Category: Semasa

  • Sanusi tuntut Saifuddin mohon maaf dalam tempoh seminggu

    Sanusi tuntut Saifuddin mohon maaf dalam tempoh seminggu

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengemukakan notis tuntutan terhadap Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail supaya Menteri Dalam Negeri itu memohon maaf dalam tempoh tujuh hari kerana didakwa menfitnah beliau berhubung kegiatan mencuri unsur nadir bumi (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik.

    Astro Awani melaporkan, Muhammad Sanusi turut menuntut Saifuddin membayar ganti rugi munasabah berhubung kenyataan dakwaan fitnah tersebut yang mendakwa beliau menerima kompaun RM500,000 atas kesalahan mencuri unsur nadir bumi.

    Tuntutan permohonan maaf itu dinyatakan dalam notis dihantar oleh Tetuan Tengku Amalin & Faizi, yang mewakili Muhammad Sanusi kepada Saifuddin, pada Khamis.

    Dokumen notis berkenaan turut dilihat Astro Awani.

    Tengku Amalin berkata, anak guamnya turut menuntut dalam tempoh tujuh hari agar Saifuddin mengeluarkan aku janji bertulis untuk berhenti daripada mengulangi mana-mana dakwaan seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.

    “Sekiranya anak guam saya tidak menerima apa-apa maklum balas yang memuaskan dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh penerimaan notis ini, arahan kami adalah untuk memohon suatu perintah injunksi dan meneruskan tindakan perundangan,” katanya.

    Notis tuntutan itu mendakwa pada 15 Julai lalu, Saifuddin mengungkap secara lisan dihadapan pengamal media bahawa Muhammad Sanusi menggunakan sebahagian peruntukkan dana Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) yang menyalahi tatakelola dipakai bagi pentadbiran kewangan kerajaan.

    “Dakwaan itu termasuk anak guam kami selaku Menteri Besar Kedah dan pemimpin parti berteraskan Islam tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang tatakelola berhubung pengurusan kewangan kerajaan dan gagal mentadbir negeri dengan baik serta mempunyai rekod pengurusan kewangan yang cacat dalam tempoh pentadbiran,” katanya.

    Tengku Amalin berkata, kenyataan Saifuddin itu telah dirakam, dilaporkan serta disebarkan secara meluas di media sosial dan agensi berita tempatan.

    Peguam itu mendakwa, kata-kata fitnah itu antara lain membawa maksud Muhammad Sanusi seorang pencuri dan terlibat dalam kegiatan mencuri hasil bumi negeri Kedah Darul Aman.

    Jelasnya, kenyataan fitnah itu turut membawa maksud Muhammad Sanusi mengkhianati penduduk negeri Kedah dengan mengaut hasil bumi bagi tujuan peribadi dan wang ringgit.

    Peguam itu berkata, Muhammad Sanusi menegaskan, kenyataan fitnah itu adalah tidak benar serta dibuat untuk merendahkan maruah beliau selain telah dirancang untuk memburukkan reputasinya demi kepentingan peribadi dan politik.

    “Saifuddin telah membuat kenyataan fitnah itu dalam tempoh menjelang Pilihan Raya Negeri Kedah dan nyata merupakan sebahagian daripada bahan kempen dan serangan politik untuk memburukkan Perikatan Nasional dan Pas,” ujarnya.

    Peguam itu turut menjelaskan, Muhammad Sanusi dilantik menjawat jawatan Pengerusi Menteri Besar Incorporated (MBI) secara automatik berikutan pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Kedah.

    “Pejabat Tanah dan Galian Kedah telah teratur mengeluarkan dan memberikan permit penggunaan kepada MBI untuk membangunkan ladang hutan di kawasan kejadian kecurian tersebut. MBI telah melantik satu syarikat usaha sama untuk membangunkan ladang hutan tersebut.

    “Kompaun dikeluarkan bukan atas dasar kesalahan anak guam kami mencuri unsur nadir bumi tetapi kerana MBI merupakan pemegang permit penggunaan ladang hutan tersebut dan kompaun dikeluarkan berikutan tindakan pihak ketiga yang melakukan aktiviti pencerobohan serta kegiatan mencuri unsur nadir bumi di ladang hutan tersebut.

