Category: Sukan

  • Pengganti Cheng Hoe dibincang selepas terima laporan badan siasatan bebas – Yusoff

    Pengganti Cheng Hoe dibincang selepas terima laporan badan siasatan bebas – Yusoff

    CALON bagi menggantikan Tan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan dijangka diputuskan selepas menerima laporan daripada Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya.

    Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, badan siasatan diketuai bekas pemain kebangsaan Datuk Dell Akbar Khan itu sedang giat melakukan siasatan mengenai punca kegagalan skuad kebangsaan pada Piala AFF 2020 di Singapura, bulan lepas.

    Mohd Yusoff berkata, beliau selaku pengurus pasukan dan kapten Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak adalah antara individu diminta hadir untuk sesi memberi keterangan bagi melengkapkan laporan tersebut.

    “Jadi kita tunggu dulu apa maklum balas daripada laporan bedah siasat ini yang saya jangka selesai minggu depan, dari situ mungkin kita boleh tentukan calon sesuai,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis undian Liga M3 di Petaling Jaya, hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohd. Yusoff berkata pada masa ini, beberapa calon menunjukkan minat untuk jawatan tersebut, selain yakin Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin juga berada dalam proses mengenal pasti jurulatih sesuai.

    Beliau berkata, FAM akan meneliti segala kemungkinan susulan ada pihak berpendapat jurulatih tempatan lebih sesuai kerana waktu sangat singkat untuk hadapi Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun ini, manakala ada beranggapan jurulatih asing lebih baik bagi memastikan pelan jangka panjang lebih tersusun.

    “Semua cadangan ini akan dibawa ke Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan pada bulan ini yang dipengerusikan Datuk Hamidin sendiri. Selepas itu akan ‘diendorse’ (disokong) dalam Mesyuarat Exco untuk memastikan pilihan yang terbaik supaya perancangan kita ini akan dilaksanakan dengan lebih tersusun.

    “Memang saya ada dengar terdapat beberapa calon yang memohon, tetapi pada masa sama ada juga senarai jurulatih (yang tidak mohon) berada dalam radar FAM,” jelasnya.

    Ditanya mengenai nasib barisan kejurulatihan yang berkhidmat di bawah Cheng Hoe, Mohd. Yusoff berkata FAM akan memberi kebebasan untuk ketua jurulatih baharu untuk memutuskan sama ada terus menggunakan khidmat barisan sedia ada atau melantik pasukan kejurulatihannya sendiri.

    Malaysia gagal mara ke separuh akhir di Singapura selepas menamatkan kempen di tangga ketiga Kumpulan B, selepas mencatat dua kemenangan awal ke atas Kemboja (3-1) dan Laos (4-0), namun tewas baki perlawanan selepas itu kepada Vietnam (0-3) dan Indonesia (1-4), sekali gus gagal mencapai sasaran FAM untuk mara ke final.

    Berikutan itu, Cheng Hoe meletak jawatan dengan mengambil tanggungjawab terhadap prestasi kurang memuaskan pasukan Harimau Malaya.

    FAM kemudian melantik Dell Akbar yang juga bekas Setiausaha Agung badan induk itu dan bekas Ketua Polis Kuala Lumpur untuk mengetuai badan siasatan bebas tersebut. – Bernama

  • 240 atlet Johor tarik diri sertai Sukma 2020

    240 atlet Johor tarik diri sertai Sukma 2020

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENANGGUHAN penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2020 beberapa kali sebelum ini mengakibatkan 240 atlet Johor menarik diri daripada menyertainya antaranya kerana faktor usia, melanjutkan pelajaran dan kerjaya.

    Pegawai Belia dan Sukan Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ), Mohammad Syafiq Hassan berkata, pihaknya tidak mempunyai pilihan selain mendapatkan khidmat atlet di peringkat pembangunan bagi memikul tanggungjawab itu selepas mereka menarik diri.

    “Kita sudah mempersiapkan kira-kira 600 atlet untuk bertanding di Sukma Johor yang sepatutnya dianjurkan di negeri ini dua tahun lalu.

    “Namun setelah ditunda beberapa kali dan digantikan dengan Sukma di 2020 di Wilayah Persekutuan pada tahun ini, kira-kira 40 peratus iaitu 240 atlet daripada jumlah itu terpaksa menarik diri.

