Category: Sukan

  • KBS hormati keputusan Zii Jia walaupun kecewa

    KBS hormati keputusan Zii Jia walaupun kecewa

    KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) kecewa dengan pengunduran Lee Zii Jia daripada beraksi di Sukan Komanwel Birmingham 2022, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

    Bagaimanapun beliau akur dan menghormati keputusan pemain badminton perseorangan profesional negara itu.

    “Keputusan berat ini terpaksa diambil Zii Jia berikutan perlu mengharungi jadual padat bagi Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun.

    “Seperti orang ramai, saya juga berasa kecewa dengan pengunduran Lee Zii Jia daripada mengambil bahagian mewakili Malaysia di Sukan Komanwel.

    “Saya dah dapat bercakap dengan Zii Jia sendiri dan beliau memohon maaf dan sebenarnya beliau bersungguh-sungguh hendak mewakili Malaysia di Sukan Komanwel tetapi keadaan jadual dan acara beliau yang begitu padat menyebabkan terpaksa mengambil keputusan berat ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas merasmikan Temasya Sukan SMK RPS di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Perempuan, di Ipoh, hari ini.

    Ahmad Faizal berkata, Zii Jia turut meluahkan rasa kesal kerana ini adalah peluang untuk beraksi di Sukan Komanwel dan juga peluang membawa pulang pingat emas untuk negara.

    “Jadi, beliau sebenarnya berasa begitu kesal tidak dapat mewakili Malaysia,” katanya.

    Namun beliau berpendapat semua atlet seharusnya meletakkan kepentingan negara mengatasi segala-galanya.

    “Saya menghormati keputusan yang dibuat oleh Lee Zii Jia, kita berharap yang terbaik untuk beliau,” katanya, lapor Berita Harian.

    Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya tetap meletakkan keyakinan tinggi kepada pemain badminton perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong.

    “Saya juga meletakkan keyakinan yang tinggi kepada perseorangan ketiga kita yang masih mampu memberi saingan yang hebat.

    “Ini peluang kepada beliau untuk keluar daripada ‘comfort zone’ dan Sukan Komanwel ini akan menyerlahkan bakat yang ada pada perseorangan ketiga kita,” katanya.

  • Penantian 42 tahun berakhir, Harimau Malaya layak ke pusingan akhir Piala Asia

    Penantian 42 tahun berakhir, Harimau Malaya layak ke pusingan akhir Piala Asia

    Skuad Harimau Malaya menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia secara merit selepas menundukkan Bangladesh 4-1 dalam aksi terakhir kelayakan Kumpulan E di Stadium Nasional, Bukit Jalil, di sini, sebentar tadi.

    Dalam perlawanan malam tadi, skuad kendalian Kim Pan Gon berada di depan pada minit ke-16 menerusi Safawi Rasid yang menyempurnakan sepakan penalti selepas Matthew Davies dijatuhkan pertahanan lawan.

    Memetik laporan Berita Harian, Bangladesh bagaimanapun membuat kejutan apabila berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan Mohammad Ibrahim pada minit ke-31.

    Tujuh minit selepas itu, skuad Harimau Malaya kembali di depan apabila Dion Cools meledak gol kedua pasukan negara selepas rembatan derasnya gagal diselamatkan penjaga gol, Anisur Rahman.

    Hanya dua minit selepas bersambung babak kedua, Syafiq Ahmad mengukuhkan kedudukan buat skuad Harimau Malaya apabila menanduk masuk bola hantaran Faisal Halim.

    Malam gemilang skuad kebangsaan diteruskan dengan jaringan pemain gantian, Darren Lok selepas dia tenang menyudahkan hantaran Akhyar Rashid pada minit ke-73.

    Kemenangan itu menyaksikan skuad Harimau Malaya menamatkan saingan di tangga kedua Kumpulan E dengan enam mata dan berjaya menempatkan diri dalam kelompok lima naib juara terbaik dari enam kumpulan yang mendapat tiket ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

    Bahrain yang terlebih dahulu mengesahkan tempat ke pusingan akhir muncul juara Kumpulan E dengan mengumpul sembilan mata, sementara Turkmenistan di tangga ketiga (tiga mata) dan Bangladesh di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.