    “Pihak ketiga tersebut yang beralamat di Kuala Krai, Kelantan telah pun menjelaskan kompaun tersebut dan ia tidak pernah ditujukan secara khusus kepada anak guam kami,” katanya.

    Pada 15 Julai lalu, Saifuddin mendakwa Muhammad Sanusi didenda RM500,000 kerana kesalahan mencuri REE tahun lalu.

    Beliau turut mendakwa pimpinan kerajaan negeri Kedah didakwa lemah dalam pengurusan kewangan dan menyalahguna peruntukkan MARRIS.

  • Saifuddin minta saya batal pemilihan PKR – Hamzah

    Saifuddin minta saya batal pemilihan PKR – Hamzah

    Oleh BADLISHAH MAT

    DATUK Seri Hamzah Zainudin mendedahkan bahawa beliau dikunjungi Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail seminggu selepas Setiausaha Agung PKR itu tewas pada pemilihan jawatan Timbalan Presiden partinya pada 2022.

    Hamzah yang ketika itu Menteri Dalam Negeri berkata, Saifuddin ada membawa surat dan merayu kepadanya untuk membatalkan keputusan tersebut setelah kalah kepada Rafizi Ramli.

    “Saya nak habaq (beritahu) depa (mereka) ini PKR lawan sesama depa, Rafizi lawan Saifuddin dan yang menang Rafizi jadi Timbalan Presiden PKR.

    “Tak sampai seminggu, jangan lupa lepas seminggu hang (Saifuddin) dah kalah, hang mari jumpa hang habaq (bawa) surat tolong batal pemilihan PKR, surat ada kat saya jangan dok main,” katanya ketika berucap pada Himpunan Munajat Perdana di Sik, malam tadi.

    Saifuddin kembali dilantik sebagai Setiausaha Agung PKR pada tahun lalu setelah beliau gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden parti itu daripada Rafizi yang kembali ke arena politik.

    Sementara itu, dalam perkembangan berasingan Hamzah menyifatkan penahanan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor pada pukul 3 pagi tidak bertamadun kerana bertentangan dengan konsep Malaysia Madani.

    “Tamadun apa pi tangkap 3 pagi, sepatutnya habaq, Datuk Seri (Muhammad Sanusi) kami nak jumpa sat saja, saya dulu bekas Menteri Dalam Negeri, saya baik.

    “Jangan dok main, la ni saya nak kata kerana adik saya (Muhammad Sanusi) ditangkap 3 pagi, lawan tetap lawan, itulah perjuangan kita yang sama yang adil,” kata Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) itu.

    Hamzah berkata, dasar gabungan tersebut amat jelas iaitu akan terus memelihara dan mempertahankan institusi diraja.

    “Sanusi tidak kacau institusi diraja, yang dia kacau cuma Saifuddin, (Datuk Seri) Anwar Ibrahim dan Rafizi,” katanya.

  • Muhyiddin teruskan tindakan saman ke atas Anwar

    Muhyiddin teruskan tindakan saman ke atas Anwar

    PENGERUSI Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan meneruskan saman terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Perdana Menteri gagal mengemukakan permohonan maaf tanpa syarat dan secara terbuka kepada beliau dalam tempoh 24 jam sepertimana yang terkandung di dalam surat tuntutan peguam beliau kepadanya.

    Menerusi kenyataan media, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu sehubungan itu berkata, beliau telah mengarahkan peguamnya untuk meneruskan tindakan saman fitnah ke atas Anwar

    Berikut kenyataan penuh Muhyiddin yang dimuat naik dalam akaun Facebook beliau malam ini.

    HARI ini Anwar Ibrahim membuat kenyataan media berkenaan Pelupusan Hutang Peneroka FELDA. Dia kemukakan dokumen untuk membuktikan dia bercakap benar.

    Tetapi dokumen yang dia kemukakan bukan berkenaan Pelupusan Hutang Peneroka FELDA. Dokumen itu berkenaan Sukuk.

    Saya pun pernah berkali-kali menjelaskan sebelum ini bahawa dokumen yang Anwar tandatangan itu adalah berkenaan Sukuk bukan pelupusan hutang peneroka FELDA. Pendedahan dokumen itu membuktikan saya bercakap benar. Yang berbohong dan fitnah saya ialah Anwar.

