Category: Umum

  • ‘Kerajaan Perpaduan’ tewas, PN menang bergaya kerusi Parlimen Padang Serai

    ‘Kerajaan Perpaduan’ tewas, PN menang bergaya kerusi Parlimen Padang Serai

    Oleh BADLISHAH MAT

    GABUNGAN Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak mampu menyekat kemaraan Perikatan Nasional (PN) di Kedah apabila tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di kerusi Parlimen Padang Serai.

    Calon PN, Datuk Azman Nasrudin yang menerima 51,637 undi diumumkan sebagai pemenang selepas mendapat majoriti 16,260 mengatasi calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Mohamad Sofee Razak yang meraih 35,377 undi.

    Kemenangan Azman menjadikan PN memperoleh 14 daripada 15 kerusi Parlimen di Kedah.

    Dua calon yang menarik diri, Datuk C. Sivaraj daripada Barisan Nasional (BN) dan calon Parti Warisan, Mohd. Bakhri Hashim masing-masing turut mendapat 2,983 dan 149 undi.

    Sementara itu, calon bebas, Sreanandha Rao memperoleh 846 undi diikuti calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Hamzah Abd. Rahman yang mendapat 424 undi.

    Sivaraj dan Mohd. Bakhri sebelum ini mengumumkan menarik diri daripada PRU15 bagi memberi laluan dan menyokong Mohamad Sofee.

    Keputusan pilihan raya itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Padang Serai, Datuk Abdul Bari Abdullah pada pukul 10.50 malam ini di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech, di sini.

    Turut hadir menyaksikan kemenangan calon PN itu antaranya Pengerusi PN Kedah yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

    Pilihan raya Padang Serai ditangguhkan susulan kematian calon PH M Karupaiya pada 16 Nov. Bekas Ahli Parlimen Padang Serai itu meninggal dunia akibat serangan jantung.

    Karupaiya memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum 2018 dengan majoriti lebih 8,000 undi.

  • “Menang tak megah! Kalah tak rebah!” – Calon PN Tioman

    “Menang tak megah! Kalah tak rebah!” – Calon PN Tioman

    “MENANG tak megah! Kalah tak rebah!”. Itu antara sebahagian ucapan penghargaan calon Perikatan Nasional (PN ) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Nor Idayu Hashim, malam ini.

    Ini susulan kekalahan tipis PN pada pilihan raya kecil DUN Tioman kepada calon Barisan Nasional (BN) dengan majoriti kecil 573 undi.

    Datuk Seri Mohd Johari Hussain memperoleh 8,080 undi manakala Nor Idayu mendapat 7,507 undi.

    Berikut kenyataan penuh Nor Idayu yang disiarkan dalam akaun Facebook beliau.

    ASSALAMUALAIKUM WBT

    Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua petugas yang telah bekerja keras untuk memenangkan Islam dalam pilihanraya memenangkan PERIKATAN NASIONAL pada PRK ini.

    Saya mohon maaf sekiranya ada kekhilafan diri saya sepanjang tempoh berkempen kepada semua petugas.

    Semoga Allah terima segala amal kita semua dan diberkati Allah.
    Kekalkan momentum kita untuk menangkan Islam dan moga terus istiqomah dalam perjuangan ini.

    Menang tak megah! Kalah tak rebah!

    TAKBIR!!!

    IKHLAS DARI:
    NOR IDAYU BINTI HASHIM

  • BN menang di DUN Tioman dengan majoriti 573 undi

    BN menang di DUN Tioman dengan majoriti 573 undi

    BARISAN Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) hari ini.

    Ia susulan kemenangan calonnya, Datuk Seri Mohd Johari Hussain yang memperoleh 8,080 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Nor Idayu Hashim dengan majoriti kecil 573 undi.

    Nor Idayu mendapat 7,507 undi manakala calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Fadzli Mohd Ramly yang sebelum ini mengumumkan menarik diri mendapat 784 undi.

    Dua lagi calon, Osman Bakar daripada Pejuang dan Sulaiman Bakar (Bebas) hilang deposit.

    Osman mendapat 79 undi manakala Sulaiman pula hanya memperoleh 58 undi.

    Keputusan pilihan raya DUN Tioman menyaksikan BN Pahang kini memiliki 17 kerusi DUN, menyamai jumlah kerusi DUN dimenangi PN Pahang dalam PRU-15.

