Category: Semasa

  • PGA rampas vape RM2 juta

    PGA rampas vape RM2 juta

    PASUKAN Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu merampas pelbagai jenama dan jenis perisa cecair serta pelbagai jenis cartridge vape dalam satu serbuan di Taman Danhwa Kampung Kebakat di Tumpat pada Sabtu.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, rampasan pada pukul 12.30 tengah malam itu dilakukan Batalion 9 PGA Kuala Terengganu yang bertindak atas maklumat risikan.

    “Seorang lelaki berusia 34 tahun yang berada dalam rumah terbabit ditahan.

    “Hasil pemeriksaan terdapat pelbagai perisa dan jenis cecair vape yang disyaki menyalahi undang-undang,” katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) di Kota Bharu hari ini.

    Beliau berkata, suspek turut gagal mengemukakan dokumen berkaitan apabila diminta dan kesemua barangan dirampas diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.

    Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 13(A) Akta Racun 1952, lapor Sinar Harian.

  • ‘Wang diberi kepada Zahid bukan turun dari langit’

    ‘Wang diberi kepada Zahid bukan turun dari langit’

    MAHKAMAH Tinggi hari ini, diberitahu sumber wang tunai Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) diberikan kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, bukan turun dari ‘langit’ sebaliknya hasil perjanjian dengan syarikat di Hong Kong.

    Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, berkata isu yang timbul berhubung pengesahan sumber berkenaan juga bukan satu elemen yang perlu dibuktikan pendakwaan.

    Menurut laporan BH Online, beliau berkata, pihaknya sudah mengemukakan bukti dipercayai yang boleh membawa kepada prima facie atau keraguan munasabah terhadap kes itu.

    “Mereka (saksi pendakwaan) tidak berbohong. UKSB tiada wang, maka perlu bantuan daripada rakan niaga di Hong Kong dan ia disahkan David Tan Siong Sun (bekas Pengurus Pentadbiran UKSB).

    “Ada perjanjian UKSB dengan pihak di Hong Kong, wang bukan turun dari ‘langit’. Mahkamah perlu menilai bukti dikemukakan bahawa beliau (Ahmad Zahid) meminta wang itu.

    “Beliau tidak sepatutnya meminta wang itu dan tiada hak untuk menggunakan kedudukannya (sebagai menteri) untuk mendapatkan wang berkenaan,” katanya.

    Terdahulu, peguam Ahmad Zahid, Hamidi Mohd Noh, berkata tiada bukti bagi mengesahkan sumber wang tunai UKSB diberikan kepada Ahmad Zahid, adalah hasil perjanjian dengan syarikat di Hong Kong.

    Katanya, ia susulan tiada saksi pendakwaan daripada syarikat terbabit, dipanggil bagi memberi keterangan untuk mengesahkan kewujudan wang berkenaan.

    Bagaimanapun, beliau berkata, pendakwaan menawarkan saksi berkenaan kepada pihaknya, namun ia bukan tugas pembelaan untuk membuktikan kes itu.

    “Saksi pendakwaan ke-15, 16 dan 17 (dua bekas Pengarah USKB, Harry Lee Vui Khiun dan Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani serta Siong Sun) kata wang diberi bukan daripada UKSB sendiri. Jadi wang dari mana.

    “Jika sumber wang dari Hong Kong, kena panggil saksi dari negara itu untuk sahkan perkara berkenaan termasuk jumlahnya. Sumber wang itu daripada Visa Malaysia Ltd, selain dividen Valiant Capital Corporation dan Maintech System HK Ltd (syarikat Hong Kong).

    “Pengarah syarikat itu perlu dipanggil beri keterangan. Mereka perlu membuktikan wang itu wujud atau tidak, ia perkara asas. Yang ada sekarang hanya keterangan tiga saksi pendakwaan berkenaan,” katanya.

    Selain Hamidi, Ahmad Zahid diwakili peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Datuk Ahmad Zaidi Zainal, manakala pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Abdul Malik Ayob, Zander Lim Wai Keong dan B. Thavani.

    Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu, bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan Visa Luar Negara (VLN).

    Suapan itu juga bagi mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama, oleh Kementerian Dalam Negeri.

    Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1.15 juta, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau ketika itu.

    Bekas Timbalan Perdana Menteri itu didakwa melakukan semua kesalahan berkenaan di Sri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 hingga Mac 2018.

    Sementara itu, Ahmad Zaidi mempersoalkan siapa sebenarnya yang mencetak lejar UKSB bagi merekodkan wang keluar serta masuk syarikat.

