Category: Sukan

  • Hanapiah Nasir meninggal dunia hari ini

    Hanapiah Nasir meninggal dunia hari ini

    LAGENDA sukan olahraga, Hanapiah Nasir yang menghembuskan nafas terakhir pada pukul 6 petang tadi di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

    Allahyarham, 65, banyak menyumbang keringat kepada sukan olahraga negara, meraih empat emas, masing-masing dalam acara lompat jauh (1985), 110 meter (m) lari berpagar (1985) dan decathlon (1983 dan 1981) di temasya Sukan SEA.

    Pada 1985, Allahyarham memecahkan rekod Sukan SEA dalam acara lompat jauh dengan lompatan sejauh 7.59m serta 110m lari berpagar.

    Allahyarham turut meraih perak dalam acara 4x100m bersama Rabuan Pit, Sivaling Govindasamy dan Nordin Jadi.Selepas bersara, Allahyarham terus bergiat dalam arena olahraga dan pernah menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih negara dari 2005 hingga ke 2009.

    Difahamkan, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Kampung Baru malam ini dan dikebumikan esok.

    Sementara itu, bekas atlet lontar peluru kebangsaan, Adi Alifuddin Hussin turut memuatnaik hantaran mengenai pemergian Allahyarham di akaun Facebook miliknya.

    “Mohon sedekahkan al-fatihah buat ‘coach’ Hanafiah Nasir yang baru sahaja meninggal dunia sebentar tadi.

    “Semoga arwah ditempatkan di kalangan orang beriman. Terima kasih atas ilmu yang dicurahkan semasa saya aktif dalam sukan olahraga,” kata Adi.

    Dalam pada itu, pemenang pingat emas 110m negara di Sukan SEA Manila 2005, Robani Hassan turut menitipkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

    “Salam takziah buat keluarga coach Hanafiah Nasir yang baharu sahaja meninggal dunia di HKL. Terima kasih coach. Semoga tenang di sana,” tulisnya di laman Facebook, lapor Berita Harian.

  • Azeem raih emas 100m di Florida

    Azeem raih emas 100m di Florida

    JAGUH pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi terus mencipta sensasi di Amerika Syarikat selepas menjuarai acara 100 meter (m) di Kejohanan Florida State University (FSU) Relays, awal pagi tadi (3 pagi waktu Malaysia).

    Pada kejohanan yang berlangsung di Mike Long Track di Tallahassee, Florida, Azeem yang mewakili Universiti Auburn menamatkan perlumbaan dengan catatan 10.32 saat (s) sekali gus meninggalkan sembilan pelumba lain.

    Lebih manis, ia adalah kemenangan sulung buat atlet berusia 18 tahun itu yang membuat debut kejohanan luar dewan di bumi ‘Uncle Sam’ itu selepas tiga penampilan dalam acara 60m dalam dewan sebelum ini.

    Tempat kedua acara itu dimenangi Andre Ewers (10.49s) manakala tempat ketiga dimenangi Trei Thorogood (10.51s) mewakili Universiti Syracuse.

    Bulan lepas, Azeem menampilkan permulaan baik di Amerika Syarikat selepas memecahkan rekod kebangsaan acara pecut 60m lelaki dalam dewan miliknya sendiri pada kejohanan Tiger Paw Invitational.

  • Selangor disaran laksana pelan tindakan iklim secara meluas – Azmin

    Selangor disaran laksana pelan tindakan iklim secara meluas – Azmin

    KERAJAAN negeri Selangor disaran agar menggerakkan Pelan Tindakan Iklim (CAP) secara meluas terutama di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya ia dapat dilaksanakan lebih konsisten dan teratur.

    Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, PBT akan memainkan peranan penting memandangkan institusi ini bakal menjadi ejen pelaksana sekali gus menentukan kejayaan pelaksanaan dasar itu.

    Justeru, bekas menteri besar Selangor itu berkata, kerajaan negeri perlu berlaku adil kepada pimpinan PBT dalam memastikan mereka betul-betul faham mengenai CAP dan tindakan yang perlu diambil supaya dapat bersama mengurangkan kesan perubahan iklim.

    “Kita akui Selangor adalah negeri maju, negeri industri tetapi bukan dengan mengorbankan aspek persekitaran dan masa depan negeri ini.

    “Jika kita ada pelan tindakan yang dapat mencerakinkan atau menggariskan tindakan yang perlu diambil di semua peringkat, maka cara kehidupan kita, tindak-tanduk kita, cara bekerja dalam komuniti itu pastinya dapat mengurangkan kesan perubahan iklim yang sedang berlaku di seluruh dunia,” katanya, lapor MalaysiaNow.

