Category: Semasa

  • Legasi isu projek solar hibrid Sarawak merumitkan-Dr. Radzi

    Legasi isu projek solar hibrid Sarawak merumitkan-Dr. Radzi

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) menyifatkan projek solar hibrid membabitkan sekolah pedalaman di Sarawak adalah merumitkan.

    Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, KPM akan meneliti pelbagai aspek termasuk perundangan sebelum sebarang keputusan dibuat.

    “Legasi isu yang ditinggalkan (kerajaan terdahulu) sangat merumitkan dan kita kena lihat satu persatu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis libat utus bersama editor kanan agensi media di Putrajaya, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Jumaat lalu, Sarawak merayu agar kerajaan meneruskan dan melengkapkan projek hibrid tersebut di negari itu.

    Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, adalah tidak wajar hak yang sewajarnya dinikmati masyarakat luar bandar Sarawak tergadai.

    Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu mensabitkan isteri bekas Perdana Menteri, Rosmah Mansor atas tuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima suapan RM6.5 juta membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

    Rasuah itu diterima melalui bekas pegawai khas suaminya Datuk Seri Najib Razak, iaitu Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

    Terdapat 369 sekolah di negeri itu yang tidak mempunyai bekalan elektrik tetap dan hanya menggunakan genset diesel untuk menjana elektrik.

    Sebelum 2017, bekalan diesel kepada sekolah adalah daripada beberapa kontraktor yang dibekalkan secara kontrak.

    Bermula 1 Jan 2017, Jepak Holding Sdn. Bhd. yang asalnya satu daripada kontraktor terlibat, telah diberikan kontrak membekalkan elektrik kepada semua 369 sekolah itu bagi tempoh tiga tahun sehingga 31 Disember 2019 dengan nilai melebihi RM1 bilion termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

    Selain membekalkan diesel di sekolah-sekolah pedalaman di Sarawak, syarikat itu juga memasang sistem solar hibrid dan penyelenggaraan generator di 369 sekolah pedalaman selama tiga tahun.

  • Anthony Loke tidak gentar lawan KJ di Seremban pada PRU-15

    Anthony Loke tidak gentar lawan KJ di Seremban pada PRU-15

    SETIAUSAHA Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook sedia berhadapan dengan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam mempertahankan kerusi Parlimen Seremban di Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Beliau tidak gentar menghadapi sebarang kemungkinan dan cabaran dalam perjuangan politik.

    “Yang pertamanya, adalah menjadi hak demokrasi masing-masing untuk bertanding di mana-mana kawasan.

    “Saya tetap bersedia untuk mempertahankan kerusi Parlimen Seremban dalam PRU-15 walaupun berhadapan dengan KJ (Khairy Jamaluddin) atau sesiapa pun yang dicalonkan oleh pihak lawan.

    “Biarlah rakyat dan pengundi di Parlimen Seremban menilai dan memutuskan sama ada saya terus layak mewakili kepentingan dan suara mereka di Dewan Rakyat,” katanya dalam siaran menerusi Facebook miliknya hari ini.

    Semalam, media melaporkan bahawa Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengakui bakal ‘berpindah’ ke kawasan Parlimen lain dalam PRU-15.

    Jelas beliau, ia susulan kerusi yang disandang sejak tiga penggal lalu itu diberi kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyatakan hasrat untuk bertanding di situ.

    Dalam pada itu, ulas Anthony Loke, persaingan merebut kerusi di Parlimen Seremban itu dijangka menjadi sengit dalam pilihan raya akan datang.

    “KJ merupakan tokoh politik yang berkaliber dan sudah tentu merupakan pesaing yang kuat di mana sahaja beliau bertanding.

    “Sekiranya benar beliau bertanding di Parlimen Seremban, maka persaingan ini amatlah sengit dan akan menjadi antara kerusi yang paling ‘panas’ dalam PRU-15,” ujarnya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.

  • Bapa pelakon remaja popular buat laporan polis dituduh meraba, pukul anak

    Bapa pelakon remaja popular buat laporan polis dituduh meraba, pukul anak

    POLIS mengesahkan bapa kepada seorang pelakon remaja perempuan membuat laporan polis berhubung pendedahan anaknya di media sosial, baru-baru ini, mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual dan dipukul lelaki itu.

    Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, bapa pelakon itu membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Baharu, Kedah, semalam, untuk menafikan dakwaan itu.

    Bagaimanapun, beliau berkata, Polis Kuala Lumpur belum menerima sebarang laporan polis daripada pelakon remaja terbabit atau daripada mana-mana pihak berkaitan perkara itu.

    “Setakat ini, tiada laporan diterima berkaitan perkara itu di Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Baru-baru ini, pelakon berusia 15 tahun menerusi satu temubual di YouTube ‘Bros Gang TV’ membuat pendedahan mengejutkan mengenai sikap sebenar bapa kandungnya yang didakwa suka menonton filem lucah.

    Menerusi temubual itu, pelakon itu turut mendakwa dia sering diraba dan dicium bapa kandungnya, ketika dia berusia lima hingga enam tahun.

    Lelaki itu juga didakwa melakukan gangguan seksual terhadap pelakon remaja itu termasuk melakukan onani di hadapannya.

    Malah dia dikatakan mengajak anak perempuannya itu menonton video lucah bersama-sama.

    Sementara itu, semalam, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dilaporkan berkata, pihaknya bersedia memanggil pelakon remaja itu jika ada laporan dibuat.

    Katanya, setakat ini belum ada laporan rasmi diterima pihaknya dan beliau juga baru mengetahui perkara itu menerusi laporan media.

  • Saksi tak pasti surat sokongan pinjaman RM1 Billion oleh 1MDB dibentang kepada parlimen

    Saksi tak pasti surat sokongan pinjaman RM1 Billion oleh 1MDB dibentang kepada parlimen

    SEORANG saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini beliau tidak pasti sama ada proses pengeluaran surat sokongan bagi membuat pinjaman RM1 bilion yang dikemukakan oleh syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada Kementerian Kewangan dibentangkan di Parlimen atau tidak.

    Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Datuk Siti Zauyah Mohd Desa, 63, berkata kebiasaannya, pihak Kementerian Kewangan akan membuat usaha wajar dan melalui proses yang sepatutnya iaitu pembentangan mengenai pinjaman di Kabinet dan seterusnya di Parlimen bagi mendapat kelulusan Jemaah Menteri.

    Bagaimanapun, Siti Zauyah berkata bagi 1MDB yang merupakan syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), beliau tidak pasti sama ada proses pembentangan di Parlimen mengenai pinjaman berkenaan dilakukan atau tidak.

    Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi bekas perdana menteri itu.

    Wan Aizuddin kemudian merujuk saksi pendakwaan ke-26 itu kepada pernyataan saksinya yang menyatakan bahawa Kementerian Kewangan tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai 1MDB untuk melakukan usaha wajar, tetapi surat sokongan itu tetap diproses berdasarkan arahan Najib, yang juga Menteri Kewangan ketika itu.

    Wan Aizuddin: Boleh Datuk terangkan bagaimana arahan oleh Datuk Seri Najib ini diberikan? Adakah ia secara formal atau tidak formal?

    Siti Zauyah: Saya tidak ingat.

    Wan Aizuddin: Jadi apa asas kenyataan Datuk? Mesti ada peristiwa atau dokumen tertentu yang membuat Datuk membuat kenyataan ini.

    Saksi tidak menjawab soalan itu.

    Wan Aizuddin seterusnya merujuk kepada penambahan yang dibuat oleh Siti Zauyah dalam pernyataan saksinya, iaitu beliau menyatakan telah memohon untuk mendapatkan dokumen berkaitan 1MDB daripada Pejabat Perdana Menteri, tetapi tidak mendapat sebarang jawapan.

    Saksi bagaimanapun menafikan membuat kenyataan itu dan berkata beliau hanya memohon dokumen daripada 1MDB dan bukan daripada Pejabat Perdana Menteri.

    “Saya memang ada berurusan dengan Pejabat Perdana Menteri tetapi bukan secara langsung. Saya hanya berhubung dengan arwah Datuk Azlin Alias (bekas Setiausaha Sulit Khas Najib),” katanya.

