Category: Semasa

  • Kerjasama politik dengan PH pada PRU-15:Muda perlu buat permohonan rasmi, ikhlas

    Kerjasama politik dengan PH pada PRU-15:Muda perlu buat permohonan rasmi, ikhlas

    PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) perlu membuat permohonan rasmi kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) untuk menjalin kerjasama Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Halimey Abu Bakar berkata, terpulang kepada Majlis Presiden PH untuk membuat keputusan menerima atau sebaliknya.

    Keputusan tersebut jelasnya, selepas diambil kira pandangan akar umbi khususnya daripada PKR.

    Nmaun katanya, Muda terlebih dahulu perlu memberikan penjelasan terhadap beberapa tindakan dilakukan parti itu sebelum ini yang telah menimbulkan kemarahan ahli PKR.

    “Umum mengetahui luka lama masih berdarah akibat tindakan semberono parti itu yang meletakkan calon di Larkin yang menyebabkan pertembungan dengan calon PKR pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    “Ditambah pula sindiran Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terhadap Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2014 yang ditularkan semula,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, permohonan Muda untuk bersama PH juga perlu disertai dengan keikhlasan membantu memperkukuh serta memperkuat jentera menjelang PRU-15.

    “Masih ada banyak ruang kosong terutama di kerusi tradisi UMNO dan Pas yang memerlukan tenaga segar dari parti seperti Muda yang secara terbuka mengumumkan akan bertanding 15 kerusi Parlimen sebelum berunding.

    “Berhenti berharap memperoleh laluan mudah untuk bertanding di kerusi dalam negeri yang telah dimenangi PH seperti Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

    “Sebaliknya fokus gerak kerja di kawasan pantai timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang serta kawasan luar bandar di Sabah
    dan Sarawak,” jelas Halimey.

    Dalam pada itu, beliau menegaskan, Muda juga perlu menyatakan pendirian terhadap Gerakan Tanah Air (GTA) diketuai Presiden Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang diketahui secara terbuka menolak calon Perdana Menteri tunggal PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    “Ini kerana mustahil akar umbi PH akan bekerjasama dengan Muda sekiranya gagal memuktamadkan sokongan secara tuntas terhadap keputusan menamakan calon Perdana Menteri yang dipersetujui secara kolektif,” ujarnya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.

  • Remaja maut, teman wanita parah motosikal langgar pokok

    Remaja maut, teman wanita parah motosikal langgar pokok

    SEORANG remaja lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang melanggar sebatang pokok di Kilometer 11, Jalan Sungai Choh-Bukit Beruntung, pagi tadi.

    Semasa kejadian, remaja berusia 19 tahun itu sedang menunggang motosikal bersama-sama seorang wanita berusia 18 tahun dari Apartment Kenanga ke Sungai Choh.

    Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, mangsa telah hilang kawalan lalu melangar pokok di bahu jalan.

    “Akibat daripada kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat di bawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Tambahnya, pembonceng mengalami kecederaaan parah dan dibawa ke Hospital Selayang bagi rawatan lanjut.

    “Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya memetik laporan Utusan TV.

    Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi tindakan lanjut.

  • Najib lantik Nik Faisal sebagai pemegang mandat lima akaun peribadinya – Pegawai bank

    Najib lantik Nik Faisal sebagai pemegang mandat lima akaun peribadinya – Pegawai bank

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpour hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak melantik bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd Nik Faisal Ariff Kamil sebagai pemegang mandat bagi lima akaun AmIslamic Bank miliknya.

    Pengurus Cawangan AmBank (M) Berhad Jalan Raja Chulan R. Uma Devi, 43, berkata bekas Perdana Menteri itu melantik Nik Faisal sebagai pemegang mandat bagi akaun simpanan AmIslamic berakhir nombor 694 dan empat akaun semasa iaitu AmIslamic (481), AmPrivate Banking-1MY (880), AmPrivate Banking-Y1MY (898) serta AmPrivate Banking-MY (906).

