Category: Sukan

  • Aaron, Wooi Yik terima ‘durian runtuh’ RM250,000 seorang

    Aaron, Wooi Yik terima ‘durian runtuh’ RM250,000 seorang

    BEREGU lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik hari ini menerima insentif berjumlah RM500,000 atas kejayaan mereka merangkul gelaran dunia sulung buat Malaysia, baru-baru ini.

    Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata daripada jumlah itu, mereka menerima RM250,000 setiap seorang daripada badan induk berkenaan serta beberapa penaja rasmi lain.

    Beliau berkata kejayaan mengharumkan nama negara di persada antarabangsa selain menamatkan penantian Malaysia melahirkan juara dunia adalah sesuatu yang perlu dihargai dan berharap lebih ramai atlet muda negara mampu mengikut jejak langkah gandingan ranking kelima dunia itu.

    “Kita berada di sini untuk meraikan kejayaan Aaron dan Wooi Yik kerana pencapaian mereka benar-benar cemerlang dan mereka berhak mendapat ganjaran hari ini, saya pasti akan ada banyak lagi (insentif).

    “Saya juga berbesar hati untuk mengumumkan bahawa mereka telah memperbaharui kontrak sehingga penghujung 2024 dan mereka akan terus memberikan yang terbaik demi kegemilangan negara untuk layak ke Olimpik Paris 2024,” katanya kepada pemberita di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, Kuala Lumpur hari ini.

    Dalam pada itu, Wooi Yik berkata pemberian insentif berkenaan melonjak semangat beliau untuk memastikan slot layak ke Sukan Olimpik 2024 dapat dicapai dengan sokongan dan dorongan badan induk, penaja dan rakyat Malaysia.

    Beliau berkata mereka kini sudah kembali menjalani latihan sejak Isnin lepas (5 Sept) untuk meningkatkan tahap ketahanan fizikal dan mental ketika berada dalam gelanggang sebagai persiapan menyertai kejohanan akan datang.

    Sementara itu, Aaron mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mempercayai kebolehan mereka dan akan terus mempamerkan corak permainan bermutu tinggi.

    Pada 28 Ogos lepas, Aaron-Wooi Yik menewaskan juara dunia tiga kali, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia 21-19, 21-14 untuk menamatkan penantian 45 tahun Malaysia meraih gelaran di kejohanan dunia yang berlangsung di Tokyo, Jepun, sekali gus menjadi wakil negara pertama memenangi pertandingan berprestij itu.

    — BERNAMA

  • Pemain bola Sri Pahang, Lee Tuck kini warganegara Malaysia

    Pemain bola Sri Pahang, Lee Tuck kini warganegara Malaysia

    PEMAIN tengah Sri Pahang FC Lee Tuck kini sah mendapat taraf warganegara Malaysia selepas melengkapkan proses naturalisasi. 
     

    Perkembangan itu diumumkan oleh pemain berusia 34 tahun itu menerusi hantaran dalam Instagram beliau malam tadi. 
     

    “Hari ini (semalam) akhirnya dan secara rasminya saya boleh katakan saya warganegara Malaysia. 
     
    “Saya sangat bersyukur mendapat kewarganegaraan Malaysia. Proses ini perjalanan yang sukar dengan membuat pengorbanan untuk sampai ke sini tetapi ia peluang yang tidak dapat saya lepaskan,” tulisnya. 

     
    Pemain kelahiran Huddersfield, England itu melahirkan penghargaannya kepada pemimpin tertinggi Sri Pahang terutama pemilik kelab bola sepak itu Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah kerana menyokong beliau sepanjang proses naturalisasi berjalan. 

     
    “Saya juga ingin berterima kasih kepada keluarga tercinta dan kawan rapat,” katanya. 
     

    Tuck telah bermain dalam Liga Malaysia (Liga-M) sejak 2017 apabila menyertai pasukan Negeri Sembilan sebelum berhijrah ke Terengganu FC pada 2018 dan bersama Sri Pahang pada musim lepas. 

     
    Sri Pahang sebelum ini dilaporkan cuba untuk menjadikan Tuck dan pemain kelahiran Argentina, Sergio Aguero sebagai pemain naturalisasi, bagaimanapun status Aguero yang bermain dalam Liga-M sejak 2017, masih belum dapat disahkan lagi.  

    Untuk rekod, Malaysia sebelum ini sudah mempunyai tiga pemain naturalisasi iaitu Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula yang pernah menyarung jersi Harimau Malaya. 