    “Saya percaya perkara sama turut berlaku kepada kontinjen negeri lain dan kita tidak dapat menghalang keputusan yang diambil. Kita masih positif dalam keadaan sekarang dan akan menggunakan khidmat atlet pembangunan bagi mengisi tempat mereka,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Majlis Kriket Johor dan Universiti Tunku Abdul Rahman di Johor Cricket Academy & Oval di Johor Bahru.

    Oktober lalu, mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memutuskan penganjuran Sukma Johor ditangguhkan ke tahun 2024.

    Dalam mesyuarat jawatankuasa itu juga, Jawatankuasa Tertinggi bersetuju supaya Majlis Sukan Negara (MSN) menganjurkan Sukma 2020 dan Sukan PARA Sukma 2020 di Kuala Lumpur.

    Mengulas lanjut, Mohammad Syafiq berkata, temasya Sukma 2020 ini akan dijadikan penanda aras kemampuan atlet di peringkat pembangunan bagi menimba pengalaman berguna.

    Sementara itu, Timbalan Presiden Majlis Kriket Johor (JCC), Idris Abd Rahman berkata, pihaknya membangunkan pusat kecemerlangan kriket di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Medini di Johor Bahru bagi melahirkan lebih ramai atlet baharu yang berbakat besar.

    Katanya, usaha itu juga bagi mengembalikan kegemilangan sukan kriket di Johor dan JCC menjadi persatuan kriket pertama mempunyai pusat kecemerlangan yang dipantau dan dikendalikan secara terus oleh persatuan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor.

    “SMK Medini dengan berbesar hati menempatkan 20 pelajar iaitu 10 pelajar Lelaki dan 10 pelajar perempuan di pusat kecemerlangan itu dan akan menambah 10 pelajar lagi pada tahun berikutnya,” katanya.

  • Harapan Djokovic pertahan juara musnah, Australia batal visa buat kali kedua

    Harapan Djokovic pertahan juara musnah, Australia batal visa buat kali kedua

    HARAPAN pemain tenis No.1 dunia,  Novak Djokovic untuk bermain di Australian Open musnah apabila Kerajaan Australia membatalkan visanya buat kali kedua.

    Pihak berkuasa berkata bintang tenis itu boleh memberi ancaman kepada orang awam kerana tidak mengambil vaksin.

    Pembatalan tersebut bermaksud Djokovic akan digantung untuk permohonan visa Australia selama 3 tahun, kecuali dalam keadaan tertentu.

    Djokovic yang merupakan penyandang juara Australian Open pada Khamis lalu telah diundi untuk menentang rakan senegaranya, Miomir Kecmanovic pada perlawanan pembukaan Isnin atau Selasa depan.

    Isu Djokovic itu telah mencetuskan perdebatan di seluruh dunia berhubung hak memilih untuk mengambil vaksin dan mempersoalkan cara Kerajaan Australia menguruskan

    Visa pemain tersebut.

    Isnin lalu, Djokovic berjaya mendapatkan visa selepas mahkamah di Australia menyatakan keputusan pihak imigresen untuk menolak visanya ketika dia tiba di negara tersebut tidak patut kerana Kerajaan Australia telah meluluskannya sebelum Djokovic tiba di Melbourne.

    Menteri Imigresen Alex Hawke berkata, beliau menggunakan budi bicara untuk membatalkan visa Djokovic selepas mahkamah menolak permintaan tersebut sebelum ini.

    “Hari ini, saya telah menggunakan kuasa saya di bawah Seksyen 133C(3) dalam akta Migrasi untuk membatalkan visa yang dipegang oleh Novak Djokovic di atas kepentingan kesihatan dan kebaikan awam,” kata Hawke.

    Australia telah melalui antara tempoh perintah berkurung paling lama di dunia. Negara tersebut juga mempunyai kadar vaksinasi 90 peratus  dalam kalangan dewasa dan kini menghadapi gelombang Omicron yang menyebabkan kes Covid-19 di negara itu mencatatkan hampir sejuta  sejak 2 minggu lalu.

  • JDT umum pemain import baharu dari Argentina

    JDT umum pemain import baharu dari Argentina

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JOHOR Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan kehadiran ‘keluarga’ baharu mereka yang melibatkan pemain import, Fernando Forestieri.

    Pengumuman itu dimaklumkan skuad Harimau Selatan tersebut melalui video pengenalan berdurasi kurang satu minit yang dimuat naik dalam Facebook dan Instragram milik mereka, hari ini.

    Dalam video berkenaan, pemain itu dilihat keluar daripada sebuah limosin hitam yang berhenti di depan pintu utama ibu pejabat JDT di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

    Ketibaannya di ibu pejabat tersebut disambut Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards dan Ketua Jurulatih JDT, Benjamin Mora.