    Beliau berkata pelantikan Nik Faisal sebagai pemegang mandat bagi akaun AmIslamic (694 dan 481) dibuat menerusi surat kepada Pengurus Cawangan AmIslamic Bank Berhad Jalan Raja Chulan bertarikh 10 Mac 2011 manakala tiga lagi akaun melalui surat bertarikh 26 Ogos 2013.

    Merujuk kepada surat Najib bertarikh 10 Mac 2011, saksi itu berkata Najib membenarkan Nik Faisal membuat pertanyaan mengenai status, butiran akaun termasuk baki serta mengesahkan cek bernilai melebihi RM250,000.

    “Ini bermaksud pihak bank perlu mendapatkan pengesahan daripada Nik Faisal untuk meneruskan transaksi bagi mana-mana cek yang dikemukakan daripada akaun terbabit yang berjumlah lebih daripada RM250,000,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bistamam dalam perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Najib.

    Saksi pendakwaan ke-37 itu berkata surat bertarikh 26 Ogos 2013 mengesahkan Najib membenarkan Nik Faisal memberikan apa-apa arahan bertulis kepada pihak bank untuk mengeluarkan draf bank atas nama AmPrivate Banking-1MY, AmPrivate Banking-Y1MY dan AmPrivate Banking-MY serta memberi arahan kepada Ambank Group Treasury bagi tujuan deposit perbendaharaan.

    “Surat itu juga mengesahkan bahawa Datuk Seri Najib bertanggungjawab untuk transaksi-transaksi tersebut seolah-olah ia dikeluarkan oleh beliau sendiri,” katanya sambil menambah ketiga-tiga akaun itu telah dibuka di AmIslamic Bank Berhad Cawangan Jalan Raja Chulan pada 31 Julai 2013 dan ditutup pada 9 Mac 2015.

    Najib, 69, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin depan.

    — BERNAMA

  • Polis rampas dadah bernilai RM115,490

    Polis rampas dadah bernilai RM115,490

    POLIS berjaya merampas dadah pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM115,490 dalam satu operasi di Sentul, Selasa lalu.

    Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Ashari Abu Samah berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Wangsa Maju telah bertindak menahan dua lelaki di sebuah kondominium di Jalan Ampang pada jam 1.40 petang.

    “Penahanan itu membawa kepada rampasan sepeket bahan plastik yang mengadungi dua peket lutsinar berisi bahan disyaki dadah.

    “Dadah itu disyaki jenis methamphetamine dengan anggaran berat 6.34 gram dan sepeket plastik lutsinar mengandungi 110 biji pil berwarna hijau disyaki ekstasi dengan anggaran berat 42.96 gram.

    Sebahagian daripada dadah jenis ganja dan methamphetamine bernilai RM115,490.00 yang berjaya dirampas selepas polis menahan tiga lelaki yang dipercayai pengedar dadah ketika Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superitendan Ashari Abu Samah mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Turut dirampas satu beg berwarna merah yang diisi satu balutan salotape membaluti kertas foil warna oren mengandungi ketulan mampat daun-daun kering disyaki jenis ganja, dengan anggaran berat 1.038 kilogram,” katanya memetik laporan Utusan TV.

    Mengulas lanjut, Ashari berkata, pada pukul 2.35 petang hari yang sama, pasukan operasi melakukan tindakan susulan untuk memeriksa sebuah kereta di kondominium yang sama.

    Menurut Ashari, pemeriksaan itu membawa kepada penemuan 45 balutan salotape mengandungi ketulan mampat daun-daun keringa yang disyaki jenis ganja seberat 44.085 kilogram.

    Jelas beliau, polis turut menahan seorang lagi lelaki di kawasan Sentul kerana dipercayai turut terlibat dalam sindiket pengedaran dadah tersebut.

    Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superitendan Ashari Abu Samah (tengah) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada dadah jenis ganja dan methamphetamine bernilai RM115,490.00 yang berjaya dirampas selepas menahan tiga lelaki yang dipercayai pengedar dadah ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Dadah yang dirampas dipercayai boleh nemampung keperluan penagih-penagih sekitar Kuala Lumpur lebih kurang 9,150 orang.

