Category: Semasa

  • Muda kerjasama dengan PH pada PRU-15

    Muda kerjasama dengan PH pada PRU-15

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sudah memulakan perbincangan awal dengan Pakatan Harapan (PH) mengenai kerjasama politik untuk Pilihan Raya Umum ke- 15 (PRU-15).

    Muda dalam satu kenyataan memaklumkan, parti tersebut juga terbuka untuk mengadakan perbincangan rasmi bersama Majlis Presiden PH berkenaan perkara itu.

    “Muda membuat keputusan bahawa dalam situasi kedudukan Muda menyertai PRU-15 adalah bersama sebuah gabungan, maka sasaran jumlah kerusi Parlimen untuk Muda adalah tidak lebih dari 15 kerusi seluruh negara.

    “Muda bersedia untuk bekerjasama bersama rakan yang berkongsi prinsip perjuangan yang sama, mengangkat kepimpinan berbilang bangsa dan agama serta mengangkat politik dasar dan khidmat untuk rakyat,” menurut kenyataan itu hari ini.

    Muda memberitahu, perkara itu diputuskan menerusi siri perbincangan dan pertemuan rasmi antara pimpinan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (JKEP) dan Jawatankuasa Eksekutif Negeri (JKEN) Muda sebagai persiapaan menjelang PRU-15.

    Jelas Muda, menerusi dua pertemuan tersebut Muda melantik Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya Abd Aziz sebagai Pengarah Pilihan Raya Muda sekali gus barisan ahli jawatankuasanya (AJK) turut dibentuk.

    Selain Amira Aisya, Shahrizal Denci dilantik sebagai Timbalan Pengerusi; Warence Mudin (Setiausaha Sektretariat); Luqman Long (Komunikasi Pilihanraya) dan Amir Abd Hadi (Jawatan Pemilihan Calon manakala Mutalib Uthman; Ahmad Zarul Afiq; Beatrice Chin; Rahayu Baharin dan Hafidzi Razali dilantik sebagai AJK.

    Selain itu kata Muda, hasil perbincangan tersebut juga bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Pemilihan Calon Muda yang akan memperkasakan peranan Muda negeri untuk membuat penilaian terhadap senarai calon selain merangka kriteria calon Muda.

    “Semua ahli Muda di setiap peringkat iaitu negeri dan Parlimen boleh mencadangkan nama-nama calon untuk penilaian jawatankuasa,” ujar Muda.

    Pada PRU15 kata Muda, menjadi satu peluang untuk rakyat membina semula Malaysia.

    “Muda berikrar untuk bersama-sama dalam perjuangan rakyat yang susah, lapar dan sakit untuk masa hadapan yang lebih baik,” katanya.

  • Ahli perniagaan didakwa cuba tipu, menyamar setiausaha sulit Tengku Mahkota Pahang

    Ahli perniagaan didakwa cuba tipu, menyamar setiausaha sulit Tengku Mahkota Pahang

    SEORANG ahli perniagaan berpangkat Datuk dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan cuba menipu dengan menyamar sebagai Setiausaha Sulit Tengku Mahkota Pahang, dua tahun lepas.

    Datuk Redzuan Zainuddin, 40, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nadia Othman.

    Redzuan didakwa cuba menipu pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) anak syarikat sebuah bank, Abd Samad Khalid, 58, dengan menyamar dan mempercayai bahawa tertuduh sebagai Setiausaha Sulit  kepada (SUS) Tengku Mahkota Pahang/Pemangku Raja Pahang sehingga mendorong mangsa supaya melantik tertuduh sebagai Ahli Pemegang Amanah Yayasan Bank Rakyat.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Menara 1, Menara Kembar Bank Rakyat, Brickfields di sini pada 2.14 petang, 27 Mac 2020, mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pegawai Pendakwa ASP Nom Phot Prackdit menawarkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh manakala peguam Ramalinggam yang mewakili Redzuan memohon jaminan paling minimum dengan alasan anak guamnya sudah berkahwin dan mempunyai lapan anak.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Okt untuk sebutan semula kes.- BERNAMA

  • Pemenjaraan Najib tak bersihkan UMNO dari rasuah – Tun M

    Pemenjaraan Najib tak bersihkan UMNO dari rasuah – Tun M

    PEMENJARAAN bekas perdana menteri dan presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak tidak cukup untuk membersihkan UMNO daripada budaya rasuah, kata Pengerusi Pejuang Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Memetik laporan Malaysiakini, bekas presiden UMNO selama 22 tahun itu berkata, rasuah dalam parti itu telah melata hingga ke peringkat akar umbi.