    Najib, 69, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung.

  • Kes SRC paling mudah untuk dibuktikan, kata Tommy

    Kes SRC paling mudah untuk dibuktikan, kata Tommy

    BEKAS Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menjelaskan kes penyelewengan dana RM42 juta milik Syarikat SRC International Sdn. Bhd. melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak paling mudah untuk dibuktikan.

    Beliau berkata, itu menjadi antara faktor kes tersebut adalah yang pertama dibawa ke mahkamah berbanding kes lain untuk mendakwa bekas Perdana Menteri itu.

    “Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menyiasat kes tersebut dan sedikit sebanyak membantu Jabatan Peguam Negara.

    “Pada tahap tertentu, pilihan dibuat kerana peguam perlu bergantung kepada arahan dan dalam kes ini, kertas siasatan. Jadi bayangkan DPP (timbalan pendakwa raya) dan saya sendiri sebagai peguam melihat dokumen yang diberikan oleh orang lain. Dalam kes ini, ia adalah siasatan SPRM, berbanding agensi lain. SPRM kata fail yang mereka teliti sebelum ini adalah SRC (International).

    “Mereka mengesahkan khabar angin yang tersebar di KL (Kuala Lumpur), iaitu ketika pendahulu saya, (Tan Sri) Abdul Gani Patail yang dipecat pada Julai 2016 bahawa SPRM mendahului dalam siasatan SRC, jadi ia hanya menjalankan tugas tersebut.

    “Itu adalah faktor utama – fail itu datang kepada saya. Mujur, SRC adalah yang paling mudah untuk dibuktikan, kerana jika anda mendedahkan segala-galanya, ia hanya melibatkan kecurian RM42 juta. Jadi, ia mudah untuk dibuktikan,” katanya menurut Sinar Harian yang memetik wawancara bersama portal berita, Malaysiakini, hari ini.

    Beliau yang mengendalikan kes daripada awal turut menjelaskan tindakannya menyerahkan kes tersebut kepada pendakwa luar dan bukannya individu dari Jabatan Peguam Negara pada 31 Ogos 2018.

    Tommy berkata, kes tersebut mempunyai banyak dokumen dan memerlukan peguam yang mahir untuk mengendalikannya.

    Menurutnya, dokumentasi yang banyak itu bagus kerana ia membantu untuk membuktikan kes, tetapi perlu ada peguam yang benar-benar mahir dengan dokumen berkenaan dan bukan sekadar membaca serta cuba memahami.

    “Anda perlu mendapatkan konteks dan mempunyai pengalaman dalam mengendalikan penipuan korporat, komersial dan penipuan kewangan. Peguam yang berpengalaman dalam menangani kes sebegini akan lebih faham dengan masalah berkenaan.

    “Itulah sebab saya memutuskan untuk mendapatkan peguam luar. Saya membuat pengumuman pada Hari Merdeka, 31 Ogos 2018, bahawa kita melantik Sulaiman (Abdullah) untuk mengendalikan SRC, dan (Gopal) Sri Ram untuk kes 1MDB dan kes lain.

    “SRC, secara teknikalnya, bukan sebahagian daripada 1MDB. Ia adalah berasingan. Tetapi untuk rujukan mudah, semua orang meletakkannya sebagai sebahagian daripada penipuan 1MDB, tetapi ditegaskan bahawa ia bukan sebahagian daripada 1MDB,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau turut menyatakan tidak berdepan sebarang kesulitan ketika mendakwa Najib selain tidak berada di bawah tekanan politik.

    “Kami sangat jelas dalam fikiran iaitu, pasukan undang-undang, bahawa ini hanyalah seperti kes lain dan menganggapnya seperti itu. Tidak kira siapa yang dituduh.

    “Saya berkata demikian semasa ucapan pembukaan dalam perbicaraan dan setiap kali bercakap mengenainya, saya menekankan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan adalah relevan. Perkara 8(2) membicarakan tentang kesaksamaan semua rakyat Malaysia (dan warganegara luar yang tinggal di Malaysia) dilayan sama rata di bawah undang-undang.

