Category: Umum

  • Presiden FDAM ‘Mat London’ meninggal dunia

    Presiden FDAM ‘Mat London’ meninggal dunia

    PRESIDEN Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) Ahmad Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Mat London, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di Kuala Lumpur pada kira-kira 5.57 pagi tadi.

    Mengesahkan perkara tersebut, anaknya Salmany Akir Ahmad, 42, berkata Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 74 tahun, akibat jangkitan paru-paru selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL sejak 16 Jun.

    Beliau berkata jenazah bapanya akan dibawa ke Masjid Al-Mardhiyah Taman Melawati pagi ini dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Klang Gate, Taman Melawati selepas solat Jumaat.

    Salmany berkata Allahyarham merupakan seorang bapa yang penyayang dan sering memastikan keluarganya berkumpul ketika majlis atau perayaan, meskipun anak-anak duduk berasingan.

    “Saya duduk paling dekat dengan arwah, jadi kalau arwah tiada apa-apa aktiviti kami akan pergi minum bersama. Arwah seorang bapa yang penyayang,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Salmany Akir berkata Allahyarham seorang seniman yang sentiasa menjaga kebajikan rakan industri kreatif dan ketika negara berhadapan pandemik COVID-19, beliau berjuang untuk memastikan anak seni terus dibenarkan berkarya.

  • PRN:PH beri satu dua kerusi kepada UMNO di Selangor

    PRN:PH beri satu dua kerusi kepada UMNO di Selangor

    PAKATAN Harapan (PH) setuju memberi laluan kepada Barisan Nasional (BN) di beberapa kerusinya pada pilihan raya negeri (PRN) Selangor.

    Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari itu berkata, ini dilakukan atas semangat perpaduan tetapi tidak memberi butiran khusus kecuali sekadar ‘satu atau dua kerusi’.

    “Sudah tentu, kita terpaksa mengalah atas semangat perpaduan. (Tetapi) Saya tidak dalam kedudukan untuk menjawab. Pengerusi gabungan kerajaan perpaduan akan mengumumkannya (senarai calon).

    “Kami lepaskan apa yang kami anggap untuk setiap parti sebelum ini pada pilihan raya umum ke-14… Sudah tentu kerusi yang dimenangi Bersatu ketika bertanding di bawah bendera PKR.

    “Dan satu atau dua (kerusi PH) kepada UMNO atas semangat perpaduan,” katanya pada temu bual di segmen Breakfast Grille di radio BFM, hari ini.

    Amirudin, yang juga Menteri Besar Selangor, juga cuba mengelak daripada mengulas tentang senarai calon PH-BN untuk Selangor apabila ditanya oleh pengacara program jika akan ada kejutan.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu mendakwa belum melihat senarai calon, sambil menambah bahawa PH Selangor hanya mengemukakan cadangan mereka kepada kepimpinan pusat gabungan itu berdasarkan pencalonan daripada bahagian.

    “Ia semata-mata senarai PH dan UMNO. Tetapi saya belum melihatnya lagi. Kami akan mengadakan mesyuarat pada 16 Julai ini.

    “Ya, (kami kemukakan) cadangan, tetapi ini belum muktamad. Saya tidak boleh umum, saya tidak boleh mengulas tentang senarai itu.

    “Sudah tentu, Presiden ada hak, pengarah pilihan raya negara kita Rafizi (Ramli) ada hak. Kita hanya susun calon-calon dari peringkat bahagian,” katanya.

    Pada wawancara itu, Amirudin juga membidas slogan Selangor Baharu yang dicetuskan oleh Perikatan Nasional (PN).

    Beliau memberitahu BFM bahawa tiada perkara baharu dengan apa yang ditawarkan PN, terutama dengan rancangannya untuk menampilkan beberapa bekas pemimpin UMNO.

    “Ini bukan ‘baru’ atau perubahan dalam kepimpinan. Bagi saya, propaganda Selangor Baharu hanyalah kitar semula,” kata Amirudin sambil menambah dia bagaimanapun tidak mengambil mudah cabaran PN.

    Katanya, PH dan BN masih perlu menangani isu pemindahan undi antara kedua-dua parti yang pernah menjadi seteru utama.

    Beberapa tinjauan menunjukkan bahawa penyokong PH lebih bersedia untuk memberikan sokongan kepada calon BN, tetapi sebaliknya, bilangan kumpulan yang belum membuat keputusan juga masih tinggi.

    “… Saya rasa kita perlu menjelaskan kepada jentera kita, teruskan menjelaskan kepada pengundi betapa pentingnya perpaduan dan untuk sejajar dengan kerajaan persekutuan untuk pemulihan ekonomi,” katanya lapor Malaysiakini.