    Beliau menyatakannya semas berucap dalam sesi Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Sultan Selangor di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

    Mengulas lanjut, Azmin turut menyarankan kerajaan negeri Selangor supaya memberi perhatian terhadap cadangan dikemukakan dalam Laporan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang boleh digunakan PBT dalam menangani kesan perubahan iklim yang sedang berlaku.

    Beliau yang juga Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) berkata, antara cadangan yang dikemukakan ialah pelaksanaan bangunan cekap tenaga ekoran pembangunan pesat di banyak daerah di negeri ini serta inisiatif ke arah pengangkutan awam berkarbon rendah.

    Tambahnya, tidak cukup sekiranya kerajaan negeri sekadar memperkenalkan bas Selangorku kerana perlu ada pelan tindakan yang dapat melibatkan semua pengangkutan awam termasuk kenderaan di jabatan dan agensi kerajaan.

    “Terdapat juga keperluan melabur dalam tenaga boleh diperbaharui berbanding kebergantungan kepada bahan api fosil.

    “Banyak industri di Selangor masih menggunakan bahan api fosil untuk menjana tenaga dala aktiviti perniagaan mereka.

    “Bagaimana mungkin PBT dapat mengenakan syarat tertentu untuk memenuhi kehendak mengurangkan impak perubahan iklim ini jika tiada ada CAP yang dibentangkan oleh kerajaan negeri,” katanya.

    Pada masa sama, Azmin turut menjelaskan keperluan untuk kerajaan negeri mempertimbangkan inisiatif pengurusan sisa mapan susulan populasi di Selangor semakin meningkat serta memperbanyakkan infrastruktur hijau dalam usaha mempromosi biodiversiti di Selangor.

    “Ini hanya beberapa cadangan. Kalau boleh kerajaan dapat beri perhatian serius, bukan setakat tarik pelaburan dalam Selangor tetapi juga bagaimana pelaburan ini dapat menepati kehendak untuk meminimumkan impak perubahan iklim.

    “Jika industri tidak memenuhi syarat-syarat tersebit, maka produk dan perkhidmatan tidak dapat dieksport kepada negara-negara maju,” kata Azmin yang juga bekas menteri kanan perdagangan antarabangsa dan industri.

  • Tiket percuma buat penyokong sertai kelas al-Quran KDA FC

    Tiket percuma buat penyokong sertai kelas al-Quran KDA FC

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TIDAK hanya melakukan persiapan bersungguh-sungguh bagi menghadapi saingan di tengah padang, pihak pengurusan Kedah Darul Aman (KDA) FC musim ini turut tampil dengan pelbagai idea berbeza bagi meraikan penyokong dengan yang terbaru, menggalakkan bacaan al-Quran dalam kalangan umat Islam.

    Menerusi pengumuman dibuat di laman Facebooknya hari ini, KDA FC mengumumkan mengenai klinik bacaan al-Quran KDA FC yang dianjurkan bersama salah sebuah syarikat penaja, Olive House pada setiap hari perlawanan di Stadium Darul Aman.

    Menariknya, setiap penyokong yang berjaya menamatkan sesi bimbingan bacaan al-Quran itu sebanyak 10 kali, mereka akan menerima sekeping tiket perlawanan percuma.

    “Pada setiap hari perlawanan, akan ada klinik bacaan al-Quran yang dibuka kepada penyokong Sang Kenari Sesi itu akan dibimbing guru terlatih dan jika penyokong berjaya menamatkannya sebanyak 10 kali, KDA FC dan Olive House akan memberi hadiah tiket perlawanan.

    “Tiket percuma itu akan diberi pada perlawanan ke-11. Insya Allah, semua penyokong Sang Kenari celik dan fasih dalam sebutan ayat al-Quran,” katanya.

    Tambah kenyataan itu lagi, bimbingan bacaan al-Quran itu akan dilaksanakan secara bersemuka oleh guru terlatih.

    “Sesi bacaan adalah untuk semua golongan dari permulaan hingga mahir,” katanya.

  • TMJ setuju lantik KJ sebagai penasihat, ahli lembaga JDT

    TMJ setuju lantik KJ sebagai penasihat, ahli lembaga JDT

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersetuju melantik bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebagai Penasihat Belia Johor serta menjadi sebahagian Lembaga Pengarah Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

    Menurut pemilik kelab bola sepak tersebut, bekas Menteri Kesihatan itu juga sudah menyatakan persetujuan.

    “Saya telah bertemu dengan Khairy Jamaluddin dan bersetuju untuk melantik beliau sebagai Penasihat Belia Johor dan sebahagian Lembaga Pengarah Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim.

    “Pengalaman luas beliau dalam pelbagai bidang di negara ini akan memberikan nilai tambah kepada pembangunan belia serta kemajuan bola sepak Johor,” kata Tunku Mahkota Johor itu dalam Facebook miliknya, hari ini.

    Sebelum ini, Tunku Ismail memberi bayangan menawarkan Khairy jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JDT.