    “Dan sebaik sahaja anda bersetuju, ia adalah asas kepada kes kami dan sepanjang persediaan dan pembentangan tidak ada beza daripada mana-mana tertuduh yang lain. Dia dan peguamnya mungkin bercakap tentang hak-hak, tetapi apa yang kita tumpukan, dia sama seperti tertuduh lain,” katanya.

  • Wisma Putra siasat dakwaan keluarga mangsa sindiket pekerjaan

    Wisma Putra siasat dakwaan keluarga mangsa sindiket pekerjaan

    WISMA Putra akan menyiasat dakwaan mengatakan kedutaan Malaysia tidak dapat dihubungi pihak hospital di Thailand untuk memaklumkan keadaan menimpa seorang rakyat negara ini, Zhan Feng.

    Memetik laporan Harian Metro, Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, beliau tidak pasti bagaimana dakwaan itu boleh timbul, namun akan mendapatkan laporan untuk mengetahui apa yang berlaku.

    “Saya akan siasat apa yang berlaku. Saya sedih dan terkilan kerana perkara ini berlaku dalam keadaan kita sedang menguruskan lebih kurang 195 lagi rakyat Malaysia termasuk di Thailand…majoriti di Kemboja di mana mereka ini mangsa ‘job scam’ (penipuan pekerjaan).

    “Saya tidak pasti bagaimana laporan mengatakan pihak terbabit tidak dapat berhubung dengan kedutaan Malaysia. Mungkin peristiwa itu berlaku dalam kawasan konflik atau mungkin berlaku di sempadan. Saya tak pasti.

    “Saya akan dapatkan laporan yang jelas tentang apa yang berlaku. Hakikat selepas benda-benda begini berlaku, kaunselor akan membantu sedaya-upaya sama ada proses membawa balik (jasad) dan sebagainya,” katanya hari ini..

    Feng, 23, dilaporkan meninggal dunia pada 11 Mei lalu di Hospital Mae Sot berhampiran sempadan Thailand-Myanmar.

    Mendiang juga dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan orang dan diseludup ke Myawanddy, Myanmar serta dipaksa bekerja untuk sindiket itu.

    Media kelmarin melaporkan pasangan suami isteri warga Malaysia yang ke Bangkok untuk mencari anak lelaki yang hilang tidak dapat menahan kesedihan sebaik mengetahui dia sudah meninggal dunia pada 11 Mei lalu.

    Lebih menyedihkan apabila Goi Chee Kong, 50, dan isterinya yang berusia 45 tahun dari Ipoh, Perak mendapat tahu yang anak sulungnya, Feng, menjadi mangsa sindiket penipuan kerja.

    Berikutan itu, katanya, pihak hospital juga tidak dapat menghubungi kedutaan dan keluarga untuk membincangkan mengenai keadaan kesihatan dan rawatan anaknya.

  • Mahkamah benar Muhammad Shafee dapatkan sementara pasport

    Mahkamah benar Muhammad Shafee dapatkan sementara pasport

    MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk mendapatkan pasport secara sementara bagi membolehkannya ke Australia untuk menghadiri mesyuarat perundangan dengan peguam kanan yang berasal dari United Kingdom.

    Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memberikan pelepasan sementara pasport peguam itu mulai 6 hingga 12 September 2022 selepas Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz tidak membantah permohonan tersebut.

    Terdahulu, Muhammad Shafee memaklumkan bahawa terdapat sedikit pembetulan di dalam afidavit sokongan dalam permohonannya untuk mendapatkan pasport, yang sebelum ini diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.

    “Dalam afidavit hanya menyatakan saya berjumpa Peguam Kanan, Geoffrey Robertson di Melbourne. Saya minta kebenaran kepada Yang Arif supaya ia diubah dengan menambah lokasi Sydney di dalam afidavit itu.

    “Ini kerana Geoffrey Robertson mempunyai rumah di Melbourne, tetapi beliau beroperasi dari firma adiknya, Martin di Sydney, jadi saya mungkin pergi kedua-dua tempat ini,” kata Muhammad Shafee.

    Peguam Wee Yeong Kang yang mewakili Muhammad Shafee pula berkata, pihaknya memohon agar pasport anak guamnya diserahkan sementara dari 6 hingga 12 September 2022 dan dipulangkan semula kepada mahkamah 14 September 2022.

