Category: Umum

  • Kadar tol BESRAYA, LEKAS turun mulai tengah malam ini

    Kadar tol BESRAYA, LEKAS turun mulai tengah malam ini

    KEMENTERIAN Kerja Raya mengumumkan penurunan kadar tol di Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) dan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) berkuat kuasa pukul 12.01 tengah malam ini.

    Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penurunan kadar tol antara 15 sen hingga 50 sen itu dibuat selepas perbincangan dan persetujuan syarikat konsesi dua lebuh raya itu, IJM Corporation Berhad.

    Menurutnya, penurunan selaras keputusan Jemaah Menteri pada 21 Disember lalu itu juga adalah sebahagian daripada persetujuan penyusunan semula struktur dan kadar tol bagi kedua-dua lebuh raya berkenaan yang diputuskan kerajaan.

    “Penurunan kadar tol adalah sebanyak RM0.15 bagi kenderaan kelas 1 yang melalui plaza tol Loke Yew dan Mines (arah Utara dan Selatan) di Lebuhraya BESRAYA.

    “Manakala kadar tol Lebuhraya LEKAS bagi kenderaan kelas 1 dikurangkan daripada 0.1811 sen/km kepada 0.1666 sen/km untuk sistem tol tertutup dan kadar tol kekal seperti sedia ada bagi sistem tol terbuka iaitu di Plaza Tol Ampangan.

    “Kadar tol yang dikutip pada masa ini adalah sebanyak RM2.00 sehala bagi kenderaan kelas 1 yang melalui mana-mana plaza tol Lebuhraya BESRAYA, dan RM8.30 sehala bagi kenderaan kelas 1 yang menggunakan keseluruhan Lebuhraya LEKAS.

    “Melalui penurunan kadar tol mulai 1 Januari 2023, kenderaan kelas 1 yang melalui mana-mana plaza tol Lebuhraya BESRAYA akan membayar RM1.85 sehala; manakala pengguna yang menggunakan keseluruhan Lebuhraya LEKAS akan membayar RM7.80 sehala,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.

    Mengulas lanjut, Alexander menjelaskan, penurunan kadar tol itu adalah bagi sepanjang tempoh konsesi kedua-dua tol lebuh raya berkenaan, berbanding kadar asal dalam perjanjian konsesi, dan disifatkan sebagai tanda keprihatinan kerajaan dalam menangani isu kenaikan kos sara hidup.

    “Melalui penyusunan semula struktur dan kadar tol bagi kedua-dua lebuh raya ini, kerajaan dapat menjimatkan peruntukan bayaran pampasan yang dianggarkan sebanyak RM1.978 bilion sepanjang tempoh konsesi bagi kedua-dua lebuh raya, yang mana peruntukan ini boleh disalurkan kepada keperluan asas lain rakyat Malaysia,” katanya.

    Pada masa sama, Alexander memaklumkan kerajaan sedang mengambil langkah berterusan untuk mengurangkan beban pengguna lebuh raya seluruh negara.

    Katanya, langkah itu dilaksanakan tanpa mengabaikan sebarang obligasi yang dipersetujui dengan memastikan kepentingan semua pihak terutamanya pengguna lebuh raya sentiasa dilindungi.

  • Sabah wajibkan ujian COVID-19 untuk pengembara China

    Sabah wajibkan ujian COVID-19 untuk pengembara China

    SEMUA pengembara dari China yang ingin masuk ke Sabah  wajib menunjukkan keputusan negatif COVID-19, berkuat kuasa, Ahad in (1 Jan), kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.

    Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah itu berkata semua pengunjung dari China perlu mempunyai keputusan negatif dalam ujian sebelum berlepas (Predeparture Test) dalam tempoh 48 jam sebelum dibenarkan masuk ke negeri itu.

    “Keputusan ini telah dibuat Kerajaan Sabah,” katanya menerusi kenyataan di sini, malam ini.

    Sementara itu, beliau berkata sebanyak 15 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan di Sabah hari ini iaitu bertambah enam kes direkodkan daripada 1,228 sampel ujian berbanding 1,251 ujian semalam. – BERNAMA

  • Data 250,248 pelanggan Unifi Mobile diceroboh

    Data 250,248 pelanggan Unifi Mobile diceroboh

    SEJUMLAH 250,248 pelanggan Unifi Mobile, yang terdiri daripada pelanggan individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), didapati terjejas dalam pelanggaran data yang membabitkan maklumat perhubungan mereka, kata Telekom Malaysia (TM).

