Category: Semasa

  • 24 rakyat Malaysia mangsa penipuan kerja di Kemboja diselamatkan

    24 rakyat Malaysia mangsa penipuan kerja di Kemboja diselamatkan

    SERAMAI 24 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan tawaran pekerjaan di Phnom Penh, Kemboja berjaya diselamatkan dan kembali ke tanah air hari ini.

    Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah, yang berada di Phnom Penh untuk lawatan kerja, membawa pulang kesemua mereka yang berumur lingkungan 20 hingga 30 tahun itu dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) melalui pesawat AK0539 pada kira-kira 4.50 petang tadi.

    Beliau berkata 29 lagi rakyat Malaysia masih berada di depoh imigresen di Kemboja kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah ketika memasuki negara berkenaan dan mereka berada dalam keadaan selamat.

    Ketika lawatan kerjanya ke Phnom Penh, Saifuddin berkata beliau sempat melawat tujuh rakyat Malaysia yang berada di depoh imigresen di ibu negara Kemboja itu, manakala 22 orang lagi dilaporkan berada di wilayah Sihanoukville.

    “Mereka akan dihantar pulang secara berperingkat bergantung kepada pihak imigresen Kemboja kerana ada yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan kes yang melibatkan siasatan pihak berkuasa di sana,” katanya kepada pemberita di klia2 di sini hari ini.

    Menurutnya setakat ini, 118 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja berjaya diselamatkan daripada 148 kes yang dilaporkan.

    “Terima kasih kepada kerajaan Malaysia, kerajaan Kemboja, Perdana Menteri Kemboja Hun Sen yang beri arahan khusus supaya diadakan operasi menyelamatkan sebahagian rakyat Malaysia di sana,” katanya.

    Mengulangi nasihat agar rakyat Malaysia berwaspada dengan iklan pekerjaan di luar negara dengan tawaran memikat, beliau berkata : “Sekiranya mendapat apa-apa tawaran, hubungi kedutaan kita di Phnom Penh untuk mereka membantu memeriksa sama ada syarikat itu sahih atau tidak dan bukannya pergi tanpa sebarang maklumat yang tepat.”

    Katanya terdapat kira-kira 500 syarikat Malaysia beroperasi di Kemboja dan 5,000 rakyat Malaysia yang bekerja serta berniaga di negara berkenaan dan semuanya dalam keadaan baik.

  • Polis gagalkan cubaan sindiket seludup diesel bersubsidi RM7 juta

    Polis gagalkan cubaan sindiket seludup diesel bersubsidi RM7 juta

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup 70,000 liter diesel bersubsidi oleh sebuah sindiket menggunakan sebuah kapal tongkang di Pandamaran, pada Selasa.

    Serbuan itu dijalankan menerusi Op Kontraban oleh Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas (CSPK) Pasukan Gerakan Khas (PGK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman.

    Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Asisten Komisioner Skandaguru Anandan berkata, seramai tiga lelaki tempatan dan seorang warga asing telah ditahan dalam serbuan terbabit.

    “PDRM merampas sejumlah 70,000 liter minyak diesel, sebuah tongkang, lori tangki yang diubahsuai dirampas.

    “Turut dirampas sebuah kereta dan pelbagai jenis peralatan untuk proses pemindahan minyak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Skandaguru berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM7.59 juta dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Bekalan 1961.

    Pada masa sama, beliau menegaskan, operasi sedemikian akan terus dijalankan untuk membanteras kegiatan penyelewengan minyak diesel atau barangan bersubsidi lain yang mengakibatkan kerugian kepada negara.

    “Komitmen PDRM dalam membantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan diteruskan dengan kolaborasi pencegahan dan penguatkuasaan bersama.

    “PDRM menasihatkan mereka yang terlibat agar menghentikan aktiviti ini kerana tiada kompromi akan diberikan dan PDRM akan terus menjejaki mereka,” ujar beliau sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.

  • Saman Najib terhadap Tommy Thomas serangan sampingan, kata peguam

    Saman Najib terhadap Tommy Thomas serangan sampingan, kata peguam

    MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa tindakan Datuk Seri Najib Tun Razak menyaman Tan Sri Tommy Thomas berhubung dakwaan salah laku ketika bertugas kerana mengemukakan pertuduhan terhadap Ahli Parlimen Pekan itu disifatkan sebagai serangan sampingan terhadap kes yang dihadapinya.

