabitkan warga China ditahan di balai ketibaan.

    Beliau mendakwa wujudnya budaya rasuah dilakukan segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang “kronik” di pintu masuk negara.

    Katanya, semua maklumat berkaitan akan diserahkan kepada SPRM.

  • Hujan lebat; beberapa kawasan di Pulau Pinang banjir kilat, pokok tumbang

    Hujan lebat; beberapa kawasan di Pulau Pinang banjir kilat, pokok tumbang

    BEBERAPA kawasan di Pulau Pinang khususnya di bahagian pulau dilanda kejadian banjir kilat dan pokok tumbang awal pagi ini akibat hujan lebat dalam tempoh beberapa jam sejak tengah malam tadi.

    Antaranya kawasan yang terjejas adalah di kawasan Flat Indah di Jalan Hassan Abbas, Teluk Bahang yang mana hujan lebat bermula pukul 3.30 pagi tadi itu menyebabkan air sungai yang terletak bersebelahan dengan flat tersebut melimpah.

    Selain kawasan flat itu, beberapa buah rumah di kawasan perumahan kampung nelayan di situ turut dilanda banjir kilat.

    Bagaimanapun banjir mula surut sepenuhnya kira-kira pukul 9.30 pagi tadi, namun penduduk masih dalam keadaan berjaga-jaga berikutan hujan masih berterusan.

    Dalam pada itu, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam kenyataan memaklumkan, kira-kira pukul 9 pagi tadi, beberapa tempat di sekitar daerah Timur Laut mengalami kenaikan paras air dan air bertakung disebabkan hujan berterusan sejak semalam.

    Antara kawasan terlibat, katanya, adalah di Jalan P. Ramlee; Jalan Langkawi (Kebun Lama); Taman Rampas (Sungai Pinang); Jalan Perak; Lilitan Stadium dan Persiaran Perak (Astaka Stadium).

    “Orang awam dinasihatkan merancang perjalanan dan berwaspada bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.

    Selain itu, MBPP memaklumkan turut berlaku kejadian pokok tumbang di beberapa kawasan antaranya di kawasan Jalan Loh Poh Heng, Paya Terubong serta laluan di sebelah Recsam menghala ke Jalan Tun Sardon.

    ”Tindakan segera sedang dijalankan dan laluan tersebut akan dibuka kepada kegunaan orang awam dalam masa terdekat setelah kerja-kerja pembersihan selesai dan selamat,” katanya.

  • Hadi dirawat di hospital, anak mohon doa kesembuhan

    Hadi dirawat di hospital, anak mohon doa kesembuhan

    TAN Sri Abdul Hadi Awang kini sedang menerima rawatan dan pemantauan lanjut berikutan kesihatan Presiden Pas itu merosot sedikit sebelum Aidiladha lalu.

    Sehubungan itu anak beliau, Muhammad Khalil Abdul Hadi memohon doa dan solat hajat untuk kesembuhan Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang.

    ‘’Semoga Allah mengurniakan kesihatan dan kesejahteraan kepada Ayahanda Tuan Guru, berkat doa yang dipanjatkan oleh kita sema,’’ katanya dałam kenyataan di Facebook beliau.

    Muhammad Khalil berkata Abdul Hadi sedang menjalani pemantauan lanjut oleh doktor.

    ‘’Kehadiran Ayahanda ke pelancaran jentera pilihan raya DPPN (Dewan Pemuda Pas Negeri) Terengganu tempo har sudahpun dalam keadaan keuzuran, namun tetap digagahkan dirinya,’’ katanya.

  • Menteri Pelancongan dakwa gejala rasuah kronik di KLIA 

    Menteri Pelancongan dakwa gejala rasuah kronik di KLIA 

    MENTERI Pelancongan, Seni, dan Budaya Tiong King Sing mendakwa “peristiwa yang memalukan negara” telah terbongkar, susulan laporan mengenai kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) membabitkan warga China ditahan di balai ketibaan.

    Beliau mendakwa wujudnya budaya rasuah yang dilakukan oleh segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang “kronik” di pintu masuk negara.

    “Semua maklumat ini akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” katanya dalam kenyataan, lapor FMT.

    Terdahulu, portal Bebas News melaporkan seorang menteri membuat kecoh apabila masuk ke balai ketibaan untuk membantu seorang warga China yang ditahan daripada masuk ke negara ini.

    Menteri itu juga dilaporkan memarahi polis bantuan KLIA dan pegawai imigresen ketika beliau cuba membantu wanita berkenaan.

    Tiong mengesahkan beliau individu dalam gambar kejadian yang ditularkan, dan berada di KLIA ketika itu selepas menerima aduan daripada pelancong.

    Beliau menafikan dakwaan dia melepaskan pelancong yang ditahan imigresen.

    “Saya tiada kuasa untuk itu, dan saya hanya merosakkan reputasi saya sendiri jika berbuat demikian.”