    “Kesemua suspek berusia antara 31 hingga 32 tahun dipercayai aktif dalam sindiket itu sejak awal November 2021.

    “Ujian saringan air kencing terhadap kesemua suspek mendapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine,” katanya.

    Ashari menambah, kesemua suspek telah ditahan reman selama lima hari bermula semalam hingga 11 September untuk siasatan lanjut.

    Jelas beliau, kertas siasatan akan dilengkapkan sebelum dimajukan ke Pejabat Timbalan Pendakwaraya untuk arahan lanjut.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Tawar aktiviti pelacuran kepada pelanggan rumah urut, salon

    Tawar aktiviti pelacuran kepada pelanggan rumah urut, salon

    SATU sindiket pelacuran yang berselindung di sebalik operasi rumah urut dan salon berjaya dibongkar selepas polis Pulau Pinang menyerbu sebuah premis di Jalan Sungai Dua, Gelugor semalam.

    Dalam serbuan kira-kira pukul 6.45 petang itu, seramai 11 wanita warga asing dan seorang lelaki warga asing dipercayai pelanggan berusia antara 24 hingga 52 tahun turut ditahan.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden V. Saravanan berkata, siasatan pihaknya mendapati premis rumah urut dan salon itu turut dijadikan lokasi aktiviti pelacuran dengan menyediakan khidmat seks pada harga RM50 hingga RM150 bagi tempoh satu jam.

    Jelas beliau, pusat itu dipercayai telah menawarkan aktiviti pelacuran terbabit sejak enam bulan lalu.

    “Premis rumah kedai itu beroperasi sebagai rumah urut di tingkat bawah manakala salon di tingkat atas.

    “Pelanggan dipercayai datang untuk mendapatkan khidmat urut dan salon, namun kemudian ditawarkan khidmat pelacuran,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis daerah (IPD) Timur Laut, Georgetown hari ini.

    Menurut beliau, dalam serbuan sama polis turut merampas pelbagai barangan seperti kondom, buku log pelanggan, tuala, wang tunai bernilai RM600 dan barangan lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pelacuran.

    Jelasnya, kesemua tahanan kini direman selama tiga hari dan disiasat di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan (mencari langganan bagi maksud persundalan).

    Selain katanya, suspek juga akan disiasat di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 (salah guna pas lawatan sosial) dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/1963 (tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah).

    Dalam perkembangan sama, Saravanan menambah, sebanyak 13 premis telah diserbu dan seramai 53 suspek yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pelacuran telah ditahan menerusi menerusi Ops Noda yang dijalankan polis sejak 30 Ogos lalu hingga semalam.

    “Tangkapan itu melibatkan masing-masing lima lelaki dan wanita tempatan serta enam lelaki dan 37 wanita warga asing,” katanya.

  • Tular lelaki dibelasah didakwa cuba culik kanak-kanak

    Tular lelaki dibelasah didakwa cuba culik kanak-kanak

    TULAR satu video mengenai seorang lelaki dibelasah di Kota Bharu yang didakwa penduduk setempat terbabit dalam kes culik kanak-kanak.

    Video itu yang tular sejak malam tadi dikatakan dirakam orang ramai ketika kejadian di kawasan sekitar Dataran Muhammadi di Kota Bharu.

    Bagaimanapun, setakat ini tiada pengesahan dan maklumat lanjut dari pihak berkuasa, lapor Harian Metro.

    Dalam perkongsian beberapa klip rakaman video itu, dilihat seorang lelaki yang memakai topi keledar dipukul beberapa individu kerana dikatakan adalah seorang daripada individu yang terbabit dalam kejadian penculikan kanak-kanak untuk diambil organ.

    Menerusi rakaman berkenaan, lelaki itu yang dalam keadaan kesakitan memberitahu dia melarikan diri kerana dikejar orang ramai sebelum berjaya ditangkap dan dipukul.

    Insiden itu menerima pelbagai komen daripada warganet yang menyuarakan kebimbangan dengan kejadian yang dikatakan berunsurkan penculikan kanak-kanak itu.