    Peguam Alan Adrian Gomez yang mewakili bekas Peguam Negara itu berkata demikian ketika pendengaran untuk membatalkan saman berkenaan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Bache.

    Menurutnya, menerusi pernyataan tuntutan, Najib tidak memohon sebarang relif maka ia menunjukkan bekas Perdana Menteri itu tidak mencabar budi bicara pendakwa raya dalam empat kes mahkamah yang dihadapinya.

    Sebaliknya, beliau berkata, Najib bersandarkan kepada dakwaan bahawa empat kes itu adalah berniat jahat terhadapnya.

    Bagaimanapun Alan berkata, ia bukan salah laku yang boleh dikenakan tindakan sivil dan diiktiraf di negara ini.

    “Tuntutan saman ini adalah untuk mencabar pertuduhan yang dikenakan terhadapnya, ini jelas menunjukkan salah guna proses mahkamah.

    “Ia juga melampau, remeh dan menyusahkan, jadi kami menyatakan mahkamah wajar menolak saman ini,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Sementara itu, peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Najib selaku plaintif berkata, anak guamnya tidak mencabar empat kes terbabit sebaliknya menyentuh kelakuan Thomas sebagai Peguam Negara ketika itu.

    “Tan Sri Tommy Thomas sudah menyasarkan Datuk Seri Najib sejak tahun 2012 dan ia sudah lama dirancang, maka ia bukan suatu yang wajar dibuat kerana seorang Peguam Negara tidak boleh berat sebelah.

    “Kenyataan Thomas dalam bukunya My Story: Justice In Wilderness berhubung pendakwaan terhadap plaintif adalah kenyataan luar biasa oleh seorang Peguam Negara.

    “Beliau tidak boleh ada kepercayaan bahawa seseorang itu sudah bersalah, sekali gus ini menunjukkan salah laku,” katanya.

    Dalam prosiding berkenaan, Najib yang hadir di mahkamah dengan memakai sut kelabu berkemeja putih, duduk dalam keadaan tenang di galeri awam serta diawasi pegawai dari Penjara Kajang.

    Turut kelihatan ialah isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

    Sebelum ini, bekas Perdana Menteri itu memfailkan saman di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 22 Oktober 2021 dengan menamakan Thomas dan kerajaan Malaysia selaku defendan pertama dan kedua.

    Dalam pernyataan tuntutan, Najib, 69, mendakwa beliau telah dituduh di mahkamah membabitkan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) dan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

    Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan terhadapnya sebahagian daripada perbuatan yang telah dirancang lebih awal oleh Thomas dan ia juga selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

    Pendengaran di hadapan Hakim Datuk Ahmad Bache bersambung 21 Oktober depan.

  • Suami isteri ditemukan mati dalam rumah

    Suami isteri ditemukan mati dalam rumah

    SEPASANG suami isteri ditemukan meninggal dunia di sebuah rumah di Bandar Dataran Segar, Lukut dekat Seremban semalam.

    Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam kira-kira pukul 5.15 petang memaklumkan lelaki berusia 61 tahun dan isterinya, 58, itu disyaki tidak sedarkan diri.

    “Polis dengan dibantu sepasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Port Dickson kemudian memecahkan mangga hadapan pintu jeriji rumah dan melakukan pemeriksaan di dalam rumah berkenaan. Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Lukut telah mengesahkan kematian mangsa di tempat kejadian.

    “Siasatan mendapati mangsa lelaki mempunyai sejarah rawatan darah tinggi manakala isterinya tiada sebarang sejarah rawatan kesihatan. Polis juga tidak menemukan sebarang unsur pelakuan jenayah,” katanya dalam kenyataan di Seremban hari ini.

    Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai ‘mati mengejut’.

  • Empat rakan didakwa simbah cat, ugut peminjam along

    Empat rakan didakwa simbah cat, ugut peminjam along

    EMPAT rakan dihadapkan ke dua Mahkamah Majistret di Kuantan hari ini atas pertuduhan mengugut, mengurung dan melakukan khianat terhadap 11 peminjam wang daripada pemberi pinjaman wang tidak sah atau along.

