Category: Umum

  • Indonesia kurangkan eksport minyak sawit untuk bekalan tempatan

    Indonesia kurangkan eksport minyak sawit untuk bekalan tempatan

    INDONESIA, pengeluar minyak sawit terbesar dunia akan mengurangkan eksport komoditi itu dan mengetatkan dasar yang menetapkan syarikat menyimpan lebih banyak bekalan dalam negara.

    Kerajaan mengurangkan jumlah yang boleh dieksport oleh pengeluar kepada enam kali ganda keperluan jualan domestik berbanding lapan kali ganda pada masa ini, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA) memetik kenyataan Budi Santoso, Ketua Pengarah Perdagangan Luar di Kementerian Perdagangan Indonesia.

    Perubahan itu berkuat kuasa mulai 1 Jan, katanya.

    VNA juga melaporkan Firman Hidayat, seorang pegawai di Kementerian Penyelarasan Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, berkata kerajaan Indonesia mahu memastikan bekalan domestik mencukupi semasa cuti Ramadan dan Aidilfitri pada April memandangkan pengeluaran akan merosot mengikut musim pada suku pertama.

    Pengurangan eksport minyak sawit di Indonesia sebaliknya telah menjejaskan harga di Malaysia, pengeksport kedua terbesar dunia bagi komoditi itu.

    Langkah itu mungkin mendorong Malaysia untuk menaikkan harga dan eksport. – BERNAMA 

  • Pakar ekonomi, mufti tepis kebimbangan penutupan pusat judi di Kedah

    Pakar ekonomi, mufti tepis kebimbangan penutupan pusat judi di Kedah

    KEPUTUSAN Kedah untuk menutup operasi premis judi di negeri itu dijangka tidak akan mendatangkan sebarang impak negatif atau menjejaskan pendapatan kerajaan negeri, kata pakar ekonomi.

    Menurut Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) Putra Business School Ahmed Razman Abdul Latiff, langkah itu dipercayai hanya akan memberi impak minimum terhadap ekonomi negeri utara itu memandangkan golongan bukan Islam yang menetap di Kedah dianggarkan kurang daripada 300,000 orang.

    Selain itu katanya, daripada jumlah terbabit, mungkin kurang daripada 50,000 dikategorikan sebagai pelanggan pusat perjudian di negeri itu.

    “Hasil daripada cukai taksiran dan permit perniagaan boleh digantikan dengan perniagaan lain.

    “Oleh itu, tiada impak kepada hasil kerajaan negeri dan pelabur tidak melihat industri perjudian sebagai penting di Kedah yang mana majoriti penduduknya adalah beragama Islam,” katanya kepada MalaysiaNow.

    Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan penutupan operasi premis judi di seluruh negeri itu bermula Januari 2023 selepas kerajaan negeri memutuskan untuk tidak memperbaharui lesen operasi.

    Langkah ini mengikut jejak daripada Kelantan dan Terengganu, manakala Perlis masih belum membuat keputusan untuk melaksanakan tindakan sama.

    Keputusan itu mengundang reaksi bercampur dalam kalangan masyarakat yang mana golongan Islam terutamanya amat menyambut baik tindakan itu.

    Bagaimanapun terdapat juga reaksi negatif daripada beberapa pihak termasuk parti DAP yang memohon supaya kerajaan negeri mempertimbangkan keputusan tersebut.

    Menurut setiausaha DAP negeri itu, Teh Swee Leong, tindakan kerajaan negeri dijangka akan memberi lebih banyak masalah kepada masyarakat kerana ia mampu menggalakkan aktiviti perjudian haram.

    Menjawab kepada ulasan ini, Sanusi dalam kenyataan terbaharunya kekal dengan pendirian untuk hentikan operasi judi dan loteri di negeri itu meskipun ia mampu meraih jutaan ringgit.

    Mengulas daripada aspek agama, Mufti Negeri Sembilan Mohd Yusof Ahmad berkata, tindakan itu adalah tepat dengan ajaran agama yang wajib dilaksanakan pemimpin Islam.

    “Ya wajib. Ini bererti pemerintah wajib berhenti menguruskan perbuatan yang ditegah dalam agama Islam,” katanya kepada MalaysiaNow.

    Ditanya sama ada tindakan itu ibarat melanggar hak orang bukan Islam, beliau menjawab “Allah tidak menjadikan perkara haram sebagai hak kepada sesiapa pun”.

