Category: Umum

  • BN dan PH bentuk kerajaan negeri Pahang, Wan Rosdy dilantik MB

    BN dan PH bentuk kerajaan negeri Pahang, Wan Rosdy dilantik MB

    PEMANGKU Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, telah memperkenankan pembentukan Kerajaan Negeri Pahang daripada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

    Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman berkata baginda juga berkenan, untuk melantik Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang merupakan Pengerusi BN negeri sebagai Menteri Besar.

    Lantikan itu dibuat berdasarkan kuasa yang diperuntukkan kepada Raja Pemerintah yang dinyatakan dalam Bahagian II, Perkara 3 (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang.

    “Majlis pengurniaan surat cara lantikan dan mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar akan diadakan pada 11 pagi Isnin, 28 Nov di Balairung Seri, Istana Abu Bakar di Pekan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

    Ahmad Khirrizal juga menyatakan Tengku Hassanal telah berkenan menerima menghadap dan mendengar cadangan, usul serta hasrat kepimpinan parti-parti politik yang terlibat, susulan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sebelum membuat keputusan tersebut.

    Pelantikan Menteri Besar itu mengakhiri kemelut politik yang berlaku di Pahang, yang menyaksikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang tergantung buat kali pertama, selepas tiada parti politik yang memperoleh majoriti mudah iaitu 22 kerusi pada pilihan raya umum itu.

    Pada PRU15, BN memperoleh 16 kerusi DUN, kurang satu berbanding Perikatan Nasional (PN), manakala PH mendapat lapan kerusi. Secara keseluruhan terdapat 42 kerusi di DUN Pahang.

    Pengundian bagi DUN Tioman telah ditangguhkan dan akan berlangsung pada 7 Dis ini, susulan kematian calon PN Md Yunus Ramli, 61, pada 3.30 pagi hari pengundian PRU15 19 Nov lepas, dipercayai akibat serangan jantung.

    Keputusan DUN Tioman bagaimanapun tidak memberi kesan kerana tiada parti akan memperoleh majoriti mudah daripada keputusan tersebut. – BERNAMA 

  • Calon PN DUN Tioman diterima rakyat – Tuan Ibrahim

    Calon PN DUN Tioman diterima rakyat – Tuan Ibrahim

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Nor Idayu Hashim dilihat mudah diterima rakyat sekali gus mencerahkan peluang gabungan itu menambah jumlah kerusi DUN dimenanginya di Pahang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sejak beberapa hari berkempen, Nor Idayu sentiasa menyapa dan berbual mesra dengan para pengundi.

    Malah katanya, calon PN itu tidak mengira beza umur dan latar belakang masyarakat dalam usaha mendekati sekali gus menawan hati pengundi.

    “Calon Perikatan Nasional di Tioman, Idayu Hashim dilihat mudah diterima rakyat.

    “Sejak beberapa hari kempen, beliau sentiasa menyapa dan berbual mesra dengan para pengundi di Tioman tanpa mengira beza umur dan latar masyarakat.

    “Insya-Allah, misi menghantar ADUN wanita ke DUN Pahang semakin hampir. Doakan semua!,” katanya menerusi catatan di Facebook beliau hari ini.

    Tinjauan Warta Rakyat mendapati Nor Idayu tidak kekok mendekati pengundi di DUN Tioman dan diterima baik masyarakat.

    Menerusi siri jelajah yang dikongsi di Facebook calon PN itu, beliau mula berkempen dengan mendekati pengundi di kedai roti canai Pak Ali sebelum beramah mesra bersama pengunjung di Pasar Besar Kuala Rompin.

    Beliau juga berkesempatan menyantuni peserta program memanah di Masjid Tengku Mahkota Abdullah.

    Di Pahang, PN mempunyai 17 kerusi DUN, BN mempunyai 16 kerusi dan PH mempunyai 8 kerusi.

