Category: Umum

  • Allahyarham Pahamin dikebumikan di London

    Allahyarham Pahamin dikebumikan di London

    JENAZAH  bekas Pengerusi AirAsia Berhad, Datuk Pahamin Abdul Rajab akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam di kota London, Britain.

    Menurut anaknya, Armin Baniaz Pahamin, keputusan untuk mengebumikan bapanya di sana dicapai oleh seluruh ahli keluarganya.

    “Keluarga memutuskan untuk kebumi jenazah ayahanda kami di London dan untuk itu kami sekeluarga akan berlepas ke London untuk urus pengebumian ayah,” kata Armin Baniaz dalam rakaman video yang dikongsi di akaun media sosial abang iparnya yang juga pelakon Azhar Sulaiman, lapor Astro Awani.

    Dalam video berkenaan, Armin Baniaz berterima kasih kepada semua pihak yang tidak putus-putus mengirim ucapan takziah serta mendoakan roh ayahnya.

    Armin Baniaz turut memohon maaf bagi kepada mana-mana pihak yang mungkin terguris sekiranya Allahyarham ayahnya ada melakukan kesilapan atau tersalah cakap semasa hayatnya.

    “Sekiranya ayah ada melakukan kesalahan, kami minta maaf dan sekiranya ayah ada berhutang dengan anda, bolehlah berhubung dengan salah seorang daripada ahli keluarga kami,” kata Armin Baniaz lagi.

    Allahyarham Pahamin yang berusia 77 tahun menghembuskan nafas terakhir dalam pesawat ketika dalam perjalananke kota London pada Sabtu lalu.

    Kata Armin Baniaz, sebelum itu, ayahnya pengsan ketika berada dalam bilik air pesawat.

    “Krew dan doktor-doktor yang ada dalam pesawat telah cuba membantu menyelamatkan ayahanda lebih sejam, namun, sudah sampai masanya ayahanda saya (meninggal dunia) dan berikutan itu juruterbang telah mendapat keizinan untuk mendarat lebih awal di Heathrow, London. (Justeru), kami putuskan untuk kebumikan ayahanda di London dan kami sekeluarga akan berlepas ke sana untuk urusan pengebumian,”ujar Armin Baniaz lagi.

    Sehari sebelum berlepas ke London, Allahyarham Pahamin kembali dari Tanah Suci selepas menunaikan ibadah haji.

    “Ayah balik daripada haji pada hari Jumaat… kami sekeluarga sempat makan malam bersama dia dan pada pagi keesokan harinya (hari Sabtu) pukul 6 pagi dia bertolak ke London,” jelas Armin Baniaz.

    Dalam masa sama, Armin Baniaz berjanji akan memaklumkan perkembangan semasa urusan pengebumian Allahyarham ayahnya dari semasa ke semasa.

  • Bekas wartawan,pemenang anugerah Kajai meninggal dunia

    Bekas wartawan,pemenang anugerah Kajai meninggal dunia

    BEKAS wartawan dan pemenang Anugerah Kajai, Wan Noor Hayati Wan Alias atau lebih dikenali sebagai Wanti meninggal dunia di Hospital Serdang di sini pada kira-kira 6.10 petang tadi.

    Mengesahkan perkara itu abangnya, Wan Mohd Faizal, 46, berkata Allahyarham  menghembuskan nafas terakhir pada usia 44 tahun akibat kegagalan jantung setelah bergelut dengan penyakit radang paru-paru.

    Beliau berkata jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bintongan, Rembau, Negeri Sembilan, pada 11 malam ini. 

    Sebelum ini, media melaporkan Wan Noor Hayati dirawat di Hospital Putrajaya kerana kekurangan oksigen dan disahkan dijangkiti COVID-19 pada April lepas.

    Sejak itu, tahap kesihatannya mula merosot dan sering berulang-alik untuk menerima rawatan di Hospital Serdang dan Hospital Kajang dipercayai kesan sindrom COVID-19 yang berpanjangan.

    Allahyarham dimasukkan semula ke Hospital Serdang pada dua hari lepas. 

    Selain pernah berkhidmat dengan Utusan Malaysia, Allahyarham merupakan bekas wartawan Berita Harian dan Media Variasi serta pernah memenangi Anugerah Kajai iaitu anugerah tertinggi dalam bidang kewartawanan negara yang diberikan oleh Malaysian Press Institute (MPI) pada 2013.

