Category: Semasa

  • FELCRA Berhad laksana projek kedua Kompleks Ternakan Ayam Bersepadu di Padang Terap

    FELCRA Berhad laksana projek kedua Kompleks Ternakan Ayam Bersepadu di Padang Terap

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi agensinya FELCRA Berhad melaksanakan projek kedua Kompleks Ternakan Ayam Bersepadu bernilai RM20 juta di Padang Terap.

    Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, projek ternakan ayam sistem tertutup di Kampung Kubang Palas itu dijadual mula beroperasi pada bulan Oktober tahun depan.

    “Pembinaan kompleks ternakan ayam ini merupakan strategi serampang dua mata yang tidak hanya memfokuskan kepada janaan ekonomi setempat sahaja, sebaliknya ia merupakan aktiviti bagi membantu menjamin keselamatan bekalan makanan dalam negara.

    Projek ini juga merupakan inisiatif untuk meningkatkan kualiti kehidupan yang lebih baik di kawasan luar bandar yang akan menyediakan pelbagai peluang pekerjaan selain menjana rantaian ekonomi.”

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan tapak dan taklimat Projek Ternakan Ayam di sini hari ini.

    Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Nerang, Mohammad Yusoff @ Munir Zakaria, Ahli Lembaga Pengarah FELCRA, Datuk Seri Ghazali Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA, Datuk Mat Roni Zakaria.

    Jelas Mahdzir, kompleks ternakan ayam itu dibina di atas tanah berkeluasan 10 hektar dan mampu mengeluarkan 250 ribu ekor ayam sepusingan atau 1.5 juta ekor setahun.

    “Saya menaruh harapan dengan pelaksanaan projek ini, anak-anak muda di Padang Terap tidak perlu lagi berhijrah ke bandar untuk bekerja sebaliknya boleh menetap di sini dan mendapatkan sumber pendapatan menerusi peluang pekerjaan yang ditawarkan.”

    Selain itu tambah Mahdzir, projek ternakan ayam itu turut memberi ruang kepada usahawan bimbingan FELCRA untuk terlibat secara aktif di dalam rangkaian pengeluaran dan pembekalan ayam.

    Untuk rekod, FELCRA turut melaksanakan projek Kompleks Ternakan Ayam Bersepadu yang pertama di Kampung Tanjung Seratus, Rompin, Pahang.

  • Dua maut, satu parah kereta masuk longkang

    Dua maut, satu parah kereta masuk longkang

    DUA remaja maut sementara seorang lagi rakan mereka parah apabila kenderaan dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam longkang di Jalan Pondok Labu-Taman Selasih, dekat Kulim, pukul 3.51 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kulim, Superitendan Mohd. Redzuan Salleh, semua mangsa menaiki kereta jenis Perodua Viva datang dari arah pekan Kulim ke Taman Selasih.

    Sebaik tiba di satu selekoh katanya, pemandu kenderaan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas masuk ke longkang di bahu kanan jalan.

    “Pemandu dan penumpang hadapan berusia 18 tahun mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi penumpang di bahagian belakang mengalami kecederaan parah di muka dan kepala.

    “Mayat kedua-dua mangsa yang maut dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat sementara mangsa yang cedera dirujuk ke hospital sama untuk rawatan lanjut,” katanya memetik laporan Astro Awani.

    Mohd. Redzuan berkata, polis masih menyiasat dan mengenal pasti identiti ketiga-tiga mangsa.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • Pekebun kecil sawit digalak ceburi sektor koko, lada hitam, putih

    Pekebun kecil sawit digalak ceburi sektor koko, lada hitam, putih

    PEKEBUN kecil sawit digalakkan untuk merebut peluang menceburi sektor koko, lada hitam dan putih sebagai produk sampingan bagi membantu meningkatkan aktiviti huluan agrikomoditi itu.

    Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, projek integrasi seumpama itu dapat membantu merancakkan lagi pembangunan hiliran sektor lada dan koko tempatan yang semakin mendapat tempat, sekali gus memberi sumbangan signifikan kepada pembangunan ekonomi negara.

    “Ini juga usaha baik untuk meningkatkan eksport bahan mentah, bahan mentah kekurangan kerana aktiviti menanam di peringkat huluan lemah.

    “Kita mahu mempertingkatkan dari segi penglibatan penanam peringkat huluan, (dengan itu) baru kita dapat hasil di peringkat hiliran dan dapat eksport…hasil akan datang kepada negara dan itu yang kita harapkan,” katanya pada sidang media selepas Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia Bersama Pekebun Kecil Koko dan Lada di Felda Inas, di Kulai, hari ini.