    Untuk rekod, kali terakhir Malaysia layak secara merit ke Piala Asia pada 1980 dan skuad Harimau Malaya pernah beraksi di pusingan akhir Piala Asia pada 2007, namun ketika itu mendapat tiket selaku tuan rumah.

  • PSM tak arah guna penyodok, kadbod buang air bertakung di Stadium Nasional

    PSM tak arah guna penyodok, kadbod buang air bertakung di Stadium Nasional

    PERBADANAN Stadium Malaysia (PSM) tidak mengeluarkan arahan supaya penyodok dan kadbod digunakan untuk mengalirkan air keluar dari padang sebelum aksi kelayakan Piala Asia 2023 antara Malaysia dan Bahrain di Stadium Nasional di Bukit Jalil, semalam.

    Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Mohd Faidz Sanusi berkata, tindakan mengeluarkan air secara manual itu tidak sepatutnya dilakukan kerana venue tesebut mempunyai sistem perparitan yang berfungsi dengan baik untuk mengalirkan air yang bertakung di padang.

    “PSM memang tidak mencadangkan mengeluarkan air secara manual seperti itu terutama sekali menggunakan penyodok dan kadbod seperti membersihkan lantai…sepatutnya tidak begitu.

    “Padang ini ada sistem perparitan dan kalau tengok bila perlawanan bermula tiada lagi kelihatan air bertakung kerana ia memerlukan masa untuk air surut keluar,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

    Semalam, tular beberapa petugas dilihat menggunakan penyodok dan kadbod dalam usaha mengatasi masalah air bertakung di Stadium Nasional selepas hujan lebat yang mengakibatkan hampir sepenuhnya permukaan padang digenangi air.

    Mengulas lanjut, Mohd Faidz berkata, sistem perparitan di Stadium Nasional membolehkan permukaan padang yang bertakung kembali normal dalam tempoh 15 minit selepas hujan berhenti sementara sekiranya hujan lebat disusuli hujan renyai ia mengambil masa antara 20 hingga 25 minit untuk air surut.

    Beliau berkata, permukaan padang menjadi lebih teruk akibat penggunaan penyodok dan kadbod untuk mengeluarkan air kerana ia merosakkan rumput.

    “Ini seperti hendak mengeringkan rambut menggunakan sikat… anda menggunakan peralatan yang tidak sepatutnya, tak perlu gunakan alatan kerana ada parit di bawah itu yang akan mengalirkan air keluar,” katanya.

    Sementara itu, PSM dalam kenyataan menyatakan komitmen mereka untuk bekerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi memastikan baki perlawanan kelayakan Piala Asia 2023 berlangsung dengan lebih baik dan teratur.

    PSM menjelaskan, pihaknya bersama Kementerian Belia dan Sukan akan memulakan proses penukaran permukaan padang Stadium Nasional yang dijadual bermula suku pertama tahun depan selain kerja-kerja penambahbaikan lain sejurus tamat komitmen acara-acara lain tahun ini. – BERNAMA

  • Masters Indonesia: Penganjur siasat punca keracunan pemain Malaysia, Thailand

    Masters Indonesia: Penganjur siasat punca keracunan pemain Malaysia, Thailand

    JAWATANKUASA penganjur kejohanan Badminton Masters Indonesia 2022 sedang menyiasat kes disyaki keracunan makanan yang dialami pemain jemputan dari Malaysia dan Thailand setelah sarapan pagi di hotel, pada Jumaat.

    Jurucakap Pengurus Pusat Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia Broto Happy berkata pihaknya amat bersimpati dan prihatin atas perkara tersebut yang diketahuinya melalui sosial media.

    “Setakat ini, belum ada laporan rasmi yang dibuat pemain mahupun pengurus pasukan kepada jawatankuasa penganjur mengenai keracunan makanan,” katanya dalam satu kenyataan.

    Namun beliau berkata pemain terlibat telah dirawat di hospital yang tiada kaitan dengan jawatankuasa penganjur atau hotel rasmi kejohanan.

    Tempat makan para pemain dan pegawai juga dipisahkan dengan tetamu hotel mulai hari ini untuk mencegah kejadian berulang.

