Category: Sukan

  • Dek Wan gagal pertahan emas Rio 2016

    Dek Wan gagal pertahan emas Rio 2016

    ATLET olahraga para negara Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi terlepas peluang untuk mempertahankan emas dimenanginya di Rio 2016 dalam peringkat akhir acara 100 meter (m) lelaki T36 (kecacatan fizikal) di Sukan Paralimpik hari ini.

    Mohamad Ridzuan yang berlari di lorong kelima menamatkan aksinya di kedudukan keempat dengan catatan masa 12.15 saat (s) dalam saingan yang berlangsung di Stadium Olimpik itu.

    Walaupun memulakan larian dengan baik, Mohamad Ridzuan dilihat tidak berupaya untuk mengekalkan daya pecutannya terutama pada 10 m terakhir lariannya.

    Situasi itu menyebabkan pelari berusia 33 tahun yang lebih dikenali ‘Dek Wan’ itu terpaksa pulang dengan tangan kosong pada penampilan keduanya di pentas Paralimpik.

    Pelari China Deng Peicheng membuat kejutan apabila meraih kejayaan berganda menerusi emas selain memecahkan rekod Paralimpik milik jaguh Australia, James Turner, yang dilakukan pada peringkat saringan kedua semalam iaitu 11.87s, dengan rekod baharu 11.85s dalam saingan sesi pagi olahraga hari ini.

    James terpaksa berpuas hati dengan perak menerusi catatan masa 12.00s manakala gangsa milik Alexis Sebastian Chavez dari Argentina yang melakukan catatan masa 12.02s.

    Sementara itu, kecederaan menghimpit Wong Kar Gee yang bertanding dalam acara lompat jauh lelaki T13 (kecacatan penglihatan) memaksanya menarik diri pada lompatan keempat dalam aksi sulungnya di pentas Paralimpik.

    Atlet berusia 30 tahun itu hanya berjaya melakukan lompatan ketiganya dengan catatan 5.93m selepas percubaan pertama dan keduanya dibatalkan.

    Dalam pada itu, lompatan sejauh 7.36m pada percubaan ketiga oleh Orkhan Aslanov dari Azerbaijan sudah cukup baginya untuk merangkul emas dalam acara berkenaan.

    Ivan Jose Cano Blanco dari Sepanyol pula meraih perak dengan lompatan terbaik 7.04m manakala gangsa dimiliki atlet Amerika Syarikat Isaac Jean-Paul yang melakukan catatan terbaiknya sejauh 6.93m.- BERNAMA

  • Ronaldo kini penjaring terbanyak sepanjang zaman

    Ronaldo kini penjaring terbanyak sepanjang zaman

    CRISTIANO Ronaldo memecahkan rekod dunia penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam bola sepak antarabangsa lelaki selepas meledak gol ke-100 dan ke-111 dalam kariernya ketika Portugal membenam Republik Ireland 2-1 pagi ini.

    BBC melaporkan, pemain yang baru melengkapkan kepulangannya ke Manchester United itu menjaringkan dua gol menerusi tandukan sekali gus memecahkan dan memegang rekod baharu biar pun sepakan penaltinya diselamatkan penjaga gol Gavin Bazunu.

    Ali Daei yang menjaringkan 109 gol bersama Iran antara 1993 dan 2006 memegang rekod itu sebelum disamakan Ronaldo semasa menentang Perancis pada Euro 2020 baru-baru ini.

    Penyerang berusia 36 tahun itu turut menyamai rekod 180 penampilan Eropah milik Sergio Ramos.

    Rekod dunia penampilan terbanyak yang diiktiraf oleh Fifa pada musim panas ini dipegang pemain legenda Malaysia, Soh Chin Ann dengan 195 cap antara 1969 dan 1984.

    Ronaldo dan Ali merupakan dua pemain bola sepak lelaki yang menjaringkan lebih 90 gol pada peringkat antarabangsa.

    “Rekod ini milik saya dan ia unik. Saya amat gembira dan ia satu lagi untuk karier saya,” kata Ronaldo yang kini mengumpul 111 gol antarabangsa.

    Portugal kini mendahului Kumpulan A dengan 10 mata daripada empat perlawanan.

    Hanya juara kumpulan layak secara automatik ke pusingan akhir di Qatar tahun hadapan, manakala naib juara mengharungi play-off.

  • Ziyad:MSN diarah tubuh jawatankuasa siasatan

    Ziyad:MSN diarah tubuh jawatankuasa siasatan

    MAJLIS Sukan Negara (MSN) diarah membentuk jawatankuasa siasatan bagi meneliti insiden atlet paralimpik Muhammad Ziyad Zolkefli terlepas pingat emas lontar peluru F20 pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

    Menurut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, untuk itu, MSN akan bekerjasama dengan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menyiasat kejadian terbabit secara menyeluruh.