    Muhammad Shafee, peguam bela utama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes berkaitan SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), telah dibenarkan ke luar negara beberapa kali selepas beliau sendiri didakwa di mahkamah.

    Peguam berusia 70 tahun itu telah menyerahkan pasportnya kepada mahkamah pada September 2018 setelah didakwa atas dua pertuduhan menerima RM9.5 juta yang merupakan hasil aktiviti haram melalui dua cek yang dikeluarkan oleh Najib yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

    Muhammad Shafee juga berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.

    Pada 12 Mei lepas, pihak pendakwaan telah menutup kes berkenaan selepas memanggil lapan saksi sepanjang perbicaraan yang bermula 21 Mei 2021 dan hujahan lisan ditetapkan pada 15 Sept di hadapan Hakim Muhammad Jamil.

  • Bank Negara dijangka naikkan lagi OPR minggu ini: Moody’s

    Bank Negara dijangka naikkan lagi OPR minggu ini: Moody’s

    BANK Negara Malaysia dijangka menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.5 peratus minggu ini, kenaikan kadar ketiga berturut-turut, bertujuan membantu mengurangkan inflasi negara ditambah dengan pemulihan ekonomi yang teguh, kata Moody’s Analytics.

    Moody’s berkata indeks harga pengguna utama Malaysia meningkat sebanyak 4.4 peratus tahun ke tahun pada Julai, peningkatan mata peratusan penuh daripada bulan sebelumnya.

    “Sementara itu, keluaran dalam negara kasar suku kedua Malaysia jauh melebihi jangkaan, didorong oleh peningkatan permintaan untuk perkhidmatan selepas sempadan dibuka semula sepenuhnya pada April,” katanya dalam satu kenyataan.

    Dari segi luaran, menaikkan kadar dasar semalaman akan meningkatkan ringgit, yang telah susut berbanding dolar AS di tengah-tengah kenaikan kadar yang agresif oleh Rizab Persekutuan AS, katanya.

    Bank pusat itu dijadualkan untuk mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari September pada 7 hingga 8 September 2022.

  • Kes prima facie terbukti terhadap Ahmad Zahid – Pendakwaan

    Kes prima facie terbukti terhadap Ahmad Zahid – Pendakwaan

    MAHKAMAH Tinggi Shah Alam diberitahu hari ini, wang termasuk dalam mata wang asing yang diterima Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) adalah dalam kapasitinya menjalankan tugas awam sebagai menteri.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob berkata, Zahid, sebagai menteri dalam negeri, menerima wang itu untuk dirinya sendiri.

    “Walaupun pihak pembelaan mengatakan wang itu ialah sumbangan politik, ia tidak dibayar kepada parti politiknya,” katanya.

    Pada masa wang itu diterima, antara 2014 dan 2018, Zahid juga memegang jawatan sebagai naib presiden Umno dan pemangku timbalan presiden UMNO.

    Malik berkata, UKSB tidak pernah memasukkan wang itu ke dalam akaun UMNO mahupun mendapatkan resit pembayaran.

    “Tertuduh juga tidak menolak atau meminta wang itu diambil pergi ketika diserahkan kepadanya,” katanya dalam hujah pada penutupan kes pendakwaan.

    Malik berkata, pengarah UKSB ketika itu, Harry Lee dan Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani bertemu Zahid beberapa kali pada 2013 selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

    “Perbincangan bermula dengan perniagaan UKSB dan kemudiannya mengenai politik. Tertuduh menyatakan dia memerlukan bantuan daripada mereka,” katanya.

    Sebagai contoh, katanya, Zahid mencadangkan dia memerlukan wang tunai dalam mata wang dolar Singapura.

    Katanya, Lee dan Wan Quoris yang memutuskan untuk membayar SGD200,000, SGD300,000 dan SGD520,0000 kepada Zahid setiap bulan.

    “Lee mengesahkan pembayaran itu manakala seorang lagi kakitangan UKSB (bekas pengurus pentadbiran David Tan) merekod pembayaran dalam lejar,” katanya.