  • PRN: IPK Terengganu perlu tambahan lebih 2,000 anggota kawal keselamatan

    PRN: IPK Terengganu perlu tambahan lebih 2,000 anggota kawal keselamatan

    IBU  Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu memerlukan bantuan sumber manusia seramai 2,029 bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

    Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata permohonan telah dibuat pentadbiran IPK berkenaan bagi memenuhi keperluan anggota seramai 4,468 yang bakal dikerahkan pada sebelum, semasa dan selepas PRN itu nanti. 

    “Kita (Bukit Aman) akan selaraskan balik, termasuk minta bantuan dari kontinjen-kontinjen lain yang tidak terlibat dengan PRN untuk bantu… (bagaimanapun) kita lihat juga kepada elemen kos dan sebagainya. Mesyuarat akan diadakan untuk bahagikan kekuatan anggota dari Bukit Aman dan IPK lain… memandangkan PRN ini melibatkan enam kontinjen. IPK Terengganu mungkin boleh dapatkan bantuan dari IPK Pahang,” katanya, lapor BERNAMA.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan taklimat berhubung persiapan polis menghadapi PRN Terengganu di IPK Terengganu, hari ini.

    Dalam pada itu, Ayob Khan berkata setakat ini, sebanyak 59 titik panas telah dikenal pasti IPK Terengganu sepanjang PRN ini dengan daerah Marang dan Kemaman mencatatkan risiko ketegangan tertinggi. 

    “Dari mesyuarat tadi, kebanyakan isu yang timbul di kawasan tersebut adalah benda-benda yang pada pandangan kami adalah benda kecil. Saya percaya ia boleh dikurangkan atau dipastikan untuk tidak timbul. Antara isu tersebut adalah seperti merosakkan bendera, atau mengawal sesuatu kawasan bagi menghalang pihak atau parti lain memasang bendera di situ,” katanya.

    Katanya, beliau telah mengarahkan Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan untuk memanggil kesemua anggota terlibat dalam kawalan keselamatan sepanjang PRN itu nanti bagi memastikan isu-isu tersebut tidak timbul sama sekali, sekali gus menjamin ketentaraman dan kelancaran proses demokrasi itu. 

    “Dan Alhamdulillah daripada taklimat tadi, Insya-Allah saya yakin IPK Terengganu telah buat persiapan rapi untuk menghadapi PRN nanti dan dapat beri khidmat agar tiada sebarang insiden berlaku,” katanya. 

    Selain Terengganu, lima lagi negeri bakal terlibat PRN 12 Ogos ini ialah Kelantan, Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan penamaan calon dibuat secara berserentak di enam negeri terlibat iaitu pada 29 Julai, manakala pengundian awal pada 8 Ogos. 

  • Neelofa lahir anak kedua Selasa lalu

    Neelofa lahir anak kedua Selasa lalu

    SELEBRITI popular, Neelofa selamat melahirkan anak lelaki kedua pada 11 Julai lalu pada jam 10.45 malam.

    Menyifatkan hari kelahiran putera keduanya menjadi hari yang penuh berkat dan rahmat, berita gembira itu diumumkan sendiri Neelofa dan suaminya Haris Ismail atau PU Riz dalam satu kenyataan rasmi pada Khamis.

    “Putera kedua tercinta kami menjengah dunia dalam keadaan sihat walafiat. Semoga kehadirannya selalu membawa keberkatan bagi keluarga kami, menjadi anak yang soleh, berbakti kepada orang tua, berguna bagi agama, keluarga, nusa dan bangsa,” ujar mereka dalam kenyataan itu, lapor Sinar Harian.

    Neelofa dan Haris turut memiliki seorang lagi anak lelaki, Muhammad Bilal yang berusia 18 bulan

    Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 27 Mac 2020 itu, turut meminta didoakan anak kedua mereka membesar dengan baik dan cerdas, serta diberikan kesihatan dan umur yang panjang.

    “Semoga kami mampu menjadi ibu bapa yang baik dalam mendidik dan membesarkannya. Insya-ALLAH,” tambah mereka.

    Neelofa, 34, menerusi akaun Instagramnya memaklumkan akan berkongsi nama putera kedua mereka pada hari ketujuh kelak.

    Sekadar info, Neelofa, 34, dan Haris, 28, turut memiliki seorang lagi anak lelaki, Muhammad Bilal yang berusia 18 bulan.

