Category: Umum

  • Ditamat perkhidmatan: Mohd Shafiq mahu ambil tindakan undang-undang

    Ditamat perkhidmatan: Mohd Shafiq mahu ambil tindakan undang-undang

    BEKAS Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam hal pemecatan beliau.

    Menurutnya, tindakan itu telah menganiayai beliau meskipun telah menyumbang tenaga dan fikiran selama 30 tahun dalam Perkhidmatan Awam.

    Berikut kenyataan penuh Shafiq menerusi satu kenyataan.

    Yang Amat Berhormat Tun/ Tan Sri/Dato Seri/Datuk/Dato/Tuan/Puan;

    1. Saya Dato’ Sri Mohd Shafiq bin Abdullah ingin menerangkan dan menjawab berkenaan surat “sulit” yang tular di media sosial pada semalam 12/12/2022.
    2. Pertamanya saya hanya diserahkan dengan surat penamatan perkhidmatan
      saya yang bertarikh 01/12/2022 tersebut pada hari semalam 12/12/2022. Saya tidak diberikan notis yang munasabah dimana tarikh berkuatkuasa penamatan perkhidmatan saya adalah pada 12/12/2022 hari yang sama.
    3. Sejak saya menerajui Perkhidmatan Awam banyak pelaksanaan penambahbaikan dalam perkhidmatan yang cuba saya usahakan. Antaranya adalah:
      i. Penambahkaikan semua organisasi agensi dan jabatan kerajaan supaya boleh berfungsi lebih optimal dan efisien;
      ii. Pengurangan birokrasi untuk menjadikan penjawat awam berpaksikan rakyat;
      iii. Penambahbaikan Peraturan Pengesahan Sijil Sakit Swasta Yang Melebihi 15 Hari Bagi Rawatan Pesakit Luar Oleh Pegawai Perubatan Kerajaan, 18 Februari 2022;
      iv. Penambahbaikan Kemudahan Cuti Kuarantin, 4 Mac 2022;
      v. Penambahbaikan Dasar Bekerja Dari Rumah Bagi Pegawai Perkhidmatan
      Awam, 10 Mac 2022;
      vi. Tanggungjawab Ketua Jabatan Bagi Melaksanakan Perintah Mahkamah
      Dalam Kes Tuntutan Nafkah, 5 April 2022;
      vii. Surat Edaran Penambahbaikan Kemudahan Cuti Tanpa Rekod Bagi Urusan
      Kematian Ahli Keluarga Terdekat, 5 September 2022; dan
      viii.Perisytiharan Rekod Kesihatan Bagi Membudayakan Hidup Sihat Pegawai
      Awam, 6 September 2022.
    4. Ini termasuklah arahan pusingan kerja, lawatan mengejut turun padang dan memberikan teguran untuk meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan, mengurangkan kerenah birokrasi dan meningkatkan kecekapan. Makanya, perkaraperkara ini tidak disenangi oleh segelintir pegawai awam yang mempunyai kepentingan didalam perkhidmatan awam dan juga bersama pihak luar.
    5. Justeru, beberapa usaha tanpa henti telah dilaksanakan untuk memburukkan imej dan reputasi saya melalui isu-isu viral di media social dan media massa yang semakin memuncak dengan tindakan penamatan perkhidmatan saya semalam. Untuk maklumat rakyat Malaysia, saya menegaskan bahawa saya tidak pernah mengancam kepentingan awam dalam sebarang perkhidmatan dan tindakan saya semasa menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), saya telah menjalankan tugas saya secara amanah dan tegas.
    6. Sejak saya menjawat jawatan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam ini,
      terdapat usaha untuk menghalang saya bertindak dengan efisien dan segera apabila beberapa mesyuarat penting kenaikkan pangkat telah ditangguh oleh Ketua Setiausaha Negara sebagai Tuan Pengerusi Mesyuarat seperti Mesyuarat Lembaga Kenaikan Pangkat perkhidmatan Awam. Saya juga tidak boleh membuat keputusan sewenangnya untuk melantik dan memberikan kenaikkan pangkat pegawai awam kerana ianya perlu melalui Mesyuarat Lembaga. Kelewatan mengadakan Mesyuarat Lembaga telah menyebabkan banyak jawatan penting yang kosong di dalam sektor awam tidak dapat diisi dengan segera, terutamanya di peringkat pengurusan tertinggi Kementerian atau Agensi.
    7. Saya amat menyokong aspirasi Kerajaan untuk menambah baik perkhidmatan awam. Saya juga menyahut manifesto Kerajaan baharu untuk membuat transformasi dalam perkhidmatan awam di Malaysia. Cabaran-cabaran yang perlu ditangani termasuk membina perkhidmatan awam yang berfikiran usawahan/ entrepreneur bagi tindakan lebih proaktif menjana hasil dan pendapatan untuk negara; perubahan sikap dan kualiti dengan berfikiran strategik; pemikiran mencari penyelesaian dan kemahiran analitis, sasaran adalah menyediakan pemimpin masa hadapan.
    8. Saya juga ingin menyatakan bahawa Jemaah Menteri sebelum ini telahpun
      memutuskan untuk tidak mempertimbangkan penyambungan perkhidmatan Pegawai Awam secara kontrak bagi yang telah bersara. Ini kerana ia akan memberikan beban kewangan kepada Kerajaan dengan pembayaran pencen dan gaji pada masa yang sama. Pelaksanaan keputusan Jemaah Menteri ini juga tidak dapat dilaksanakan segera disebabkan tekanan oleh pihak-pihak yang berkepentingan.