    Setelah koordinasi dengan jawatankuasa penganjur, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menggesa pengurus pasukan mengingatkan pemain agar berhati-hati memesan makanan dari luar hotel atau makan makanan tertentu.

    Sementara itu, Broto berkata hasil ujian makmal mendapati pemain yang dirawat berkemungkinan mengambil makanan yang tidak sihat atau mengandungi bakteria dan bukan akibat keracunan makanan.

    “Kalau keracunan makanan, kesannya serta-merta,” kata Dr Grace Corlesa Joselini yang merupakan doktor kejohanan, sambil menambah pemain yang menginap di dua hotel rasmi kejohanan bebas memesan makanan secara dalam talian atau makan di restoran berhampiran.

    Malam tadi, media dalam talian melaporkan lima pemain Malaysia dan beberapa pemain Thailand mendapatkan rawatan di hospital akibat keracunan makanan.

    Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia Rexy Mainaky ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

    “Tetapi mereka sudah boleh pulang ke hotel namun badan masih lemah,” katanya.–Bernama

  • Walaupun tinggalkan JDT, TMJ masih pemegang saham majoriti

    Walaupun tinggalkan JDT, TMJ masih pemegang saham majoriti

    PENGARAH Teknikal Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Alistair Edwards memaklumkan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim masih kekal sebagai pemilik kelab tersebut dengan memegang saham majoriti.

    Menurut beliau, Tunku Mahkota Johor itu akan melepaskan tugas berkaitan hal-hal bola sepak dan teknikal kepada pengurusan kelab tersebut.

    Namun jelas Alistair, Tunku Ismail akan terus memantau perkara-perkara berkaitan infrastruktur, komersial dan kewangan kelab.

    “Apa yang dimaksudkan ini adalah DYAM Tunku Ismail tidak akan lagi terlibat secara menyeluruh dalam aspek seperti perpindahan pemain, perbincangan pasukan, perkara harian berkaitan pasukan, aktiviti-aktiviti pasukan, perbincangan kontrak dan sebagainya yang menjadi sebahagian daripada tugas DYAM Tunku Ismail di kelab sebelum ini.

    “Perkembangan terbaharu ini juga bermakna DYAM Tunku Ismail tidak akan lagi kerap berada di Pusat Latihan JDT atau Stadium Sultan Ibrahim untuk perlawanan dan sesi latihan, sesuatu yang DYAM Tunku Ismail sentiasa mengambil sedikit masa daripada jadualnya untuk berkunjung,” ujar Alistair dalam kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook rasmi Johor Southern Tigers, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Mengulas lanjut, Alistair berkata, Tunku Ismail telah terlibat secara aktif dalam urusan harian pengurusan Harimau Selatan sepenuhnya sejak penubuhan kelab pada 2013 termasuk memberikan sentuhan peribadi kepada para pemain, jurulatih dan pegawai kelab tersebut.

    “Kami memahami bahawa DYAM Tunku Ismail perlu fokus kepada komitmen lain seperti hal-hal berkaitan negeri Johor dan pengurusan JDT terharu kerana telah diberi kepercayaan untuk memikul tanggungjawab kelab ini,” jelasnya.

    Tunku Ismail semalam membuat pengumuman mengejut apabila memaklumkan akan meninggalkan JDT pada Khamis melalui satu hantaran dalam Facebook rasmi Johor Southern Tigers.

  • TMJ ucap selamat tinggal kepada JDT

    TMJ ucap selamat tinggal kepada JDT

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SETELAH hampir sedekad membawa kejayaan kepada Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim membuat pengumuman mengejut apabila meninggalkan kelab bolasepak itu hari ini.

    Tunku Mahkota Johor itu memaklumkan terpaksa berbuat demikian disebabkan faktor tanggungjawab serta komitmen lain yang perlu dilakukan baginda.

    Pengumuman berkenaan dibuat pemilik Kelab Bolasepak JDT itu melalui satu hantaran di laman Facebook rasmi kelab, Johor Southern Tigers sebentar tadi.

    “Disebabkan tanggungjawab dan komitmen saya yang lain, saya telah mengambil keputusan untuk berundur dan menyerahkan urusan harian Kelab Bolasepak JDT kepada pengurusan tertinggi kelab.

    “Saya doakan yang terbaik untuk kelab dan semua,” katanya dalam hantaran berkenaan.