    Oleh itu katanya, UMNO perlu ditolak secara keseluruhan dalam PRU ke-15 nanti.

    “Pemenjaraan Najib tidak membersihkan UMNO. Budaya UMNO bukan budaya parti di waktu ia ditubuh. Ini bukan parti UMNO lagi.

    “Sebab itu UMNO perlu dikalahkan dan diganti dengan parti Melayu yang memegang kuat kepada prinsip perjuangan orang Melayu untuk bangsa, negara dan agama.

    “Saya, bekas presiden UMNO dan ahli UMNO di waktu ia ditubuh pada 1946, menyeru supaya parti yang bernama UMNO sekarang ini ditolak sepenuhnya.

    “Saya sedih, tetapi yang benar saya perlu terima. Parti saya dahulu sudah hancur kerana kepercayaan bahawa ‘cash is king’,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

    Pada 23 Ogos lalu, bekas Najib diperintah menjalani hukuman penjara selama 12 tahun.

    Ini berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

    Dalam pada itu, Mahathir mengkritik pemimpin dan ahli Umno yang menuduh Najib dianiayai dan mahkamah telah bertindak tidak adil terhadapnya.

    Katanya, tidak ada kes seperti itu dalam sejarah negara apabila semua hakim bersetuju bekas perdana menteri itu bersalah.

    “Yang tidak adil ialah tindakan Najib cuba tutup bangkai gajah dengan memecat sesiapa yang cuba siasat apa-apa berkenaan salah laku 1MDB.

    “Peguam Negara Abdul Gani Patail, disingkir dan diganti dengan pilihannya Apandi Ali yang kemudian membersihkan Najib dari semua siasatan dan pertuduhan. Begitu juga pegawai polis dan SPRM yang ditukar dan ‘dibeku’,” katanya lagi.

  • Kucing diculik: Pemilik diugut bayar tebusan RM6,000

    Kucing diculik: Pemilik diugut bayar tebusan RM6,000

    SEORANG lelaki berdepan ugutan selepas kucing peliharaannya diculik dan penculik turut meminta wang tebusan sebanyak RM6,000 jika mahu haiwan itu dikembalikan dengan selamat.

    Persatuan Haiwan Malaysia menerusi perkongsian di Facebook berkata, kucing itu dilaporkan hilang pada 1 Sept lalu di sebuah kawasan di Taman Kwan Ming, Kuching, Sarawak.

    Mengikut pemilik, penculik mengugut untuk melemparkan kucing ke dalam sungai berdekatan jika gagal membuat bayaran wang tebusan.

    “Penculik juga telah memberi amaran kepada pemilik supaya hadir membawa wang yang diminta seorang diri dan tidak membuat tindakan yang boleh menimbulkan kemarahan penculik.

    “Pemilik tidak mempunyai duit sebanyak yang diminta oleh penculik kucing dan hanya mampu menawarkan wang saguhati sebanyak RM200 tetapi ditolak oleh penculik kucing,” menurut hantaran tersebut yang dilaporkan Free Malaysia Today.

    Susulan itu, satu laporan polis dibuat pada hari berikutnya di Balai Polis Sekama, Kuching, Sarawak.

    Presiden Persatuan Haiwan Malaysia Arie Dwi Andika berkata, kes itu ialah jenayah penculikan melibatkan kucing dan wang tebusan ribuan ringgit yang pertama di negara ini.

    Beliau berkata, pihaknya bimbang jenayah penculikan haiwan akan berleluasa jika tiada tindakan tegas diambil pihak berkuasa.