    Saya berasa terkilan dengan keputusan Kerajaan ke atas diri saya. Walaubagaimanapun, saya tidak berpuas hati dengan keputusan penamatan perkhidmatan saya dan saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam hal ini yang telah menganiayai saya meskipun saya telah menyumbang tenaga dan fikiran selama 30 tahun dalam Perkhidmatan Awam.

    Sesungguhpun demikian, saya juga mengambil kesempatan untuk menasihati semua Pegawai Awam menumpahkan taat setia kepada Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan Kerajaan yang memerintah, memegang prinsip berintegriti, tidak rasuah dan mendahulukan kesejahteraan rakyat.

    Demi menjaga nama baik dan kepentingan anggota Perkhidmatan Awam, keputusan Kerajaan ini akan diteliti secara mendalam, sekiranya sesuai dan perlu semakan perundangan akan dilakukan. Besarlah harapan saya agar Pegawai Awam dapat berusaha bersama memartabatkan Perkhidmatan Awam ke tahap yang lebih dinamik demi kemajuan dan kesejahteraan Negara tercinta.

    DATUK SERI MOHD SHAFIQ BIN ABDULLAH
    13 DISEMBER 2022

  • [VIDEO]Buaya besar naik atas jalan kampung, halang kenderaan

    [VIDEO]Buaya besar naik atas jalan kampung, halang kenderaan

    GELAGAT seekor buaya besar naik ke atas jalan Kampung Seri Damai di Kuantan, Pahang yang dinaiki air hingga mengganggu kenderaan penduduk menggunakan laluan itu berjaya dirakam semalam.

    Video kejadian berdurasi 29 saat itu mula tular hari ini selepas dimuatnaik di media sosial oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis, Mohammad Rafiq Khan Ahmad Khan di akaun Facebook beliau.

    Menurut Rafiq, kejadian itu berlaku Isnin lalu di laluan jalan Air Hitam berhampiran Jalan Kuantan-Pekan.

    Katanya, video buaya itu diperoleh daripada salah seorang penduduk yang terserempak dengan reptilia berkenaan pada pukul 9 malam.

    Difahamkan, buaya bersaiz besar itu berasal dari Sungai Belat berhampiran namun ia tidak mengganggu penduduk.