    Keadaan kesihatan Wan Noor Hayati turut mendapat perhatian pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang melawatnya di rumah baru-baru ini dan meminta laporan penuh perubatannya untuk tindakan lanjut.

    Allahyarham merupakan ibu tunggal dan meninggalkan seorang anak lelaki berumur sembilan tahun.  – BERNAMA

  • Anwar puji Ketua Hakim Negara, berjanji pertahan kebebasan badan kehakiman

    Anwar puji Ketua Hakim Negara, berjanji pertahan kebebasan badan kehakiman

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang disifatkan berani dalam mengukuhkan kepercayaan rakyat terhadap badan kehakiman.

    Beliau turut terima kasih kepada pendirian teguh Tengku Maimun terhadap kebebasan badan kehakimanan dan hakim secara keseluruhannya, dalam menghadapi serangan tanpa henti.

    Menurutnya, di bawah nakhoda beliau, hasrat untuk melihat kebebasan kehakiman yang berterusan kelihatan semakin bertambah cerah dan menjanjikan yang terbaik.

    “Pelanggaran prinsip pengasingan kuasa secara terang-terangan oleh mereka yang memegang tampuk kuasa tidak lama dahulu, telah menyaksikan serangan yang kejam terhadap badan kehakiman. Ia memuncak dengan kemerosotan proses kehakiman itu sendiri, terutamanya kes melibatkan ahli politik yang telah menimbulkan ancaman serius kepada kuasa yang ada.

    “Akibatnya, ada hakim-hakim tertentu membuat keputusan kehakiman yang benar-benar menyimpang daripada unsur-unsur keadilan dan cetusan hati nurani yang baik.

    “Bagaimanapun berdiri saya di sini hari ini, saya boleh katakan dengan pasti bahawa sejak saya memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, bukan sahaja saya tidak menceroboh walau sejengkal pun institusi kehakiman ini, malah saya akan mempertahankan dengan apa cara sekalipun, kebebasan badan kehakiman,” katanya lampor Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Undang-undang Malaysia (IMLC) 2023 anjuran Majlis Peguam Malaysia di Hotel Shangri-La, di sini pada Isnin.

    Turut berangkat, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Mukhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir; Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz.

    Hadir sama, Presiden Pengasas Institut Demokrasi (IDEAS), Tunku Zain Al-’Abidin Ibni Tuanku Muhriz; Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Presiden Majlis Peguam Karen Cheah Yee Lynn.

    Menurut Anwar, apabila bercakap tentang kebebasan badan kehakiman, ia bermakna hakim hendaklah memutuskan hukuman secara saksama, berdasarkan fakta dan mengikut undang-undang, tanpa sebarang sekatan, pengaruh yang tidak wajar, dorongan, tekanan, ancaman atau gangguan.

    “Dalam erti kata lain, badan kehakiman yang bebas, tidak berat sebelah dan cekap adalah asas kepada kedaulatan undang-undang serta menimbulkan keyakinan orang ramai. Kita boleh katakan ia adalah benteng keadilan itu sendiri. Di atas kertas ia memang kedengaran mudah, namun dari sudut empirikal, melihat kembali kepada tahun-tahun tertentu pada masa lepas, kebebasan seperti itu mungkin tidak begitu jelas.

    “Disebabkan pelanggaran prinsip pengasingan kuasa secara terang-terangan oleh mereka yang memegang tampuk kuasa tidak lama dahulu, kita telah menyaksikan serangan ketara dan ganas terhadap badan kehakiman,” katanya.

  • PN tagih sokongan rakyat pada PRN ini-Muhyiddin

    PN tagih sokongan rakyat pada PRN ini-Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, Perikatan Nasional (PN) melihat sokongan rakyat terhadap gabungan itu bukan saja masih kekal, malah semakin meningkat.

    Pengerusi PN itu melihat sokongan khususnya orang Melayu kepada PN seperti mana yang ditunjukkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) masih kekal.

    “Sokongan yang diberikan rakyat juga menunjukkan peningkatan berdasarkan situasi sekarang.

    “Jika kita lihat program yang PN anjurkan, kehadiran dan sokongan begitu luar biasa sekali gus memberi mesej yang jelas sokongan tanpa belah bahagi.