  • PRN: PN rangka strategi tawan Selangor

    PRN: PN rangka strategi tawan Selangor

    KEMENANGAN Perikatan Nasional (PN) di enam kerusi Parlimen di Selangor memberi suntikan semangat kepada gabungan itu untuk membuat persediaan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka tahun depan.

    Ketua Pemuda PN Selangor, Mohamed Shukri Omar berkata, kesemua kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 November lalu adalah kawasan majoriti Melayu.

    Menurutnya, Pas Selangor turut mencipta sejarah apabila buat pertama kali berjaya menawan tiga kerusi Parlimen iaitu Kapar, Kuala Langat dan Hulu Selangor.

    “Jentera semakin bersemangat khususnya dengan suntikan motivasi kemenangan PN di enam kerusi Parlimen.

    “Kejayaan tersebut menunjukkan Selangor bukannya kubu kuat Pakatan Harapan (PH),” katanya ketika ditanya berkenaan persiapan menghadapi PRN Selangor dijangka tahun depan.

    Sebanyak 22 kerusi Parlimen dipertandingkan di Selangor pada PRU-15 lalu menyaksikan PH menang 16 kerusi sementara PN dengan enam kerusi.

    Beliau yang juga Ketua Pemuda Pas Selangor berkata, PN akan terus fokus persiapan PRN ke arah menawan Selangor.

    “Gelombang sokongan anak muda kepada PN semakin baik dan strategi utama adalah menawarkan solusi dan inisiatif yang sesuai kepada anak muda.

    “Pelan tersebut telah dirangka bersama pemegang taruh dan dibentangkan pada masa yang sesuai, ” katanya lapor Sinar Harian.

  • Tuntut jawatan MB, tujuh exco: Saifuddin bidas sikap tamak BN

    Tuntut jawatan MB, tujuh exco: Saifuddin bidas sikap tamak BN

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah membidas Barisan Nasional (BN) sebagai ‘tamak’ sehingga menggagalkan pembentukan kerajaan negeri Pahang yang diterajui PN dan BN.

    Tegas Ahli Parlimen Indera Mahkota itu, parti yang mendapat mandat terbesar daripada rakyat Pahang ialah PN, justeru ia menggambarkan kehendak rakyat dan harus dihormati.

    Menurut beliau sejak awal, PN sedia berunding untuk membentuk kerajaan Pahang tetapi bukan dengan PH (Pakatan Harapan) yang membawa agenda yang bertentangan dengan kepentingan rakyat.

    “Tetapi BN pula menuntut jawatan menteri besar dan mahukan tujuh kerusi exco dan hanya setuju berikan PN satu kerusi exco sahaja walaupun mereka parti minoriti yang tiada mandat.

    “Sifat tamak dan mahu mengenepikan mandat rakyat ini adalah sifat sebenar UMNO-BN yang rakyat perlu sedar.

    “Saya tidak tahu apa gula-gula ‘pelincir’ yang PH setuju tawarkan kepada BN. Saya harap tidak ada perkara menyeleweng yang ditawarkan demi kuasa dan jawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Di Pahang, PN mempunyai 17 kerusi DUN, BN mempunyai 16 kerusi dan PH mempunyai 8 kerusi, dengan pilihan raya kecil (PRK) Tioman kini dijadualkan pada 7 Dis berikutan kematian calon PN/PAS.

    DUN Pahang tergantung selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) menyaksikan tiada parti berjaya memperoleh majoriti mudah iaitu 22 kerusi bagi membentuk kerajaan negeri.

    Susulan itu terdapat siri perbincangan antara PN dan BN, selain BN dan PH untuk menubuhkan kerajaan negeri campuran.

    Pada 24 Nov lalu, PH menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dari BN sebagai menteri besar yang seterusnya membawa kepada persetujuan dua gabungan itu untuk membentuk kerajaan negeri bersama.