    Siaran Media Kementerian Kewangan pada hari ini juga mengesahkan ia berkenaan jaminan kerajaan sebanyak RM9.9 bilion dan bukan Pelupusan Hutang Peneroka FELDA sebanyak RM8.3 bilion yang telah pun saya selesaikan pada tahun 2021.

    Dokumen sukuk yang didedahkan juga menunjukkan Anwar tidak memahami kandungan dokumen yang dia tandatangan sebagai Menteri Kewangan. Ini bahaya. Entah apa lagi dokumen atau perjanjian yang dia tandangan atas kapasitinya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang dia tidak faham atau tidak tahu isi kandungannya.

    Jelas Anwar tidak layak (incompetent) untuk kekal sebagai Perdana Menteri. Lagi lama Malaysia ditadbir oleh kerajaan Madanon Anwar Ibrahim, lagi besar mudaratnya kepada rakyat.

    Oleh kerana Anwar gagal mengemukakan permohonan maaf tanpa syarat dan secara terbuka kepada saya dalam tempoh 24 jam sepertimana yang terkandung di dalam surat tuntutan peguam saya kepadanya, maka saya telah mengarahkan peguam saya untuk meneruskan tindakan saman fitnah ke atasnya.

  • “Sanusi baru didakwa, belum didapati bersalah,” Ahmad Fadhli bidas Saifuddin

    “Sanusi baru didakwa, belum didapati bersalah,” Ahmad Fadhli bidas Saifuddin

    KETUA Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari membidas Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selepas mengesyorkan gelaran Laksamana Pertama (Kehormat) Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang diberikan kepada Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilucutkan.

    Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda Pas menegaskan. Setiausaha Agung PKR itu sewajarnya tidak membuat kecoh dengan mendesak Menteri Besar Kedah itu dilucutkan pangkat kehormatnya sedangkan Sanusi belum didapati bersalah.

    “Kecoh benar dia suruh lucut pangkat kehormat,” katanya di Facebook menurut laporan Utusantv.

    Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli dalam pada itu meminta Saifuddin Nasution membandingkan kes dihadapi Muhammad Sanusi dengan seorang anggota jemaah menteri Kerajaan Perpaduan.

    Sindir beliau, pemimpin itu bukan sahaja sudah  didakwa dengan 47 kes di mahkamah dan diperintah membela diri, malah anggota Kabinet tersebut diberikan jawatan nombor dua tertinggi dalam kerajaan.

    “Orang ini (Muhammad Sanusi) baru didakwa di mahkamah, belum pun diperintah bela diri, jauh lagi didapati bersalah.

    “Yang seorang lagi sudah didakwa 47 kes, sudah diminta bela diri, molek2 je kau bagi dia jawatan, no dua paling tinggi pulak tu..

    “Ish ish tatakelaut!,” tambahnya.

    Media hari ini melaporkan Saifuddin Nasution yang juga Menteri Dalam Negeri mengesyorkan gelaran Laksamana Pertama (Kehormat) Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang diberikan kepada Muhammad Sanusi Md Nor dilucutkan.

    Hal itu kerana Muhammad Sanusi didakwa mengina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Kapten Yang Dipertua TLDM.

  • Wanita rugi lebih setengah juta terpedaya pelaburan online di Facebook

    Wanita rugi lebih setengah juta terpedaya pelaburan online di Facebook

    SEORANG peniaga kedai makan wanita berusia 54 tahun di Butterworth, Pulau Pinang berputih mata selepas wang miliknya sebanyak RM512,244 lebur diperdaya skim pelaburan saham online.

    Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Asri Shafie, mangsa mula terpedaya selepas melihat iklan berkaitan pelaburan saham di akaun Facebook pada 22 Mei lalu.

    Jelasnya, mangsa kemudiannya telah berhubung dengan ejen pelaburan terbabit menerusi aplikasi WhatsApp dan diberi penerangan berkaitan pelaburan saham yang ditawarkan sebelum bersetuju dan membuat pendaftaran melalui laman web ‘HTTP://PSLUS.COM/#/RESGISTERAGENTCODE:697875’ yang diberikan.

    Ujar beliau, mangsa seterusnya melalukan sebanyak 20 transaksi pindahan wang ke lapan akaun bank syarikat dari 20 Jun sehingga 5 Julai lalu.