    Ribuan rakyat hadir dalam Jelajah Mega PN Best di Kuala Terengganu malam tadi

    “Malah, jika kita tengok kehadiran malam ini (semalam) juga sangat luar biasa,” katanya ketika berucap dan merasmikan Ceramah Perdana Jelajah Mega PNBest Himpunan Teguh Pertahan di Dataran Jambatan Angkat, di Kuala Terengganu, malam tadi.

    Selain Muhyiddin, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Pengerusi Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut menyampaikan ceramah pada himpunan itu.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, keputusan PRN kali ini amat penting dan berharap rakyat terus memberikan mandat kepada PN mentadbir Terengganu, Kelantan dan Kedah selain menawan tiga negeri yang lain.

    Kehadiran memberangsangkan dalam Ceramah Perdana Jelajah Mega PNBest Himpunan Teguh Pertahan di Dataran Jambatan Angkat, di Kuala Terengganu, malam tadi.

    “Kita berbangga dengan kerajaan Terengganu yang berjaya melaksanakan 20 manifesto kepada rakyat di negeri ini seperti mana yang diumumkan Menteri Besar (Ahmad Samsuri),” katanya lapor Harian Metro.

    Sebab itu katanya, keputusan PRN di Terengganu amat penting dan pihkanya mahu kerajaan yang dipimpin hari ini kembali memerintah.

  • Mangsa dakwa dirogol tolak penilaian lanjut, kata pengarah kesihatan

    Mangsa dakwa dirogol tolak penilaian lanjut, kata pengarah kesihatan

    MANGSA yang didakwa dirogol namun tidak diberi bantuan segera di hospital awam di Sarawak menolak penilaian lanjut, menurut Jabatan Kesihatan Negeri.

    Ini susulan dakwaan pengguna Twitter @serensespagetthi, seorang mangsa rogol tidak dibenarkan masuk ke pusat khidmat krisis sehenti (OSCC) sebuah hospital awam dan diberitahu untuk membuat laporan polis terlebih dahulu.

    Selepas bertengkar dengan kakitangan hospital dan akhirnya dapat memasukkan mangsa ke OSCC, beliau mendakwa wanita itu tidak diperiksa, sebaliknya hanya diberi ubat perancang kecemasan dan antibiotik untuk penyakit kelamin yang mungkin terjangkit

    Menurut The Borneo Post, Pengarah Kesihatan Sarawak, Dr. Ooi Choo Huck, mengesahkan kejadian itu berlaku di sebuah hospital awam di Sarawak sekitar 10.30 malam Rabu lalu.

    Bagaimanapun, Ooi berkata, kakitangan hospital memberikan mangsa perhatian dan rawatan sewajarnya di jabatan kecemasan, dan dia diperiksa secara menyeluruh.

    “Wanita itu mula-mula disaring oleh kakitangan kesihatan yang bertugas dan diminta membuat laporan polis di pondok polis bersebelahan Jabatan Kecemasan. Bagaimanapun, selepas berbincang dengan doktor kecemasan yang bertugas, dia dihantar ke OSCC,” katanya.

    Selepas diperiksa pegawai perubatan, beliau berkata, prosedur bagi kes sebegini dijelaskan kepada mangsa, termasuk kepentingan membuat laporan polis dan memberikan kebenaran bertulis untuk penilaian lanjut.

    Ooi mendakwa, mangsa bagaimanapun enggan membuat laporan atau memberikan kebenaran untuk sebarang penilaian lanjut dijalankan ke atasnya, walaupun selepas dinasihati pegawai perubatan.

    “Oleh sebab tiada kebenaran bertulis daripada pesakit terbabit, pemeriksaan lanjut tidak dapat dijalankan. Dia dinasihatkan agar kembali ke hospital untuk pemeriksaan jika berubah fikiran dalam tempoh 72 jam.”

  • Pelupusan hutang peneroka : Siapa betul Anwar atau Muhyiddin?

    Pelupusan hutang peneroka : Siapa betul Anwar atau Muhyiddin?

    PERDANA Menteri, Anwar Ibrahim kekal dengan pendiriannya yang mendakwa bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah melaksanakan langkah untuk melupuskan pinjaman peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion.

    Anwar berkata memang terdapat persetujuan untuk memansuhkan hutang peneroka Felda, tetapi peruntukan itu tidak dibentangkan dalam Belanjawan negara pada 2021 dan 2022.

