Category: Umum

  • Agong titah BN sertai kerajaan perpaduan – Ahmad Zahid

    Agong titah BN sertai kerajaan perpaduan – Ahmad Zahid

    YANG di-Pertuan Agong menitahkan 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) agar mengambil bahagian dalam kerajaan perpaduan.

    Lapor Malaysiakini, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu dititahkan Seri Paduka kepada beliau dan dua lagi pemimpin di Istana Negara, pagi tadi.

    Dua pemimpin BN tersebut adalah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

    “Tak ada, tak ada (ditanya sikap berkecuali BN)…Bukan itu titah tuanku, titah tuanku ialah bentuk kerajaan perpaduan,” katanya, hari ini.’

    Susulan titah tersebut, Ahmad Zahid berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum dibawa ke Majlis Tertinggi BN.

    Berdasarkan surat yang dikeluarkan ibu pejabat parti, mesyuarat MKT UMNO dijadual berlangsung pada pukul 8 malam ini.

    Terdahulu, Ahmad Zahid, Mohamad dan Zambry tiba di Istana Negara kira-kira pukul 10.30 pagi bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong.

    Semalam, Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua 30 Ahli Parlimen BN hadir ke Istana Negara pagi ini untuk ditemu bual bagi melantik Perdana Menteri baharu.

    Bagaimanapun, menurut Ahmad Zahid, sesi itu digantikan dengan pertemuan mereka bertiga bersama Yang di-Pertuan Agong.

  • Agong cuba ditipu sekali lagi? – Annuar Musa

    Agong cuba ditipu sekali lagi? – Annuar Musa

    TAN Sri Annuar Musa mendedahkan kemungkinan terdapat percubaan menipu Yang di-Pertuan Agong berhubung sokongan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) kepada calon Perdana Menteri Ke-10.

    Berikut kenyataan penuh Annuar yang disiarkan di Facebooknya hari ini.

    AGONG CUBA DI TIPU SEKALI LAGI??
    Sekarang tersebar surat ini di Media Sosial.

    Lihat perkara 4.Pengerusi BN mendakwa dan menyembah maklum kpd DYMM SPB YDP AGONG bahawa beliau telah mempengerusikan mesyuarat BN pada 22hb Nov dan mesyuarat memutuskan semua 30 ahli parlimen bersetuju menyokong Anwar sebagai PM.

    Kita sebaliknya di maklumkan BN memutuskan TIDAK MENYOKONG MANA MANA CALUN….siapakah yang berbohong di sini?

    Rakyat menuntut penjelasan pemimpin pemimpin BN yg terlibat,khasnya ahli mesyuarat Dewan Tertinggi BN

    Jika surat kpd SPB YDP AGONG merupakan satu percubaan menipu YDP AGONG ianya satu kesalahan yg amat berat yg sekali lagi dibuat oleh orang yg sama spt di lakukan pada bulan oktober 2020.(kononnya semua MP BN ketika itu menyokong Anwar menjadi PM menggantikan TSMY-satu pembohongan)

    Lapuran polis patut dibuat agar penyiasatan di buat atas perbuatan durjana ini terhadap YDP AGONG.

    Rakyat dan ahli umno dan BN akar umbi juga harus bangkit memperbetulkan kedurjanaan ini jika benar ia telah dilakukan.

  • Wakil BN tarik balik SD kepada Muhyiddin, surat Ahmad Zahid ditolak

    Wakil BN tarik balik SD kepada Muhyiddin, surat Ahmad Zahid ditolak

    TINDAKAN saat akhir 10 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menarik balik perakuan bersumpah (SD) sokongan mereka kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyebabkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu hilang majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 (PM10).

    Mereka berbuat demikian selepas diarah kepemimpinan parti, susulan pertemuan di antara Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Lapor Berita Harian, usaha membentuk Kerajaan Persekutuan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bermula pada 20 November lalu, apabila Speaker atau Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, menulis surat kepada ketua parti yang memenangi banyak kerusi susulan pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November.

    Menerusi surat itu, semua ketua parti dijemput mengemukakan cadangan kepada Istana Negara untuk membentuk kerajaan gabungan dan menamakan calon masing-masing sebagai PM10 dengan tempoh diberikan sehingga 2 petang pada 21 November.

    Pada hari sama juga, Azhar Azizan kemudian menghantar sepucuk lagi surat kepada semua ketua parti itu, meminta Ahli Parlimen masing-masing, menandatangani Perakuan Bersumpah (SD), menyatakan sokongan kepada calon PM10 yang dinamakan mereka.