    “CEO masa depan JDT dan penasihat belia Johor,” tulis Tunku Ismail dalam laman Story Instragram miliknya baru-baru ini.

    Khairy juga turut membalas tawaran Tunku Ismail menerusi Story Instragramnya, dan menulis: “One door closes, others will open (satu pintu tertutup, pintu lain terbuka). Rezeki di tangan ALLAH.”

    Untuk rekod, Khairy atau lebih dikenali dengan panggilan KJ dianggap tidak asing dalam sukan bola.

  • Bekas pelari pecut negara Anita Ali meninggal dunia

    Bekas pelari pecut negara Anita Ali meninggal dunia

    BEKAS pelari pecut wanita negara Anita Ali meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Kuala Lumpur, pada usia 49 tahun, semalam. 

    Berita pemergian atlet yang pernah beraksi pada Sukan SEA era 80-an itu dikongsi Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Beliau berkata arwah meninggal dunia kira-kira 7.15 petang semalam akibat kanser payudara yang dialaminya sebelum ini, yang merebak ke tulang belakang. 

    “Pada Disember lepas, arwah dimasukkan ke PPUM, dan pihak YAKEB membawa beliau ke hospital swasta untuk imbasan MRI (pengimejan resonans magnetik), dan kanser beliau didapati semakin parah.

    “Beliau bersungguh-sungguh melawan kanser, namun meninggal dunia pada hari kelahirannya semalam,” katanya. 

    Noorul Ariffin berkata pemergian Anita yang pernah beraksi pada Sukan Asia di China pada 1990 disifatkan sebagai kehilangan besar buat arena olahraga tanah air. 

    Katanya, Anita yang merupakan ahli Yakeb, banyak memberi nasihat kepada atlet muda untuk terus mengharumkan nama negara. 

    Pada Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur, Anita yang ketika itu berusia 21 tahun bersama gandingannya G. Shanti, Sajaratuldur Hamzah dan Datuk Mumtaz Jaafar memperbaharui rekod kebangsaan acara 4×100 meter dengan catatan 45.37 saat. 

  • FIFA, dunia puji Ultras Malaya

    FIFA, dunia puji Ultras Malaya

    TINDAKAN kumpulan penyokong Ultras Malaya memberikan penghormatan kepada pasukan Thailand selepas tamat aksi separuh akhir kedua Piala AFF 2022, malam tadi mendapat perhatian daripada pelbagai pihak.

    Lebih membanggakan apabila ia turut meraih pujian daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang memuat naik video berkenaan di laman Twitter mereka, lapor Berita Harian.

    “Perlawanan yang indah. Penyokong Malaysia menunjukkan penghormatan kepada pemain Thailand selepas pasukan mereka tewas dalam Piala AFF,” tulis Badan bola sepak dunia berkenaan.

    Rata-rata pengguna media sosial menganggap tindakan itu sebagai terbaik daripada Ultras Malaya walaupun skuad Harimau Malaya tewas dan terkandas di pusingan separuh akhir.

    Terdahulu, laman rasmi Facebook rasmi Piala AFF 2022 memuat naik video Ultras Malaya menyanyikan lagu buat pemain Thailand selepas skuad itu menewaskan Malaysia 3-0 pada separuh akhir kedua di Stadium Thammasat, malam tadi.

    Kemenangan itu menyaksikan skuad Gajah Perang yang juga juara bertahan mara ke final buat kali ke-10 dengan agregat 3-1 selepas tewas 0-1 pada separuh akhir pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu lalu.

    Thailand akan menentang juara dua kali Vietnam di pentas akhir yang akan berlangsung pada Jumaat dan Isnin ini.

  • Atlet MMA Victoria Lee meninggal dunia pada usia 18 tahun

    Atlet MMA Victoria Lee meninggal dunia pada usia 18 tahun

    ATLET sukan seni bela diri campuran (MMA), Victoria Lee dilaporkan meninggal dunia pada 26 Disember lalu.

    Memetik laporan CNA, kakaknya, Angela Lee mengesahkan kematian Victoria yang baru berusia 18 tahun itu pada hari ini (8 Januari).

    “Pada 26 Disember 2022 keluarga kami mengalami keadaan yang diharapkan tidak perlu dilalui oleh keluarga lain,” kata Angela Lee dalam catatan di Instagram.

    Kata Angela Lee lagi, amat berat untuk memberitahu berita ini kepada pengikutnya.

    “Amat sukar untuk mengumumkan hal ini. Victoria kami meninggal dunia. Dia pergi terlalu cepat dan keluarga kami benar-benar hancur sejak itu. Kami merinduinya. Lebih daripada segala-galanya di dunia ini. Keluarga kami tidak akan pernah sama. Kehidupan tidak akan pernah sama,” tulisnya, lapor Astro Awani.