    Jenis data itu membabitkan nama pelanggan, nombor telefon dan e-mel, kata syarikat berkenaan dalam satu kenyataan hari ini.

    Ia tidak membabitkan maklumat lain.

    “TM mengesahkan bahawa pelanggaran itu sudah dibendung dan langkah sudah diambil untuk meminimumkan potensi kesan kepada 250,248 pelanggan ini. Pelanggan tertentu yang terjejas sudah dimaklumkan. Pelanggan yang tidak menerima sebarang pemberitahuan adalah mereka yang tidak terjejas,” katanya.

    TM juga sudah melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa yang berkaitan, iaitu Pusat Kawalan dan Penyelarasan Siber Negara, Jabatan Perlindungan Data Peribadi, dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

    Syarikat telekomunikasi itu berkata, ia sudah dimaklumkan mengenai pelanggaran data pada 28 Disember membabitkan jumlah yang terhad untuk maklumat pelanggan Unifi Mobile.

    Walaupun langkah keselamatan tambahan sudah dilaksanakan untuk mengasingkan risiko dan melindungi pelanggannya, TM berkata bahawa pelanggan tidak mengalami sebarang gangguan perkhidmatan dalam kejadian itu.

    “TM sedang memantau dengan teliti dan sedang menjalankan penilaian tambahan. Kami menasihati pelanggan supaya mengambil langkah berjaga-jaga tambahan apabila menerima komunikasi daripada pihak yang tidak dikenali, serta memastikan maklumat dalam talian mereka pada setiap masa,” katanya.

    TM juga menyatakan bahawa privasi dan keselamatan pelanggannya tetap menjadi keutamaan tertinggi syarikat dan pihaknya mengambil serius tentang perkara berkenaan.

    “Kami akan terus mengukuhkan dan memastikan rangka kerja keselamatan data, dasar, sistem dan proses kami sentiasa pada penanda aras piawaian Pengurusan Risiko dalam Teknologi (RMiT) Bank Negara Malaysia (BNM) dan ISO27001, serta piawaian global lain untuk mengelakkan kejadian sedemikian,” tambahnya.-BERNAMA

  • COVID-19: Tidak perlu terburu-buru terima pengembara China

    COVID-19: Tidak perlu terburu-buru terima pengembara China

    KERAJAAN tidak perlu terburu-buru untuk menerima kedatangan pengembara dari China terutamanya pelancong sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan penularan COVID-19 secara besar-besaran.

    Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat dan Ekonomi Kesihatan Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata kerajaan perlu terlebih dahulu melihat kepada perkembangan semasa berkaitan jangkitan wabak itu bagi mengelakkan kemasukkan varian yang belum pernah ditemukan dan seterusnya memudaratkan negara.

    “Kemungkinan untuk varian baharu masuk dalam negara adalah tinggi, tambahan lagi kita menghampiri musim perayaan (Tahun Baharu Cina) jadi susah untuk kita kawal pergerakan.

    “Jadi, kerisauannya adalah jika mereka bawa kes-kes itu ke Malaysia bersama-sama dengan varian baharu yang kita tak kenal pasti lagi,” katanya kepada Bernama. 

    China dilapor akan membuka semula sempadannya pada 8 Jan 2023 selepas hampir tiga tahun ditutup berikutan pandemik COVID-19, namun timbul kebimbangan apabila berlaku lonjakan ketara kes COVID-19 di negara itu baru-baru ini.

    Penasihat Pertubuhan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal Ariffin Omar pula berpendapat belum timbul keperluan mengadakan sekatan kepada pelancong dari negara tembok besar itu, namun pihak Kementerian Kesihatan (KKM) bersama-sama syarikat penerbangan perlu mengadakan pengawasan yang ketat. 

    “Pertimbangkan langkah ketat kemasukan pengembara dari China dan jangan leka, bagi yang ingin masuk (ke Malaysia) perlu lengkap vaksinasi dan lakukan ujian COVID-19 seeloknya ujian PCR,” katanya.

    Dr Zainal turut menyarankan agar kerajaan meningkatkan kadar penerimaan dos penggalak bagi vaksinasi COVID-19 dalam kalangan rakyat Malaysia sebagai langkah berjaga-jaga mengekang penularan wabak itu. 