    Susulan surat speaker itu, PN yang mempunyai 73 Ahli Dewan Rakyat, mengemukakan surat sokongan daripada ketua parti GPS (23); GRS (6) dan KDM (1) berserta 10 wakil BN dan dua Bebas, kepada Istana Negara.

    Langkah itu bagi membuktikan Muhyiddin mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai PM10, mengikut Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan. Malah, PN turut menambah satu lagi SD sebelum menjadikan kepada 115 sokongan SD sebelum dipanggil menghadap di Istana Negara.

    Bagaimana pun susulan pertemuan di antara kepemimpinan BN dan PH pada pagi 21 November, seramai 10 Ahli Parlimen BN yang dikenal pasti memberi sokongan mereka kepada Muhyiddin diarah membatalkan SD sokongan itu.

    Dewan Tertinggi BN dalam mesyuaratnya pada malam 21 November, kemudian memutuskan supaya semua wakil rakyat gabungan itu tidak memberi sokongan kepada mana-mana parti yang membentuk kerajaan, sebaliknya akan menjadi pembangkang.

    Langkah 10 wakil BN menarik balik sokongan itu hanya diketahui Muhyiddin ketika beliau bersama Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara kira-kira 4.15 petang semalam.

    Tanpa SD mencukupi menyebabkan Muhyiddin terlepas peluang dilantik sebagai PM10.

    Pada masa sama, Anwar mengemukakan 86 SD dipercayai merangkumi 82 daripada wakil PH, Warisan (3) dan PBM (1) serta surat sokongan daripada Ahmad Zahid, selaku Pengerusi BN yang mempunyai 30 Ahli Dewan Rakyat.

    Bagaimanapun, tanpa 30 SD ditandatangani semua Ahli Dewan Rakyat BN itu seperti diarahkan dalam surat dihantar Speaker Dewan Rakyat kepada ketua parti, menyebabkan Anwar juga tidak berpeluang memanfaatkan sokongan disuarakan Ahmad Zahid untuk dilantik sebagai PM10 .

    Dalam sidang media petang semalam, Muhyiddin mendedahkan bukti SD dimilikinya ketika dihantar menunjukkan beliau mempunyai sokongan lebih daripada 112 Ahli Parlimen terhadap pencalonannya sebagai PM10.

    Pada masa sama, beliau menjelaskan, langkahnya menolak cadangan pembentukan Kerajaan Perpaduan dengan PH, kerana ia bertentangan prinsip PN sejak ditubuhkan BERSATU dan PAS, yang menolak sebarang kerjasama dengan PH terdiri daripada PKR, DAP dan AMANAH.

    Susulan itu, kegagalan PN dan PH setakat ini, memperoleh sokongan mencukupi majoriti minimum 112 kerusi, menyebabkan tiada mana-mana parti berpeluang membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu.

    PH dengan 82 kerusi yang dimilikinya, masih berpeluang memperoleh majoriti mudah (112 kerusi) jika dapat menarik sokongan GPS (23 kerusi), GRS (6), Warisan (3), BEBAS (2) dan PBM (1) serta KDM (1).

  • Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara esok

    Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara esok

    PERBINCANGAN Khas Raja-Raja Melayu akan diadakan esok bagi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu berhubung pembentukan kerajaan baharu.

    Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini berkata Seri Paduka telah menitah perkenan untuk Istana Negara menganjurkan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu itu di Istana Negara esok.

    “Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu ini bertujuan untuk Seri Paduka Baginda mendapatkan pandangan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu bagi Baginda membuat keputusan demi kepentingan dan kesejahteraan negara dan rakyat,” katanya.

    Ahmad Fadil berkata Seri Paduka menyeru agar seluruh rakyat dan semua pihak untuk terus beristiqamah dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu selesai.

    “Sesungguhnya, masa depan negara tumpahnya darah kita adalah terlalu berharga dan wajar kita rencanakan dengan penuh cermat dan teliti,” katanya.

    Ahmad Fadil berkata perbincangan khas Raja-raja Melayu itu adalah susulan daripada sesi menghadap wakil-wakil Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) secara berasingan di Istana Negara pada sebelah pagi hari ini.

    “Sesi menghadap ketua-ketua gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) telah diadakan secara berasingan pada pukul 4.30 petang semalam (22 Nov),” katanya.

    “Sesi menghadap ketua-ketua gabungan itu adalah susulan daripada hasil pengesahan calon-calon perdana menteri yang telah dimaklumkan oleh ketua parti-parti dan ketua gabungan parti-parti politik kepada Istana Negara semalam (22 Nov), didapati bahawa tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10,” katanya.