    Pemandu lori Muhamat Faizul Abu Yamin, 35, mengaku bersalah terhadap enam pertuduhan melibatkan enam mangsa iaitu empat wanita dan dua lelaki dengan merantai pintu pagar rumah mereka, membaling cat merah ke rumah dan kereta serta menampal notis ugutan di rumah mangsa di sekitar daerah Kuantan antara 22 Ogos lepas hingga 1 September lepas.

    Mekanik Mohamad Nadzrin Musa, 29, mengaku bersalah atas satu pertuduhan bersubahat dengan Muhamat Faizul mengurung dua wanita sama di sebuah rumah di Taman Balok Jaya di Kuantan pada 31 Ogos lepas dengan cara merantai dan mengunci pintu pagar rumah itu.

    Majistret, Ainis Abu Hassan Shaari membenarkan Muhamat Faizul diikat jamin RM20,500 bagi semua enam pertuduhan manakala Mohd Nadzrin RM2,000 masing-masing dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 September untuk menjatuhkan hukuman terhadap mereka.

    Sementara itu, Ahmad Fadil Mahmudin, 43, buruh ladang kelapa sawit pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan melakukan ugutan jenayah, khianat serta mengurung secara salah seorang wanita lain yang didakwa dilakukan di sebuah rumah di Indera Mahkota di Kuantan pada 26 Ogos.

    Majistret membenarkan Ahmad Fadil diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan dan menetapkan sebutan semula kes pada 23 September.

    Sementara itu, di hadapan Majistret, Nurul Farahah Mohd Suah, Muhamat Faizul mengaku bersalah atas empat lagi pertuduhan melakukan ugutan jenayah, khianat dan mengurung secara salah terhadap tiga wanita sama dan satu wanita lain antara 18 April lepas hingga 31 Ogos lepas.

    Dia didakwa melakukan perbuatan itu dengan menampal notis ugutan di hadapan rumah dan menyimbah cat merah ke kereta serta halaman rumah mereka antaranya di Taman Tas Ria dan Bandar Baru Chendor di Kuantan.

    Pekerja am Muhamad Adam Sait, 35, juga mengaku bersalah atas tiga pertuduhan sama terhadap tiga mangsa lain antara 21 dan 26 Ogos lepas di sekitar daerah ini.

    Nurul Farahah membenarkan jaminan RM10,000 terhadap Muhamat Faizul dan RM7,000 ke atas Muhamad Adam sementara menunggu tarikh jatuh hukum pada 27 Sept ini.

    Pertuduhan mengugut dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, Seksyen 342 kanun sama (mengurung secara salah) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya dan Seksyen 427 kanun sama (melakukan khianat) iaitu hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyah Abdul Wahab, Aini Adilah Muhammad Faizal dan Anuarul Hakim Abdul Muen.

  • Negara sedia ke fasa endemik, serah keputusan kepada KKM – Muhyiddin

    Negara sedia ke fasa endemik, serah keputusan kepada KKM – Muhyiddin

    PEMBUKAAN banyak sektor dan penganjuran himpunan besar adalah petanda negara sudah bersedia untuk beralih ke fasa endemik sepenuhnya.

    Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, bagaimanapun berkata, pihaknya menyerahkan kepada pihak yang lebih pakar untuk menentukan perkara itu, seterusnya menasihati kerajaan untuk mengumumkan apabila negara sudah sampai masa untuk kembali pulih seperti sedia kala.

    Beliau berkata, MPN komited memberi pandangan kepada kerajaan untuk mempertimbangkan peralihan negara ke fasa endemik sepenuhnya, susulan banyak kelonggaran yang diberikan ketika ini.

    “Ini selaras dengan tanggungjawab MPN iaitu memberi pandangan dan nasihat berdasarkan fakta yang ada kepada kerajaan.

    “Mungkin dalam mesyuarat akan datang dan agenda utamanya adalah dengan membentang laporan COVID-19. Kita akan mengambil kira pelbagai sudut dan kemukakan cadangan kepada kerajaan.

    “MPN hanya boleh memberi pandangan dan nasihat ketika ini. Keputusan untuk negara beralih ke fasa endemik sepenuhnya adalah bidang kuasa Kementerian Kesihatan (KKM) atau kerajaan yang akan putuskannya.