    Jelas beliau, kejadian buaya berada di atas jalan sering berlaku apabila hujan lebat melimpahi jalan kerana di situ memang kawasan habitat buaya.

    Namun ini adalah kali pertama kejadian itu dapat rakam dan tular.

    Video itu setakat ini telah mendapat lebih 3,000 tontonan

    Rafiq menambah, bagi mengelak berlaku sebarang kejadian tidak diingini, penduduk boleh menggunakan laluan alternatif di Simpang Sri Damai bersebelahan Taman Mas.

    Ibu bapa juga perlu memastikan anak-anak mereka tidak bermain air di kawasan tersebut.

  • Hanya mahkamah boleh menakrifkan undang-undang lompat parti

    Hanya mahkamah boleh menakrifkan undang-undang lompat parti

    PEGUAM kanan, Haniff Khatri Abdulla berkata, hanya mahkamah yang boleh menakrifkan undang-undang lompat parti, Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang sedang hangat dibincangkan ketika ini.

    Beliau menyifatkan, tiada siapa yang 100 peratus betul atau salah dalam isu empat Ahli Parlimen mengumumkan keluar parti di Sabah, namun mengisytiharkan kekal dalam gabungan disertai parti sama.

    “Masalah ini terjadi seperti yang saya selalu katakan sebelum ini, tidak ada keseragaman atau penelitian dibuat sebelum undang-undang itu diluluskan.

    “Perkara ini sudah disebut pada 19 dan 20 November selepas Parlimen tergantung, bolehkah Ahli Parlimen memilih atau menyokong calon Perdana Menteri tanpa terikat dengan parti, adakah itu dianggap lompat parti?” katanya, lapor Berita Harian.

    Haniff Khatri selain itu berkata, isu kedua yang berbangkit dalam urusan Akta Lompat Parti adalah ketidakseragaman undang-undang berkaitan.

    “Dalam undang-undang yang sama telah ditulis definisi apa itu parti politik dan gabungan parti politik, jadi dalam kes yang berlaku baru ini, hanya mahkamah yang layak mentafsirkan undang-undang tersebut untuk situasi itu,” katanya.

    Pada masa sama Haniff menempelak ahli politik negara ini yang dianggapnya terlalu gopoh mewujudkan undang-undang ibarat menampal lubang di dinding.

    “Sepatutnya, mereka buat jawatankuasa kajian kerana undang-undang ini berkait dengan akta pertubuhan dan berkait pula dengan masalah gabungan parti atau individu,” katanya.

    Haniff menambah, definisi ‘parti politik’ mengikut Perkara 160 yang termasuk ‘gabungan parti’ akan menjadi sia-sia, seandainya menjadi ahli GRS adalah tertakluk kepada keahlian sah dalam Bersatu.

    “Bagaimana pula, jika mana-mana parti lain dalam GRS, sanggup ambil empat orang Ahli Parlimen itu menjadi ahli parti mereka. Bukankah parti itu (atau parti baru yang mahu ditubuhkan mereka dan diterima GRS) adalah anggota GRS?,” tegasnya.

    Selain itu Haniff menyifatkan, masalah berbangkit ketika ini berlaku kerana undang-undang tertinggi, yakni Perlembagaan dipinda tanpa pembabitan pakar bidang berkenaan, apatah lagi dilakukan dalam tergopoh-gapah oleh mereka dalam Parlimen yang mempunyai ‘konflik kepentingan’.

  • Tuduhan perkauman palsu, Youtuber diberi tempoh 24 jam minta maaf

    Tuduhan perkauman palsu, Youtuber diberi tempoh 24 jam minta maaf

    SEORANG Youtuber diberi tempoh 24 jam untuk memohon maaf secara terbuka selepas didakwa menyebarkan provokasi dan tuduhan palsu berbaur perkauman terhadap Perikatan Nasional (PN).