    PRU-15 DUN Tioman ditangguhkan susulan kematian calon PN, Allahyarham Md Yunus Ramli yang meninggal dunia 19 November lalu ketika menerima rawatan di Hospital Rompin.

    Mohd Johari menyandang kerusi DUN Tioman sejak 2008 dan menang dengan majoriti 1,280 undi dalam pertandingan empat penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

    DUN Tioman mempunyai 28,465 pengundi termasuk 262 pengundi awal dan tiga pengundi pos.

  • PN mendahului di Padang Serai setakat 9.20 malam

    PN mendahului di Padang Serai setakat 9.20 malam

    Oleh BADLISHAH MAT

    CALON Perikatan Nasional (PN), Datuk Azman Nasrudin mendahului keputusan tidak rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai setakat pukul 9.20 malam.

    Azman memperolehi 14,536 undi sekali gus berada di depan dengan majoriti 5,186 undi meninggalkan calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Mohamad Sofee Razak yang mendapat 9,350 undi.

    Calon Barisan Nasional (BN), Datuk C. Sivaraj yang menarik diri pula menerima 1,042 undi diikuti calon bebas, Sreanandha Rao (215); dan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Hamzah Abd. rahman (127).

    Calon Parti Warisan, Mohd. Bakhri Hashim yang turut memberi laluan kepada PH menerima 55 undi.

  • Anwar perlu fokus bantu rakyat, berhenti buat spekulasi tak berasas

    Anwar perlu fokus bantu rakyat, berhenti buat spekulasi tak berasas

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sepatutnya berpolitik secara murahan apabila secara membuta tuli membuat spekulasi murahan apabila cuba mengaitkan Pas dengan wang dari syarikat perjudian.

    Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Awang Hashim berkata, sebagai seorang Menteri Kewangan, Anwar sepatutnya mempunyai akses terus kepada maklumat berhubung perkara itu dan boleh terus mengemukakan bukti berkaitan.

    Namun, Anwar memilih untuk bermain wayang dan tindakan itu disifatkan sebagai sesuatu yang memalukan.

    “Sepatutnya Perdana Menteri memfokuskan kepada pembangunan negara selain mempersiapkan Malaysia bagi menghadapi ketidak tentuan ekonomi yang dijangka bakal berlaku tahun depan.

    “Bila masanya beliau hendak betul-betul membantu rakyat jika banyak masa dihabiskan dengan terkinja-kinja membuat spekulasi tidak berasas?” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Tambahnya, Anwar hanya merendah-rendahkan peranan Perdana Menteri dengan bermain spekulasi murahan yang tidak benar.

    “Ke mana dibuang prinsip-prinsip anti kleptokrasi dan anti kluster mahkamaha yang dilaungkan Anwar dan DAP? Sudah dibuang ke tong sampah agaknya.

    “Semua tindakan hanya dilakukan bagi mengaburi mata rakyat demi mencapai cita-cita meskipun tidak mendapat sokongan secukupnya,” katanya.

    Tambahnya, ketika ini Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mungkin sedang mengecapi saat manis tanpa menyedari rakyat Malaysia cukup meluat dan muak dengan lakonan pimpinan kedua-dua gabungan berkenaan yang tidak tahu melaksanakan kerja ibarat tikus membaiki labu.

    “Janji kepada rakyat tidak ditunaikan sebaliknya negara semakin rosak kerana pemimpin lalang yang tidak berprinsip, kleptokrasi dan gila kuasa,” katanya.

  • ‘PM bukan Pengerusi JKK, bercakap selidik dulu’- Tuan Ibrahim

    ‘PM bukan Pengerusi JKK, bercakap selidik dulu’- Tuan Ibrahim

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan pembatalan projek tebatan banjir melibatkan peruntukan RM15 bilion dan RM7 bilion telah dibidas oleh bekas Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

    “Kita lihat bagaimana hari pertama mengadakan mesyuarat (Kabinet), (Anwar)menyerang individu, menyerang Tan Sri Muhyiddin (Yassin) kononnya berlaku penyelewengan RM600 bilion.

    “Semalam dia serang KASA, saya secara peribadi. Kononnya meluluskan projek sebanyak RM7 bilion dan beliau isytiharkan beliau batalkan projek itu. Eh tuan-tuan, projek itu tak lulus lagi batal apa? Projek itu tak lulus pun, belum lulus lagi.