    “Paling penting adalah kita pulih dari segi ekonomi. Itu perlu menjadi tumpuan utama kerajaan ketika ini,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Ziarah Prihatin Komuniti Cina di Pekan Lenga, Pagoh, Muar, hari ini.

    Muhyiddin berkata, KKM harus bertindak atas data sains, fakta dan tidak boleh sesuka hati mengambil keputusan kerana perkara berkenaan membabitkan keputusan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

    “Sekarang sudah ada lebih kebebasan dan data yang ada menunjukkan kes COVID-19 semakin menurun.

    “KKM boleh beri pertimbangan tapi yang penting adalah sebahagian besar atau hampir semua sektor ekonomi, sosial, pendidikan sudah kembali seperti sedia kala,” katanya.

  • Isu kapal OPV: ‘’Saya bukan cakap kosong’’ – Mujahid

    Isu kapal OPV: ‘’Saya bukan cakap kosong’’ – Mujahid

    NAIB Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menegaskan kenyataannya berhubung isu kapal peronda luar pesisir (OPV), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bukan fitnah, sebaliknya berlandaskan fakta.

    Mujahid mengulas kenyataan bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang mengatakan beliau memfitnah kerana mengaitkannya dengan isu itu.

    “Jika saya cakap salah, betulkan dan buktikan. Saya siap sedia kerana saya bukan cakap kosong, melainkan ada bersama bukti-bukti,” katanya lapor Berita Harian.

    Mujahid yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak berkata, Abdul Azeez perlu memeriksa fakta terlebih dahulu, sebelum mendakwanya menabur fitnah.

    “Apabila Azeez Rahim marahkan saya, saya fahamlah. Tetapi kalau marahpun, fakta biar betul lah. Itu sahaja. Jangan cakap tanpa fakta kerana maklumat orang boleh cari,” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan, Abdul Azeez membuat laporan polis ke atas Mujahid kerana memfitnahnya berkaitan kontrak OPV.

  • Maritim tahan kapal dari Vietnam, Liberia bersauh tanpa kebenaran

    Maritim tahan kapal dari Vietnam, Liberia bersauh tanpa kebenaran

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua buah kapal kargo kerana bersauh tanpa kebenaran menerusi di dua lokasi berasingan di perairan Johor timur di Kota Tinggi, semalam.

    Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd. Najib Sam berkata, kapal kargo pertama berdaftar dari Vietnam ditahan pada pukul 12.40 tengah hari pada kedudukan 17.3 batu nautika timur laut Tanjung Penawar.

    “Kapal ini dikendalikan 20 kru lelaki termasuk nakhoda berumur lingkungan 25 hingga 43 tahun semuanya warga Vietnam.

    “Sementara kapal kedua berdaftar dari Monrovia, Liberia yang dikendalikan 24 kru lelaki termasuk nakhoda kesemuanya warga Filipina berusia di antara 24 hingga 62 tahun ditahan pukul 5.45 petang pada kedudukan 16.9 batu nautika timur Tanjung Sedili Kechil,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, pemeriksaan dokumen dua kapal berkenaan mendapati masing-masing nakhoda gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia.

    Menurutnya, dua kapal itu seterusnya ditahan dan nakhoda serta seorang kru setiap kapal telah dibawa ke pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk tindakan lanjut.

    Kes akan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

    Mohd Najib memberitahu, penahanan dua kapal itu merupakan yang keenam atas kesalahan bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia sejak 1 September lalu.

    “Ini menjadikan jumlah kapal dagang yang telah ditahan pada tahun ini adalah 38 buah atas kesalahan yang sama daripada pelbagai jenis serta berdaftar dari pelbagai negara termasuk Malaysia,” katanya.

    Tegas beliau, Maritim Malaysia amat serius dan akan mempergiatkan lagi usaha bagi membanteras aktiviti bersauh tanpa kebenaran.

    “Maritim Malaysia juga ingin menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan perairan Johor Timur bebas daripada cubaan bersauh secara haram,” ujarnya lagi.