    Menurut Ahmad Fadil, proses berkenaan adalah selaras dengan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan dan bertujuan supaya Yang di-Pertuan Agong dapat membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Seri Paduka mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.

    “Rakyat telahpun membuat keputusan untuk memilih wakil mereka. Maka, terserah kepada wakil rakyat untuk mencari penyelesaian bagi mengurai kemelut yang membelenggu rakyat jelata,” katanya, dan menambah Seri Paduka turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama mendoakan kesejahteraan negara.

    Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 Nov berakhir dengan situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan parti politik mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan Persekutuan. Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan adalah 112 kerusi.

    Keputusan PRU15 menyaksikan PH memperoleh 82 kerusi; PN 73 kerusi; BN (30); GPS (23); Gabungan Rakyat Sabah (enam); Warisan (tiga); Bebas (dua) manakala Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing menang satu kerusi. – BERNAMA

  • PN umum Nor Idayu calon baharu di DUN Tioman

    PN umum Nor Idayu calon baharu di DUN Tioman

    PERIKATAN Nasional (PN) mengumumkan Nor Idayu Hashim sebagai calon baharu gabungan itu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Perkara itu dimaklumkan Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menerusi satu kenyataan.

    Menurutnya, PN akan bertanding di DUN N.42 Tioman dengan mengekalkan calon gabungan itu daripada Pas.

    “Saya sudah menerima surat daripada Pesuruhjaya Pas Pahang Rosli Abdul Jabar mengenai calon yang dimaksudkan.

    “Calon yang dipilih Nor Idayu Hashim, 35. Nor Idayu dipilih dalam kalangan pimpinan akar umbi bagi mewakili suara wanita di dalam Dun Pahang.

    “Nor Idayu juga seorang muslimat dalam kalangan pemimpin wanita tempatan dan orang muda yang berupaya menyelami isi hati akar umbi,” katanya hari ini.

    Pada 19 November lalu, Md Yunus Ramli, calon PN bagi Dun Tioman meninggal dunia dipercayai selepas mengalami serangan jantung.

    Berikutan itu, pengundian bagi kerusi Dun Tioman pada PRU-15 pada 19 November itu ditangguhkan.

    Pada PRU-15, Allahyarham Md Yunus sepatutnya menghadapi saingan lima penjuru yang turut membabitkan calon daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohd Johari Hussain, Mohd Fadzli Mohd Ramly (Pakatan Harapan (PH), Osman A Bakar (Pejuang) serta Sulaiman Bakar (Bebas).

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan hari penamaan calon bagi kerusi DUN Tioman ditetapkan esok, sementara pengundian awal pada 3 Disember dan hari pengundian pada 7 Disember depan.

  • Kes aniaya Bella: Siti Bainun bebas atau bela diri diketahui esok

    Kes aniaya Bella: Siti Bainun bebas atau bela diri diketahui esok

    KEPUTUSAN sama ada pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali, dipanggil untuk membela diri atau dibebaskan atas pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella, akan diketahui esok di Mahkamah Sesyen di sini.

    Hakim Izralizam Sanusi dijadual membacakan keputusan di akhir kes pendakwaan pada 9 pagi.

    Sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada pihak pendakwaan yang berpendapat wujud kes prima facie terhadap Siti Bainun, 30, maka dia akan dipanggil membela diri, manakala jika sebaliknya pengasas rumah kebajikan itu akan dilepaskan dan dibebaskan.

    Pada 28 Okt lepas, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 22 saksi pada perbicaraan kes itu yang bermula 30 Mac lepas.

    Selain Bella, saksi lain termasuk bekas penghuni Rumah Bonda iaitu Yasmin Nahar Mahmood, pakar psikiatri Dr Wan Asyikin Wan Azlan, pembantu pengurus syarikat swasta Zurianty Sudin dan pakar bedah plastik Dr Salmi Mohamed Shukur.

    Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, Zilfinaz Abbas, Zahida Zakaria, Fazeedah Faik dan Shakira Aliana Alias manakala peguam Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor, Mohammad Farhan Maaruf, Nurul Hafidzah Hassan dan Nur Ellena Mohamed Razif mewakili Siti Bainun.

    Siti Bainun, mengaku tidak bersalah mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

    Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – BERNAMA

  • Cikgu Shukri mulakan tugas sebagai MB Perlis baharu

    Cikgu Shukri mulakan tugas sebagai MB Perlis baharu

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Mohd Shukri Ramli memulakan tugas rasmi sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu hari ini.