    Beliau mengulas kenyataan Muhyiddin dalam Facebook bekas Perdana Menteri itu  menyifatkan Anwar berbohong apabila menuduh beliau  tidak melaksanakan  pelupusan hutang peneroka Felda.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, pelupusan hutang peneroka Felda telah pun dilaksanakan ketika beliau menjadi Perdana Menteri. 

    ‘’Hal ini disahkan sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam jawapan di Parlimen pada 23 Februari 2023 di mana pelupusan hutang peneroka FELDA telah dilaksanakan pada tahun 2021.

    ‘’Susulan itu, Tan Sri Idris Jusoh yang ketika itu Pengerusi Felda  telah membuat kenyataan pada 24 Februari 2023 bahawa pelupusan hutang peneroka FELDA berjumlah RM8.3 billion telah selesai dilaksanakan pada tahun 2021,’’ katanya.

    Berikutan disiarkan semula berita kenyataan Idris pada 24 Februari 2023:

    KUALA LUMPUR : FELDA menjelaskan pelupusan hutang peneroka untuk kali kedua tidak dapat dilaksanakan kerana dikhuatiri akan memberi kesan besar kepada aliran tunai.

    Pengerusinya, Tan Sri Idris Jusoh, berkata ini berikutan FELDA sebelum ini, sudah melaksanakan  sebahagian hutang peneroka FELDA bernilai RM8.3 bilion, berbanding jumlah keseluruhan RM12.1 bilion, pada 2021.

    Beliau berkata, keputusan pelupusan sebahagian hutang peneroka itu tidak pernah dibatalkan mana-mana kerajaan, termasuk Kerajaan Perpaduan.

    Rentetan itu, katanya, semua peneroka yang menandatangani perjanjian pelupusan hutang itu sudah menikmati manfaat dengan bayaran kembali pinjaman yang jauh lebih rendah dan mampu dibayar. Bayaran kembali baki pinjaman kini akan diteruskan seperti perjanjian pelupusan hutang terbabit, demi menjamin kelangsungan organisasi dan membolehkan FELDA terus menjaga kebajikan warga peneroka.

    “Kerajaan melalui FELDA, komited membantu peneroka dan sedang melaksanakan pelbagai inisiatif, bagi meningkatkan pendapatan peneroka serta memastikan hutang mereka tidak terus meningkat. Komitmen ini terbukti apabila purata produktiviti ladang peneroka meningkat hingga 19.43 tan perhektar setahun pada 2022, berbanding 17.29 tan perhektar setahun mewakili peningkatan lebih 12 peratus, sekali gus mampu memberi pulangan pendapatan lebih tinggi kepada warga peneroka FELDA,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

    Beliau mengulas laporan pelupusan hutang FELDA berpandukan jawapan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said di Dewan Rakyat, bagi soalan Ahli Parlimen Kuala Krau, Kamal Ashaari di Dewan Rakyat, baru-baru ini. (Berita Harian 24 Februari 2023).

  • Kes adik mati dicekik : Abang mangsa buli di asrama

    Kes adik mati dicekik : Abang mangsa buli di asrama

    BAPA kepada kanak-kanak yang maut dicekik abang kandung tidak menyangka keceriaan tiga daripada empat beradik makan serta bergelak tawa sehari sebelum kejadian adalah kenangan terakhir mereka bersama.

    Najli Yakob,42, berkata, mangsa Muhammad Haziq Damiri Najli, 9, sememangnya rapat dengan abang sulung berusia 14 tahun itu, namun kelakuan remaja terbabit berubah selepas didakwa menjadi mangsa buli di asrama sejak tahun lalu.

    Dia yang bekerja sebagai tukang urut, mendakwa anaknya sebelum ini pernah memberitahu dibuli dan percaya kesan perbuatan tersebut telah menyebabkan dia mengalami trauma hinggakan sering meracau.

    Katanya, insiden mencekik bukan pertama kali berlaku, namun dia dan isterinya yang bekerja sebagai jururawat di Hospital Melaka juga pernah dicekik remaja terbabit sebelum berlaku tragedi hingga meragut nyawa anak ketiga daripada empat beradik.

    “Dia (abang) pernah beritahu dicekik ketika tidur, dan disimbah air, malah laporan polis berhubung kejadian buli juga telah dibuat, akibat trauma dan pendam segalanya, saya yakin dia tak sedar apa yang telah dilakukan terhadap adiknya. Dia mengakui pernah ditumbuk, disepak guna kasut but namun selepas setahun dia tak lagi sebut nama dua pelajar itu kerana tak mahu dicederakan lagi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Piatu di Melaka, lapor SInar Harian.