  • Kenaikan gaji : ‘’Itu bukan bidang kuasa Rafizi’’- persatuan majikan

    Kenaikan gaji : ‘’Itu bukan bidang kuasa Rafizi’’- persatuan majikan

    PERSEKUTUAN Majikan-majikan Malaysia (MEF) kecewa dengan prestasi Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, mengingatkan beliau tentang tugasnya untuk menambah baik ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat. 

    “Setakat ini MEF masih belum melihat sebarang rancangan konkrit daripada menteri ekonomi yang benar-benar tertumpu dan diformalkan yang mampu menambah baik ekonomi negara seterusnya meningkatkan taraf hidup negara dan rakyatnya,” kata Presiden MEF Syed Hussain Syed Husman dalam satu kenyataan sebagai respons kepada pengumuman Rafizi baru-baru ini mengenai kenaikan gaji, lapor Malaysianow.

    MEF juga berkata persekutuan itu “terkejut bahawa Menteri Ekonomi mengambil tindakan terhadap sesuatu di luar bidang kuasanya. 

    “Ini sepatutnya di bawah bidang kuasa Menteri Sumber Manusia,” tegas Syed Hussain. 

    Ia berlaku selepas Rafizi mengumumkan rancangan kerajaan untuk melaksanakan model gaji progresif yang mungkin mendorong kepada kenaikan gaji tahunan secara mandatori.

    Bagaimanapun menurut MEF, gaji yang lebih tinggi terikat kepada prestasi dan produktiviti, manakala pertambahan kos berkaitan didorong oleh peningkatan hasil dan keuntungan.

    “Mewajibkan kenaikan gaji tahunan bukan sebahagian daripada persamaan model gaji progresif,” katanya. 

    MEF berkata pemain industri tidak terlibat dalam sebarang perbincangan terperinci mengenai rancangan itu. 

    Syed Hussain mengingatkan Rafizi bahawa harga buruh ditentukan oleh kuasa pasaran dan industri di seluruh dunia sentiasa bergantung kepada data pasaran dalam menentukan pampasan dan faedah. 

    “Kerajaan tidak seharusnya menentukan apa yang patut dilakukan dari segi pemberian ganjaran kepada pekerja. Malaysia adalah ekonomi terbuka, bukan ekonomi milik kerajaan. Ini adalah faktor yang sangat penting untuk menteri ekonomi memahami dan mengambil kira, dan (beliau) tidak sepatutnya mewajibkan kenaikan gaji di bawah model gaji progresif,” katanya.

    Beliau memberi amaran Malaysia akan berada dalam “keadaan serius” jika kerajaan melibatkan diri dalam menentukan apa yang mereka patut bayar dan lakukan. 

    “Jika negara menerima pakai saranan Rafizi, kita akan kehilangan lebih banyak syarikat multinasional dan tidak lagi dapat menarik pelaburan baharu, sama ada daripada FDI (pelaburan langsung asing) atau pelabur tempatan,” katanya.

    Beliau berkata jika kerajaan berhasrat untuk mewajibkan kenaikan gaji, ia harus memberi geran atau peruntukan sebagai “tambah nilai” bagi memenuhi pendapatan yang ditentukan.

  • Setiausaha Agung Muda tak boleh saman SPRM berhubung siasatan Nazlan, kata Azam

    Setiausaha Agung Muda tak boleh saman SPRM berhubung siasatan Nazlan, kata Azam

    KETUA Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, Parti Ikatan Demoktratik Malaysia (MUDA) tidak mempunyai kedudukan undang-undang untuk menyaman badan anti rasuah itu.

    Dalam afidavit difailkan untuk menentang saman MUDA, Azam berkata, setiausaha agung parti itu, Amir Hadi tidak boleh mengemukakan tindakan sivil atas kapasiti peribadinya.

    “Hanya individu yang dinamakan sebagai pemegang jawatan dalam rekod yang disimpan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) boleh memulakan saman sivil bagi pihak pertubuhan berdaftar.

    “Saman Muda menuntut deklarasi bahawa siasatan SPRM terhadap Nazlan bercanggah dengan perlembagaan.

    “Perkara tindakan itu telah pun diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan awal tahun ini dalam tuntutan sama yang dibawa oleh peguam Haris Ibrahim, Nur Ain Mustapa dan Sreekant Pillai terhadap SPRM.

    “SPRM menggesa mahkamah menolak saman pemula (Amir) kerana isu itu telah menjadi akademik,” kata Azam.

    Pada Februari, mahkamah tertinggi memutuskan bahawa siasatan SPRM terhadap Nazlan dilakukan tanpa mengikut protokol.