    Pemain penyerang kelahiran Argentina itu dipercayai bakal menyarung jersi bernombor 45 jika dilihat berdasarkan video yang dikongsikan berkenaan.

    Pemain berusia 31 tahun itu sebelum ini beraksi bersama-sama pasukan Udinese dalam liga Serie A, Itali.

    Selain itu, dia turut pernah menyarung jersi Sheffield Wednesday dan Watford.

    Sementara itu, Forestieri berkata, beliau telah mendengar dan melihat banyak perkara mengenai JDT khususnya melibatkan projek bola sepak juara Liga Super berkenaan.

    “Saya telah mendengar dan melihat banyak perkara mengenai projek Bola Sepak JDT, dan saya membuat keputusan inilah hala tuju saya.

    “Saya teruja untuk memulakan perjalanan ini,” katanya dalam satu kenyataan ringkas yang turut dimuat naik dalam dua media sosial JDT itu.

  • Serbegeth Singh meninggal dunia ketika berbasikal di Johor

    Serbegeth Singh meninggal dunia ketika berbasikal di Johor

    BEKAS bintang bola sepak negara Serbegeth Singh atau Shebby dilaporkan meninggal dunia ketika berbasikal petang tadi di Johor. Beliau berusia 61 tahun.

    Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan kematian Shebby.

    Katanya, kejadian itu berlaku ketika Shebby berbasikal bersendirian di Sunway Iskandar.

    Sementara itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengucapkan takziah kepada keluarga Shebby susulan pemergiannya secara mengejut petang tadi.

    FAM berkata, Shebby dikenali sebagai seorang pemain pertahanan kental sepanjang kerjaya bersama Johor, Kuala Lumpur, Pahang dan Negeri Sembilan sebelum mencipta nama sebagai personaliti televisyen bermula 1997.

    “Sepanjang kariernya, Shebby pernah memenangi Piala Malaysia, Piala FA dan juara liga.

    “Antara pencapaian lain adalah membantu skuad negara mengutip pingat emas Sukan SEA pada 1989 dan gangsa pada Sukan SEA 1985,” kata FAM

    Selain menjadi penasihat global Blackburn Rovers pada 2012 hingga 2013, Shebby pernah menjadi penasihat rancangan realiti, MyTeam serta TM Melaka FC.

  • TMJ tegur Melaka United tiga bulan tak bayar gaji

    TMJ tegur Melaka United tiga bulan tak bayar gaji

    PEMILIK Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegur Persatuan Bolasepak Melaka United (Musa) supaya segera menyelesaikan isu tunggakan gaji membabitkan skuad Hang Tuah.

    Tunku Mahkota Johor itu yang juga Penaung Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) membuat teguran itu menerusi mesej yang dihantar kepada Presiden Musa, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

    “Datuk, pasukan Melaka tidak bayar gaji pemain sudah tiga bulan. Tak bagus untuk imej integriti pasukan Melaka dan juga kebajikan pemain.

    “Tolong selesaikan isu ini Datuk,” tulis Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) dalam mesej berkenaan dengan tangkap layar perbualan itu turut dikongsikan beliau dalam laman media sosial miliknya.

    Mesej berkenaan turut dibalas Sulaiman dengan mengatakan beliau akan berusaha menyelesaikan perkara itu sebaik mungkin.

    Bagaimanapun ciapan TMJ dalam laman Twitter itu seakan sudah dipadam.

    Semalam, beberapa pemain Melaka United dilaporkan memohon pasukan itu menyelesaikan masalah tunggakan gaji selama tiga bulan membabitkan musim lalu.

    Ia bukan kali pertama skuad Hang Tuah dibelenggu masalah berkenaan dengan mereka pernah dikenakan hukuman pemotongan tiga mata oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada musim lalu atas kegagalan membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual ditetapkan.

  • Azizulhasni, Zii Jia antara calon terima biasiswa Olimpik

    Azizulhasni, Zii Jia antara calon terima biasiswa Olimpik

    JAGUH berbasikal trek kebangsaan, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan juara All England 2021, Lee Zii Jia merupakan antara 15 calon atlet dikemukakan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk menerima Biasiswa Olimpik daripada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

    Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, kesemua 15 atlet itu dipilih daripada keseluruhan 40 pencalonan diterima pihaknya menerusi 11 jenis sukan bagi menikmati biasiswa sebagai persiapan untuk menghadapi Sukan Olimpik 2024 di Paris.