    Beliau berkata, koko, lada hitam dan putih juga semakin mendapat permintaan, malahan jenama coklat terkenal antarabangsa seperti Govida juga turut mendapat sumber koko daripada Malaysia.

    Sementara itu, Zuraida berkata, kerajaan pada 2019 telah mengehadkan pengembangan kawasan penanaman kelapa sawit tidak melebihi 6.5 juta hektar dan sehingga 2022, seluas 5.8 juta hektar telah dibangunkan.

    “Program integrasi ada potensi, kalau tengok ladang sawit kita sudah 5.8 juta hektar (dibangunkan), jadi kalau kita gunakan 1 juta hektar sekalipun sudah lumayan untuk dapat hasil koko atau lada hitam dan putih,” katanya.

    Justeru beliau berkata, pihaknya bercadang untuk mengadakan mesyuarat dengan syarikat besar seperti Felda, Sime Darby dan IOI Corporation Bhd mengenai projek integrasi seumpama itu yang boleh dilaksanakan di ladang mereka.

    Zuraida pada masa sama, menyeru orang ramai yang mempunyai tanah terbiar untuk turut sama memanfaatkan kawasan dengan menceburi sektor koko, ladang hitam dan putih menerusi projek ladang komuniti.

  • Najib tarik balik saman terhadap kerajaan, teruskan saman Tommy

    Najib tarik balik saman terhadap kerajaan, teruskan saman Tommy

    DATUK Seri Najib Tun Razak menarik balik saman terhadap kerajaan Malaysia berhubung dakwaan menyalahgunakan kuasa dalam beberapa kes termasuk kesalahan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan menuntut ganti rugi lebih RM1.9 juta.

    Namun bekas Perdana Menteri itu meneruskan saman terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas selaku defendan pertama.

    Notis Pemberhentian itu difailkan oleh Tetuan Raj, Ong & Yudistra, peguamcara Najib selaku plaintif, semalam.

    Menerusi notis itu, Najib sepenuhnya menggugurkan tindakan saman terhadap defendan kedua, kerajaan Malaysia dengan tiada perintah mengenai kos.

    Ketika prosiding, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Najib memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya mahu menghentikan saman sivil terhadap kerajaan, namun tiada sebarang alasan atas tindakan diambil anak guamnya itu.

    Sementara itu, peguam, Alan Adrian Gomez yang mewakili Thomas berkata, terpulang kepada plaintif untuk meneruskan atau menarik balik tindakan berkenaan.

    Susulan itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache bertanya mengenai kesan yang akan timbul susulan penarikan balik saman itu terhadap defenden kedua.

    Alan berkata, meskipun kerajaan bukan lagi pihak yang disaman, ia masih disifatkan bertanggungjawab secara vikarius.

    Ahmad kemudiannya merekodkan penarikbalikan saman tersebut.

    Dalam prosiding ini, Najib yang hadir di mahkamah dengan memakai sut kelabu berkemeja putih, duduk dalam keadaan tetang di galeri awam serta diawasi pegawai dari Penjara Kajang.

    Turut kelihatan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor.

    Sebelum ini, Najib memfailkan saman di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 22 Oktober 2021 dengan menamakan Thomas dan kerajaan Malaysia selaku defendan pertama dan kedua.

    Dalam pernyataan tuntutan, Najib, 69, mendakwa beliau telah dituduh di mahkamah membabitkan kes 1MDB, International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) dan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

    Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan terhadapnya sebahagian daripada perbuatan yang telah dirancang lebih awal oleh Thomas dan ia juga selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

  • Kontraktor ditahan polis, ugut penyelia tapak projek

    Kontraktor ditahan polis, ugut penyelia tapak projek

    HANYA kerana syarikatnya tidak dilantik untuk kerja baik pulih menurap jalan di sebuah sekolah di Semenyih menyebabkan seorang lelaki tergamak mengugut penyelia tapak.

    Bagaimanapun tindakan lelaki berusia 40 tahun itu mengundang padah apabila dia ditahan polis semalam.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pada pukul 9.32 pagi Selasa lalu, wanita berusia 27 tahun yang bekerja sebagai penyelia tapak ketika berada di pejabatnya di Pusat Perniagaan Taman Dagang menerima mesej suara melalui aplikasi WhatsApp dari suspek yang dikenali.