    Menurutnya kadar liputan bagi dos penggalak pertama dan kedua yang masih rendah dalam negara mampu mendatangkan risiko, iaitu mengambil kira kemungkinan tahap imunisasi masyarakat yang semakin menurun. 

    Berdasarkan data laman web KKMNOW setakat 12 tengah hari tadi sejumlah 16,278,669 atau 49.8 peratus daripada populasi negara ini telah mengambil dos penggalak pertama, manakala cuma 629,215 atau 1.9 peratus dari populasi sama memilih mendapatkan dos penggalak kedua. 

    Dalam masa sama, Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) Dr Sri Ganesh Micheil berkata negara tidak seharusnya melarang pergerakan mana-mana pengembara terutamanya pelancong dari luar negara.

    Katanya kerajaan melalui agensi di bawah KKM serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya perlu mengambil tindakan bersiap siaga dalam memastikan industri perhotelan dan pelancongan  selamat serta terjamin.

    Jurucakap Malaysia Airlines ketika dihubungi menyatakan komitmen syarikat penerbangan itu untuk kekal patuh pada syarat yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan penguat kuasa dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan penumpang terpelihara. 

    Sementara itu, pakar Kesihatan Awam Universiti Malaya Prof Dr Moy Foong Ming berkata orang ramai perlu mematuhi langkah pencegahan sedia ada seperti memakai pelitup muka terutamanya di kawasan yang sesak dan pengudaraan kurang baik, memastikan status vaksinasi sentiasa dikemas kini dan mengekalkan gaya hidup sihat supaya mempunyai imuniti tubuh yang baik.

    “Orang ramai juga boleh mengamalkan TRIIS (ujian, lapor, asing, maklum, cari) jika ada simptom seperti selesema,” katanya. – BERNAMA 

  • Maklumat peribadi bocor: Sesetengah nombor akaun bank tidak sah

    Maklumat peribadi bocor: Sesetengah nombor akaun bank tidak sah

    SIASATAN Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) mendapati, sesetengah maklumat nombor akaun Maybank yang bocor dan dipaparkan dalam sebuah laman sesawang didapati tidak sah atau tidak wujud.

    Ini berikutan tiada urusniaga boleh dilakukan dengan nombor akaun berkenaan.

    Menteri KKD, Fahmi Fadzil berkata, hasil siasatan awal susulan kebocoran maklumat peribadi didakwa membabitkan 13 juta pengguna di jaringan gelap atau ‘dark web’ itu mendapati potensi data yang didakwa bocor itu adalah merujuk kepada satu insiden kebocoran yang berlaku pada tahun 2018.

    “Bagaimanapun, pengesahan rasmi daripada pihak berkaitan adalah diperlukan untuk tujuan siasatan terperinci di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709).

    “Manakala siasatan mengenai kebocoran data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam laman sesawang berkenaan akan diserahkan kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) untuk tindakan selanjutnya memandangkan ia adalah di luar bidang kuasa Akta 709,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

    Media sebelum ini melaporkan CyberSecurity Malaysia dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) diarah menyiasat dakwaan berlaku kebocoran baharu maklumat peribadi membabitkan 13 juta pengguna di ‘dark web’ yang dikatakan membabitkan pengguna Astro, Maybank dan SPR.

    Arahan itu dibuat Fahmi susulan tular satu hantaran di Twitter yang memuat naik beberapa tangkap layar jaringan gelap, menunjukkan senarai ratusan daripada 13 juta maklumat individu yang didakwa diperoleh daripada SPR, Maybank dan Astro.

    Tangkap layar itu menunjukkan senarai berkenaan membabitkan nama penuh, alamat, nombor telefon dan nombor kad pengenalan pengguna dari pelbagai negeri.

    Dalam pada itu, Fahmi berkata, notis sekatan turut dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi tujuan menghalang orang awam mengakses laman sesawang berkenaan.

    “KKD melalui JPDP dengan kerjasama CyberSecurity Malaysia sedang mendapatkan maklum balas daripada Maybank dan Astro berhubung dakwaan kebocoran data bagi memastikan kesahihan pemilikan data.

    “KKD memandang serius dakwaan kebocoran data yang dibuat sebuah laman sesawang pada 25 Disember 2022 yang lalu,” katanya.

  • Pemilihan AJK masjid: Campur tangan MAINPP dipertikai

    Pemilihan AJK masjid: Campur tangan MAINPP dipertikai

    RASUAH Busters Pulau Pinang mempertikaikan ‘campur tangan’ atau penglibatan pihak tertentu dalam proses pemilihan ahli jawatankuasa di beberapa buah masjid di negeri itu.