    Menurut Setiausaha Agung GERAKAN, Mak Kah Keong, Youtuber yang menggunakan nama Cleo Hoo itu didakwa memuat naik satu video berbaur perkauman dan memainkan sentimen agama melampau dengan tuduhan palsu Khamis lalu, sehari selepas PN memenangi pilihan raya Parlimen Padang Serai.

    Beliau berkata, video berbahasa Cina itu antaranya cuba menimbulkan ketakutan dalam kalangan pengundi berbangsa Cina dengan mengatakan Malaysia akan menjadi seperti Afghanistan dan orang bukan Islam perlu menukar agama kepada Islam jika PN memerintah negara.

    Selain itu, katanya, video yang sudah ditonton lebih 81,000 kali itu turut mendakwa daging babi akan diharam daripada dijual di negara ini, selain kedai judi perlu ditutup seperti di Kelantan dan Terengganu jika PN mentadbir negara.

    “Dia kata daging babi akan diharam daripada dijual seperti di Kelantan, tetapi ini tidak benar kerana orang bukan Islam bebas membeli dan menjualnya di Kelantan dan Terengganu.

    “Dakwaan orang bukan Islam perlu tukar agama juga adalah kenyataan provokasi, tidak bertanggungjawab dan berunsur hasutan kerana PN berpegang pada Perlembagaan yang menjamin kebebasan beragama dalam kalangan rakyat Malaysia.

    “Setakat ini, GERAKAN beri peluang kepada Youtuber ini untuk mohon maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam. Jika tidak, kami akan membuat laporan polis atau mengambil tindakan saman sivil,” katanya pada sidang media di ibu pejabat GERAKAN di Kuala Lumpur, hari ini.

    Terdahulu, beliau memainkan sebahagian daripada video berdurasi lebih 10 minit itu berserta sari kata, yang antara lain menunjukkan Youtuber itu mendakwa Malaysia akan bertukar menjadi seperti Afghanistan dalam tempoh kurang lima tahun jika PN menjadi kerajaan.

    Sentimen itu pernah dilaungkan secara terbuka oleh Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming beberapa hari sebelum pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), yang memberi amaran Malaysia akan menjadi seperti negara Taliban jika PN berkuasa.

    Selain itu, Youtuber berkenaan yang memiliki lebih 61,000 pengikut, mendakwa pihak yang mempersoalkan kerajaan perpaduan dan memberi sokongan kepada PN wajar menukar nama anak dan cucu kepada ‘Abdullah’, selain menyifatkan Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai sebagai ‘pengkhianat bangsa Cina’.

    Kah Keong mengingatkan penyokong parti politik untuk tidak terikut dan mengulangi sentimen serta tuduhan dimainkan parti tertentu, khususnya dakwaan dalam video berkenaan yang melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan.

    “Jangan buat kenyataan tidak bertanggungjawab. Kebebasan kita ada batasnya,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Mulakan inisiatif tuala wanita percuma di pejabat menteri dipersoal

    Mulakan inisiatif tuala wanita percuma di pejabat menteri dipersoal

    USAHA menangani kemiskinan haid wajar disokong semua pihak namun langkah melaksanakan inisiatif itu di pejabat menteri kesihatan dipersoal seorang ahli Parlimen.

    Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, langkah Kementerian Kesihatan (KKM) memulakan inisiatif itu adalah baik dan patut dijadikan program nasional.

    Beliau bagaimanapun mempersoalkan bagaimana langkah itu dimulakan di pejabat menteri ketika pihak yang memerlukannya ialah golongan wanita tidak berkemampuan dan adakah mereka perlu ke pejabat menteri untuk mendapatkan kemudahan berkenaan.

    “Usaha menangani kemiskinan haid (period poverty) adalah baik dan wajar disokong. Ia patut dijadikan program nasional.

    “Tapi apa pula relevannya memulakan pemberian tuala wanita percuma di tandas Pejabat Menteri? Yang memerlukan ialah golongan wanita tidak berkemampuan, bukannya mereka yang duduk di Pejabat Menteri.