    Katanya, ia susulan saksi pendakwaan ke-18 yang juga Penguasa Kanan Bahagian Siasatan SPRM Putrajaya, V. Mahendran dan Siong Sun mengatakan mereka mencetak lejar itu.

    “Secara ringkas, cetakan komputer dikemukakan ke mahkamah perlu mematuhi dua syarat atau salah satu syarat.

    “Kalau tiada sijil, saksi perlu hadir beritahu cetak guna komputer yang berada dalam keadaan baik. Persoalannya siapa yang mencetak lejar itu” katanya.

  • Rasuah VLN: Ahmad Zahid bebas atau bela diri diketahui 23 Sept. ini

    Rasuah VLN: Ahmad Zahid bebas atau bela diri diketahui 23 Sept. ini

    KEPUTUSAN sama ada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan dibebaskan atau diperintahkan membela diri terhadap 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) akan diketahui pada 23 Sept ini.

    Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Yazid Mustafa menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar hujah pihak pendakwaan dan pembelaan di akhir kes pendakwaan selama empat hari bermula 1 Sept lepas.

    Pasukan pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Abdul Malik Ayob, Zander Lim Wai Keong dan B. Thavani manakala Ahmad Zahid diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Hamidi Mohd Noh.

    Pada 11 Ogos, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 18 saksi termasuk bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Alwi Ibrahim serta tiga bekas pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) Harry Lee Vui Khiun, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani dan David Tan Siong Sun.

    Perbicaraan yang berlangsung selama 29 hari bermula pada 24 Mei 2022.

    Ahmad Zahid, 69, menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN) serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

    Bagi tujuh lagi pertuduhan, beliau didakwa memperoleh untuk dirinya SG$1,150,000; RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc dan US$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

  • Abdul Hadi teruskan tradisi kekal bertanding di Parlimen Marang?

    Abdul Hadi teruskan tradisi kekal bertanding di Parlimen Marang?

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    PRESIDEN Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang dijangka akan meneruskan tradisi bertanding di Parlimen Marang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kali ini.

    Walaupun terdapat pelbagai andaian dan persepsi mengenai keterlibatan Ahli Parlimen Marang tersebut pada PRU kali ini, namun banyak pihak percaya Abdul Hadi, 75, akan tetap mewakili Pas sebagai calon Perikatan Nasional (PN) di kawasan berkenaan.

    Ini kerana, selain pengundi dan kepimpinan parti itu di Marang, pucuk pimpinan Pas masih mengharapkan tokoh politik veteran tersebut terus menjadi ‘nahkoda perang’ bagi memastikan kemenangan besar PN dalam PRU-15 kali ini.

    Perkara ini diperkuatkan pula dengan kenyataan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin baru-baru ini yang mengatakan bahawa parti itu sedia memegang jawatan Perdana Menteri bagi mentadbir negara jika Pas diberi mandat pada PRU-15.

    Malah, Hashim turut membayangkan bahawa Abdul Hadi merupakan calon paling sesuai untuk memegang jawatan tersebut.

    Beliau yang menyuarakan perkara itu berdasarkan peribadinya berkata, cadangan berkenaan dibuat bagi memastikan negara dapat ditadbir mengikut pemerintahan Islam.

    Kenyataan Hashim seakan memberi jawapan sebenar berhubung teka teki kedudukan Abdul Hadi pada PRU-15 nanti.

    Sebelum ini tanda tanya mengenai pencalonan Abdul Hadi di Marang banyak diperbualkan termasuk daripada para pengundi di kawasan berkenaan sendiri.

    Ia berlaku kerana ada pihak mengatakan Abdul Hadi dijangka tidak akan bertanding kerana faktor kesihatan.

    Malah, beliau juga dikatakan bakal memberi laluan kepada calon baharu pada PRU-15 nanti, menyebabkan ada yang cuba mengaitkan nama-nama antaranya seperti Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

    Pada PRU-14, 9 Mei 2018 lalu, Abdul Hadi berjaya mengekalkan Parlimen Marang setelah menewaskan dua pencabarnya Mohamad Nor Endut daripada Barisan Nasional (BN) dan Zarawi Sulong (PKR) dengan majoriti 21,954 undi.

    Dalam pertandingan tjga penjuru itu Abdul Hadi memperoleh 53,749 undi, Mohamad Nor (31,795) dan Zarawi (5,138).

    Dalam PRU14 juga, Abdul Hadi buat pertama kalinya mengambil keputusan tidak bertanding di DUN Rhu Rendang selepas 36 tahun atau lapan penggal menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan.

    Sebelum itu, tradisi beliau adalah kekal bertanding di kedua-dua kawasan iaitu Parlimen Marang dan DUN Rhu Rendang.