    Mohd Shukri, 61, tiba di Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis di sini dan disambut Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad serta pegawai kanan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis.

    Beliau kemudian mengimbas cap jari pada perakam waktu di pintu masuk pejabatnya pukul 9 pagi.

    Mohd Shukri yang mesra dengan panggilan ‘Cikgu Shukri’ berkata beliau akan berusaha menjalankan tugasnya dengan baik demi rakyat di negeri ini.

    “Ini merupakan pengalaman baharu…bermulalah dunia baharu setelah lama tidak masuk pejabat, saya akan menyesuaikan diri dengan rutin ini setelah lama bersara sebagai guru,” katanya kepada pemberita di sini.

    Dalam perkembangan lain, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis itu berkata beliau telah menghantar nama barisan Exco Kerajaan Negeri Perlis kepada PN Pusat semalam.

    “Kita tunggu lampu hijau daripada PN Pusat dahulu untuk buat keputusan,” kata ADUN Sanglang itu.

    Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis akan diadakan di Istana Arau pada petang Jumaat ini (25 Nov).

    Mohd Shukri yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar di hadapan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau semalam.

    PN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri selain menyapu bersih tiga kerusi Parlimen iaitu Padang Besar, Arau dan Kangar pada Pilihan Raya Umum ke-15. – BERNAMA

  • PDRM laksana sekatan jalan raya di lokasi strategik seluruh negara

    PDRM laksana sekatan jalan raya di lokasi strategik seluruh negara

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan sekatan jalan raya (SJR) di lokasi strategik setiap daerah di seluruh negara dengan penugasan secara 24 jam mulai malam tadi.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, langkah mengadakan sekatan jalan raya ini adalah sebahagian daripada usaha PDRM mencegah jenayah melalui peningkatan ‘omnipresence’ atau kehadiran polis.

    Menurut beliau, ia bagi menjamin tahap keselamatan dan ketenteraman awam.

    “Demi keselesaan pengguna jalan raya dan kelancaran lalu lintas, tiada halangan lalu lintas atau sekatan pada waktu puncak dan siang hari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Acryl Sani berkata, orang ramai diminta memberikan kerjasama dalam mematuhi arahan yang diberikan ketika melalui sekatan jalan raya terutama di waktu puncak.

    “Masyarakat tidak perlu bimbang untuk melakukan aktiviti harian kerana PDRM memberi jaminan tahap keselamatan di seluruh negara adalah terkawal,” tambahnya.

  • 23 MP GPS pula dititah menghadap Agong

    23 MP GPS pula dititah menghadap Agong

    GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) dititahkan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah, hari ini.

    Berita Harian yang memetik sumber berkata, ia sama seperti titah menghadap kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

    “Sama seperti PH dan PN semalam. Hari ini 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) diminta ke istana. Terbaharu, GPS pula diminta menghadap.

    “Kami rasa ia mempunyai tujuan yang sama, iaitu untuk mendengar sendiri daripada semua pihak,” kata sumber berkenaan.

    GPS menang 23 daripada 31 kerusi Parlimen di Sarawak pada PRU15, Sabtu lalu.

  • Annuar Zaini mohon maaf dakwa Bersatu, Pas rebut jawatan MB Perak

    Annuar Zaini mohon maaf dakwa Bersatu, Pas rebut jawatan MB Perak

    AHLI Dewan Negara Perak, Tan Sri Mohd Annuar Zaini memohon maaf kepada Bersatu Perak atas dakwaannya bahawa ADUN parti itu merebut jawatan menteri besar dengan Pas serta mahu keluar daripada Perikatan Nasional (PN).

    Beliau mengakui menulis perkara tidak sahih dalam kumpulan WhatsApp mengenai perkara itu yang kemudian menjadi tular.

    “Kepada Dato Zainol Fadzi (Paharuddin), saya sangat mohon maaf kerana memasukkan elemen tidak sahih yang disampaikan kepada saya.

    “Saya mohon maaf di atas kesilapan fakta tersebut,” kata beliau dalam mesej WhatsApp malam tadi, lapor Berita Harian.

    Terdahulu, Zainol menafikan mana-mana ADUN Bersatu mengeluarkan kenyataan seperti didakwa.

    Kenyataan yang menjadi tular itu menjatuhkan kredibiliti partinya, kata Setiausaha Bersatu Perak itu.

    Dalam mesej WhatsApp yang tular itu, Annuar dikatakan mendakwa PN di Perak berebut sesama sendiri jawatan menteri besar sedangkan Sultan Nazrin Shah mahukan kerajaan Perak ditubuhkan segera sebelum tibanya musim banjir.