  • Syamsul lerai kontroversi, sahkan nikahi Ira hari ini

    Syamsul lerai kontroversi, sahkan nikahi Ira hari ini

    PENGARAH kontroversi, Syamsul Yusof, 39, akhirnya meleraikan spekulasi apabila mengesahkan berkahwin dua dengan wanita pilihannya, Ira Kazar di Thailand, hari ini.

    Lapor Berita Harian, Syamsul berkongsi berita gembira itu menerusi video dimuat naik dalam laman Instagram (IG), sebentar tadi.

    Majlis akad nikah Syamsul dan Ira berwalikan bapa Ira yang juga pelakon veteran, Kazar Saisi.

    “Hari ini saya bergelar suami Ira dengan berwalikan bapanya, Saisi. Ira kini sah menjadi isteri saya di sisi syarak dan Allah,” katanya.

    Syamsul mengucapkan terima kasih kepada masyarakat yang bersabar menanti perkembangan terbaru termasuk isu rumah tangganya.

    “Penghujungnya, saya kena beri penjelasan terhadap setiap persoalan.

    “Seperti dikatakan, saya akan meletakkan titik noktah terhadap isu rumah tangga yang tidak sepatutnya di kongsi dalam media sosial, tetapi nak buat macam mana.

    “Saya bernikah secara sah dengan Ira di Thailand. Ada sebab saya memilih berkahwin di sini bagi memudahkan beberapa perkara.

    “Perkahwinan kami juga sudah didaftarkan, syukur Alhamdulillah,” katanya menerusi video berkenaan.

    Pengarah filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan itu mengakui, Puteri Sarah Liyana masih isterinya yang sah.

    “Saya mahu menegaskan Puteri Sarah masih isteri saya. Kepada Puteri Sarah, saya mengharapkan kepulangan awak.

    “Pulanglah ke rumah agar kita dapat berbincang dan tak perlu dihebahkan dalam media sosial. Bawa anak-anak kita balik.

    “Apa sahaja kita berbincang di rumah tanpa perlu mengaibkan saya.

    “Terus-terang, bawa anak-anak ke sana sini tanpa keizinan suami, sedangkan saya masih suami awak.

    “Saya tak nak cakap lebih, fikir-fikirkanlah,” katanya.

    Syamsul berkata, dia juga tidak berniat membelakangkan keluarganya.

    “Tak pernah terlintas membelakangkan keluarga, Saya harap doa baik-baik daripada ibu bapa, adik-beradik dan keluarga.

    “Saya berdoa keputusan yang saya buat dirahmati dan dilindungi Allah daripada segala fitnah, hasad dengki serta niat jahat.

    “Paling penting, saya mengharapkan doa terbaik. Saya bukan manusia sempurna, ada masanya melakukan kesilapan,” katanya.

  • Jakim siasat pegawainya berceramah kutuk kerajaan

    Jakim siasat pegawainya berceramah kutuk kerajaan

    JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan pihaknya sudah memulakan siasatan berhubung video ceramah tular daripada seorang pegawainya yang dipercayai menimbulkan reaksi tidak senang orang ramai.

    Jakim menerusi kenyataan berkata, kakitangan berkenaan sudah dipanggil untuk siasatan lanjut.

    Menurutnya, Jakim juga sudah memulakan prosiding tatatertib terhadap pegawai berkenaan dan tidak akan berkompromi dengan sebarang perlakuan yang mencemarkan nama baik perkhidmatan awam.

    “Pihak pengurusan tertinggi Jakim sedar akan video tular ceramah yang disampaikan oleh seorang pegawai itu yang dilihat mengundang kemarahan netizen,” katanya, lapor Harian Metro.

    Terdahulu, tular video di aplikasi TikTok memaparkan seorang pegawai Jakim berjawatan Penolong Pengarah Kanan yang juga seorang penceramah mengutuk Kerajaan Perpaduan.

    Ceramah berkenaan juga dipercayai dirakam di sebuah masjid di Selangor pada 2 Januari lalu yang mengandungi perihal lagu ‘Hoi, hoi ya hoi’ yang dijadikan bahan politik sebuah parti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang lalu.

    Tindakan berkenaan mengundang ketidakpuasan hati netizen yang mengecam tindakan penceramah menjadikan masjid sebagai tempat berpolitik dan mengutuk kerajaan.

  • ‘Langkah Kinabalu’: Kabinet Sabah dirombak, Bung dijangka jadi ‘korban’

    ‘Langkah Kinabalu’: Kabinet Sabah dirombak, Bung dijangka jadi ‘korban’

    KETUA Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor dijangka merombak Jemaah Menterinya selepas cubaan menggulingkan pentadbiran GRS semalam gagal menjadi kenyataan.