  • Polis Kelantan rampas dadah RM6.4 juta

    Polis Kelantan rampas dadah RM6.4 juta

    LIMA lelaki ditahan kerana terlibat sindiket pengedaran dadah dan pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM6.4 juta dirampas di Kota Bharu.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata,s emua suspek berusia antara 27 sehingga 39 tahun ditahan di beberapa lokasi berasingan bermula 29 Ogos lalu.

    “Mereka kini direman selama 13 hari, sehingga 11 September ini. Dadah yang dirampas adalah 624,000 biji pil kuda, 400 biji pil Erimin dan 78,810 gram (g) ganja,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Kota Bharu, hari ini.

    Katanya, tangkapan pertama membabitkan lelaki berusia 27 di tepi Jalan Pengkalan Chepa, Kota Bharu.

    Menurutnya, pemeriksaan dalam Perodua Viva dipandunya menemui beg plastik berisi pil kuda dan Erimin di tempat duduk penumpang hadapan.

    “Susulan penahanannya, polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Pasir Jelatang, Kubang Kerian dan menemukan 100 lagi bungkusan pil kuda dan 80 bungkusan ganja.

    “Hasil siasatan, pihak kami berjaya menahan tiga lagi lelaki di di Pengkalan Chepa, Kampung Ketapang dan Pasir Tumboh yang disyaki terbabit dengan kumpulan dadah,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Muhamad Zaki berkata, suspek kelima ditahan di Seri Kembangan, Selangor, manakala ujian saringan air kencing ke atas mereka semua mendapati negatif dadah.

    Katanya, semakan rekod menunjukkan suspek masing-masing mempunyai rekod jenayah lampau termasuk penyalahgunaan dadah.

    “Rampasan dadah itu boleh digunakan 703,210 penagih dan kami percaya ia untuk pasaran tempatan Kelantan dan Lembah Klang,” katanya yang memberitahu usaha memburu saki baki suspek sedang giat dilakukan.

    Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, manakala rampasan dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.

  • Justin Bieber batal siri jelajah dunia

    Justin Bieber batal siri jelajah dunia

    BINTANG sensasi, Justin Bieber mengumumkan pembatalan siri jelajah dunia, Justice World Tour yang masih berbaki termasuk di beberapa negara Asia dan Malaysia, bagi memberi perhatian kepada masalah kesihatan.

    Bieber yang mengejutkan peminat apabila mengaku mengalami masalah ‘kelumpuhan wajah’ berpunca sindrom Ramsay Hunt, awal tahun ini, mengumumkan pembatalan siri jelajah itu melalui hantaran Instagram (IG), kira-kira sejam lalu.

    Melalui entri itu, Bieber yang baru mementaskan konsert di Brazil, memberitahu, keputusan menamatkan siri jelajah itu dibuat selepas mendapati kesannya kepada kesihatan terutama usaha memulihkan masalah ‘kelumpuhan wajah’.

    “Awal tahun ini, saya umumkan perjuangan melawan sindrom Ramsay Hunt yang mengakibatkan sebahagian daripada muka saya lumpuh.

    “Berikutan itu, saya tidak dapat menghabiskan siri jelajah, Justice World Tour di utara benua Amerika.

    “Bagaimanapun, selepas berehat dan mendapatkan nasihat doktor, saya sambung siri jelajah itu di Eropah dan mementaskan enam konsert yang akhirnya memberi kesan kepada saya.

    “Hujung minggu lalu saya beraksi di Festival Rock In Rio dan memberi segala-galanya kepada peminat di Brazil,” katanya melalui hantaran itu.

    Awal bulan lalu, BH Online melaporkan, Bieber kembali beraksi atas pentas buat kali pertama di Festival Musim Panas di Itali, selepas dua bulan berehat.

    Sebelum ini, penyanyi kelahiran Kanada berusia 28 tahun itu menunda beberapa persembahan selepas masalah ‘kelumpuhan wajah’ berpunca sindrom Ramsay Hunt.

    Mengikut perancangan, siri jelajah, Justice World Tour akan bersambung di Afrika Selatan, Asia Barat, Asia, Australia dan New Zealand sebelum kembali ke Eropah, antara Januari hingga Mac tahun depan.

    Peminat di Malaysia sepatutnya berpeluang menyaksikan persembahan Bieber di depan mata pada konsert yang akan dipentaskan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, bulan depan.

    Selepas berkongsi mengenai penyakitnya melalui IG pada 10 Jun lalu, Bieber terpaksa membatalkan persembahan di Washington DC, Toronto dan New York serta diikuti beberapa siri di Amerika Utara.