    “Bermula daripada penculikan dan ugutan tebusan terhadap kucing. Ia juga jenayah berat yang boleh menular kepada kanak-kanak dan orang dewasa lain jika tidak segera dicantas,” ujarnya.

  • LCS: Kit Siang gesa Ahmad Zahid berundur Presiden UMNO

    LCS: Kit Siang gesa Ahmad Zahid berundur Presiden UMNO

    VETERAN DAP Lim Kit Siang menggesa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berundur daripada memimpin parti itu susulan skandal pemerolehan kapal tempur pesisir (LCS).

    Memetik laporan Malaysiakini, Lim berkata, Zahid bukan saja gagal membersihkan dirinya tetapi juga kemungkinan penglibatan perdana menteri ketika itu Datuk Seri Najib Razak.

    “Ahmad Zahid harus berundur sebagai presiden Umno kerana dia tidak dapat membersihkan dirinya daripada tanggungjawab besar berhubung LCS) RM9 bilion dalam masa sebulan ini, dan lebih teruk lagi, jelas Najib ‘jerung’ terbesar dalam skandal itu.

    “Sebulan yang lalu, Zahid adalah bodoh untuk menafikan bahawa dia bertanggungjawab terhadap skandal RM9 bilion LCS.

    “Keengganan Zahid untuk menafikan bahawa Najib yang mengarahkannya untuk membatalkan keputusannya mengenai LCS pada 2011 adalah cakap besar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Pada 8 Ogos lalu, Ahmad Zahid berkata pihak berkuasa dan kerajaan perlu memberi penjelasan lebih teliti mengenai projek LCS bagi menjelaskan sebarang kekeliruan orang ramai.

    Bagaimanapun, Zahid turut menyatakan kebimbangan bahawa penjelasan sebegitu boleh mendedahkan rahsia pertahanan negara.

    Projek bagi memperoleh enam kapal untuk tentera laut yang dimulakan pada 2011 itu sehingga kini belum siap.

    Berlaku juga peningkatan kos selepas kerajaan memilih reka bentuk yang lebih mahal walaupun ditolak oleh tentera laut sebagai pengguna akhir.

    Dalam kenyataan di Facebook, Zahid–menteri pertahanan ketika perolehan LCS di peringkat awal–berkata terdapat ‘politik tuding jari’ selepas Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan kegagalan dan kelemahan dalam projek itu.

    Sementara itu, Lim berkata, walaupun Zahid memegang jawatan menteri pertahanan daripada April 2009 hingga Mei 2013 dan kontrak itu ditandatangani pada 17 Julai 2014, Zahid memikul tanggungjawab yang lebih besar daripada penggantinya.

    “Beliau masih boleh menjelaskan jika fakta sebaliknya dan membuktikan pertama, beliau tidak bertanggungjawab terhadap skandal LCS RM9 bilion.

    “Dan kedua, bukan Najib yang mengarahkan beliau membatalkan keputusannya untuk mendapatkan LCS Sigma dan sebaliknya memilih LCS Gowind,” katanya.

  • Lelaki ditahan disyaki lakukan pemerasan sebar video bogel

    Lelaki ditahan disyaki lakukan pemerasan sebar video bogel

    SEORANG lelaki ditahan di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur selepas disyaki melakukan pemerasan dengan menyebar video bogel sehingga memaksa mangsa membayar sejumlah wang kepadanya.

    Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah dalam kenyataan berkata lelaki berusia 23 tahun itu ditahan pada 28 Ogos lepas dengan bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields dan kemudian dibawa ke IPD Batu Pahat semalam untuk siasatan lanjut.

    Beliau berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 26 tahun pada Julai lepas  berkaitan satu ugutan membabitkan video bogel yang didakwa melibatkan dirinya.

    Mangsa mendakwa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mengugut akan menyebarkan ‘video bogel’ terbabit sekiranya mangsa tidak membayar wang.

    Mangsa kemudian memindahkan wang berjumlah RM1,900 ke akaun lelaki berkenaan.