    “Antara kriteria ditetapkan oleh IOC adalah penerima perlu dalam kalangan atlet yang berpotensi untuk layak ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam.

    Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat lembaga eksekutif MOM kali ketiga sesi 2021/2025 di Wisma MOM.

    Lee Zii Jia
    Lee Zii Jia merupakan salah seorang daripada 15 atlet kebangsaan yang dicalonkan oleh MOM untuk menerima Biasiswa Olimpik. (Gambar: Facebook Lee Zii Jia)

    Selain Azizulhasni dan Zii Jia, Mohamad Norza mengumumkan atlet lain yang tersenarai adalah lima lagi pemain badminton negara iaitu Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Pearly Tan, M. Thinaah dan S. Kisona serta dua lagi atlet berbasikal trek iaitu Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhd Fadhil Zonis.

    Beliau berkata, ratu terjun, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri, Khairul Anuar Mohamad yang mewakili memanah serta tiga pelayar kebangsaan, Nuraisyah Jamil, Juni Karimah Noor Jamali dan Nur Shazrin Mohd Latif juga berpeluang menerima biasiswa itu.

    Antara bekas atlet kebangsaan yang pernah menerima biasiswa itu adalah dua atlet olahraga iaitu Watson Nyambek dan Yuan Yufang selain Ong Ewe Hock, Cheah Soon Kit dan Choong Tan Fook dari badminton serta atlet pelayaran Kelvin Lim. – BERNAMA

  • CDM bimbang pengurangan elaun jejas pencapaian jejas di Sukan SEA

    CDM bimbang pengurangan elaun jejas pencapaian jejas di Sukan SEA

    KETUA kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan SEA Hanoi, Datuk Nur Azmi Ahmad bimbang pengurangan elaun latihan kepada atlet pada tahun ini, berisiko menjejaskan pencapaian negara di temasya dwitahunan berlangsung Mei ini.

    Beliau yang menganggap tidak adil untuk melakukan pemotongan besar yang ‘menekan’ persatuan dan atlet, merayu supaya Majlis Sukan Negara (MSN) serta Kementerian Belia dan Sukan, menilai balik penyelarasan elaun tersebut.

    Menurut Nur Azmi yang juga Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), beberapa persatuan sukan kebangsaan telah pun menghubunginya untuk menyuarakan kebimbangan dan mengadu mengenai perkara berkenaan.

    “Elaun dipotong dengan begitu banyak, bagi atlet sepenuh masa, mereka tiada pendapatan lain. Kita tidak mahu kehilangan ramai atlet yang mungkin berhenti atau bersara awal sebab rasa lebih baik fokus pelajaran dan kerjaya.

    “Kita setuju elaun dipotong tetapi bukan terlalu banyak kerana atlet berkorban, kerah tenaga untuk menjulang nama negara. Kita cemburu dengan negara-negara lain yang berjaya menang emas Olimpik dan juarai kejohanan dunia, tetapi sendiri tidak jaga kebajikan sukan.

    “Kalau atlet berada dalam keadaan tertekan, masih hantar juga ke kejohanan, mungkin tidak ada keputusan (yang dimahukan),” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) di Wisma OCM hari ini.

    Nur Azmi berkata antara lain, kerajaan boleh mengembalikan konsep rakan sukan dengan meminta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menjadi bapa angkat kepada persatuan sukan kebangsaan memandangkan bukan semua persatuan sukan kaya dan mampu menjana pendapatan.

    “Jika GLC mampu memberikan sejuta untuk satu persatuan pun sudah cukup baik dan ia tidak membebankan kerajaan,” katanya.

    Sementara itu, beliau berkata ketika mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) baru-baru ini, sebanyak 180 atlet layak beraksi dalam Kategori A (semua kos ditanggung) di Sukan SEA bermula 12-25 Mei ini, tetapi pemillihan atlet hanya dilakukan selepas Tahun Baharu Cina.

    Pada Rabu lepas, MSN mengumumkan penyelarasan semula elaun susulan keadaan semasa ekonomi negara yang terkesan akibat pandemik COVID-19, selain bencana alam melanda negara baru-baru ini.

    Ia menyaksikan pemenang pingat emas Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN akan menerima elaun RM2,000, manakala pemenang pingat perak dan gangsa menerima nilai sama berjumlah RM800, manakala RM800 buat atlet senior dan RM500 buat atlet pelapis yang berada dalam program tetapi tidak meraih pingat.