    Menurut Ahli Majlis Tertinggi Rasuah Busters Pulau Pinang, Zikrullah Ismail, isu tersebut begitu hangat pada masa ini apabila ahli jawatankuasa (AJK) masjid yang dipilih oleh ahli kariah menerusi sistem pemilihan secara demokrasi telah ditolak oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

    Katanya, tindakan MAINPP menolak senarai nama ahli jawatankuasa tertentu di sekurang-kurangnya 12 buah masjid yang dipilih secara sah oleh ahli kariah dan digantikan dengan senarai yang ditentukan oleh majlis agama tersebut dilihat telah bercanggah dengan amalan pemilihan secara demokrasi, sekali gus menimbulkan pertikaian besar dalam kalangan masyarakat.

    Beliau menegaskan, persoalan timbul dalam kalangan masyarakat apabila penggantian nama dibuat MAINPP itu tidak menjelaskan secara terperinci kenapa pemilihan ahli jawatankuasa yang dimahukan oleh ahli kariah telah ditolak bagi memegang jawatan setelah menang secara sah.

    “Ahli kariah di sesebuah masjid pastinya mengetahui secara lebih tepat siapakah yang perlu diangkat sebagai pentadbir atau ahli jawatankuasa masjid berdasarkan kemampuan, kebolehan, kerajinan berada di rumah ALLAH dan siapakah yang mudah untuk berurusan dengan masyarakat setempat.

    “Tetapi apabila kumpulan ahli jawatankuasa yang dipilih ahli kariah ditolak dan digantikan dengan orang yang tidak sewajarnya oleh MAINPP, ia menimbulkan rasa tidak puas hati dan pertikaian dalam kalangan ahli kariah.

    “Bukan sahaja amalan demokrasi memilih secara telus yang dilakukan di dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang turut dihadiri oleh wakil MAINPP seakan sudah tidak lagi mahu diguna pakai, tindakan majlis agama juga seakan menafikan hak ahli kariah masjid setempat yang mahukan individu selayaknya memegang jawatan,” katanya kepada kru Rasuah Busters, lapor Sinar Harian.

    Mengulas lanjut, Zikrullah berkata, sistem pemilihan secara demokrasi oleh ahli kariah yang layak seharusnya diambil kira dan dipersetujui oleh MAINPP, sebaliknya majlis agama itu menggunakan klausa tertentu di dalam Kaedah-Kaedah Jawatankuasa Qaryah dan Pegawai Masjid (Negeri Pulau Pinang) 1997, Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang 1993 bagi menafikan individu dipilih ahli kariah sebagai pentadbir masjid.

    Jelasnya, bukan sahaja tidak menjelaskan secara terperinci kenapa ditolak pemimpin yang telah dipilih oleh ahli kariah secara demokrasi, tindakan yang diambil oleh MAINPP itu dilihat seakan ada campur tangan pihak ketiga.

    Ini kerana katanya, wakil MAINPP yang hadir semasa proses pemilihan ahli jawatankuasa masjid pada sesi AGM telah meluluskan pemilihan calon dan tidak melarang mana-mana individu untuk bertanding secara sah kerana tidak terdapat sebarang kesalahan.

    Namun begitu menurutnya, setelah mencatat kemenangan dan dipilih secara sah oleh ahli kariah berdaftar, individu-individu daripada sekurang-kurangnya 12 buah masjid tersebut telah dinafikan jawatannya dan digantikan dengan nama-nama tertentu yang telah dicadangkan oleh MAINPP.

    “Sekiranya isu umur dipersoalkan, kenapa dari awal sesi pemilihan individu ini tidak dibangkitkan oleh wakil MAINPP yang hadir pada sesi pemilihan?,” soalnya.

    Ekoran daripada rasa tidak puas hati tersebut, menurutnya, ada ahli jawatankuasa di beberapa buah masjid telah meletakkan jawatan secara beramai-ramai kerana memprotes isu yang berlaku ekoran ketidakadilan tersebut.

  • Sampel air kumbahan penumpang pesawat dari China akan diuji – Dr Zaliha

    Sampel air kumbahan penumpang pesawat dari China akan diuji – Dr Zaliha

    MENTERI Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, survelan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) akan diperkukuhkan dengan pengambilan sampel air kumbahan dari pesawat yang datang dari negara China.