  • Aaron-Soh Wooi Yik juara dunia

    Aaron-Soh Wooi Yik juara dunia

    BEREGU utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kini juara dunia selepas menumpaskan wakil Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan pada aksi final Kejohanan Badminton Dunia di Jepun, sebentar tadi.

    Pada saingan sengit di Gimnasium Metropolitan Tokyo itu, wakil negara yang juga pilihan keenam kejohanan menang 21-19, 21-14 dalam masa 40 minit, lapor BH Online.

  • 40 atlet Johor raih pingat Sukan SEA, Komanwel terima insentif

    40 atlet Johor raih pingat Sukan SEA, Komanwel terima insentif

    SERAMAI 40 atlet Johor menerima insentif daripada kerajaan negeri dengan keseluruhan berjumlah RM163,000 atas kejayaan mereka meraih pingat di Sukan SEA Vietnam 2021 dan Sukan Komanwel Birmingham 2022.

    Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, insentif berkenaan diberikan sebagai pengiktirafan dan penghargaan terhadap prestasi membanggakan yang dipamerkan atlet negeri itu dalam mengharumkan nama negara.

    “Ini termasuk melihat kemungkinan meningkatkan lagi nilai pemberian insentif pada masa akan datang sebagai pengiktirafan terhadap hasil titik peluh mereka mengharumkan nama negara.

    “Kita akan tengok balik insentif tersebut supaya mereka lebih bermotivasi untuk berkecimpung dalam arena sukan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Atlet Johor Sukan SEA 2021, Sukan Komanwel Birmingham 2022 dan Penyampaian Bantuan Pentadbiran Badan-Badan Gabungan MBNJ 2022 di Johor Bahru malam tadi.

    Pada Sukan SEA di Vietnam, 26 atlet Johor menyumbang tiga pingat emas, tujuh perak dan 15 gangsa dengan atlet meraih emas menerima insentif RM4,000, diikuti RM2,000 bagi perak dan RM1,500 gangsa.

    Bagi Sukan Komanwel Birmingham pula enam atlet Johor meraih dua emas, dua perak dan dua gangsa dengan insentif untuk emas berjumlah RM16,000, perak RM12,000 dan gangsa RM8,000 serta tambahan RM2,000 bagi insentif penyertaan.

    Antara penerima insentif untuk Sukan Komanwel ialah jaguh badminton muda negara, Ng Tze Yong yang memperoleh RM28,000 selepas meraih satu emas dan perak menerusi acara perseorangan dan berpasukan campuran, manakala atlet angkat berat Mohamad Aniq Kasdan menerima RM18,000.

    Sementara itu, Mohamad Aniq yang mencipta kejutan menghadiahkan pingat emas sulung negara di termasya itu, menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas pemberian insentif berkenaan yang sedikit sebanyak memberikan suntikan semangat.

    “Sokongan daripada semua termasuk kerajaan negeri menjadikan saya lebih bermotivasi untuk mencipta kejayaan. Bagi saya insentif perlu kerana atlet berlatih bertahun-tahun dan kalau dapat insentif mereka akan lebih bermotivasi,” katanya.

    Atlet berbasikal trek negara Muhammad Shah Firdaus yang meraih gangsa acara keirin di Sukan Komanwel dan menerima insentif RM10,000, turut melahirkan rasa gembira dan berharap dapat mempamerkan prestasi lebih cemerlang pada masa akan datang.

    “Apabila atlet meraih pingat dan dapat insentif memang lebih bersemangat kerana sedikit sebanyak memberi sokongan moral. Jadi apabila (Menteri Besar Johor) mahu meningkatkan insentif (pada masa akan datang) saya bertambah semangat dan harap ia direalisasikan.

    “Tetapi bagi saya, apabila kita beri hasil yang baik perkara sebegitu (insentif) akan datang sendiri dan tidak perlu difikirkan sangat,” katanya. – Bernama

  • Atlet raih emas Sukan Komanwel, APG diberi insentif

    Atlet raih emas Sukan Komanwel, APG diberi insentif

    PEMENANG pingat emas pada temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 dan Sukan Para ASEAN (APG) ke-11 di Solo, Indonesia, baru-baru ini akan menerima insentif daripada kerajaan atas kejayaan mereka mengharumkan nama negara, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

    “Tentunya kita (memberikan insentif kepada pemenang pingat emas). Kita ada insentif yang akan kita berikan melalui program ganjaran imbuhan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM),” katanya pada pemberita selepas program pelancaran sebuah produk kecantikan, malam tadi.