    Timbalannya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang dikaitkan dengan cubaan itu yang digelar ‘Langkah Kinabalu’ dijangka menjadi korban dalam rombakan berkenaan.

    Free Malaysia Today memetik sumber yang dekat dengan Hajiji berkata, ada kemungkinan ketua UMNO Sabah itu digugurkan, bersama Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Jafry Ariffin.

    Namun katanya, tidak semua pemimpin BN Sabah akan digugurkan.

    “Hal ini dibincangkan semalam. Bukan bercerai dengan BN Sabah. Hajiji hanya mahu pastikan kerajaan terus berfungsi,” kata sumber itu.

    Sumber itu juga memberitahu bahawa, pengerusi Gabungan Rakyat Sabah itu akan membawa masuk ADUN Pakatan Harapan Sabah ke dalam Jemaah Menteri.

    Terdahulu, dilaporkan tujuh ADUN UMNO Sabah termasuk timbalan Bung, Yakub Khan, bertemu Hajiji semalam.

    “Selain tujuh orang itu, sekurang-kurangnya tiga ADUN Warisan pun ada bertemu Hajiji,” kata sumber itu, yang enggan berkongsi butiran perbincangan itu.

    Adalah difahamkan bahawa Hajiji akan bertemu Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Jeffrey Kitingan, hari ini. STAR mempunyai enam wakil rakyat.

    Dalam pada itu, Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking berkata partinya membuat keputusan untuk tunggu dan lihat.

    Himpunan para ADUN UMNO Sabah di ibu pejabat parti itu di Kota Kinabalu semalam mencetuskan khabar angin tentang suatu kerjasama dengan Warisan untuk menyingkir Hajiji.

    Presiden Warisan, Shafie Apdal, membatalkan sidang media pada 4.30 petang selepas dua jam tertangguh.

    Terdahulu, ADUN GRS dan Pakatan Harapan mengikrar sokongan kepada Hajiji.

  • LCS: Aktivis persoal kenyataan ‘pusingan-U’ Anwar

    LCS: Aktivis persoal kenyataan ‘pusingan-U’ Anwar

    SEORANG aktivis Kua Kia Soong menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi penjelasan mengapa kerajaan memutuskan untuk meneruskan projek kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM9 bilion yang dibayangi skandal.

    Bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya itu berkata, semasa Anwar menjadi ketua pembangkang, beliau menggesa supaya fasa seterusnya projek LCS dimansuhkan dengan berkata, dana itu perlu dialihkan untuk membantu rakyat sebaliknya.

    “Anwar berkata jelas terdapat penyelewengan dana dan ketirisan serta ‘rasuah besar-besaran’.

    “Anwar telah meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menyiasat semua yang berkenaan, termasuk menteri pertahanan dan ketua setiausaha kementerian,” katanya dalam satu kenyataan.

    Kia Soong berkata, projek-projek kontroversi itu berlaku semasa pentadbiran Barisan Nasional dahulu jadi persoalannya sekarang adalah apa yang akan dilakukan oleh jaguh ‘Reformasi’ mengenainya.

    “Dengan meneruskan projek LCS ini dan dikendalikan oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), Anwar pada dasarnya telah kembali kepada pendiriannya sebelum PRU15 semasa beliau menjadi ketua pembangkang,

    “Oleh itu beliau perlu memberi penjelasan penuh kepada rakyat Malaysia mengenai perkara ini dan memberi jaminan bahawa kita akan sampai ke bahagian bawah skandal ini yang melibatkan timbalannya Ahmad Zahid Hamidi,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Semalam, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerajaan perpaduan akan meneruskan projek LCS bermasalah bernilai RM9 bilion.

    Menurut Bernama, Mohamad berkata, pembinaan kapal itu akan diteruskan sebagai sebahagian daripada pengukuhan pertahanan negara dan tentera laut.

    Projek itu menjadi tumpuan tahun lalu selepas Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan bahawa tidak ada satu kapal pun telah disiapkan walaupun Putrajaya telah membelanjakan RM6.08 bilion untuknya.

    Pada Mac tahun lalu, pentadbiran kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob memutuskan untuk meneruskan projek itu, sebelum PAC dikeluarkan pada Ogos.

    Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, yang menyiasat projek itu, telah mengesyorkan supaya beberapa individu didakwa.