    Beliau berkata, ia merupakan sebahagian daripada empat strategi utama kerajaan dalam mempertingkatkan kesiapsiagaan dan respons bagi menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes dan kematian COVID-19.

    Jelas beliau, sampel air kumbahan itu akan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) untuk ujian PCR dan seterusnya dihantar untuk penjujukan genom sekiranya dikesan positif COVID-19.

    “Semua pengembara yang tiba dari luar negara, termasuk negara China, di PMA akan melalui saringan demam.

    “Mereka yang dikesan demam atau bergejala atau rujukan kendiri (self declaration) akan dirujuk ke pusat kuarantin atau pihak kesihatan untuk pemeriksaan semula.

    “Sekiranya disyaki, ujian COVID-19 akan dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Kenyataan itu susulan kebimbangan orang awam selepas China menamatkan dasar ‘zero-COVID’nya, dan rakyat negara itu bebas mengembara ke luar negara biarpun dijangkiti COVID-19.

    Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata, semua kes ILI dan SARI yang datang mendapatkan perkhidmatan di fasiliti kesihatan dan mempunyai sejarah perjalanan ke negara China 3 dalam tempoh 14 hari terakhir, atau mempunyai sejarah kontak dengan individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara China dalam tempoh 14 hari terakhir, akan dibuat ujian RTK-Ag COVID-19.

    Menurutnya lagi, sampel ujian akan dihantar untuk penjujukan genom sekiranya positif COVID-19.

    Bagi memperkukuhkan survelan COVID-19 dalam komuniti, persekitaran dan makmal, Dr Zaliha berkata, ujian lanjut ke atas sampel positif COVID-19 menggunakan teknik Whole Genomic Sequencing (WGS) dilaksanakan bagi mengesan awal kemasukan varian baharu dalam negara.

    “Survelan ke atas sampel bagi kes influenza-like illness (ILI) di 59 buah klinik sentinel dan severe acute respiratory infection (SARI) di 18 buah hospital sentinel di seluruh negara masih diteruskan.

    “Bagi tujuan ini, sampel ILI dihantar ke Makmal Kesihatan Awam seluruh negara, manakala sampel SARI dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) untuk ujian PCR dan seterusnya dijalankan penjujukan genom (WGS) sekiranya positif COVID-19,” katanya lagi, lapor Astro Awani.

  • TLDM siasat bot tempur berlanggar sewaktu demonstrlasi

    TLDM siasat bot tempur berlanggar sewaktu demonstrlasi

    TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian pelanggaran bot tempur semasa Hari Terbuka Armada (HTA2022), semalam.

    Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat dalam satu kenyataan memaklumkan, insiden berlaku ketika sebuah bot tempur TLDM telah hilang kawalan dan terlanggar KD Laksamana Tan Pusmah sewaktu melaksanakan demonstrasi manuvra bagi memintas bot mencurigakan di jeti Pangkalan TLDM Lumut.

    Insiden kira-kira pukul 11.30 pagi tersebut telah mengakibatkan badan kapal KD Laksamana Tan Pusmah terkoyak sepanjang 2 x 1m dan Bot Tempur kemek di bahagian haluan.

    “Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan akibat insiden ini. Insiden juga tidak menjejaskan perjalanan HTA22 yang akan diteruskan mengikut atur cara telah ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

    Sambutan HTA22 sedang berlangsung bermula semalam hingga esok di Pangkalan TLDM Lumut. – Bernama

  • Anwar dijadual bentang Bajet 2023 24 Februari depan

    Anwar dijadual bentang Bajet 2023 24 Februari depan

    BAJET 2023 dijadual dibentangkan di Parlimen pada 24 Februari tahun depan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul yang mengesahkan perkara itu berkata, tempoh tiga minggu diperuntukkan bagi keseluruhan proses pembentangan Bajet 2023 berlangsung termasuk perbahasan sebelum ia diluluskan.

    “Ya Bajet 2023 akan dibentangkan pada 24 Februari depan berikutan sebelum ini hanya Bajet mini yang dibentang bagi perbelanjaan perkhidmatan dan pembayaran gaji.

    “Secara keseluruhan proses pembentangan bajet, perbahasan termasuk urusan jawatankuasa dan dasar akan mengambil masa 21 hari,” katanya kepada BH, di sini.

    Pada masa sama, Johari berkata, persidangan Dewan Rakyat akan bermula 13 Februari depan selama 29 hari.