    Ahmad Faizal berkata demikian sebagai mengulas pertanyaan pemberita sama ada kerajaan akan memberikan sebarang insentif kepada atlet negara yang meraih emas pada temasya Sukan Komanwel 2022 baru-baru ini.

    Menurut beliau, kementerian akan memastikan usaha gigih para atlet negara di pentas antarabangsa dihargai selain merancang untuk meraikan kejayaan atlet di kedua-dua sukan itu bersama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kelak.

    Kontinjen negara menamatkan cabaran di Sukan Komanwel 2022 yang bermula dari 28 Julai hingga 8 Ogos lepas dengan pencapaian membanggakan apabila meraih keseluruhan tujuh pingat emas, lapan perak dan lapan gangsa.

    Kejayaan itu menyamai pencapaian ketika edisi 2018 di Gold Coast, Australia apabila kem Malaysia membawa pulang tujuh pingat emas, lima perak dan 12 gangsa.

    Bagi temasya APG, Kontinjen Malaysia yang diwakili kira-kira 70 atlet menamatkan cabaran di kedudukan keempat selepas merangkul 36 pingat emas, 20 perak dan 14 gangsa pada temasya yang berlangsung bermula 30 Julai dan berakhir pada 5 Ogos lepas. – Bernama

  • Peninju Thailand maut dalam pertarungan muaythai di Kota Bharu

    Peninju Thailand maut dalam pertarungan muaythai di Kota Bharu

    SEORANG peninju Thailand meninggal dunia ketika mendapat rawatan kecemasan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) pagi semalam, akibat pendarahan otak yang dialami dalam pertarungan yang disertainya di Kota Bharu, kelmarin.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata mangsa, Kittichai Chaengkhao, 28, dilaporkan tidak sedarkan diri selepas diserang lawan ketika menyertai perlawanan Muaythai Ambang Merdeka 2022 di Kampung Che Deris, Badang.

    Katanya, mangsa pada mulanya dihantar ke Klinik Kesihatan Badang pada pukul 1 pagi semalam, sebelum dirujuk ke HRPZ II tetapi disahkan meninggal dunia pada jam 10.57 pagi, selepas beberapa jam bertarung nyawa akibat berlaku pendarahan di dalam otak.

    “Ketika kejadian, mangsa yang berasal dari Chumpong, Thailand, berlawan dengan seorang peserta dari Kuala Lumpur, tetapi kemudian tewas dan jatuh sebelum tidak sedarkan diri dan dibawa mendapatkan rawatan.

    “Sebaik segala urusan siasatan dilakukan, jenazah dibawa pulang untuk diserahkan kepada waris melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.

    “Siasatan mendapati insiden ini tidak membabitkan sebarang unsur jenayah sebaliknya kemalangan ketika bersukan selain penganjur pertandingan juga mempunyai permit lengkap,” katanya lapor Berita Harian.

    .

  • Komanwel 2022: Pertama kali beraksi, Joe Ee beri kejutan emas

    Komanwel 2022: Pertama kali beraksi, Joe Ee beri kejutan emas

    GIMNAS muda negara Ng Joe Ee mencipta kejutan apabila beliau mempamerkan aksi memukau untuk menyumbangkan emas kelima Malaysia pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 menerusi disiplin bola, di Birmingham hari ini. 

    Meskipun pertama kali beraksi pada temasya itu, gerakannya yang anggun dan cekap menangkap bola di Arena Birmingham memikat barisan pengadil bagi merekodkan 29.700 mata, sekali gus mencapai sasaran satu pingat emas bagi kem gimrama.

    Suzanna Shahbazian dari Kanada yang mencatatkan 29.050 mata terpaksa berpuas hati dengan pingat perak, manakala Anna Sokolova dari Cyprus membawa pulang gangsa dengan 28.800 mata.

    Catatan mata gimnas berusia 16 tahun itu dalam final hari ini ternyata lebih tinggi daripada markah yang diperolehnya ketika pusingan kelayakan iaitu 28.600 mata untuk menduduki tempat kedua, Khamis lepas.

    Sementara itu, seorang lagi gimnas negara Izzah Amzan sekadar mendapat tempat ketujuh daripada lapan atlet selepas mencatatkan 25.800 mata dalam pusingan akhir disiplin gelung.

