Category: Umum

  • Agihan bantuan banjir: Kerajaan Pusat perlu hayati, hormati Perlembagaan

    Agihan bantuan banjir: Kerajaan Pusat perlu hayati, hormati Perlembagaan

    KERAJAAN negeri Terengganu berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak akan mengamalkan politik sengketa dalam hubungan dengan negeri di bawah pembangkang.

    Bagaimanapun menurut Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar,pendekatan itu terpulang kepada kepimpinan Kerajaan Pusat itu sendiri.

    “Saya tidak mahu komen soal anak tiri atau tidak, tetapi minta Kerajaan Persekutuan menghayati semangat dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan dari segi bidang kuasa jadual bersama antara Kerajaan Pusat dengan Kerajaan Negeri.

    “Segala perbincangan, penyelarasan serta pertemuan perlu dihormati dalam melaksanakan jadual bersama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Banjir Daerah Besut (Kota Putera dan Kuala Besut) di Kota Putera Square, Kampung Raja Besut, di sini, hari ini.

    Ahmad Samsuri mengulas mengenai dakwaan Terengganu dianaktirikan oleh Kerajaan Pusat dalam agihan bantuan kepada mangsa banjir, apabila peruntukan tidak disalurkan menerusi kerajaan negeri, sebaliknya disalurkan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).

    Beliau berkata, namun Kerajaan Perpaduan yang dibentuk ketika ini, belum lagi mencapai 60 atau 100 hari.

    “Kita percaya mereka tidak ingin laksanakan politik sengketa, namun terpulang kepada mereka,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Kerajaan Kelantan tak terima bantuan banjir RM50j diumumkan Anwar – MB

    Kerajaan Kelantan tak terima bantuan banjir RM50j diumumkan Anwar – MB

    KERAJAAN Negeri Kelantan mendedahkan tidak menerima bantuan banjir RM50 juta yang sebelum ini diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, sebaliknya bantuan banjir itu disalurkan oleh Kerajaan Pusat kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan.

    “Mengikut janji Perdana Menteri, beliau nak beri bantuan banjir kepada Kelantan RM50 juta dan Terengganu RM50 juta.

    “Sekarang bantuan itu disalurkan kepada JPP. Bagaimana kaedah JPP nak agih kepada rakyat Kelantan, itu kita (kerajaan negeri) tidak tahu,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Pasca Banjir Perikatan Nasional (PN) Sentiasa Bersamamu di Kampung Periok di Tumpat hari ini.

    Yang turut hadir, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

    Dalam lawatan meninjau bencana di Kelantan pada 21 Disember lalu, Perdana Menteri, mengumumkan bantuan segera banjir sebanyak RM100 juta kepada Kelantan dan Terengganu.

    Anwar berkata, bantuan awal itu bagi meringankan beban dua negeri berkenaan.

    “Memandangkan banjir lebih parah dari biasa, saya bersetuju selepas mengadakan perbincangan dengan Jemaah Menteri, kita meluluskan bantuan segera RM50 juta untuk Kelantan dan RM50 juta untuk Terengganu.

    “Bantuan ini bagi membantu kebajikan rakyat di kedua-dua negeri berkenaan yang terkesan banjir,” katanya pada sidang media ketika melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Tengku Panglima Raja, Pasir Mas.

    Menteri Besar Kelantan turut hadir ketika pengumuman itu. Selain Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zainin Husin.

    Anwar dilaporkan berkata, kerajaan juga akan meneruskan bantuan banjir RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah (KIR) yang terkesan.

    “Manakala, bantuan RM10,000 bagi keluarga yang kematian ahli keluarga akibat banjir dan bayaran berkenaan akan diberikan kepada KIR.

    “Mangka banjir berkenaan perlu mendaftar di PPS dan kita serahkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk menguruskan perkara itu,” katanya ketika itu.

    Pada 22 Disember lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika melawat kawasan bencana di Kemaman, mengingatkan supaya bantuan segera RM50 juta yang diberikan Kerajaan Persekutuan kepada Terengganu dan Kelantan digunakan secara berhemah untuk membantu mereka yang terjejas akibat banjir.

    Ahmad Zahid dilaporkan berkata, ia selaras dengan hasrat kerajaan yang menyalurkan peruntukan itu sebagai bantuan awal untuk meringankan beban.

    Beliau berkata, pihaknya akan mengkoordinasi bantuan berkenaan bagi memastikan ia tidak digunakan untuk tujuan lain.

    “Kita mengikut arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan di mana arahan perbendaharaan harus dipatuhi.

    “Saya akan koordinasi bersama-sama dengan NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) dan juga APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) serta agensi-agensi yang lain agar wang bantuan banjir itu digunakan untuk mendepani permasalahan mangsa-mangsa banjir bukan digunakan untuk tujuan-tujuan lain, ” katanya.

  • Kes Covid-19 terkawal, tak perlu tutup pintu sempadan – Dr Zaliha

    Kes Covid-19 terkawal, tak perlu tutup pintu sempadan – Dr Zaliha

    SITUASI semasa kes COVID-19 dalam negara masih terkawal dan  setakat ini tidak memerlukan kerajaan mengambil langkah sehingga menutup sepenuhnya pintu sempadan negara, kata  Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

    Bagaimanapun, menurutnya kerajaan mengambil langkah berjaga-jaga dengan melaksanakan pendekatan tertentu di pintu masuk negara bagi mengekang penularan wabak itu.

    Malah sehingga Selasa lepas belum ada lagi kes jangkitan ataupun yang bergejala dikesan di pintu masuk sempadan, walaupun negara telah menerima kira-kira 7,000 pelancong China, sejak 8 Jan lepas,  katanya  kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Hospital Pendang oleh Kementerian Kerja Raya, di sini hari ini. .

    Turut berangkat menyaksikan majlis penyerahan projek itu ialah Tunku Mahkota Kedah Tunku Shazuddin Ariff Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin.

    Dr Zaliha berkata walaupun jumlah saringan mencecah belasan ribu setiap hari, namun jumlah kes positif yang dikesan seluruh negara adalah rendah.

    Mengenai Hospital Pendang, Dr Zaliha berkata hospital itu akan mula beroperasi pada 15 Feb ini dan dijangka memanfaatkan kira-kira 110,000 penduduk di kawasan sekitar.

    “Ada pelbagai perkhidmatan di hospital ini termasuk kecemasan, pesakit luar dan sebagainya dan ada sebanyak 126 katil keseluruhannya,” katanya.

    Pembinaan Hospital Pendang dimulakan pada Mei 2018 dan siap pada Okt tahun lalu dengan kos keseluruhan sebanyak RM255.27 juta termasuk kos pembinaan, perolehan perubatan dan bukan perubatan.

    Hospital pakar minor itu mempunyai 11 bidang kepakaran antaranya kecemasan, perubatan am, pembedahan am, ortopedik, anestesiologi, radiologi, obstetrik dan ginekologi, pediatrik, patologi serta psikiatri. – BERNAMA

  • Orang muda akan abai UMNO jika tiada pertandingan jawatan tertinggi

    Orang muda akan abai UMNO jika tiada pertandingan jawatan tertinggi

    ORANG muda akan mengabaikan UMNO jika ia tidak membenarkan dua jawatan tertinggi parti itu dipertandingkan, kata seorang penganalisis politik.

    Penganalisis di Universiti Sains Malaysia, Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, ia penting bagi membuktikan UMNO mengamalkan dan menghargai demokrasi.

    “Pertandingan penting kerana ia membuktikan UMNO mengamalkan demokrasi dan menghargainya, walaupun dalam bentuk paling asas iaitu membenarkan pemilihan bagi semua jawatan,” katanya kepada Free Malaysia Today.

    Beliau mengulas seruan bekas ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang mahu jawatan presiden dan timbalan presiden dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

    Semalam, sekumpulan ketua bahagian UMNO menyeru dua jawatan itu tidak dipertandingkan, kerana parti perlu diperkukuhkan menjelang PRN akan datang.

    Fauzi berkata UMNO akan terjejas sekiranya ia tidak membenarkan Zahid dan timbalannya, Mohamad Hasan, dicabar.

    “Ini akan menyahkan sokongan daripada golongan muda. Tidak membenarkan pertandingan hanya mengesahkan usaha penyandang daripada generasi tua untuk terus berkuasa dan memegang jawatan selama mungkin.

    “Prospek UMNO akan jadi kelam,” katanya, dan menambah parti itu kini bukan lagi dalam kedudukan kanan dalam kerajaan, sejak mengalami kemunduran dari 2008.

    “UMNO tidak faham jenama politik reformasi yang menawan pemikiran golongan muda sejak 20 tahun lalu, dan mereka ini yang menyebabkan Umno kalah pada PRU 2018 dan 2022,” katanya.

    Felo Majlis Profesor, Jeniri Amir berkata, pertanidngan untuk jawatan tertinggi penting untuk UMNO kerana imej parti itu dan Zahid tercemar akibat kes-kes di mahkamah.

    “Malah, antara sebab kejatuhan UMNO adalah kepimpinannya. UMNO perlu tukar nakhoda untuk maju ke depan. UMNO tak boleh hidup dalam penafian.

    “Keputusan PRU15 yang mana UMNO sekadar menang 26 kerusi menunjukkan apa persepsi orang awam terhadap parti itu dan kepimpinannya,” katanya kepada FMT.

    Beliau berkata UMNO akan menghantar isyarat yang ia tidak mampu berubah dan enggan berubah demi memuaskan hati pemimpin semasa.

  • Zahid maafkan 10 MP BN tandatangan SD, tapi akan pantau

    Zahid maafkan 10 MP BN tandatangan SD, tapi akan pantau

    LEMBAGA Disiplin Barisan Nasional (BN) akan memantau 10 Ahli Parlimen daripada gabungan itu yang dikenal pasti menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menyokong pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Menurut Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pemantauan itu bertujuan untuk mengenal pasti sekiranya kumpulan 10 Ahli Parlimen terbabit terus menggerakkan langkah untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

    Beliau bagaimanapun memaklumkan sudah memaafkan semua 10 Ahli Parlimen BN yang bertindak menyokong Muhyiddin itu.

    “Oleh kerana perkara itu sudah berlalu dan kini mereka bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan, saya nyatakan bahawa saya sudah memaafkan apa yang berlaku.

    “Jadi Lembaga Disiplin akan lakukan pemantauan terhadap pendirian mereka sama ada akan lakukan sebarang gerakan.

    “Tetapi saya yakin mereka akan bersama dengan UMNO dan BN serta mendukung Kerajaan Perpaduan yang ada sekarang,” katanya selepas merasmikan Pavilion Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Persidangan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini, lapor Berita Harian.

    Zahid ketika berucap pada sesi taklimat khas Presiden UMNO yang diadakan secara tertutup sempena PAU 2022 semalam mendedahkan 10 Ahli Parlimen BN termasuk daripada UMNO yang menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menyokong pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri selepas PRU15.

    Sumber pemimpin UMNO berkata, Ahmad Zahid memperincikan kawasan diwakili Ahli Parlimen berkenaan tanpa menyebut nama mereka, dengan empat daripadanya dikatakan dari Johor.

    Dalam pada itu, Ahmad Zahid percaya tindakan diambil 10 Ahli Parlimen terbabit disebabkan situasi politik ketika itu yang tidak menentu.

  • Tandatangan SD sokong Muhyiddin jadi PM bukan khianat parti, kata Jalaluddin

    Tandatangan SD sokong Muhyiddin jadi PM bukan khianat parti, kata Jalaluddin

    AHLI Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, tindakan 10 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) termasuk enam daripada UMNO, menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), bukan membelakangkan atau mengkhianati parti.

    Beliau yang juga seorang daripada 10 Ahli Parlimen berkenaan menegaskan, tindakannya menandatangani SD menyokong Muhyiddin adalah selaras dengan naratif parti pada ketika itu.

    Jelas beliau, selepas UMNO dan BN memutuskan pendirian terakhir untuk menyertai kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, semua 10 Ahli Parlimen terbabit akur dengan terus menarik balik SD berkenaan.

    “Mengenai 10 Ahli Parlimen termasuk saya (menyokong Muhyiddin), ketika itu kita buat satu keputusan berdasarkan naratif parti. Apabila parti buat keputusan akhir untuk menerima kerajaan perpaduan, maka yang 10 itu menarik diri dengan membatalkan SD dan mengikut keputusan parti.

    “Saya tidak fikir itu satu perkara yang membelakangkan parti atau boleh dikatakan mengkhianati parti.

    “Khianat kepada parti ialah kita bersama dengan parti pembangkang untuk mengalahkan calon BN ketika kita menghadapi PRU15. Itu khianat kepada parti.

    “Ketika kita menghadapi PRU15, kita berusaha sebaik mungkin untuk menangkan BN. Saya bertanding atas BN. Apabila parti buat keputusan, kita akur,” katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

    Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan 10 Ahli Parlimen BN termasuk daripada UMNO menandatangani SD menyokong pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri selepas PRU15.

    Selain Jalaluddin, mereka adalah Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup; Datuk Adnan Abu Hassan (Kuala Pilah); Datuk Shamshulkahar Deli (Jempol); Hasni Mohammad (Simpang Renggam); Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (Lipis); Datuk Isam Isa (Tampin); Datuk Seri M Saravanan (Tapah), Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (Ayer Itam) dan Datuk Seri Wee Jack Seng (Tanjong Piai).

    Pendedahan itu dibuat Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri, ketika berucap pada sesi taklimat khas Presiden UMNO yang diadakan secara tertutup sempena Persidangan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) di WTC Kuala Lumpur.

    Mengulas lanjut Jalaluddin berkata, 10 Ahli Parlimen itu hanya boleh dianggap mengkhianati parti sekiranya mereka tetap kekal dengan pendirian menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, selepas UMNO dan BN sudah memutuskan menyertai kerajaan perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH).

    “Saya tak nampak sudut negatif dalam ucapan Presiden atau Timbalan Presiden. Kita kena teliti apa isi ucapannya, iaitu UMNO kena bergerak ke hadapan dengan satu konsep perpaduan dan solidariti.

    “Perkara yang sudah berlaku mesti dijadikan satu sempadan dan pengajaran untuk setiap pemimpin serta akar umbi supaya meletakkan parti sebagai satu keutamaan.

    “Ini ucapan yang lebih realistik, futuristik dan memiliki visi yang menampakkan perjalanan ke hadapan yang lebih jelas,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Wanita UMNO minta jawatan Presiden, Timbalan tak dipertanding

    Wanita UMNO minta jawatan Presiden, Timbalan tak dipertanding

    KETUA Wanita UMNO, DatuK Seri Noraini Ahmad berkata, lebih elok jawatan presiden dan timbalan presiden parti itu tidak dipertandingkan.

    Katanya, ini bagi memberi kedua-dua pemimpint teringgi itu memulih dan memperkasakan parti demi survival politik parti dan negara.

    “Sudah tiba masanya untuk kita bersama-sama dengan kepimpinan yang ada, bangkit bersama memulihkan kekuatan parti dan keyakinan rakyat. Membawa UMNO kembali ke landasan perjuangan yang hakiki,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada perwakilan Wanita pada hari kedua Perhimpunan Agung Sayap UMNO, di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

    Noraini turut mengingatkan perwakilan sentiasa patuh, taat dan setia kepada kepimpinan demi perpaduan dan kestabilan parti.

    “Kita harus bersatu hati menerima keputusan kepimpinan dalam merancang strategi kerjasama politik antara parti dalam perjuangan dalam membina negara bangsa yang lebih utuh dan mapan, bukannya bertelagah sesama kita.

    “Keputusan PRU15 wajar kita jadikan iktibar untuk menilai kelemahan, memperbaiki dan merancang strategi yang lebih berkesan, seterusnya kembali bangkit bagi meraih kepercayaan rakyat untuk menghadapi pilihan raya negeri kelak,” katanya.

    Katanya, pembersihan dalaman parti perlu dilakukan secara total tanpa kompromi lagi demi memastikan UMNO melangkah ke hadapan.

    “Dari faktor dalaman, kita kalah akibat sebahagian daripada kita yang tidak pernah berhenti menembak kaki sendiri. Kekurangan ini menginsafkan kita bahawa Wanita memerlukan tekad untuk melangkah ke hadapan.

    “Untuk kita kembali merangkul kekuatan, kembali bangkit dan pulih, kita perlu ‘revamp’ pendekatan, gerak kerja dan pelan tindakan kita untuk memastikan keberkesanan serta kesesuaiannya dengan perubahan zaman,” katanya, lapor Free Malaysia Today (FMT).

    Majlis Kerja Tertinggi UMNO masih belum memutuskan sama ada dua jawatan tertinggi itu akan dipertandingkan pada pemilihan parti, yang mesti diadakan sebelum 19 Mei, atau dalam tempoh enam bulan selepas pilihan raya umum (PRU).

    Semalam, sekumpulan pemimpin UMNO bahagian menggesa Zahid agar tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi parti itu dengan menyatakan parti perlu diperkukuh menjelang PRN di enam negeri.

    Jurucakap kumpulan itu, Ketua UMNO Wangsa Maju Shafei Abdullah mendakwa mereka mewakili 140 ketua bahagian.

  • Hantaran Chang Khim dalam isu arak biadab – Pemuda Pas Selangor

    Hantaran Chang Khim dalam isu arak biadab – Pemuda Pas Selangor

    PEMUDA Pas Selangor menyifatkan hantaran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baru Klang, Datuk Teng Chang Khim di laman Facebook miliknya mengaitkan isu arak dengan solat adalah biadab.

    Menurut Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar, hantaran tersebut jelas menunjukkan Chang Khim sengaja memainkan sentimen agama dengan memperlekehkan umat Islam serta solat.

    “YB Teng Chang Kim nampak gaya ‘banyak masa kosong’ dengan menyibukkan diri dalam isu berkaitan arak sekalipun ia di luar negeri Selangor.

    “Sedangkan isu arak ini jelas perkara mendatangkan kerosakan lebih besar ditambah lagi dengan isu-isu kemalangan jalan raya sehingga ada yang terkorban disebabkan kes mabuk,” katanya menerusi kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian

    Kenyataan Mohamed Sukri itu juga bagi mempertahankan kenyataan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan yang sebelum ini membantah penjualan arak secara terbuka di ruang legar sebuah pusat beli-belah di Seberang Jaya di Pulau Pinang.

    Muhammad Fawwaz turut memuat naik video pertemuannya dengan pihak pengurusan pusat beli-belah tersebut di Facebooknya.

    Dalam pada itu, Mohamed Shukri berkata, pihaknya menyokong dan mempertahankan tindakan Muhammad Fawwaz kerana itu juga antara yang dilakukan Pemuda Pas Selangor dalam isu-isu berkaitan arak dan kes mabuk sama ada membantah, mengkritik serta memberikan solusi.

    “Isunya ialah penjualan arak secara terbuka dan inilah yang ditentang, sama ada berbentuk penjualan mahupun pesta yang dianjurkan dan sebab itu Pemuda Pas Selangor malah seluruh negara pasti akan bangkit menentang hal yang sama.

    “Sebagaimana YB Teng Chang Kim sanggup ‘merentas negeri’ dengan hantaran yang biadab lagi celopar kerana ‘sayang sangat’ pada arak, maka kami Pemuda Pas Negeri Selangor juga bangkit mempertahankan YB Muhammad Fawwaz atas tindakannya dan akidah yang satu.

    “Malunya negeri Selangor kerana sikap YB (Chang Kim) ini yang celopar, biadab serta memperlekehkan solat. Mana pergi Exco lain yang beragama Islam dalam kerajaan negeri Selangor yang lain untuk tegur,” soalnya dalam kenyataan tersebut.

    Tambahnya, sudah jelas dalam banyak kenyataan media sama ada tulisan atau lisan sebelum ini bahawa arak hanya lebih membawa kemudaratan sama ada moral, sahsiah, nyawa malah ekonomi negara.

    Katanya, akal yang waras pasti tidak menerima arak itu sesuatu yang membawa kebaikan yang banyak.

  • Penjualan arak dibenar hanya di kawasan bukan Islam, kata Sanusi

    Penjualan arak dibenar hanya di kawasan bukan Islam, kata Sanusi

    KEDAH mengawal penjualan arak dengan menghadkan penjualannya hanya di kawasan yang didiami oleh orang bukan Islam, kata Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor.

    Menurutnya, penjualan arak hanya boleh dilakukan di premis yang dibenarkan dengan populasi besar penduduk bukan Islam sahaja.

    “Orang bukan Islam diberi kebenaran untuk minum arak tetapi ia tidak boleh dijual secara terbuka di tempat-tempat lain seperti di kampung-kampung.

    “Kerajaan negeri komited menghadkan penjualan minuman keras serta memastikan penjualannya tidak melebihi keperluan,” katanya kepada Harakahdaily.

    Keputusan mengawal penjualan arak dibuat pada 14 Nov 2021 selaras dengan larangan kerajaan negeri terhadap operasi perjudian berlesen.

    Mengulas lanjut, Sanusi berkata, langkah kawalan penjualan itu bagi mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan pada masa sama tidak menafikan hak orang bukan Islam untuk minum arak.

    “Saya mahu orang ramai terkawal daripada perkara seumpama itu seperti mabuk.

    “Tapi sebaiknya tak payahlah minum walaupun tiada larangan kepada non Muslim kerana alkohol tetap tidak baik,” katanya lagi.

    Sanusi juga menjelaskan penjualan arak di pulau bebas cukai Langkawi bukan di bawah bidang kuasa kerajaan Kedah, sebaliknya tanggungjawab Kementerian Kewangan.

  • Pemuda Pas sokong angkat teks BM jadi versi rasmi Perlembagaan Persekutuan

    Pemuda Pas sokong angkat teks BM jadi versi rasmi Perlembagaan Persekutuan

    DEWAN Pemuda Pas menyokong penuh cadangan Peguam Negara agar kerajaan menjadikan Perlembagaan Persekutuan edisi Bahasa Melayu (BM) sebagai versi rasmi menggantikan teks asal dalam Bahasa Inggeris.

    Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, tindakan itu selaras dengan Perkara 160B Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan bahawa sekiranya terdapat percanggahan atau perselisihan antara teks Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris, maka teks Bahasa Kebangsaan sepatutnya mengatasi teks Bahasa Inggeris.

    Tambahan pula katanya, teks sahih Perlembagaan Persekutuan dalam Bahasa Kebangsaan telahpun wujud dan telah dilancarkan oleh Yang di-Pertuan Agong semenjak 2003 lagi.

    “Maka, ini bukan lagi persoalan terjemahan. Ini soal perlaksanaan agar menjadikan teks Perlembagaan Persekutuan dalam Bahasa Malaysia sebagai versi muktamad yang akan dirujuk oleh semua.

    “Pelaksanaan ini adalah suatu tindakan yang baik dan wajar disambut oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia. Usaha ini selari dengan pemerkasaan Bahasa Kebangsaan yang menjadi sebahagian daripada identiti negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) mencadangkan kepada kerajaan supaya preskripsi Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa Melayu menjadi teks rasmi selaras Perkara 160B Perlembagaan Persekutuan.

    Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dalam ucapan pada pembukaan Tahun Perundangan 2023 berkata, pihaknya juga bercadang untuk mencetak semula Perlembagaan Persekutuan bagi memasukkan pindaan perlembagaan bersejarah yang terkini mengikut Perkara 160A Perlembagaan Persekutuan.

    Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) berkata, usaha menjadikan versi Perlembagaan Persekutuan edisi Bahasa Melayu sedikit sebanyak dapat menjernihkan lagi kekeliruan yang berlaku di mahkamah.

    Katanya, ia juga memberi penafsiran yang lebih tepat terhadap peruntukan Perlembagaan, serta tidak mengenepikan semangat sebenar Perlembagaan Persekutuan yang mengangkat Islam sebagai agama Persekutuan, serta aspirasi perjanjian sosial yang sudah lama termeterai.

    “Justeru itu, Pemuda Pas menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar memberikan sokongan penuh kepada usaha yang baik ini,” katanya.