    “Ini Perdana Menteri cakap, bukan (Pengerusi) JKK. Takkanlah Perdana Menteri nak cakap sesuatu, tak semak dulu, tak teliti dulu?” bidasnya ketika berucap pada Ceramah Perdana sempena PRK N.42 Rompin di Tapak Pasar Besar Rompin, semalam.

    Mengulas lanjut Tuan Ibrahim berkata, setiap hujung tahun, negara ini khususnya di Pantai Timur akan dilanda banjir di mana setiap kali bencana itu berlaku negara akan kerugian antara RM6 bilion hingga RM7 bilion, sekali gus bermakna memerlukan suatu tindakan dibuat.

    Sehubungan itu jelasnya, beliau telah berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob yang kemudian mendapatkan dana RM15 bilion melibatkan semua projek tebatan banjir berpuluh tahun tidak dilaksanakan untuk disegerakan tindakan.

    “Projek ini belum pun dibagi mana-mana syarikat, surat setuju terima tak beri satu pun lagi tuan-tuan. Baru kita senarai projek yang menjadi keutamaan bagi menyelesaikan masalah banjir seluruh negara.

    “Tahun lepas kita rugi RM6 bilion tuan-tuan kerana banjir ya. Sebab itu saya pelik bila beliau (Anwar) minta projek ini, dibatalkan dulu, ditangguhkan dulu. Eh projek tak buat, tangguh apa, batal apa?” bidas beliau yang juga Timbalan Presiden Pas.

    Pada masa sama, Tuan Ibrahim turut menempelak Timbalan Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli berhubung kempen PRU15 lalu yang membuat tuduhan fitnah konon KASA meluluskan peruntukan sebanyak RM2 bilion setelah Parlimen dibubarkan, sedangkan perkara itu tidak berlaku.

    “Sebab itu, bila saya tengok renung balik, betullah kerajaan yang ada ni, bukan Kerajaan Perpaduan. Tapi Kerajaan Campuran perompak campur penyamun, campur penyokong penyamun, campur penyokong sakau.

    “Maka kerajaan ialah Kerajaan Campuran perompak dan penyamun. Setuju tak? Jangan tuan-tuan sokong Kerajaan Campuran perompak penyamun ni. Mutakhir ni kita lihat dia menggelabah. Kerajaan yang ada ni tak tahu hala tuju.

    “Sepatutnya bila dah jadi kerajaan, fokus, tunaikan manifesto yang kamu janji pada rakyat. Bukan duduk bagi isytihar. Ini di Tioman ada yang dapat geran tanah, betul? Macam tambang feri turun 50 peratus, Alhamdulillah.

    “Kalau macam ini pilihan raya setiap bulan lagi bagus ya. Sebab itu bagi kita, kita tak nak kerajaan mee segera macam ini, dah tiga penggal jadi wakil rakyat, bila rakyat desak, jangan hanya di DUN Tioman lulus tanah, seluruh Pahang rakyat (sudah) 40-50 tahun tak dapat geran.

    “Kalau boleh lulus di DUN Tioman kenapa tak lulus di Lipis, di Raub, di Jerantut, di Benta, seluruh negeri Pahang? Apakah nak tunggu Pilihan Raya Kecil lagi?” ujarnya menyifatkan Kerajaan Campuran PH-BN kini amat terdesak, lapor Harakahdaily.

    Berikutan dalam keadaan terdesak katanya, maka segala tuntutan dan permintaan pun diluluskan, hatta sindirnya jika dimohon membina sungai pun akan digali oleh mereka.

  • Kabinet Anwar hadir mesyuarat tanpa pakai tali leher

    Kabinet Anwar hadir mesyuarat tanpa pakai tali leher

    MESYUARAT kabinet Kerajaan Perpaduan yang berlangsung pagi ini tampil berbeza apabila jemaah menteri yang hadir tidak mengenakan tali leher.

    Perkara itu dikongsi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menerusi Twitter beliau.

    Menerusi foto itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali juga kelihatan tidak memakai tali leher seperti kebiasaannya.

    Kesemua menteri lelaki hanya memakai sut gelap yang dipadankan dengan kemeja rona cerah.

    Sinar Harian dalam laporannya difahamkan, ia merupakan imej Anwar sejak dari dulu lagi dan beliau hanya akan pakai tali leher ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong dan sidang Parlimen.