    Gimnas Wales Gemma Natasha Frizelle muncul juara disiplin tersebut dengan pungutan mata 28.700, manakala Anna Sokolova dari Cyprus mengumpul 28.300 mata bagi meraih perak dan wakil Kanada Carmel Kallemaa memenangi gangsa dengan 28.200 mata. – Bernama

  • Sukan Komanwel: Kontinjen negara menanti dua lagi pingat emas

    Sukan Komanwel: Kontinjen negara menanti dua lagi pingat emas

    BERBAKI tiga hari sebelum temasya Sukan Komanwel 2022 melabuhkan tirai pada Isnin depan, kontinjen negara masih menanti dua kilauan emas bagi mencapai sasaran enam emas di temasya sukan berkenaan.

    Pada hari kelapan temasya sukan berprestij edisi Birmingham itu berlangsung pada Jumaat, kem negara sekadar meraih dua pingat perak, masing-masing menerusi acara terjun dan boling padang.

    Di kolam renang, pasangan penerjun kebangsaan, Gabriel Gilbert Daim-Muhammad Syafiq Puteh, memenangi pingat pertama Malaysia daripada acara terjun, selepas ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong gagal melunaskan misi menyumbangkan pingat pada Khamis.

    Sementara trio boling padang negara pula terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dalam acara triples wanita selepas tumpas 9-17 kepada England pada aksi final.

    Kejayaan itu, bagaimanapun, sedikit sebanyak dapat mengubat kekecewaan kem boling padang apabila gandingan Siti Zalina Ahmad dan Emma Firyana Saroji, yang menjadi sandaran emas, tumpas di peringkat separuh akhir acara pairs wanita.

    Pun begitu, Siti Zalina-Emma Firyana berpeluang untuk membawa pulang pingat apabila mereka akan berdepan Selina Goddard-Katelyn Inch dari New Zealand bagi penentuan pingat gangsa, hari ini.

    Pada hari kesembilan temasya hari ini, harapan diletakkan kepada beberapa atlet bagi menyumbangkan dua pingat emas yang dinanti-nantikan kontinjen negara.

    Selepas menampilkan aksi mengecewakan, prestasi cemerlang Pandelela ditagih bagi menceriakan kontinjen negara apabila atlet kelahiran Sarawak itu akan bergandingan dengan Nur Dhabitah Sabri dalam acara final 10 meter (m) platform seirama.

    Nur Dhabitah juga akan turun bergandingan dengan Wendy Ng Yan Yee dalam acara final 3m papan anjal seirama.

    Kem negara turut mengharapkan prestasi terbaik daripada skuad gimnastik negara apabila mereka akan turun bersaing dalam empat acara final melibatkan Izzah Amzan dalam disiplin gelung dan belantan, Ng Joe Ee (bola dan riben) serta Koi Sie Yan (riben).

    Prestasi cemerlang Choong Javen-Karen Lyne, yang merupakan wakil tunggal Malaysia masih meneruskan cabaran dalam acara ping pong, ditagih untuk melakar kejutan apabila berdepan pasangan dari Singapura, Clarence Chew Zhe Yu-Zeng Jian di peringkat separuh akhir acara beregu campuran, hari ini.

    Aksi membanggakan atlet boling padang, Fairul Izwan Abd Muin, juga dituntut apabila turun beraksi di peringkat separuh akhir acara singles lelaki.

    Selepas tamat hari kelapan pada Jumaat, kontinjen negara meraih keseluruhan empat pingat emas, empat perak dan tiga gangsa.

    Austalia kekal sebagai pendahulu pungutan pingat dengan 50 emas, 44 perak dan 46 gangsa, diikuti rapat tuan rumah, England, 47-46-38 manakala Kanada di kedudukan ketiga dengan 19-24-24.- Bernama

  • Pemanah para negara rangkul dua emas

    Pemanah para negara rangkul dua emas

    TEPAT ke sasaran. Pemanah para negara merangkul dua emas menerusi acara compound berpasukan di Kota Barat Stadium, di Solo, Indonesia, hari ini.

    G Daneshen, 25, yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dalam acara individu lelaki pada Khamis, bangkit dalam acara berpasukan untuk memenangi kedua-dua acara berpasukan lelaki dan berpasukan campuran.

    Atlet dari Kulim itu bergandingan dengan Nur Jannaton Abdul Jalil untuk membawa pulang emas dalam acara berpasukan campuran selepas menewaskan pasukan Thailand Comsan Singpirom-Praphaporn Homjanthuek 144-139.