  • Projek ganti paip air lama di Kelantan siap 2024 – Azami

    Projek ganti paip air lama di Kelantan siap 2024 – Azami

    USAHA membaik pulih bekalan air bersih di Kelantan sejak 2019 akan diteruskan dengan penukaran paip lama yang dijangka siap pada 2024.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Datuk Azami Mohd Nor, proses penukaran paip sepanjang 226 kilometer (km) membabitkan kos RM141.2 juta dibuat di Tanah Merah, Kuala Krai, Kota Bharu dan Machang.

    Beliau berkata, penggantian paip lama yang uzur dengan paip baharu di Kelantan pada 2018 yang membabitkan peruntukan sebanyak RM73.6 juta di Kota Bharu, Gua Musang dan Tumpat sepanjang 91km sudah siap dilaksanakan.

    “Selain itu, yang terbaharu di bawah pakej tiga yang membabitkan penukaran paip sepanjang 95km di Kota Bharu Utara, Kota Bharu Timur, Kota Bharu Selatan dan Tumpat.

    “Bagi penukaran paip ini, ia di dalam proses penyediaan dokumen tender,” katanya sebagai menjawab soalan daripada Rohani Ibrahim (PAS-Tanjong Mas) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan, hari ini.

    Mengulas lanjut, Azami yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadok berkata, bagi pembinaan telaga di loji Tanjong Mas, di bawah pakej satu juga di dalam proses pembinaan yang mencapai kemajuan 77 peratus.

    “Sementara itu, di bawah pakej dua, pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Tanjong Mas, perancangan kita adalah membabitkan kapasiti air sebanyak 30 juta liter sehari dan tender dijangka pada November ini,” katanya yang menjawab soalan tambahan Rohani.

    Dalam perkembangan sama, Azami berkata, kerajaan negeri juga melakukan pelbagai usaha untuk mengatasi masalah bekalan air bersih khususnya di Pulai Chondong, Machang.

    Katanya, kerajaan akan menyiapkan baki kerja di Loji Pulai Chondong yang membabitkan peruntukan RM1.7 juta dan permohonan sudah dibuat kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

    “Selain itu, cadangan menaik taraf sistem loji di Merbau Chondong dan dalam proses permohonan peruntukan pinjaman. Jangkaan tender pada 2022 dan dijangka siap 2024.

    “Loji Merbau Chondong dapat mengeluarkan air bersih sebanyak 60 juta liter sehari dan sekali gus dapat menyelesaikan masalah bekalan air bersih di Pulai Chondong khususnya dan sebahagian besar Kelantan,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Anak gajah mati dilanggar Perodua Viva

    Anak gajah mati dilanggar Perodua Viva

    SEEKOR anak gajah mati selepas dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Viva dalam kemalangan di Kilometer 13, Jalan Lahad Datu – Sandakan, di Lahad Datu, pukul 2.16 pagi tadi.

    Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Lahad Datu, Sylverter Saimin berkata, anak gajah berkenaan mati di lokasi kejadian.

    “Anak gajah berkenaan dikatakan sedang melintas jalan di lokasi itu. Akibat jarak yang terlalu dekat, pemandu kereta Perodua Viva tidak dapat mengelak lalu melanggar anak gajah berkenaan.

    “Kakitangan JHL Lahad Datu melakukan bedah siasat dan kemudian menanam bangkai anak gajah berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Menurutnya, pemandu Perodua Viva seorang lelaki tempatan tidak mengalami kecederaan.

    “Namun kereta Perodua Viva dipandu lelaki terbabit rosak di bahagian hadapan,” katanya, lapor Harian Metro.

  • PH tak boleh ambil mudah PN, kata penganalisis politik

    PH tak boleh ambil mudah PN, kata penganalisis politik

    PAKATAN Harapan (PH) tidak boleh mengambil mudah Perikatan Nasional (PN) walaupun memiliki sebahagian besar kerusi di Dewan Rakyat, kata penganalisis politik, Adib Zalkapli.

    Adib dari BowerGroupAsia (BGA) berkata, PH tidak boleh menganggap banyak kerusinya di Dewan Rakyat sebagai selamat kerana mereka menang kurang daripada 50 peratus undi.