    “Kalau Menteri bagi kepada pegawai Pejabat Menteri yang makan gaji beri-ribu ringgit sebulan, itu salah guna kuasa. Takkan nak suruh warga berpendapatan rendah panjat ke tandas Pejabat Menteri?,” katanya di Facebook hari ini.

    Kenyataan itu dibuat susulan pengumumuman Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa bahawa KKM merancang untuk mengadakan kerjasama rentas agensi dan kementerian dalam menangani isu kemiskinan haid di peringkat nasional.

    Menurutnya, sebagai permulaan, inisiatif itu akan dilaksanakan dengan pemberian tuala wanita percuma di pejabat menteri dan di bangunan KKM.

    Mengulas lanjut, Wan Saiful yang juga Ketua Penerangan Bersatu berkata, beliau kesal apabila menteri bertanggungjawab tidak memahami kumpulan sasar program bantuan untuk rakyat miskin.

    Beliau juga menyifatkan perkembangan itu agak malang bagi negara ini.

  • Kekosongan kerusi Parlimen ditentukan Speaker – Azhar

    Kekosongan kerusi Parlimen ditentukan Speaker – Azhar

    KEPUTUSAN sama ada empat kerusi Parlimen di Sabah perlu dikosongkan atau sebaliknya akan ditentukan oleh Speaker Dewan Rakyat.

    Menurut Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, mengikut Perlembagaan Persekutuan, adalah menjadi tugas Speaker untuk menentukan kekosongan selepas diberikan notis mengenai tindakan lompat parti yang dilakukan mana-mana Ahli Parlimen terbabit.

    Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada empat Ahli Parlimen Bersatu di Sabah iaitu Armizan Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang) perlu mengosongkan kerusi mereka selepas mengumumkan keluar parti.

    “Saya tidak boleh prasangka (prejudge) perkara itu,” katanya hari ini lapor Berita Harian.

    Sabtu lalu, pemimpin Bersatu Sabah termasuk semua wakil rakyatnya mengumumkan keluar daripada parti itu.

    Dalam satu kenyataan, Ketua Menteri yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata, keputusan itu dibuat selepas menimbangkan landskap politik Malaysia ketika ini, terutama di Sabah.

    Beliau berkata, kerajaan negeri yang ditunjangi Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) juga mengambil kira nasihat Yang di-Pertuan Agong mengenai pembentukan Kerajaan Perpaduan Persekutuan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Mengikut undang-undang anti-lompat parti yang dibuat melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan, Ahli Parlimen akan kehilangan kerusi jika mereka melompat ke parti lain.

    Pengecualian untuk Ahli Parlimen yang dipecat parti atau jika parti mereka dibubarkan atau dibatalkan pendaftaran.

    Mengikut prosedur, Ahli Parlimen akan memaklumkan Speaker Dewan Rakyat berlaku kekosongan dan selepas pengesahan, beliau akan memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya kerusi itu diisi dalam masa 60 hari.

  • Empat bekas ahli Parlimen Bersatu perlu kosong kerusi, kata Wan Junaidi

    Empat bekas ahli Parlimen Bersatu perlu kosong kerusi, kata Wan Junaidi

    BEKAS Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Parlimen dan Undang-Undang) berpandangan empat ahli Parlimen Bersatu Sabah yang keluar parti mesti mengosongkan kerusi mereka, jika peletakan jawatan mereka diterima.

    Untuk itu kata beliau, pilihan raya kecil (PRK) perlu diadakan di bawah undang-undang anti-lompat parti, yang digubal jawatankuasa Parlimen diketuainya.

    Wan Junaidi berkata, tidak penting empat Ahli Parlimen itu bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atau mewakili mana-mana gabungan lain kerana ia hanya relevan sama ada mereka meninggalkan parti mereka.

