Category: Umum

  • ‘Sentiasa buat baik dan buatlah yang terbaik,’ pesan Radzi buat warga pendidikan

    ‘Sentiasa buat baik dan buatlah yang terbaik,’ pesan Radzi buat warga pendidikan

    “HIDUP ini mudah, sentiasa buat baik dan buatlah yang terbaik”.

    Itu pesan bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin buat warga pendidikan selepas Perikatan Nasional (PN) gagal membentuk kerajaan persekutuan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) baru-baru ini.

    Dalam hantaran di Facebook beliau, Radzi yang merujuk diri beliau sebagai pak cik memulakan catatan itu dengan memaklumkan kepada warga pendidikan bahawa mereka tidak mungkin berjumpa sekerap dahulu.

    Kata Ahli Parlimen Putrajaya itu, beliau percaya telah melakukan yang terbaik sepanjang dua tahun setengah di Kementerian Pendidikan (KPM).

    “Kepada anak-anak pak cik di IPG, Kolej Matrikulasi, Kolej Vokasional dan semua sekolah di seluruh Malaysia, kita mungkin tak jumpa lagi sekerap dahulu.

    “Percayalah, pak cik telah buat yang terbaik sepanjang dua tahun setengah di Kementerian Pendidikan. Pak cik curahkan segala keringat dengan penuh kejujuran dan keikhlasan bagi membina masa depan yang lebih gemilang untuk kalian,” katanya menerusi hantaran itu, hari ini.

    Radzi meneruskan catatannya dengan meminta warga pendidikan mengingati pesan beliau agar sentiasa berbuat baik dan buat lah yang terbaik.

    Menambah pesanan itu Radzi berkata, perkara paling penting ialah tiada apa yang dapat mengalahkan kerja keras.

    “Selalulah ingat pesan pak cik, “hidup ini mudah, sentiasa buat baik dan buatlah yang terbaik.

    “Paling penting, Nothing Beats Hard Work! Pak cik sayang korang semua!,” tambahnya mengakhiri catatan Facebook berkenaan.

  • Enam ADUN angkat sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Perlis

    Enam ADUN angkat sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Perlis

    ENAM Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis  hari ini mengangkat sumpah jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (Exco) di hadapan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau, di sini hari ini.

    Mereka terdiri daripada empat ADUN PAS dan dua daripada Bersatu yang telah diperkenan oleh Tuanku Syed Sirajuddin.

    Berangkat sama pada majlis berkenaan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

    Kesemua mereka kemudian menandatangani surat pelantikan dengan disaksikan Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Kangar Dr Arik Sanusi Yeop Johari dan Ketua Hakim Syarie Perlis Jaidi Ahmad.

    Pada Selasa lepas, ADUN Sanglang Mohd Shukri Ramli mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perlis baharu di hadapan Tuanku Syed Sirajuddin.

    PN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas menang 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) selain menyapu bersih tiga kerusi Parlimen iaitu Padang Besar, Arau dan Kangar pada Pilihan Raya Umum ke-15.

    Berikut senarai penuh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis:

    1.Muhammad Azmir Azizan (PAS) DUN Santan

    2.Fakhrul Anwar Ismail (PAS) DUN Bintong

    3.Izizam Ibrahim (Bersatu) DUN TitiTinggi

    4.Megat Hashirat Hassan (Bersatu) Pauh

    5.Wan Badariah Wan Saad  (PAS) DUN Mata Ayer

    6.Razali Saad  (PAS) Simpang Empat

    – BERNAMA

  • UPKK 2022: Tarikh subjek Ulum Sya’riah dipinda ke 5 Dis

    UPKK 2022: Tarikh subjek Ulum Sya’riah dipinda ke 5 Dis

    TARIKH Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) bagi subjek UPKK Ulum Syari’ah (Aqidah dan Ibadah) yang sepatutnya berlangsung pada Isnin ini dipinda ke 5 Dis depan.

    Perubahan tarikh itu susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam yang mengisytiharkan 28 Nov sebagai cuti umum.

    Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam satu kenyataan berkata ia amat prihatin dengan keputusan yang telah ditetapkan serta menghargai komitmen semua pihak dalam melaksanakan UPKK 2022.

    Tarikh pelaksanaan UPKK sebelum ini ditetapkan bermula dari 28 Nov hingga 1 Dis. – BERNAMA

  • GRS sertai kerajaan perpaduan, capai majoriti dua pertiga – PM

    GRS sertai kerajaan perpaduan, capai majoriti dua pertiga – PM

    PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata kerajaan perpaduan pimpinannya telah mencapai majoriti dua pertiga melalui penyertaan terkini oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

    Bercakap pada sidang media pada hari pertamanya memasuki Pejabat Perdana Menteri di Perdana Putra di sini hari ini, Anwar berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS.

