Category: Semasa

  • Lelaki ditahan ganggu, ekori remaja 17 tahun

    Lelaki ditahan ganggu, ekori remaja 17 tahun

    POLIS menahan seorang lelaki kerana mengganggu seorang remaja perempuan dengan mengekorinya sehingga ke rumah di Taman Dagang, Ampang, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, mangsa berusia 17 tahun memaklumkan dia diekori suspek berusia 32 tahun dari tempat letak kereta sehingga ke rumahnya pada 3.45 petang.

    “Semasa menaiki tangga di blok rumahnya, suspek mengekori mangsa secara rapat dan cuba untuk memegang remaja berkenaan sebelum dia terus melarikan diri dengan memanggil kakaknya.

    “Suspek kemudian membuat kacau di hadapan rumah mangsa dan turun ke bawah blok semula. Mangsa kemudian meminta bantuan tunang kakaknya yang menahan suspek sebelum menghubungi pihak polis untuk tindakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Pihaknya menahan semula suspek di lokasi terbabit pada 4.20 petang dan semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod kesalahan dadah.

    “Suspek direman empat hari bermula semalam hingga 7 September ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya sebagaimana dilaporkan Harian Metro.

  • Pengurus akaun mengaku tidak salah pecah amanah libatkan lebih RM2.5 juta

    Pengurus akaun mengaku tidak salah pecah amanah libatkan lebih RM2.5 juta

    SEORANG pengurus akaun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 114 pertuduhan pecah amanah melibatkan wang tunai dan cek bernilai lebih RM2.5 juta, antara Jun 2017 hingga November 2019.

    Mohd Reazal Mohd Yassin, 48, didakwa melakukan perbuatan itu ketika bekerja di syarikat pembuatan perabot di Kundang Ulu, Grisek, Tangkak.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 14 tahun, sebat dan denda.

    Timbalan Pendakwa Raya Ummi Amyra Natasha Azhar menawarkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan, bagaimanapun Mohd Reazal yang tidak diwakili peguam, merayu agar jaminan dikurangkan memandang dia yang kini tidak bekerja, tidak sihat dan menanggung isteri serta ibu mentua yang sakit.

    Hakim Irwan Suainbon membenarkan tertuduh diikat jaminan sebanyak RM1,000 setiap pertuduhan dan menetapkan 5 Okt untuk sebutan semula kes.- BERNAMA

  • Tular wanita guna kereta Singapura cop parkir, netizen panas hati

    Tular wanita guna kereta Singapura cop parkir, netizen panas hati

    KECOH sejak semalam selepas dua klip video seorang wanita cop parkir tular dalam media sosial.

    Tindakan itu telah mendapat kecaman netizen dan lebih ‘panas’ hati apabila kenderaan tersebut menggunakan nombor plat Singapura.

    Kejadian yang berlaku di sebuah pusat beli-belah itu dikongsi seorang wanita bernama Hey XpG dalam Facebooknya semalam.

    Dalam perkongsian berbunyi “Sya tak pernah upload benda macam ni on my gaming page tapi orang begini tiada adab. Uncivilized. Baru jadi tadi pada adik Sya. Korang tengok sendiri dan rate lah sakit hati korang tu tahap apa.

    “Perempuan ni boleh turun, pergi cop parking kat kereta yang nak keluar tu sedangkan adik Sya dah tunggu depan kereta tu nak masuk parking.

    “Bila kereta perempuan tu datang, nak masuk parking tu, dia block kereta adik Sya so that kereta family (agaknyalah) dia boleh masuk. Tersengih-sengih seperti kerang busuk disitu,” tulisnya di ruangan kapsyen.

    Menerusi video berkenaan turut kedengaran suara wanita dan lelaki yang merungut kerana hampa dengan situasi yang terjadi.

    Wanita yang menunggu di parkir kenderaan dilihat menjaga parkir terbabit sambil menghubungi seseorang sambil tersenyum-senyum.

    Malah, di dalam klip video terbabit juga kelihatan Toyota Vios keluar dari tempat parkir sebelum sebuah kereta jenis Mercedes berwarna hitam dengan nombor pendaftaran Singapura datang dan meluru masuk ke ruangan parkir tanpa segan silu.

    Kejadian terbabit membuatkan mangsa kesal dan bertindak membunyikan hon berkali-kali.

    Namun, langsung tidak diendahkan.

    Tinjauan UtusanTV di ruangan komen mendapati rata-rata warganet turut geram akan kejadian tersebut dan berkongsi berdepan situasi yang sama.

    “Dah pernah kena macamni memang geram! Dah la pusing banyak kali dekat 20min susah nak dapat parking..tiba2 dah dapat parking bagi signal nak masuk ada kereta dari arah depan cross & terus masuk parking tu..memang meyumpah la aku,” tulis Roslina Zulkifli.