    Katanya, meskipun reda dengan pemergian kanak-kanak, namun berharap kedua-dua pembuli itu dikenakan tindakan agar tiada lagi pelajar yang menjadi mangsa seperti yang terpaksa dilalui oleh anaknya hinggakan adik meninggal dunia.

    Bercerita lanjut, bapa kepada empat orang anak berusia empat hingga 14 tahun itu, berkata, mangsa tidak menunjukkan sebarang perubahan malah kelihatan lebih ceria termasuk ketika mereka bercuti bersama di Kuala Lumpur pada Hari Raya Aidiladha baru-baru ini.

    “Saya rasa bersalah sebab tinggalkan mereka berdua bersama, keadaan saya lemah dan longlai selepas dihubungi isteri memaklumkan arwah telah tiada,” katanya yang bergegas pulang ke rumah dari Terengganu.

    Jenazah kanak-kanak lelaki itu dibawa ke rumah datuknya di Kampungku Sayang, Bukit Piatu sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Piatu.

    Sinar Harian pada malam Rabu melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut dipercayai dicekik oleh abang sulungnya berusia 14 tahun dalam kejadian jam 12 tengah hari di Kampung Bukit Piatu.

    Jiran mangsa yang juga saksi kejadian, Qhurun Ain Johani, 31, berkata, dia mengetahui insiden itu apabila dihubungi ibu mangsa yang memaklumkan anak sulung dari empat beradik itu sedang mencekik adiknya.

  • Kenyataan Dr.Mahathir tidak berasas dari segi undang-undang – Ramkarpal

    Kenyataan Dr.Mahathir tidak berasas dari segi undang-undang – Ramkarpal

    KENYATAAN  bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa mempromosikan negara berbilang bangsa bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berasas dari segi undang-undang, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Ramkarpal Singh.

    Timbalan Menteri yang bertanggungjawab terhadap Undang-undang dan Reformasi Institusi itu berkata  Dr Mahathir yang menjadi Perdana Menteri selama 23 tahun, tidak pernah mempertikaikan status Malaysia sebagai sebuah negara berbilang bangsa dan kaum dalam tempoh tersebut, malah telah mengiktiraf perkara berkenaan.

    “Tambahan pula, sebagai seorang bekas Perdana Menteri selama lebih dua dekad, sudah tentunya Tun Dr Mahathir Mohamad telah mempunyai akses kepada nasihat guaman melalui Peguam Negara dan oleh yang demikian, sedar akan kedudukan undang-undang berkenaan perkara ini.

    “Sebagai seorang negarawan yang berpengalaman, Tun Dr Mahathir Mohamad sepatutnya sedar akan betapa pentingnya frasa ‘unity in diversity should be our strength and not our shame’ (perpaduan dalam kepelbagaian harus menjadi kekuatan kita dan bukan keaiban kita) di Malaysia seperti mana dinyatakan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Zainun Ali (Tan Sri) di dalam kes Indira Gandhi dan mengambil iktibar daripada frasa tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Bernama.

    Mengenai dakwaan Dr Mahathir terdapat desakan Malaysia tidak lagi dikenali sebagai negara Islam, Ramkarpal berkata kedudukan agama Islam di Malaysia sebagai agama rasmi Persekutuan tidak pernah dipertikaikan seperti yang termaktub di dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

    Malah katanya Mahkamah Persekutuan dalam kes Dhinesh Tanaphll lawan Lembaga Pencegahan Jenayah & Ors pada  2022 telah menyatakan bahawa Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan berhubung agama merupakan sebahagian daripada struktur asas Perlembagaan Persekutuan yang tidak boleh dipinda oleh Parlimen melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan.

    Beliau berkata sebarang pindaan sedemikian yang mempunyai kesan mengubah struktur asas Perlembagaan negara adalah tidak berperlembagaan.

    “Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan turut memperuntukkan bahawa agama selain agama Islam juga boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Ini bermakna, kewujudan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan membuktikan bahawa Malaysia adalah merupakan sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum, budaya dan agama,” katanya.

    Selain itu, Ramkarpal berkata Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan melarang sebarang diskriminasi terhadap mana-mana warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina; dan Perkara 11 turut memberikan seorang hak untuk menganuti dan mengamalkan agamanya.