    “Menurut mangsa, pelaburan yang disertainya itu telah menjanjikan keuntungan kira-kira RM400,000 melalui transaksi yang dipaparkan di dalam akaun pelaburan milik mangsa.

    “Bagaimanapun, wang keuntungan berserta modal yang telah dilaburkan tidak dapat dikeluarkan.

    “Pengadu kemudiannya membuat laporan polis semalam selepas ejen pelaburan telah menghilangkan diri manakala platform pelaburan terbabit juga gagal diakses,” katanya.

    Jelas Mohd. Asri, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    Dalam pada itu, beliau menasihati orang awam sentiasa berwaspada dan tidak mudah mempercayai sebarang bentuk pelaburan yang menawarkan keuntungan yang tinggi dalam masa singkat.

    “Orang ramai juga diminta untuk membuat semakan terhadap akaun-akaun bank sebelum membuat sebarang bayaran melalui aplikasi Semakmule bagi memastikan akaun berkenaan selamat daripada sebarang kes penipuan,” katanya.

  • Boleh siasat 25 jam sehari, lapan hari seminggu – Sanusi

    Boleh siasat 25 jam sehari, lapan hari seminggu – Sanusi

    MENTERI Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sedia beri kerjasama penuh kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes kecurian unsur nadir bumi (REE) di Bukit Enggang, Sik.

    Beliau berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan mana-mana pihak berkuasa yang mahu melakukan apa sahaja siasatan ke atas pentadbirannya.

    “Saya akan beri kerjasama sepenuhnya kepada apa saja penyiasatan pihak berkuasa. Saya sebut banyak kali sejak jadi Menteri Besar, saya dan pejabat saya dibuka untuk disiasat SPRM atau mana-mana agensi. Boleh siasat 25 jam sehari, lapan hari seminggu, boleh hubungi saya melalui WhatsApp kalau saya tak sempat jawab panggilan telefon,” katanya kepada Berita Harian hari ini.

    Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan pihaknya sudah memanggil 12 orang saksi berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa dalam kegiatan mencuri REE di Kedah.

    Katanya, semua saksi yang dipanggil itu sudah dirakam percakapan bagi membantu siasatan dengan beberapa lagi saksi termasuk Muhammad Sanusi akan dipanggil dalam tempoh terdekat.

    Kelmarin, SPRM menahan pegawai kanan Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah dan pengarah syarikat bagi membantu siasatan berhubung rasuah dan salah guna kuasa dalam kegiatan perlombongan membabitkan jumlah rasuah lebih RM13 juta.

  • Felda kata kenyataan Anwar disalah tarsier

    Felda kata kenyataan Anwar disalah tarsier

    KENYATAAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung peruntukan sehingga RM990 juta setahun bagi membolehkan penebusan semula sukuk Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) telah disalah tafsir.

    Felda  menjelaskan, penebusan semula sukuk antara lain bagi membiayai hapus kira hutang peneroka yang secara keseluruhan melibatkan bantuan kewangan sebanyak RM9.9 bilion bagi tempoh 10 tahun.

    “Walau bagaimanapun, kenyataan Perdana Menteri telah disalah tafsir sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat dengan janji kerajaan terdahulu untuk menghapuskan hutang peneroka berjumlah RM8.3 bilion.

    “Penghapusan sejumlah hutang peneroka ini telah dilaksanakan di peringkat Felda tanpa penyaluran peruntukan geran daripada kerajaan Persekutuan pada 2021 dan 2022.

    “Jumlah pelupusan hutang ini telah memberikan impak yang besar kepada aliran tunai dan prestasi Felda,” kata Felda dalam kenyataan hari ini

    Felda berkata, sebagai langkah membantu dan menjamin kelangsungan Felda, Anwar pada 26 Jun lalu telah menandatangani perjanjian Assignment for Financial Service Reserve Account (FSRA).

    Menurut agensi itu, ia bagi penerimaan pertama geran RM990 juta daripada kerajaan Persekutuan untuk penebusan sukuk Felda.

    “Perjanjian ini antara lain memberikan ruang kepada Felda untuk menstruktur semula komitmen kewangan terhadap kadar faedah yang dikenakan serta pemansuhan 80 peratus hutang peneroka berjumlah RM8.3 bilion.