    “Pernah kena macamni, sy bg dia masuk, lepas dia pergi sy bocorkan tayar dia 4 bijik puas ati,” ujar Mat Idiey.

    “Pernah kena mcm ni dgn S jugak,sy high beam + hon 1 kali maju sikit pasut reverse. Marah org yg cop parking tu, sy tnya dia “parking ni untuk org ke untuk kereta?” marah pulak org tu,” komen Na Na.

  • PRU-15: PAS belum muktamad jumlah kerusi ditandingi

    PRU-15: PAS belum muktamad jumlah kerusi ditandingi

    PAS masih belum memuktamadkan jumlah kerusi Parlimen yang akan ditandingi parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

    Beliau berkata segala keputusan berkenaan jumlah kerusi yang bakal ditandingi PAS akan dibincangkan terlebih dahulu di peringkat parti itu.

    “Itu bukan jumlah kerusi kami bertanding, itu kerusi yang kami pantau (80 kerusi). Jumlah kerusi kami akan bincang di peringkat parti. Perikatan Nasional (PN) belum putuskan (kawasan parti bertanding), bagaimanapun setiap parti akan buat pemantauan kerusi-kerusi yang kami rasa boleh menang,” katanya.

    Tuan Ibrahim berkata demikian kepada pemberita bagi mengulas sama ada sasaran PAS bertanding 80 kerusi Parlimen pada PRU15 sudah dibincangkan dengan PN ataupun tidak.

    Semalam, Pengarah Pilihanraya PAS Pusat Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan PAS menyasarkan untuk bertanding di 80 kerusi Parlimen pada PRU15.

    Menteri Besar Kedah itu berkata jumlah tersebut sekali ganda berbanding 40 kerusi ditandingi pada PRU14 dan pihaknya sedang menganalisa kawasan yang mencapai indeks pencapaian utama (KPI) untuk berada dalam senarai 80 kerusi Parlimen yang disasarkan.- BERNAMA

  • Kerani didakwa bunuh anak kandung

    Kerani didakwa bunuh anak kandung

    SEORANG kerani syarikat swasta dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas pertuduhan membunuh bayi lelakinya berusia enam bulan di sebuah rumah di Kampung Klang Gate, bulan lepas.

    Zainah Misdin, 34, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Amalina Basirah Md Top.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Wanita itu didakwa bersama-sama seorang individu yang masih bebas, membunuh bayi berkenaan di sebuah rumah di Jalan Seladang 2 Kampung Klang Gate di sini pada 7.40 malam, 23 Ogos lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah menetapkan 6 Dis ini untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ameera Sam Kamaruddin manakala tertuduh diwakili peguam Swinder Singh.

    Pada 30 Ogos lepas, media melaporkan seorang wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes kematian bayi lelaki berusia enam bulan.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata dalam kejadian itu pegawai perubatan hospital telah menerima pesakit seorang bayi lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat muntah dan sawan, namun disahkan meninggal dunia pada 4.30 petang, 29 Ogos lepas.- BERNAMA

  • Warga emas maut dalam kebakaran rumah bersebelahan tokong

    Warga emas maut dalam kebakaran rumah bersebelahan tokong

    SEORANG lelaki warga emas ditemukan maut selepas terperangkap dalam kebakaran membabitkan dua rumah dan sebuah tokong di Jalan Merah 1/4, Bukit Merah, Menglembu di Ipoh, hari ini.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memberitahu, mangsa, Loo Kin Chan@Loo Kok Chan, 78, ditemukan dalam salah sebuah rumah terbabit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pukul 5.25 pagi.

    “Kebakaran melibatkan dua rumah kelas B yang masing-masing musnah terbakar 80 peratus dan sebuah tokong terbakar 20 peratus.

    “Anggota bertindak membuat pemadaman dengan menggunakan aliran air. Operasi turut dibantu oleh pasukan daripada BBP Ipoh hingga api berjaya dipadam sepenuhnya,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 8.55 pagi

  • Najib kekal sebagai Ahli Parlimen Pekan – Azhar Azizan

    Najib kekal sebagai Ahli Parlimen Pekan – Azhar Azizan

    STATUS Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Ahli Parlimen Pekan buat masa ini tidak berubah, kata Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

    Memetik laporan Astro Awani, Azhar berkata, berikutan petisyen pengampunan telah difailkan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh keputusan Mahkamah Persekutuan, kuat kuasa kehilangan kelayakan sebagai Ahli Parlimen hanya akan dimuktamadkan apabila petisyen pengampunan yang difailkan 2 September lalu dibereskan atau ditolak.