    “Ini akan memperkukuh kestabilan politik negara dan boleh menumpukan perhatian dalam kerja-kerja mengangkat martabat negara, mengukuhkan ekonomi dengan maksud untuk membela nasib rakyat,” katanya.

    Jumlah kerusi diperlukan untuk mendapatkan majoriti dua pertiga Dewan Rakyat adalah 148 kerusi.

    Mengenai pembentukan Kabinet, Anwar berkata saiznya akan diperkecilkan dan beliau akan meminta persetujuan daripada ahli-ahli yang akan dilantik nanti untuk mengurangkan gaji mereka.

    Menurutnya, pembentukan Kabinet masih dalam perbincangan dan akan diumumkan segera mungkin.

    Anwar berkata beliau akan merujuk kepada parti-parti terlibat berhubung pembentukan Kabinet.

    “Parti masing-masing akan mengusulkan nama. Jadi, saya harus berikan pertimbangan sedemikian,” katanya ketika ditanya mengenai pecahan anggota Kabinet mengikut parti.

    Pada sidang media sulungnya sebagai perdana menteri malam tadi, Anwar menegaskan kerajaan perpaduan yang dibentuk dengan penyertaan beberapa parti akan memastikan kestabilan negara dan ekonomi serta menjunjung semangat Perlembagaan Persekutuan.

    Beliau berkata tiga komponen terbesar yang membentuk kerajaan perpaduan adalah Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

    Anwar sebelum ini dilaporkan berkata akan mengecilkan saiz Kabinet kepada maksimum 25 menteri sahaja berbanding jumlah 31 menteri dalam pentadbiran bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – BERNAMA  

  • Suara umat Islam perlu dalam kerajaan dan permohonan maaf DAP

    Suara umat Islam perlu dalam kerajaan dan permohonan maaf DAP

    MUFTI Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyarankan supaya parti didominasi Muslim menyertai kerajaan baru jika mereka bimbang kerajaan bakal didominasi mereka yang mungkin membawa perkara yang bercanggah dengan identiti negara atau merosakkan integriti pentadbiran.

    “Saya juga berpendapat parti yang mempunyai dominasi Muslim perlu menyertai kerajaan baru ini jika mereka bimbang dominasi dalam kerajaan pihak yang mungkin membawa perkara yang bercanggah dengan identiti negara atau merosakkan integriti pentadbiran.

    “Dengan sokongan yang kuat, kerajaan baru tidak bimbang ugutan golongan tertentu untuk keluar kerajaan jika tuntutan mereka tidak diperolehi,” katanya yang dilihat merujuk kepada Perikatan Nasional (PN) yang memenangi 73 kerusi selepas mengalahkan lawannya di kerusi-kerusi majoriti Melayu.

    Pada sidang media pertamanya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menawarkan tawaran kepada PN untuk menyertai kerajaan disifatkannya sebagai “kerajaan perpaduan”.

    Beberapa analisis mengesahkan tinjauan sebelum pilihan raya yang mengatakan Pakatan Harapan (PH) bergelut dalam usahanya memenangi sokongan Melayu.

    Penganalisis politik Bridget Welsh turut dilaporkan berkata PH hanya mempunyai 11% undi Melayu dalam pilihan raya baru-baru ini, sementara Barisan Nasional (BN) mendapat 33% dan PN mendapat 54%.

    Parti Islam PAS pula mendominasi kemenangan dengan memenangi 49 kerusi Parlimen, lebih tiga kali ganda kerusi yang dimenanginya pada 2018.

    ‘Mohon maaf kepada umat Islam’

    Dalam hantaran Facebook beliau hari ini, Asri turut menyarankan supaya DAP memohon maaf kepada masyarakat Melayu-Islam seperti yang mereka lakukan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

    Katanya, tindakan itu akan dapat meredakan perasaan masyarakat majoriti negara ini dan memulakan azam yang lebih baik dengan menjaga sensitiviti umat Islam dan masyarakat Melayu negara ini.

    “Jika DAP enggan, mereka kelihatan sama sahaja dengan identiti DAP yang umat Islam resah dan tolak sebelum ini,” katanya lapor Malaysianow.

    Terdahulu, pemimpin utama DAP Anthony Loke dan Lim Guan Eng telah memohon maaf kepada GPS atas kenyataan yang melukakan perasaan rakyat dan gabungan parti politik Sarawak tersebut.