    Menurut komen lain, lelaki itu dikatakan menyasarkan kanak-kanak berusia di bawah sembilan tahun untuk diculik dan menasihatkan agar mengawal pergerakan anak masing-masing.

  • Warga emas jual daging babi hutan, arak seludup ditahan

    Warga emas jual daging babi hutan, arak seludup ditahan

    SEORANG lelaki warga emas ditahan kerana disyaki menjual daging babi hutan tanpa permit yang sah serta menjual arak seludup di Taman Harmoni, Simpang Renggam dekat Kluang, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, lelaki berusia 60-an itu yang ditahan pada pukul 5.09 petang, turut dipercayai memiliki selaras senapang patah yang panjangnya lebih kurang 1.22 meter tanpa lesen.

    Beliau berkata, pihaknya juga menemukan enam butir peluru tertera tulisan ‘GB Buck Shot’, empat butir peluru tertera tulisan ‘SB Corona’ dan sebutir peluru tertera tulisan ‘Kerambit 1’.

    “Sebanyak 83 bungkusan plastik dipercayai mengandungi daging babi hutan yang akan dijual kepada warga asing di sekitar kawasan berkenaan dan sebuah peti ais.

    “Polis juga merampas 28 karton arak tanpa cukai pelbagai jenis yang juga dipercayai dijual kepada warga asing di kawasan terbabit serta sebuah kereta Proton Saga, dengan jumlah rampasan RM27,935,” katanya dalam sidang media hari ini.

    Bahrin berkata, lelaki itu ditahan reman selama empat hari sehingga Sabtu untuk siasatan lanjut.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000.

    Selain itu, lelaki berkenaan turut disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967, yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga 20 kali ganda nilai barangan atau penjara tiga tahun selain Seksyen 60(1)(b) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, sekiranya bersalah boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun.

  • Imam didakwa 12 tuduhan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak

    Imam didakwa 12 tuduhan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak

    SEORANG imam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen Melaka hari ini atas 12 pertuduhan seksual terhadap seorang kanak-kanak yang merupakan adik iparnya, lima tahun lalu.

    MELAKA – Seorang bapa kepada empat anak didakwa di Mahkamah Seksyen di sini pada Khamis atas 12 pertuduhan seksual terhadap seorang kanak-kanak yang merupakan adik iparnya, lima tahun lalu.

    Tertuduh yang merupakan penjawat awam dan bapa kepada empat anak itu mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail dan Nariman Badruddin, lapor Sinar Harian.

    Perbuatan yang dilakukan didakwa di bawah Seksyen 377C dan Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dibaca bersama Seksyen 16(1) dan Seksyen 27(1) akta yang sama.

    Berdasarkan pertuduhan pertama hingga ketiga, lelaki berusia 40 tahun terbabit didakwa merogol, melakukan amang seksual fizikal dan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa yang berusia sembilan tahun di sebuah rumah di Taman Seri Kerayong, Jasin.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 3 pagi antara awal September hingga pertengahan September 2017.

    Seksyen 376 (2) membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan Seksyen 377C Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara lima tahun hingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

    Dalam pertuduhan keempat hingga ketujuh, tertuduh juga didakwa merogol, melakukan amang seksual dan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa sama antara pukul 4.30 petang awal Mac 2019 hingga pukul 9.30 pagi awal September 2019 di alamat sama.

    Tertuduh juga didakwa merogol dan melakukan amang seksual terhadap mangsa sama bagi pertuduhan ke lapan hingga ke-12 di sebuah rumah di Jalan Simpang Badak Jasin antara pukul 2.30 pagi 12 Julai 2021 hingga 13 Jun lalu.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim dan Anis Najwa Nazari dalam prosiding berasingan memohon mahkamah tidak mengenakan jaminan terhadap tertuduh namun mencadangkan jaminan RM120,000 bagi kesemua 12 pertuduhan selain syarat tambahan tertuduh tidak boleh menganggu mangsa dan keluarganya sepanjang kes berlangsung.