    “Ini bermakna status Yang Berhormat Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sebagai Ahli Parlimen Pekan pada masa ini tidak berubah dan akan hanya dimuktamadkan apabila petisyen pengampunan itu dibereskan,” kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

    Mengulas lanjut, Azhar Azizan berkata, mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, mana-mana Ahli Parlimen yang disabit atas kesalahan oleh mahkamah di Persekutuan dan dihukum penjara untuk tidak kurang daripada setahun atau didenda sebanyak kurang RM2,000, individu berkenaan akan hilang kelayakan sebagai seorang Ahli Parlimen.

    Jelas beliau, kuat kuasa Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan adalah tertakluk kepada 48(4) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 53(2) Perlembagaan Persekutuan

    Beliau dalam masa sama memaklumkan menerima serahan beberapa dokumen termasuk salinan permohonan pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan ke atas Najib, bertarikh 1 September.

    Turut diterima ialah salinan surat daripada Tetuan Shafee & Co bertarikh sama, yang melampirkan permohonan pengampunan tersebut yang diaku terima oleh Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri pada 2 September.

    Selain itu, Azhar Azizan juga menerima salinan Perintah Jenayah termeterai masing-masing bagi kes rayuan Najib di Mahkamah Persekutuan bertarikg 23 Ogos 2022.

    Mahkamah Persekutuan sebelum ini mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib, yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

  • Kes rasuah, AMLA: Mahkamah kekal 9 daripada 13 pertuduhan terhadap Abdul Azeez

    Kes rasuah, AMLA: Mahkamah kekal 9 daripada 13 pertuduhan terhadap Abdul Azeez

    MAHKAMAH Rayuan sebulat suara menolak permohonan rayuan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim untuk membatalkan 13 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya.

    Hakim Datuk Abu Bakar mewakili panel tiga hakim ketika membacakan keputusan itu berkata, mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan perayu untuk membatalkan empat pertuduhan melibatkan pengubahan wang haram.

    Dengan keputusan itu, Abdul Azeez hanya akan meneruskan perbicaraan untuk sembilan pertuduhan ketka sebutan kes pada 7 September ini di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

    Pada Januari 2019, Ahli Parlimen Baling itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 13 pertuduhan berkaitan projek pembinaan lebuh raya dan naik taraf jalan raya di Kedah dan Perak.

    Ia membabitkan tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta dan 10 pertuduhan pengubahan wang haram.

    Projek tersebut melibatkan Lebuhraya Persisiran Pantai Baru, kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak).

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Bank CIMB cawangan Menara UAB pada 8 Disember 2010 dan Affin Bank Berhad, Setiawalk, Pusat Bandar Puchong, Selangor pada 13 Jun 2017 serta 10 April 2018.

    Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Abdul Azeez didakwa melakukan kesalahan itu di Lembah Klang di antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018, lapor Astro Awani.

  • Sehari selepas dimasukkan ke hospital, Najib hadir di mahkamah

    Sehari selepas dimasukkan ke hospital, Najib hadir di mahkamah

    DATUK Seri Najib Razak hadir di mahkamah hari ini walaupun sebelum ini dilapor dimasukkan ke hospital bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.

    Bekas Perdana Menteri itu
    yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang tiba sekitar pukul 8.50 pagi di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Najib, 69 tahun, dilihat memakai sut berwarna gelap dan diiringi pegawai penjara bagi menghadiri prosiding di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, lapor Astro Awani.

    Turut kelihatan hadir, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

    Semalam media melaporkan, pegawai Najib mengesahkan beliau dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) baru-baru ini.

    Bagaimanapun, keadaan Najib dilapor stabil dan sedang melalui kesemua siasatan perubatan yang diperlukan.

    Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

  • 9 pelajar didakwa sebabkan kecederaan parah terhadap junior

    9 pelajar didakwa sebabkan kecederaan parah terhadap junior

    SEMBILAN  pelajar dari sebuah sekolah asrama yang ditahan berhubung kes buli, didakwa di Mahkamah Majistret di Teluk Intan hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah ke atas seorang pelajar junior pada Jun lepas.

    Kesemua pelajar lelaki berusia 17 tahun itu mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara serentak di hadapan Majistret Nur Faizah Muhamad Saleh.

    Mereka didakwa secara bersama menyebabkan kecederaan parah ke atas pelajar lelaki berusia 14 tahun di bilik asrama sebuah sekolah menengah di Jalan Changkat Jong di Teluk Intan pada kira-kira 12.30 tengah malam, 23 Jun lepas.

    Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Azalea Sharmeen Zaizan manakala kesemua remaja berkenaan diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan S. Francis.

    Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 ke atas setiap tertuduh dan menetapkan 5 Okt depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Pada 23 Jun lepas, polis menahan 10 pelajar senior kepada mangsa selepas menerima laporan berhubung kes itu pada hari yang sama.