    Katanya, dalam mesej suara itu, suspek didakwa memaki hamun dengan perkataan lucah, berbaur perkauman serta diugut akan menyerangnya di tempat kerja.

    “Dipercayai punca kejadian, suspek tidak berpuas hati dengan mangsa berikutan tidak melantik syarikat suspek untuk menjalankan kerja-kerja baik pulih premis (penurapan tar jalan) di sebuah Sekolah di Semenyih.

    “Susulan itu, pada jam 1.15 tengah hari semalam, sepasukan polis menahan suspek bekerja sebagai kontraktor di tepi jalan Uranus U5/127, Shah Alam,” katanya, lapor Harian Metro, hari ini.

    Beliau berkata, turut dirampas telefon yang digunakan semasa kejadian.

    “Suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau dalam kesalahan dadah dan jenayah.

    “Suspek juga mempunyai rekod masih kehendaki bagi kesalahan dadah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban malah hasil ujian air kencing juga dapati positif dadah methamphetamine,” katanya.

    Menurutnya, suspek direman empat hari sehingga 11 September ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

  • Pemilik premis tentukan pemakaian pelitup muka 

    Pemilik premis tentukan pemakaian pelitup muka 

    PEMILIK premis dalam bangunan di negeri Johor dibenarkan untuk menentukan protokol pemakaian pelitup muka di premis mereka. 

    Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling Tian Soon bagaimanapun berkata kerajaan negeri amat menggalakkan pemakaian pelitup muka terus diamalkan terutama apabila berada di lokasi tumpuan ramai termasuk pasar malam, stadium, gedung beli-belah dan rumah ibadah. 
     
    Beliau juga berkata individu yang bergejala, berisiko tinggi dan imuniti rendah serta ibu mengandung turut digalakkan untuk terus memakai pelitup muka bagi mengelakkan penularan jangkitan itu. 

    Kerajaan negeri akan terus membantu Kementerian Kesihatan dalam memantau situasi COVID-19 di dalam dan luar negara selain memastikan kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan berada dalam keadaan yang optimum bagi memastikan kesejahteraan rakyat. 

    “Bagaimanapun, pemilik premis boleh menentukan sama ada pengunjung wajib memakai pelitup muka ataupun boleh memilih untuk memakai pelitup muka, namun orang ramai amat digalakkan memakai kerana ia terbukti mampu mengurangkan penularan jangkitan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

     
    Ling berkata kesedaran orang ramai mengenai kepentingan mengamalkan langkah pencegahan telah membantu menyumbang kepada penurunan kes COVID-19 serta menstabilkan sistemperkhidmatan kesihatan dengan kadar kemasukan ke hospital dan unit rawatan rapi (ICU) yang rendah. 
     
    Beliau berkata kadar penggunaan Katil Bukan Kritikal COVID-19 di negeri ini adalah sebanyak 21.6 peratus dengan 117 pesakit, manakala hanya tiga peratus dengan enam pesakit yang menggunakan alat bantuan pernafasan (ventilator), setakat Rabu lepas. 
     

    “Selain itu, sebanyak 32 peratus bagi kadar penggunaan katil ICU dengan tujuh pesakit, tambahnya yang turut memaklumkan kerajaan negeri menyambut baik keputusan Kementerian Kesihatan berkenaan penetapan pemakaian pelitup muka itu.

  • 797 kes dera amah warga Indonesia sejak 2020 – Duta

    797 kes dera amah warga Indonesia sejak 2020 – Duta

    KEDUTAAN Indonesia di Malaysia menerima laporan 797 kes penderaan membabitkan pembantu rumah warganegara itu sejak 2020 hingga Jun 2022.

    Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono memberitahu, daripada jumlah itu 22 kes disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM 2007).

    “Selain mengalami penderaan fizikal mereka turut dilayan seperti hamba moden kerana terpaksa bekerja bertahun-tahun tanpa gaji dan rehat yang secukupnya.

    “Dari awal pandemik sehingga Jun tahun ini, kedutaaan menerima 12,923 laporan daripada pembantu rumah.

    “Daripada jumlah itu 797 kes melibatkan kes jenayah iaitu kes-kes penderaan,” katanya memetik laporan Astro Awani hari ini.

    Hermono menjangkakan jumlah sebenar mereka yang menjadi mangsa penderaan jauh lebih besar daripada apa yang dedahkan.