    “Sebenarnya bukan tali leher yang penting, tetapi paling utama bagi Anwar ialah sebuah kabinet itu benar-benar berfungsi dan beri tumpuan kepada rakyat sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.

    Ditanya sama ada terdapat arahan dikeluarkan, beliau berkata, tiada sebarang arahan sebaliknya semua anggota kabinet dilihat mahu memperlihatkan imej yang sama dengan Perdana Menteri.

    Pada hari pertama menjejakkan kaki ke Putrajaya sebagai Perdana Menteri, Anwar lebih selesa menggayakan baju Melayu berwarna merah jambu lembut lengkap bercapal.

    Keesokannya pula, beliau yang mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara selesa menggayakan baju batik berwarna ungu di kala penjawat awam lain lengkap mengenakan lounge suit.

    Sementara ketika tampil di Kementerian Kewangan pada Selasa, beliau kekal dengan penampilan ringkas tidak memakai tali leher meskipun mengenakan sut pejabat.

  • 6 negeri sedia bubar DUN serentak – Aminuddin

    6 negeri sedia bubar DUN serentak – Aminuddin

    MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, enam negeri menyatakan kesediaan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) secara bersama bagi membolehkan pilihan raya negeri (PRN) diadakan serentak.

    Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri berkata, kesediaan itu disuarakan hasil perbincangan tidak rasmi beliau bersama menteri besar dan ketua menteri dari lima lagi negeri ketika Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu berlangsung di ibu negara baru-baru ini.

    Selain Negeri Sembilan katanya, lima lagi berkenaan adalah Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

    Persetujuan itu bagaimanapun katanya masih tertakluk kepada persetujuan di peringkat parti masing-masing yang menjadi teraju kerajaan di semua enam negeri berkenaan.

    “Alhamdulillah, mereka semua (pemimpin negeri) nampak bersetuju dan kita akan bersama membuat keputusan (mengenai pembubaran DUN secara serentak).

    “Namun kesediaan ini hanya membabitkan peringkat menteri besar dan ketua menteri, tetapi kita ada presiden parti, timbalan Presiden dan majlis presiden serta rakan lain juga ada pemimpin utama yang perlu dirujuk.

    “Bagi kami di peringkat awal ini telah memberi kata putus bahawa kita akan bersama (bubar DUN serentak) bagi mengadakan PRN secara bersama. Mesej ini kita akan sampaikan kepada pimpinan tertinggi parti,” katanya.

    Beliau menyatakannya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan EXCO di Wisma Negeri di sini, hari ini.

    Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, langkah mengadakan PRN secara serentak dengan lima negeri berkenaan akan dapat memudahkan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    Menurutnya, tindakan itu juga dapat menjimatkan wang selain memudahkan urusan pengundi untuk pulang ke kampung dan sebagainya.

    Namun jelas beliau, tarikh sebenar bagi PRN itu belum ditetapkan dan kemungkinan ia akan diadakan sebaik tempoh penggal ini berakhir.

    “Kalau boleh kita nak selesaikan sekali supaya tumpuan berikutnya dapat diberikan kepada urusan dan tugas pembangunan negeri dan negara,” katanya, lapor Berita Harian.

    Sebelum ini, Aminuddin membayangkan PRN akan diadakan selepas Aidilfitri iaitu sekitar Jun tahun depan.

  • Siasatan dana RM600b: SPRM panggil Muhyiddin, Khairy, Zafrul

    Siasatan dana RM600b: SPRM panggil Muhyiddin, Khairy, Zafrul

    TAN Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dijangka dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan berlaku salah guna dana RM600 bilion ketika pandemik COVID-19.

    Muhyiddin, Tengku Zafrul dan KJ dijangka dipanggil SPRM.

    Siasatan itu dijalankan SPRM susulan laporan yang diterima daripada beberapa pihak yang mendakwa berlaku penyelewengan dalam pengurusan dana negara ketika pandemik itu melanda negara mulai 2020.

    Ketika pentadbiran Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, Tengku Zafrul dilantik sebagai Menteri Kewangan.

    Khairy yang juga Menteri Sains dan Teknologi pada permulaan pentadbiran Muhyiddin, kemudiannya bertukar portfolio itu dengan Datuk Dr Adham Baba sebagai Menteri Kesihatan.