    Beliau juga menolak cadangan Bersatu Sabah adalah entiti berasingan daripada Bersatu kerana menurutnya, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan tidak akan membenarkan permohonan sedemikian.

    “Saya merangka undang-undang itu untuk melarang perkara seperti ini berlaku dan untuk mewujudkan kestabilan politik dalam negara,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Empat ahli Parlimen yang mencetuskan polemik itu adalah Armizan Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).

    Ini susulan tindakan pemimpin Bersatu Sabah mengumumkan mereka meninggalkan parti itu dan akan menubuhkan parti tempatan baharu, semalam.

    Mengulas lanjut Wan Junaidi berkata, peletakan jawatan empat Ahli Parlimen itu perlu diterima secara rasmi Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin untuk mengesahkan mereka telah keluar parti.

    “Jika ya, mereka perlu mengosongkan kerusi dan pilihan raya kecil perlu diadakan.”

    FMT sudah menghubungi pembantu kepada Hamzah untuk mengulas sama ada empat Ahli Parlimen itu sudah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada parti.

    Di bawah undang-undang anti-lompat parti, yang dibuat melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan, Ahli Parlimen kehilangan kerusi jika mereka melompat ke parti lain. Pengecualian untuk Ahli Parlimen yang dipecat parti atau jika parti mereka dibubarkan atau dibatalkan pendaftaran.

    Wan Junaidi berkata, mengikut prosedur, Ahli Parlimen akan memaklumkan Speaker Dewan Rakyat berlaku kekosongan dan selepas pengesahan, beliau akan memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya kerusi itu diisi dalam masa 60 hari.

    “Apabila speaker mengesahkan fakta bahawa peletakan jawatan Ahli Parlimen itu diterima parti, mereka akan kehilangan kerusi mereka. Saya tidak pasti sama ada mahkamah akan mentafsirnya dengan cara lain kerana ia jelas termaktub dalam undang-undang,” katanya.

  • Agong titah perjelas keadaan sebelum Perdana Menteri angkat sumpah

    Agong titah perjelas keadaan sebelum Perdana Menteri angkat sumpah

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menjelaskan kronologi dan titah di dalam Istana Negara sebelum beliau mengangkat sumpah, dua minggu lalu.

    Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan demikian supaya tidak timbul kekeliruan berhubung isu terbabit sehingga menyinggung kedudukan Raja-Raja Melayu.

    “Semalam ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, baginda nyatakan ada baiknya jika Perdana Menteri jelaskan supaya jangan timbul kekeliruan, terutamanya yang menyinggung kedudukan Raja-Raja Melayu,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian dalam ucaptama Program Pertemuan Mahabbah Perdana Menteri bersama Ulama dan Asatizah di Seri Perdana di Putrajaya hari ini.

    Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

    Anwar menjelaskan, dalam isu pembentukan kerajaan sebaik Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berakhir, Yang di-Pertuan Agong mengambil tindakan selangkah di depan untuk mengadakan Sidang Khas Majlis Raja-Raja Melayu.

    Yang di-Pertuan Agong mengambil pendekatan mengikut Perlembagaan walaupun ini dipertikai oleh sesetengah tokoh Melayu dan Islam.

    “Penjelasan Yang di-Pertuan Agong kepada saya dan Raja-Raja Melayu yang sempat saya menghadap, adalah menyatakan daripada awal tidak dipertikaikan bahawa parti yang memperolehi kedudukan terbesar akan mendapat keutamaan.

    “Pada ketika itu, parti menang dengan kerusi terbesar adalah Pakatan Harapan (PH) sebanyak 83 kerusi Parlimen dan diikuti oleh Perikatan Nasional (PN) sebanyak 73 kerusi Parlimen.

    “Seterusnya ada usaha sambilan untuk mendapatkan akuan bersumpah (SD) dan ia terus berlaku dalam tempoh ditetapkan Yang di-Pertuan Agong, iaitu sehingga pukul 2 petang pada 21 November lalu.