    “Lelaki itu direman hingga Khamis ini untuk siasatan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan,” katanya.- BERNAMA

  • Pelakon remaja sudah buat laporan polis dakwaan dipukul, gangguan seksual

    Pelakon remaja sudah buat laporan polis dakwaan dipukul, gangguan seksual

    PELAKON remaja perempuan bersama ibunya sudah membuat laporan polis susulan dakwaan remaja itu dipukul dan menerima gangguan seksual seperti didedahkan melalui media sosial, baru-baru ini.

    Memetik laporan Harian Metro, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, pihaknya sudah menerima maklumat daripada polis bahawa siasatan lanjut berhubung perkara itu sedang dijalankan.

    “Kementerian memandang serius kes sebegitu dan berharap agar tindakan sewajarnya diambil jika apa yang diperkatakan itu benar berlaku demi mendapatkan keadilan sewajarnya.

    “Saya juga ingin maklumkan di sini bahawa individu yang mengambil sikap ‘berpeluk tubuh’ daripada melaporkan kes penderaan kanak-kanak, sedangkan mengetahui apa yang berlaku, bakal berdepan hukuman dan kewajipan terbabit selaras dengan pindaan Akta Kanak-Kanak 2001, yang diluluskan pada 2016,” katanya.

    Siti Zailah turut mengingatkan, bagi sebarang kes penderaan, tiga pihak iaitu pengamal perubatan, ahli keluarga dan pengasuh sebagaimana yang terkandung dalam Seksyen 27, 28 dan 29 Akta Kanak-Kanak Pindaan 2016, wajib melaporkan jika mengetahui ada kes sebegitu berlaku.

    “Hukuman penjara dan denda boleh diambil terhadap mereka yang tidak melaporkan kes yang mempunyai sebab munasabah berlakunya kes penderaan dalam apa jua bentuk.

    “Selain tiga pihak berkenaan, pihak lain yang secara tidak langsung tampil melaporkan kes penderaan adalah anggota masyarakat. Walaupun tiada kewajipan berbuat demikian, masyarakat wajar menjalankan tanggungjawab untuk menangani kes penderaan,” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan, polis mengesahkan bapa kepada pelakon remaja perempuan membuat laporan kelmarin bagi menafikan pendedahan anaknya di media sosial, baru-baru ini, yang mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual dan dipukul lelaki itu.

  • Tulisan khat: Tiga individu gagal dapat kebenaran semakan kehakiman

    Tulisan khat: Tiga individu gagal dapat kebenaran semakan kehakiman

    TIGA individu hari ini gagal dalam rayuan untuk memperoleh kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan kerajaan terdahulu memperkenalkan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu untuk murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil.

    Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk P. Ravinthran, Datuk S. Nantha Balan dan Datuk Nordin Hassan, dalam keputusan sebulat suara menolak rayuan mereka.

    Tiga individu itu ialah bekas Presiden Persatuan Pelajar Sekolah Cina, Tan Kim Sen @ Tan Boon Tak, Pengerusi Persatuan Hindu Agamam Ani Malaysia, D. Ravi dan R.Visa Letchumy.

    Nordin, yang menyampaikan keputusan mahkamah dalam prosiding dalam talian, berkata Mahkamah Tinggi betul dalam menolak permohonan kebenaran ketiga-tiga mereka untuk semakan kehakiman itu kerana ia difailkan di luar masa dan mereka juga tidak menunjukkan alasan yang kukuh untuk melanjutkan tempoh masa untuk memfailkan permohonan mereka.

    Beliau berkata keputusan Mahkamah Tinggi adalah wajar dan Mahkamah Rayuan tidak perlu mengganggu budi bicara hakim.

    Hakim itu berkata undang-undang memperuntukkan permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman perlu difailkan dalam tempoh 30 hari apabila keputusan yang ingin dicabar oleh pemohon pertama kali dimaklumkan kepadanya dan mahkamah boleh melanjutkan tempoh untuk memfailkan permohonan kebenaran jika terdapat alasan kukuh yang diberikan oleh pemohon.