    Tertuduh diwakili peguam, Andrew Lourdes merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya perlu menanggung empat anak berusia antara tiga hingga 16 tahun yang masih bersekolah selain hanya berpendapatan RM1,500 sebulan sebagai penjawat awam manakala isteri seorang suri rumah.

    Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM79,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 6 Oktober depan untuk tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

  • Majikan wanita didakwa cederakan amah warga Indonesia guna kayu

    Majikan wanita didakwa cederakan amah warga Indonesia guna kayu

    SEORANG majikan wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang hari ini, atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang pembantu rumah warga Indonesia menggunakan sebatang kayu, bulan lepas.

    Pengurus syarikat swasta K.Rineshini Naidu, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin.

    Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa dengan sengaja telah menyebabkan cedera parah kepada Zailis, 46, dengan menggunakan sebatang kayu yang boleh menyebabkan kematian jika digunakan sebagai senjata.

    Rineshini Naidu didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Industri Bolton, Gombak pada 11 pagi, 30 Ogos lepas, mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisa Zainudin menawarkan jaminan RM20,000 berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mendekati dan mengganggu mangsa.

    “Pagi tadi tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Klang, Selangor atas tuduhan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM 2007).

    “Oleh itu, pihak pendakwaan memohon mahkamah membenarkan kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Klang, untuk dibicarakan bersama,” katanya.

    Bagaimanapun peguam A. Narainasami yang mewakili tertuduh, memohon jaminan munasabah berjumlah RM5,000 dengan alasan anak guamnya mempunyai keluarga serta anak kembar, dan akan patuh pada syarat-syarat tambahan tersebut.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mendekati dan mengganggu mangsa selain, memerintahkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Klang untuk dibicarakan bersama.

    Pagi tadi Rineshini Naidu dan suaminya S. Vijiyan Rao, 38, didakwa di Mahkamah Sesyen Klang atas tuduhan memperdagangkan seorang pembantu rumah warga Indonesia bagi tujuan eksploitasi kerja paksa, sehingga menyebabkan kecederaan parah antara Mac dan Ogos tahun ini.

    Bagaimanapun, Rineshini Naidu dan suaminya yang merupakan seorang pegawai polis mengaku tidak bersalah, selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Rozianayati Ahmad.

    Mahkamah kemudian membenarkan mereka diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

    Rozianayati menetapkan 5 Okt ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

    Sebelum ini media melaporkan polis menahan seorang majikan wanita warga tempatan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kes penderaan seorang pembantu rumah warga Indonesia, di sebuah rumah di Batu Caves. – Bernama

  • Ulamak Pas gesa penyatuan ummah demi PRU-15

    Ulamak Pas gesa penyatuan ummah demi PRU-15

    DEWAN Ulamak Pas Pusat menggesa semua pihak bernaung di bawah gagasan penyatuan ummah khususnya dalam Pilihanraya Umum ke-15 (PRU-15).

    Ketuanya, Datuk Ahmad Yahya berkata, gagasan tersebut adalah pendekatan terbaik dalam menyatukan umat Islam, selain menentang ‘kebobrokan’ yang dicetuskan sesetengah kelompok berkepentingan dalam negara.

    “Pada masa sama gagasan ini sebagai formula boleh menang dalam PRU-15. Gagasan ini merupakan pintu gerbang penyatuan bukan sahaja umat Islam, bahkan juga golongan bukan Islam yang berpegang kepada prinsip yang sama.

    “Sudah sampai masanya umat Islam bersatu padu mempertahankan Islam daripada segala aspek khususnya medan politik yang sentiasa terbuka kepada ruang eksploitasi musuh. ]

    “Ironinya, masih ada pihak yang sanggup mengetepikan gagasan ini semata-mata mahu mempertahankan kepentingan sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Beliau turut mengulangi gesaan bahawa gagasan penyatuan ummah merupakan strategi paling ampuh untuk memastikan kemenangan dalam PRU-15.

    Jelasnya, usaha itu hadir bagi menangani kerosakan pemerintahan Pakatan Harapan dan sewajarnya diteruskan bagi memperkukuhkan kedudukan Islam dalam negara.