  • KKM tawar 4,914 jawatan tetap tahun ini

    KKM tawar 4,914 jawatan tetap tahun ini

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menawarkan 4,914 jawatan tetap bagi tahun ini, merangkumi 4,263 perjawatan bagi pegawai perubatan, 335 pegawai pergigian dan 316 pegawai farmasi.

    Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata permohonan untuk mengisi perjawatan berkenaan dibuka mulai hari ini hingga 21 Jan menerusi portal https://spa9.spa.gov.my.

    Berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 KKM di sini hari ini, Dr Zaliha berkata Pengarah Kesihatan Negeri disaran membuat penjajaran perjawatan atau sumber manusia dengan pusingan kerja, sebagai contoh menempatkan pegawai dari klinik kesihatan ke hospital bagi mengelakkan kejadian burnout atau lesu upaya pegawai.

    Beliau turut mencadangkan agar Pengarah Kesihatan Negeri meneliti semula keperluan untuk melanjutkan waktu pengoperasian klinik kesihatan bagi mengatasi isu kesesakan di Jabatan Kecemasan.

    “Ia bagi mengalihkan pesakit yang dikategorikan sebagai kes bukan kritikal untuk dirawat di klinik-klinik berkenaan dan bukan di Jabatan Kecemasan,” katanya dan menambah Laporan Ketua Audit Negara 2019 mendapati kesesakan berlaku di Jabatan Kecemasan dengan tempoh menunggu melebihi enam jam disebabkan kes bukan kritikal.

    Mengenai peruntukan KKM dalam Belanjawan 2023 yang disemak yang akan dibentangkan pada 24 Feb ini, Dr Zaliha optimis kementerian itu akan menerima peruntukan lebih tinggi tahun ini berbanding RM32.41 bilion yang diterima pada 2022.

    Bagi tahun ini, katanya KKM menjangkakan lebih 30 projek pembangunan fasiliti kesihatan dapat diserah dan dijangka beroperasi antaranya Hospital Pendang (Kedah) dan Hospital Kemaman (Terengganu).

    “Dengan siapnya projek ini, diharap perkhidmatan kesihatan yang lebih baik akan dapat diberikan dan memenuhi keperluan penduduk di kawasan berkenaan,” katanya.

    Dalam pada itu, Dr Zaliha berkata KKM akan melaksanakan kembali pemberian vaksin virus papiloma manusia (HPV) yang dapat mencegah penyakit kanser serviks kepada pelajar tingkatan satu pada tahun ini.

    “Pada 2021, pemberian vaksin itu terpaksa ditangguhkan akibat gangguan bekalan di peringkat global, namun KKM pada Disember lepas telah berjaya membuat perolehan sebanyak 100,000 dos vaksin dan ia telah berada di lapangan,” katanya. – BERNAMA

  • “Sejak bila bekas menteri ada kemudahan kereta,” Radzi persoal Anwar

    “Sejak bila bekas menteri ada kemudahan kereta,” Radzi persoal Anwar

    NAIB Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa bekas menteri Kabinet menikmati kemudahan kereta dari kerajaan.

    Radzi yang menyifatkan kenyataan Anwar sebagai fitnah turut hairan bagaimana Anwar mengumumkan membatalkan perkara itu yang menurutnya tidak wujud.

    “Ini fitnah apa pula? DSAI kata, beliau telah batalkan kemudahan kereta untuk bekas-bekas menteri yang baru ini.

    “Soalnya, sejak bila bekas menteri ada kemudahan kereta? Batalkan perkara yang tak wujud?

    “Bantu banteras fitnah ini, tolong kongsi-kongsikan,” kata ahli Parlimen Putrajaya itu menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

    Beliau turut berkongsi video kenyataan dibuat Anwar mengenai perkara itu baru-baru ini.

    Anwar dipercayai merujuk kenyataan bekas Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad bahawa, perbelanjaan negara boleh dijimatkan sekiranya pencen bekas anggota Jemaah Menteri dimansuhkan.

    Menurut Anwar yang juga menteri kewangan, setakat ini, tindakan yang boleh dilaksanakan sebagai langkah penjimatan adalah membatalkan kemudahan kereta untuk bekas menteri.

    “Setakat ini, (langkah) itu lebih baik (kerana) melibatkan peraturan pentadbiran dan tidak melibatkan Perlembagaan,” katanya.