    Elaun latihan bagi atlet yang merangkul pingat Sukan Asia/Para Asia dan Sukan Komanwel pula adalah sama, menyaksikan pemenang emas menerima kadar elaun RM4,500 diikuti RM4,000 (perak) dan RM3,500 (gangsa), manakala RM7,500 bakal menanti pemenang emas Sukan Olimpik/Paralimpik diikuti RM7,000 (perak) dan RM6,000 (gangsa).- 

  • Diberi elaun RM800: Baik kerja McD, kata Rayzam

    Diberi elaun RM800: Baik kerja McD, kata Rayzam

    MENJADI atlet sepenuh masa dan menyumbang pingat buat negara pada setiap kejohanan yang disertainya, Rayzam Shah Wan Sofian terpaksa menelan hakikat pahit apabila elaunnya merosot kira-kira 60 peratus.

    Jika sebelum ini dia dibayar RM2,000 sebulan oleh Majlis Sukan Negara, kini Rayzam hanya diberikan RM800.

    “Kalau RM1,500 tak apa lagi, tapi kalau sudah jatuh sehingga RM800, saya pun terfikir-fikir mungkin lebih baik kerja lain sahaja yang berikan gaji lumayan… lebih baik kerja McDonald’s,” katanya menurut laporan Malaysiakini.

    Atlet berusia 34 tahun itu sebelum ini pernah memenangi pingat emas Sukan SEA 2007 dan 2017 melalui acara 110 meter lari berpagar.

    Dia juga menyumbang pingat perak untuk Malaysia pada Sukan SEA 2019 di Filipina.

    Kata Rayzam dia memang terkilan dengan pemotongan tersebut dan dengan kadar sebegitu sudah pasti atlet sepetinya akan berdepan cabaran untuk memenuhi keperluan hidup seharian.

    “Saya harap MSN ada budi bicara untuk mempertimbangkan poto­ngan elaun ini kerana ramai atlet yang berjaya mengekalkan prestasi meskipun tanpa pingat emas,” katanya yang tinggal di Sabah.

    “Saya sudah berkeluarga, dengan RM800 apalah yang dapat saya buat, dengan tanggu­ngan rumah, bil elektrik dan anak.

    “Bagi saya, MSN perlu lebih telus dan ada budi bicara menilai prestasi atlet, tidak wajar pencapaian hanya dinilai berdasarkan pingat, bukan ­prestasi tahunan atau bahkan ­ranking di Asia,” katanya.

  • Bekas pemain Man City dipindahkan ke penjara kawalan keselamatan maksimum

    Bekas pemain Man City dipindahkan ke penjara kawalan keselamatan maksimum

    BEKAS pemain Manchester City, Benjamin Mendy telah dipindahkan ke penjara keselamatan maksimum HMP Prison Manchester sebelum Krismas lalu sementara menanti perbicaraan atas dakwaan merogol.

    Pemain berusia  27 tahun itu berhadapan tujuh pertuduhan merogol dan satu tuduhan serangan seksual pada bulan lepas dan diarah dipindahkan dari penjara HMP Altercourse Liverpool bersama dengan kawannya, Louis Saha Matturie, 40.

    Lima mangsa berusia lebih 16 tahun membuat aduan terhadap pemain itu dan dia dipercayai melakukan perbuatan tersebut  pada Oktober 2020 dan Ogos 2021.

    Menurut pihak polis, perbuatan tersebut didakwa dilakukan di rumah Mendy di Cheshire dan dia disyaki merogol seorang perempuan selepas diikat jamin pada Ogos 2021.

    Pada Oktober 2021, pemain bola Perancis itu dituduh merogol seorang perempuan sebanyak 3 kali pada Oktober 2020.

    Selepas ditahan oleh polis pada Ogos 2021, Manchester City memberikan kenyataan bahawa mereka telah menggantung Benjamin Mendy.  

    Matturie pula berhadapan enam tuduhan rogol dan satu tuduhan serangan seksual daripada empat  mangsa yang disyaki berlaku pada Mac 2021 dan Ogos 2021.

    Perbicaraan Mendy dan Matturie sepatutnya dijalankan pada 24 Januari namun hakim, Patrick Thompson menyatakan tarikh tersebut “tidak realistik”.

    Peguam Mendy, Christopher Stables menyatakan bahawa anak guamannya menafikan segala tuduhan yang dikenakan keatasnya dalam perbicaaran sebelum ini dan akan meminta tuduhan-tuduhan tersebut untuk digugurkan.