    Menurutnya, kejadian itu menimbulkan masalah komunikasi antara pelancong dan pegawai terbabit sehingga menyebabkan imigresen gagal mendapatkan dokumen yang diperlukan.

    “Timbul persoalan kenapa mereka menolak penterjemah yang disediakan oleh Malaysia Airports Holding Berhad?.” katanya.

    Menurut Tiong, bersamanya ketika itu pegawai siasatan dari unit integriti bawah kementerian.

    “Pada mulanya saya tidak mahu mendedahkan perkara ini kerana sedang bertindak mengikut saluran serta platform yang lebih praktikal. Saya merasakan sudah tiba masanya SPRM masuk ke KLIA secara besar-besaran,” katanya.

    Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook hari ini berkata pihak berkuasa sedang menyiasat kejadian itu.

  • Imigresen buat siasatan serta-merta kekecohan libat menteri di KLIA

    Imigresen buat siasatan serta-merta kekecohan libat menteri di KLIA

    JABATAN Imigresen Malaysia telah memulakan siasatan serta-merta berhubung insiden seorang menteri didakwa melakukan kekecohan supaya seorang pelawat dari China dibebaskan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

    Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh menegaskan, siasatan akan dijalankan secara menyeluruh merangkumi semua aspek berkaitan.

    Sehubungan itu, Ruslin meminta orang ramai supaya memberi ruang agar siasatan dapat dijalankan dengan telus.

    Pada masa sama, beliau juga memohon orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau provokasi yang boleh mengganggu siasatan.

    “Jabatan ini telah mengambil tindakan serta-merta memulakan siasatan ke atas dakwaan kejadian yang dilaporkan. Siasatan akan dijalankan secara menyeluruh merangkumi semua aspek yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Semalam, seorang menteri didakwa telah melakukan ‘kekecohan’ di KLIA kerana mahu ‘menyelamatkan’ seorang pelawat China yang ditahan daripada masuk ke Malaysia.

    Menurut laporan Bebas News yang memetik sumber, menteri berkenaan dikatakan telah menceroboh masuk ke dewan ketibaan antarabangsa tanpa memohon pas keselamatan.

    Menteri berkenaan kemudiannya menggunakan kuasanya dan memarahi Polis Bantuan KLIA serta pegawai Imigresen apabila tindakannya mahu ‘membebaskan’ pelawat warga China itu dihalang.

    Difahamkan, ini adalah kali ketiga menteri tersebut melakukan tindakan sedemikian membabitkan pelawat yang ditahan daripada memasuki negara.

  • Cuepacs desak kerajaan siasat isu menteri buat kecoh di KLIA

    Cuepacs desak kerajaan siasat isu menteri buat kecoh di KLIA

    KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mendesak pihak berkuasa dan kerajaan melakukan siasatan terperinci berkenaan isu tular seorang menteri yang didakwa membuat ‘kecoh’ serta menceroboh dewan ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

    Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, Cuepacs kesal sekiranya perkara itu benar-benar berlaku seperti yang didakwa kerana ia melibatkan pelanggaran protokol keselamatan negara serta mengganggu tugas penjawat awam.

    “Sebagai individu yang bertaraf menteri, adalah tidak wajar perkara tersebut dilakukan. Semua pihak termasuk pemimpin negara sewajarnya memberi kepercayaan penuh kepada pihak berkuasa yang melaksanakan tugas. Tidak wajar kelakuan menceroboh itu dilakukan kerana ia jelas melanggar prosedur operasi standard (SOP) keselamatan yang telah ditetapkan,” katanya kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Sebelum ini media melaporkan suasana di balai ketibaan KLIA pada Khamis kecoh apabila seorang individu dipercayai menteri cuba membebaskan seorang pelawat China yang ditahan Jabatan Imigresen pada Khamis.

    Menurut sumber, pelawat warga China itu ditahan oleh pihak berkuasa sebaik sahaja tiba masuk ke negara ini.

    Tindakan menteri itu didakwa dilakukan hanya kerana mahu menyelamatkan pelancong asing yang ditahan ketika mahu memasuki negara.

    Adnan menegaskan, sekiranya berlaku salah faham dalam proses penahanan pelancong terbabit, menteri berkenaan boleh memberikan bantuan mengikut prosedur atau mendapatkan maklumat lebih jelas dahulu daripada pihak berkuasa di lapangan terbang.

    Justeru, katanya, Cuepacs berharap satu siasatan penuh dilakukan oleh pihak berkuasa dan kerajaan dalam memastikan tindakan sama tidak berulang pada masa akan datang.

    “Tiada individu yang lebih besar daripada undang-undang negara dan jika berlakunya pelanggaran undang-undang dalam hal ini, tindakan tegas wajar diambil oleh kerajaan bagi menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang. Cuepacs tidak mahu tugas yang dilaksanakan oleh penjawat awam bagi menjaga kedaulatan negara diganggu hanya kerana kepentingan peribadi pihak tertentu. Setiap tindakan yang dilakukan oleh penjawat awam sudah pasti berlandaskan undang-undang sedia ada,” ujarnya.