    Keputusan untuk melaksanakan pengajaran khat di sekolah adalah pada 14 Ogos 2019 dan perayu memfailkan kebenaran mereka untuk semakan kehakiman pada 20 Mei 2020, lewat sembilan bulan, katanya.

    Beliau berkata Mahkamah Tinggi mendapati alasan yang dikemukakan oleh perayu bahawa Perintah Kawalan Pergerakan dan Perintah Pergerakan Bersyarat telah dikuatkuasakan semasa pandemik COVID-19 masing-masing pada 18 Mac 2020 dan 4 Mei 2020, tidak boleh menjadi sebab kelewatan untuk memfailkan permohonan tersebut.

    Hakim itu berkata rayuan yang dikemukakan Tan, Ravi dan Visa adalah tanpa merit dan mahkamah mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 20 April 2020 yang menolak permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman.

    Beliau juga tidak memberi sebarang arahan mengenai kos kerana berkata kes itu adalah kes kepentingan awam.

    Hakim itu juga berkata apabila perayu memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran, tiada keputusan wujud untuk melaksanakan pengajaran khat kerana bukti menunjukkan pelaksanaan tulisan khat digantikan dengan tulisan jawi berdasarkan keputusan Kabinet.

    Ketiga-tiga mereka memfailkan permohonan itu pada Mei 2020, terhadap Menteri Pendidikan dan Kerajaan Malaysia, mendakwa keputusan kerajaan sebelum ini untuk memperkenalkan tulisan khat kepada murid Tahun Empat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil adalah bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

    Peguam T. Gunaseelan dan Keshvinjeet Singh mewakili ketiga-tiga mereka manakala Peguam Kanan Persekutuan Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman dan Peguam Persekutuan Ng Wee Li mewakili Menteri Pendidikan dan kerajaan.- BERNAMA

  • Ahmad Zahid buat kesalahan sebagai ‘penjawat awam’ terima wang UKSB – Pendakwaan

    Ahmad Zahid buat kesalahan sebagai ‘penjawat awam’ terima wang UKSB – Pendakwaan

    PIHAK pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas kesalahan memperoleh “barang berharga” tanpa pertimbangan dalam kapasitinya sebagai penjawat awam, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran berkata, Zahid yang ketika itu seorang menteri, memperoleh wang tunai daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), kontraktor yang dilantik kementeriannya.

    Beliau berkata, saksi pendakwaan Sheeba Kunmiho memberi keterangan bahawa Zahid dilantik sebagai menteri dalam negeri pada Mei 2013 dan pelantikan itu kemudiannya diwartakan.

    “Ini bermakna dia seorang penjawat awam seperti yang ditakrifkan dalam Seksyen 21(i) Kanun Keseksaan.

    “Dia diamanahkan untuk menjalankan tugas awam dan dibayar untuk itu,” katanya dalam hujahan.

    Raja Rozela, yang mengetuai pasukan pendakwaan, berkata Zahid juga tahu bahawa UKSB sudah mempunyai urusan perniagaan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum pelantikannya.

    “Kami telah menunjukkan perkara ini melalui keterangan dokumentar dan keterangan lisan oleh saksi,” katanya.

    Beliau berkata, pengarah UKSB ketika itu, Harry Lee dan Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani berjumpa dengan Zahid antara 2013 dan 2018.

    “Ini membentuk hubungan perniagaan kerana mereka bertemu Zahid di kediaman rasminya untuk melanjutkan kontrak (UKSB) dengan kementerian,” katanya sambil menambah, Zahid juga memberikan layanan keutamaan yang tidak berasas kepada syarikat itu.

    Raja Rozela berkata, sebagai pertukaran, Zahid memperoleh sesuatu yang berharga dalam bentuk wang tunai, fakta yang tidak dipertikaikannya.

    Beliau berkata, walaupun Zahid tidak meminta bayaran dalam jumlah tertentu, Lee dan Wan Quoris memutuskan untuk membayarnya SGD200,000, SGD300,000 dan SGD520,0000 setiap bulan.