    Beliau berkata, berapa pun jumlah SD yang diperoleh itu hanya akan ditetapkan setelah waktu diberikan berkenaan dimuktamad.

    “Seperti mana dalam perlumbaan dia boleh potong kita di ’round’ (pusingan) pertama. Kita potong dia ’round’ (pusingan) ketiga tapi yang pentingnya ialah garisan penamat.

    “Apabila di garis penamat, saya perolehi jumlah terbesar … kerana orang beri pengakuan sebelumnya, telah menarik balik (sokongan), sebelum tempoh 2 petang,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau menegaskan usul Undi Percaya terhadap Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada 19 Disember diadakan kerana beliau mahukan mandat yang lebih jelas untuk memimpin negara.

    “Rasa perlu untuk adakan undi percaya kerana jumlah jelas dari Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan parti kecil lain.

    “Saya jawab ampun tuanku, ini bukan soal peraturan dan undang-undang dibangkitkan, tapi kerana saya mahu memimpin dengan mandat yang jelas. Patik yakin perolehi majoriti.

    “Andai kata tidak perolehi, patik akan tunduk suara rakyat,” katanya.

  • Tempoh perkhidmatan sebagai Pengerusi FINAS hanya dipendekkan –  Zurainah

    Tempoh perkhidmatan sebagai Pengerusi FINAS hanya dipendekkan – Zurainah

    SENATOR Datuk Seri Zurainah Musa mengesahkan tempoh perkhidmatan beliau sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) hanya dipendekkan oleh Kementerian Komunikasi dan Digital.

    Zurainah dalam kenyataan hari ini memaklumkan beliau sudah menerima surat berhubung perkara itu daripada Pejabat Menteri Komunikasi dan Digital serta ia selaras dengan kuasa Menteri di bawah Sekyen 4(2) Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981.

    “Sebagai menteri baharu, perkara ini merupakan prerogatif beliau (Menteri Komunikasi dan Digital Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil) dan saya memahami bahawa sebagai pucuk pimpinan baharu di kementerian, beliau akan mempunyai visi serta cara kerja sendiri yang ingin dibawa dan memerlukan sokongan ahli pasukannya sendiri,” katanya.

    Untuk rekod, tugas Zurainah sebagai Pengerusi Finas dilapor ditamatkan serta-merta pada 8 Dis lepas. Kontrak beliau, yang bermula pada 10 Jun lepas, sepatutnya tamat pada 9 Jun 2024.  

    Beliau turut menjelaskan tindakan Kementerian Komunikasi dan Digital itu tidak ada kaitan dengan tohmahan sesetengah pihak bahawa terdapat penyelewengan dana FINAS.

    Minggu lepas, media tempatan melaporkan dakwaan bekas Ahli Perbadanan FINAS Datuk Seri Eizlan Yusof bahawa tindakan memendekkan tempoh perkhidmatan Zurainah itu ada kaitan dengan isu penyelewengan dana projek Pameran Hantu anjuran Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM).

    Zurainah juga berkata beliau sedia membantu bakal penggantinya untuk menghadapi pelbagai cabaran dalam industri filem antaranya berkaitan isu kebajikan ahli industri terutama kru filem yang berada di tahap kritikal.

    “Kita perlu memastikan mereka bukan hanya dilindungi oleh skim perlindungan insurans sosial (seperti Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial) malah kita perlu menangani isu gaji yang adil dan setimpal bagi mereka,” katanya.

    Beliau berkata kepimpinan baharu agensi itu juga perlu menekankan keperluan tersebut dalam bajet Kerajaan Perpaduan.

    “Kita perlu juga mengkaji cara untuk mendapatkan institusi-institusi kewangan untuk memahami industri ini serta memperkenal kemudahan pembiayaan yang tidak membebankan bagi memastikan kemampanan industri secara menyeluruh dan supaya ia tidak hanya bergantung kepada geran kerajaan,” katanya.