    Ini kerana katanya, ramai lagi mangsa yang mungkin tidak membuat laporan kepada pihak penguat kuasa termasuk ada di antara yang bimbang ditahan kerana tidak mempunyai permit kerja atau tamat tempoh.

    Pihaknya juga berdepan dengan masalah untuk membuat tuntutan di Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bagi pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen.

    “Berdasarkan pengalaman kami, amat sukar untuk membuatkan majikan menjelaskan gaji kepada mereka ini.

    “Ini kerana setakat ini, Mahkamah Buruh menafikan hak pekerja tanpa dokumen untuk membawa aduan berkenaan pekerjaan,” jelasnya.

  • Tiada negara ahli INTERPOL sahkan keberadaan Jho Low – KPN

    Tiada negara ahli INTERPOL sahkan keberadaan Jho Low – KPN

    PERMOHONAN ekstradisi terhadap ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low tidak dapat dilakukan memandangkan tiada negara ahli Polis Antarabangsa (INTERPOL)  mengesahkan keberadaannya. 

    Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, yang berkata usaha mengesan Jho Low masih giat dijalankan dan segala maklumat diterima mengenai keberadaan individu itu di negara asing diteliti kesahihannya termasuk menggunakan saluran kerjasama pihak berkuasa di negara-negara berkenaan.

    Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

    Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah memohon dan memperoleh notis merah (orang dalam buruan dikhendaki untuk pendakwaan) terhadap Jho Low daripada INTERPOL pada 2018.

    “Pihak yang mempunyai mempunyai maklumat berhubung lokasi Jho Low diminta untuk menyalurkan kepada Infoline Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di talian 013-2111222 (Whatsapp sahaja) atau balai polis berhampiran.

    “Setiap maklumat diterima akan diteliti kesahihannya dan akan disalurkan kepada INTERPOL bagi mendapatkan bantuan pengesahan lanjut daripada negara ahli yang terlibat,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

    Beliau berkata notis merah yang dikeluarkan oleh INTERPOL kepada 195 negara ahli adalah sebagai makluman dan mendapatkan bantuan maklumat daripada negara ahli INTERPOL mengenai keberadaan penjenayah dalam buruan itu.

    Menurutnya, sekiranya mana-mana negara ahli mengesan keberadaan penjenayah dikehendaki, INTERPOL negara berkenaan adalah bertanggungjawab untuk menyalurkan maklumat kepada negara yang memperoleh notis merah bagi proses permohonan ekstradisi. 

    Acryl Sani berkata PDRM kekal komited dalam memastikan Jho Low ditahan untuk dibawa ke muka pengadilan termasuk memfailkan 13 pertuduhan di mahkamah tanpa kehadirannya (in absentia) melibatkan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 

    “Selain PDRM, pihak berkuasa asing di Singapura dan Amerika Syarikat turut menjalankan siasatan terhadap Jho Low. Kedua-dua negara telah menfailkan pertuduhan terhadapnya,” katanya. 

    Sebelum ini, sebuah portal melaporkan, Jho Low didakwa bersembunyi di China dan perkara itu didedahkan penulis bersama buku Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood, and the World, Bradley Hope, menerusi episod pertama program ‘Where is Jho Low? The Search for the 1MDB Fraud Mastermind’, yang disiarkan di platform YouTube.

    Menerusi episod itu, Hope bersama seorang penulis, Tom Wright berkongsi sekeping gambar memaparkan Jho Low bersama dua individu tidak dikenali di sebuah restoran di taman tema Disneyland Shanghai.

     Hope mendakwa gambar bertarikh 24 Dis 2019 itu diterima daripada sumber yang boleh dipercayai.

    1MDB telah memfailkan saman AS$3.7837 bilion (RM17.02 bilion) terhadap Jho Low dan empat anak syarikatnya.

  • Bot cuba seludup 60 etnik Rohingya diusir di perairan Pulau Pinang

    Bot cuba seludup 60 etnik Rohingya diusir di perairan Pulau Pinang

    SEBUAH bot yang membawa 60 migran disyaki etnik Rohingya dan warga Myanmar yang cuba menyeludup masuk ke negara ini diusir keluar pada kedudukan kira-kira 3.0 batu nautika barat Sungai Pinang, dekat sini pada 1 September lalu.

    Operasi itu antara kejayaan dicapai sepanjang Operasi REDBACK XVII 2022 yang dilaksanakan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dengan kerjasama Australian Border Force (ABF) bermula 26 Ogos hingga semalam di sini.