    Beliau berkata, mesyuarat pertama Dewan Rakyat Parlimen ke-15 itu akan membuka tirainya dengan titah ucapan diraja oleh Yang di-Pertuan Agong.

    20 Disember lalu, Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan Bajet Mini 2023 dan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022.

    Keputusan itu dimaklumkan oleh Johari selepas tiada perbahasan bagi kedua-dua usul yang dibentangkan Perdana Menteri.

    Anwar membentangkan peruntukan khas untuk perbelanjaan perkhidmatan berjumlah RM107,718,676,650.

  • ‘Ameba pemakan otak’: Belum ada kes di Malaysia

    ‘Ameba pemakan otak’: Belum ada kes di Malaysia

    MALAYSIA setakat ini tiada kes jangkitan Naegleria Fowleri atau dirujuk sebagai ‘ameba pemakan otak’  namun rakyat dinasihatkan berwaspada dan mengambil langkah sewajarnya ketika ingin melakukan aktiviti di kawasan air tawar.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dalam kenyataan hari ini, berkata ini termasuklah mengelakkan diri daripada menggali atau mengusik apa-apa sedimen yang berada di dasar tasik, kolam atau sungai memandangkan habitat ameba berada di situ.

    Selain itu, orang ramai dinasihatkan agar mengelakkan aktiviti seperti menyelam, melompat ke dalam air yang mana air mungkin dicemari oleh ameba yang boleh memasuki rongga hidung secara terus.

    “Langkah lain ialah mencuci badan dengan air yang terawat dan sabun selepas melakukan aktiviti di dalam air dan segera mendapatkan rawatan apabila mengalami demam, sakit kepala, muntah atau kekakuan leher secara tiba-tiba terutamanya selepas melakukan aktiviti dalam air,” katanya.

    Naegleri Fowleri ialah ameba termofilik atau organisma sel tunggal protozoa yang boleh ditemui di seluruh dunia terutamanya dalam habitat air tawar seperti tasik, kolam, sungai, mata air panas serta dalam tanah dan boleh menyebabkan jangkitan otak yang teruk iaitu Primary Amoebic Meningoencephalitis (PAM) yang membawa maut.

    Ameba Naegleri Fowleri juga dikenali sebagai ‘ameba pemakan otak’ kerana berupaya menyebabkan kerosakan kepada otak melalui jangkitan sistem saraf tunjang dan berupaya untuk masuk ke dalam badan manusia melalui hidung semasa aktiviti berkaitan air tawar.

    Semalam, Korea Selatan telah melaporkan kes pertama jangkitan itu membabitkan seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 50-an yang meninggal dunia pada 21 Dis selepas menetap selama empat bulan di sebuah negara Asia Tenggara sebelum kembali ke republik itu pada 10 Dis lepas.

    “Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memantau rapi situasi jangkitan Naegleria Fowleri di dalam dan luar negeri dari semasa ke semasa bagi menjamin kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

    “Selain itu, KKM juga komited dalam memberikan informasi yang tepat dan responsif sekiranya terdapat perkembangan terbaharu tentang penyakit tersebut,” kata Dr Noor Hisham.

    Menjelaskan lanjut, beliau berkata gejala PAM pada peringkat awal menyerupai gejala meningitis yang disebabkan oleh bakteria atau virus lain seperti sakit kepala, demam, loya, atau muntah.

    Katanya. gejala yang lebih serius seperti kekakuan leher, kekeliruan, kurang kesedaran terhadap orang serta sekeliling, sawan, halusinasi dan koma juga boleh berlaku dan kebiasaannya, gejala ini muncul sekitar lima hari selepas jangkitan (tempoh inkubasi) dan seawal satu hari atau selewat-lewatnya 12 hari selepas dijangkiti.

    “Keadaan pesakit juga boleh bertambah teruk dengan cepat iaitu dalam tempoh lima hari dan kematian boleh berlaku dalam tempoh satu hingga 18 hari daripada onset gejala,” katanya.

    Menurut Dr Noor Hisham, penyakit tersebut didiagnosis melalui pengesanan asid nukleik Naegleria Fowleri dalam cecair tulang belakang atau tisu otak individu yang dijangkiti dan rawatannya adalah dengan pemberian gabungan ubat-ubatan namun sangat terhad disebabkan perkembangan penyakit berlaku sangat cepat. – BERNAMA