    Katanya, badan penyiasat mesti merujuk ketua hakim negara sebelum memulakan siasatan terhadap hakim mahkamah atasan yang sedang bersidang.

    Mahkamah Persekutuan menambah, kegagalan SPRM untuk memaklumkan kepada Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat mengenai permohonan yang dimaksudkan menunjukkan kurangnya keikhlasan pihak penyiasat.

    Azam juga berkata, surat SPRM kepada hakim tertinggi itu bertarikh 22 Februari hanya bertujuan menyampaikan ‘pendapat’ agensi itu mengenai kemungkinan berlakunya pelanggaran etika oleh Nazlan.

    “‘Pendapat’ itu kini tidak relevan kerana Mahkamah Persekutuan telah menyampaikan keputusan (dalam kes terdahulu),” katanya.

    Azam turut menafikan bahawa agensinya terlibat dalam insiden “kebocoran” surat yang muncul di domain awam sejurus selepas ia dikeluarkan.

    “Itu kesimpulan yang tidak adil,” tambahnya, lapor FMT.

    Azam berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menjawab semua soalan berkaitan dengan siasatan Nazlan di Dewan Negara bulan lepas.

    Perdana Menteri memberitahu Dewan Negara bahawa penemuan SPRM tidak menunjukkan bahawa kesalahan jenayah telah dilakukan.

    Kesimpulan ini turut dipersetujui Jabatan Peguam Negara, katanya.

    Pada 28 Julai 2020, Nazlan mensabitkan Datuk Seri Najib Razak atas tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta milik SRC International, yang dimasukkan ke dalam akaun bank bekas Perdana Menteri itu.

    Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Sabitan dan hukuman itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021, dan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022.

    Beliau kini menjalani hukuman di penjara Kajang.

  • Rogol pelajar dalam tandas sekolah, pembantu jurulatih silat mengaku salah

    Rogol pelajar dalam tandas sekolah, pembantu jurulatih silat mengaku salah

    SEORANG remaja yang juga pembantu jurulatih silat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Muar hari ini atas tiga tuduhan merogol dan melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di tandas sebuah sekolah pada Mei dan Jun lepas.

    Tertuduh berusia 19 tahun itu mengaku bersalah tersebut selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

    Mengikut tuduhan pertama, remaja didakwa merogol kenalannya berusia 16 tahun dalam tandas perempuan sebuah sekolah menengah di Bukit Naning, Muar, pada 1.30 petang, 2 Jun.

    Bagi tuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama pada 2 petang, 12 Mei dan 1.30 petang, 2 Jun lepas, di tempat sama, lapor FMT.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun serta sebatan tidak kurang 10 kali, jika sabit kesalahan.

    Bagi kes amang seksual fizikal, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama.

    Bawah akta itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara hingga 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir, manakala tertuduh diwakili Safiah A Aziz selaku peguam.

    Mahkamah menetapkan 10 Ogos untuk laporan sosial dan sebutan semula kes.

  • Zuraida mohon batal perintah bayar RM10 juta kepada PKR

    Zuraida mohon batal perintah bayar RM10 juta kepada PKR

    DATUK Zuraida Kamaruddin mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Rayuan bagi membatalkan perintah membayar RM10 juta dikenakan terhadapnya kerana berpaling tadah selepas memenangi kerusi parlimen Ampang buat kali ketiga pada 2018.

    Peguam bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, Nizamuddin Abdul Hamid mengesahkan kepada Malaysiakini hari ini bahawa notis rayuan itu difailkan dua hari lalu.

    Nizamuddin berkata, rayuan itu adalah terhadap perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Jun yang membenarkan tuntutan RM10 juta daripada PKR.

    Hakim Akhtar Tahir turut memerintahkan Zuraida membayar kos RM50,000 kepada PKR, lapor Malaysiakini.

    Semasa perbicaraan pada 29 Mac, Setiausaha Agung PKR yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi keterangan, Zuraida memenangi kerusi Ampang kerana bertanding di bawah bendera parti dan bukannya kekuatan dirinya sendiri.

    Pada 30 Mac pula, Zuraida memberi keterangan bahawa beliau tidak mengetahui butiran bon RM10 juta itu kerana didakwa dipaksa menandatanganinya sebelum bertanding.

    Zuraida bersama 11 ahli Parlimen lain diketuai Datuk Seri Azmin Ali meninggalkan PRK pada Feb 2020 untuk menyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO-BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).

    Kejadian yang digelar sebagai Langkah Sheraton itu membawa kepada kejatuhan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang mendapat mandat untuk menjadi kerajaan melalui pilihan raya negeri (PRU) ke-14.