    Namun Anwar menjelaskan, cadangan memansuhkan atau mengurangkan pencen bekas anggota Jemaah Menteri tidak munasabah kerana perkara berkaitan pencen termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

  • Harga makanan di kantin sekolah naik sehingga 50 peratus

    Harga makanan di kantin sekolah naik sehingga 50 peratus

    HARGA makanan di kantin sekolah meningkat sehingga 50 peratus sejak sesi persekolahan penggal tiga bermula Selasa lalu, didorong peningkatan harga bahan mentah di pasaran.

    Presiden Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah, Khairuddin Hamzah berkata, kenaikan harga itu bagi menampung kos operasi yang semakin meningkat, selain beberapa bahan asas yang menyaksikan peningkatan mendadak.

    Menurutnya, antara menu menyaksikan peningkatan harga adalah roti canai yang dijual pada harga RM1.50 berbanding RM1 pada tahun lepas.

    “Ayam goreng tepung dari RM1 dijual antara RM1.50 dan RM2 manakala nasi lemak dari RM1 kepada RM1.50,” katanya kepada Free Malaysia Today.

    Khairuddin yang juga mengusahakan kantin di sebuah sekolah dekat Semenyih bagaimanapun berkata, beberapa menu utama lain seperti mi goreng, nasi goreng, serta kuih-muih masih mengekalkan harga lama.

    Katanya, kesukaran mendapatkan bekalan bahan mentah seperti telur, gula dan minyak masak juga memberi kesan kepada kelancaran operasi kantin.

    “Di kantin sekolah, kami terikat dengan peraturan makanan dan minuman yang boleh dan tak boleh dijual.

    “Dengan terputusnya bekalan telur, kami kekurangan menu yang boleh dijual pada harga mampu dibeli oleh murid,” katanya, namun menambah situasi itu tidak sampai menjejaskan sebahagian besar aliran tunai mereka.

    Katanya, peningkatan kos operasi kantin juga menyaksikan hampir 50% pengusaha kantin tidak menyambung operasi mereka dan digantikan dengan pengusaha baharu.

    “Berdasarkan proses tender yang berakhir hujung tahun lepas, lebih 40% adalah operator baharu… saya perhatikan banyak sekolah yang sampai tarikh tutup tender masih tiada pemohon, sekolah saya sendiri kalau dulu lebih 10 pemohon tetapi kali ini hanya empat pemohon saja,” katanya.

  • OKU penglihatan buntu cita-cita jadi pensyarah belum tercapai

    OKU penglihatan buntu cita-cita jadi pensyarah belum tercapai

    GURU tuisyen, Chow Sak Chin menjadi insan yang paling gembira selepas berjaya menggenggam ijazah kedoktoran pada awal tahun lepas, meskipun berdepan pelbagai kesukaran sebagai orang kurang upaya (OKU) penglihatan.

    Hilang penglihatan akibat kemalangan pada 1996, beliau bangkit daripada kegelapan untuk menamatkan pengajian dalam bidang pendidikan khas di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kampus Tanjung Malim.

    Chow, 45, mempunyai harapan menggunung untuk menjadi seorang pensyarah bagi membantu insan sepertinya menimba ilmu pengetahuan dan berjaya dalam kehidupan.

    Bagaimanapun, bapa kepada dua anak itu buntu kerana sehingga kini, masih belum menerima sebarang tawaran berkhidmat sebagai pensyarah walaupun banyak permohonan dihantar ke institut pengajian tinggi sejak Jun tahun lepas.

    “Saya OKU, jadi saya lebih memahami golongan ini sekiranya dilantik menjadi pensyarah dalam bidang pendidikan khas tetapi malangnya tidak diberikan peluang…banyak panggilan dibuat dan e-mel dihantar kepada pelbagai pejabat dan agensi tetapi tiada respons,” katanya kepada pemberita di sini.

    Chow berkata beliau kini meneruskan kerjayanya sebagai guru tuisyen bahasa Inggeris sejak 11 tahun lepas di sebuah pusat tuisyen di sini.

    Katanya beliau berupaya mengajar pelajar dengan baik menggunakan teknologi seperti aplikasi pembaca skrin pada komputer dan peralatan untuk proses pengajaran dan pembelajaran.

    “Saya sudah lebih sedekad menjadi guru tuisyen, ibu bapa juga yakin dengan saya untuk mendidik anak-anak mereka,” katanya.

    Masih menyimpan hasrat untuk menjadi pensyarah, Chow berharap para majikan dapat memberikan peluang pekerjaan kepada golongan OKU terutama yang berpelajaran dan berkelayakan. – BERNAMA