    “PH mempunyai lawan baharu di Selangor dan Kuala Lumpur,” kata Adib pada forum mengenai pilihan raya umum.

    “Sungai Buloh dan Gombak pernah menjadi kerusi selamat untuk PH, kerana pakatan itu sebelum ini memenangi kerusi ini dengan lebih 50 peratus undi. Bagaimanapun, pada PRU15 mereka menang dengan kurang daripada 50 peratus,” katanya lapor Free Malaysia Today.

    Adib, yang merupakan pengarah hal ehwal kerajaan dan dasar awam di BGA juga berkata, pemilihan calon akan menjadi sangat penting sekarang.

    “Pemilihan calon juga isu lain. (Calon dengan) bantuan ‘profil nasional’, seperti yang anda lihat di Sungai Buloh, di mana (bekas menteri kesihatan) Khairy Jamaluddin berjaya mengecilkan margin.

    “Tetapi isu jentera tempatan juga sama penting, seperti yang berlaku di Titiwangsa,” katanya.

    Adib menegaskan Johari Ghani, yang tewas di kerusi Titiwangsa pada pilihan raya umum 2018 (PRU14), mengambil pendekatan berbeza dalam kempennya kali ini, memilih untuk mengadakan lebih banyak dialog dengan golongan muda selain strategi yang biasa.

    Hasilnya, Johari menang kerusi itu dengan majoriti 4,632 undi dalam pertandingan empat penjuru. Pada PRU14, Rina Harun daripada Bersatu memenangi kerusi itu atas tiket PH.

  • Ingatlah obor perjuangan tetap menyala

    Ingatlah obor perjuangan tetap menyala

    SEBAK rasa hati ini mengenangkan sokongan rakyat di atas jalan perjuangan ini. Saya juga insan biasa, yang punya rasa sedih dan kecewa. Insan kerdil yang juga punya air mata.

    Di saat memeluk isteri saya ini saya bukan sahaja merasa tenangnya hati, lapangnya dada, redha takdir Illahi.

    Terngiang-ngiang laungan sokongan daripada anda semua ketika berkempen, dan komen-komen sokongan saudara saudari rakyat yang saya kasihi di media sosial.

    Saya tahu. Saya bukan sendiri. Bersama dengan saya adanya saudara saudari yang kekal berdiri. Memapah saya agar terus berjalan dan berlari di landasan perjuangan ini.

    Saya insafi, perjuangan ini bukan milik saya. Perjuangan ini milik kita bersama, rakyat Malaysia.

    Perjuangan murni yang didasari tekad menyelamatkan negara. Perjuangan demi kedaulatan agama, bangsa dan negara kita.

    Usah kita bersedih hati. Sudah tentu jalan ini jalan yang sukar. Jalan ini jalan yang panjang. Kita tidak akan berhenti dari terus berjalan dek kerana ujian yang melanda.

    Ingat lah bahawa obor perjuangan tetap terus menyala. Kuatkan semangat dan tabahkan hati. Jika kita sabar, dan berpegang teguh kepada amanah bangsa dan ikhlas dalam berjuang, insya-Allah akan sentiasa ada sinar di hujung jalan.

    Pujuklah hati, bahawa esok hari masih ada. Kita bina Malaysia yang lebih baik dengan setiap kudrat yang ada, dalam apa jua kapasiti kita sekalipun. Ingatlah, Malaysia itu milik kita semua bersama.

    Moga saudara saudari, sentiasa berada di dalam lindungan Allah swt dan semoga perjuangan kita semua diredhai Yang Maha Esa.

    Terima kasih semua rakyat Malaysia.

    Ikhlas dari saya
    Muhyiddin Yassin
    Pengerusi Perikatan Nasional

  • Dr. Sidek Baba meninggal dunia

    Dr. Sidek Baba meninggal dunia

    TOKOH pendidikan, Prof. Datuk Dr. Sidek Baba dilaporkan meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) malam ini.