    “Felda menzahirkan penghargaan kepada kerajaan atas komitmen bagi menyempurnakan proses pemulihan Felda demi menjamin kelangsungan sebagai satu institusi gergasi yang menaungi 112,638 keluarga peneroka di seluruh negara,” kata Felda.

  • REE Kedah: SPRM rakam kenyataan 12 individu, Sanusi akan dipanggil beri keterangan

    REE Kedah: SPRM rakam kenyataan 12 individu, Sanusi akan dipanggil beri keterangan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merakam kenyataan 12 individu, bagi membantu siasatan kes rasuah lebih RM13 juta serta salah guna kuasa membabitkan isu perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Kedah.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata kesemua individu yang dipanggil setakat ini, merupakan daripada Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah dan syarikat swasta, yang dikatakan terlibat dengan perlombongan REE tersebut.

    “Setakat ini masih belum ada orang politik yang dipanggil untuk memberi keterangan… Sesiapa saja akan dipanggil untuk bagi keterangan, mana yang difikirkan perlu, mungkin cepat atau lambat sahaja.

    “Nak siasat bukan boleh terjah sahaja, kena buat pengesahan dan panggil saksi berkenaan, kena pastikan hal berkaitan prosedur untuk luluskan pengeluaran REE… Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pun akan dipanggil, sebab dia yang sain surat yang tular itu.

    ‘’Antara yang kita akan tanya perkara itulah, sebab surat itu tular. Kalau betul, betullah dan jika tidak betul beliau kena nyatakan. Bila Sanusi akan dipanggil, kita belum tahu lagi kerana saya serahkan kepada pegawai penyiasat dan mereka akan tentukan bila akan dipanggil,” katanya

    Beliau berkata demikian selepas Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Timur di Kuala Nerus, hari ini.

    Azam berkata pihaknya juga sedang mengesan beberapa saksi dari China, yang dikatakan membuat pelaburan dalam perlombongan REE tersebut untuk turut membantu siasatan.

    “Pegawai penyiasat sedang menyiasat (kesan saksi dari luar negara),” katanya.

    Mengulas dakwaan SPRM ditekan oleh pihak tertentu pihak supaya mempercepatkan siasatan kes REE susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin hampir, Azam menyangkal kenyataan tersebut dan menegaskan perkara itu hanya kebetulan berlaku dalam tempoh ini.

    “Tiada siapa menekan kami, ini cuma secara kebetulan. Sama ada kerana PRN atau tidak, ia bukan masalah… SPRM dalam hal berkaitan apa juga isu rasuah dan salah guna kuasa dalam pentadbiran kerajaan, yang ada merit untuk siasat, kita siasat,” katanya.

    Semalam seorang pegawai kanan MBI Kedah dan seorang wanita yang merupakan pengarah sebuah syarikat, ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah lebih RM13 juta serta salah guna kuasa membabitkan isu perlombongan REE di Kedah.

    Sumber SPRM berkata kedua-dua suspek yang berusia 63, dan 40 tahun itu, direman tiga hari hingga 21 Julai selepas ditahan semalam di sekitar Alor Setar, Kedah serta ibu negara.

    Menurut sumber syarikat terbabit dipercayai telah menjalankan aktiviti perlombongan itu secara haram sejak 2020, dan mendapat perlindungan daripada pihak berkuasa tertentu.

  • ‘’Kalau hendak dedah…dedah semualah…Anwar sendiripun ada kertas siasatan’’ – Tun M

    ‘’Kalau hendak dedah…dedah semualah…Anwar sendiripun ada kertas siasatan’’ – Tun M

    TUN Dr Mahathir Mohamad hari ini mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bersikap komprehensif atau menyeluruh dalam mendedahkan dakwaan salah laku terhadap bekas Menteri UMNO, mendakwa siasatan juga dibuka ke atas Perdana Menteri sendiri. 

    Menjawab dakwaan Anwar mengenai fail yang mengandungi maklumat mengenai menteri yang berpaling tadah daripada UMNO menjelang pilihan raya umum tahun lepas, Dr. Mahathir berkata ugutan pendedahan itu merupakan salah guna kuasa.