    Bieber berkata, keletihan mementaskan konsert mendorong dirinya memberi keutamaan kepada kesihatan.

    “Sehubungan itu, saya akan berhenti daripada beraksi di konsert buat sementara waktu.

    “Saya akan okay tetapi perlukan masa untuk berehat dan pulihkan kesihatan,” katanya memetik laporan Satu Berita.

    Bieber berbangga dapat mementaskan Justice World Tour dan berkongsi mesej positif di sebalik persembahan itu dengan peminat.

    “Terima kasih atas doa dan sokongan anda selama ini. Saya sangat sayangkan kamu,” katanya.

  • Pasangan kekasih ditemui mati dalam Perodua Kancil

    Pasangan kekasih ditemui mati dalam Perodua Kancil

    SEPASANG kekasih muda ditemui maut dalam sebuah kereta jenis Perodua Kancil di pekarangan Kompleks Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Ayer Limau, di Masjid Tanah, hari ini.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 9.20 pagi itu, pelajar perempuan tingkatan empat dan teman lelakinya yang berusia 20 tahun disahkan maut selepas dipercayai terhidu karbon monoksida.

    Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah berkata, kedua-dua mereka ditemui lengkap berpakaian di bahagian pemandu dan penumpang hadapan selain kenderaan itu turut diselubung menggunakan kanvas.

     “Siasatan awal polis mendapati, pasangan ini dipercayai berada di pekarangan kompleks JAPERUN ini sejak petang semalam selepas remaja perempuan itu difahamkan dihantar ke kawasan berkenaan oleh rakannya untuk bertemu mangsa lelaki yang juga teman lelakinya.

    “Setakat ini kita tidak kesan apa-apa unsur jenayah yang mana mereka ini lengkap berpakaian dan kepala remaja perempuan itu dilentokkan di bahu lelaki berkenaan,” katanya lapor Astro Awani.

    Mengulas lanjut katanya, pihaknya bagaimanapun percaya tidak berlaku sebarang perbuatan sumbang dan pasangan itu dipercayai sengaja duduk di kawasan berkenaan dalam keadaan enjin kenderaan dihidupkan sebelum tertidur.

    “Remaja perempuan yang berasal dari Lubok China ini masih bersekolah manakala remaja lelaki yang berasal dari Kuala Sungai Baru pula baharu menamatkan pengajian dari sebuah Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Kelantan.

    “Pihak polis juga percaya kereta Perodua Kancil yang merupakan milik bapa mangsa lelaki itu telah kehabisan minyak memandangkan ia dihidupkan dalam tempoh masa yang lama,” kata beliau.

    Katanya, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Melaka bagi proses bedah siasat.

  • Nafi Najib diami rumah pegawai dalam Penjara Kajang

    Nafi Najib diami rumah pegawai dalam Penjara Kajang

    JABATAN Penjara Malaysia menolak dakwaan kononnya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak ditempatkan dalam sel penjara, sebaliknya tinggal dalam sebuah rumah pegawai dalam di Penjara Kajang.

    Jabatan itu dalam kenyataan hari ini menafikan perkara tersebut yang sedang tular dalam media sosial.

    “Dakwaan yang tersebar itu sebagai palsu dan tidak sahih. Hentikan penyebarannya,” kata jabatan itu, memetik laposan Berita Harian.

    Terdahulu, tular di media sosial tangkap layar dipercayai satu perbualan di WhatsApp mendakwa Najib tidak ditempatkan di dalam sel penjara di Penjara Kajang.

    Menurut tangkap layar itu yang turut tular dalam Facebook, Najib didakwa ditempatkan di sebuah rumah pegawai senior Penjara Kajang yang terletak dalam kawasan penjara terbabit.

    “Najib tidak berada dalam sel. Seorang sahabat yang sepupunya adalah seorang pegawai senior penjara di Kajang, maklumkan Najib diberikan sebuah rumah di dalam kawasan penjara.

    “Rumah berkenaan adalah untuk pegawai senior penjara,” tulis mesej berkenaan.

    Sebelum ini, timbul dakwaan nama Najib tidak dimasukkan dalam pangkalan data Jabatan Penjara Malaysia dan hal itu juga ditularkan di media sosial.

    Najib dihukum penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

  • Suami isteri ditahan bersama ganja hampir 20kg

    Suami isteri ditahan bersama ganja hampir 20kg

    POLIS menahan sepasang suami isteri dan merampas dadah jenis ganja seberat hampir 20 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM50,000 dalam serbuan di Kuala Kedah, Ahad lepas.

    Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata kedua-duanya yang berusia 33 dan 29 tahun ditahan ketika melakukan kegiatan pengedaran dadah di pekarangan parkir sebuah premis di kawasan berkenaan.