    Menjawab pertikaian bahawa kes pendakwaan gagal kerana bayaran tunai tidak datang daripada UKSB tetapi daripada sumber lain, beliau berkata: “Sumber wang bukan pertimbangan material kerana ia bukan elemen yang perlu dibuktikan bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.”

    Raja Rozela membuat kesimpulan bahawa pihak pendakwaan telah mengemukakan keterangan yang boleh dipercayai bagi setiap unsur penting kesalahan itu, dan Zahid sepatutnya dipanggil membela diri.

    Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berdepan 33 tuduhan menerima rasuah berjumlah SGD13.56 juta (RM42 juta) daripada UKSB sebagai menteri dalam negeri ketika itu bagi tujuan menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali pusat sehenti di China dan sistem visa asing (VLN). serta mengekalkan kontrak pembekalan sistem bersepadu VLN.

    Tuduhan-tuduhan utama dirangka bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) manakala tuduhan alternatif bawah Kanun Keseksaan.

    Zahid juga berdepan tujuh lagi tuduhan bawah Kanun Keseksaan, iaitu memperoleh SGD1.15 juta, RM3 juta, 15,000 franc Swiss dan USD15,000 daripada syarikat yang sama berhubung tugas rasminya.

    Kesemua kesalahan itu dikatakan dilakukan di Seri Satria di Presint 16, Putrajaya, dan di Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

    Perbicaraan di hadapan hakim Yazid Mustafa diteruskan.

  • Tak sempat rompak kedai emas, dua lelaki dicekup polis

    Tak sempat rompak kedai emas, dua lelaki dicekup polis

    RANCANGAN jahat dua lelaki tempatan masing-masing berusia 42 dan 43 tahun untuk merompak kedai emas tidak berjaya selepas ditangkap pihak polis Ahad lalu.

    Memetik laporan UtusanTV, dalam kejadian pada 8.54 malam itu, kedua-dua lelaki itu ditahan empat anggota polis selepas dilihat berada dalam kereta dengan keadaan mencurigakan di Bandar Manjalara Kepong.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, hasil pemeriksaan ke atas kereta itu menemukan sepucuk pistol semi auto beserta satu kelopak peluru yang berisi empat butir peluru 9mm.

    Jelas beliau, polis juga menemukan sepucuk pistol jenis Revolver Diamond Special Gold berisi enam peluru .38.

    “Selain itu, turut dirampas adalah lapan butir peluru .38 di dalam poket seluar seorang daripada tangkapan tersebut.

    “Manakala 10 butir peluru 9mm dijumpai di dalam genggaman tangan tangkapan yang lain,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

    Mengulas lanjut, Azmi berkata, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki itu dalam perancangan untuk merompak sebuah kedai emas di kawasan berhampiran.

    Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (kesalahan memperdagangkan senjata api) yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan juga sebatan tidak kurang enam kali.

    Jelas beliau, kes juga disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 (kesalahan pemilikan amunisi) yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda tidak kurang RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

    Azmi berkata, kedua-dua tangkapan itu kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 11 September untuk membantu siasatan.

    Sepucuk pistol yang berjaya dirampas pada sidang media Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Selepas melakukan siasatan lanjut, pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul telah menangkap seorang lelaki warga tempatan berusia 47 tahun di sebuah rumah di Jalan Klang Lama pada jam 1.15 pagi tadi.

    “Lelaki itu dipercayai perancang utama untuk melakukan rompakan kedai emas di sekitar kawasan Lembah Klang.

    “Hasil pemeriksaan ke atas rumah kediaman tangkapan ini, polis merampas wang tunai berjumlah RM129,300 dan 39 peket barangan kemas dengan anggaran bernilai RM175,000,” katanya.

    Azmi berkata, semakan rekod jenayah lampau mendapati perancang utama itu mempunyai lima rekod yang mana tiga daripadanya adalah kesalahan mengikut Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat).

    Jelas beliau, tangkapan itu dibawa ke mahkamah hari ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman bagi membantu siasatan lanjut.