    Tunku Ismail membawa ‘semangat’ baharu kepada kelab bolasepak itu dan sukan berkenaan di Johor khususnya setelah mengambil alih pasukan sejak 2012.

    Sepanjang tempoh hampir 10 tahun, pelbagai kejayaan demi kejayaan yang diraih pasukan Harimau Selatan itu dirangkul dengan mula memenangi gelaran Liga Super pada 2014.

    Sejak itu, gelaran Liga Super sebagai perlawanan paling berprestij di Malaysia tidak pernah berpindah tangan apabila JDT muncul juara saban tahun bagi lapan musim berturut-turut.

    Kejayaan JDT pada 2015 antara yang tidak boleh dilupakan ketika pasukan kendalian Mario Gomez ketika itu memenangi Piala AFC, sekali gus menjadi kelab pertama tanah air memenanginya.

    Baru-baru ini, JDT sekali lagi mengukir nama di pentas antarabangsa selepas muncul pasukan pertama di Malaysia layak ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-juara Asia (ACL).

  • Azreen Nabila taruh harapan beraksi di Sukma 2022

    Azreen Nabila taruh harapan beraksi di Sukma 2022

    PELARI pecut negara, Azreen Nabila Alias tetap berharap agar dapat mewakili Terengganu ke Sukan Malaysia (Sukma) 2022 di Kuala Lumpur yang bermula 29 September hingga 8 Oktober depan.

    Meskipun menyedari harapannya agak kelam susulan keputusan Jawatankuasa Tertinggi Sukma yang tidak membenarkan penyertaannya, beliau tetap menaruh harapan untuk membuat penampilan terakhir di temasya sukan dwi tahunan itu.

    “Secara jujurnya saya merasakan keputusan itu agak tidak adil memandangkan penyertaan saya di pentas Olimpik Tokyo tempoh hari adalah atas tiket ‘wild card’, bukannya secara merit.

    “Walaupun belum rasmi, sepertinya tiada harapan buat saya dan ia pastinya menyedihkan kerana Sukma ini adalah yang terakhir buat saya untuk mewakili negeri tercinta,” katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu.

    Menurut Azreen Nabila, beliau berharap masih ada proses rayuan yang membolehkannya bertanding sekurang-kurangnya dalam acara berpasukan seperti 4×100meter (m) pada kejohanan itu nanti.

    Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerajaan negeri akan terus membuat rayuan kepada pihak terlibat untuk membenarkan atlet berusia 22 tahun itu beraksi di Sukma.

    Beliau berkata, sebelum ini pihaknya telah mengemukakan permohonan rayuan kepada Kementerian Belia dan Sukan namun masih belum mendapat maklum balas yang positif.

    “Kita akan bawa isu ini dalam mesyuarat jawatankuasa tertinggi pada hari ini kerana Azreen Nabila sememangnya berhak,” katanya.

    Azreen Nabila melakar prestasi cemerlang pada Sukma 2018 di Perak apabila memenangi acara 100m, 200m dan acara berpasukan 4×100m yang melayakkan beliau dianugerahkan Olahragawati Sukma 2018. – Bernama

  • Penyokong Liverpool ‘punca masalah’ pada malam final

    Penyokong Liverpool ‘punca masalah’ pada malam final


    Menteri Sukan Perancis, Amelie Oudea-Castera berkata, penyokong Liverpool yang tiba tanpa tiket sah dan pemuda tempatan yang cuba menceroboh masuk merupakan punca huru-hara sebelum permulaan final Liga Juara pada Ahad lalu.

    “Apa yang kita kena fikirkan adalah yang pertama; sejumlah besar penyokong Liverpool tiba sama ada tanpa tiket atau mempunyai tiket palsu. Apabila terdapat ramai di hadapan pintu masuk, ramai yang akan cuba untuk menceroboh kawasan. Terdapat sejumlah pemuda-pemuda tempatan yang cuba memasuki perlawanan tersebut dengan menyelinap bersama penyokong lain,” katanya.

    Sepak mula final Liga Juara Real Madrid menentang Liverpool ditangguhkan selama 35 minit selepas pihak polis Perancis menahan penyokong-penyokong yang cuba memasuki perlawanan besar itu tanpa tiket sementara yang mempunyai tiket sah tidak dapat memasuki Stade de France.