    “Kalau hendak dedah, dedah semualah. Dedah berkenaan menteri sekarang pun. Saya tahu ada kertas siasatan terhadap Anwar sendiri, walaupun saya tidak lihat. Polis beritahu saya semasa saya perdana menteri,’’ kata beliau dalam Facebook.

    Anwar ketika majlis Jelajah Madani pada 15 Julai lalu berkata terdapat fail yang mengandungi maklumat mengenai bekas menteri Umno yang keluar parti menjelang Pilihan Raya Umum, 19 November tahun lepas. 

    Beliau dilaporkan berkata fail itu mengandungi bukti penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin tersebut semasa mereka dalam kerajaan.

    Mahathir berkata ramai “orang kenamaan Melayu” takut dan “tidak senang dengan prestasi kerajaan sekarang”.

    “Tetapi mereka enggan menyertai sebarang gerakan yang memiliki pendapat yang sama dengan mereka Mereka takut jika mereka dikenal pasti oleh kerajaan, tindakan akan diambil terhadap mereka. Undang-undang dibuat untuk semua orang, bukan untuk parti lawan sahaja.

    ”Apakah ugutan dan tindakan seperti ini diizin oleh demokrasi. Siasatan oleh polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia perlu dilakukan. Tetapi bukan untuk ugutan politik.  Jika benar ada jenayah tindakan undang-undang hendaklah diambil. Amatlah tidak bertanggungjawab jika diguna untuk politik parti. Apakah itu sebahagian dari Reformasi?” tegas beliau.

  • Kerusi DUN Hulu Bernam milik UMNO bukan Amanah, kata Rosni Sohar

    Kerusi DUN Hulu Bernam milik UMNO bukan Amanah, kata Rosni Sohar

    DEWAN Undangan Negeri (DUN) Hulu Bernam bukan Amanah tetapi milik Barisan Nasional (BN) sebab kita menang, tegas Setiausaha Wanita UMNO, Datuk Rosni Sohar.

    Sinar Harian melaporkan Rosni yang juga penyandang kerusi DUN Hulu Bernam berkata, Pengerusi Amanah Selangor, Ir Izham Hashim tidak wajar mendahului keputusan pimpinan dengan mengumumkan parti mereka bertanding di situ.

    “BN menang di DUN Hulu Bernam, sebab kita menang melainkan kita kalah dan Izham kena tahulah perkara ini, takkan beliau ketepikan perkara yang benar, perkara nyata dan jelas. Jangan bercakap mengatasi keputusan pimpinan teratas, kita dahulu buat andaian, saya tidak setuju,” katanya mengulas kenyataan Izham sebelum ini yang memaklumkan DUN Hulu Bernam milik Amanah.

    Pada Isnin, Izham mengesahkan kerusi Hulu Bernam akan ditandingi parti itu yang bernaung di bawah gabungan Pakatan Harapan (PH).

    Izham berkata, Amanah akan bertanding sembilan kerusi di Selangor termasuk Hulu Bernam pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos depan.

    Menurutnya, keputusan itu dibuat di peringkat tertinggi sementara kerusi DUN Jeram akan diambil alih oleh BN.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kerusi DUN Hulu Bernam dimenangi Rosni yang mewakili BN dengan majoriti 20 undi.

    Rosni yang mendapat 8,164 undi menewaskan calon PKR, Amran Sakir yang memperoleh 8,144 undi dan calon Pas, Salleh Ri yang meraih 2,554 undi.

    Menurut Rosni, beliau tidak bersetuju dengan kenyataan yang dibuat secara sesuka hati kerana sepatutnya ia diumumkan di peringkat atasan yang membuat keputusan.

    “Baik kita tunggu sahaja (keputusan) sebab saya pun tidak ada masalah, saya hanya menunggu keputusan itu kerana mungkin ada sebab tertentu mereka (pimpinan) membuat keputusan sedemikian. Kita sepatutnya membiar keputusan itu dibuat oleh pihak menteri besar dan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor dan Izham tidak boleh buat kenyataan seperti itu,” katanya.

    Tambah Rosni, tindakan Izham mendahului keputusan pemimpin tertinggi juga menyebabkan timbul banyak persoalan kepada pengundi BN dan persoalan itu tidak dapat dijawab olehnya.