    Menurut Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Hamid Mohd. Amin, sepanjang operasi sama seramai lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar ditahan di sekitar perairan Pulau Pinang atas kesalahan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri di bawah Akta Imigresen 1959/63.

    Selain itu katanya, sebanyak 13 bot nelayan asing Indonesia juga berjaya diusir keluar dari perairan negara dengan bantuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

    Kejayaan itu tambahnya, hasil pengesanan yang dilakukan oleh pesawat Maritim Malaysia CL 415MP di kedudukan kira-kira 67 batu nautika Barat Daya Pulau Kendi pada 5 September lalu.

    “Secara keseluruhannya Operasi REDBACK ini telah melaksanakan sebanyak 178 pemeriksaan dan penggeladahan ke atas vesel-vesel di laut melibatkan tiga tangkapan serta dua pengusiran.

    “Operasi di laut turut dilaksanakan dengan melibatkan tiga aset laut serta 60 anggota operasi.

    “Rondaan rutin, pemeriksaan serta pemantauan sempadan perairan dan titik panas terus dilaksanakan sepanjang tempoh itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Menurut beliau, Operasi REDBACK itu merupakan satu inisiatif kerjasama antara Maritim Malaysia dan ABF dalam usaha mengekang, membanteras dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan melalui perairan.

    Kerjasama itu jelas beliau, berteraskan memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan Malaysia dan Australia berkaitan bantuan serta kerjasama melibatkan operasi dan penguatkuasaan maritim yang ditandatangani bersama pada 12 Julai 2011.

    “Secara keseluruhannya kerjasama ini berfokus kepada persetujuan bersama dalam membanteras jenayah penyeludupan dan pemerdagangan manusia termasuklah dadah serta aktiviti jenayah rentas sempadan melalui perairan,” katanya.

    Tambah beliau, sepanjang dua minggu Operasi REDBACK itu juga, Maritim Malaysia dan ABF telah melaksanakan program ‘Inisiatif Bertanya Khabar’ atau ‘community outreach’ dengan meyampaikan penjelasan secara santai, mengedarkan risalah dan poster, menyantuni komuniti maritim setempat di beberapa lokasi iaitu Kuala Sungai Juru, Telok Kumbar dan Kuala Sungai Pinang.

    “Di samping itu, mesej-mesej positif dan peringatan berkaitan jenayah rentas sempadan turut dipaparkan melalui billboards’, ‘banners’ serta poster di lokasi-lokasi strategik di sekitar Pulau Pinang,” katanya.

    Dalam masa sama tambah beliau, ABF juga melaksanakan program perkongsian ilmu kepada pegawai dan anggota Maritim Malaysia melalui bengkel penguatkuasaan yang dihadiri seramai 28 orang.

    Jelasnya, bengkel itu turut melibatkan peserta daripada agensi sahabat seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM); Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM); Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM); Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Jabatan Laut Malaysia (JLM).

  • 1 remaja dikhuatiri lemas, 2 tidak sedarkan diri, 3 terselamat mandi di pantai

    1 remaja dikhuatiri lemas, 2 tidak sedarkan diri, 3 terselamat mandi di pantai

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEGEMBIRAAN sekumpulan remaja mandi di Pantai Tanjung Balau, Bandar Penawar, Kota Tinggi, pagi ini berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka hilang, dua tidak sedarkan diri dan tiga terselamat.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Penawar,
    Penguasa Bomba Kanan II Mohd. Hazmi Zulkafli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.39 pagi.

    “Susulan itu seramai 10 anggota dengan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Ketika kejadian mereka sedang mandi di pantai. Tiga remaja perempuan semuanya berusia 13 tahun diselamatkan orang awam sebelum pihak bomba sampai manakala dua mangsa dijumpai pihak bomba dalam keadaan tidak sedarkan diri.

    “Dua mangsa itu merupakan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dan seorang budak lelaki berusia 12 tahun. Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun masih hilang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, dua mangsa yang tidak sedarkan diri itu dibawa naik dan pihaknya memberikan rawatan awal dan bantuan pernafasan sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Penawar menaiki EMRS.

    Sementara tiga mangsa yang selamat dibawa ke klinik berkenaan dengan menaiki ambulans, katanya.

    Mohd. Hazmi memberitahu, pihak bomba masih melakukan pencarian seorang mangsa yang masih belum dijumpai dengan menggunakan kaedah ‘surface searching’ pada jarak 80 meter dari persisir pantai.

    “Semua mangsa berasal dari daerah ini,” katanya lagi.