  • PN mainkan peranan semak, imbang dalam Parlimen – Muhyiddin

    PN mainkan peranan semak, imbang dalam Parlimen – Muhyiddin

    PERIKATAN Nasional (PN) akan memainkan peranan semak dan imbang dalam Parlimen Malaysia dengan membawa suara rakyat selaras dengan prinsip Demokrasi Berparlimen.

    Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bergerak ke hadapan, PN akan meneruskan perjuangan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara berpandukan prinsip Prihatin, Bersih dan Stabil.

    “Dengan Kerajaan Persekutuan diterajui oleh Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional akan memainkan peranan semak dan imbang dalam Parlimen Malaysia dengan membawa suara rakyat selaras dengan prinsip Demokrasi Berparlimen.

    “Bergerak ke hadapan, PN akan meneruskan perjuangan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara berpandukan prinsip Prihatin, Bersih dan Stabil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin turut merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10.

    “Saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10,” katanya.

    Semalam, Anwar yang juga Pengerusi PH mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri ke-10 berlangsung di Dewan Singgahsana Kecil, Istana Negara, pada pukul 5.06 petang.

    PRU-15 pada 19 November menyaksikan PH memperoleh 82 kerusi; PN 73 kerusi; BN (30); GPS (23); Gabungan Rakyat Sabah (enam); Warisan (tiga); Bebas (dua) manakala Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing menang satu kerusi.

  • Cekal, ikhlas teruskan perjuangan PN pasca PRU-15 – Hamzah

    Cekal, ikhlas teruskan perjuangan PN pasca PRU-15 – Hamzah

    SOKONGAN luar biasa rakyat kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) membuktikan aspirasi perjuangan, jenama dan hala tuju gabungan itu diterima baik oleh rakyat Malaysia terutamanya golongan muda.

    Setiausaha Agung gabungan itu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, bergerak kehadapan, semua pihak perlu cekal dan ikhlas meneruskan perjuangan melalui wadah Perikatan Nasional walau apa rintangan dan cabaran pasca PRU-15.

    Menurutya, Perikatan Nasional percaya bahawa para penyokong serta jentera parti akan terus istiqamah berpegang teguh kepada asas perjuangan parti demi masa hadapan Malaysia yang lebih baik.

    “Bergerak kehadapan, semua pihak perlu cekal dan ikhlas meneruskan perjuangan melalui wadah Perikatan Nasional walau apa rintangan dan cabaran pasca PRU-15.

    “Perikatan Nasional percaya bahawa para penyokong serta jentera parti akan terus istiqamah berpegang teguh kepada asas perjuangan parti demi masa hadapan Malaysia yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Hamzah berkata, Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama barisan pimpinan tertinggi parti merakamkan ucapan setinggi penghargaan kepada semua rakyat Malaysia yang telah mengundi dan memberikan sokongan kepada parti dalam PRU-15.

    Katanya, ucapan terima kasih tidak terhingga juga diucapkan khususnya kepada para petugas serta jentera Parti Perikatan Nasional di seluruh negara yang telah bertungkus-lumus bekerja keras bagi menentukan kemenangan di semua kerusi Parlimen dan DUN yang ditandingi parti.

    “Pimpinan Tertinggi Perikatan Nasional mendoakan kesejahteraan semua pihak yang telah memberikan sokongan dan dokongan kepada
    Perikatan Nasional. Semoga Allah SWT merahmati dan memberkati perjuangan kita semua,” tambahnya.

  • Final Piala Malaysia: Johor cuti peristiwa Ahad

    Final Piala Malaysia: Johor cuti peristiwa Ahad

    KERAJAAN Johor mengumumkan Ahad ini, 27 Nov sebagai cuti peristiwa bagi negeri itu selepas pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2022 esok.

    Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, cuti itu juga bagi menghargai sokongan padu yang sentiasa diberi oleh rakyat Johor serta penyokong tegar skuad Harimau Selatan.

    Menurutnya, ia telah hmendapat perkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

    “Tahniah JDT yang telah mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2022.

    “Sama-sama kita hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil esok bagi terus memberi sokongan padu kepada pasukan JDT,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

    Setelah menewaskan Sabah FC 3-1 pada 20 Nov, JDT mara ke peringkat akhir Piala Malaysia untuk melawan Selangor esok.