    “Sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah telah menjalankan pemerhatian selama 20 minit sebelum melihat sebuah kereta jenis Proton Saga memasuki kawasan itu.

    “Polis menahan lelaki dan wanita itu serta melakukan pemeriksaan sebelum menjumpai dua beg kanvas di atas kerusi penumpang belakang yang mengandungi 20 bungkusan plastik lut sinar berisi ketulan mampat tumbuh-tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja seberat hampir 20kg,” katanya pada sidang media, hari ini.

    Beliau berkata kedua-duanya yang merupakan nelayan dan tukang cuci didapati menggunakan kereta sewa untuk menjalankan kegiatan tersebut bagi mengelak dikesan polis.

    Beliau berkata pasangan terbabit yang dipercayai menjadi pengedar sejak setahun lepas mendapat bekalan dadah dari selatan negeri itu sebelum dipasarkan di sekitar Kota Setar.

    “Sekiranya dadah ini terlepas di pasaran, ia boleh digunakan oleh 20,000 penagih. Polis turut menyita sebuah kereta jenis Chevrolet dan motosikal jenis Yamaha milik suspek, dengan keseluruhan rampasan dianggar berjumlah lebih RM68,000.

    “Suspek lelaki mempunyai satu rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 manakala suspek wanita tidak mempunyai sebarang rekod lampau. Saringan urin terhadap kedua-dua suspek juga negatif,” katanya.

    Ahmad Shukri berkata pasangan itu direman hingga 11 Sept ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B ADB 1952.

  • Najib keluar cek RM8.4 juta bayar 18 individu, UMNO bahagian dan syarikat

    Najib keluar cek RM8.4 juta bayar 18 individu, UMNO bahagian dan syarikat

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengeluarkan 38 cek berjumlah RM8.4 juta daripada akaun peribadinya yang dibayar kepada 18 individu, enam entiti politik dan enam syarikat antara 2011 dan 2012.

    Pengurus Kanan Bahagian Pusat Pemprosesan Cek AmBank (M) Berhad Badrul Hisam Mohamad, 48, berkata antara penerima individu cek tersebut ialah bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Tan Sri Kasitah Gaddam dan bekas Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem, masing-masing berjumlah RM100,000.

    Saksi pendakwaan ke-36 itu mengesahkan cek-cek tersebut diberikan kepada enam syarikat keseluruhannya berjumlah RM1,428,250; lima UMNO cawangan dan bahagian (RM4,670,000); Barisan Nasional cawangan Tun Razak (RM200,000) dan 18 individu berjumlah RM2,107,600 daripada akaun AmBank peribadi Najib yang berakhir dengan nombor 694.

    “Datuk Seri Najib mengeluarkan cek yang dibayar kepada UMNO Bahagian Pekan berjumlah RM200,000, Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Pekan (RM170,000), Wanita UMNO Selangor (RM1.9 juta), UMNO Selangor (RM2 juta), UMNO Bahagian Machang (RM400,000) dan Barisan Nasional Bahagian Bandar Tun Razak (RM200,000).

    “Antara syarikat yang menerima cek daripada Datuk Seri Najib pula ialah Qalif Umar Creative (RM130,000), Semarak Konsortium Satu Sdn Bhd (RM274,750), Gading Emas Management Services (RM50,000), Fanisa Consultancy And Services (RM95,000) dan Two One Holidays Malaysia Sdn Bhd (RM178,000), yang keseluruhannya berjumlah RM1.4 juta,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Deepa Nair Thevaharan pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi bekas perdana menteri itu.

    Merujuk kepada salinan imejan cek AmIslamik Bank Berhad Cawangan Jalan Raja Chulan bagi akaun Najib yang berakhir dengan nombor 694, Badrul Hisam berkata beliau dapat mengecam tandatangan Najib kerana semasa proses pengesahan cek dibuat, tandatangan tertuduh tertera di dalam sistem pangkalan data tandatangan untuk tujuan perbandingan dan pengesahan.

    Sementara itu, semasa pemeriksaan balas oleh peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed, saksi itu berkata bagi setiap cek melebihi RM20,000 yang dikeluarkan,  AmBank akan menghubungi pelanggan untuk mengesahkan transaksi tersebut.

    “Pihak kami di bahagian pemprosesan cek tidak membuat panggilan tersebut secara peribadi tetapi pegawai di cawangan AmBank akan menentukan sama ada mereka akan menghubungi pelanggan secara terus atau melalui Pengurus Perhubungan yang mengendalikan akaun pelanggan,” katanya.

    Najib berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

    — BERNAMA