    Laporan portal berita The Vibes yang memetik blog Datuk Ahirudin Attan atau dikenali sebagai RockyBru, Tengku Zafrul dipanggil SPRM berikutan beliau adalah Menteri Kewangan sewaktu pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional bagi menangani pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak 2020.

    “Ada pihak memberitahu saya bahawa bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yasin yang menjadikan Tengku Zafrul seorang Senator dan Menteri Kewangan pada 2020, juga akan dipanggil oleh badan antirasuah itu.

    “Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin juga akan diminta membantu siasatan. Beliau memegang jawatan itu sejak Ogos 2021 dan di bawah Muhyiddin, beliau memegang portfolio Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi,” katanya.

    Sementara itu, Berita Harian menghubungi Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki untuk mengesahkan perkara itu, namun tiada maklum balas setakat ini.

    Media semalam melaporkan, Azam mengesahkan pihaknya sudah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion yang dilakukan kerajaan terdahulu.

    Beliau bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara itu.

  • “Henti sikap pembangkang, Anwar perlu kelihatan seperti PM yang sebenar” – Marzuki

    “Henti sikap pembangkang, Anwar perlu kelihatan seperti PM yang sebenar” – Marzuki

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu berhenti ‘sikap’ ketua pembangkang, sebaliknya mesti kelihatan seperti perdana menteri yang “sebenar”.

    Bekas setiausaha sulit kanan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad menegaskan, Anwar perlu segera menyesuaikan diri dengan jawatan yang dipegangnya itu.

    “Anwar telah berada dalam pembangkang selama 24 tahun. Jawatan terakhir dalam kerajaan ialah timbalan perdana menteri dan menteri kewangan sebelum dipecat pada bulan September 1998.

    “Pembawaan anda sejak beberapa hari ini kelihatan masih seperti ketua pembangkang.

    “Tak mengapa, tapi jangan lama-lama. Mulai minggu depan, anda mesti kelihatan seperti perdana menteri yang sebenar,” katanya dalam kenyataan di Facebook semalam.

    Kenyataan tersebut selepas Anwar mendakwa terdapat “pelanggaran” dalam pemberian kontrak berjumlah RM600 bilion tanpa tender, yang dikaitkan dengan PN.

    Selain itu, dia juga membayangkan sebahagian dana yang digunakan PN dalam kempen pilihan raya lalu adalah dari syarikat perjudian.

    Dia juga berkata akan meneliti semula projek tebatan banjir berjumlah RM7 bilion yang dikatakannya diluluskan tanpa melalui tender terbuka.

    Marzuki berkata dia ingin menasihati Anwar agar menghentikan “witch hunting” dan menyerahkan kepada SPRM untuk menyiasat kontrak yang dianugerahkan kerajaan terdahulu.

    “Jika perlu, bagi arahan kepada ketua setiausaha negara dan ketua pesuruhjaya SPRM agar kaji kontrak yang dianugerahkan pentadbiran terdahulu. Bagi masa dua minggu. JIka ada yang meragukan, biar SPRM siasat.

    “Mula-mula (dakwaan) RM600 bilion, lepas tu puluhan bilion, kemudian tujuh bilion. Ada kenyataan pasal dana politik dari syarikat judi pula.

    “Nanti orang kata apa perdana menteri ni? Macam caca-merba dan ada ‘dendam peribadi’. Ini tak baik untuk imej anda sebagai perdana menteri,” katanya lagi, lapor SatuBerita.

    Katanya lagi, Anwar sebaiknya mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi untuk mendapatkan petunjuk terkini dari Kementerian Kewangan, Bank Negara dan juga Jabatan Perangkaan, terutama dalam menghadapi kemungkinan pertumbuhan ekonomi dunia yang lebih perlahan tahun depan.

    Dia juga menggesa Anwar mempengerusikan mesyuarat mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) untuk mendepani isu kos sara hidup serta menjelaskan teras utama Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan.

    Sebelum ini, Muhyiddin menyangkal berlaku sebarang penyelewengan dengan berkata sebahagian besar dana RM600 bilion itu adalah tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan, antaranya pengeluaran KWSP dan moratorium pinjaman bank.

    Anwar kemudian membangkitkan pengakuan Muhyiddin bahawa sebahagian besar dana yang diberikan sebagai bantuan wabak Covid-19 adalah datang dari wang rakyat sendiri.

    Pada masa sama, dia tetap berkata ada kesalahan melibatkan dana lain ketika penularan wabak tersebut.