  • Kerajaan Perpaduan: Masih terima penyertaan parti lain termasuk PN – Anwar

    Kerajaan Perpaduan: Masih terima penyertaan parti lain termasuk PN – Anwar

    KERAJAAN Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terbuka menerima mana-mana parti politik lain untuk menyertainya, ini termasuklah Perikatan Nasional (PN).

    Menurut Anwar, kerajaannya kini dianggotai oleh tiga blok politik terbesar iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sawarak (GPS).

    “Kerajaan ini adalah Kerajaan Perpaduan, kerajaan ini menetapkan penyertaan setakat ini tiga komponen terbesar Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan GPS.

    “Jadi soal kestabilan tidak berbangkit, soalnya apakah Kerajaan Perpaduan yang juga disertai beberapa parti lain termasuk Warisan, MUDA dan Bebas.

    “Saya tetap bersedia menerima penyertaan semua yang lain untuk menjadikan negara ini satu, saya masih tunggu kesediaan rakan-rakan termasuk dari Perikatan Nasional,” katanya dalam sidang media malam ini lapor UtusanTV.

    Anwar pada masa sama memberi jaminan dua jawatan Timbalan Perdana Menteri akan diwujudkan bawah Kabinetnya dalam kalangan wakil komponen kerajaan perpaduan.

    Beliau berkata, ia akan diisi oleh wakil masing-masing daripada Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

    “Jawatan Timbalan Perdana Menteri itu, Perdana Menteri dari Pakatan Harapan (PH), Timbalan Perdana Menteri dari komponen kuat yang lain, iaitu Barisan Nasional.

    “Kepada Sabah dan Sarawak, yang terkuat antara Sabah dan Sarawak adalah GPS,” katanya pada sidang media di sini, malam ini.

  • Cuti umum Isnin ini – PM Anwar

    Cuti umum Isnin ini – PM Anwar

    PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan 28 Nov sebagai cuti umum sempena pembentukan Kerajaan Perpaduan Nasional dan pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri ke-10 Malaysia.

    Beliau berkata cuti yang asalnya dicadang diberikan esok terpaksa dianjak ke Isnin depan untuk terus memberikan ruang kepada nilai ringgit dan Bursa Malaysia yang menunjukkan perkembangan positif hari ini.

    “Saya bersyukur kerana hari ini dan sebelumnya keadaan dan keyakinan pelabur juga berubah, ringgit diperkuat dan bursa lebih segar. 

    “Justeru, saya putuskan esok tidak boleh diberi cuti umum tetapi diganti dengan hari Isnin (28 Nov),” katanya pada sidang media pertama beliau selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

    Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu juga berkata beliau telah berbincang dengan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberikan cuti umum itu namun ia tertangguh susulan urusan penubuhan kerajaan belum selesai selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu lepas.

    Terdahulu, orang ramai mula mempersoal di media sosial sama ada esok akan diberikan cuti peristiwa atau sebaliknya sempena pengumuman Perdana Menteri ke-10 pagi tadi.

    Ringgit meningkat 1.8 peratus ke paras tertingginya dalam tempoh dua bulan berbanding dolar AS hari ini dan pada 6 petang, ringgit naik 815 mata peratusan kepada 4.4910/5000 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.5725/5775 pada Rabu.

    Bursa Malaysia ditutup tinggi pada paras tertinggi tiga bulan dengan indeks utama meningkat sebanyak 4.04 peratus berikutan sentimen pasaran menaik susulan situasi politik tempatan mereda serta perkembangan luaran positif yang mendorong minat risiko pelabur.

    Ditanya tentang pendiriannya yang sebelum ini enggan mengambil gaji sebagai Perdana Menteri, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata beliau kekal dengan keputusan itu.

    Tegasnya keputusan itu sebagai langkah untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan, menteri dan pemimpin parti.

    “Tidak… saya telah umumkan bahawa itu langkah pertama untuk pulihkan keyakinan rakyat supaya tak lihat menteri dan pemimpin itu, tak kira parti dan agama, semuanya hanya fikir gaji, kepentingan, kontrak dan saham… maka saya pilih untuk tolak gaji PM,” katanya.

    Anwar juga memaklumkan beliau akan memulakan tugas sebagai Perdana Menteri secara rasmi di pejabatnya di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya sebelum 10 pagi esok.

    Perdana Menteri berkata pegawai beliau telah memintanya berada di pejabat pada 8 pagi namun terpaksa dianjak ke 10 pagi kerana terdapat mesyuarat yang perlu dihadiri sebelum ke sana.

    Anwar mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong selepas negara berdepan kemelut politik yang menyaksikan Parlimen tergantung apabila tiada parti yang mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan pada PRU15. – BERNAMA