    Beliau selain itu menggesa semua pihak supaya tidak menuding jari mencari kesalahan sesiapa.

    “Perkara lebih penting ialah semua pihak Termasuk Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan World Para Athletics (WPA) melihat semula peraturan termasuk yang memerlukan kebijaksanaan dalam pengurusan,” katanya hari ini.

    Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, beliau akan menyambut kepulangan Ziyad pada Jumaat ini dan menegaskan atlet berkenaan akan tetap disambut sebagai wira kebanggaan negara.

    “Saya juga ingin menyeru semua rakyat Malaysia untuk terus memberikan sokongan kepada Muhammad Ziyad Zolkefli dalam mengharungi dugaan ini dan pada masa yang sama terus menyatakan sokongan kepada atlet–atlet negara yang masih bertanding di Tokyo untuk terus komited menunjukkan prestasi terbaik,” katanya lagi.

    Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) merakamkan ucapan terima kasih kepada delegasi Ecuador dan Australia yang telah bersama-sama mengemukakan rayuan meskipun tidak memberi kesan perolehan pingat kepada atlet negara itu.

    “Atas dasar semangat kesukanan paralimpik yang tinggi, kedua-dua negara tersebut berdiri teguh menyokong rayuan kontinjen Malaysia,” ujarnya.

    Presiden MPM, Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin, sebelum ini dilaporkan berkata, Malaysia akan cuba mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi melihat situasi sebenar berhubung dakwaan Ziyad lewat memasuki call room.

    Katanya, langkah itu bertujuan untuk dijadikan bahan bukti bagi tindakan lanjut yang akan dibuat selepas ini.

  • Teruk diserang tentera bawang, Koval minta maaf

    Teruk diserang tentera bawang, Koval minta maaf

    SEPERTI yang telah diduga, akaun media sosial milik atlet lontar peluru paralimpik Ukraine, Maksym Koval menjadi sasaran serangan tentera bawang Malaysia.

    Mereka tidak berpuas hati apabila kemenangan atlet paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 semalam dibatalkan.

    Protes yang dibuat oleh pasukan Ukraine berhubung kelewatan Ziyad memasuki bilik pemeriksaan telah menyebabkan beliau tidak menerima pingat emas dan rekod dunia yang dicatatkan tidak diiktiraf.

    Netizen dari Malaysia seterusnya membanjiri akaun media sosial milik Koval dengan pelbagai komen berunsur kecaman.

    Malah, seperti yang dijelaskan oleh atlet paralimpik Ukraine itu, akaun Instagram miliknya yang pertama telah digodam oleh netizen dari Malaysia.

    Beliau juga meminta maaf atas apa yang berlaku.

    “Akaun pertama saya telah digodam oleh orang Malaysia selepas Malaysia menyerang serta spam komen pada semua hantaran saya di Instagram. Maaf,” katanya dalam akaun Instagram lain yang baru diwujudkan.

    Koval
    Tangkap layar IG Maksym Koval
    Koval
    Tangkap layar IG Maksym Koval

    Walau bagaimanapun, tidak semua rakyat Malaysia bersetuju dengan tindakan tentera bawang Malaysia menyerang akaun media sosial Koval.

    Mereka kesal dengan perbuatan yang dianggap keterlaluan itu serta tidak mengambil kira bahawa Koval juga seorang kurang upaya.

    Malah, Ziyad sendiri telah menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi apabila menerima keputusan penganjur temasya sukan tersebut dengan hati yang terbuka.

    Keputusan untuk membatalkan pingat emas yang dimenangi jaguh lontar peluru para negara Ziyad kekal selepas rayuan kontinjen Malaysia bagi mengesahkan pingat emas milik beliau ditolak pihak penganjur dalam mesyuarat antara chef-de-mission (CDM) pagi tadi.

    Keputusan itu bermakna, Ziyad terlepas pingat emas acara lontar peluru F20 Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dan rayuan selanjutnya hanya boleh dibuat selepas temasya itu berakhir.

    Ziyad sepatutnya mempertahankan pingat emas yang dimenanginya dalam edisi di Rio lima tahun lalu selepas memecahkan rekod dunia dengan lontaran sejauh 17.94m di Stadium Olimpik Tokyo semalam.

    Namun penyertaannya dibatalkan selepas protes daripada kem Ukraine, yang mendakwa atlet berusia 31 tahun itu lewat melaporkan diri di bilik pemeriksaan.

    Dalam pada itu, Ziyad, 31, dalam reaksi pertamanya berikutan keputusan berkenaan memohon maaf kepada rakyat Malaysia.

    “Saya minta maaf pada semua rakyat Malaysia. Terima kasih memberi sokongan pada saya,” katanya hari ini.

    Selain itu, Team Malaysia melalui akaun Twitter turut berkata, walaupun keputusan itu bukan yang diinginkan, Muhammad Ziyad tetap juara di hati rakyat Malaysia.