    Malik berkata, biasanya Lee dan Wan Quoris yang menghantar wang itu ke rumah Zahid di Country Heights, Kajang, atau di kediaman rasmi timbalan perdana menteri di Putrajaya, selepas 10 malam.

    “Saksi-saksi ini bercakap benar kerana pertemuan itu memang berlangsung,” katanya sambil menambah, Lee, Tan dan Wan Quoris ialah saksi yang boleh dipercayai.

    Katanya, pihak pembelaan menggelar ketiga-tiga mereka sebagai rakan subahat tetapi keterangan mereka boleh diterima bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    “Mereka boleh dipercayai dan boleh diharap. Mereka menjawab semua soalan dengan jujur dan terus terang,” katanya sambil menambah, jika terdapat sebarang percanggahan dalam keterangan mereka sekalipun, ia adalah kecil dan tidak material.

    Beliau mempertahankan bahawa pendakwaan mewujudkan kes prima facie terhadap Zahid kerana bahan pertuduhan itu telah dipenuhi.

    Zahid, Ahli Parlimen Bagan Datuk, berdepan 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SGD13.56 juta (RM42 juta) daripada UKSB sebagai menteri dalam negeri ketika itu untuk menyambung kontrak firma itu sebagai pengendali pusat sehenti di China dan Sistem Visa Asing (VLN) serta mengekalkan perjanjian kontrak untuk pembekalan sistem bersepadu VLN.

    Dia yang juga presiden Umno didakwa atas tujuh lagi pertuduhan memperoleh untuk dirinya sendiri S$1.15 juta, RM3 juta, 15,000 franc Swiss dan USD15,000 daripada syarikat yang sama berhubung tugas rasminya.

    Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di Seri Satria di Presint 16, Putrajaya, dan di Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Yazid Mustafa bersambung.

  • Kuasa menghukum, pengampunan tidak wajar digunakan sewenang-wenang – Agong

    Kuasa menghukum, pengampunan tidak wajar digunakan sewenang-wenang – Agong

    YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, kuasa menghukum dan pengampunan tidak wajar digunakan sewenang-wenangnya.

    Memetik laporan Astro Awani, baginda bertitah, sekiranya undang-undang tidak dilaksanakan secara konsisten dan adil, ia bermakna penggubalan sesuatu undang-undang itu telah ternoda.

    “Kuasa menghukum dan memberi pengampunan tidak wajar digunakan sewenang-wenangnya kerana ianya bakal dipertanggungjawabkan kelak di hari kemudian.

    “Jika undang-undang tidak dilaksanakan secara konsisten dan adil nescaya keadilan tidak akan tercapai, kerana falsafah di sebalik penggubalan sesuatu undang-undang itu telah ternoda,” titah baginda.

    Prinsip keadilan menurut Islam, titah Al-Sultan Abdullah, adalah menjunjung amanah Tuhan dan bukannya mewakili kuasa Tuhan.

    Berpandukan atas prinsip yang sama, Mahkamah Syariah juga, titah baginda, harus bijak menggunakan kuasa budi bicara dan sentiasa berlaku adil kepada semua pihak dalam menjatuhkan hukuman terutama melibatkan kes kekeluargaan.

    Titah Al-Sultan Abdullah lagi, akibatnya pihak yang lemah akan menjadi mangsa kepada pihak yang memiliki kuasa.

    “Maka titik permulaan menghalalkan penindasan dan kezaliman akan berlaku dalam sesuatu sistem pemerintahan.

    “Justeru, Mahkamah Syariah hendaklah sebilang masa mempunyai kecekapan dalam mengendalikan kes-kes agar keadilan akan tercapai.

    “Hakim-Hakim Syarie hendaklah memastikan kes-kes yang dikendalikan dapat dihakimi dengan seadil-adilnya dan penghakiman dapat dilaksanakan dengan segera,” titah Al-Sultan Abdullah lagi.

    Terdahulu, baginda berkenan merasmikan Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Pahang, di Kuantan, hari ini.

    Berangkat sama, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

    Kompleks yang siap dibina sepenuhnya pada 23 September 2021 itu menelan belanja kira-kira RM44.75 juta.