  • Mahkamah tolak permohonan Yusoff batal tuntutan balas Anwar

    Mahkamah tolak permohonan Yusoff batal tuntutan balas Anwar

    MAHKAMAH Tinggi hari ini menolak permohonan bekas pembantu penyelidik Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Muhammed Yusoff Rawther, untuk membatalkan beberapa perenggan dalam pembelaan serta keseluruhan tuntutan balas Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

    Permohonan itu berhubung saman difailkan Muhammed Yusoff, atas dakwaan serangan seksual oleh ketua pembangkang terbabit di kediamannya, empat tahun lalu.

    Peguam bela Muhammed Yusoff, Mahajoth Singh, berkata permohonan itu ditolak dengan kos RM3,500, namun tiada tempoh dimaklumkan bagi bayaran berkenaan.

    “Defendan (Anwar) pula ada failkan dua permohonan iaitu penzahiran dokumen dan interlokutori. Pendengaran untuk kedua-dua permohonan itu pada 23 September ini.

    “Ia menerusi aplikasi Zoom di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Dr. John Lee Kien How @ Mohammad Johan Lee,” katanya.

    Prosiding sebutan kes hari ini, diadakan secara sidang video di hadapan pesuruhjaya sama, memetik laporan Berita Harian.

    Pada 9 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi mengarahkan Anwar, 73, memfailkan penyataan pembelaan dalam saman dikemukakan Muhammed Yusoff, 28.

    Pada 14 Julai 2021, Muhammed Yusoff, memfailkan saman mendakwa serangan seksual pada 2 Oktober 2018 di kediaman Anwar, di Segambut, di Kuala Lumpur.

    Bekas pembantu penyelidik Anwar itu selaku plaintif mendakwa Presiden PKR berkenaan, melakukan serangan seksual dan pencerobohan ke atas dirinya, manakala beliau menolak perbuatan defendan serta memintanya berhenti melakukan perbuatan itu.

    Plaintif mendakwa akibat kejadian itu, beliau dituduh berkomplot untuk menjatuhkan dan merosakkan karier politik defendan, selain memberi impak kepada kesihatan mentalnya kerana mendapat kritikan daripada pemimpin politik, yang menyokong Anwar serta orang awam.

    Oleh itu, Muhammed Yusoff menuntut ganti rugi khas, umum, teruk, teladan, faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

  • Tiga kes kematian dalam tahanan pada 2022 disiasat

    Tiga kes kematian dalam tahanan pada 2022 disiasat

    SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) telah menjalankan tiga siasatan kes kematian dalam tahanan dalam tahun ini setakat ini.

    Pihak Suhakam telah mencadangkan beberapa penambahbaikan selepas meneliti isu tersebut sebelum ini.

    Ahli Suruhanjaya Suhakam, Chew Chee Ming berkata, pada 2020 sebanyak 12 kes disiasat manakala pada 2021 sebanyak 13 kes disiasat dan setakat ini pada 2022, tiga kes sudah disiasat.

    “Berdasarkan siasatan kami, Suhakam mendapati kebanyakan kes kematian adalah berkait dengan masalah kesihatan.

    “Kita telah mengesyorkan penambahbaikan daripada aspek penjagaan kesihatan di pusat tahanan termasuk menambah tenaga kerja, menaik taraf fasiliti seperti klinik dan menambah jumlah petugas kesihatan.

    “Suhakam juga menggalakkan orang ramai menjemput Suhakam untuk mengadakan taklimat semasa perbicaraan koroner.

    “Kesesakan dan kekurangan pemantauan adalah faktor utama yang dikenal pasti menjadi punca utama kepada kes kematian dalam tahanan,” katanya memetik laporan Astro Awani.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Webinar Hari Suhakam 2022: Kepentingan Mengutamakan Hak Asasi Ekonomi, Sosial Dan Budaya (ESCR) Dalam Menyokong Pemulihan Negara Dan Masyarakat Di Malaysia, di Kuala Lumpur hari ini.

    Media sebelum ini melaporkan mulai tahun 2022, semua kes kematian dalam tahanan polis akan disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan (USJKT) di bawah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

    Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata, kes berkenaan tidak lagi disiasat oleh anggota atau pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) atau lokap, di mana kejadian kematian itu dilaporkan.

    Menurutnya, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) melibatkan 684 lokap polis, IPD dan ibu pejabat kontinjen PDRM sedang dilaksanakan bagi mengawasi dan memantau Orang Kena Tahan untuk memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku dalam lokap.