    Selain itu, Zurainah berkata usaha mempromosi negara ini sebagai destinasi penggambaran filem antarabangsa perlu dipandang serius supaya industri perfileman Malaysia tidak ketinggalan. – BERNAMA

  • ‘Saya tak terbabit dalam kempen suami’, kata isteri Shahidan

    ‘Saya tak terbabit dalam kempen suami’, kata isteri Shahidan

    BEKAS Ketua Wanita UMNO Perlis, Datin Seri Shamsiah Yasin mendakwa pemecatan keahlian beliau hanya kerana menemani suaminya Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim menghantar borang pencalonan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Arau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Shamsiah yang juga bekas Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau digantung sementara jawatan peringkat UMNO cawangan dan bahagian pada 13 November lalu oleh Lembaga Disiplin UMNO kerana didakwa terbabit secara langsung atau tidak langsung dan menyokong calon parti lawan pada PRU15.

    Menurutnya, beliau sekadar menemani Shahidan ketika penamaan calon di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Arau pada 5 November lalu.

    “Walaupun saya ahli UMNO, pada hari penamaan calon, saya mengiringi suami saya sahaja. Tiada niat pun saya cuba untuk mensabotaj parti Barisan Nasional (BN) kerana saya hadir mengiringi suami saya atas dasar saya ini isteri kepada calon berkenaan.

    “Saya tidak faham mengapa timbul dakwaan saya cuba mensabotaj parti. Ini tidak benar kerana pada sepanjang tempoh kempen, saya tidak terbabit dengan apa jua kempen membabitkan suami saya. Jadi, apabila saya dimaklumkan pada Khamis saya dipecat, saya terkejut.

    “Saya sudah pun menghantar surat tunjuk sebab pada 24 November lalu kepada Lembaga Disiplin UMNO menjelaskan apa yang berlaku dan menafikan sebarang tuduhan sabotaj. Sebelum pilihan raya juga, saya sudah memaklumkan kepada semua Ketua Wanita UMNO di peringkat cawangan seperti di Kangar supaya terus membantu calon BN, Datuk Dr Fathul Bari dengan menyantuni bertemu rakyat. Apa sebab saya dipecat,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata kepada pemberita dalam sidang media di kediamannya di Taman Jejawi, di Arau hari ini.

    Shamsiah memberitahu, walaupun Shahidan menyertai PN secara rasmi, beliau dinasihatkan suaminya untuk meneruskan kempen untuk BN dan tidak perlu menyertai kempen bersama PN.

    “Ramai sahaja ahli politik yang pasangan masing-masing tidak sehaluan dari segi sokongan terhadap parti politik dan ketika itu, saya tetap bersama BN walaupun suaminya saya sudah menyertai PN,” katanya.

    Shamsiah berkata, selepas ‘dihalang’ untuk berkempen membantu calon BN, beliau mengambil keputusan untuk mendiamkan diri dan tidak menyertai kempen dalam PRU lalu.

    “UMNO kini sudah berubah wajah menjadi ‘parti pecat’ di bawah kepimpinan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Sesiapa sahaja yang cuba menghalang cita-cita presiden atau menegur kepimpinan parti, siap sedialah untuk dipecat.

    “Saya sedih presiden UMNO sepatutnya tak perlu rakus memecat semua orang yang tidak sehaluan pendapat dengannya. Apa salahnya berbincang demi menguatkan saf dan perjuangan UMNO,” katanya.

    Beliau yang sudah berada dalam UMNO sejak 1986 menyifatkan tindakan yang dilakukan oleh UMNO itu menyebabkan beliau berasa ‘tawar hati’ untuk berjuang dalam politik, sebaliknya kini beliau menumpukan kerja kemasyarakatan membantu rakyat Perlis menerusi badan bukan kerajaan, Perpaduan Ummah.

    Selain Shamsiah, UMNO pada Khamis lalu turut memecat Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran, Datin Seri Fatimah Kassim yang juga isteri kepada Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib.