Category: Sukan

  • Sukma XX, MSN 2022 dianjur hujung September

    Sukma XX, MSN 2022 dianjur hujung September

    TEMASYA Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 yang tertangguh sejak dua tahun lalu berikutan pandemik COVID-19, akhirnya bakal dianjurkan bermula 29 September hingga 8 Oktober tahun ini di sekitar Lembah Klang.

    Majlis Sukan Negara(MSN) dalam kenyataan hari ini menyatakan, edisi kali ini yang dikenali sebagai ‘SUKMA XX, MSN 2022’ akan mempertandingkan 31 jenis sukan, iaitu 16 sukan wajib dan 15 sukan pilihan, selain dua sukan demonstrasi – silambam dan kabaddi.

    Menurut kenyataan itu, mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma pada hari ini turut bersetuju dengan ketetapan mengekalkan peraturan dan syarat had umur yang telah dipersetujui sebelumnya, bagi edisi kali ini.

    Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam kenyataan itu berkata penganjuran edisi kali ini oleh Kementerian Belia dan Sukan menerusi MSN, telah disokong dan diluluskan mesyuarat Jemaah Menteri pada 23 Februari lepas.

    “Ia demi memastikan pembangunan sukan di peringkat negeri dilaksanakan secara konsisten, agar negara tidak ketandusan atlet yang bakal jadi pengganti untuk bersaing di peringkat tertinggi,” katanya.

    Bagaimanapun, jumlah akhir acara yang bakal dipertandingkan tertakluk kepada jumlah penyertaan minimum lapan negeri untuk setiap sukan dan acara, dan ia akan diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Sukma dalam masa terdekat.

    Jawatankuasa Tertinggi Sukma juga bersetuju agar Sukan Para SUKMA XX, MSN 2022 dilangsungkan daripada 29 Oktober hingga 6 November ini.

    Sukma ke-20 yang sepatutnya berlangsung di Johor bermula 6-14 Mac 2020 telah ditunda beberapa kali susulan pandemik, sebelum diputuskan untuk dianjurkan MSN di Lembah Klang.

    Berikutan itu, beberapa pihak meminta penganjur supaya meningkatkan had umur edisi kali ini kepada 23 tahun berbanding 21 tahun ke bawah, kerana atlet sudah mula membuat persediaan sejak sebelum pandemik.

    Johor bagaimanapun akan menganjurkan temasya berkenaan pada 2024.- Bernama

  • Tunjuk perasaan ganggu perlawanan Everton vs Newcastle

    Tunjuk perasaan ganggu perlawanan Everton vs Newcastle

    PERLAWANAN Liga Perdana Inggeris antara Everton dan Newcastle United pada Khamis terpaksa dihentikan seketika gara-gara insiden tunjuk perasaan.

    Seorang pemuda yang memakai baju oren dengan perkataan “Just Stop Oil” bertindak menceroboh padang bola dan mengikat lehernya pada tiang gol menggunakan pengikat kabel ketika minit ke-49 perlawanan, lapor Agensi Anadolu.

    Perlawanan disambung semula lapan minit kemudian selepas kabel itu berjaya dipotong.

    Seorang lagi penunjuk perasaan dari kumpulan sama cuba melakukan aksi serupa ketika perlawanan Liverpool menentang Arsenal pada Rabu tetapi berjaya dihalang pegawai bertugas.

    Kumpulan penunjuk perasaan yang digelar “Just Stop Oil” membantah penerokaan bahan api fosil baharu United Kingdom di Laut Utara.

    Everton, berjaya menewaskan Newcastle United 1-0 hasil jaringan lewat Alex Iwobi ketika waktu kecederaan. – BERNAMA

  • Saudi Media Group tawar £2.7 bilion pembelian Chelsea

    Saudi Media Group tawar £2.7 bilion pembelian Chelsea

    SAUDI Media Group telah menawarkan sebanyak £2.7 billion untuk pembelian kelab juara Eropah, Chelsea.

    Selepas pemilik mereka Roman Abramovich dibekukan asetnya oleh kerajaan United Kingdom kerana penjajahan Rusia ke atas Ukraine, Chelsea kini terdesak mencari pemilik baharu bagi menampung kos kelab mereka.

    Sabtu lalu, Liga Perdana telah menyingkirkan oligarki Russia itu sebagai Pengarah Chelsea.

    Chelsea kini perlu membayar gaji mingguan mencecah £28 juta (RM153 juta) dan kerajaan menetapkan sekatan bajet maksimum £20,000 untuk kos pengangkutan dan penginapan.

    Sekatan tersebut akan ditarik balik jika kelab London barat melepasi Lille di dalam Champions League pada awal pagi esok.

    Sebanyak tiga daripada penaja Chelsea iaitu Hyundai, Three dan Zapp menarik balik urusan mereka dengan kelab tersebut dan sekali gus meninggalkan Chelsea dalam krisis kewangan yang lebih mendalam.

    Chelsea kini beroperasi dibawah lesen khas yang diberikan oleh kerajaan mereka sehingga hujung musim namun masa depan mereka selepas tempoh tersebut kurang jelas.

    Kelab tersebut perlu mencari pemilik baharu mencecah musim panas untuk mengelak pembubaran.

  • Kemelut sepak takraw:KBS, PJS bincang cari penyelesaian terbaik

    Kemelut sepak takraw:KBS, PJS bincang cari penyelesaian terbaik

    MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkembangan sukan sepak takraw dan menjaga aktiviti melibatkan pemain jauh lebih penting berbanding permasalahan politik persatuan.

    Beliau berkata, dengan wujudnya dua entiti sepak takraw di peringkat kebangsaan pada masa ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan berbincang dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) untuk mencari penyelesaian yang terbaik.

    “Apabila perkara sebegini berlaku, kita kena melihat juga badan manakah yang mendapat pengiktirafan lebih tinggi di peringkat Asia dan dunia.

    “Tetapi akhirnya, apa yang KBS dan kerajaan perlu pastikan ialah sukan itu berkembang, maju dan aktiviti-aktiviti bagi atlet sepak takraw seperti pertandingan terjaga,” katanya memetika laporan Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas perhimpunan mesra bulanan KBS di Institut Sukan Negara (ISN), hari ini.

    Kemelut sepak takraw negara bermula apabila Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) menyingkirkan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) pada Mei 2021.

    Ia susulan tindakan presidennya ketika itu, Datuk Seri Ahmad Ismail atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden ASTAF, menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada 24 Februari.

    Ahmad, yang lebih dikenali sebagai ‘Tok Mat’ kemudian melepaskan jawatannya dalam PSM pada Jun lepas, diikuti dengan beberapa usaha dan penambahbaikan dibuat oleh persatuan itu dengan harapan untuk kembali mendapat keahlian ASTAF, namun, ASTAF pada awal bulan ini menegaskan tidak menerima PSM sebagai ahli gabungannya.

    Berikutan itu, PJS membenarkan penubuhan entiti baharu dikenali sebagai Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) untuk mendapat kepercayaan ASTAF dan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) sebagai wakil Malaysia di peringkat antarabangsa.

    Ahmad Faizal berkata, beliau belum berjumpa dengan kepimpinan baharu PSM, yang dilaporkan berkata mahu menemuinya

  • Cari punca pasukan belasahan boleh atasi Malaysia – Faizal Azumu

    Cari punca pasukan belasahan boleh atasi Malaysia – Faizal Azumu

    PASCANILAI perlu dilakukan untuk mencari punca kekalahan pasukan Bawah-23 tahun (B-23) kebangsaan kepada Laos pada Kejohanan B-23 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 di Phnom Penh, Kemboja.

    Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata pihak bertanggungjawab khususnya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), perlu mengkaji bagaimana pasukan yang sebelum ini kurang menyerlah dalam arena bola sepak Asia Tenggara, boleh mengejutkan Malaysia kali ini.

    “Saya berasa semua pihak terlibat dengan bola sepak perlu mencari jalan dan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mengembalikan kegemilangan sukan bola sepak di negara ini,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan mesra bulanan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Institut Sukan Negara (ISN) hari ini.

    Skuad bimbingan Brad Maloney tersingkir di peringkat Kumpulan B kejohanan itu, selepas dua kali tewas kepada Laos, iaitu kekalahan 2-1 pada Jumaat lepas dan 2-0 pada malam tadi.

    Format kejohanan terpaksa diubah apabila dua lagi pasukan dalam kumpulan berkenaan iaitu juara bertahan Indonesia dan Myanmar menarik diri susulan pandemik COVID-19, menyaksikan Malaysia perlu bertemu Laos sebanyak dua kali, dengan hanya satu pasukan mara ke separuh akhir.

    Ahmad Faizal berkata semua pihak yang terlibat, termasuk pemain dan penyokong, perlu melihat perkara itu secara holistik untuk memulihkan keadaan bola sepak di negara ini.

    “Semata-mata dengan menukar jurulatih, pengurusan atau presiden FAM, tidak memberi apa-apa makna jika keseluruhan ekosistem dalam sukan itu tidak diperbetulkan. Jadi untuk perbetulkan, kita mula dari diri sendiri, sebagai penyokong juga lihat perkara itu dengan cara yang boleh membantu, bukan menentang atau merosakkan,” jelasnya.

    Dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal berharap agar skuad yang beraksi dengan baik di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022, meneruskan momentum kemenangan tersebut pada kejohanan-kejohanan akan datang.

    “Saya melihat dalam sukan badminton, ketahanan mental amat penting, jadi perkara-perkara yang melilbatkan isu luar daripada sukan itu tidak perlu disensasikan agar ketahanan mental para pemain kita sentiasa berada pada tahap terbaik bagi mengatasi mana-mana pemain di dunia ini.

    “Semua pihak termasuk Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan penyokong telah bekerjasama dengan baik, kita ada pasukan baik yang boleh diangkat ke kejohanan-kejohanan lain akan datang, insya-Allah kita akan menjadi antara terbaik dunia,” katanya.

    Pada kejohanan yang berlangsung 15-20 Feb itu, skuad lelaki negara muncul juara selepas menewaskan Indonesia 3-0 pada final, manakala skuad wanita tewas 0-3 kepada Korea Selatan pada pusingan separuh akhir.

    Kejayaan itu juga memastikan skuad negara melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Thomas dan Uber yang dijadualkan Mei ini di Bangkok, Thailand. – Bernama

  • Kerana Covid-19 Indonesia tarik diri Piala AFF B-23

    Kerana Covid-19 Indonesia tarik diri Piala AFF B-23

    SKUAD Bawah-23 Indonesia terpaksa membuat keputusan menarik diri daripada saingan kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 Bawah 23 Tahun (B-23) di Phnom Penh, Kemboja dari 14 hingga 26 Februari ini.

    Keputusan itu dibuat susulan penularan jangkitan Covid-19 yang melanda skuad bimbingan Shin Tae-Yong tersebut.

    Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) dalam kenyataan di laman webnya memaklumkan, tujuh pemain dan seorang pegawai telah disahkan dijangkiti COVID-19.

    Tujuh pemain itu adalah Ronaldo Joybera R. Junior, Muhammad Ferrari, Braif Fatari, Taufik Hidayat, Irfan Jauhari, Ahmad Figo Ramadhani dan Cahya Supriyadi.

    Selain itu, empat lagi pemain iaitu Alfeandra Dewangga, Genta Alparedo, Muhammad Kanu Helmiawan dan Marcelino Ferdinan pula terpaksa menjalani tempoh kuarantin kerana menjadi kontak rapat kepada pemain yang dijangkiti.

    Faktor lain yang membuatkan Indonesia terpaksa menarik diri adalah disebabkan masalah kecederaan dengan tiga pemain iaitu Gunansar Mandowen, Ramai Rumakiek, dan Muhammad Iqbal.

    Ketiga-tiga pemain itu mengalami kecederaan sewaktu tugasan bersama kelab masing-masing di Liga 1 Indonesia.

    Baca artikel berkaitan: Anak buah Maloney siap sedia ‘gempur’ Kemboja

    Keadaan tersebut memaksa Tae-Yong mengusulkan kepada PSSI untuk membatalkan penyertaan Indonesia di Piala AFF B-23 dan diterima badan induk tersebut.

    “Dengan sangat kesal, kami harus membatalkan penyertaan Indonesia di Piala AFF B-23 kerana alasan di atas.

    “Kami meminta maaf kepada semua pihak kerana situasi ini di luar kawalan kami. Saat ini, kami fokus untuk penyembuhan pemain yang dijangkiti COVID-19 dan mengalami kecederaan,” kata Setiausaha Agung PSSI, Yunus Nusi.

    Indonesia merupakan saingan terkuat Malaysia dalam Kumpulan B kejohanan tersebut yang turut menyaksikan Myanmar dan Laos berada dalam kumpulan sama.

    Malaysia sepatutnya bertemu Indonesia dalam perlawanan terakhir pada 21 Februari di Stadium Kebangsaan Morodok Techo, Phnom Penh.

  • Peningkatan kes Covid-19 tidak halang penganjuran Sukma

    Peningkatan kes Covid-19 tidak halang penganjuran Sukma

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENINGKATAN kes Covid-19 bukan satu halangan untuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk meneruskan penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) pada tahun ini.

    Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yakin, penganjurannya boleh dilaksanakan sekiranya mengikut prosedur operasi standard (SOP), namun skala pelaksanaannya tertakluk kepada kebenaran daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    “Saya percaya kalau kita terus menjaga SOP sebagainya, tiada acara yang boleh terganggu.

    “Malangnya ia hanya akan terganggu jika orang ramai tidak patuh kepada SOP
    dan akan menyebabkan banyak jangkitan, dan apabila itu berlaku tentunya akan merencatkan kemeriahan apa juga penganjuran,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Projek Naik Taraf dan Baik Pulih Kompleks Rakan Muda Sukan Air dan Udara, Kota Tinggi, hari ini.

    Beliau mengulas sama ada peningkatan kes Covid-19 akan menjejaskan penganjuran Sukma Kuala Lumpur.

    Sementara itu, beliau memberitahu, tarikh penganjuran Sukma Kuala Lumpur serta acara yang akan dipertandingkan dijangka dapat muktamadkan pada akhir bulan ini.

    “Kita juga masih tunggu memorandum daripada jemaah menteri untuk kita mohon daripada kerajaan agar menyediakan satu jumlah peruntukan untuk kita mengadakan Sukma Kuala Lumpur,” katanya.

    Berkenan keadaan fasiliti bagi Sukma Johor yang bakal diadakan pada 2024, Ahmad Faizal berkata, pihak berkaitan diminta agar sentiasa melakukan penyelenggaraan dan berharap agar fasiliti tersebut dapat digunakan untuk kegunaan ramai.

    “Maintainence kalau pun tidak ada Sukma, kita tetap kena selenggara…saya mohon semua pihak sebagai penyelenggara fasiliti hendak lah menjaga dengan baik.

    “Kerana semua fasiliti kita bina adalah menggunakan kantung (peruntukan) daripada kerajaan dan ia wang rakyat amat perlu kita jaga sebaik mungkin,” katanya.

  • ‘Saya bukan nak ‘jilat’, tiada faedah gantung TMJ’

    ‘Saya bukan nak ‘jilat’, tiada faedah gantung TMJ’

    PEMILIK Kelantan FC, Norizam Tukiman pelik dengan tindakan menggantung Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim susulan kenyataannya terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan pasukan kebangsaan baru-baru ini.

    Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham menyifatkan tiada faedah untuk menggantung pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu hanya kerana memberi pandangan demi kemajuan bola sepak Malaysia.

    “Sekiranya digantung sekali pun, pengurusan kelab tetap akan merujuk kepada Tunku Ismail dalam membuat apa-apa keputusan kerana beliau pemilik kelab yang terbabit dalam urusan skuad Harimau Selatan.

    “Saya selaku pemilik Kelantan FC, saya nak pasukan saya maju. Saya sanggup terima kritikan asalkan ianya konstruktif. Bagus TMJ komen sebab beliau sayang bola. Kalau tak komen itu satu kerugian.

    “Tidak kiralah beliau beli semua pemain dari kelab-kelab lain itu semua sebagai strategi memperkuatkan pasukan JDT hingga kini. Tanpa TMJ tiada JDT, tanpa JDT tiada kemajuan dengan kelab lain yang nak bersaing dengan JDT.

    “Kita dapat slot ACL dan Piala AFC lebih pun sebab JDT. Kalau nak gantung pun, fikir betul-betul logik ke tak. Beliau Tunku Mahkota, kalau nak pergi stadium dekat Johor tengok bola ada sesiapa berani nak tahan?

    “Beliau juga pemilik JDT yang terlibat dalam uruskan pasukan. Ingat TD (Pengarah Teknikal), ‘Sporting Director’, pengurus dan semua dekat sana akan buat keputusan tanpa rujuk kepada TMJ?

    “Jadi apa guna kalau gantung? Memang tiada faedah sebab beliau ada ‘spirit’ dalam kemajuan bola sepak JDT,” kata Zamsaham menerusi Facebook miliknya seperti dilaporkan Berita Harian.

    Beberapa pihak sebelum ini mempersoal keputusan FAM tidak mengenakan tindakan ke atas Tunku Ismail seperti yang diterima beberapa individu lain akibat daripada mengkritik badan induk itu.

    Selain itu, Zamsaham berkata, semua pihak sepatutnya memikirkan dengan logik dan terima pandangan Tunku Ismail ke arah membawa perubahan dalam sukan bola sepak negara.

    “Saya bukan nak ‘jilat’ sesiapa, sebab komen saya berasas. Hanya orang yang buka mata, terbuka minda akan nampak pengorbanan TMJ dalam industri bola sepak tanah air,” katanya.

  • Norza beri restu bergerak secara profesional – Zii Jia

    Norza beri restu bergerak secara profesional – Zii Jia

    JAGUH perseorangan negara, Lee Zii Jia mengesahkan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria sudah memberi restu untuknya bergerak secara profesional.

    Juara Seluruh England 2021 itu mendedahkan perkembangan positif itu menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini selepas mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi BAM.

    “Saya sangat gembira apabila dapat mengadakan pertemuan hati ke hati dengan Tan Sri Norza bersama dengan keluarga saya. Saya gembira apabila kami dapat menyelesaikan masalah yang timbul selepas mendapat restu daripada Tan Sri untuk saya menjadi pemain profesional.

    “Pencapaian yang saya raih sebelum dan selepas ini akan sentiasa menjadi produk daripada Tan Sri Norza, BAM dan Malaysia. Saya sangat bertuah apabila mendapat bimbingan Tan Sri dan memberi saya peluang bagi berkhidmat kepada negara yang tercinta,” kata pemain berusia 23 tahun itu, lapor Berita Harian.

    Zii Jia yang menduduki ranking ketujuh dunia itu juga memberi perkhabaran gembira kepada skuad badminton kebangsaan apabila turut menyatakan komitmennya untuk beraksi dalam Kejohanan Berpasukan Asia yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam, bulan depan.

    “Buat masa sekarang, saya menyatakan komitmen untuk beraksi dalam Kejohanan Berpasukan Asia. Saya berharap penyelesaian ini akan menyatukan sebagai rakyat Malaysia dan peminat sukan badminton.

    “Teruskan sokongan kepada BAM dan pemain profesional negara yang juga lahir daripada BAM kerana akhirnya kita semua adalah satu,” kata Zii Jia.

  • JDT dijangka ambil seorang lagi pemain import-TMJ

    JDT dijangka ambil seorang lagi pemain import-TMJ

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KELAB bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) dijangka membawa masuk seorang lagi pemain import sebagai persiapan untuk saingan Liga Super dan Liga Juara-juara Asia (ACL) musim ini.

    Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memaklumkan perkara itu selepas laman Malaysia Football League memaklumkan, pemain kelahiran Mali, Moussa Sidibe adalah pemain import terakhir ditandatangani bagi menyertai skuad Harimau Selatan.

    “Pemain terakhir yang akan menyertai JDT, Moussa Sidibe. Dari Divisyen Dua Liga Sepanyol ke Liga Malaysia. Selamat datang @moussajr10,” tulis halaman sukan tersebut.

    Membalas tulisan itu, Tunku Ismail menulis, “ada lagi seorang,” yang mencetuskan persoalan dalam kalangan pemerhati dan peminat bolasepak tanahair ini.

    Sebelum ini, Tunku memberi bayangan pemain tersebut adalah pemain kelahiran Sepanyol seperti yang dikongsikan sebelum ini dalam akaun Instagram miliknya.

    Ramai juga dalam kalangan peminat setia JDT menjangkakan Gonzalo Cabrera yang dilepaskan sebelum ini akan kembali menyertai pasukan.

    Setakat ini, JDT mempunyai sembilan pemain import termasuk termasuk import bagi kuota Asia dan Asia Tenggara (ASEAN).

    Selain Sidibe, tiga lagi muka baharu yang diperkenalkan ialah pemain kelahiran Fernando Forestieri dan dua pemain kelahiran Sepanyol iaitu Carli De Murga dan Bienvenido Maranon.

    De Murga dan Maranon merupakan pemain import bagi kuota ASEAN setelah kedua-dua mereka beraksi bersama skuad kebangsaan Filipina.

    Sementara itu, pemain import sedia ada yang masih dikekalkan ialah Bergson Da Silva, Mauricio Dos Santos, Leandro Valesquez, Shane Lowry dan Fernando Rodriguez yang beraksi bersama JDT II.

    JDT turut diperkuatkan dengan enam pemain naturalisasi iaitu Guilherme De Paula, Mohamadou Sumareh, Natxo Insa, Matt Davies, Corbin Ong, Nathaniel Shio Hong Wan.