    Daneshen, yang mengalami masalah saraf kaki sejak lahir akibat penyakit polio, kemudiannya bergabung kekuatan dengan Wiro Julin bagi meraih gelaran juara berpasukan lelaki, menewaskan Manangdang Angelo-Marzel Burgos dari Filipina 137-123.

    “Saya sangat gembira menang pingat emas ini, pada mulanya gementar tetapi kami berjaya bertenang dan kekal fokus sehingga akhir. Saya sangat bersyukur atas kemenangan ini memandangkan usaha dan kerja keras saya sepanjang 10 tahun lepas untuk mencapai sesuatu dalam sukan ini akhirnya berjaya.

    “Saya terpaksa menempuh banyak kesusahan dalam hidup apabila ramai yang merendah-rendahkan saya kerana tidak mempunyai pencapaian bermakna, meskipun telah menceburi sukan memanah selama 10 tahun, tetapi saya tetap bersabar. Saya tidak akan berhenti di sini, akan terus bekerja keras untuk APG seterusnya di Kemboja dan Sukan Para Asia di Hangzhou tahun depan,” katanya kepada Bernama.

    Sementara itu, jurulatih kebangsaan, Marzuki Zakaria gembira dengan aksi keseluruhan anak buahnya yang mencapai sasaran dua emas, satu perak dan satu gangsa (menerusi S Suresh dalam recurve individu lelaki)

    “Bagaimanapun, sebagai seorang jurulatih saya sentiasa mengingatkan atlet bahawa jangan mudah puas hati dengan kejayaan ini kerana ada lagi hala tuju tahun depan, iaitu APG dan Hangzhou.

    “Matlamat saya sebenarnya ingin melihat sekurang-kurangnya ada atlet layak secara merit ke Sukan Paralimpik Paris 2024,” katanya.

    Kali terakhir APG dianjurkan di Kuala Lumpur 2017, memanah membawa pulang satu emas, dua perak dan tiga pingat yang merupakan suatu peningkatan daripada pungutan pingat 1-2-1 di Singapura pada 2015. – Bernama

  • Selepas kejayaan Bonnie, Malaysia perlu dua lagi pingat emas

    Selepas kejayaan Bonnie, Malaysia perlu dua lagi pingat emas

    KONTINJEN negara kini memerlukan dua lagi pingat emas bagi mencapai sasaran enam emas pada temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang sedang berlangsung di sini.

    Kejayaan menakjubkan jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin, menyumbangkan pingat emas di hari ketujuh temasya pada Khamis (4 Ogos), menyaksikan kem Malaysia kini mengutip keseluruhan empat emas, dua perak dan tiga gangsa.

    Seperti diramalkan jaguh powerlifting dunia itu tidak berdepan masalah untuk mengungguli kategori lightweight bawah 72 kilogram (kg), sekali gus menyaksikan atlet kelahiran Sarawak tersebut muncul atlet Malaysia pertama meraih emas dalam acara berkenaan di temasya Sukan Komanwel.

    Harapan peminat untuk melihat ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong menyumbangkan pingat dalam acara 10 meter (m) platform wanita pada temasya kali ini pula tidak kesampaian, selepas atlet berusia 29 tahun itu hanya menduduki tempat ke-11 daripada 12 penerjun.

    Australia terus mendominasi carta pungutan pingat selepas merangkul 50 pingat emas, 42 perak dan 40 gangsa, meninggalkan tuan rumah England di tempat kedua dengan kutipan 42-44-32, manakala Kanada di tangga ketiga hasil pungutan 17-20-22.

    Selepas tamat hari ketujuh temasya, Malaysia kini berada di kedudukan ke-10.

    Prestasi membanggakan trio boling padang layak ke peringkat separuh akhir acara triples wanita esok, ditagih untuk meneruskan kemaraan ke pentas final yang akan berlangsung pada hari sama bagi menyumbangkan pingat kepada kem negara.

    Gandingan Nur Ain Nabilah Tarmizi, Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman dan Azlina Arshad, akan berdepan gandingan New Zealand Nicole Toomey, Tayla Bruce dan Val Smith di separuh akhir.

    Acara final lain yang melibatkan atlet Malaysia pada hari kelapan temasya (5 Ogos) menyaksikan gandingan Gabriel Gilbert Daim-Muhammad Syafiq Puteh dan Ooi Tze Liang-Chew Yi We, akan turun beraksi dalam saingan 3m papan anjal seirama lelaki.

    Dua gimnas Ng Joe Ee dan Izzah Amzan pula akan bersaing dalam acara individu all-around wanita final esok. – BERNAMA