    “Kesemua peruntukan Perlembagaan Persekutuan di atas, setelah dibaca bersama, mencerminkan pengiktirafan bahawa Malaysia merupakan satu negara yang berbilang kaum, budaya dan agama,” katanya.

    — BERNAMA

  • Penglihatan terganggu, Zahid jalani pembedahan mata – Nurulhidayah

    Penglihatan terganggu, Zahid jalani pembedahan mata – Nurulhidayah

    PERUBAHAN wajah Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi selepas pulang bercuti selama dua minggu baru-baru ini menarik perhatian ramai.

    Ada yang membuat andaian beliau melakukan rawatan bagi menegangkan kulit mukanýma. Namun apa yang menarik perhatina ialah mata Timbalan Perdana Menteri itu yang kelihatan ‘sepet’.

    Menjawab persoalan itu, anak perempuannya, Nurulhidayah Zahid hari ini menjelaskan ini kerana Presiden UMNO itu baru-baru ini menjalani pembedahan untuk memperbaiki penglihatannya yang semakin terhalang.

    “(Saraf mata) Grandpa (Zahid) sampai dah mengganggu penglihatan dan menjadi keperluan untuk melakukan pembedahan. Bila berumur saraf makin kendur dan memudaratkan penglihatan,” katanya dalam catatan di Instagram pada awal pagi.

    Nurulhidayah berkata, anaknya turut menghidap penyakit sama yang disebut sebagai “lazy eye”.

    Bagaimanapun, seorang pengulas membetulkannya dan berkata ia kemungkinan besar adalah ptosis, keadaan yang menyebabkan kelopak mata atas jatuh dan boleh menjadi lebih teruk apabila usia semakin lanjut.

    Dalam pada itu, Nurulhidayah turut menafikan Zahid menjalani pembedahan itu atas sebab kosmetik.

    “Kenapa dia nak buat (ubah) muka, dia bukan superstar. Tetapi apabila (keadaan) berbahaya, maka sesuatu perlu dilakukan,” katanya.

  • ‘’Kementerian Kewangan pernah tekan saya gugurkan nikotin daripada Akta Racun’’ – dedah Khairy

    ‘’Kementerian Kewangan pernah tekan saya gugurkan nikotin daripada Akta Racun’’ – dedah Khairy

    KHAIRY Jamaluddin mendedahkan ketika menjadi Menteri Kesihatan, beliau pernah ditekan oleh Kementerian Kewangan supaya mengeluarkan nikotin daripada senarai bahan terkawal bawah Akta Racun 1952.

    “Langkah itu bertujuan membolehkan kerajaan mengutip cukai,” katanya dalam episod terbaru audio siar “Keluar Sekejap” yang dihoskan bersama Shahril Hamdan.

    Beliau bagaimanapun tetap dengan pendiriannya mengutamakan keselamatan dan kesihatan awam berbanding mengutip sedikit cukai.

    “Saya dahulu (ketika menjadi menteri) diberi tekanan daripada Kementerian Kewangan (untuk nyah senarai produk nikotin), sebab bila kita nyah senarai, boleh kutip cukai.

    “Tetapi sebagai menteri kesihatan, kita kena ‘stand our ground’. (Kita harus) pastikan kita jaga keselamatan dan kesihatan awam yang (boleh) mengundang kos yang lebih besar sekiranya vape, hisap rokok dibenarkan berleluasa,’’ katanya lapor FMT.

    Khairy berkata demikian ketika mengulas tindakan tiga NGO kesihatan dan kepentingan kanak-kanak mengemukakan permohonan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan mengeluarkan nikotin daripada senarai bahan terkawal bawah Akta Racun 1952.

    Majlis Kawalan Tembakau Malaysia, Malaysian Green Lung Association dan Voice of the Children memfailkan permohonan itu melalui firma guaman, Kanesalingam & Co pada Jumaat, dengan menamakan menteri kesihatan dan kerajaan sebagai responden.

    Khairy menyifatkan tindakan undang-undang itu sesuatu yang “mengejutkan”.

    Di Dewan Rakyat pada 12 Jun lalu, Zaliha berkata, pengecualian cecair nikotin daripada senarai racun ialah “proses wajar” kerajaan bagi membenarkan duti eksais dikenakan ke atas rokok elektronik dan cecair vape mengandungi nikotin.