    Kematian Victoria Lee di Hawaii diumumkan secara terbuka oleh Taman Memorial Valley of the Temples di Kaneohe, Jumaat lalu namun punca kematiannya tidak diberitahu kepada umum.

    Dilahirkan di Hawaii, Victoria Lee mewakili dua negara iaitu Amerika Syarikat dan Singapura sebagai ahli pasukan MMA United dan Evolve MMA.

    Victoria dilantik sebagai penolong tenaga pengajar di Evolve MMA, rangkaian gim seni bela diri di Singapura.

    Menurut South China Morning Post, mendiang dijadualkan bertanding dalam perlawanan MMA Profesional keempatnya menentang Zeba Bano di India pada 14 Januari di Bangkok.

  • Anak Beckham, Romeo sertai Brentford

    Anak Beckham, Romeo sertai Brentford

    ROMEO Beckham, anak kepada bekas kapten England, David Beckham, akan bermain untuk Brentford secara pinjaman daripada Inter Miami II sehingga akhir musim, kata kelab Liga Perdana Inggeris itu.

    Pemain sayap berusia 20 tahun itu menyertai sekutu simpanan pasukan Bola Sepak Liga Utama bapanya, Inter Miami – dahulunya dikenali Fort Lauderdale CF pada 2021 selepas berehat enam tahun dalam karier bola sepak yang bermula di Akademi Arsenal.

    Romeo menghabiskan latihan musim penutup MLS Next Pro bersama pasukan remaja Brentford sebelum berpindah.

    “Kami sangat gembira dengan Romeo sejak dia tiba bersama kami.

    “Dia datang dari Inter Miami dengan tujuan untuk bekerja dengan kami. Romeo telah mempamerkan karakter dirinya dengan sangat baik. Saya suka standardnya dan cara dia berkelakuan dalam dan luar padang.

    “Dia boleh menjadi lebih cergas sepanjang bersama kami, ia meletakkan dia di tempat yang baik untuk kini melangkah ke hadapan setelah menyertai kami secara pinjaman,” kata pengendali Brentford B, Neil MacFarlane.

    Romeo mengetuai MLS Next Pro dengan 10 bantuan gol musim lalu, membuat 20 penampilan dan menjaringkan dua gol, lapor Sinar Harian.

  • Piala AFF: Ketiadaan 21,000 penyokong gembirakan Thailand

    Piala AFF: Ketiadaan 21,000 penyokong gembirakan Thailand

    KEKOSONGAN 21,000 tempat duduk di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF esok angkara halangan struktur konsert selebriti antarabangsa Taiwan, Jay Chou nampaknya memberi kegembiraan pasukan Thailand.

    Perkembangan itu diakui sendiri pengendali skuad Gajah Perang, Alexandre Polking yang tampak menarik nafas lega selepas SNBJ tidak dapat beroperasi semaksimum mungkin susulan penganjuran konsert artis berkenaan pada 15 Januari ini.

    Namun ketiadaan 21,000 penyokong itu bukanlah ‘lesen’ untuk anak buahnya memandang enteng pertembungan separuh akhir pertama Piala AFF 2022 malam esok memandangkan Malaysia tetap memiliki kekuatannya yang tersendiri.

    “Segala-galanya baik di sini dan mental kita sudah bersedia sepenuhnya untuk aksi sengit ini. Saya rasa kita agak bertuah dengan penganjuran konsert yang menyebabkan 21,000 tempat terpaksa dikosongkan, jadi kami gembira dengan situasi itu.

    “Tetapi kami tahu aksi ini tetap sukar dan kita harus bersedia denga apa juga situasi yang mungkin terjadi pada perlawanan esok (malam ini). Kita akan bermain dengan kekuatan kita, cuba mendapatkan bola dan mengawal permainan,” katanya pada sidang media pra perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, di ibu negara, hari ini.

    Dalam perkembangan sama, jurulatih kelahiran Brazil itu melihat skuad Harimau Malaya yang ‘berwajah baharu’ ini tetap mampu mengancam mereka apatah lagi dikendalikan oleh jurulatih berpengalaman luas dalam bola sepak, Kim Pan Gon.

    “Pasukan Malaysia ada kekuatan dengan DNA mereka sebagai pejuang. Tak kisahlah siapa pun yang bermain, DNA ini tetap ada dalam setiap pemain Malaysia walaupun mereka berdepan senario sama seperti kita apabila tidak mendapat pemain terbaik.

    “Tetapi mereka tetap ada pemain yang berkualiti dan pertembungan ini sentiasa sukar sama seperti sebelum ini. Ini adalah aksi yang begitu kompetitif dan harapnya kita dapat membawa pulang keputusan yang positif bagi aksi kedua nanti,”katanya, lapor Berita Harian.