    Pada September tahun yang sama PKR memfailkan tindakan sivil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menuntut RM10 juta ke atas Zuraida kerana meninggalkan parti.

    Pada Mei tahun lalu, Zuraida meninggalkan Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

    Kemudiannya pada Disember tahun lalu juga, beliau dan 10 ahli PBM lain dipecat ekoran krisis dalaman PBM yang berlegar di sekitar isu pelantikan presidennya.

    Awal tahun ini, Zuraida dipilih sebagai timbalan Presiden Muafakat Nasional.

    Pada PRU ke-15, Zuraida bertanding atas tiket PBM dalam cubaannya mempertahankan kerusi parlimen Ampang.

    Bagaimanapun beliau yang pernah menjadi ketua Wanita PKR gagal dan hilang deposit manakala kerusi parlimen Ampang dimenangi calon PH, Rodziah Ismail yang memenanginya dengan majoriti 29,681 undi.

  • Adik Ahli Parlimen mungkin tanding PRN Selangor

    Adik Ahli Parlimen mungkin tanding PRN Selangor

    ADIK V. Ganabatirau mungkin dicalonkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning, kerusi yang pernah disandang Ganabatirau selama satu penggal, menurut seorang pemimpin DAP Selangor.

    Ganabatirau dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning pada pilihan raya negeri (PRU) 2018, sebelum menjadi Ahli Parlimen Klang pada PRU15 November 2022.

    Pemimpin DAP negeri itu yang enggan dinamakan berkata, Papparaidu yang merupakan adik Ganabatirau, melakukan kerja asas melalui libat urus dengan akar umbi.

    Papparaidu, yang juga ahli Majlis Bandaraya Shah Alam terbabit dalam kerja kemasyarakatan dan pengagihan bantuan, khasnya membantu mangsa banjir.

    Sumber parti itu berkata, beberapa persatuan penduduk turut menghantar surat kepada DAP untuk menyokong Papparaidu sebagai calon.

    Papparaidu ketika dihubungi FMT tidak menekankan prospek pencalonannya.

    Katanya, beliau pernah dengar mengenainya, ‘tetapi biarlah parti buat keputusan akhir’.

    Beliau berkata, isu mendesak dihadapi penduduk Kota Kemuning ialah kesesakan lalu lintas, yang dijangkakan lebih teruk selepas perbandaran Rimbayu siap.

    “Kita perlu kaji pembinaan jambatan di atas bulatan mengurangkan kesesakan lalu lintas,” kata Papparaidu yang juga pengerusi perhubungan Parlimen Kota Raja.

    Pengundi di Selangor dan lima negeri lain akan memilih ADUN baharu pada 12 Ogos ini.

  • Cadangan pengeluaran mandori bulanan hanya libat ahli baru KWSP

    Cadangan pengeluaran mandori bulanan hanya libat ahli baru KWSP

    CADANGAN pengeluaran mandatori bulanan akan hanya melibatkan ahli-ahli baharu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang lahir pada atau selepas 2010, serta berdaftar dengan KWSP selepas tarikh pelaksanaan kaedah baharu ini.

    Bernama melaporkan, KWSP dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa tiada pindaan dirancang untuk pengeluaran penuh umur 55 dan 60 tahun bagi ahli-ahli semasa manakala perkhidmatan pengeluaran bulanan sedia ada hanya terpakai kepada ahli yang menyertainya secara sukarela.

    “Bayaran pertama di bawah kaedah mandatori ini akan dibuat selepas persaraan ahli yang dijangka hanya akan berlaku beberapa dekad dari sekarang. Cadangan ini masih diteliti dan KWSP memberi jaminan bahawa sebarang keputusan berhubung pengeluaran simpanan akan dibuat dengan pertimbangan yang teliti dan selari dengan komitmen KWSP demi kepentingan masa depan ahli,” menurut kenyataan itu.

    Susulan itu, KWSP berkata mekanisme pengeluaran mandatori bulanan akan menyelaraskan Malaysia dengan amalan di kebanyakan negara lain kerana negara kita adalah antara minoriti kecil yang masih membenarkan pengeluaran sekali gus dan bukan berkala.

    Pada Rabu lepas, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata pengeluaran berkala secara bulanan dilihat mampu memberikan peluang kepada ahli untuk menguruskan wang persaraan mereka dengan lebih baik.

    Beliau berkata pengeluaran berkala itu juga memberi peluang kepada ahli untuk terus menikmati dividen tahunan dengan baki simpanan yang ada.