    Perkara itu dimaklumkan oleh anak Allahyarham, Izzudin Sidek dalam akaun Facebook beliau.

    “Dukacita dimaklumkan ayahanda kesayangan kami, Cikgu Sidek Baba telah menghembuskan nafasnya yang terakhir waktu Maghrib tadi pukul 8.22 malam di PPUM.

    “Mohon didoakan agar roh Ayahanda dicucuri rahmat dan tergolong dalam kalangan pra Solihin dan Muttaqin,” katanya.

    Izzudin menambah, jenazah masih di PPUM dan untuk pengesahan pihak hospital dan protokol Covid-19.

    Sidek adalah tokoh pendidikan yang tidak asing lagi apabila sering menghasilkan pelbagai buku dan menyumbang artikel kepada akhbar arus perdana.

    Beliau sentiasa menabur bakti dalam akademik terutama mengenai Pendidikan Islam kerana mahu masyarakat umum memahami tentang kepentingan ilmu itu.

    Atas sumbangan itu, beliau pernah menerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2009 peringkat kebangsaan.

    Sidek yang dilahirkan di Kampung Pulau, Masjid Tanah, Melaka pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang menangani Hal Ehwal Pembangunan Pelajar pada tahun 1994 hingga 2002.

  • Sabah sokong kerajaan perpaduan demi kebaikan , kestabilan

    Sabah sokong kerajaan perpaduan demi kebaikan , kestabilan

    SOKONGAN dan penyertaan parti-parti politik di Sabah dalam kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diyakini dapat memastikan kestabilan dan kesejahteraan rakyat negeri, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

    Beliau berkata kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta Barisan Nasional (BN) mahu memberikan fokus kepada usaha memulihkan ekonomi negeri dan membangunkan Sabah ke arah merealisasikan pelan lima tahun hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

    “Kita (GRS-BN) ada tiga tahun lagi untuk memerintah Sabah. Kita tidak mahu terlampau berpolitik atau ada gangguan, kerana bagi kita adalah kepentingan rakyat dan negeri,” kata Pengerusi GRS itu kepada pemberita ketika ditemui selepas membentangkan Belanjawan Sabah 2023 di Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.

    Sementara itu Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata kerajaan Sabah mahu konsep kerajaan perpaduan dipraktikkan dan dirasai di negeri ini supaya rakyatnya dapat menikmati limpahan ekonomi serta pembangunan sama.

    Pengerusi BN Sabah itu turut mengalu-alukan mana-mana parti di Sabah untuk menyertai kerajaan perpaduan dalam usaha memastikan kemakmuran pentadbiran negara yang dapat memacu kepada pemulihan ekonomi, dan nasib rakyat terbela.

    “Nama pun perpaduan, bermakna semua (parti) pun boleh menyertainya. Jadi, saya mengalu-alukan mana-mana parti menyertai kerajaan perpaduan bagi memastikan perpaduan dalam pemerintahan harus memakmurkan negara dan rakyat. Ini keutamaan kita,” katanya.

    Bagi Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah Datuk Christina Liew, kesediaan GRS menyertai serta menyokong pembentukan kerajaan perpaduan dilihat sebagai langkah terbaik demi pembangunan dan manfaat rakyat Sabah.

    Beliau berkata pihaknya menunggu pertemuan antara pemimpin GRS bersama pemimpin PH Sabah bagi membincangkan pelbagai perkara berkaitan yang boleh dibawa untuk bekerjasama.

    Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Afdal pula yakin kerajaan perpaduan adalah sebuah kerajaan yang stabil dan mampu memulihkan ekonomi negara.

    Anwar dalam sidang media pada hari pertama bertugas secara rasmi di Putrajaya berkata kerajaan perpaduan pimpinannya telah mencapai majoriti dua pertiga melalui penyertaan terkini oleh GRS, setelah dimaklumkan oleh Hajiji.

    Anwar, 75, mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara semalam. – BERNAMA