    Rakaman Televisyen menunjukkan gambar pemuda-pemuda yang tidak memakai baju Liverpool memanjat pagar manakala penyokong lain termasuk kanak-kanak disembur dengan gas pemedih mata.

    Keadaan yang huru-hara di stadium nasional itu dikatakan ‘memalukan’ dan akan menjejaskan imej Perancis yang akan menjadi tuan rumah Piala Dunia Rugbi 2023 dan Kejuaraan Olimpik pada tahun 2024.

    Pengarah Eksekutif Liverpool, Billy Hogan menyatakan layanan terhadap penyokong mereka itu ‘tidak boleh diterima’ dan meminta penyiasatan yang mendalam oleh UEFA.

    Oudea-Castera berkata mereka ‘tidak mempunyai masalah’ dengan penyokong di bahagian bertentangan, Real Madrid dan memuji kelab Sepanyol tersebut kerana mengawal penyokong mereka dengan lebih baik.

  • Arena takraw negara kehilangan Raja Libas

    Arena takraw negara kehilangan Raja Libas

    ARENA sepak takraw Malaysia kehilangan seorang legenda emas negara apabila Rehan Mohamad Din meninggal dunia di kediaman keluarganya di Felda Air Tawar 3, Kota Tinggi, Johor malam tadi.

    Perkhabaran mengenai Raja Libas Malaysia era akhir 80-an dan awal 90-an berusia 54 tahun itu dimaklumkan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) di laman Facebook persatuan tersebut.

    “Salam takziah buat keluarga Allahyarham Rehan Mohamad Din (Lagenda Emas Negara) yang telah kembali ke rahmatullah pada 29 Mei 2022 di kediaman keluarganya di Felda Air Tawar 3, Kota Tinggi, Johor Darul Ta’zim. 

    “PSM mengucapkan terima kasih di atas sumbangan dan jasa beliau ketika mewakili negara sebagai pemain dan juga jurulatih yang amat dihargai dan akan dikenang sepanjang zaman. Al Fatihah,” katanya, lapor Satu Berita.

    Untuk rekod, Allahyarham pemenang dua pingat emas regu berpasukan dan antara regu Sukan Asia Beijing 1990, bergandingan dengan Nordin Sabarudin (tekong) dan Abd Malik Samsudin (apit kiri pengumpan) menewaskan Thailand 2-1 dan 2-0 dalam perlawanan akhir.

    Turut memperkasakan skuad takraw negara temasya di China itu Ahmad Jais Baharun, Shaari Hashim, Rosli Ab. Rahman, Noor Rani Adnan, Raziman Hassan, Ku Halim Ku Musa, Mohd.Noor Abdullah, Baharum Jahar dan Suhaimi Yusof.

  • Konsortium Todd Boehly beli Chelsea

    Konsortium Todd Boehly beli Chelsea

    Liga Perdana telah mengesahkan konsortium pembelian Chelsea bernilai £4.25 billion yang diketuai oleh pemilik pasukan MLB, LA Dodgers Todd Boehly.

    Liga Inggeris tersebut berkata konsortium itu telah diluluskan oleh pemilik dan juga pengarah mereka.

    Chelsea digantung papan tanda untuk dijual selepas bekas pemilik mereka, Roman Abramovich dikenakan tindakan berikutan hubungannya dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin.

    Pembelian Chelsea hanya memerlukan lesen penjualan daripada kerajaan Britain dan kelengkapan transaksi yang terakhir.

    Kerajaan United Kingdom enggan memberikan sebarang keuntungan daripada penjualan Chelsea kepada Roman Abramovich namun sumber dalaman menyatakan mereka ‘optimistik’ bahawa sebuah perjanjian boleh dicapai pada hari Rabu.

    Banyak pihak yang menunjukkan niat untuk membeli pasukan juara Eropah tahun lepas tersebut namun Chelsea bersetuju untuk menyerahkan kelab mereka kepada konsortium Boehly pada awal bulan Mei.

    Chelsea kini masih beroperasi di atas lesen khas yang diberikan oleh kerajaan Britain yang akan luput pada 31 Mei nanti.